Nuffnang

Pengikut

"BERANI KERANA BENAR!"

sumber :-

"BERANI KERANA BENAR!"


Demi akhbar bebas, mangsa KDN terbiar

Posted: 01 Oct 2016 07:04 AM PDT


Oleh Fathi Aris Omar 

Dia cemas, untuk sekian kalinya. Sehari selepas anak sulungnya dilahirkan, ketika isteri tersayang masih tidak bermaya di katil hospital, anak muda ini harus berdiri di kandang orang salah. Dan bakal menerima hukuman berat. Dia tiada dosa kecuali menjual akhbar tanpa permit Haraki. Dia berdosa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kes Zabidi Morad, 27, tidak dilaporkan dalam sebarang media, termasuk media alternatif atau pembangkang di negara ini. Jauh sekali namanya tercatat dalam rekod penindasan antarabangsa terhadap wartawan, seperti halnya nama Ahmad Lutfi Othman atau Zulkifli Sulong.

Tetapi Zabidi, dan mereka yang sekerdilnya, memikul risiko besar. Dia adalah unsung hero. Sejarah lazimnya melupakan individu sepertinya. Datang daripada keluarga yang mempunyai tradisi penulisan dan penerbitan, Zabidi bersama adik-beradiknya terjun ke dalam dunia pengedaran bahan-bahan bacaan politik kira-kira empat tahun lalu.

Sehari selepas keputusan pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit, Zabidi melangkah ke mahkamah magistret Kuala Lumpur berseorangan, tiada penyokong meriuhkan isi perjuangannya walau beliau pernah juga mengendalikan laman web 'media bebas' Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).

Pakciknya sendiri, Ahmad Lutfi, masih berada di kawasan pilihanraya itu. Aktivis-aktivis Kami sendiri tidak tahu. Tidak ada wartawan dari sebarang akhbar, berada di mahkamah. Selepas kes itu, tiada media melaporkannya.

Tabloid politik bebas 

Di tengah-tengah ghairah perjuangan menuntut kebebasan akhbar, mangsa KDN ini terbiar. Dua lagi Parit Buntar (Perak), sedang dibicarakan.
kes pengedar didakwa menjual atau memiliki bahan-bahan penerbitan tanpa lesen, di Shah Alam dan

Kedua-dua kes ini tidak dilaporkan, malah nama penuh mereka tidak diketahui oleh kumpulan wartawan, termasuk Kami, apatah lagi Harakah, malaysiakini atau Suara PRM. Mereka seolah-olah tanpa wajah.

Tetapi tanpa mereka, pembaca di daerah-daerah pedalaman tidak mungkin mengetahui kewujudan tabloid politik bebas, apatah lagi membaca isi kandungannya. Berkat kedegilan pengedar kecil-kecilan ini, dengan bayaran komisyen yang tidak berbaloi, mereka akhirnya diseret ke mahkamah oleh KDN.

Dunia ini tidak adil -- itulah yang sewajarnya diucapkan kepada Zabidi dan dua lagi pengedar bernasib malang.

Zabidi wajar berasa cemas pada pagi 19 Julai lalu. Dia hanya membawa wang tunai RM2,000.

Sedang beliau didenda RM5,000 (maksimum RM20,000 atau penjara tiga tahun). Teringat anak yang baru lahir dan janji untuk melawat isteri petang itu, dia berpeluh di mahkamah kira-kira 2 jam sementara menunggu kakaknya membawa baki wang.

Tekanan baru 

Jika gagal, dia berfikir-fikir, tentu akan dibawa ke lokap atau penjara Kajang. Kini kes itu menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tetapi bukan saat ini pertama kali dia cemas. Berdepan dengan KDN, polis dan Umno sudah menjadi darah dagingnya. Walaupun begitu, setiap tekanan baru pihak berkuasa membawa kegelisahan baru.

"Saya gementar dan panik," katanya kepada penulis semalam, mengingatkan satu insiden di
Perhimpunan Agung Umno 1997, ketika menjual buku politik Anwar Terjerat?: Teori Konspirasi Menjatuhkan TPM Melalui Tuduhan Skandal Seks karya Ahmad Lutfi.

Buku jualannya dirampas, sementara abangnya Rozani disoal siasat pihak berkuasa PWTC. Atas arahan Anwar Ibrahim, pengedaran buku itu dilarang di acara tersebut.

(Nota: Kesulitan yang dialami penulisnya dan pengedar buku ini diceritakan pada satu bab dalam buku Komplot Bunuh Diana. Dalam analisis tentang kematian Puteri Diana ini, Ahmad Lutfi mendedahkan beberapa pencetak enggan bekerjasama kerana bimbang tekanan KDN, juga amaran kementerian itu ke atas majalah pimpinannya, Tamadun).

Diganggu pihak berkuasa 

Kemudian pada tahun yang sama, Zabidi berdepan dengan karenah imam-imam besar di Masjid Negara pula. Buku Mufti Lawan Mahathir? dilarang dijual di pameran buku di kaki lima masjid itu dengan alasan "tulisan itu kontroversi."

Zabidi berkeras untuk terus menjual sehinggalah pihak berkuasa itu mengeluarkan arahan hitam putih agar buku tersebut ditarik balik. Sempat juga buku itu dijual beberapa hari biar tempoh pameran selama seminggu.

Apabila Anwar dipecat pada September 1998, sekali lagi Zabidi diganggu pihak berkuasa. Beberapa anggota polis merampas kaset-kaset ucapan Anwar yang dijual di kedainya, Penerbitan Pemuda. Waktu itu, Anwar belum ditangkap, kaset ucapan dan video road-show beliau mendapat sambutan hangat.

"Seorang daripada polis itu pernah datang membeli kaset. Saya masih ingat, dia berpakaian biasa (sebelum operasi itu)," imbas Zabidi. Dalam rampasan kali ini, dia memang cemas kerana diarah ke balai untuk diambil keterangan. Tetapi selepas berunding, pasukan pihak berkuasa itu mengambil keterangan di kedai itu sahaja.

Sebulan selepas itu, sekali lagi, kedainya di Medan Idaman, Jalan Gombak diserbu polis. Kali ini buku Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi Politik dirampas kononnya dengan alasan penerbit tidak menulis nama dan alamat syarikat percetakan. Walaupun tidak diseret ke balai, dia masih bimbang apabila pakciknya Ahmad Lutfi yang mengarang buku itu dibawa ke balai polis Sentul selama beberapa jam.

Serbuan pihak KDN 

Sementara di tengah-tengah Kuala Lumpur, beratus-ratus penunjuk perasaan proreformasi ditangkap di celah-celah kebimbangan operasi kedua Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baru bermula 10 Oktober (apabila Presiden JIM Saari Sungib ditahan).

Operasi pertama dimulakan dengan penahanan Anwar, Ruslan Kasim pada 20 September dan ia memakan masa lebih seminggu.

Selepas rampasan Haraki pada 9 Mei 2000, pada 10 November tahun itu, KDN menyerbu lagi Penerbitan Pemuda dan merampas lebih 600 naskhah tabloid tidak berkala Islah.

Naskhah itu menjadi agak hangat dan kontroversi kemudiannya apabila setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar bangun menunjukkan tabloid itu yang memuatkan berita utama 'Guna royalti minyak langgan perempuan.'

"Mereka menyalahgunakan kebebasan media, menyebarkan surat layang, menyalah guna internet. Malah kanak-kanak kecil di tadika telah disemai perasaan benci (kepada pemimpin kerajaan)," dakwa Noh di Dewan Rakyat.

Tiada simpati 

Sekali lagi, Zabidi dihadapkan ke mahkamah magistret berhubung pengedaran tabloid tanpa permit. Bagaimanapun, pada hari yang dijadual, pihak pendakwa KDN tidak hadir. Sementara kertas pendakwaan juga agak kabur - nama tertuduh tidak disebut kecuali "Pengurus Penerbitan Pemuda.".

Justeru Zabidi tidak pernah menghadiri perbicaraan. Waran tangkap tidak pula dikeluarkan oleh mahkamah. Seperti nasib Zabidi, kes itu tergantung. Ditanya apakah isterinya, yang dikahwini pada September tahun lepas, bimbang tekanan demi tekanan yang dialaminya, Zabidi menjelaskan dia boleh menenangkan ahli keluarganya. Bagaimanapun, sampai bila?

"Kadang-kadang saya rasa kecewa kerana tidak mendapat sokongan serta simpati mana-mana pihak," jelasnya jujur. "Ada waktunya pula saya cukup serik apabila memikirkan tentang keluarga."


Artikel ini diterbitkan di Malaysiakini pada 27hb  Aug 2002

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT