Khamis, 8 September 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


NAMA TAK PENTING, YANG PENTING PPBM BAKAL JADI KERAJAAN BARU MENGGANTIKAN UMNO

Posted: 08 Sep 2016 06:30 AM PDT

shahbudindotcom


Pendaftar Pertubuhan, sebagaimana yang dijanjikan oleh Zahid Hamidi,  meluluskan parti baru yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir Mohamad dan diketuai oleh Muhyiddin Yassin hari ini iaitu genap sebulan selepas pendaftarannya dikemukakan pada 9 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak dibenar menggunakan singkatan nama BERSATU, sebaliknya akan dikenali sebagai PPBM.

Tambah Zahid, nama BERSATU tidak dibenar untuk digunakan kerana sudah terdapat enam parti dan organisasi lain yang menggunakan nama "Bersatu" pada nama pertubuhan mereka.
 
 
 
 
Walaupun mungkin ada yang kecewa dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkan penggunaan nama BERSATU itu, sekurang-kurangnya kini sudah ada wadah yang sah yang untuk menyertai pilihanraya dan menggiatkan lagi usaha menyingkirkan Najib Razak.

Apa pun nama tidaklah sepenting PPBM itu sendiri yang sudah diluluskan. Apa juga nama boleh disebut dan dikenali, tetapi yang penting ialah perjuangan yang dibawanya.

Tidak guna mempunyai nama yang indah dan baik-baik jika akhirnya menjadi penyangak atau penjenayah. Kadang-kadang nama yang terlalu  indah juga boleh menjadi  suatu tekanan. Baik kepada parti atau manusia, nama yang biasa-biasa sudah memadai sebenarnya.

Asalkan nama yang diberi atau diluluskan itu tidak terlalu buruk dan maksudnya pula tidak mengelirukan, PPBM harus diterima seadanya.

UMNO, PKR, DAP, MCA, MIC, PBS dan lain-lain parti juga menggunakan singkatan berdasarkan nama penuhnya. Maka, tidak ada yang peliknya dengan nama PPBM yang diluluskan itu.

Mungkin pada permulaan ini, nama PPBM agak janggal dan susah disebut berbanding BERSATU, tetapi  lama kelamaan ia akan jadi biasa akhirnya. 

Selain nama PPBM yang harus dibiasakan, yang lebih penting mesti ditekankan ialah perjuangan PPBM itu sendiri ingin membersihkan kekotoran dalam negara yang diakibatkan oleh Najib dan UMNO selama ini.

Ia tidak seperti UMNO yang cenderung mempertahankan Najib meskipun kekotoran dan onarnya menjadi perbualan seluruh dunia, PPBM sebaliknya bersama Pakatan Harapan bakal menjadi sebuah kerajaan baru menggantikan BN.

Jika keyakinan itu dapat diterapkan dengan sebaik-baiknya kepada rakyat, apa pun namanya tidaklah penting sangat sebenarnya. Yang mana ingin keluar UMNO dan mahu melihat Najib disingkirkan bolehlah mulakan langkah dari sekarang.

Menteri patut malu guna PIBG kutip derma selenggara sekolah

Posted: 08 Sep 2016 06:20 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Aminolhuda HassanAminolhuda Hassan


Tindakan Kementerian Pendidikan menyokong cadangan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri Noh Omar agar persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) mewajibkan kutipan derma bagi penyelenggaraan bangunan sekolah adalah memalukan di saat negara sudah 59 tahun mencapai kemerdekaan.

Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional Aminolhuda Hassan berkata, di saat rakyat dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup akibat harga barangan dan perkhidmatan meningkat angkara cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cadangan menteri berkenaan untuk mewajibkan kutipan derma dan sokongan Kementerian Pendidikan adalah amat dikesali.

"Mesti ramai ibu bapa gembira dengan berita ini, sama macam betapa gembiranya mereka sebab kena derma kertas A4 kepada sekolah sebelum ini.

"Di samping menderma setiap hari kepada kerajaan melalui cukai GST, ibu bapa boleh juga menderma untuk penyelenggaraan bangunan sekolah anak-anak anda," ujarnya sinis.

Pengerusi AMANAH Johor itu juga mempersoalkan sikap kerajaan BN yang secara berterusan membebankan rakyat sedangkan kutipan hasil cukai GST berjumlah berbilion ringgit.

"Ke mana hasil GST yang ditimpakan kepada seluruh rakyat nak digunakan oleh kerajaan Umno-BN?

"Ke mana hasil Petronas dan lain-lain hasil cukai negara seperti permit import (AP) kereta dan lain-lain digunakan oleh kerajaan Umno/BN?" soal beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani itu juga mempersoalkan sama ada hasil negara masih digunakan untuk membiayai perbelanjaan dan projek mewah perdana menteri seperti membeli dan menyelenggara jet peribadi atau membayar hutang dan faedah yang ditanggung syarikat berkaitan kerajaan, 1MDB yang sarat hutang.
"Akhirnya pembangunan infrastruktur sekolah anak-anak kita terabai dan yang menanggungnya ibu bapa?

"Cukup-cukuplah wahai rakyat Malaysia! Sedarlah anda bahawa perubahan kepimpinan untuk mengurus negara bukan sekadar turunkan PM tetapi menurunkan keseluruhan mereka yang telah membawa negara Malaysia tercinta ini ke lembah kemiskinan intergriti, kemiskinan amanah pemimpin dan kemiskinan rakyat yang dipaksakan ekoran salah urus takbir pemimpin Umno-BN," tegas beliau.

Keratan akhbar 5 September lalu melaporkan kesediaan kementerian mengarahkan PIBG mengutip derma penyelenggaraan sekolah.Keratan akhbar 5 September lalu melaporkan kesediaan kementerian mengarahkan PIBG mengutip derma penyelenggaraan sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan Noh yang juga bekas timbalan menteri pelajaran tetap mempertahankan cadangannya mahu mewajibkan PIBG di semua sekolah di Selangor mengutip derma disebabkan dana kerajaan persekutuan tidak mencukupi.

PIBG katanya boleh menganjurkan aktiviti seperti sambutan hari keluarga atau jualan jumbo bagi mendapatkan dana.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan 4 September lalu mengumumkan kesediaan kementeriannya untuk melancarkan kempen kutip derma bagi menyelenggara bangunan sekolah kerajaan.

"PIBG sudah sedia maklum dengan kekangan yang dihadapi oleh pengurusan sekolah dan kementerian terutama dalam menyalurkan dana bagi penyelenggaraan sekolah," kenyataan beliau dipetik.

Kementerian nafi soalan UPSR berbaur perkauman

Posted: 08 Sep 2016 06:16 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan bahawa soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 berbaur perkauman seperti yang disebarkan di media sosial.
 
Menurutnya, hasil siasatan oleh Lembaga Peperiksaan mendapati soalan itu bukan soalan yang terdapat dalam peperiksaan berkenaan.
 
 
 
 
"Kementerian Pendidikan amat kesal dengan kenyataan yang tidak benar ini. Sebenarnya soalan yang dibina dalam setiap kertas soalan oleh Lembaga Peperiksaan melalui proses penilaian bagi memastikan kecukupan kurikulum dan menepati objektif mata pelajaran berkaitan.
 
"Pihak Lembaga Peperiksaan amat mementingkan keharmonian kaum dan perpaduan rakyat terutama dalam konteks soalan peperiksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Sebelum ini, timbul dakwaan wujud unsur perkauman dalam soalan UPSR 2016 bagi peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2 seperti yang tersebar di media sosial.
 
 

RoS lulus pendaftaran parti Tun M, dikenali PPBM

Posted: 08 Sep 2016 06:11 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini meluluskan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai parti politik dengan menggunakan akronim PPBM dan bukan BERSATU.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara itu berkata, parti itu bagaimanapun perlu mengemukakan peranan pengerusi dan presiden parti secara lebih terperinci kepada RoS secepat mungkin.
 
RoS juga kata beliau, telah meluluskan logo baharu parti tersebut mengikut permohonan yang dibuat.
 
"RoS meluluskan perkara tersebut termasuk akronim untuk parti adalah berdasarkan perlembagaan yang dikemukakan oleh parti berkenaan.
 
"Secara prinsip parti PPBM telah diluluskan tetapi mereka perlu mengemukakan lebih lanjut perbezaan tugas antara pengerusi dan presiden," katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah.
 
 

Pertemuan Mahathir-Anwar tidak jejaskan Umno

Posted: 08 Sep 2016 06:06 AM PDT

Oleh Mohd Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pertemuan dua seteru politik antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjejaskan Umno, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Malah katanya, Umno cenderung memfokuskan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat, berbanding dengan pertemuan dua tokoh politik itu. 
 
"Dia bertemu, bertemulah. Kita bertemu rakyat. Apa salahnya. Dia bertemu dia punya pasal lah.
 
"(Umno) tak terjejas," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas melancarkan majlis pecah tanah di ibu negara hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas oleh pemberita tentang pertemuan Mahathir dan Anwar Selasa lepas.
 
Mahathir Selasa lalu melakukan kejutan apabila hadir di mahkamah untuk berjumpa Anwar yang memfailkan tindakan undang-undang bagi menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 atas alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak sah.
 
Bagaimanapun tokoh itu menafikan beliau berjumpa Anwar untuk berbaik semula dan mengakhiri permusuhan politik antara mereka yang menjangkau 18 tahun.
 
Sebaliknya kata Mahathir, kehadiran beliau adalah untuk menyokong Anwar bersabit Akta MKN.
 
Mengulas lanjut, Tengku Adnan turut membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali bahawa pertemuan bersejarah itu boleh menjejaskan Umno.
 
Beliau berkata, Umno tidak gentar dengan kewujudan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan bekas ahli parti itu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi.
 
"Tak adalah. Saya tak gentar langsung. Saya sebagai wakil rakyat kita bertemu rakyat. 'We walk the talk'," katanya ringkas. 
 
 

Persatuan Peguam Muslim setuju pindaan Akta 355

Posted: 08 Sep 2016 06:05 AM PDT

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Peguam Muslim Malaysia hari ini bersetuju dengan langkah meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) atau Akta 355 yang dibawa oleh PAS.
 
Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pindaan itu perlu bagi memperkasakan Mahkamah Syariah di segi meningkatkan hukuman, denda dan sebatan oleh Mahkamah Syariah ke atas pesalah.
 
"Bagi saya Akta 355 itu sudah lama perlu dipinda. Ia digubal pada tahun 1965 di mana hukuman yang boleh dikenakan enam bulan penjara atau RM1,000 denda atau kedua-duanya sekali. 
 
"Kemudian dipinda pada tahun 1984, yang mana hukuman maksimum adalah tiga tahun penjara,  RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Tahun 1988 dipinda kuasa tersebut diperluaskan kepada Sabah dan Sarawak. 32 tahun sudah tapi tidak dipinda, jadi saya rasa sudah sampai masanya untuk dipinda," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Oleh yang demikian, pihak persatuan bersetuju dengan usaha ke arah pindaan itu dilakukan dan disokong sepenuhnya, tambahnya.
 
Pada sesi Dewan Rakyat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membawa usul pindaan Akta 355 walaupun perbahasannya ditangguhkan.
 
Pada sidang Dewan Rakyat Oktober depan, semua ahli parlimen berpeluang untuk membahaskan usul berkenaan sebelum undi menerima atau menolak pindaan akta itu boleh dibuat.
 
"Terdapat beberapa kategori golongan yang menentang, pertama yang tidak faham dan mereka fikir kalau pindaan Akta 355 hari ini diluluskan esok akan dikenakan hukuman potong tangan sebenarnya tidak betul begitu. Ada perkara lain yang perlu kita lihat dalam bidang kuasa dan sebagainya. 
 
"Golongan kedua mungkin faham tetapi ingin menjadi juara dalam isu tertentu. Jadi dua golongan itu perlu ditemui dengan situasi yang berbeza," kata Zainul.
 
Justeru, sudah tiba masanya bidang kuasa Mahkamah Syariah diperkasakan supaya lebih luas dan mantap sejajar dengan perkembangan kes-kes membabitkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah di negara ini.
 
"Mahkamah yang paling rendah iaitu Mahkamah Masjitret mempunyai kuasa lebih tinggi daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah. Jadi nampaklah betapa bezanya bidang kuasa tersebut lagipun sudah 32 tahun pindaan tersebut tidak dilakukan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) ini mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah, malah mahkamah syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali.
 
 

Umno Selangor sambut baik Pribumi dipanggil PPBM

Posted: 08 Sep 2016 05:38 AM PDT

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno Selangor menyambut baik ketetapan yang dibuat Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang membenarkan parti itu menggunakan akronim PPBM dan bukan BERSATU.
 
Menurut Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Abdul Shukur Idrus, jika sebelum ini penggunaan singkatan nama parti itu yang dikenali sebagai BERSATU menjadi isu, kerana ia lebih sinonim dengan Umno.
 
Malah ujarnya banyak lagi perkataan lain yang boleh digunakan oleh parti yang diasakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed itu.?
 
"Ini adalah cogan kata yang digunakan Umno, jadi mengapa mereka harus meniru yang telah dilaksanakan kepada parti tersebut. Mereka boleh guna perkataan lain, kenapa perlu tiru apa yang ada pada parti telah gunakan sekian lama," katanya kepada Antarapos.
 
Kelulusan PPBM itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi, yang turut menggesa parti itu mengemukakan peranan pengerusi dan presiden parti secara lebih terperinci kepada RoS secepat mungkin.
 
Badan pendaftar itu juga telah meluluskan logo baharu parti tersebut mengikut permohonan yang dibuat.
 
Mengulas mengenai parti serpihan Umno yang telah didaftarkan secara sah hari ini, Syukur berkata Umno tetap akan menjadi pilihan rakyat terutamanya orang Melayu.
 
"Apa juga parti yang nak ditubuhkan daripada parti serpihan Umno (tapi) parti itu tetap utuh setakat hari ini kita dapat melihat bahawa kita mendapat sokongan daripada rakyat dan kita merupakan parti yang ulung semenjak merdeka sehingga hari ini.
 
"Biarlah mereka nak buat apa pun dan apa jua parti yang mereka nak tubuhkan, saya yakin orang Melayu selepas 6 dekad kita tempuh sokongan kepada Umno tidak berubah," katanya lagi.?
 
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata ini membuktikan wujudnya elemen demokrasi yang tidak menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti.
 
"Kita menganggap isu itu sebagai kesuburan demokrasi dalam negara kita. Bagi kami (ahli Umno) kita anggap ia sebagai organisasi yang ingin masuk ke dalam gelanggang politik dan menawarkan diri sebagai sebuah parti untuk bertanding.?
 
"Itu sahaja dan menganggap parti itu sebagai kumpulan yang berminat untuk masuk dalam kancah politik," katanya.
 
PPBM didaftrakan oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Ogos lalu.
 
Parti itu rata-ratanya mengambil kaum Melayu dan Bimuputera sebagai ahli, namum parti itu turut membuka pintu untuk kaum bukan Melayu.
 
Bagaimanapun kaum bukan Melayu dikelaskan kepada ahli bersekutu yang tidak mempunyai hak untuk memegang jawatan mahupun mengundi.
 
 

JPJ saman, Najib jadi 'bahan'

Posted: 08 Sep 2016 05:33 AM PDT

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI


Pelbagai kontroversi melanda dirinya membuatkan populariti Datuk Seri Najib Razak tidak lagi seperti dulu.

Apa pun yang berlaku, walaupun tiada kena mengena, menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menyalahkan perdana menteri.

Ia malah berlaku bukan hanya dalam isu-isu negara, tetapi membawa juga kepada permasalahan jalan raya.

Hari ini, sebuah video dimuat naik di Youtube, memuatkan rakaman seorang lelaki yang mengeluh kerana disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak memperbaharui cukai jalan.

Rakaman itu dimuat naik pengguna Internet menggunakan nama "Minah Tudung".

Dalam rakaman 1.21 minit itu, kelihatan lelaki berkemeja T merah itu mengeluh di tepi jalan dengan berlatar belakang pegawai JPJ yang sedang menjalan tugas di belakangnya.

"Hari ini saya disaman oleh JPJ di lebuh raya Bukit Kayu Hitam dan saya minta untuk Najib Tun Razak meletakkan jawatannya dengan segera kerana telah banyak menyusahkan raktat Malaysia.

"Dan kami minta polis segala menangkap Najib Tun Razak," katanya.

Rakaman itu, menurutnya dibuat di kawasan sempadan Kedah-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).

Dalam loghat Kedah, lelaki berbaju merah dalam umur dalam lingkungan 30-an itu mendakwa harga insurans motosikalnya telah menjadi mahal daripada RM100 kepada RM135.

"Pihak insurans mengambil banyak sangat kos daripada rakyat," katanya,

Untuk memperbaharui cukai jalan, seseorang itu perlu membayar insurans baru kenderaan terlebih dahulu.
Najib sedang berdepan kontroversi 1MDB, termasuk kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya serta identitinya yang didedah sebagai Malaysian Official 1 yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman, Amerika Syarikat.

Beliau menafikan menyalah guna dana awam untuk kepentingan peribadi.

Siapa Malaysian Official 1

Posted: 08 Sep 2016 05:27 AM PDT

Dr Mahathir Mohamad


ULASAN - Adalah menarik pengakuan yang dibuat oleh menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa 'Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut dalam tuntutan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, jelas adalah Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sekarang, apa kata DOJ tentang MO1, iaitu Najib, perdana menteri Malaysia.

Pada halaman 13 perenggan 39 laporan itu berkata, "Setelah ditubuhkan, MO1 iaitu Najib mengambil alih kedudukan kuasa dalam 1MDB. MO1 (Najib) mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan, dan penyingkiran, lembaga pengarah 1MDB pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

Di samping itu, sebarang komitmen kewangan 1MDB, termasuk pelaburan, yang berkemungkinan menjejaskan jaminan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk manfaat 1MDB atau mana-mana dasar kerajaan Malaysia memerlukan kelulusan MO1 iaitu Najib."

Halaman 17 perenggan 50. "Satu mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB telah diadakan pada 26 September, 2009. Low (bukan ahli lembaga) turut menghadiri mesyuarat ini."

Halaman 11 perenggan 29. "Aziz mempunyai pertalian kekeluargaan dengan MO1 (Najib) dan rakan Low."

Halaman 55 perenggan 178. "Sebaik dana telah dipindahkan dari Aabar-BVI kepada Blackstone, ia digunakan untuk membuat pembayaran kepada Qubaisi dan Husseiny, yang berkhidmat sebagai pegawai untuk kedua-dua Aabar dan Aabar-BVI kepada MO1 (Najib) dan kepada 1MDB Officer 3. "

Halaman 59 perenggan 192. "Akaun perunding MB menerima satu lagi pemindahan $1,500,000 dari akaun Blackstone pada atau sekitar 22 Januari 2013.

"Blackstone memindahkan sekurang-kurangnya $30 juta kepada akaun milik MO1 (Najib)."

Halaman 59 perenggan 193. "Blackstone juga memindahkan sekurang-kurangnya $ 30,000,000 kepada akaun milik MO1 (Najib) tidak lama selepas menerima dana daripada Aabar-BVI."

Halaman 59 perenggan 194. "Pada atau sekitar 30 Oktober 2012 - kira-kira tujuh hari selepas Blackstone menerima $ 75,000,000 secara langsung dari Aabar-BVI dan kira-kira enam hari selepas ia menerima $ 360,000,000 secara tidak langsung daripada Aabar-BVI melalui Enterprise dan Cistenique - Blackstone memindahkan $5,000,000 ke dalam akaun Ambank di Malaysia yang dipegang atas nama 'AmPrivate Banking MR'."

Halaman 59 perenggan 195. "Akaun bank 'AmPrivate Banking MR' milik MO1 (Najib) dan adalah akaun sama yang menerima $20,000,000 dari pengasas bersama, Petrosaudi pada tahun 2011, dalam masa beberapa hari penerimaan dana daripada pengasas bersama Petrosaudi daripada Good Star, seperti dinyatakan dalam Seksyen II.G."


Zika jadi alasan desak caj jalan ke atas kereta Singapura

Posted: 08 Sep 2016 05:21 AM PDT

MALAYSIAKINI


ADUN Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat mengaitkan virus Zika dalam cubaannya untuk mendesak kerajaan melaksanakan "caj jalan" bagi kenderaan yang berdaftar di Singapura yang memasuki negara ini.

Katanya, kerajaan negara ini berbesar hati memberi keizinan kepada pemilik-pemilik kenderaan berpendaftaran Singapura untuk menggunakan prasarana di Malaysia secara percuma dan tanpa sebarang sekatan.

Sedangkan, menurut pemimpin Umno Johor itu, rakyat negara ini yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan memandu kereta berpendaftaran Malaysia di republik itu dan sekiranya ditahan, mereka boleh dikenakan denda yang berat.


"Mereka bantu membangunkan negeri itu, membayar pelbagai jenis cukai kepada kerajaan Singapura, dan kini membawa risiko tinggi bagi rakyat tempatan dengan berulang alik setiap hari ke negeri itu yang sudah ada kuman berjangkit Zika

"Di masa yang sama, mereka tidak membayar apa-apa cukai yang boleh membantu negara untuk menaikan dana kita. Dari sudut manapun nampaknya kita yang rugi," kata Tengku Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan caj jalan ke atas kenderaan yang berdaftar di Singapura pada kadar segera.

Tambahan hasil RM6 juta setahun

Menurutnya, walaupun caj jalan itu sudah melalui tempoh percubaan dari 1 Jun hingga 15 Julai lalu dengan 120,000 kenderaan Singapura berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun pelaksanaanya masih belum ditetapkan.

Tengku Putra berkata isu ini bukaran perkara baru dan beliau sendiri pada tahun 2002 telah mencadangkannya supaya kerajaan mengenakan levi RM10 kepada setiap kenderaan yang berdaftar di Singapura memasuki Malaysia.

Jika levi RM10 dikenakan sejak itu, beliau berkata kerajaan Malaysia sudah mengumpulkan kira-kira RM2 bilion, dan sebahagian wang itu boleh digunakan untuk memperbaiki infrastruktur di Johor.

"Adalah tidak adil bagi rakyat Malaysia untuk membiayai kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan untuk keselesaan warga asing di bumi Johor dan Malaysia.

"Caj jalan ini bukan ditujukan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang memandu kenderaan bependaftaran Singapura sahaja tetapi juga kepada rakyat Singapura yang datang ke Malaysia dan menggunakan infrastruktur serta kemudahan kita," katanya.

Tengku Putra juga mencadangkan bahawa kad caj jalan itu diperbaharui setiap tahun dengan bayaran RM50 setiap tahun dan ini akan mendatangkan hasil tambahan RM6 juta setahun kepada kerajaan.

"Kita tidak boleh lagi membiarkan rakyat Singapura menggunakan rakyat Malaysia yang bekerja di sana sebagai helah untuk dikecualikan dari membayar caj jalan dan di waktu yang sama membolehkan mereka mengeksploitasi layanan baik kita secara percuma.

"Kita perlu belajar untuk membuat kajian, memilih pihak yang mahir, layak dan mampu, baru mengumumkan keputusan apabila kita bersedia untuk melaksanakannya dalam masa yang ditetapkan.


"Terlalu kerap kita berbunyi seperti tin kosong. Bunyinya kuat tetapi tiada berisi. Dan apabila kementerian gagal untuk melaksanakan sesuatu dengan sempurna, ia akan membawa kesan kepada kerajaan yang selama ini penuh bertanggungjawab," katanya.



Umno tersedak lihat pertemuan Dr M-Anwar, kata Mahfuz

Posted: 08 Sep 2016 05:15 AM PDT

MALAYSIAKINI


Pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seteru politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan reaksi menggerunkan pemimpin Umno, kata ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, tiga kali Umno mengalami 'serangan histeria' iaitu sebelum dan selepas Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengemukakan permohonan kepada pendaftar pertubuhan (ROS) serta pertemuan kedua-dua pemimpin politik itu.

"Nampaknya dalam tempoh sebulan setengah ini sudah tiga kali Umno diserang histeria.

"Reaksi pemimpin Umno terhadap pertemuan dua insan dan tokoh hebat ini menjadikan pemimpin Umno tak mampu berkata apa-apa selain lemparan tuduhan Tun M terdesak.

"Hakikatnya pemimpin dan Umno mengalami keadaan tersedak daripada pertemuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin Umno baru-baru ini menyifatkan tindakan Mahathir menemui seteru politik yang juga bekas anak didiknya itu sebagai tindakan politik terdesak.

Antaranya oleh timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut mendakwa tujuan Mahathir mempunyai maksud tersirat.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar juga mempersoalkan kewajaran Mahathir menemui Anwar selepas mengeluarkan pelbagai cercaan terhadapnya..

Terdahulu, Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September lalu bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Kedua-dua seteru politik itu kemudian dilihat bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Menurut Mahfuz, Mahathir terdesak untuk menyokong permohonan Anwar bagi menyelamatkan negara daripada akta MKN yang memberikan banyak kuasa kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebaliknya, pemimpin Umno pula tersedak melihat pertemuan kedua-dua tokoh itu.

"Dua insan ini sedang menyokong dan mendokong antara satu sama lain dalam menyekat penguatkuasaan akta MKN yang merampas kuasa Yang di Pertuan Agong melindungi rakyat dan negara.

"Pertemuan dua tokoh ini menjadikan Umno tersedak dan membawa kepada saluran pernafasan Umno tersumbat. Ini menunjukan jangka hayat Umno tak lama," katanya



Ku Nan: Biarlah BERSATU dengan dunia dia

Posted: 08 Sep 2016 05:09 AM PDT

Zulaikha Zulkifli 

LIHAT VIDEO DI SINI


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor enggan mengulas lanjut mengenai kelulusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.

"Saya tak tahulah.

"PPBM (BERSATU), biarlah dia dengan dunia dia," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di ibu negara hari ini.

Selain itu, ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang menganggap Umno gentar ekoran pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adnan berkata parti Melayu itu langsung tidak gentar.

Malah, katanya, sebagai wakil rakyat apa yang lebih penting baginya ialah bertemu dengan masyarakat.
"Tak gentar langsung. Saya sebagai wakil rakyat, kita bertemu rakyat.

"Kita buat apa yang kita cakapkan," katanya lagi.

‘Ketua lulusan Oxford tapi biar ahli main politik kampung’

Posted: 08 Sep 2016 05:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyelar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika berkongsi pandangannya berhubung desakan seorang pemimpin MCA supaya Umno tidak lagi menggunakan taktik menakut-nakutkan bangsa lain untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Beliau berkata kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menunjukkan bahawa Umno khususnya sayap Pemuda, tidak lagi sejajar dengan perkembangan minda generasi baru.

"Walaupun diketuai oleh seorang yang berkelulusan Oxford tetapi masih membiarkan pemuda-pemudanya bermain dengan politik kekampungan yang tidak relevan dengan generasi terpelajar Melayu kini.

"Walaupun ini tidak dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin sendiri tetapi beliau ternyata lebih mementingkan survival dirinya daripada survival Umno.

"Jeneral-jeneralnya sentiasa menggambarkan Melayu berada dalam ketakutan dan menunjukkan reaksi sanggup berperang dan tidak bersikap rasional walaupun diketuai oleh seorang yang berkelulusan Oxford," katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Mengulas kenyataan Ti, Zainuddin atau juga dikenali sebagai Zam berkata, pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan satu dimensi baru dalam arena politik tempatan.

"(Ini) tidak boleh dipandang kecil oleh parti-parti komponen BN terutama Umno sendiri.

"MCA melihat ini sebagai simbol dinamisma taktik politik Mahathir yang menggambarkan keyakinan baru orang Melayu dan meminta Umno keluar dari kepompongnya yang takut dengan bayang-bayang orang Cina dan memomokkan sebagai Islam berada dalam ancaman," katanya.

Zam yang juga adalah bekas ketua pengarang Utusan Malaysia berkata, kenyataan Ti tidak boleh dianggap rasis kerana ia adalah pandangan dinamik dan relevan berdasarkan realiti politik pada masa ini.

Beliau berkata generasi baru orang Melayu mahu kepimpinan berwibawa, bersih, cekap dan amanah dari hanya mencari undi atas teriakan perkauman dan keagamaan.

"Saya percaya pandangan Datuk Ti ini tidaklah hanya merupakan fikiran beliau sahaja tetapi tentulah juga fikiran pemimpin-pemimpin MCA yang melihat dinamisma politik dalam kesanggupan Mahathir berjabatan tangan dengan musuh lamanya Anwar Ibrahim di samping bersama dengan DAP yang dianggap sebagai parti perkauman Cina demi keselamatan maruah bangsa Malaysia dan negara," katanya.

Ti dalam satu kenyataan media sebelum ini, berkata jika Mahathir boleh menjadi cukup Machiavelli untuk mendakap Anwar dalam perubahan suatu permainan, mengapa Umno tidak boleh melakukan perkara yang sama.

"Telah berlalu hari hari-di mana Umno boleh menunjukkan jari kepada golongan minoriti dengan mempamerkan kekuatan dan menjerit supaya Melayu dan Islam bersatu untuk menentang orang lain", kata Ti.

Nasihat PAS - Baca al-Quran, jangan baca Facebook

Posted: 08 Sep 2016 04:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menasihati ahli dan penyokong parti itu supaya sentiasa membaca al-Quran dan mengetepikan Facebook.

Memetik pengalamannya bertemu Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada suatu hari Nasrudin menceritakan bagaimana beliau memaklumkan kepada presiden PAS itu mengenai sikap serta pandangan awam terhadap parti mereka.

Antara isu utama yang dilaporkannya kepada Abdul Hadi ialah tanggapan ramai mengenai ketegasan beliau membawa rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta 355 ke Parlimen.

"Pandangan awam itu rata-ratanya saya kutip dari Facebook, Twitter, Whatsapp group dan lain-lain media sosial (serta) media konvensional.

"Sebahagian mendakwa PAS telah ditipu oleh Umno dan BN, sebahagian mendakwa PAS akan menyertai Umno dan BN, sebahagian menganggap PAS salah langkah politik sehingga menyebab PAS akan terpinggir dari arus perdana tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah PAS membawa RUU Ahli Persendirian ke parlimen," katanya.

Menurut anggota parlimen Temerloh itu reaksi Abdul Hadi terhadap laporan berkenaan ialah "sangat tenang".

Selepas mendengar laporan serta celotehnya mengenai sikap dan pendekatan PAS dalam pelbagai isu, Abdul Hadi hanya mengulas dengan sepatah ayat: "Anta (kamu) baca al-Quran, jangan baca Facebook."
Bagaimanapun untuk makluman Nasrudin menyatakan kisah dan nasihat berkenaan melalui Facebook.

Selamat ke akhirat

Kata Nasrudin pada tanggapannya Abdul Hadi tidak berminat untuk melayan "segala caci maki dan kritikan sinis" pengguna media sosial terhadap PAS.

Seminggu kemudian kata Nasrudin berlangsung mesyuarat bulanan PAS dan seperti biasa ia dimulakan dengan usrah ahli jawatankuasa pusat parti berkenaan.

"Rupa-rupanya ahli usrah lain turut membangkitkan perkara serupa, betapa Facebooker dan pengamal media sosial lain sebahagiannya mengecam PAS bertali arus dan mereka mahu mendapatkan respons balas dari Tuan Guru Presiden.

"Sewaktu merumus perbincangan usrah pada waktu itu, sekali lagi Tuan Guru Presiden menegaskan: Kita kena baca al-Quran, jangan baca Facebook saja!" tulis Nasrudin.

Bagaimanapun kata Nasrudin pada pertemuan bulanan itu Abdul Hadi menghuraikan dengan lebih panjang maksud penegasan beliau bagi memahamkan ahli usrah.

"Baca al-Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalamullah. Al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat.

"Baca al-Quran! Jangan baca Facebook saja! Tegas Datuk Seri Tuan Guru Presiden mengakhiri rumusan usrah kami waktu itu," tulisnya dalam tulisan berjudul "Sekali Serban Dililit (51): Baca al-Quran! Jangan baca Facebook ..."

Kenyataan itu turut dimuat naik dalam portal Harakahdaily diiringi gambar Abdul Hadi sedang menatap komputer riba.

Cemar nama baik Tok Guru

Posted: 07 Sep 2016 10:03 PM PDT


Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Razak Abas
Razak


RANTAU PANJANG – Tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menggunakan nama bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi setelah pemergiannya.

Sehubungan itu, Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Razak Abas mencadangkan agar ahli keluarga Allahyarham mengambil tindakan undang-undang terhadap Husam yang masih menggunakan nama Tok Guru demi kepentingan individu.

Menurutnya, tindakan Husam itu turut mencemar nama baik Allahyarham untuk kepentingan duniawi.
"Jika perkara ini berterusan, saya harap ahli keluarga Allahyarham buat aduan agar pihak lain terutama Husam tidak lagi menggunakan nama tokoh Pas itu untuk kepentingan diri," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab, Datuk Adnan Mohd Zain berkata, tindakan Husam itu seperti tidak mempercayai kemampuan sendiri kerana masih menggunakan nama Tok Guru.

Menurutnya, ia sekadar mencari sokongan rakyat, sedangkan rakyat membenci tindakan itu kerana menggunakan pengaruh tokoh yang sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat Husam mencari publisiti bagi mencari pengaruh dalam parti sendiri.

Katanya, Husam mungkin mengejar jawatan Presiden Amanah, sedangkan jawatan itu masih dipikul Mohamad Sabu (Mat Sabu).

"Selagi Mat Sabu tak beri jawatan itu kepada Husam, kami percaya Amanah tidak akan aman daripada pelbagai masalah," katanya.

Dua hari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tindakan Husam kerana menggunakan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz selepas kematiannya dan menyifatkan kenyataan Husam itu sebagai jahil agama.

Anak kepada pemimpin itu, Nik Abduh turut tampil memberi kenyataan sinis di laman Facebook miliknya, semalam.


Datuk Aliff Syukri nak bantu anda berniaga

Posted: 07 Sep 2016 09:59 PM PDT

Aliff Syukri
Aliff Syukri
 

LIHAT sahaja gambar di atas siapa sahaja yang tidak kenal dengan fenomena tag line 'terlajak laris'. Datuk Aliff Syukri pengasas syarikat terkemuka  D'Herbs Healthy Sdn Bhd dengan pelbagai produk kecantikan dan kesihatan berdiri gah tidak hanya di dalam Malaysia malah turut mendapat liputan di luar negara.

Kejayaannya tidak terus bermula dari atas, tetapi beliau sendiri bermula dari bawah.

Berbekalkan azam yang kuat, beliau bermula dengan hanya menjual produk beliau sendiri kepada sahabat handai dan juga rakan-rakan sepejabat.

Tidak reti duduk diam, Aliff mengambil kesempatan  memasarkan produk beliau di Pasar Tani Seksyen 13, Kelana Jaya & Sri Andalas pada masa terluang.

Dengan gaya tersendiri, produk beliau mendapat sambutan ramai justeru memikat hati pelanggan.
Syarikat D'Herbs berjaya ditubuhkan pada tahun 2010 dengan 4 produk utama iaitu Bedak Asas, Produk pelansingan, Minuman Kesihatan Wanita dan Lipstick Rawatan Bibir.

Pada masa itu beliau hanya beroperasi di kedai 2 tingkat dengan pekerja seramai seorang sahaja.

Kini beliau berjaya mengorak langkah dengan 90 rangkaian produk baharu dan telah  dinobatkan sebagai penerima anugerah 'Putra Brand Awards 2015'.

Anugerah ini adalah anugerah jenama terulung di Malaysia dan ia merupakan anugerah jenama tunggal di Malaysia untuk pengurus jenama dan pemilik jenama.

Oleh itu, hakim-hakim Putra Brands Award adalah pengguna-pengguna di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Sehingga kini, Aliff mempunyai beberapa anak syarikat seperti Megah Perawan Sdn Bhd yang turut juga menghasilkan dan menjual produk kosmetik . Selain itu, beliau turut menubuhkan syarikat Aliff Herbs Manufacturing Sdn Bhd untuk pengilangan produk kesihatan dan kecantikan serta membolehkan syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini.

Produk D'Herbs bukan sahaja dapat perhatian di dalam negara malah turut menjadi pilihan no 1 di lain-lain negara seperti Singapura dan juga Brunei.

Kali ini lain daripada yang lain kerana beliau akan mengadakan seminar keusahawanan untuk membantu anda berniaga.

Beliau juga akan ajar satu persatu teknik untuk memulakan perniagaan kosmetik.

Kali ini Datuk Aliff akan membuka peluang untuk bersama-sama beliau dalam perniagaan yang lain daripada yang lain.

Strategik baru dan cara 'marketing' terbaik akan dibocorkan.

Ketahui teknik dan mari bersama sama  berniaga dengan usahawan hebat tanah air kita !

Tempat duduk adalah terhad. Hanya di buka kepada 100 orang sahaja.

‼Tinggal 65 orang sahaja lagi‼

Jadi jangan lepaskan peluang untuk bertemu dan belajar bersama Datuk Aliff syukri.

Yuran: RM 50 sahaja
Tarikh: 20 September 2016
Waktu: 9.30 pagi - 5.30 petang
Lokasi: level 1 Dewan Aminuddin baki, Wisma Sejarah

Untuk mendapatkan seat, sila call/whatsapp: +60 12-663 0604 (Hisham), +60 11-1561 5151 (Nadya), +60 17-935 4986 (ezzah)

Peluang tak datang banyak kali.

Dakwa pegawai Imigresen beri layanan buruk

Posted: 07 Sep 2016 05:07 PM PDT

Dakwa pegawai Imigresen beri layanan buruk
Gillian memuat naik gambar bersama kedua ibu bapanya. - Facebook Gillian Benjamin


SEPANG - Seorang wanita menggunakan nama Facebook, Gillian Benjamin mendakwa ibunya yang juga seorang OKU dan bapanya telah menerima layanan buruk oleh seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Meluahkan perasaan di Facebooknya, Gillian berkata, pegawai wanita tersebut menjerit kepada ibu dan bapanya sedangkan jarak mereka begitu hampir.

"Dia jerit 'helo!Pergi kaunter 31! Eh! Helo! Kaunter 31! 31!'. Jarak dia dengan kami dekat sahaja sebab kami depan kaunter. Kenapa perlu jerit pada ibu bapa saya?," katanya.

Dakwanya lagi, mereka bertindak pergi ke kaunter pegawai wanita tersebut dan memintanya memberikan layanan yang sopan.

"Tapi dia jerit pada saya dan Qhal (seorang lagi individu bersamanya), 'saya tak cakap dengan kamu. Saya cakap dengan mereka. Kamu kenapa? Sesat ke? Kamu orang apa?'.

"Qhal jawab 'saya orang Malaysia' dan dia juga beritahu pegawai itu dua orang yang kena jerit itu ibu bapa kami.

"Pegawai itu jawab, 'mana saya tahu. Saya ingat orang Cina. Dia (merujuk kepada Gillian) pun pakai macam itu, mana saya tahu!'," katanya.

Berang dengan kenyataan pegawai itu, Gillian berkata, "apa kaitan Cina dengan cara dia layan kami? Apa kaitan Cina dengan cara saya berpakaian? Apa kaitan Cina dengan tindakan kamu menjerit kepada OKU dan warga emas? Kamu rasis ke?."

Status itu menarik perhatian pelayar di Facebook apabila ia dikongsi hampir 1,000 kali.


Kawasan perumahan mangsa Zika bermasalah denggi

Posted: 07 Sep 2016 05:07 PM PDT

SINAR HARIAN

virus zika
Gambar hiasan


JOHOR BAHRU - Kawasan perumahan didiami seorang wanita mengandung berusia 27 tahun yang disahkan dijangkiti virus Zika, dikenal pasti sebagai kawasan bermasalah wabak denggi kerana semburan pengabutan sering dilakukan di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, pesakit terbabit menyatakan beliau tidak pernah berkunjung ke negara-negara terjejas dengan virus Zika, dan mendakwa kali terakhir melawat Singapura adalah enam bulan lepas.

"Bagaimanapun, beliau memberitahu doktor bahawa kawasan perumahannya adalah kawasan bermasalah denggi kerana semburan pengabutan kerap dilakukan di sana," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan makluman daripada pihak hospital semalam, Ayub berkata aktiviti kawalan vektor di Taman Desa Harmoni serta tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit terbabit, telahpun bermula.

"Selepas menerima pemberitahuan daripada pihak hospital, tinjauan aedes segera dilakukan di kediamannya dan 400 rumah telah diperiksa, dengan Indeks Aedes sebanyak 2.3 peratus. –Bernama


Dana buku: Mungkin ada individu lain terlibat

Posted: 07 Sep 2016 05:00 PM PDT

SINAR HARIAN

SPRM
SPRM


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan didakwa berhubung kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata kesemua butiran pihak yang terlibat telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada lagi pihak yang akan dituduh dalam tempoh terdekat tetapi saya tidak boleh mendedahkan butiran mengenai bila dan siapa individu terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.‎

Azam berkata, individu yang akan dikenakan tuduhan itu bergantung kepada pertimbangan timbalan pendakwa raya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan bukti-bukti sedia ada dan hanya menunggu keputusan dibuat oleh timbalan pendakwa raya.

Pada 25 Ogos lepas, SPRM menahan lapan orang termasuk Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak bagi membantu siasatan kes itu, manakala Pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal ditahan pada 29 Ogos, ketika tampil memberi keterangan di pejabat SPRM.

Mustafha dan Abdul Aziz yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 juta, Mac lepas, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah. - Bernama


Tiada ulasan: