Rabu, 28 September 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Belasungkawa: Azizan disenangi kawan dan lawan

Posted: 27 Sep 2016 05:52 PM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

CEKAL, tegas, bersemangat dan suka bergurau. Itu penulis dapat simpulkan mengenai gambaran sifat Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sepanjang lebih lima tahun mengenali beliau yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.05 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada usia 69 tahun akibat kegagalan fungsi organ dalaman dan jangkitan kuman dalam darah. 


Allahyarham mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan pada 9 Mac 2008 selepas pakatan pembangkang yang dipimpinnya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Azizan mencipta sejarah sebagai pemimpin pembangkang pertama memecah dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri itu dan diangkat sebagai ketua pentadbir negeri setelah 11 kali pilihan raya umum diadakan.

Penulis berpeluang mengikuti kepimpinan Allahyarham dengan secara dekat bermula ketika beliau melancarkan manifesto Pas Kedah bagi PRU-12 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar pada Februari 2008.

Kali terakhir penulis bertemu dengan Allahyarham ialah semasa hari penamaan calon PRU-13 lalu di Dewan Datuk Madi, Jerai pada 20 April lepas.

Dalam pertemuan itu, kami sempat berbual serba sedikit mengenai situasi politik khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang disandang Allahyarham sejak 1995.

Allahyarham mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kelima pada PRU-13 apabila menang dengan majoriti 2,774 undi tetapi terpaksa menyerahkan jawatan Menteri Besar berikutan kegagalan pakatan pembangkang mengekalkan penguasaannya di Kedah.

Sebagai seorang pemimpin yang sudah lali dengan sepak terajang dalam dunia politik, Allahyarham disifatkan sebagai tokoh

pembangkang yang cekal kerana mampu bertahan dalam tempoh lima tahun kepemimpinannya sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan di sebalik pelbagai isu, krisis dalaman, kritikan, tekanan luar serta faktor kesihatan yang membelenggu beliau.

Mempunyai sifat humor dalam dirinya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan sukar bagi sesiapa untuk mempengaruhi fikirannya berhubung sesuatu perkara yang difikirkannya betul.

Allahyarham juga disenangi oleh banyak pihak termasuk kawan dan lawan politik kerana beliau boleh bergaul serta mesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengambil kira ideologi mereka.
Aliran pendekatannya itu dapat dilihat apabila Allahyarham tidak keberatan untuk berada bersama dengan pemimpin UMNO dan BN

termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dalam sesuatu majlis.

''Saya boleh pi (pergi) tang (ikut) mana pun, tiada masalah apa. Semua kawan saya. Kalau saya setuju dengan dia orang saya kata yes, tak setuju kata no.''

Kata-kata itu yang pernah diungkapkan Allahyarham semasa menghadapi tekanan hebat politik pada Februari 2012 ekoran krisis dalaman Pas Kedah, masih kuat dalam ingatan penulis.

Meskipun sering menerima kritikan pedas dalam pentabdirannya, Allahyarham sentiasa bersikap profesional dengan semua pihak termasuk para wartawan yang mengajukan pelbagai soalan terhadap beliau.

Allahyarham jarang 'melompat' jika soalan itu kurang disenangi beliau dan akan menjawab dengan pelbagai cara sama ada biasa, serius atau berseloroh. Lazimnya jawapan tersebut bersertakan dengan contoh mengenai sesuatu isu yang diulasnya.

Pendekatan berkenaan mungkin berpunca daripada pengalamannya yang pernah menjadi Pengarah Urusan lidah rasmi Pas, Harakah

menyebabkan Allahyarham memahami selok belok dan tuntutan tugas warga media.
Sikapnya itu juga membuatkan rakan-rakan wartawan menyenangi Allahyarham walaupun kelihatan agak garang pada zahir dan nada
pertuturannya.

Allahyarham tidak pernah menjadikan faktor kesihatannya sebagai alasan yang boleh menjejaskan tumpuan mengetuai kerajaan Kedah ketika memegang jawatan Menteri Besar mahu pun membawa jentera pembangkang menghadapi PRU-13.

Beliau yang merupakan antara pemimpin Pas paling lama menjadi wakil rakyat di Kedah berpandangan dunia politik bukan dari segi usia atau kesihatan tetapi tentang visi dan strategi.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Sungai Limau Dalam, Yan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Undang-Undang dari Universiti of Kent, United Kingdom.

Beliau merupakan bekas Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 dan 1984 serta 1986 hingga 1995.

Allahyarham mula menyertai Pas pada 1978 di England dan bergiat aktif dia dalam parti itu di negara ini sejak 1986. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Presiden Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama Pas (sejak 1991) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sejak 1993.

Azizan juga adalah Pesuruhjaya Pas Kedah sejak 2000 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor. Allahyarham menjadi wakil rakyat Sungai Limau (dahulu dikenali DUN Sala), Kedah sejak 1995 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum lalu.

Allahyarham mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemimpin Pas pertama dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Jun lepas.

Kehadirannya dalam arena politik negara akan setiasa diingati dan dikenang sebagai seorang ahli politik berpengalaman luas dan pemimpin Pas pertama yang pernah menerajui pentadbiran Kedah.
Al-Fatihah!

Lokasi semadi Haron Din bukti kehebatan Allah

Posted: 27 Sep 2016 05:50 PM PDT

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ  

SIAPA sangka? Lahir di Iraq tapi dikebumikan di Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor! Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Irfan dan Dr. Baha'uddin, dua pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berasal dari Iraq. Siapa sangka lahir di Malaysia tetapi meninggal dunia di ruang udara Ukraine. Itu pula yang berlaku kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17.

Siapa pula tahu, tokoh agama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, lahirnya di Perlis tapi disemadikan di California, Amerika Syarikat (AS). Jarak antara dua lokasi ini beribu kilometer jauhnya.
Apabila mengenang lokasi persemadian arwah Haron, iman kita kepada Allah sepatutnya mencanak naik.

Hebat sekali Allah SWT yang merencanakan segala sesuatu. Benar sekali firman Allah ini:
"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya," (Luqman[31:34]).

Siapa tahu? Ketika malaikat diarah meniup roh ke dalam janin Allahyarham pada usia empat bulan, tarikh dan tempat matinya sudah ditetapkan Allah berlaku di bumi California, AS yang nun jauh di sana. Benar sekali sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis empat perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya roh," - Sahih Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad.


Ketika mengulas ayat misteri tempat mati yang ditetapkan bagi manusia, Imam Ibn Kathir membawa sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya apabila Allah mahu mencabut roh hamba-Nya di sebuah bumi, dijadikan bagi hamba-Nya itu sesuatu hajat (urusan) di bumi tersebut," - Musnad Ahmad, Sahih Ibn Hibban, hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.

Ketika mengulas ayat 34 surah Luqman di atas, para mufassir membawa sebuah riwayat yang mengisahkan satu peristiwa ajaib pada zaman Nabi Sulaiman a.s. 
"Pada suatu hari Malaikat Maut bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s., Malaikat Maut terpaku melihat seorang lelaki dalam majlis baginda. Lelaki itu bertanya kepada Nabi Sulaiman: "Siapakah dia ini?" baginda menjawab: "Dia adalah Malaikat Maut." Lelaki itu berkata: "Seakan-akan dia mahu mencabut nyawaku, wahai tuanku suruhlah si angin agar membawaku jauh ke negeri Hind." Nabi Sulaiman pun melaksanakan permintaan lelaki tersebut. Sesudah itu Malaikat Maut berkata: "Sebenarnya aku melihatnya kehairanan kerana aku diarahkan Allah agar mencabut nyawanya di negeri Hind sedangkan (dalam beberapa ketika sebelum matinya) dia masih berada bersamamu." (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir al-Nasafi).

Mati adalah misteri Allah. Tiada siapa tahu tarikhnya dan di bumi mana akan dikebumikan. Apa yang pasti, ikatan sempadan negara hanya berlaku dalam alam zahir ini. Alam barzakh yang menjadi negeri persinggahan sementara sebelum ke akhirat pastinya tiada sempadan ruang dan masa seperti alam dunia.

Orang beriman seperti Allahyarham mungkin sedang berbahagia di sana bersama rakan-rakannya yang lain.

Ya Allah! Walau di bumi mana pun dia disemadikan, jadikan kubur guru kami itu sebagai sebuah taman antara taman syurga-Mu. Insya-Allah.

Mampukah semut jadi penyelesaian kepada krisis antibiotik?

Posted: 27 Sep 2016 05:48 PM PDT

MADISON, — Krisis kegagalan antibiotik telah mendorong para saintis untuk mencari sumber baru bagi ubat tersebut. Kini, sejenis semut mungkin adalah jawapan yang dicari mereka.

Para saintis mendapati sesetengah spesies semut, termasuk semut pemotong daun dari Amazon, menggunakan bakteria untuk mempertahankan sarang dari serangan kulat serta mikrob, yang berpotensi untuk dijadikan antibiotik untuk kegunaan manusia.

Salah seorang saintis yang terlibat dalam penyelidikan itu, Prof Cameron Currie daripada University of Wisconsin-Madison di Amerika Syarikat sini berkata bahan kimia yang dikumuhkan oleh bakteria tersebut dipercayai mempunyai kesan antibiotik yang kuat.

"Ketahanan antibiotik adalah masalah yang semakin meningkat. Bagaimanapun, mengenal pasti antibiotik baru menggunakan teknik biasa melalui persampelan tanah untuk bakteria adalah sukar.

"Secara purata, hanya satu dalam sejuta jenis bakteria memberi harapan. Namun, kami telah membongkar satu jenis bakteria bagi setiap 15 jenis yang telah disampel dari sarang semut itu," katanya minggu lalu seperti dilaporkan The Guardian.

Kumpulan semut yang dimaksudkan itu adalah spesies yang "membiak" kulat untuk dimakan di kawasan tropika di Amerika Utara dan Selatan.

"Semut ini menyelongkar bahan tumbuhan untuk dibawa pulang ke sarang mereka untuk memberi makan kepada kulat. Mereka memakan kulat selepas kulat mengurai bahan tumbuhan itu," kata Profesor Jon Clardy dari Harvard Medical School.

Namun, sarang semut ini sering diserang kulat merbahaya yang membunuh kulat yang dibiak mereka.
Sebagai tindakbalas, semut ini telah menghasilkan pertahanan diri menggunakan bakteria anti-kulat di seluruh badan mereka, yang nampak seperti mereka dicelup dalam gula.

Bakteria ini sama dengan yang digunakan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal untuk membuat antibiotik.

Semut dan bakteria jenis ini telah bertanding sejak jutaan tahun dan hasil keputusannya telah menghasilkan beberapa antibiotik yang sangat menarik, kata para saintis.

Kegagalan antibiotik kini merupakan antara ancaman terbesar kepada kesihatan manusia sedunia, menyebabkan lebih kurang 700,000 orang maut setiap tahun.

Tiada ulasan: