Sabtu, 15 Oktober 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Wakil rakyat Muslim tak payah layan Harussani, kata Zairil

Posted: 15 Oct 2016 07:18 AM PDT

 
Beliau turut memetik kenyataan mufti Pulau Pinang yang Akta 355 bukan undang-undang Tuhan.


Harussani


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menolak pengisytiharan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang ahli Parlimen wajib mengundi rang undang-undang hudud yang akan dibahaskan pada sidang Parlimen akan datang.

Zairil berkata pandangan Harussani itu bukan muktamad berhubung perkara itu.

"Ada mufti lain yang berpandangan lain. Harussani ada hak untuk menyuarakan pendapatnya, tetapi ia tidak mengikat sesiapa," katanya kepada FMT.

Zairil turut memetik pandangan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor.

Wan Salim sebelum ini berkata Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bukan "undang-undang Tuhan".

Harussani sebelum ini dalam kenyataannya merujuk cadangan pindaan terhadap undang-undang itu yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi rang undang-undang (RUU) persendirian dan berkata beliau mahu melihat ia dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Harussani menyeru semua ahli Parlimen beragama Islam di seluruh negara menyokong RUU itu, berkata ia "wajib" ke atas Muslim untuk berbuat demikian.

Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dalam reaksinya menyifatkan Harussani sebagai
pemimpin Islam yang emosi dan jahil.

"Beliau belum pun baca rang undang-undang itu, jadi bagaimana beliau tahu apa isi kandungannya? Rang undang-undang belum disediakan pun.

"Belum ada rang undang-undang lagi, hanya usul. Menteri perlu menjelaskan usul itu.

"Jika usul itu hendak memperkenalkan undang-undang Islam, maka Parlimen perlu menolak kerana undang-undang Islam bukan dalam bidang kuasa Parlimen. Ia perkara berkaitan sesebuah negeri," kata bekas menteri Umno itu kepada FMT hari ini.

RUU dibawa Hadi itu dilihat sebagai cubaan untuk membolehkan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan, negeri ditadbir PAS.

PAS bidas Zairil pemimpin tidak faham Islam

Posted: 15 Oct 2016 07:16 AM PDT

 
Khairuddin berkata, gesaan mufti Perak itu perlu disambut baik, memandangkan ia adalah tanggungjawab agama dan perlu difahami semua ahli Parlimen Islam.


Datuk Khairuddin Aman Razali


PETALING JAYA: PAS hari ini menyifatkan wakil rakyat DAP, Zairil Khir Johari sebagai pemimpin tidak memahami Islam kerana sanggup menentang Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali juga meminta semua pihak tidak melayan kenyataan ahli Parlimen Bukit Bendera itu yang menolak gesaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kepada ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong RUU 355 yang akan dibahaskan pada sidang Parlimen bermula Isnin ini.

"Pandangan Zairil yang menolak pandangan agama yang dikeluarkan Mufti Perak usah dilayan, kerana dia tidak memahami hukum Islam," katanya kepada FMT.

Semalam, naib pengerusi DAP Pulau Pinang itu dilaporkan berkata, umat Islam tidak wajib menyokong RUU 355 kerana ia bukan "hukum Tuhan" dan bukan semua mufti bersetuju dengannya.

Kelmarin, Harussani berkata, beliau berharap RUU 355 yang diusulkan presiden PAS itu bukan sahaja diluluskan di Kelantan, tetapi untuk seluruh Malaysia.

Rabu lalu, Harussani dilaporkan berkata, "wajib" untuk umat Islam, termasuk ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira perbezaan politik menyokong RUU itu dan ia adalah "salah" jika mereka tidak menyokong rang undang-undang itu.

Khairuddin berkata, gesaan Harussani itu perlu disambut baik, memandangkan ia adalah tanggungjawab agama dan perlu difahami semua ahli Parlimen Islam.

"Akta 355 sedia ada tidak memberikan hak sebenar kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman kepada 3 kesalahan jenayah, iaitu jenayah minum minuman memabukkan, jenayah menuduh orang Islam berzina tanpa bukti dan jenayah persetubuhan haram.

"Akta 355 menetapkan hukumannya ialah maksimum 3 tahun penjara atau RM5,000 denda atau sebat 6 sebatan, sedangkan ketiga-tiga kesalahan itu hukumannya dalam Islam ialah dirotan dengan rotan kecil yang tidak melukakan kulit, apatah lagi isi," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, hukuman sebat yang diamalkan mahkamah sivil lebih menyakitkan dan bercanggah dengan Islam.

"Maka menjadi kewajipan kepada ahli Parlimen Islam untuk mengubah dan meminda Akta 355 kepada teks, sebagaimana dicadangkan ahli Parlimen Marang, iaitu Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman menurut undang-undang Syariah," katanya.

Amanah akan terus pujuk PAS, kata Mat Sabu

Posted: 15 Oct 2016 07:11 AM PDT

 
Presiden Amanah itu berkata, PAS penting dalam pembentukan pakatan pembangkang yang bersatu


Mat Sabu


PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan terus memujuk PAS untuk membentuk gabungan pembangkang bagi mencabar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata presiden Amanah.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, adalah penting untuk PAS berada dalam gabungan pembangkang, walaupun pemimpin parti Islam itu enggan bekerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, partinya sudah mengadakan perbincangan dengan PAS dan DAP mengenai perpaduan di kalangan pembangkang dan akan meyakinkan parti Islam itu menyertai gabungan mereka.

Katanya, kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sebelum ini yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP lagi dan rela berdepan pertandingan 3 penjuru pada PRU14, hanyalah pendapat peribadinya.

"Kami akan menawarkan tangan kami kepada PAS, sama ada mereka mahu menerima atau tidak terpulang kepada mereka," katanya dilaporkan NST Onlie selepas menghadiri persidangan Pakatan Harapan Kedah, hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Harapan akan berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengenai pertandingan satu lawan satu menentang BN.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti pembangkang dijangka memuktamadkan perbincangan berhubung pembahagian kerusi menjelang akhir tahun ini.

Air pasang besar: 75 keluarga di Selangor dipindahkan

Posted: 15 Oct 2016 07:04 AM PDT

 
Sebuah pusat penempatan mangsa banjir dibuka di Klang, manakala 2 lagi di Sabak Bernam.


Penduduk Kapar dipindahkan, elak air pasang besar


SHAH ALAM: Seramai 312 orang daripada 75 keluarga mula berpindah ke 3 pusat penempatan mangsa banjir di seluruh Selangor, setakat 6 petang tadi, sebagai langkah awal menghadapi fenomena air pasang besar.

Jurucakap bilik gerakan bencana Selangor berkata, 3 pusat penempatan berkenaan adalah 1 di Klang, manakala 2 lagi di Sabak Bernam.

"Di Klang, 179 orang daripada 40 keluarga mendaftar di pusat penempatan Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, Kapar.

"Bagi daerah Sabak Bernam pula, Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar menempatkan 111 orang daripada 31 keluarga, manakala Dewan Orang Ramai Kampung Parit Baru menempatkan 22 orang daripada 4 keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, jumlah mangsa dijangka meningkat menjelang tengah malam ini dan awal pagi esok, berikutan air laut diramal meningkat sehingga 5.7m, kira-kira 6 pagi esok.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bencana Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku esok hingga Rabu ini dengan kenaikan paras air laut mampu mencecah ketinggian 5.6m hingga 5.7m.

Peningkatan paras air laut berkenaan boleh menyebabkan beberapa tempat di sekitar pesisir pantai, termasuk kawasan rendah berisiko dilanda banjir.

PKR: Jangan guna bajet ‘umpan’ rakyat berbelanja lebih

Posted: 15 Oct 2016 07:04 AM PDT

 
Sim berkata, potongan cukai eksais dan tawaran pinjaman perumahan ialah dasar berpandangan pendek yang membebankan rakyat, selain berisiko mencetuskan krisis ekonomi dalam jangka panjang.


Sim Tze Tzin


PETALING JAYA: PKR mengingatkan kerajaan supaya menghindari langkah "mengumpan" rakyat berbelanja lebih menerusi Bajet 2017.

Sim Tze Tzin bimbang dengan desas-desus kerajaan akan menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan pengguna berbelanja lebih, seperti potongan cukai eksais kepada pembeli kereta pertama dan pemaju menawarkan pinjaman untuk melonjakkan jualan rumah.

Beliau menyifatkan dasar itu berpandangan pendek dan akhirnya akan membebankan rakyat, selain berisiko mencetuskan krisis ekonomi dalam jangka panjang, kerana hutang isi keluarga di Malaysia sudah mencecah 89.1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada 2015.

"Kita harus mengambil iktibar daripada krisis subprima yang melanda Amerika Syarikat pada 2008. Krisis itu diakibatkan perbelanjaan dan pinjaman berlebihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah strategi PKR itu berkata, kerajaan perlu menurunkan harga kereta secara menyeluruh untuk memanfaatkan semua rakyat, bukannya memperkenalkan dasar yang akan memutarbelitkan pasaran kereta.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, potongan cukai terhad kepada pembeli kereta pertama untuk tempoh 1 atau 2 tahun akan mewujudkan permintaan buatan yang menyebabkan pengguna tidak memerlukan kereta diumpan berbelanja dan terpaksa menanggung pinjaman.

Katanya, PKR mahu penurunan harga kereta selama-lamanya supaya rakyat tidak perlu risau tentang harga kereta dan mempunyai wang untuk tujuan lain seperti pendidikan, kesihatan dan makanan.
"Model ekonomi seperti ini lebih sihat berbanding rangsangan jangka pendek."

Sim berkata, cadangan membenarkan pemaju memberi pinjaman kepada pembeli rumah juga tidak munasabah, kerana masalah sekarang ialah harga rumah melambung tinggi.

"Bank-bank kita mempunyai dana mencukupi untuk memberikan pinjaman perumahan, tetapi menolak banyak permohonan kerana enggan menanggung risiko tinggi, di mana pinjaman terlalu besar dijangka tidak mampu dibayar sesetengah pemohon.

"Sebaliknya, jika kita membina lebih banyak rumah mampu milik, pembeli rumah tidak akan menghadapi masalah pinjaman kerana pinjaman yang diperlukan lebih kecil, maka akan diluluskan bank," katanya sambil menambah harga rumah di Singapura lebih murah berbanding Hong Kong, kerana 80% rumah rakyat dibina kerajaan.

"Perkara ini harus dikaji kerana di Malaysia, hampir semua rumah kita dimajukan pihak swasta dan ini menjadi salah satu faktor harga rumah mahal."

Bajet 2017 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober ini.

Wartawan ‘dikasari’ dalam kekecohan anti Bersih

Posted: 15 Oct 2016 07:01 AM PDT

 
Empat wartawan diganggu dan dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video dalam kekecohan itu. VIDEO INSIDE
 
 
bersih


PETALING JAYA: Pergelutan dilaporkan tercetus antara penyokong politik, hari ini, dan beberapa wartawan dipercayai dikasari apabila konvoi Bersih melalui Kuala Selangor, petang tadi.

Malaysiakini melaporkan, beberapa wartawan diganggu dan dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video dalam kekecohan itu.

Seorang wartawan Malaysiakini ditumbuk di bahu, manakala seorang jurugambar video dan wartawan wanita The Star dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video.

Seorang lagi wartawan lelaki dikasari ketika cuba membantu rakannya.

Menurut laporan itu, seorang penyokong Bersih turut diganggu selepas beliau berjabat tangan dan memeluk Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah.

Seorang lelaki yang muncul di sebelah Armand kemudiannya menjerit "Jangan ganggu orang Tanjung Karang" dan meminta gambar tidak dirakamkan.

Anggota polis berhampiran segera menghentikan kekecohan itu dan menggesa kumpulan penyokong lawan bersurai.

Terdahulu pada tengah hari tadi, konvoi Bersih berarak secara aman di Sekinchan dan mengedarkan risalah di beberapa lokasi.

LIHAT VIDEO DI SINI

Bekas Exco Pemuda Umno keluar parti

Posted: 15 Oct 2016 05:03 AM PDT

Bekas Exco Pemuda Umno keluar parti
Mohd Rafiq (duduk, tengah) dalam sidang media hari ini. - Foto Sinar Harian


AMPANG - Bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen yang sebelum ini digantung keahliannya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat dalam sidang media di sebuah hotel di sini yang turut disertai 28 bekas pemimpin cawangan Umno juga mengumumkan keluar parti.

Menurut Mohd Rafiq, keputusan tersebut dibuat mereka setelah hilang kepercayaan terhadap Umno dam kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami yakin telah ramai ahli dan kepimpinan Umno terutama di akar umbi hilang kepercayaan kepada Umno kerana matlamat perjuangan yang tidak lagi meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

"Pengumuman ini selaras dengan cabaran beberapa pemimpin Umno meminta ahli yang tidak lagi menyokong Presiden Umno agar segera tinggalkan parti," katanya.

Menurut beliau, ahli-ahli Umno yang keluar parti hari ini bebas menentukan platform perjuangan mereka selepas ini.

"Ada yang sudah tinggalkan Umno lebih awal dan sertai Parti Bersatu. Saya tidak akan memaksa mereka.

"Saya sendiri sebagai orang Melayu akan memilih parti yang memperjuangkan bangsa saya tanpa meminggirkan bangsa lain. Buat masa ini, saya cenderung ke arah Bersatu tetapi belum menyertai secara rasmi," katanya.


Umno jangan biar 'malapetaka' berulang

Posted: 15 Oct 2016 04:53 AM PDT

Umno jangan biar 'malapetaka' berulang
Hishammuddin memalu gong sebagai gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Duyung Marina Resort, Pulau Duyong. - Foto Sinar Harian
 
 
KUALA TERENGGANU - Umno Terengganu diingatkan tidak sesekali membiarkan 'malapetaka' berulang di negeri ini pada PRU akan datang.

Peringatan itu ditegaskan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada Umno Terengganu supaya peristiwa kejatuhan BN kepada Pas pada 1999 tidak berlaku pada PRU14, lebih-lebih lagi kedudukan BN Terengganu nyawa-nyawa ikan dengan hanya kelebihan dua kerusi Dun mengatasi pembangkang pada PRU lepas.

Beliau turut menggesa Umno Terengganu merapatkan barisan dan kesatuan dalam memastikan kerajaan BN kekal utuh pada PRU akan datang.

"Jangan kita tunggu malapetaka yang sama untuk bangkit semula. Inilah sebabnya saya mengingatkan kepada Umno Terengganu hari ini di Kuala Nerus bahawa pengalaman yang kita lalui sebelum ini menjadi sandaran sejarah dalam Umno.

"Pengalaman dan sejarah itu menjadikan kita lebih kuat dan matang dan itu satu perkara yang tidak ada pada parti-parti lain, lebih-lebih lagi parti-parti baharu yang ditubuhkan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Duyung Marina Resort di Pulau Duyong di sini, hari ini.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, Hishammuddin turut mengakui Umno Terengganu belum memasuki zon selesa namun tetap berbangga dengan semangat ditunjukkan Umno Terengganu ketika ini bagi menghadapi PRU14 akan datang.


Taufan Sarika Mungkin Landa Utara Sabah

Posted: 15 Oct 2016 01:48 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KOTA KINABALU: Amaran berjaga-jaga telah dikeluarkan mengenai kemungkinan Taufan Sarika melanda utara daerah Pitas pada lewat Sabtu.

Menurut Jabatan Meteorologi, taufan itu bergerak perlahan-lahan ke arah barat dari bahagian tenggara di Manila, Filipina dan dijangka melanda perairan Sabah dan Sarawak.

Sehingga pukul 8 pagi Sabtu, Taufan Sarika bergerak pada kelajuan kira-kira 1,140km timur laut Pitas.

Di Kuala Lumpur, jabatan itu berkata angin barat daya selaju 40-50km/jam dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di beberapa kawasan di perairan Malaysia bermula Sabtu hingga 19 Oktober ini.

"Kawasan-kawasan yang terlibat adalah perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan).

"Keadaan yang sama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara, Condore, Reef North, Layang-Layang Reef South, Palawan dan Sulu," katanya.

Menurut jabatan itu lagi, air pasang besar juga dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang akan mendedahkan kawasan-kawasan berkenaan kepada kenaikan paras air laut.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil atau aktiviti-aktiviti rekreasi dan sukan laut," katanya

PAS Selangor bantah persempadanan semula

Posted: 15 Oct 2016 01:45 AM PDT

HARAKAHDAILY 




PAS Selangor telah menyerahkan bantahan persempadanan semula kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari semalam, 13 Oktober 2016.

Kita serahkan atas nama 10 kawasan Parlimen dan 14 Dun di Selangor yang terkesan kepada kerusi PAS bertanding.

Kita menggunakan hak kita di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membantah dan kita mintak SPR mendengar bantahan kita.

PAS Selangor tidak bersetuju atas pelbagai sebab dan kita akan turut serta dalam proses bantahan ini.

Selain kita menyatakan alasan kita membantah, SPR juga perlu menyatakan alasan mengapa bentuk persempadanan sedemikian dibuat.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha PAS Selangor

‘Saya tak janji sebarang jawatan untuk Sothinathan’ – Dr Subra

Posted: 15 Oct 2016 01:40 AM PDT

NUR INTAN IDAYU


img-20161015-wa0063


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menolak dakwaan mengatakan beliau menjanjikan 'habuan' kepada Datuk S. Sothinathan sekiranya beliau berjaya membawa pulang penyokong Datuk Seri G. Palanivel pulang ke MIC.

Menurut Dr Subramaniam, beliau hairan bagaimana tuduhan tersebut boleh timbul sedangkan perbincangan beliau dengan Sothinathan hanya melibatkan empat mata sahaja.

"Tak ada tak ada. Macam mana boleh kata saya janji itu ini sedangkan itu perbincangan empat mata antara saya dengan Sothi sahaja?" kata Dr Subramaniam kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Selain itu, beliau yang juga merupakan Menteri Kesihatan itu turut menegaskan hasil perbincangan beliau dengan Sothinathan sejak beberapa bulan yang lalu telah memberi hasil yang positif di mana ramai penyokong Palanivel telah pun kembali semula ke MIC.

"Setakat hari ini ramai yang dah balik ke MIC dan kita alu-alukan mereka.

"Lebih kurang 100-150 Cawangan sahaja lagi yang masih belum balik kepada kita," ujarnya.

Semalam, Sothinathan memberitahu TMT bahawa perbincangan beliau dengan Presiden MIC telah selesai dan mereka telah mencapai persetujuan untuk membawa kembali penyokong Palanivel ke MIC.

Katanya, penyokong Palanivel tidak perlukan 'black and white' supaya mereka kembali ke MIC kerana Dr Subramaniam telah pun bersetuju dengan syarat dan kehendak kumpulan Palanivel.

"Apa lagi nak 'black and white'. Nak kena tulis dalam papan hitam ke? Ini kita dah bincang dan kita dah capai persetujuan dan itulah persetujuan dia.

"Ini bukan kita nak buat satu draf ataupun agreement (surat perjanjian). Ini adalah perkara politik di mana sebagai pemimpin kita dah berbincang secara 'gentleman' dan setuju bergabung, jadi itu sahajalah," kata Sothi.

Difahamkan, perbincangan antara beliau dengan Dr Subramaniam telah selesai sejak September lalu lagi tetapi beliau baru sahaja membuat pengumuman kerana beliau ingin berbincang dahulu dengan kumpulan penyokong Palanivel.–TMT

.Fenomena ombak besar mulai esok hingga 19 Oktober

Posted: 15 Oct 2016 01:26 AM PDT




KUALA LUMPUR: Angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di beberapa kawasan mulai esok sehingga Rabu depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata angin kencang Barat Laut dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan angin kencang Barat Daya pula diramal berlaku di perairan Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu, Miri), Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan) serta Labuan.

"Pada masa sama, kejadian air pasang besar yang signifikan juga akan berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang mendedahkan kawasan tersebut kepada kenaikan paras air laut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan pantai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan semasa melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia atau aplikasi di telefon myCuaca.

Sementara itu di Shah Alam, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti riadah di kawasan pantai di Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata dalam tempoh itu, paras air di sekitar daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap tertinggi iaitu di antara 5.6 hingga 5.7 meter.

"Saya menasihatkan supaya semua aktiviti pelancongan di tepi pantai dan laut ditunda sepanjang tempoh itu. Pelancong juga dinasihatkan supaya tidak ke kawasan pantai barat Selangor ketika fenomena air laut pasang besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jawatankuasa Bencana Selangor sebelum ini meramalkan paras air laut berada pada paras tertinggi di antara 16 hingga 19 Oktober ini, yang menyebabkan beberapa kawasan di pesisir pantai berisiko banjir dan ditenggelami air.

Di Seremban pula, 4 kawasan di pusat peranginan Port Dickson termasuk Pantai Bagan Pinang, Batu 3 dan Pantai Saujana, Batu 4 dijangka mengalami fenomena air pasang besar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Port Dickson Muhammad Isa Md Onzer berkata kawasan lain ialah Pantai Teluk Kemang di Batu 8 dan Pantai Tanjung Biru atau Blue Lagoon di Batu 10.

Beliau berkata fenomena itu dijangka berlaku esok sehingga 20 Oktober yang menyebabkan ketinggian paras ombak mencapai 2.5 meter hingga 3.5 meter.

"Justeru itu, para pengunjung dinasihatkan peka dengan fenomena air pasang besar dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan mengibarkan bendera merah di menara penyelamat pantai sebagai tanda amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti pantai dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, nelayan bot-bot kecil diminta mengehadkan aktiviti di pantai sebagai langkah keselamatan.

Oh Bajet!

Posted: 15 Oct 2016 01:18 AM PDT


 

Oleh Farhan Haziq Mohamed


Pasca 2008 menyaksikan belanjawan atau bajet menjadi satu topik penting di kalangan rakyat. Hal ini kerana dokumen tersebut mula menjadi perhatian rakyat apabila gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat hadir membentangkan bajet alternatif bermula 2009. Boleh dikatakan bajet alternatif sedikit sebanyak membawa wacana baru mengenai bajet sebenar yang dibentang tiap-tiap tahun pada Oktober.

Saya fikir ini sumbangan besar Pakatan Rakyat yang sudah mati kepada rakyat Malaysia.
Bajet akhirnya menjadi topik yang ditunggu-tunggu rakyat untuk mengetahui apa yang akan mereka dapat, manakala di kalangan penganalisis akan melihat sejauh mana pertumbuhan negara akan tercapai dan ekonomi negara akan dipacu dengan lebih tinggi. Di kalangan aktivis pula, mereka melihat sejauh mana bajet akan membantu golongan-golongan tertindas, seperti gelandangan, wanita, OKU, dan miskin.
Pejuang kaum pula akan meneliti sejauh mana bajet ini memanfaatkan kaum masing-masing.

Memandangkan Malaysia masih mengamalkan corak politik kaum, maka bajet dilihat dari sudut "kaum aku dapat apa". Oleh itu, tidak janggal untuk kerajaan dalam bajetnya mengumumkan bajet untuk Bumiputera, Cina, dan India.

Justeru, usai pembentangan Bajet 2016, begitu banyak serangan demi serangan daripada pembangkang terhadap bajet ini. Ada yang mengatakan ia bajet paling teruk, ada yang mengatakan ia bajet panadol dan ada yang mengatakan bajet Najib, oleh Najib dan untuk Najib.

Tanpa disedari atau sengaja mahu mempolemikkan isu dan beberapa perkara baik tidak diberi perhatian.
Bajet kali ini menyaksikan pengenalan golongan M40, iaitu merujuk kepada golongan berpendapatan RM3,820 – RM8,320 yang boleh dikatakan golongan pertengahan. Golongan inilah yang dikatakan paling terkesan akibat kenaikan kos sara hidup. Golongan inilah yang tidak mendapat BR1M, tetapi mereka pada masa sama terpaksa berdepan kenaikan tol, tariff elektrik, harga minyak dan barangan keperluan.

Untuk mengatasi masalah ini, Bajet 2016 mencadangkan beberapa pelan pelepasan cukai untuk menambah pendapatan boleh guna di kalangan golongan M40. Antaranya, pelepasan cukai kepada individu menyara ibu bapa berpendapatan di bawah RM2,000, peningkatan jumlah pelepasan cukai kepada individu melanjutkan pelajaran sehingga RM7,000, individu mempunyai anak yang melanjutkan pelajaran tinggi sehingga RM8,000, tambahan had pelepasan cukai untuk setiap anak berumur di bawah 8 tahun kepada RM2,000 dan anak OKU yang melanjutkan pengajian tinggi sehingga RM8,000.

Pelepasan cukai dan pengurangan cukai ini secara tidak langsung menambah pendapatan boleh guna individu dalam menghadapi inflasi dan pada masa sama mengekalkan permintaan domestik untuk memastikan kemapanan ekonomi negara.

Strategi bajet kali ini cukup menarik, melihatkan kerajaan bermain dengan pengurusan cukai dalam menangani persepsi rakyat. Peningkatan cukai kepada golongan berpendapatan tinggi juga cukup tidak disangka-sangka. Bajet mengumumkan kenaikan cukai kepada 26% untuk individu berpendapatan RM600,000 sehingga RM1 juta setahun dan 28% kepada individu berpendapatan lebih RM 1 juta.

Tindakan ini secara tidak langsung mengingatkan kita kepada cadangan bajet PR 2015 yang memperkenalkan Cukai Warisan dan Cukai Keuntungan Modal bagi menggantikan GST. Walaupun Bajet 2016 tidak memperkenalkannya, namun tindakan menaikkan cukai pendapatan orang kaya wajar dipuji.

Seterusnya, atas desakan ramai, Bajet 2016 menaikkan gaji minimum daripada RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak kepada masing-masing RM1,000 dan RM920. Bukan itu sahaja, kerajaan dengan beraninya mengumumkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,200.

Dalam hal perumahan, sekali lagi Bajet 2016 memperuntukkan sejumlah Dana Pembiayaan Deposit Perumahan kepada pembeli rumah pertama. Cadangan ini sedikit sebanyak membantu golongan muda mendapatkan rumah tanpa perlu memikirkan pembayaran deposit. Bagaimanapun, cadangan ini perlu diperhalusi agar ia dapat disesuaikan dengan realiti harga semasa rumah di Malaysia, kini.

Dalam sektor perniagaan, Bajet 2016 turut memfokuskan sektor pelancongan dengan memberi pengecualian cukai 100% kepada syarikat-syarikat pelancongan sebagai galakan untuk meningkatkan jumlah pelancong di Malaysia.

Perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk 98.5% daripada jumlah pertumbuhan perniagaan turut mendapat habuan menarik dalam bajet kali ini, iaitu pengecualian cukai 10-15% untuk meningkatkan nilai eksport. Sehingga kini, jumlah eksport yang disumbangkan PKS hanya 19% dan diharapkan insentif ini mampu meningkatkan lebih banyak eksport.

Bukan itu sahaja, Bajet 2016 menyediakan galakan kepada PKS untuk menjalankan projek R&D sehingga RM50,000 setiap tahun, dengan memberi peluang potongan cukai sebanyak 2 kali secara automatik. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kerjasama antara PKS dan universiti dalam projek R&D produk tempatan.

Namun, apa yang membimbangkan adalah sesetengah ahli Parlimen pembangkang masih bermain retorik dalam membahaskan bajet kali ini. Antara hujah popular adalah defisit Bajet 2016, pertambahan peruntukan Jabatan Perdana Menteri dan penghapusan GST.

Bajet defisit bukanlah bajet yang teruk, malah diguna pakai semua kerajaan negeri di Malaysia, termasuk yang ditadbir parti pembangkang nasional, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Cumanya, defisit bajet akan ditampung melalui pinjaman oleh kerajaan dan akan meningkatkan hutang awam. Hutang ini kemudiannya perlu dibayar faedah menggunakan pendapatan negara. Mengikut bajet kali ini, 10% daripada perbelanjaan mengurus diperuntukkan kepada pembayaran khidmat hutang sahaja!

Justeru, retorik "bajet defisit bajet teruk" sahaja tidak cukup untuk pembangkang tanpa penjelasan mengapa di negeri-negeri pembangkang, bajet masih defisit. Adakah pembangkang cakap tidak serupa bikin? Hanya tahu membangkang, tetapi negeri masing-masing sama juga. Sikap "cakap dulang, paku serpih" inilah yang perlu dielakkan pembangkang kerana mereka kini mempunyai negeri yang ditadbir dan turut akan dinilai rakyat.

Satu lagi hujah popular yang acapkali dimainkan dalam bajet kali ini adalah peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang meningkat dari tahun ke tahun. Hujah ini sememangnya membangkitkan kemarahan rakyat.

Namun, secara logiknya, peruntukan besar kerana terdapat 10 menteri di dalamnya serta 71 jabatan. Agensi dan syarikat berbanding kementerian lain yang mencakupi pelbagai sektor.

Bajet Selangor 2016 yang baru dibentangkan juga memperuntukkan sejumlah besar wang berjumlah 129.6 juta, iaitu 9.2% daripada perbelanjaan mengurus kepada Pejabat Menteri Besar. Sepertimana JPM, Pejabat Menteri Besar memegang portfolio penting, termasuk kewangan, sumber asli dan program ekonomi Selangor.

Mungkin hujah lebih baik adalah reformasi struktur pemusatan kuasa dalam JPM, di mana terdapat agensi-agensi tertentu yang mempunyai tugas hampir sama seperti dalam kementerian lain. JPM menpunyai agensi berkaitan agama, kewangan, keselamatan, tadbir urus, ekonomi dan macam-macam lagi. Hal ini juga berlaku dalam struktur pentadbiran Selangor, misalnya apabila MB juga memegang portfolio penting, seperti kewangan dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Hujah terakhir yang sememangnya seronok diretorikkan adalah penghapusan GST. Idea menghapuskan GST sememangnya hampir mustahil dan tindakan kurang bijak. Sumbangan GST kepada pendapatan negara sehingga RM39 bilion bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan begitu sahaja oleh pembangkang.

Tambahan pula dengan penurunan harga minyak yang mempunyai kesan langsung terhadap pemberian dividen Petronas, penghapusan GST bukanlah langkah cerdik dan tidak praktikal.

Mungkin cara sesuai adalah mengurangkan kadar GST kepada 3-4% serta mencadangkan barangan dan perkhidmatan yang perlu diberi pengecualian atau kadar sifar. Hal ini secara tidak langsung membantu golongan terkesan dan pada masa sama mengekalkan pendapatan negara.

Oleh itu, pembangkang harus berhati-hati dalam menghujahkan bajet kali ini. Bajet kali ini dirangka cukup licik oleh PM kesayangan kita dalam mengimbangi sentimen rakyat dan keperluan negara. Tanpa mengharapkan terlalu banyak untuk bajet kali ini, sememangnya masalah utama negara adalah pelaksanaan segala macam janji dalam bajet ini.

Sama-samalah kita tunggu Laporan Audit Negara akan datang untuk mengetahui sejauh mana janji ditepati atau dicapati. Dan sentiasa beringat bajet sekadar cadangan peruntukan perbelanjaan dan tidak pun menyelesaikan isu ketirisan, salah guna kuasa dan pembaziran parti pemerintah ini.

Bagaimana pula bajet tahun ini?

Farhan Haziq Mohamed ialah Felo Muda Perpaduan Nasional, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas)

Muslihat Di Sebalik Tuduhan Mohd Najib

Posted: 15 Oct 2016 01:13 AM PDT


 

Oleh A Kadir Jasin


APAKAH muslihat Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak membuat kenyataan mengenai "dua individu" yang dituduhnya mengganggu dan mengancam perpaduan negara?

Dua individu yang dituduh berniat jahat tetapi tidak dinamakan itu tidak lain tidak bukan adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adakah Mohd Najib membuat kenyataan di radio Astro Awani itu kerana (1) Majlis Raja-Raja bersidang (2) Dr Mahathir dan Anwar saling sokong menyokong bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasioal dan (3) menyiapkan landasan untuk menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara yang baru dikuatkuasakan?


Sebelum Majlis Raja-Raja bersidang minggu ini, Dr Mahathir telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengutus surat kepada Raja-Raja Melayu yang lain bagi mempersembahkan Deklarasi Rakyat.

Dr Mahathir berjumpa dan berbincang dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 5 September lalu dan seterusnya mengemukakan afidavit menyokong saman Anwar bagi menghalang pelaksanaan Akta MKN.

Pertemuan 5 September


Ini disusuli oleh "perisytiharan perdamaian" antara Dr Mahathir dan Anwar serta kesepakatan bahawa mereka akan berusaha ke arah melancarkan serangan bersepadu atas prinsip satu-lawan-satu ke atas BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin juga menemui Anwar selepas itu bagi memperkukuh rangka kerjasama blok pembangkang.

Atau apakah serangan baru ke atas Dr Mahathir dan Anwar itu helah untuk mengalih pandangan rakyat jelata daripada gunung berapi 1MDB yang semakin ganas ledakannya?

Pada 12 Oktober, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) mengarahkan penutupan Falcon Private Bank atas alasan kelemahan kawalan dan salah laku berkaitan urus niaga yang melibatkan 1MDB.

Dalam kenyataannya, MAS berkata bank persendirian Swiss itu telah mempamerkan kegagalan besar menyekat perbuatan mengalihkan wang haram (money laundering) dan salah laku oleh pengurusan kanannya di Switzerland dan Singapura.

Mei lalu MAS telah menutup BSI Bank yang juga berpangkalan di Switzerland atas sebab yang serupa. Kerosakan kolateral 1MDB sudah menjadi fenomena global.

Tetapi ini mungkin sebab sampingan sahaja kerana Umno dan para penyokong Mohd Najib nampaknya menerima perbuatan haram oleh 1MDB yang beliau sendiri asaskan dan kawal sebagai perkara biasa atau sekadar fitnah.

Jadi kesangsian yang lebih mendalam ialah beliau sedang menyediakan alasan untuk menggunakan Akta MKN dengan menuduh Dr Mahathir dan Anwar berpakat melakukan hasutan bagi memecahbelahkan perpaduan kaum dan mengancam keselamatan negara.

Mohd Najib membuat tuduhan berat ini di saat-saat kegiatan provokasi oleh penyokong-penyokong Baju Merah beliau semakin rancak dan kasar. Dalam beberapa kejadian, perbuatan Baju Merah sudah boleh ditakrifkan sebagai ganas.

Apa pun alasan tersirat dan tersurat Mohd Najib dalam membuat tuduhan di Radio Astro itu dan apa jua tindak-tanduk beliau seterusnya, satu perkara yang jelas dan sahih ialah kelangsungan peribadi adalah matlamat pokok Mohd Najib buat masa ini.

Dengan apa cara sekalipun "survival" akan dipertahankan.

Dalam konteks ini, setiap daripada kita yang sedang berusaha menyelamatkan negara dan mengalihkannya daripada landasan kemusnahan hendaklah sentiasa berhati-hati dan sedar bahawa kita berdepan dengan suatu kuasa hitam - dark force - yang sangat berbahaya. Moga-moga Allah berikan petunjuk dan kejayaan kepada kita.

Wallahuaklam. http://kadirjasin.blogspot.my/2 

Tak logik pengundi DUN lebih ramai daripada Parlimen, Pakatan kemuka bantahan

Posted: 15 Oct 2016 01:05 AM PDT

img-20161014-wa0010

Roketkini.com


IPOH: Pakatan Harapan Perak hari ini mengemukakan 33 bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang didakwa tidak mencerminkan amalan demokrasi dan Perlembagaan negara.

"Cadangan Persempadanan semula kali ini yang bertarikh 14 September 2016 adalah berat sebelah, bersifat perkauman, melanggar prinsip 'satu orang, satu undi' serta bercanggah dengan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian (cadangan berkenaan) adalah wajib dibantah," tegas Pakatan Harapan Perak dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nor Manuty; dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni bin Awi.

20 daripada kesemua bantahan yang dikemukakan adalah daripada DAP, manakala 7 daripada PKR dan selebihnya daripada Amanah.

Menurut kenyataan itu, mengikut cadangan persempadanan semula agensi pengendali pilihan raya berkenaan, terdapat lebih 16 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai bilangan pengundi melebihi kawasan Parlimen.

"Sebagai contoh, DUN Manjoi mempunyai bilangan pengundi 50,812, sebaliknya Parlimen Padang Rengas hanya mempunyai 27,790 pengundi.

"Kerusi DUN mempunyai lebih ramai pengundi dari Parlimen adalah tidak logik. Justeru, keadaan ini wajib diperbetulkan," kata kenyataan itu.

Malah, kata kenyataan itu lagi, terdapat beberapa kawasan DUN yang mempunyai perbezaan bilangan pengundi yang amat ketara meskipun Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan hal seumpama itu berlaku.

img-20161014-wa0006

"Di antara 59 kerusi DUN Negeri Perak wujud perbezaan bilangan pengundi lebih dari empat kali ganda

walaupun Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua persempadanan semula perlu mempunyai jumlah bilangan pengundi yang lebih kurang sama.

"Contohnya kerusi DUN Manjoi mempunyai 50,812 pengundi sebaliknya DUN Kota Tampan dan DUN Trong, masing-masing hanya mempunyai 11,990 dan 12,987 pengundi," katanya.

Selain itu, Pakatan Harapan Perak juga mendakwa SPR telah melanggar undang-undang kerana tidak menyediakan peta lokasi yang jelas dalam cadangan persempadanan berkenaan.

Sementara itu, di Johor, DAP telah memfailkan 17 set bantahan kepada SPR manakala DAP Selangor turut menghantar bantahan ke Ibu Pejabat SPR negeri semalam dan hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk wakil rakyat di setiap kawasan DUN dan Parlimen menghantar borang bantahan kepada pihak SPR.

Parti-parti Komponen BN yang sebelum ini dilihat turut membantah cadangan SPR itu, sehingga kini hanya menghantar satu borang bantahan di Pasir Salak.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan Perak turut mengingatkan bahawa mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati membantu kemenangan UMNO dalam pilihan raya dengan cara yang kotor.

"Pakatan Harapan berhak untuk membawa tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang bertanggungjawab supaya sistem demokrasi berparlimen negara kita dapat dijaga dan tidak dimusnahkan oleh anasir anti-demokrasi yang begitu ghairah membantu UMNO mengekalkan kuasa," katanya.

Harapan Perak turut mencabar UMNO untuk menyatakan bantahan jika benar tidak bersetuju dengan cadangan SPR itu.

"MCA, MIC dan GERAKAN turut digesa jangan terus berlakon kerana rakyat kian memahami usaha licik mereka yang cuba mencabul hak demokrasi seluruh 1.407 juta orang pengundi di negeri Perak," tambahnya. – Roketkini.com


Universiti jadi lapangan propaganda, tidak cukup sekadar pinda AUKU

Posted: 15 Oct 2016 01:02 AM PDT

yeo_bee_yin

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dimansuhkan bagi membenarkan pelajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia mengetahui hal ehwal negara yang sebenar dari semua pihak, sekaligus mencambahkan pemikiran kritis di kalangan mereka.

Walaupun AUKU telah dipinda pada tahun 2012 bagi membenarkan pelajar menceburi politik di luar kampus, Seksyen 15 masih melarang aktiviti politik di dalam kampus dan menghalang pelajar dari menubuhkan organisasi yang dianggap 'tidak sesuai dengan pelajar Universiti'.

"Seksyen 15 dan Seksyen 4 dalam AUKU telah merampas autonomi universiti, sekaligus membuatkan pemikiran kritikal dan perbahasan secara objektif mustahil di mana-mana kampus.

"Putrajaya mesti memulangkan kembali hak autonomi universiti agar pelajar dapat beroleh pengetahuan dan berfikir dengan kritis tanpa sebarang kawalan atau campur tangan dari ahli-ahli politik," tegas Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

"Saya bertemu dengan ramai pelajar yang bertanya sama ada biasiswa mereka akan ditarik balik, atau sama ada mereka akan dibuang universiti jika terlibat dengan demonstrasi, forum, atau program dianjurkan parti pembangkang.

"Ironinya, banyak institusi pengajian tinggi menawarkan subjek 'pemikiran kritis' tetapi akta yang ada sekarang seolah-olah menyekat mereka dari berfikir secara objektif," katanya dalam satu kenyataan.

Bee Yin berkata demikian sebagai mengulas forum 1MDB anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) baru-baru ini yang diadakan bagi menerangkan isu 1MDB dari mata kerajaan kepada pelajar universiti tersebut.

Namun, ramai pihak melihat forum itu sebagai satu langkah kerajaan untuk mempengaruhi pelajar agar menyokong mereka dalam isu 1MDB, lebih-lebih lagi isu itu hanya diterangkan dari sebelah pihak tanpa menjemput wakil parti pembangkang.

"Sedih apabila melihat UM yang dulunya menjadi 'markas' kepada aktivisme dan idealisme pelajar kini bertukar kepada tempat untuk penerangan sebelah pihak. 

"Apabila ada pelajar yang mengangkat plakad mengkritik 1MDB semasa forum itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Tun Faisal melabel mereka sebagai 'tidak bertamadun'. Tetapi sebenarnya, apa yang lebih tidak bertamadun berbanding merompak wang rakyat tanpa malu?" soalnya. – Roketkini.com


Larangan imigresen ditarik balik, Tony Pua kini boleh ke luar negara

Posted: 15 Oct 2016 12:54 AM PDT

tony pua

Oleh Syazana Hasanudin 


KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua akhirnya dibenarkan kembali untuk ke luar negara oleh Jabatan Imigresen selepas lebih setahun dilarang berbuat demikian.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam satu kemaskini di laman sosial Facebooknya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, peguamnya Gobind Singh Deo yang juga merupakan Ahli Parlimen DAP Puchong dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Pejabat Peguam Negara.

"Saya telah dilarang ke luar negara sejak akhir Julai 2015 kerana siasatan polis berhubung kononnya saya terlibat 'aktiviti memudaratkan Demokrasi Parlimen', yang jika didapati bersalah akan dihukum dengan 20 tahun penjara.

"Saya baru memeriksa laman web Imigresen dan status saya sekarang adalah 'Tiada Halangan", jelasnya.

Pada 22 Julai tahun lalu, Tony mendapati beliau disekat daripada meneruskan perjalanannya ke Jogjakarta, Indonesia ketika berada di KLIA2 bagi menghadiri sebuah acara seni bagi Penang Arts District Project di sana.

Lebih mengejutkan, beliau diberitahu bahawa larangan itu adalah arahan 'orang atas'.

Tony sebelum ini menyatakan beliau percaya sekatan itu berkaitan dengan kritikannya terhadap kontroversi penyelewengan mega syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Beliau kemudiannya mencabar perintah sekatan itu di Mahkamah Tinggi, namun mahkamah memutuskan ketua pengarah imigresen mempunyai kuasa menghalang seseorang daripada meninggalkan negara. – Roketkini.com


Setuju gabung tumbangkan BN

Posted: 15 Oct 2016 12:40 AM PDT

MALAYSIA TODAY

(Sinar Harian) – Pas Perak bersetuju bergabung dengan parti Bersatu bagi menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, gabungan itu adalah bersyarat iaitu perlulah menghormati prinsip dan perjuangan Pas dalam menegakkan Islam dari semua segi termasuk kepimpinan.

Menurutnya, Pas tidak akan tunduk terhadap kehendak mana-mana pihak yang mengetepikan prinsip perjuangan hanya untuk memenangi PRU.

"Pendirian itu adalah ketegasan daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta parti yang mahu bergabung perlulah melakukan perubahan untuk menegakkan Islam.

"Pas tetap memperjuangkan Islam dan gabungan itu perlulah menghormati prinsip perjuangan parti masing-masing. Kalah itu perkara biasa tetapi kami setia kepada perjuangan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui bahawa bukan mudah untuk menumbangkan sebuah parti kerajaan seperti BN yang terdiri daripada gabungan 14 parti yang saling menyokong antara satu sama lain setiap kali PRU.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu,
Razman berkata, pemilihan Hashim adalah tepat berikutan pengalamannya yang luas dalam dunia politik dan 'orang lama' dalam parti.

"Selain itu, beliau juga berpandangan jauh dalam arena politik serta tegas dan berprinsip dalam perjuangan parti. Beliau antara individu paling awal terlibat dalam Pas dan beristiqamah," katanya.

Najib mahu ‘bankrapkan’ Proton, kata Dr Mahathir

Posted: 15 Oct 2016 12:40 AM PDT

MALAYSIA TODAY


Najib dilihat cuba melumpuhkan Proton kerana ingin menggagalkan produk hasil tempatan yang dibangunkan Dr Mahathir.

(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu "bankrapkan" industri automobil negara.

Ia berikutan tindakan Najib yang kebelakangan ini cuba menghalang kakitangan Proton Holdings Berhad (Proton) daripada menjalinkan kerjasama dengan kumpulan yang menyokong Dr Mahathir.

"Orang-orang Proton tidak dibenarkan bercakap dengan saya, dan peniaga kenalan saya tidak dibenarkan mengadakan urus niaga dengan Proton. Tujuan Najib ialah supaya Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.

"Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Ia hendaklah dijual kepada orang asing 100% supaya industri kereta nasional dihapuskan. Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimulakan oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian menerusi entri terbaharu blognya chedet.cc sekali gus menyifatkan pemerintahan kuku besi Najib itu langsung tidak menakutkan semangat rakyat menentang perdana menteri.

"Sesungguhnya Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat saya juga. Bukan sahaja polis pengiring motosikal ditarik balik tetapi pegawai dan tukang masak saya pun hendak ditukar. Saya tidak putus asa dan percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan kerajaan kuku besi Najib.

"Mereka tidak takut. Lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan kerajaannya. Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang perdana menteri yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia melesapkan (curi) berbilion duit rakyat," katanya.

Jamal Tak Jadi Serang Bersih Hari Ini, Tangguh Hari Lain

Posted: 15 Oct 2016 12:40 AM PDT

The Malaysian Digest

Pic: Sinar HarianPic: Sinar Harian













Gerakan MERAH V2 mengambil keputusan untuk tidak meneruskan misi menentang kumpulan haram BERSIH 5 menerusi siri konvoi mereka pada hari ini iaitu 15 Oktober 2016 yang dijadual berlangsung dari Sekinchan ke Kuala Selangor.

Sebaliknya, MERAH V2 akan bersama-sama rakyat di Sungai Besar menerusi kerja kebajikan dan gotong-royong sebagai persiapan awal menjelang fenomena air pasang besar yang diramal akan berlaku bermula hari ini hingga 19 Oktober 2016.

Keputusan ini adalah sebagai tanda keprihatinan kami terhadap rakyat di Sungai Besar dan Kuala Selangor yang amat khuatir dengan bencana alam yang bakal menimpa di kawasan tersebut.

MERAH V2 tidak seperti BERSIH 5 yang kemaruk mahu merampas kuasa politik peribadi sehingga langsung tidak sensitif dengan masalah utama yang bakal menimpa masyarakat di lokasi-lokasi yang mereka kunjungi.

Tindakan BERSIH 5 ini sudahpun membuktikan suara mereka bukan mewakili rakyat, akan tetapi mewakili suara jijik dan kotor pimpinan parti-parti pembangkang.

MERAH V2 akan kembali menentang dan menghalang BERSIH 5 pada siri roadshow pada tarikh berikutnya.

DATO' JAMAL MD YUNOS,
Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia

Tiada ulasan: