Nuffnang

Pengikut

DIALOG RAKYAT

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Majikan Mangsa Culik Terima Panggilan Minta Wang Tebusan

Posted: 17 Sep 2016 08:47 AM PDT


 
 
 
TAWAU: Majikan kepada tiga warga Filipina yang diculik tujuh lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom Pom di Semporna Sabtu lepas menerima panggilan meminta wang tebusan bernilai 2 juta Peso (RM180,000).

Karim Musappa, 30, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang mangsa culik Masurin, 50-an, pada Isnin lepas dan menyebut mengenai wang tebusan yang diminta penculik.

"Saya terima panggilan pada Hari Raya Haji pada pukul 7.55 pagi...penculik menjadikan mangsa (Masurin) sebagai orang tengah untuk berkomunikasi dan meminta wang tebusan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata laporan polis dibuat sejurus selepas menerima panggilan telefon tersebut.

Karim berkata isteri kepada seorang daripada mangsa culik itu turut menerima panggilan telefon baru-baru ini meminta wang tebusan yang perlu diberi hingga 19 September ini.

Sekiranya gagal, kepala mangsa akan dipotong," katanya dan menambah kesemua mangsa dipercayai berada di selatan Filipina di Jolo.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan pengadu menerima panggilan telefon tersebut namun enggan mengulas butirannya kerana polis masih menyiasat kesahihan panggilan telefon yang diterima itu.

Abdul Rashid berkata difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes itu. Tiga yang diculik di atas kapal Putera itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an, masing-masing warga Filipina tetapi memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas. 

Mereka diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40 malam pada 10 September lepas.  -Bernama

Tidak tegur Jeff Ooi, DAP tunjuk wajah sebenar, kata PAS

Posted: 17 Sep 2016 08:37 AM PDT

 
Timbalan Ketua Pemuda PAS berkata Ahli Parlimen Jelutong paling kurang ajar di negara ini


Khalil Abdul Hadi


KUALA LUMPUR: DAP menunjukkan warna sebenarnya kerana gagal menegur wakil rakyat mereka berhubung komen biadab terhadap bekas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia baru-baru ini, kata Pemuda PAS.

Timbalan Ketua Muhammad Khalil Abdul Hadi merujuk kepada status Twitter Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi semalam yang menulis "Adios Haron Din. Let there be peace, yang kemudian ditukar kepada "Received a personal call awhile ago. Farewell. Let there be peace."

Bercakap kepada pemberita diluar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Khalil berkata status sebegitu "sangat berat" tetapi kegagalan DAP menegur Ooi mengecewakan.

"Jeff seorang ahli Parlimen yang paling kurang ajar di negara ini apabila sanggup keluar kenyataan yang sangat tidak sesuai.

"Ia membayangkan wajah DAP apabila tidak ada sebarang teguran dari pimpinan parti terhadap sikapnya," katanya.

Khalil menjelaskan Islam mengajar menghormati orang yang meninggal dunia walaupun jenazah bukan beragama Islam.

"Kami sangat kesal kenyataan oleh beliau yang buat komen hina almarhum dengan kata-kata tidak layak yang boleh timbulkan keadaan tidak harmoni."

"Almarhum seorang yg diterima semua pihak, saya harap dia buat maaf terbuka."

Baju Merah buat laporan polis terhadap Bersih, Maria Chin

Posted: 17 Sep 2016 08:28 AM PDT

 
Polis digesa siasat dan ambil tindakan tegas kerana menghasut orang ramai supaya berhimpun untuk tunjuk perasaan Bersih 5 19 November depan.



Ariffin Abu Bakar


PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat terhadap pemimpin Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kerana menyeru orang ramai berhimpun untuk tunjuk perasaan Bersih 5 19 November depan.

Laporan itu dibuat oleh gerakan Baju Merah. Ketua Penerangannya Ariffin Abu Bakar menggesa tindakan tegas diambil terhadap Maria kerana menghasut orang ramai supaya berhimpun dan melakukan tindakan yang menurutnya boleh menggugat ketenteraman awam dan keamanan.

Beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas menyaksikan rakaman video dalam talian sidang media Bersih 2.0, menurut Star Online. Katanya Maria secara terang-terangan menyebarkan dakwaan palsu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya bimbang tindakannya akan mencemar imej negara kita," katanya dipetik, selepas membuat laporan polis di Ampang Jaya.

Katanya beliau membantah tunjuk perasaan Bersih 5 kerana ia boleh mencetuskan huru-hara, menggugat ekonomi dan menjejaskan aktiviti pelancongan.

Ali Tinju ugut Maria tak jalan di bumi lagi

Posted: 17 Sep 2016 08:21 AM PDT

 
 
 
Maria Chin bagaimanapun komited kepada usaha mendesak reformasi institusi di Malaysia


ali-tinju-maria-chin-1


PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin perlu berwaspada atau beliau nanti "tidak akan berjalan di atas bumi", kata pemimpin Gerakan Merah Ali Tinju.

Bekas anggota tentera itu, yang nama sebenarnya Mohd Ali Baharom, memberi amaran selepas Maria mengumumkan tunjuk perasaan Bersih 5 akan diadakan 19 November nanti.

"Kita akan serang hendap dia. Tengok masa. Saya tak kisah masuk penjara. 10 tahun pun tak kisah.

"Tunggu dan lihat. Dia tak akan rasa aman, walaupun pengawal peribadi 10 ke 20 orang, kita akan sebat.

"Dia kena ingat. Saya takut dia nanti tidak akan berjalan di atas bumi. Ini kata-kata bekas tentera.

"Jangan cabar kami. Nanti kami akan buatkan kaki dia ke atas, kepala dia ke bawah jalan," katanya kepada FMT hari ini.

Sementara itu, Ali berkata kumpulannya mungkin akan menganjurkan sesi senaman di depan kediaman Maria untuk menguatkan pinggul mereka.

Dia tidak menceritakan rancangannya itu dengan lebih lanjut, sebaliknya memaklumkan FMT dia merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan sekiranya Bersih meneruskan rancangan 19 November itu. Katanya, Bersih 5 beri masalah kepada rutin harian orang lain.

"Kenapa dia pulak nak jadi hero. Kalau kamu semua tak puas hati dengan kerajaan yang memerintah, kamu semua tunggu PRU-14 lah. Negara kita ada undang-undang, kena hormati undang-undang.

"Kita akan turunkan orang-orang kita dan buat tunjuk perasaan terhadap 'Kuning' pada hari yang sama.

"Tetapi dalam masa terdekat ini saya akan serang hendap Maria Chin. Mungkin kat rumah, mungkin kat kedai, mungkin kat mana-mana.

"Perbuatan pada 19 November untuk buat himpunan akan menyusahkan orang berniaga, orang nak beli belah, pelancong pun rasa takut nak datang, dan rasa negara ini seperti tidak aman dan tidak selamat. Jadi Maria Chin pun tidak akan selamat selepas ini."

Ditanya mengenai tindakan undang-undang sekiranya dia menyebabkan bahaya menimpa Maria atau pada orang yang menjaga keselamatannya, Ali berkata perkara itu terletak pada mahkamah, bukan Maria.

"Jangan buat kacau bilau dalam negara, kami menentang sehabis keras."

Ketika dihubungi, Maria melahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Ali itu, tetapi tidak merancang untuk membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau berkata Bersih 2.0 akan terus komited kepada usaha mendesak reformasi institusi di Malaysia.

"Kami akan tumpu pada tuntutan kami kerana ia mengenai reformasi institusi, termasuklah pilihan raya adil dan bersih yang sangat diperlukan di negara ini.

"Kami akan teruskan rancangan kami kerana kami percaya ini sesuatu yang kami mahu lakukan demi negara."

Bersih 5: Lebih baik bersihkan KL daripada desak Najib, kata Nazri Aziz

Posted: 17 Sep 2016 08:16 AM PDT

 
Menteri turut mengingatkan Bersih supaya patuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman (APA) seperti mendapatkan izin pemilik tempat terlebih dahulu.



nazri


JELEBU: Lebih baik adakan kempen membersihkan Kuala Lumpur daripada mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

Jelasnya kempen kebersihan adalah lebih bermanfaat berbanding gabungan pemantau pilihan raya turun ke jalanan melakukan perkara yang sama berulang kali.

"Kita tiada masalah dengan Bersih 5. Bahkan, saya yang bentangkan Akta Perhimpunan Aman (APA) kerana saya percaya pada demokrasi, dan ruang perlu diberi kepada mereka yang mahu menyuarakan ketidakpuasan hati.

"(Tetapi) eloklah jika (Bersih 5) dibuat untuk tujuan lain selain daripada yang pernah dilakukan sebelum ini. Jika kamu mahu adakan kempen 'bersih', apa kata kita buat program bersihkan kawasan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Bersih 5 pada 19 November depan yang antara lain menuntut penyingkiran Najib.

Nazri berkata hanya satu cara untuk menyingkir Najib secara sah iaitu melalui pilihan raya, bukan tunjuk perasaan jalanan.

Beliau turut mengingatkan Bersih supaya mematuhi peruntukan APA, seperti mendapatkan izin daripada pemilik tempat terlebih dahulu.

"Macam Dataran Merdeka, pemiliknya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kalau DBKL kata 'okay', 'okaylah'.

"Katalah kalau nak buat di rumah perdana menteri, tanyalah kerajaan Malaysia.

"Atau nak buat di rumah Anwar (bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Segambut, tanyalah Anwar."

LIHAT VIDEO DI SINI

MCA sedia hadapi PRU14 .

Posted: 17 Sep 2016 08:09 AM PDT

Logo MCA


SHAH ALAM - MCA menyatakan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU14.

Ketua Pemudanya, Chong Sin Woon berkata, langkah tersebut termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan PRU14.

"Kita telah tubuhkan jawatankuasa ini sejak dari 2014 bagi memastikan kemenangan BN.

"Ia juga diterajui oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mempunyai penglaman luas dalam politik," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, MCA turut mengenal pasti calon-calon yang layak bagi PRU nanti lebih awal.

"Jentera pilihan raya telah digerakkan bagi mendekati rakyat untuk memastikan sokongan terhadap BN meningkat.

"Selain itu, kita akan menggunakan kempen lebih saintifik dan efektif yang merangkumi soal selidik tepat bagi merangka program memenuhi hasrat rakyat," katanya.


Aktiviti 'R' akan dihidupkan semula

Posted: 17 Sep 2016 08:00 AM PDT

BORHAN AHMAD
 
 
Syam Ghaz isytihar sertai AmanahSyam Ghaz isytihar sertai Amanah


Badan pejuang isu royalti Kelantan 'R' akan dihidupkan semula bersama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), kata jawatankuasa pengasas NGO itu, Hishamudin Ghazali.

Pengumuman itu dibuat oleh Hishamudin yang lebih dikenali dengan nama Sham Ghaz dalam ceramah perdana di pusat khidmat Dun Salor malam ini.

Menurut Sham Ghaz, R seumpama mati apabila penaung mereka, Datuk Husam Musa tidak dilantik lagi sebagai exco kerajaan negeri selepas Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi menteri besar.
"Saya sendiri telah ditamatkan dari sebuah GLC milik kerajaan negeri," kata Sham Ghaz sebagai penceramah pertama malam ini.

Menurut Sham Ghaz, ada tiga tunggak utama punca sokongan rakyat kepada Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.

Isu itu adalah tuntutan royalti oleh NGO R, cadangan pembinaan lebuhraya dan stadium oleh Datuk Husam Musa dan usaha membawa balik pengundi luar melalui pertandingan Husam di Putrajaya.

WALAU MIRIP DAN INGIN KALAHKAN UMNO, PPBM TAK HARUS JADI MACAM UMNO

Posted: 17 Sep 2016 01:32 AM PDT

shahbudindotcom


Ketika ini PPBM sedang giat mendaftarkan ahli-ahlinya di seluruh negara. Penyelaras di peringkat negeri turut sudah dilantik, begitu juga wakil di peringkat bahagian-bahagian.

Pendaftaran secara dalam talian pula dijangka akan beroperasi pada minggu hadapan. Dalam masa yang sama, difahamkan 200 ribu borang keahlian yang dicetak pada peringkat pertama sudah pun kehabisan dan terpaksa diulang cetak.

Di Kuala Lumpur, pada hari pertama pendaftaran saja,  sebanyak 9000 borang telah diambil. Di mana-mana, tergambar ramai yang teruja dan tidak takut-takut untuk menyertai PPBM. 

Di Rembau saja, difahamkan seramai 2150 ahli baru PPBM dapat didaftarkan pada hari pertama pendaftaran.

Di media sosial pula, ternampak begitu meriah dan ceria wajah-wajah yang mendaftar sebagai ahli PPBM. Sebahagian besarnya adalah bekas ahli-ahli UMNO, ada yang pernah aktif di peringkat bahagian dan ada juga yang selama ini hanya merupakan ahli biasa saja.

Ramai kalangan profesional yang terdiri daripada akauntan, eksekutif bank, ahli perniagaan, doktor, peguam dan lain-lain turut mendaftar sebagai ahl PPBM. Ada di antara mereka adalah bekas ahli UMNO dan ada juga yang tidak pernah menjadi ahli-ahli mana-mana parti, tetapi sentiasa menyokong UMNO dan mengundi BN setiap kali pilihanraya.

Rata-rata mereka yang menunjukkan gambar masing-masing selepas mendaftar sebagai ahli PPBM, kelihatan amat bangga, cerita dan gembira dapat berbuat demikian. Barangkali ketika mereka menjadi ahli UMNO dahulu pun, perasaannya tidak sama seperti mereka menjadi ahli PPBM sekarang ini.

Dengan itu, tidak mustahil PPBM dapat mendaftar antara 350 ribu hingga 500 ribu ahli dalam tempoh dua tiga bulan ini. 

Bangganya mereka menjadi ahli PPBM ialah kerana mereka yakin ia merupakan suatu sumbangan untuk menyelamatkan negara. Dengan hanya pendaftaran RM2, yuran keahlian juga RM2 untuk setahun atau RM100 bagi keahlian seumur hidup, kemungkinan Najib dapat disingkirkan, BN dapat dikalahkan dan negara dapat diselamatkan adalah lebih tinggi berbanding jika masih kekal bersama UMNO.

Oleh kerana PPBM mirip UMNO, bertujuan menyaingi UMNO dan untuk mengalahkan UMNO, maka tidak dapat dielakkan kebarangkaliannya majoriti ahli-ahli PPBM nanti ialah bekas ahli-ahli UMNO juga.

Begitu juga, pemimpin di peringkat pusat, negeri dan bahagian-bahagian, tidak mustahil sebahagian besarnya nanti turut merupakan bekas pemimpin-pemimpin UMNO. Keadaan itu memang sukar dielakkan kerana mereka memang lebih berpengalaman, memahami politik dan ada kelebihan tertentu berbanding sesiapa yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam politik.

Bagaimanapun, oleh kerana PPBM ingin menyaingi dan mengalahkan UMNO, mereka harus menjadi lebih baik berbanding UMNO. Tidak semua bekas pemimpin UMNO, apabila menyertai PPBM, mesti diberikan jawatan, kedudukan dan keistimewaan dalam parti.

Tidak semua juga, di antara mereka itu harus diberi peluang bertanding dalam pilihanraya umum akan datang mewakili PPBM. Peranan bekas-bekas pemimpin UMNO dalam PPBM lebih baik hanya untuk menguat dan memperkukuh PPBM berdasarkan pengalaman dan ilmu politik yang mereka semata-mata. Mungkin dengan kedudukan mereka dapat menarik lebih ramai meminati PPBM.

Namun, peluang memang jawatan dan bertanding mesti lebih banyak diberikan kepada golongan profesional tempatan yang ada nama, dikenali ramai, berwatak baik dan memiliki ciri-ciri kepimpinan yang boleh diterima umum.

Jika pun bekas-bekas pemimpin UMNO mahu diberi peluang bertanding semula atas tiket PPBM, koutanya tidak harus melebihi 30 peratus. Selebihnya mesti muka-muka baru dan profesional yang tidak pernah menjadi bertanding sebelum ini.

PPBM juga tidak harus meniru budaya UMNO yang meletakkan semua Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan lain-lain penjawat kanan sebagai keutamaan untuk dicalonkan bertanding dalam pilihanraya. 

Jika ada ahli biasa atau dari kalangan ahli jawatankuasa yang lebih baik kedudukannya dalam masyarakat, berkelayakan serta lebih diterima, keutamaan haruslah diberikan kepada mereka itu. Pemegang jawatan dalam PPBM tidak seharusnya berkecil hati, merajuk dan mensabotaj ketika pilihanraya diadakan jika tidak dipilih untuk bertanding, lebih-lebih lagi yang pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Semua pihak mesti sedar matlamat PPBM ialah untuk mengalahkan UMNO dan menyingkirkan Najib. Oleh itu, PPBM kena jadi lebih baik di mata rakyat. Untuk tampil lebih baik, berkorban atau sedia dikorbankan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Hanya dengan ada yang sedia berkorban, terkorban atau dikorbankan, barulah PPBM benar-benar mampu menampilkan calon yang lebih baik berbanding UMNO dan dengannya juga,  kejayaan lebih mungkin dapat dicapai.

Walaupun PPBM adalah mirip UMNO, tetapi jangan jadi macam UMNO dan jangan juga sesekali meniru budaya UMNO.
 
 
 

Projek sekolah sukan Perlis RM140j terbengkalai, rakyat terus alami kerugian

Posted: 17 Sep 2016 01:13 AM PDT

 MOHDALI HASHIM
 
 
Pengerusi Parti Amanah Negeri Perlis Wan Kharizal Wan KazimPengerusi Parti Amanah Negeri Perlis Wan Kharizal Wan Kazim


Kegagalan Kementerian Pendidikan untuk menyiapkan Sekolah Sukan Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar, yang menelan kos sebanyak RM140 juta membuktikan betapa lemahnya kerajaan (Barisan Nasional ) BN yang memerintah tatkala ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perlis, Wan Kharizal Wan Kazim.

Menurutnya lagi bukan saja papan kenyataan kementerian tersebut telah tertanggal, sebaliknya projek tersebut menjadi projek gajah putih yang merugikan wang rakyat.

"Sekiranya projek tersebut dapat disiapkan segera, ia banyak memberi manfaat kepada generasi muda untuk menjadi pelapis dalam arena sukan negara.

"Ketidakseriusan kerajaan menyiapkan projek pendidikan berteraskan sukan tersebut menyerlahkan lagi kelemahan kerajaan yang dipimpin oleh BN.

"Mungkin akan ada lagi perasmian dan pelancaran ditapak sekolah yang sudah dihuni oleh hutan belantara tersebut menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang, " ujarnya lagi.

Wan Kharizal juga berkata, projek tersebut juga akan dilengkapi dengan pembinaan kuarters warden, kantin, lapang sasar, memanah berbumbung, gelanggang terbuka, astaka, dewan badminton dan pelbagai lagi kemudahan.

Namun begitu sehingga kini, tiada perkembangan positif yang menunjukkan pembinaan sekolah sukan tersebut akan diteruskan.

Jelasnya lagi, kegagalan menyiapkan projek tersebut juga harus menjadi penilaian kepada rakyat khususnya dalam kawasan Dun Titi Tinggi dan Parlimen Padang Besar menjelang PRU yang akan datang.

"Sekolah sukan ini merupakan salah satu dari puluhan projek kelemahan kepimpinan kerajaan BN yang menerajui negeri Perlis.

"Jutaan wang dikeluarkan, tetapi projek tidak menjadi kenyataan sehingga menghampakan harapan rakyat untuk memanfaatkan janji-janji yang dibuat sebelum ini.

"Yang mereka tahu, luluskan projek, kayakan kroni dan kontraktor dari suku-sakat mereka, " jelasnya lagi.

Malah katanya terdapat begitu banyak lagi projek yang turut terbiar sehingga memerlukan dana yang besar untuk dibaik pulih oleh kerajaan.

"Sebagai bukti ladang anggur di Sungai Batu Pahat yang suatu ketika menjadi tarikan pelancong kini terlalu daif, reput dan terbiar.

"Taman Burung hanya tinggal kenangan sahaja, sedangkan haiwan yang memenuhi taman tersebut pada hakikatnya hanya tinggal nama sahaja.

"Dataran Terinai di Empangan Timah Tasoh juga tidak lagi menjadi daya tarikan pelancong, sunyi dan sepi tanpa perhatian serius kerajaan negeri, " tambahnya lagi.

Selain itu katanya, Taman Ular serta Gua Kelam juga sepatutnya diberi perhatian kerana terlalu banyak wang yang telah dilambakkan sebelum ini bagi menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan di Perlis.

"Bangunan Projek Industri Kecil dan Sederhana di Batu Bertangkup, Chuping, juga merugikan apabila ia tidak dapat dimanfaatkan sehingga sekarang.

"Begitu juga dengan janji untuk membina Hospital Padang Besar dengan kos RM198 juga dalam Rancangan Malaysia Ke 9 hanya tinggal impian yang tidak menjadi kenyataan hingga kini.

"Oleh kerana itu, rakyat Perlis harus bangkit dan menyedari bahawa kerajaan BN Perlis yang menerajui kepimpinan tidak berjaya mengotakan janji-janji PRU, " tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Amanah bersama-sama dengan Pakatan Harapan harus diberi peluang untuk menunjukkan tatacara membela nasib rakyat melalui pilihan raya umum yang akan datang.

PAS dalam proses akhir siapkan dokumen saman Sarawak Report

Posted: 17 Sep 2016 01:07 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: PAS kini sedang melengkapkan dokumen akhir dalam memfailkan saman terhadap Sarawak Report yang mendakwa parti itu menerima sejumlah RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, barisan peguam yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sedang menyiapkan dokumen berkaitan.
 
"Peguam sudah ada cuma perlu sedia bahan untuk dikaji. Proses diserahkan kepada kumpulan yang diketuai oleh Datuk Takiyuddin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Munajat Perdana Rakyat Kelantan Sokong Rang Undang-Undang Persendirian 355 di sini, semalam.
 
 
Sementara itu, Datuk Takiyuddin memaklumkan, PAS sudah berjaya mendapatkan khidmat 'Queen Council' di London.
 
Peguamnya, Adam Tudor juga pernah mengendalikan kes saman Abdul Hadi ke atas sebuah akhbar sebelum ini.
 
"Kita telah mendapatkan khidmat Queen Council dan beliau telah bersetuju untuk mengambil kes kami. Biasalah, kes besar kita perlu menggunakan khidmat peguam dan kita di bawah lajnah undang undang dan dokumen itu kita akan kemukakan kepada beliau.
 
"Kita tak perlu bimbang kes sebegini mempunyai had enam tahun. Jadi kita perlu ada dokumen dan peguam akan meneliti serta beri notis supaya proses itu berjalan," kata Takiyuddin.
 
 
 
Bulan lalu, Sarawak Report yang berpengkalan di London, menerbitkan artikel yang mendakwa Perdana Menteri merayu supaya PAS menjauhi gabungan pembangkang dan mengalirkan RM90 juta kepada pemimpin tertinggi parti itu.
 
 

Kenyataan Jeff Ooi biadap dan rasis, kata PKR Pulau Pinang

Posted: 17 Sep 2016 01:02 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: PKR Pulau Pinang menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi yang mempersenda kematian Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semalam, sebagai biadap dan tidak bertanggungjawab.
 
Mansor yang juga anggota parlimen Nibong Tebal berkata, justeru, PKR Pulau Pinang tidak bersekongkol dan akan menjarakkan diri dengan tindakan Jeff Ooi itu.
 
"PKR sentiasa percaya bahawa manusia itu dilahirkan mulia dan kita seharusnya meletakan kemuliaan insan sebagai satu asas penting dalam etika kita berpolitik.
 
"Perbezaan politik tidak seharusnya menjadikan kita hilang sifat kemanusiaan dengan mempersenda-sendakan kematian sesiapa pun," katanya dalam kenyataan, hari ini.
 
Mansor merujuk kepada tindakan Jeff Ooi yang menulis 'Adios Harun Din. Let there be peace' di twitternya mengenai kematian arwah Haron Din semalam.
 
 
 
Jeff Ooi kemudian menjelaskan di twitter itu bahawa maksud 'Adios' dalam bahasa Sepanyol ialah 'farewell' dan dalam Bahasa Malaysia sebagai 'selamat jalan'.
 
Pada masa yang sama, Mansor menyatakan rasa kehilangan dan berdoa semoga diberikan keteguhan dan kesabaran kepada keluarga Allahyarham dalam menempuh suasana sedih ini.
 
"Saya bagi pihak PKR Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allayarham Haron Din yang telah kembali ke rahmatullah semalam.
 
"Kita semua milik Allah Taala dan kepadaNya kita akan kembali. Kami mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang soleh.
 
 

'Baba, sini seakan di bumi Anbiya'

Posted: 17 Sep 2016 12:59 AM PDT


'Baba, sini seakan di bumi Anbiya'
Antara gambar pemandangan yang dikongsi Dr Huda sepanjang perjalanan menuju ke tanah perkuburan bersama jasad bapanya. - Foto Facebook Tuan Guru Dato Dr Haron Din


SHAH ALAM - Anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din berkongsi suasana perjalanan akhirnya bersama jasad Mursyidul Am Pas itu ketika menuju ke lokasi persemadian akhir bapanya yang dipanggil Baba itu.

Menurut Dr Huda, beliau melihat seakan-akan mereka bukan di bumi California, Amerika Syarikat.

Sebaliknya sepanjang perjalanan mendekati lokasi Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore bagaikan mengulit kenangan mereka bersama sewaktu menikmati keindahan Bukit Uhud.

"Baba, ini kali terakhir kita berjalan bersama di alam ini Ba. Indah sungguh pemandangan di kiri dan kanan menuju ke tempat rehat Baba. ALLAH pilih di sini, Ba.

"Persis memori tika menikmati keindahan Bukit Uhud. Seolah-olah bukan di bumi California. Seakan kami di bumi Anbiya'," katanya sambil berkongsi tiga keping gambar pemandangan dari dalam kenderaan dinaikinya.

Setibanya di lokasi, beliau menyifatkan suasana di kawasan itu damai, indah dan tenang.

Beliau sempat mengucapkan terima kasih atas bantuan semua pihak yang membantu keluarganya dalam urusan pengebumian jasad arwah bapanya itu tanpa soal jawab.

Ketika urusa solat jenazah di masjid, Dr Huda akui tidak menyangka penerimaan yang diberi kepada mereka sekeluarga.

"Berebut-rebut jemaah dan memeluk dan menyantuni takziah kepada kami. Terpana. Tidak sangka.

"Tidak pernah bersua. Tidak pernah bersapa. Tidak kenal siapa. Cuma ukhuwah fillah. Hangatnya persaudaraan di sini," katanya.

Urusan pengebumian jenazah Allahyarham selesai kira-kira jam 6 petang waktu California (kira-kira 9 pagi waktu Malaysia).

Allahyarham meninggal dunia jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini yang mahu disemadikan di tempat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.


Allahyarham Haron Din selamat dikebumikan

Posted: 17 Sep 2016 12:46 AM PDT


Allahyarham Haron Din selamat dikebumikan
Kawasan tanah perkuburan yang menjadi lokasi persemadian Allahyarham Haron Din. - Foto Facebook Tuan Guru Dato Dr Haron Din


SHAH ALAM - Jenazah Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, Santa Clara kira-kira jam 6 petang waktu California (9 pagi waktu Malaysia).

Perkara itu dimaklumkan anak lelaki Allahyarham, Najimi melalui kemaskini di akaun Facebook rasmi Allahyarham.

"Berakhirlah perjalanan di dunia yang fana. Rehatlah Baba di taman-taman Syurga ALLAH. Insya-ALLAH kita akan bertemu Baba...Insya-ALLAH," tulisnya sambil berkongsi tiga keping gambar lokasi tanah perkuburan tersebut.

Sebelum itu, jasad Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid An Noor Santa Clara pada jam 11.40 pagi (2.40 pagi waktu Malaysia).

Solat jenazah pula dilakukan selepas solat jumaat kira-kira jam 2.21 petang (5.21 pagi waktu Malaysia) di Masjid Muslim Community Association yang diimamkan sendiri anak lelakinya, Hamidi Haron.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini yang mahu disemadikan di tempat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.

Sementara solat jenazah ghaib dilaksanakan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi ini.


Ahmad Yakob pangku jawatan Mursyidul Am

Posted: 17 Sep 2016 12:38 AM PDT

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob


KOTA BHARU - Datuk Ahmad Yakob kini memangku jawatan Mursyidul Am Pas bagi penggantian sementara selepas pemergian Datuk Dr Haron Din, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Ahmad Yakob berkuatkuasa serta merta selepas kematian arwah Haron Din.

"Kita ada timbalan (Ahmad Yakob) yang boleh menjalankan tugas itu, sebagai pengganti Allahyarham.
Sementara habis tempoh ini maka timbalanlah akan ambil alih. Sebelum ini ketika beliau (arwah Haron Din) uzur pun tanggungjawab itu telah dikongsi bersama (Ahmad Yakob)",katanya kepada media disini.

Beliau meluangkan masa kira-kira dua jam bersama rakyat kelantan di program Munajat Perdana Rakyat Kelantan Menyokong RUU 355 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan mengatakan DAP menghina kematian Datuk Dr Haron Din termasuklah mempertikaikan kenapa arwah dibawa berubat ke luar negara, Abdul Hadi memberitahu, DAP seharusnya belajar mengenali Islam dengan lebih mendalam kerana Islam adalah terbuka.

"Dia (DAP) kena belajar Islam lah, Islam ini terbuka, perubatan atau pengajian ke, semua kebaikan kita terima dengan terbuka. Tidak kira dari mana, seluruh dunia. Nabi suruh belajar ilmu sehingga ke negeri Cina, ilmu perubatan. Tidak kisah dimana pun," katanya.

Dakwa SPR berat sebelah untuk burukkan Umno

Posted: 17 Sep 2016 12:34 AM PDT

SINAR HARIAN

Razali Ibrahim
Razali Ibrahim


PONTIAN - Dakwaan pembangkang mengenai persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berat sebelah dan mahu memenangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya bertujuan untuk memburukkan Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim berkata niat pihak pembangkang ialah mahu menimbulkan keraguan dan menyemai dalam minda rakyat agar percaya kerajaan sebenarnya menguasai badan bebas itu.

"Saya nak ulang balik, kalau kita boleh kuasai SPR, jangankan risau pada persempadanan semula, kita juga boleh menang pilihan raya," kata beliau dengan sinis selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pontian di sini hari ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dakwaan pembangkang itu telah bermula dari dahulu lagi.

"Mereka (pembangkang) timbulkan persoalan ini supaya menimbulkan perasaan tidak enak kepada rakyat dan masyarakat yang akhirnya tidak percaya kepada kerajaan.

"Bila mula tidak percaya kepada kerajaan, mereka (rakyat) akan bertindak menolak wakil BN pada pilihan raya yang akhirnya undi tersebut akan berpihak kepada pembangkang," kata Razali.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata bukan sahaja pembangkang, tetapi mana-mana pihak juga boleh mengemukakan bantahan sekiranya tidak berpuas hati dengan proses persempadanan semula yang kini sedang berlangsung.

Razali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang mendakwa persempadanan semula bagi Pilihan Raya Umum ke-14 berat sebelah bagi mengekalkan Umno berkuasa.

Selain itu, Kit Siang mendakwa persempadanan semula Pagoh bermotifkan politik dan mahu membunuh karier politik bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila jumlah pengundi di situ dikatakan berkurangan berbanding pilihan raya lepas.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula Khamis lepas (15 September) hingga 14 Oktober.

Menurut SPR, bantahan mesti sampai kepada badan itu dalam masa sebulan bermula dari 15 September hingga 14 Oktober ini.

Terdahulu, Razali merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pontian di Maktab Rendah Sains Mara, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri. - Bernama

Pas bangkang secara professional .

Posted: 17 Sep 2016 12:31 AM PDT


Nasruddin HassanNasruddin Hassan
 
 
KUALA LUMPUR -  Pas  membangkang  dan  menentang  secara  profesional, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan.

Katanya, Pas secara konsisten menentang apa  jua  program  kerajaan  yang  tidak  baik  dan  menekan rakyat  seperti  Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP),  Bauxite, Cukai Perkhidmatan dan Barang (GST)  dan  lainnya.

"Kita tentang  kerajaan menerusi  dialog  bersemuka,  mengemukakan  kertas cadangan,  memorandum  mahupun  berdemonstrasi  secara aman.

"Pas tidak  membangkang  secara  membuta tuli,  sebaliknya  Pas  bertindak  secara  damai  (muwajahah silmiyah),  mendapatkan  informasi  secara  telus  dari  mana mana  pihak  kerajaan,  berdialog,  memberi  pandangan, kritikan  dan  nasihat," katanya dalam penerangan mengenai "Budaya Politik Matang dan Sejahtera", hari ini.

Katanya, budaya politik matang yang dilaksanakan Pas membuatkan parti itu menyokong langkah wajar kerajaan.

Dalam masa yang sama, parti itu boleh menentang apa sahaja keputusan tidak baik yang dibuat oleh kerajaan.

"Orang  terdahulu  telah  menunaikan tanggungjawab  mereka  yang  terbaik  dengan  tindakan  dan keputusan  yang  sesuai  pada  zaman  mereka.  Hari  ini  Pas merumus pendekatan  politik  yang  sesuai  dengan  zaman yang  sedang  dihadap.

"Sebagai  contoh,  Pas menyokong bahkan  menyertai  aktiviti  kerajaan  yang  baik  untuk  rakyat dan  Islam  khasnya,  seperti  isu  Akta  355  dan  Majlis Perundingan  Islam," katanya.


6 fakta penting kaitan Dr Haron Din dan Darussyifa

Posted: 17 Sep 2016 12:20 AM PDT

Kohilah Sekaran, Astro Awani
6 fakta penting kaitan Dr Haron Din dan Darussyifa
Ketahui peranan dan sumbangan Allahyarham Datuk Dr Haron Din dalam Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai Darussyifa.
 
 
Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai Darussyifa' merupakan pelopor terawal dalam bidang pengubatan Islam di Malaysia.

Dengan berteraskan syariat Islam, Darussyifa' telah mengorak langkah ke arah perkembangan pengubatan Islam khusus di Malaysia melalui pelbagai saluran.

Darussyifa' turut mendapat perhatian daripada negara-negara lain dalam usaha memartabatkan pengubatan Islam di mata dunia.

Seperti mana kita tahu, idea penubuhan Darussyifa' ini lahir daripada Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Haron Din.

Apakah peranan dan sumbangan yang disampaikan oleh Allahyarham?

1. Allahyarham merupakan pengasas pusat perubatan Islam Darussyifa'. Ia ditubuhkan pada 17 April 1988.

2. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan cara rawatan Islam kepada masyarakat umum di Malaysia.

3. Selain berperanan sebagai pengasas, Allahyarham turut merawat pesakit yang hadir.

4. Dengan mengadakan kelas pengubatan Islam seminggu sekali di Darussyifa', Allahyarham telah mengijazahkan lebih daripada 6000 orang graduan Darussyifa'.

5. Pada tahun 2016, Allahyarham melancarkan Yayasan Darussyifa' dengan tujuan kebajikan Islam yang boleh menguntungkan masyarakat, dari segi kesihatan, pendidikan dan penyelidikan.

6. Pada Mac lalu, Allahyarham melancarkan Aplikasi Mudah Alih Mobile Islamic Ruqyah Medication System, bagi memudahkan perkhidmatan rawatan Islam, lapor Utusan Malaysia.

GALERI FOTO : Dr Haron Din Dalam Kenangan
 
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din meninggal dunia di sebuah hospital di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.05 waktu Malaysia pagi ini.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar dan pelbagai pihak telah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham termasuklah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

BACA: Siapa Dr Haron Din yang kita kenali
 
 

Jeff Ooi Biadap, Digesa Padam Kenyataan Di Twitter

Posted: 16 Sep 2016 05:02 PM PDT

 

 


GEORGETOWN – Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun didesak supaya memadamkan kenyataan (posting) biadap di Twitternya berhubung pemergian tokoh agama terkenal, Datuk Dr Haron Din.


Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, kenyataan biadap dan rasis Chuan Aun atau lebih dikenali sebagai Jeff Ooi itu jelas menunjukkan sikap sebenar pemimpin DAP itu.

Menurutnya, tindakan Jeff Ooi menulis 'Adios Harun Din. Let there be peace' turut menunjukkan beliau seorang ahli parlimen yang tidak waras.

"Dalam keadaan negara sedang bersedih apabila menerima berita kematian seorang tokoh agama yang dihormati, saya rasa tidak patut seorang ahli parlimen seperti Jeff Ooi menulis di Twitternya seperti itu.

"Saya amat marah dan terkilan dengan kenyataan main-main oleh Jeff Ooi itu. Beliau seolah-olah tidak ada perasaan dan tidak langsung mempamerkan sifat kemanusiaan.

"Bagi saya, beliau amat biadap, kurang ajar dan rasis. Adakah "adios" sesuai untuk diucapkan kepada orang yang sudah meninggal dunia? Budaya biadap beginilah yang terus memisahkan dan membeza-bezakan rakyat Malaysia. Saya mengenali arwah secara peribadi ketika arwah anak saya sakit satu ketika dahulu.

Arwah Haron seorang yang baik dan berbudi pekerti. Oleh itu, saya desak Jeff Ooi padam postingnya itu dengan segera," katanya kepada Sinar Harian.

Haron, 76, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia di Hospital Stanford University Amerika Syarikat.

Pengasas pusat rawatan Islam Darussyifa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak semalam ketika menjalani rawatan jantung di hospital berkenaan.

Haron berlepas ke AS sejak 10 September lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, tidak mustahil ahli DAP yang lain akan terpengaruh dengan tingkah laku biadap Jeff Ooi itu.

"Jika seorang ahli parlimen sebijak beliau berperangai seperti orang hilang kewarasan, maka tidak hairan lah jika ahli dibawah pimpinannya turut terpengaruh dan berkelakuan seperti beliau. Sekarang saya sudah tahu, kenapa ahli DAP tidak mempunyai perasaan dan banyak menulis mengenai anti Islam.

"Saya sarankan ahli parlimen Jelutong turun ke kawasan dan bantu akar umbi , kerana masyarakat Melayu di Jelutong sudah lupa wajah beliau. Saya mewakili Pemuda Umno Bahagian Jelutong mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Haron dan kami berdoa agar arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman disisi ALLAH SWT," katanya – SH

DAP Tunggu Persetujuan PAS Untuk Kembali Ke Meja Rundingan

Posted: 16 Sep 2016 04:56 PM PDT

 

 



IPOH – Rundingan kerjasama politik antara parti pembangkang hanya akan berjaya jika Pas komited dengan usaha tersebut.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, ini kerana pihaknya percaya ada dalam kalangan pemimpin Pas yang tidak mahu rundingan itu direalisasikan.


"Saya percaya halangan utama membabitkan sebilangan pemimpin Pas. Bagi Pakatan Harapan, kami tiada masalah begitu juga parti Bersatu.

"Sekiranya mereka tidak mahu berunding, rakyat harus sedar bahawa mereka (pemimpin Pas) tidak lagi bersama dalam agenda reformasi untuk menggantikan Umno dan mungkin mempunyai niat untuk menyelamatkan Umno," katanya.

Menurutnya, ahli dan penyokong Pas wajar memberikan tekanan kepada pimpinan mereka supaya kembali ke meja rundingan bagi mencerahkan peluang Pas mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU13.

"Jika tidak saya yakin Pas akan kalah di semua kerusi yang ditandingi di Selangor, Perak dan mungkin tinggal beberapa kerusi sahaja di pantai timur," katanya.

Mengulas pertembungan satu lawan satu yang dianggap kaedah terbaik menewaskan BN, Kor Ming berkata, perkara itu diakui selain rakyat perlu sedar bahawa kerajaan yang memerintah gagal menjalankan urus tadbir negara dengan baik.

"Ini sejarah dan ia sudah terbukti. Kami harap rakyat sedar dengan kegagalan yang dicipta BN selain bersama-sama melakukan perubahan dalam PRU14 nanti," katanya.

Rundingan rasmi diatur

Sementara itu difahamkan satu perjumpaan akan diatur bagi memastikan rundingan secara rasmi bagi konsep satu lawan satu dicapai antara parti-parti pembangkang termasuk Pas.

Tidak menyebut bila rundingan rasmi itu akan diadakan, Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, pada dasarnya beberapa parti pembangkang telah bersetuju dengan konsep tersebut dalam beberapa siri perbincangan tidak formal (tanpa penyertaan Pas) sebelum ini.

"Sebenarnya dalam perbincangan sebelum ini (tanpa Pas), idea satu lawan satu ini sudah banyak kali disuarakan. Agak mengejutkan kerana konsep ini nampaknya diterima semua parti, tetapi kita lihat ini satu perkembangan sihat dan positif.

"Malah, semua pihak faham dan mengakui hakikat ini (perlunya satu lawan satu). Jika kita berjaya mencapai kesepakatan, kebarangkalian untuk kita menukar kerajaan adalah amat cerah.

"Untuk perbincangan rasmi nanti, kita akan berusaha untuk mendapatkan wakil Pas untuk bersama kita," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, parti-parti pembangkang juga telah bersetuju untuk mengutamakan agenda kerjasama berbanding kepentingan parti masing-masing.

"Kita sedar pembangkang akan jadi pembangkang selama-lamanya jika kita tidak dapat duduk dan bersepakat dalam konsep satu lawan satu ini.

"Jadi dalam pertemuan demi pertemuan yang diatur sebelum ini, kita telah bersetuju bahawa sudah sampai masanya pembangkang ambil alih pentadbiran kerajaan. Caranya, kita kena tolak kepentingan parti sendiri dalam menentukan kita sepakat untuk memperjuangkan wadah politik baru di negara ini," katanya.

Kamarul Azman berkata, beliau yakin konsep ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

"Kalau ada halangan pun, mungkin jika ada pihak dari BN mahu pancing parti pembangkang bersama mereka. Tetapi saya rasa perkara itu mustahil.

"Paling penting parti pembangkang kena bertolak ansur serta menerima kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pada akhirnya, kita akan ketengahkan resolusi yang terbaik supaya kita berjaya tumbangkan BN dalam PRU14," katanya – SH

Sejauh Mana 'Kekuatan' Pasport Malaysia?

Posted: 16 Sep 2016 04:52 PM PDT

DETIK DAILY
 

 

PETALING JAYA: Pasport Malaysia memberikan anda akses perjalanan tanpa visa untuk 151 negara, menjadikannya pasport kelapan paling 'berkuasa' di dunia, dalam Indeks Pasport 2016.

Ranking oleh Forum Ekonomi Dunia itu meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara seperti Iceland, Australia dan Malta.

Indeks tersebut menentukan kedudukan pasport mengikut bilangan negara yang boleh dikunjungi tanpa perlu memohon visa.

Ranking teratas diduduki negara Jerman dan Sweden di mana pemegang pasport boleh melawat 158 ​​negara tanpa perlu membuat permohonan visa.

Tahun lalu, Amerika Syarikat dan United Kingdom berkongsi tempat teratas tetapi masing-masing jatuh ke tempat keempat dan kedua.

Singapura juga menduduki tempat keempat (bersama AS), yang membolehkan pemegang pasport membuat perjalanan ke 155 negara tanpa visa.

Pasport yang 'kurang kuasa' adalah milik mereka yang datang dari zon konflik seperti Syria, Somalia, Iraq, Pakistan dan Afghanistan, di mana pemegang pasport hanya boleh berkunjung dari 24 ke 31 negara tanpa memerlukan visa.

Sementara itu, Malaysia berada di kedudukan ke-19 dunia untuk negara paling mesra warga asing dengan menyediakan perjalanan tanpa visa, di hadapan Singapura, United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat yang masing-masing berada pada kedudukan 20, 46, 49, dan 78.

Al-Fatihah : TG Datuk Dr Haron Din - Istiqamah hingga akhir hayat

Posted: 16 Sep 2016 04:42 PM PDT


DETIK DAILY


 


TUAN Guru Datuk Dr. Haron Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan.

Beliau dibesarkan dalam kalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.

Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-'Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor.

Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah menerima hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari 'Ain Shams.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Kaherah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985). Pada tahun 1986 beliau dinaikan pangkat Profesor.

Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB; Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia; Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis; dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Dalam politik beliau menjawat pelbagai jawatan dalam PAS sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983); Ketua Penerangan PAS Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak PAS; Timbalan Mursyidul Am PAS dan yang terakhir ialah Mursyidul Am PAS hingga ke akhir hayatnya. –

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT