Nuffnang

Pengikut

DIALOG RAKYAT

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Skandal 1MDB perlu selesai agar Malaysia capai sasaran negara bebas rasuah

Posted: 09 Oct 2016 06:45 AM PDT

Lim Kit Siang1

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Walaupun pemberkasan dua pegawai kerajaan di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berjaya, Malaysia tidak akan mampu mencapai sasarannya menjadi antara 30 negara terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2020.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, berkata ia berikutan skandal mega 1MDB yang memasyhurkan nama Malaysia sebagai 'kleptokrasi global' di mata dunia masih tidak selesai sehingga ke hari ini.

"Operasi terbesar SPRM itu tidak akan cukup untuk membalikkan trend Malaysia diambil alih oleh negara-negara lain khususnya di Asia kecuali kerajaan bersedia menghadapi masalah skandal antarabangsa 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ketua Parlimen DAP itu, jika Malaysia gagal menyekat aliran menurun dalam CPI dan tidak menyelesaikan isu 1MDB, kedudukan Malaysia akan diambil alih oleh Indonesia dan China dalam tempoh 10 tahun ini.

Beliau berkata, kedua-dua negara tersebut berada di kedudukan tercorot dalam CPI sejak 1995 namun berjaya melonjak dengan cepat, berbeza dengan Malaysia yang mengalami kemerosotan.

Malaysia menduduki tempat 50 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014, namun telah jatuh empat anak tangga ke tempat 54 pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Kit Siang mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana berjaya melakukan operasi penangkapan melibatkan harta lebih dari RM114 juta itu dan memuji agensi berkenaan atas usaha mereka membasmi rasuah di negara ini.

Pada masa sama, beliau bersetuju dengan bekas ahli panel penasihat SPRM, Tan Sri Robert Phang bahawa ada kemungkinan wujud orang politik pada peringkat tertinggi di sebalik dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah tersebut.

Phang baru-baru ini berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah itu berjaya menyelewengkan jutaan ringgit tanpa kerjasama dari pihak atasan.

"Mereka cuma pegawai biasa. Oleh itu, kita cenderung untuk mengandaikan mereka bertindak bagi pihak ahli politik tertentu, kerana tiada siapa yang sedia menawarkan jumlah sebegitu besar kepada pegawai biasa.

"Biasanya hanya ahli-ahli politik atau mungkin menteri yang mempunyai peluang dan kuasa untuk meluluskan sebarang bentuk permohonan di dalam negeri," kata Phang kepada media sebelum ini.

Kedua-dua pegawai itu adalah antara empat suspek yang ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa yang melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion. – Roketkini.com


PENYOKONG HISHAM TANYA, KE MANA PERGINYA ZAHID HAMIDI SEHINGGA LANGSUNG TIDAK BERSUARA?

Posted: 09 Oct 2016 06:28 AM PDT

shahbudindotcom


Sejak malam semalam sehingga pagi tadi, beberapa rakan dalam UMNO menghubungi saya dan bertanya, ke mana perginya Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri ketika ini?

Mereka bertanya kenapa beliau tidak bersuara atau mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden pertembungan sehingga mencetuskan keganasan dan tindakan ala samseng oleh Gerakan Baju Merah terhadap peserta jelajah Bersih 5?

Saya tidak ada jawapan ke mana menghilangnya Ahmad Zahid ketika ini dan memulangkan kembali pertanyaan kepada rakan-rakan itu dengan berkata, "orang UMNO sepatutnya lebih tahu ke mana pemimpin mereka pergi."

Rakan-rakan yang saya ketahui sebagai penyokong Hishammuddin Hussein itu seterusnya berkata, oleh kerana apa yang berlaku semalam sudah menjadi isu politik dan perbualan hangat dalam masyarakat, ia tidak seharusnya diserahkan kepada pihak polis saja menanganinya.

Menteri yang bertanggungjawan terhadap pasukan polis iaitu Zahid Hamidi, sekurang-kurangnya harus mengeluarkan bunyi suaranya, kata mereka.
 
 
 
 
Di antara rakan itu, ada juga yang mengimbas bagaimana ketika beberapa insiden melibatkan perhimpunan Bersih sebelum ini dan Hishammuddin menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu, beliau sentiasa saja ke depan dengan pemantauan serta kenyataannya yang pantas, meskipun ia seringkali menjadi cemuhan.

Hishammuddin menunjukkan beliau tidak bersembunyi atau lari daripada tanggungjawabnya, jelas seorang rakan tersebut.

Kata rakan-rakan itu lagi, dalam kes seperti yang berlaku semalam, suara Zahid sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap polis, keselamatan serta ketenteraman awam, lebih diperlukan berbanding kenyataan pemimpin lain, termasuk Khairy Jamaluddin yang mengecam keganasan anggota baju merah.

Sehingga petang ini, puas saya merayau-rayau di alam maya, termasuk Facebook, Twiter  dan Telegram milik Zahid Hamidi, malangnya tidak terjumpa satu pun kenyataan beliau berhubung insiden semalam.

Ke mana hilangnya Zahid Hamidi - ada urusan di luar negara, bercuti, sedang berehat setelah penat dua kali menghadiri mesyuarat PBB di New York atau sengaja tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan?


Tips bagi anak makan ubat

Posted: 09 Oct 2016 04:12 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE




Satu kerisauan kepada ibu bapa dan penjaga apabila anak kecil yang sakit tidak mahu makan ubat.

Bagi kanak-kanak di bawah usia 5 tahun, kebanyakan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh fasiliti kesihatan adalah dalam bentuk cecair.

Semakin tinggi berat badan anak, semakin banyak kuantiti yang perlu diambil. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada kekuatan (strength) ubat tersebut.

Anak kecil mempunyai naluri yang peka akan emosi orang di sekeliling mereka. Oleh yang demikian, penting bagi penjaga agar tidak menampakkan emosi negatif semasa memberikan ubat kepada anak-anak.

Beri puji-pujian dan kata-kata positif sebelum memberikan ubat. Fahami emosi anak anda dan tenangkan mereka sekiranya ada tanda-tanda emosi mereka terganggu.

Peluk dan usap anak-anak agar mereka tidak merasakan proses mengambil ubat itu adalah sesuatu yang menakutkan.

Jika perlu, alihkan perhatian mereka dengan menggunakan permainan atau memainkan video yang anak anda suka.

Elakkan diri anda daripada merasa tertekan semasa memberikan ubat-ubatan.

Bagi ibu bapa yang baru menerima cahaya mata pertama, perasaan tertekan akan lebih tinggi.

Kerisauan akibat kurang pengalaman ditambah lagi dengan tangisan anak yang nyaring dan rontaan yang kuat boleh meningkatkan lagi tekanan terhadap ibu bapa.

Masa yang sesuai untuk pemberian ubat amat penting. Waktu pagi ketika ibu bapa sedang bersiap sedia dan terkejar-kejar ke tempat kerja adalah antara waktu yang perlu dielakkan.

Minta bantuan daripada saudara-mara atau individu yang anda percaya sekiranya anda menghadapi kesukaran memberikan ubat kepada anak anda.

Walau bagaimanapun, sila pastikan arahan lengkap bertulis disediakan bagi mengelakkan berlaku kesilapan pemberian ubat.

Sesuaikan masa pemberian ubat kepada kanak-kanak Ibu bapa boleh berbincang dengan ahli farmasi bagi mendapatkan waktu pengambilan ubat yang optimum.

Malahan anda boleh memaklumkan kepada doktor yang merawat anak anda sekiranya anda menghadapi masalah dengan masa pengambilan ubat yang diberikan. Sekiranya bersesuaian, pilihan ubat yang lain akan dicadangkan oleh doktor. 

Sebagai contoh, jika ada ubat yang perlu diambil dua kali sehari masa yang sesuai adalah pada pukul 8 pagi dan 8 malam.

Elakkan jadual tidur anak anda yang sakit terganggu kerana ia akan lebih membuatkan mereka sukar menerima ubat-ubatan.
Antara perkara lain yang perlu ibu bapa ambil berat ialah : 

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anak anda tidak dapat menelan ubat atau anda menghadapi kesukaran dalam memberikan ubat cecair kepada anak yang sakit. Bagi anak-anak yang sudah boleh menelan, pil atau kapsul yang bersesuaian dengan dos ubat yang betul boleh diberikan. 

Terdapat ubat-ubatan yang mempunyai interaksi dengan makanan dan minuman sekiranya diberikan serentak. Tanya dan sentiasa bertanya dengan ahli farmasi anda sekiranya ada kemusykilan.

Ibu bapa harus mematuhi arahan pengambilan ubat dan sentiasa baca label ubat sebelum memberikan ubat kepada anak anda.
Ketahui kesan sampingan ubat-ubatan yang diambil bagi mengelakkan rasa panik oleh penjaga. 

Sentiasa berwaspada dengan kuantiti ubat yang diberikan. Sekiranya terdapat alahan ubat yang dialami oleh anak anda, bawa anak anda segera ke hospital atau klinik berhampiran.

Bawa bersama ubat-ubatan yang dibekalkan bagi memudahkan anggota kesihatan mengambil tindakan lanjut. 

Anak-anak adalah anugerah. Kesihatan mereka sangat bergantung kepada ilmu dan pengalaman ibu bapa serta penjaga yang mengendalikan anak-anak yang sakit.

Elakkan daripada merasa putus asa dan memandang remeh akan pengambilan ubat yang betul. 

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.- MalaysiaGazette


Awie pilih Songkla kahwin kali ketiga

Posted: 09 Oct 2016 04:08 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE




Dengan skali lafaz penyanyi Wings Awie, 48, selamat bernikah dengan gadis pilihan hatinya Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, kelmarin.

Majlis akad nikah itu diadakan di sebuah masjid di Songkla, Thailand.

Video majlis itu kini tersebar di internet dan kelihatan Aiwe segak memakai baju Melayu hitam, bertanjak dan bersampin kuning manakala Sharifah Ladyana pula berkebaya hitam.

Antaranya yang hadir pada majlis tertutup itu adalah anak-anak Awie, saudara mara dan sahabat handai.

Awie juga menitiskan airmata selepas sah diijabkabul.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan ketiga Awie.

Kali pertama dengan penyanyi Arni Nazira Anuar (1998) bertahan lapan tahun dan dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Perkahwinan kedua Awie dengan Rozana Misbun (2006) yang berlangsung di Thailand, dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Pun begitu, mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak tahun 2014.


Suspek bantu SPRM pindah wang ke Malaysia

Posted: 09 Oct 2016 04:00 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE




Dua pegawai tinggi sebuah agensi kerajaan di sini, yang ditahan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion, akan membantu SPRM dalam proses memindahkan wang mereka yang disimpan di luar negara ke akaun di Malaysia dalam masa terdekat.

Sumber hari ini berkata proses memindahkan wang itu akan dibuat melalui bantuan 'Mutual Legal Assistant' (MLA).

Bagaimanapun, sumber itu tidak menyatakan jumlah wang mereka yang terdapat di luar negara.

"Setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan 23 orang berhubung siasatan 'Ops Water'. Seorang daripadanya adalah adik pengarah berkenaan," kata sumber itu.

Pada Selasa, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah serta merampas RM114.5 juta daripada mereka, berikutan dakwaan penyelewengan itu.

Selain itu, SPRM merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan jenama mewah serta pelbagai jenama dan barang kemas.

Sumber itu berkata SPRM dijangka memanggil pegawai Jabatan Tanah dan Ukur negeri Sabah untuk menilai hartanah termasuk tanah perumahan, tanah pertanian dan premis komersil di beberapa lokasi di Sabah.

Kereta-kereta mewah yang dirampas daripada pengarah itu didapati dibeli menggunakan nama syarikat adiknya manakala timbalan pengarah pula dikesan membeli sebuah rumah di luar negara.

"SPRM juga sedang menyiasat sebuah syarikat yag menguruskan pengaliran wang milik timbalan pengarah itu," kata sumber itu.-- BERNAMA

Polis giat buru penyokong Baju Merah serang konvoi BERSIH

Posted: 09 Oct 2016 03:55 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Polis kini giat mengesan penyokong Baju Merah yang menyerang peserta konvoi BERSIH di Sabak Bernam, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Nor Azmi Isa yang dipetik Star Online mengesahkan polis sedang memburu suspek terbabit dan menyiasat kejadian itu.
 
Semalam, satu rakaman video memperlihatkan seorang penyokong BERSIH yang menunggang motosikal ditendang seorang penyokong Baju Merah. 
 
Kejadian itu berlaku ketika konvoi BERSIH melalui Sabak Bernam dari Teluk Intan. 
 
Kira-kira 100 anggota Baju Merah berkumpul dengan tujuan untuk menyekat laluan BERSIH dari Perak ke Selangor itu.
 
Konvoi itu adalah sebahagian daripada jelajah BERSIH selama tujuh minggu untuk mempromosi perhimpunan BERSIH 5 yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Selepas Agong, Tun M serah surat kepada semua Sultan maklum Deklarasi Rakyat

Posted: 09 Oct 2016 03:53 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada semua Raja-raja dan Yang Dipertua Negeri untuk memaklumkan usahanya menerusi Deklarasi Rakyat bagi mendesak perdana menteri meletak jawatan.
 
Memetik Sinar Harian, ujar Dr Mahathir, surat yang dihantar pada 4 Oktober lalu itu sebagai satu 'usaha' memandangkan persidangan Majlis Raja-raja bakal bersidang pada 11 Oktober akan datang. 
 
Katanya, surat itu turut memaklumkan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada 15 September lalu.
 
"Setakat ini, saya belum mendapat reaksi daripada Yang di-Pertuan Agong mengenai perjumpaan tersebut. Tetapi, oleh kerana Majlis Raja-raja akan bermesyuarat pada 11 Oktober ini, saya fikir ada baiknya kita hantar surat kepada semua raja.
 
"Ini untuk memaklumkan kepada mereka mengenai rayuan kita supaya Majlis Raja-raja ambil tindakan terhadap apa yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat," kata beliau.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga mendakwa, Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dalam perlembagaan untuk bertindak menangani masalah yang dihadapi rakyat.
 
Malah beliau juga yakin Majlis Raja-raja akan mendengar dan mempertimbangkan rayuan rakyat.
 
Namun menurut Dr Mahathir, beliau akur sekiranya usaha berkenaan tidak mendapat maklum balas positif, sekaligus membayangkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai jalan terakhir.
 
"Kita memang ada perancangan lain iaitu kita akn cuba bertanding dalam PRU14.
 
"Ini kita akan adakan satu pakatan antara parti-parti kawan supaya bertanding dalam pilihan raya secara satu lawan satu. Kalau berpecah, kita akan kalah," katanya. 


PAS kecam tindakan penyokong Baju Merah serang konvoi BERSIH

Posted: 09 Oct 2016 03:50 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
  
SHAH ALAM: PAS mengecam tindakan penyokong Baju Merah yang mengasari peserta konvoi BERSIH di Sabak Bernam, semalam, yang disifatkan sebagai tindakan politik tidak bertamadun. 
 
Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad berkata, walaupun PAS mengambil pendirian untuk tidak menyertai Himpunan Bersih 5 namun tidak bererti parti itu menyokong tindakan kasar berkenaan.
 
"PAS menentang sebarang bentuk kezaliman dan tindakan tidak bermoral. Kerana ini merupakan ajaran Islam sebagai mana sabda Nabi SAW bermaksud 'Bantulah saudara kamu yang dizalimi'.
 
"Sekarang zaman millennium baru, bukan cara politik tahun 60an yang bersifat barbarian. 
 
"Politik hujah melawan hujah, program lawan program. Bukan konvoi lawan penendang. Baju Merah boleh kerah sebanyak mungkin untuk buat seperti konvoi Bersih 5. Bukankah negara kita, negara demokrasi?," katanya dalam satu kenyataan.
 
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan kepada individu yang terlibat.
 
"Jangan biarkan budaya samseng ini menular di dalam masyarakat," katanya lagi.
 
Semalam satu rakaman video memperlihatkan seorang penyokong BERSIH yang menunggang motosikal ditendang seorang penyokong Baju Merah. 
 
Kejadian itu berlaku ketika konvoi BERSIH melalui Sabak Bernam dari Teluk Intan. 
 
Kira-kira 100 anggota Baju Merah berkumpul dengan tujuan untuk menyekat laluan BERSIH dari Perak ke Selangor itu.
 
Konvoi itu adalah sebahagian daripada jelajah BERSIH selama tujuh minggu untuk mempromosi perhimpunan BERSIH 5 yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan. 


Khalid sokong RUU 355 yang akan dibentang Hadi

Posted: 09 Oct 2016 03:48 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
CYBERJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan sokongan terhadap pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang akan dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.
 
Ujarnya, beliau percaya RUU berkenaan, yang dibawa bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah, akan membawa keadilan kepada umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
 
"Ya, saya rasa konsep syariah adalah berdasarkan keadilan. Walaupun rakyat tidak percaya hudud ia adalah bagus untuk dilaksanakan. Tapi perkara (lebih) penting bukan hudud tapi adalah keadilan untuk Muslim dan bukan Muslim.
 
"Saya tidak rasa undang-undang ini akan menyekat kebebasan bukan Muslim. Jika ia tidak adil, maka kita harus bekerjasama supaya undang-undang ini adil," katanya kepada pemberita selepas majlis bual bicara di Cyberjaya hari ini.
 
Hadi sebelum ini mengesahkan akan membentangkan RUU itu di sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pertengahan Oktober ini.
 
RUU tersebut adalah bagi mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, demi memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
 
Pindaan terhadap akta berkenaan adalah bagi menaik taraf beberapa perkara bersabit hukuman dan isu teknikal lain dalam bidang kuasa mahkamah syariah sedia ada yang tidak menepati ciri-ciri Islam berlandaskan Al-Quran dan hadis.
 
Pada masa ini, bidang kuasa Akta 355 menetapkan denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.
 
PAS menjelaskan pindaan akta tersebut tidak akan membabitkan golongan bukan Islam, dan hanya melibatkan orang Islam sahaja. 
 
Malah, bidang kuasa yang terlibat adalah terhad dan hanya membabitkan kesalahan zina, menuduh zina (Qazaf), minum arak dan murtad.
 
Lain-lain kesalahan tidak tertakluk kepada perundangan Syariah kerana ia terletak dibawah undang-undang sivil.
 
 

Gerakan umum lima calon PRU14 untuk rakyat buat penilaian

Posted: 09 Oct 2016 03:47 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Gerakan hari ini memperkenalkan lima individu yang bakal diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor bagi memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian awal.
 
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, strategi kali pertama yang dilakukan Gerakan itu akan membolehkan rakyat menilai dengan teliti dan memberi peluang kepada calon yang juga penyelaras parti bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
 
Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu berkata, mereka akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum nama dihantar kepada pengerusi Barisan Nasional (BN).
 
"Kami harap sebelum bulan depan kami dapat hantar biodata dan profil calon kepada SPRM supaya boleh semak untuk dapat pelepasan jika terdapat masalah yang mungkin kita tidak tahu," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-45 Gerakan, hari ini.
 
Lima calon yang diperkenalkan hari ini, termasuk Pengerusi Gerakan Selangor, Datuk David Ang Chin Tat bagi kerusi Parlimen Puchong.
 
Selain itu, bagi kerusi DUN, Naib Presiden Gerakan, Datuk A Kohilan Pillay diletakkan di Kota Alam Shah; Timbalan Speaker, Syed Abdul Razak Syed Long (Bukit Lanjan); Setiausaha Organisasi Pemuda, Ben Liew Pok Boon (Teratai) serta Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda, Chai Ko Thing (Bukit Gasing).
 
Mah yang juga ahli Parlimen Teluk Intan berkata, lima kerusi itu diperuntukkan kepada Gerakan bagi Selangor, kecuali kerusi DUN Kota Shah Alam yang dipinjamkan kepada MyPPP bagi PRU ke-13 lalu.
 
Mah berkata, dengan pengumuman itu, beliau berharap pembangkang turut dapat melakukan perkara sama supaya rakyat boleh membandingkan calon diketengahkan kedua-dua pihak.
 
Mengenai calon di kawasan lain, Mah berkata, Gerakan sedang berbincang dengan MCA bagi memohon pertukaran kerusi DUN Tanah Rata di Pahang yang ditandingi Gerakan dengan DUN Ketari yang ditandingi MCA pada PRU13.
 
 

KJ mahu polis ambil tindakan terhadap Baju Merah

Posted: 09 Oct 2016 03:37 AM PDT

MALAYSIAKINI


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada kumpulan Baju Merah yang melakukan kekerasan fizikal kepada peserta BERSIH semalam.

Khairy turut meminta individu yang memimpin gerakan tersebut memberi nasihat kepada anggotanya supaya tidak melakukan kekasaran dan keganasan.

"Saya harap polis ambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat.

"Saya tidak boleh terima dan saya harap mereka yang ada di belakang gerakan ini (Baju Merah dan BERSIH) dapat memberi nasihat kepada ahli mereka supaya tidak lagi melakukan kekasaran dan keganasan," tegasnya seperti dilapor Astro Awani.

Mengecam perbuatan itu, Khairy berkata amalan demokrasi di negara ini tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.

"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam.

"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang terlibat," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan Pertandingan Akhir Kejohanan Badminton Asics 2016 di Subang hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan dua peserta BERSIH yang menunggang motosikal dibaling telur ayam ketika melintasi jalan masuk ke kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam.

Seorang peserta Baju Merah kemudian menendang salah seorang daripada mereka sehingga menyebabkannya terbaring.

Penyokong BERSIH itu kemudian ditendang kali kedua oleh individu lain dari belakang ketika pegawai polis meminta semua pihak bertenang.

BERSIH: Jamal melampaui batas, jenayah samseng

Posted: 09 Oct 2016 03:33 AM PDT

MALAYSIAKINI


BERSIH mengutuk keras keganasan kumpulan Baju Merah yang diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos terhadap peserta konvoi mereka di Sabak Bernam semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, BERSIH berkata salah seorang pesertanya dipukul secara fizikal oleh kumpulan yang mereka gelar sebagai 'samseng' itu.

"Samseng-samseng itu membaling telur kepadanya, menariknya dari motosikal, menendang dan menumbuknya sehingga dia cedera teruk.

"Mereka boleh membunuhnya. Jamal Yunos telah melampaui batas dan tindakan itu sama seperti samseng dan ia adalah jenayah dan keganasan yang melampau," katanya.

Katanya, kumpulan Baju Merah berkenaan bukan sahaja menyerang secara fizikal tetapi hampir merempuh kereta dinaiki Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga dan pengurus BERSIH Mandeep Singh di Sabak Bernam.

"Ugutan seperti itu tidak dapat diterima. Polis perlu menangkap mereka untuk menamatkan kegiatan samseng ini," katanya kenyataan itu.

Semalam, dua peserta BERSIH yang menunggang motosikal dibaling telur ketika melintasi jalan masuk ke kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam.

Salah seorang daripada mereka turut ditendang dua kali oleh anggota kumpulan berkenaan.

Mengulas lanjut, BERSIH berkata gabungan itu menawarkan sokongan undang-undang kepada penyokong yang menghadapi gangguan atau keganasan fizikal.

"BERSIH mengekalkan pendiriannya untuk mendukung himpunan secara aman tanpa kekerasan dan rasa hormat. BERSIH tidak menganjurkan konvoi itu untuk mewujudkan keganasan atau rusuhan tetapi untuk membicarakan isu-isu kami," katanya.

Katanya lagi, gabungan itu akan terus meneruskan konvoi berkenaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai lima tuntutan BERSIH.

"Kami menyeru setiap rakyat Malaysia untuk terus menuntut pembaharuan dan Malaysia yang lebih baik,"jelasnya.

Sudah tiba masa wujud kelas online

Posted: 09 Oct 2016 03:29 AM PDT

SINAR HARIAN

Idris Jusoh
Idris Jusoh. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


BESUT - Pihak pengurusan Pusat Pengajian Tinggi (PPT) di negara ini perlu bersedia untuk mengendalikan kelas atau kuliah secara dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian digalakkan kerana ia telah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Menurutnya, baru-baru ini empat fakulti di Universiti Malaya (UM) menutup kelas kuliah mereka selama seminggu setelah sidang pengajarannya berjaya dilakukan secara dalam talian.

Beliau berkata, setiap pengurusan Universiti Awam perlu bersiap sedia dengan perkembangan teknologi yang dilaksanakan bukan untuk menjimatkan kos, sebaliknya untuk memberi kemudahan kepada semua pihak dalam menuntut ilmu.

"Saya turut berbangga kerana UiTM (Universiti Teknologi Mara) juga akan mengikuti jejak pembelajaran secara dalam talian dengan pengwujudan 'smart classroom' pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut dalam pada itu berkata, Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang telah mengorak langkah bagi melaksanakan pembelajaran dalam talian melalui sistem MOOC (Massive Open Online Courses) yang diiktiraf dunia dan ia perlu dilaksanakan sepenuhnya oleh PPT di negara ini mulai sekarang.

"Dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, KPT kini amat menggalakkan pembelajaran mengikut cara sendiri dengan sistem MOOC yang diprkenalkan kepada pelajar ini," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, UM, UiTM dan Open University sedang melaksanakan MOOC dalam kalangan pelajarnya.

Idris pada majlis itu turut merasmikan perpustakaan yang dilengkapi sistem Teknologi Maklumat terkini dengan bantuan Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Shah Alam dan Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. - Bernama


Media tradisional kini terumbang-ambing

Posted: 09 Oct 2016 03:03 AM PDT


Media tradisional kini terumbang-ambing
Dari kiri Moderator: Mohd Shuhaimi Embong,Pengerusi Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia (JITP); Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Jaring Communication Sdn Bhd; Dr Mohamed Awang Lah; Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf: Datuk Abd Jalil Ali dan Mohd Rafee Md Aris; Bekas Pengurus Besar, Tiga Events Sdn Bhd.(Sistem Televisyen Malaysia Berhad).


CYBERJAYA - Kewujudan media baharu seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp pada masa kini dilihat telah menyebabkan media tradisional berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Datuk Abd Jalil Ali berkata, namun begitu, media baharu dan media tradisional perlu bekerjasama bagi mewujudkan suasana yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kita anggap media baharu ini sebagai satu cabaran tapi akhir-akhir ini kita tengok ia juga merupakan satu keperluan," katanya dalam Program Bual Bicara 1Media: Penyelesaian Transformasi Media Internet yang diadakan di Garden Residence, di sini, hari ini.

Oleh sebab itu, Abd Jalil berkata, beliau berpendapat, laman media sosial merupakan akhbar baharu buat pembaca namun kredibiliti berita yang disampaikan melaluinya perlu dititikberatkan oleh semua pihak.

Beliau berkata, setiap pengguna boleh mengakses mana-mana portal atau web dengan mudah namun kesan terhadap pembacaan tersebut adalah sangat penting.

"Sebab itu media baharu ini terbahagi kepada dua iaitu web yang menambahkan pengetahuan dan web yang dapat menjatuhkan kedudukan seseorang dalam sekelip mata," katanya.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, media cetak masih lagi mampu bertahan dan tidak akan mati hanya disebabkan oleh kemajuan gajet pada masa kini.

Jelasnya, dari segi laporan dan analisis, masyarakat dilihat masih cenderung untuk memilih media cetak berbanding media baharu disebabkan oleh maklumat terperinci yang dibekalkan buat pembaca.

"Jika ikut sejarah, masa era televisyen dan internet diperkenal sebelum ini, ramai yang berpendapat media cetak akan gulung tikar.

"Namun jika kita lihat pada masa kini, media cetak masih mampu bertahan dan bersaing dengan media baru yang ada,"katanya.


'Datuk Terlajak Laris' luah rasa kecewa

Posted: 09 Oct 2016 03:03 AM PDT

Aliff Syukri
Paparan skrin Facebook milik Pengasas D'Herbs Healthy Sdn. Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
 



IKON usahawan, Pengasas D'Herbs Healthy Sdn. Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman melahirkan kebimbangan dengan keadaan ekonomi yang kian menghimpit dari sehari ke sehari.

Kata Aliff yang dikenali dengan panggilan 'Datuk Terlajak Laris', peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan semua perniagaan mengalami penurunan dari segi jualan.

Aliff yang meluahkan rasa menerusi Facebooknya turut mengakui perniagaannya dalam bidang kecantikan dan kosmetik turut terjejas akibat kenaikan kos sara hidup rakyat.

Lantaran itu, syarikatnya terpaksa berhijrah ke Thailand bagi meneruskan kelangsungan perniagaannya.

"‎Betapa takutnya saya dengan ekonomi negara sekarang. Kos sara hidup melambung tinggi dan bisnes semakin menurun.

"Ini menyebabkan syarikat saya terpaksa berhijrah ke Thailand dan paling mengecewakan nilai mata wang Thailand jauh lebih tinggi dan gaji mereka jauh lebih tinggi," katanya.

Disebabkan itu katanya, agak sukar untuk melihat warganegara Thailand datang bekerja di negara ini berbanding empat tahun lepas.

Menceritakan momen lawatannya ke Australia yang dibuat atas tujuan perniagaan, Aliff berkata, ramai anak Melayu dipandang hina orang masyarakat Australia dek kerana lambakan pekerja Malaysia di sana.

"Orang Malaysia bekerja sebagai buruh kasar yang tidak diiktiraf seperti tukang sapu, pemetik buah dan banyak lagi sehinggakan bila saya memaklumkan saya dari Malaysia, mereka memanggil saya dengan sinis dengan mengatakan saya hanya pekerja ladang.

"Malah sekarang ini ramai pekerja yg terpaksa berniaga kecil-kecilan, sekali gus wujud lebih ramai peniaga kecil dari pembeli. Kalau lebih ramai peniaga dari pembeli, macam mana nak berniaga dan siapa pula yang akan membeli?," soalnya.


Hassan Din tegur ceramah lawak

Posted: 09 Oct 2016 02:55 AM PDT

Hassan Din tegur ceramah lawak
Hassan (kanan) meluangkan masa menandatangani bukunya yang dibeli orang ramai di Masjid Sultan Idris 2, Teluk Intan.


TELUK INTAN - Penganjur majlis ilmu dan tazkirah di masjid atau surau diingatkan supaya tidak ghairah memilih penceramah yang menghiburkan hadiran dengan nyanyian lagu Hindustan.

Pendakwah terkenal, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz berkata, terdapat segelintir penganjur program yang menguar-uarkan mengenai kehadiran penceramah yang pandai berjenaka dan menyanyikan lagu Hindustan bagi menarik orang ramai hadir ke program berkenaan.

"Orang ramai pun datanglah sebab nak dengar ceramah sebab penceramah tersebut pandai membuat lawak dan menyanyi lagu Hindustan dan majlis tersebut dipenuhi dengan gelak ketawa mereka yang hadir.

"Malah terdapat golongan wanita yang hadir pada ceramah tersebut tanpa segan silu ketawa berdekah-dekah sambil bertepuk tampar," katanya ketika memberi ceramah di Masjid Assaadah, Kampung Selabak, sempena sambutan Maal Hijrah.

Hassan Din yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Berhijrah kepada yang lebih baik' turut menasihati penceramah yang menggunakan lawak jenaka dan nyanyian lagu Hindustan supaya memberhentikan tindakan mereka.

"Ia boleh mencemarkan imej Islam kerana menjadi majlis yang sia-sia dipenuhi dengan gelak tawa dan tidak mendapat keberkatan.

"Penganjur juga jangan terlalu ghairah mencari publisiti murahan sehingga sanggup berbuat apa saja yang bercanggah ajaran dan hukum Islam," katanya.

Sementara itu, dalam ceramah berbeza di Masjid Sultan Idris 2 Teluk Intan, malam kelmarin, Hassan Din turut menegur sikap segelintir umat Islam tidak kira lelaki mahupun wanita yang masih bersalaman walaupun bukan muhrim.

"Perkara ini seperti sudah menjadi satu adat bila lelaki dan wanita Islam di negara ini bertemu mereka akan bersalam sedangkan tiada apa-apa hubungan sah terutama melibatkan pemimpin dan rakyat.

"Saya sering perhati bila ada wakil rakyat atau menteri lelaki hadir program dan majlis, wanita Islam berebut bersalam kononnya menghormati pemimpin tersebut," katanya.

Menurut Hassan Din, perbuatan tersebut tetap haram kerana bercanggah dengan ajaran Islam dan mengapa kita membiarkan ia terus berlaku dalam masyarakat hari ini.

"Saya ingin mengajak semua masyarakat Islam supaya berhijrah kepada lebih baik segera dengan meninggalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.


Akar umbi Umno harap dapat 'berjalan' bersama Bersih 5

Posted: 08 Oct 2016 05:23 PM PDT

MALAYSIAKINI


Pergerakan yang mendakwa mereka mewakili akar umbi Umno berkata, bersama-sama dengan empat NGO lain akan menganjurkan perhimpunan aman untuk membayangi perhimpunan Bersih 5.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (Gaum), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perhimpunan mereka akan berada pada masa dan tempat yang sama dirancang BERSIH 5 dengan maklumat lanjut mengenai akan diberikan kemudian.

"Sudah tiba masanya rakyat ditonjolkan dengan budaya demokrasi di mana setiap rakyat Malaysia berhak dan seharusnya dibenarkan untuk bersuara bagi menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu secara terbuka dan tanpa ada apa apa halangan.

Gaum beserta sekutunya akan membawa sekitar 3,000 ahli pada hari perhimpunan tersebut dan akan cuba untuk berbincang dengan pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menyelaraskan pelan tindakan bersama pada hari tersebut, kata Zulkarnain lagi.

"Perancangan awal program ini adalah untuk berarak bersama sama dengan baju kuning bermula di beberapa tempat di antaranya di hadapan bangunan Sogo dan seterusnya bergerak ke Dataran Merdeka.

"Kami berjanji akan berarak secara aman dan turut berharap agar peserta BERSIH sudi berjalan bersama-sama dengan kami semasa perhimpunan tersebut.

"Kami juga turut berharap aga provokasi yang melampau tidak akan berlaku pada masa perhimpunan tersebut diadakan," katanya lagi.

Penyokong Bersih dilempar telur, diterajang di Sabak Bernam

Posted: 08 Oct 2016 05:21 PM PDT

Zikri Kamarulzaman


LIHAT VIDEO DI SINI

Dua lelaki yang memakai baju BERSIH telah dilempar telur oleh peserta baju merah di Sabak Bernam, hari ini.

Kedua-duanya yang menunggang motosikal telah diserang apabila mereka melintasi jalan masuk ke dalam kawasan yang dipenuhi kumpulan baju merah.

Seorang saksi berkata, lelaki berkenaan menghampiri kumpulan baju merah selepas mereka melempar telur dari seberang jalan.

Bagaimanapun, polis berkata, lelaki itu mahu pulang ke rumah dan memutuskan untuk menggunakan jalan yang dipenuhi oleh kumpulan baju merah.

Selepas menghampiri kumpulan baju merah itu, seorang lelaki telah berundur tetapi seorang lagi yang mana motosikalnya ditolak, berdiri dan dilempar dengan telur.

Seorang peserta baju merah kemudian menendang dari belakang sehingga menyebabkan beliau terbaring ke atas jalan raya.

Seorang pegawai polis kemudian mecelah menerusi orang ramai bagi membantu peserta BERSIH tersebut.

Lelaki itu kemudian ditendang buat kali kedua oleh individu lain dari belakang ketika pegawai polis sedang meminta semua pihak agar bertenang.

Kemudian lelaki itu diiringi untuk meninggalkan tempat kejadian selepas itu pemimpin baju merah Datuk Seri Jamal Md Yunos muncul dan meminta pengikutnya untuk mengangkat motosikal mangsa.

Jamal kemudiannya secara peribadi menyerahkan kembali motosikal itu kepada polis.

Semalam, seorang pemimpin Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memberi amaran untuk menyekat konvoi BERSIH bagi memasuki Selangor.

Katanya, sekatan itu akan dibuat atas alasan bagi menghormati hari pemasyhuran Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai raja muda Selangor.

"Tetapi apabila mereka melintasi (sempadan Selangor), tidak menghormati hari pemasyhuran, kita tidak akan teragak-agak untuk menghalang puak-puak mengarut ini daripada terus berjalan di negeri Selangor.
"Cukuplah BERSIH, kita akan jumpa anda di tiga tempat yang anda nyatakan, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang.

"Kita tunggu anda di sana," katanya seperti dilaporkan KiniTV.

BERSATU tetap positif jalin kerjasama dengan PAS

Posted: 08 Oct 2016 05:10 PM PDT

Shakira Buang


LIHAT VIDEO DI SINI

Tun Dr Mahathir Mohamed tetap positif untuk meneruskan perbincangan bersama PAS meskipun parti Islam itu menolak kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang yang menjalin hubungan dengan DAP.

Ini kerana, tegas Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, PAS sebelum ini telah sekian lama menjalin hubungan dengan parti-parti pembangkang itu.

Malah, bekas pemimpin veteran Umno itu berkata, kemenangan PAS di kebanyakan kerusi yang dimenangi parti Islam itu juga dibantu oleh rakan komponen Pakatan Harapan itu.

"Ini adalah sangat menyedihkan (penegasan PAS tolak kerjasama dengan pembangkang) tetapi seperti mana yang kita PAS sebelum bekerjasama dengan DAP dan PAS dipilih serta mendapat sokongan ahlinya juga kerana DAP dimana pengundi Cina membantu PAS untuk menang dikawasan majoriti pengundi Cina.

"Saya berharap kita akan dapat mengadakan pertemuan dengan PAS untuk menjelaskan jika mereka tidak bersama kita dalam pilihan raya mereka sebenarnya akan membantu kerajaan untuk menang sebab mereka akan kehilangan banyak kerusi," kata Mahathir ketika menghadiri sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa parti-parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengan PAS mesti meninggalkan DAP sebelum rundingan boleh diadakan.

"Realitinya adalah DAP masih menentang perjuangan Islam PAS.

"Oleh itu, dasar semasa PAS adalah untuk menolak DAP dan semua pihak yang bekerjasama dengan DAP," katanya dalam satu kenyataan, demikian menurut satu laporan dalam Harakah Daily.

Oleh itu, Nasruddin berkata persamaan yang mudah untuk pihak-pihak yang mahu bersama dengan PAS adalah untuk meninggalkan DAP dan mematuhi syarat yang mudah - menghormati perjuangan teokratik parti.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas apakah BERSATU akan meneruskan kerjasama itu sedangkan mereka menentang hudud, ini jawab Mahathir:

"Ada perbezaan antara kita, tetapi jika kita menekankan perbezaan, kita tidak akan boleh bekerja bersama-sama.

"Oleh itu, jika kita mahu bekerjasama untuk menukar kerajaan yang sangat kuku besi dan tidak liberal kita harus mengendalikan masalah ini bersama-sama," ujar Mahathir lagi.

PRU14: Pertarungan hidup mati siapa?

Posted: 08 Oct 2016 04:55 PM PDT


 
Oleh Lim Hong Siang


PRU13 adalah peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan. Kenyataan ini masih dan tetap saya yakini sama ada sebelum, mahupun selepas 5 Mei 2013. "Ini kali-lah," terlepasnya peluang keemasan ini, bermakna sejarah berlalu begitu sahaja dari sisi kita. Untuk menemu semula detik saat sebegini, kita kena tunggu "Lain kali-lah".

Biar berterus-terang dalam realiti politik. "Kuasa" yang menyatukan parti pembangkang. Berkecainya harapan menawan Putrajaya, maka berpecahlah parti pembangkang. Selangor jawapan terbaik untuk menguji teori ini. Apakah PAS yang berdendam dengan DAP boleh duduk semeja di Selangor, andainya bukan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri?

Justeru itu, selagi harapan menawan Putrajaya tidak cerah untuk pembangkang, agak mustahil DAP, PAS, AMANAH, PKR dan BERSATU kembali ke meja rundingan dan mencapai muafakat. Perkembangan hari ini bakal memberi kesan terhadap keputusan PRU14, namun ramalan terhadap PRU14 juga sedikit sebanyak menentukan perkembangan sekarang. Apapun terjadi, PRU14 tetap satu titik penting dalam sejarah politik Malaysia.

PRU terakhir Anwar dan Mahathir

PRU14 adalah PRU terakhir untuk Anwar Ibrahim. Anwar jatuh sebagai orang kedua di tangga kuasa pada tahun 1998, sempat kembali pada tahun 2008, di usia 61 tahun.

PRU13 adalah cubaan terakhir Anwar untuk bangkit ke puncak hayat politiknya, namun digagalkan oleh sistem pilihan raya yang memenangkan parti 47 peratus. Pandangan pesimis mengandaikan nyawa politik Anwar terkubur, setelah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, kerana beliau hilang kelayakan untuk bertanding, barangkali untuk dua penggal.

Dengan andaian PRU14 dan PRU15 berlangsung pada tahun 2018 dan 2023, apa yang tinggal untuk tokoh yang dilahirkan pada tahun 1947 ini?

Anwar sudah hampir pasti tidak boleh bertanding dalam PRU14, tetapi susuk tubuh ini tetap relevan, memandangkan tiada tokoh yang seiring pengaruh dan wibawanya untuk diterima parti pembangkang mahupun rakyat secara umum buat masa kini.

Anwar sering dipersalahkan ketika di luar penjara, namun rakyat mula sedar betapa sukarnya pembangkang bergerak tanpa Anwar selepas 10 Februari 2015. Dari segi teknikalnya, Anwar hanya disekat undang-undang, yang boleh diatasi seandainya senario politik berubah dalam PRU14.

Namun, jikalau keputusan PRU14 tidak melonjakkan pembangkang ke mana, malah kedudukan BN semakin selesa dengan peratusan kerusi yang dipegang, maka masa depan Anwar akan menjadi semakin malap. Begitu juga dengan musuh ketat yang bersalaman dengan Anwar selepas 18 tahun, Mahathir Mohamad, PRU14 adalah peluang terakhir tokoh berusia 91 tahun ini menumbangkan Najib.

Mahathir pernah berjenaka bahawa dirinya hanya mampu menjenguk Malaysia "dari atas" pada tahun 2020, sama ada Malaysia berjaya merealisasikan wawasan sebagai negara maju atau tidak. Kira-kira tiga tahun sahaja yang menjarakkan kita dengan 2020, namun politik tempatan nampaknya belum lagi terlepas dari genggaman beberapa tokoh veteran.

Najib Razak, 63, masih mampu bertahan untuk melanjutkan hayat politiknya selagi skandal 1MDB tidak berkembang di luar kawalannya. Peranan Mahathir menjadi tumpuan di sini bukan kerana diktator pencen ini telah dinobatkan sebagai ikon reformasi, cuma seandainya pengasas Umno Baru yang tebal dengan keMelayuannya itu pun gagal meyakinkan masyarakat Melayu untuk menyingkirkan Najib, maka siapa lagi yang mampu menggalas dan menyempurnakan misi sedemikian?

Kedua-dua orang Mahathir dan Anwar melambangkan generasi dan zaman masing-masing. Pergelutan dua tokoh ini selama 18 tahun mencorakkan politik tanahair. Ada yang menyifatkan perbalahan politik ini sebagai konflik generasi, pertembungan dua paradigma politik yang berbeza - di mana Anwar mencabar autoritarian Mahathir dengan tuntutan Reformasi.

Hakikatnya, reformasi sistem negara tidak pernah sempurna, sejak dilanda kemelut ekonomi 1997, disusuli kemudian dengan krisis kewangan 2008.

PRU pertama AMANAH & BERSATU

Baik reformasi mahupun transformasi, laungan slogan ini gagal menyelesaikan beberapa konflik yang timbul. Bukan sahaja sistem negara tidak dirombak, malah sistem parti politik pun gagal berfungsi seiring langkah peredaran zaman. Kemunculan AMANAH dan BERSATU, misalnya, adalah manifestasi bagaimana konflik parti gagal diselesaikan melalui saluran dalaman.

Maka serpihan keluar dan menubuhkan parti baru, memasuki gelanggang yang direka untuk menindas parti baru yang kecil. AMANAH telah diuji dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sepanjang tempoh setahun ditubuhkan.

Loceng amaran berbunyi - sungguhpun saf pimpinan Amanah adalah pemimpin garis kedua yang terunggul dalam parti lama mereka, PAS, namun penghijrahan mereka tidak diikuti penyokong akar umbi secara berpusu-pusu. Lantaran itu, mereka berdepan dengan masalah jentera di akar umbi.

Tidak realistik untuk menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap AMANAH dalam PRU14. Cabarannya, adakah AMANAH mampu mengekalkan enam kerusi parlimen dan tujuh kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dimenanginya dengan tiket PAS dalam PRU13?

Apakah penyandang kerusi ini mampu menang, andainya terpaksa memasuki gelanggang untuk perang tiga penjuru?

Andainya senario terburuk berlaku, di mana AMANAH gagal mempertahankan kebanyakan kerusi yang disandangnya, apakah langkah seterusnya?

Adakah kembali ke pangkuan PAS menjadi pilihan yang boleh dipertimbangkan, setelah hubungan kedua-dua pihak dirobek sebagaimana yang kita saksikan setahun lalu?

Bagaimana pula dengan reaksi rakan sekutu AMANAH, dan juga penyokongnya? Apakah kredibiliti pemimpin AMANAH akan terhakis?

PRU14 juga gelanggang pertarungan pertama BERSATU. Berbanding AMANAH, BERSATU nampaknya lebih tidak bersedia untuk perjuangan jangka panjang, dari persepsinya. Ia bermula dengan matlamat untuk menumbangkan Najib, dan dijangka kembali ke pangkuan Umno selepas perjuangannya selesai.

PKR sekurang-kurangnya diasaskan sebagai parti berbilang kaum, sungguhpun lahir di celah-celah retakan Umno. AMANAH setidak-tidaknya cuba menawarkan hujah yang berbeza, dalam penafsiran Islamnya berbanding PAS. Kedua-dua parti ini berusaha menyesuaikan diri untuk politik masa depan.

Namun BERSATU mencungkil pertikaian sebaik sahaja membuka tirai, apabila ahli bukan bumiputeranya tidak diberi hak mengundi dan bertanding untuk jawatan parti. Sekatan ini menambat langkahnya untuk pergi lebih jauh dalam politik Malaysia, dan rata-rata hanya menerima BERSATU sebagai strategi untuk memecahkan undi Umno. Realiti ini membuatkan PRU14 penting untuk BERSATU - guling tikar jikalau misinya gagal.

PAS, DAP dan PKR?

Jadi, bagaimana pula dengan PAS, DAP dan PKR? PAS hampir pasti akan tewas dalam PRU14, dengan penolakan pengundi bukan Melayu. Namun itu bukan pertimbangan utama Presidennya Haji Hadi Awang dan pemimpin yang sewaktu

dengannya. PAS dijangka berdepan dengan konflik yang sengit antara saf pimpinan dengan akar umbinya selepas PRU14.

PAS boleh memilih untuk bekerjasama dengan Umno, namun pimpinannya perlu bersedia untuk berdepan dengan penolakan sesetengah akar umbinya, yang berdekad-dekad menentang Umno, sehingga ada yang putus hubungan dengan saudara-mara berkeahlian Umno.

Jikalau PAS memilih untuk bersendirian, maka muktamar seterusnya akan menjadi medan untuk bermuhasabah - mengapa prestasi PAS merudum dalam PRU14? Namun ia mungkin sedikit terlambat.
Jikalau saf pimpinan sedia ada perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan tersebut, siapa pula penggantinya, memandangkan kebanyakan pemimpin garis kedua telah masuk AMANAH?

DAP nampaknya paling selesa kedudukannya di kalangan parti pembangkang. Jikalau dibuat perkiraan kasar, persempadanan semula, sungguhpun tidak menambah kerusi untuk dimenangi DAP, tetapi kerusi yang dimenangi DAP menjadi lebih "selamat", dengan pemindahan pengundi bukan Melayu ke kawasannya.

Setakat ini, tiada petanda yang menunjukkan bahawa pengundi Cina akan beralih kepada BN dalam PRU14, tetapi ada simptom-simptom menunjukkan peratusan pengundian Cina bakal merosot, lantaran kekecewaan terhadap apa yang berlaku pada hari ini.

Padahal, DAP sudah tepu kemenangannya dalam PRU13, dan agak mustahil untuk melonjak dalam PRU14. Cuma, DAP juga berdepan dengan tekanan penyokong tradisionalnya - apa yang boleh DAP lakukan dengan mandat sebegitu besar?

Pengundi yang "pragmatik" akan berdepan dengan dilema - sama ada memilih pembangkang terbesar yang lantang suaranya, ataupun memilih parti komponen pemerintah yang kecil, tetapi mempunyai sedikit kuasa pentadbiran?

PKR yang berusia 17 tahun sekarang masih kurang mantap, berbanding parti yang lain. Parti ini hampir lemas pada tahun 2004, selepas gelombang Reformasi menyurut. PKR tidak menampilkan imej agama mahupun kaum, tetapi ideal perjuangan dengan nilai keadilan, demokrasi dan kebebasan, sukar berfungsi untuk menggembleng massa. Maka ditekankannya "inklusif", merangkumkan sesiapa sahaja yang menyokong Reformasi, yang hakikatnya membuka ruang untuk diambil kesempatan oleh oportunis.

Parti ini paling banyak melahirkan "katak" selepas PRU12, sebelum dikawal dengan tapisan yang lebih rapi dalam PRU13, itupun gagal menghalang apa yang berlaku di Sabah baru-baru ini. Lebih baik kita bersedia, andainya pembangkang hilang kerajaan negeri Selangor dalam PRU14, apakah PKR masih mampu bertahan?

Tanpa kuasa dan sumber sebagai faktor penyatu, apakah kita akan menyaksikan lompatan katak selepas itu? Dan jikalau ia berlaku, sudah tentu ia memberi impak yang besar kepada politik Malaysia, kerana suka atau tidak, PKR adalah parti berbilang kaum yang paling berjaya di Malaysia buat setakat ini.

Demikianlah senario-senario yang mungkin berlaku, dengan beberapa andaian dan analisis, yang agak negatif terhadap masa kini. Cuma politik adalah seni yang memungkinkan mustahil. Ia bukan statik tetapi dinamik. Masa depan hanya akan berubah seandainya perubahan dilakukan sekarang.

Kalaupun gagal ditambahbaik situasinya, sekurang-kurangnya cubalah menghalangnya daripada menjadi sesuatu yang lebih teruk.

Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?

Shafie Sedia Bantu Siasatan Kes Rasuah Di Sabah

Posted: 08 Oct 2016 04:52 PM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Shafie Apdal.
Mohd Shafie Apdal.
 
 
PETALING JAYA: Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedia membantu siasatan berhubung kes salah guna dana projek infrastruktur di Sabah bernilai RM3.3 bilion.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau tidak akan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan projek berkenaan disalurkan menerusi kementerian di bawahnya sebelum ini kerana tidak mahu menganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya lebih daripada bersedia untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun Shafie menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mengaitkan projek berkenaan dengan kementerian di bawahnya sebelum ini adalah tidak wajar berikutan siasatan SPRM masih berjalan.

"Adalah sesuatu yang lucu dan membingungkan apabila pihak berkuasa negeri dalam keadaan tergesa-gesa membuat pengakuan bahawa mereka tidak bersalah dan meletakkan kesalahan itu ke atas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa siasatan SPRM masih berjalan.

"Membuat kenyataan seumpama itu secara terbuka menunjukkan pihak berkuasa negeri tidak menghormati mahupun yakin terhadap proses siasatan SPRM," katanya.

Pada Jumaat, Pairin berkata, sejumlah RM3.3 bilion projek persekutuan adalah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang bukan dikendalikan Kementerian Pembangunan Infrastruktur yang diterajuinya.

Selasa lalu, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah itu sebuah agensi kerajaan di Sabah kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 billion sejak 2010.

Shafie menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu sehingga 2015, selepas digugurkan dari Kabinet.

Pairin berkata, peruntukan bagi projek itu disalurkan terus kepada Jabatan Air Sabah sebagai agensi pelaksana tanpa pengetahuan kementeriannya.

Pada Rabu lalu, dilaporkan jumlah wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua pegawai kanan itu meningkat kepada RM52 juta, selain RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan.

Selain wang tunai dan kereta mewah, barang kemas dan jam mewah serta geran tanah, turut dirampas adalah 94 beg tangan pelbagai jenama milik isteri kepada salah seorang suspek bernilai kira-kira RM500,000.

Rasuah Sabah: 60 Sen Masuk Poket Bagi Setiap RM1

Posted: 08 Oct 2016 04:46 PM PDT

Oleh: MUGUTAN VANAR DAN RUBEN SARIO


 


KOTA KINABALU: Mengejutkan apabila 60 sen bagi setiap RM1 yang diperuntukan kerajaan Pusat untuk projek air telah dimasukkan ke poket individu yang tidak bertanggungjawab.

Pegawai kanan kerajaan negeri di sini memberitahu, hanya 40 peratus daripada dana bagi menyalurkan kemudahan air di Sabah diterima , manakala selebihnya disalahguna.

Penjawat awam yang maklum berhubung siasatan terhadap dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah itu berkata, skala rasuah melibatkan kedua suspek itu melibatkan terlalu besar kerana membabitkan dana awam mencecah RM3.3 bilion bagi projek di negeri itu sejak 2010.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Talib, 54 dan timbalannya, Teo Chee Kong, 52 melibatkan rampasan mencecah RM115 juta  termasuk wang tunai RM52 juta yang ditemui di kediaman dan pejabat.

Dua lagi melibatkan abang Chee Kong yang berusia 55 tahun dan bergelar Datuk serta akauntan  turut ditahan pada Selasa.

Kes ini adalah antara yagn terbesar melibatkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan  dan pengubahan wang haram.

Difahamkan, proses tender ditetapkan untuk syarikat proksi pada kadar yang lebih tinggi.

Modus operadi yang dilakukan adalah dengan memecahkan projek kepada pakej kecil sehingga RM100,000 bagi mengelak proses tender.

Langkah ini dilakukan kerana pengarah dan timbalannya layak menandatangani projek kurang RM100,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan sebanyak 38 syarikat milik keluarga dan rakan kedua-dua suspek terlibat.

Difahamkan, 17 syarikat mempunyai kaitan langsung dengan pengarah jabatan itu, manakala 21 lagi timbalannya.

Syarikat berkenaan dikatakan digunakan untuk mengambil bahagian untuk mendapatkan tender projek berkenaan.

Tindakan tidak berintegriti ini dikatakan telah berlangsung sejak lima tahun lalu dengan jumlah semakin meningkat setiap tahun.

Sumber SPRM berkata, seramai 40 saksi di kalangan pegawai Jabatan Air yang terlibat memproses kontrak dan kontraktor akan dirakamkan keterangan mereka.

Pasukan khas melibatkan 70 anggota SPRM dibentuk bagi merekodkan keterangan saksi dan mengimbas dokumen serta penyaluran wang habuan.

Dua suspek utama itu juga akan diarah mengisytiharkan harta masing-masing mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 supaya siasatan lebih terperinci melibatkan kekayaan mereka dikesan.

Setakat ini, SPRM menemui wang tunai RM57 juta di pejabat dan kediaman, selain RM60 juta di peti simpanan di bank, selain barang kemas seberat 19 kilogram yang nilainya mencecah RM3.64 juta, 97 beg tangan berjenama bernilai RM500,000 milik isteri pengarah terlibat.

Selain itu, 127 geran hak milik tanah atas nama timbalan pengarah juga ditemui.

SPRM juga sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menjejak wang yang disimpan di beberapa bank di luar negara.

Teresa Kok fail semakan kehakiman batalkan perintah naikkan caj parkir

Posted: 08 Oct 2016 04:41 PM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


Teresa-Kok


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohd Yusof Abdul Rahman memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan perintah menaikkan caj parkir.

Kok dan Mohd Yusof memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan S.N. Nair & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Mereka selaku pemohon menamakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam afidavit sokongannya, mereka menuntut satu deklarasi bahawa kenaikan caj parkir yang dikenakan adalah terlampau dan tidak munasabah, terlampau tinggi dan membebankan orang ramai.

Selain itu, mereka mendakwa kenaikan caj dilaksanakan oleh responden juga telah gagal mengambil kira keadaan sistem pengangkutan awam yang masih belum sempurna dan tidak meliputi kebanyakan kawasan terutamanya di pinggir bandar.— BERNAMA

2 rakyat Malaysia ditahan bersama 20kg dadah di Palembang

Posted: 08 Oct 2016 04:38 PM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


ampera_bridge_palembang


JAKARTA — Polis menahan dua rakyat Malaysia dan merampas 20 kilogram dadah jenis syabu dalam serbuan ke sebuah rumah kedai di Bukit Kecil, Palembang di Sumatera Selatan semalam.

Media-media dalam talian hari ini memetik Ketua Polis Sumatera Selatan Djoko Prastowo sebagai berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis Markas Besar dari Jakarta dan Polis Sumatera Selatan mengekori kedua-dua lelaki terbabit dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang.

Katanya kedua-dua lelaki berumur 27 dan 22 tahun terbabit dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa dari Malaysia dan memasuki ke negara republik itu bagi tujuan pengedaran dadah.

Beliau berkata, setelah kedua-dua lelaki terbabit menginap di sebuah rumah kedai tidak jauh dari kota Palembang itu pada kira-kira pukul 10 pagi, polis terus membuat serbuan dan menahan mereka untuk membantu siasatan.

Setelah membuat pemeriksaan badan dan bagasi, polis menemui 20 kilogram dadah jenis syabu yang dipercayai dibawa masuk dari Malaysia.

Djoko berkata kes itu diserahkan kepada Markas Besar Polis di Jakarta dan kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Jakarta bagi siasatan lanjut.–Bernama

Penyokong Palanivel tubuh parti baru?

Posted: 08 Oct 2016 04:36 PM PDT

INTAN NUR IDAYU


p_20161008_111247


KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri G. Palanivel akan mengadakan mesyuarat bersama dengan semua Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan MIC pada 15 Oktober ini bagi menentukan langkah seterusnya sama ada wujud keperluan untuk menubuhkan parti baru ataupun tidak.

Menurut wakil kumpulan tersebut  A.K. Ramalingam, ini adalah ekoran daripada perbincangan antara Datuk S. Sothinathan dengan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang sehingga kini masih belum mencapai sebarang kata putus.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Sothinathan adalah pada dua minggu yang lalu dan katanya beliau masih menunggu surat bertulis daripada pihak Dr Subramaniam untuk nyatakan yang pihak mereka setuju dengan syarat-syarat kita untuk kembali semula ke MIC.

"Tetapi sampai sekarang kita tak ada terima sebarang surat. Jadi, kita nak buat macam mana lagi?

"Sebab itu kita rancang nak tubuhkan parti baru tetapi apa-apa pun kita tunggu dulu hasil mesyuarat kita pada 15 Oktober ini," katanya kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Tegas beliau lagi, sama ada parti baru yang dirancang mereka itu akan menyokong Barisan Nasional (BN) ataupun pembangkang, ia masih belum ditentukan.

"Kita serahkan kepada Ketua Bahagian dan Cawangan untuk tentukan pada mesyuarat minggu hadapan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan tentang kes rayuan yang dibuat oleh penyokong Palanivel terhadap lapan orang 'rakan subahat' Dr Subramaniam baru-baru ini mengenai kes konspirasi e-mel yang mana Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan untuk menolak kes tersebut.

"Kali ini, kita buat rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya supaya kes ini dibawa semula ke Mahkamah Tinggi.

"Saya difahamkan Mahkamah Rayuan tidak menolak kes yang dibawa oleh kita ini dan kita harap kita boleh semula kes ini ke Mahkamah Tinggi," jelas Ramalingam.

Beliau turut menyatakan mahkamah masih belum menetapkan sebarang tarikh berhubung kes rayuan yang baru dibawanya ini.

Sebelum ini, lapan orang penyokong Palanivel telah memfailkan saman terhadap lapan orang 'rakan subahat' Dr Subramaniam termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana mendakwa wujud konspirasi e-mel antara pihak Dr Subramaniam dengan ROS berhubung isu pemilihan semula parti pada   2013.

Mahkamah bagaimanapun telah menetapkan tidak ada salah laku yang berlaku.

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT