Isnin, 22 Ogos 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


AMANAH Seru Rakyat Turun Himpunan #TangkapMO1 27 Ogos Ini

Posted: 22 Aug 2016 01:52 AM PDT

Mahasiswa kepalai #TangkapMO1 27 Ogos, jawatan PM milik kalian

Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru seluruh anak muda dan rakyat bersama-sama kumpulan mahasiswa ke perhimpunan mendesak tangkapan terhadap 'Malaysian Official 1' yang dijadualkan 27 Ogos ini.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan semalam berkata kebanjiran rakyat di tengah-tengah Kuala Lumpur nanti bakal menjadi simbol penentangan massa terhadap jenayah kleptokrasi yang amat berleluasa ketika ini.


"Saya ingin menyatakan penghargaan awal kepada kumpulan mahasiswa yang akan menganjurkan perhimpunan aman itu," katanya.

Keberanian yang ditunjukkan kumpulan ini katanya, menunjukkan bahawa mahasiswa sangat peka kepada segala kepincangan yang berlaku dalam negara dan mampu menjadi agen pendesak kepada kerajaan.

"Mereka adalah wajah masa depan negara.

"Bagi saya, paling kurang untuk tempoh dua atau tiga kali pilihan raya umum lagi, Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan mahasiswa ini," katanya.

Menurutnya pemimpin dan aktivis mahasiswa ini bukan hanya menyerlah pada hari ini sahaja, akan tetapi terus menyumbang dalam menganjak paradigma masyarakat untuk melakukan perubahan. -MD


Kenyataan Media
ANCAMAN SKANDAL 1MDB PERLU PENENTANGAN SELURUH RAKYAT

Tindakan undang-undang yang diambil oleh Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat telah mendedahkan lebih 14 bilion ringgit wang rakyat dirompak dan diseleweng yang merupakan skandal korupsi terburuk negara. Wang rakyat telah dirompak melalui skem 1MDB untuk faedah Perdana Menteri dan kroni-kroninya seperti Jho Low dan Riza Aziz (anak tiri Perdana Menteri) amat memalukan negara.

Tindakan 'civil forfeiture' oleh DOJ adalah bagi menyita dan merampas harta-harta bernilai lebih 4 bilion ringgit yang dibeli kroni-kroni Perdana Menteri tersebut melalui pengubahan wang haram termasuk rumah mewah, jet peribadi dan lukisan mahal.

Ratusan juta wang 1MDB juga telah digunakan untuk menerbitkan filem lucah 'The Wolf of Wall Street', membayar hutang judi dan pesta arak. 1MDB dan rakyat Malaysia tidak mendapat apa-apa faedah daripada perbelanjaan haram ini. Justeru, tidak timbul soal campurtangan kuasa asing terhadap negara kerana tindakan 'civil forfeiture' ini melibatkan rampasan harta yang dimiliki melalui perbuatan jenayah yang menjadi kesalahan di Amerika Syarikat.

Susulan tindakan oleh DOJ tersebut, satu Saman 'Class Action' telah diambil oleh Dato' Husam Musa dan Matthias Chang di Amerika Syarikat terhadap kroni-kroni Perdana Menteri di mana segala harta dan jumlah wang yang telah dirompak melalui 1MDB akan dituntut semula untuk rakyat Malaysia. Bagi pihak Pemuda Amanah, kami menyokong penuh usaha ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Walaupun pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sering terpalit dengan pelbagai isu dan skandal korupsi dan penyelewengan wang negara termasuk NFC, PKFZ, Perwaja Steel, Tabung Haji, MARA dan terkini 1MDB, namun masih terdapat segolongan rakyat yang tidak faham dan tidak menghiraukan isu dan skandal sebegini lalu terus memberikan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Rakyat perlu diberi kefahaman bahawa isu dan skandal sebegini adalah penyumbang kepada kesusahan dan keperitan hidup yang mereka hadapi mutakhir ini. Kenaikan harga barang, perkhidmatan awam dan petrol, GST, potongan bajet pendidikan, kesihatan dan sebagainya adalah kesan langsung daripada ketirisan dan kehilangan wang negara.

Kebajikan golongan muda pula semakin terabai kerana mereka terpaksa menanggung hutang pendidikan yang tinggi, ketidakmampuan membeli rumah yang semakin mahal dan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan. Kehidupan rakyat di luar bandar termasuk nelayan, petani dan penoreh getah tidak dibela akibat keenganan kerajaan memberikan subsidi kepada harga komoditi keluaran mereka dan pelbagai bantuan lain yang diperlukan.

Justeru, Pemuda AMANAH akan bergerak ke seluruh negara bagi menyampaikan maklumat sama ada secara bertulis atau lisan akan ancaman isu dan skandal korupsi terutama impak dari isu 1MDB kepada kehidupan rakyat dan masa depan negara.

Pemuda AMANAH juga menyokong sebarang usaha rakyat sivil menentang sebarang penyelewengan yang melibatkan wang rakyat. Rakyat harus berani dan bangkit melawan pemerintah yang zalim lagi rakus.

Ayuh rakyat Malaysia! Kita mulakan langkah pertama untuk turun beramai-ramai pada 27 Ogos ini dalam perhimpunan aman #TangkapMO1. Perhimpunan ini penting bagi memberikan tekanan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat semula skandal 1MDB dan sekaligus menangkap dan mendakwa Perdana Menteri yang telah merompak lebih RM2.6 bilion wang negara melalui 1MDB. Nama MO1 telah disebut sebanyak 32 kali dalam 'civil forfeiture' dan nama Perdana Menteri pula disebut 15 kali dalam 'class action' yang jelas melakukan jenayah curi, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Hanya orang bodoh yang tidak dapat membezakan antara MO1 dan Perdana Menteri.

Pihak berkuasa termasuk Polis (PDRM), SPRM dan Peguam Negara tidak seharusnya terus menjadi bacul dan membiarkan hidung terus dicucuk Perdana Menteri, tetapi sebaliknya harus bertindak tegas demi memastikan kepentingan rakyat dan negara kekal terbela. Kedaulatan dan keluhuran undang-undang bahawa tiada sesiapa mengatasi undang-undang perlu dipelihara dan dipromosikan.

Jangan hanya berani menangkap rakyat sivil yang menuntut keadilan, tetapi bertindaklah terhadap MO1 dan sekutunya yang melakukan jenayah terhadap rakyat dan negara.

Rakyat di semua segmen dan tempat harus memerdekakan minda dan negara ini daripada terus ditindas oleh kezaliman dan 'kleptocracy'. Jika keadaan ini berterusan tanpa perubahan, maka yang miskin akan kekal merempat dan yang kaya akan terus bermewah atas keringat rakyat dan hasil kekayaan negara.

Stigma dan khurafat bahawa hanya UMNO Barisan Nasional yang mampu memerintah negara hendaklah dibuang jauh daripada kotak pemikiran serta kepercayaan rakyat agar tanah tumpah darah yang kita cintai ini bangkit bersaing bersama negara maju yang lain tanpa meminggirkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

22 Ogos 2016


VIDEO BERKAITAN



 FEATURED ADS


Kerabat Diraja Kedah Beri Amaran Kepada Nawawi Jangan Libatkan Agong

Posted: 21 Aug 2016 10:48 PM PDT

Jangan libatkan Agong dalam isu politik – Kerabat Diraja Kedah

Majlis Kerabat Diraja Kedah kesal dengan kenyataan anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan "Malaysian Official 1′ (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Yang Dipertuanya Syed Idrus Syed Baharom berkata pihaknya juga kesal dengan ahli politik itu kerana tidak membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


"Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah negara dan bukannya pentadbir negara, jadi kenapa perlu libatkan baginda dalam isu berkaitan politik ini.

"Nak buat apa-apa kena siasat dahulu kerana ini melibatkan maruah Yang di-Pertuan Agong, jadi sekarang Nawawi perlu minta keampunan secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya melalui media," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Anak Bukit di sini.

Beliau turut memberikan peringatan keras kepada semua pihak supaya tidak melibatkan Yang di-Pertuan Agong dalam sebarang isu berkaitan politik yang boleh menjatuhkan maruah institusi diraja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat dilaporkan berkata polis akan memanggil anggota Parlimen Langkawi itu berhubung kenyataannya Yang di-Pertuan Agong adalah MO1 yang disebut dalam laporan DOJ.

Nawawi bagaimanapun pada hari yang sama membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan berhubung komentarnya yang kononnya mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan DOJ, sambil menyatakan ia telah disalah tafsir. -Bernama


Nawawi berperangai tiga suku, kata Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar memberi amaran kepada Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad supaya berhenti berdolak-dalik dengan perangai tiga sukunya dan tidak mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mahu Nawawi memohon ampun kepada Agong dengan segera kerana merujuk baginda sebagai 'Malaysian Official 1' (MO1).

"Agong seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa. Bukannya tiga suku macam Nawawi.

"Sebagai rakyat Malaysia dan anak negeri Kedah, jika Nawawi seorang yang beradab, beliau perlu mohon ampun kepada Agong tanpa tunggu titah Tuanku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Nawawi memuat naik status di laman Facebooknya menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah MO1 bertanggungjawab terhadap kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Nawawi kemudiannya menafikan dakwaan itu dengan menegaskan beliau sekadar memberi tafsiran sendiri mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pemimpin nombor satu Malaysia ialah Agong.

Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dalam laporannya bulan lalu mendakwa seorang MO1 yang tidak dinamakan didakwa menerima AS$731 juta yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Menurut maklumat yang diberikan DOJ, MO1 adalah "pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang turut mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB" dan individu itu adalah saudara kepada anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

Mahfuz berkata, Nawawi juga perlu memohon maaf kepada rakyat atas kenyataan berbaur hasutan yang dimuat naik ke Facebooknya sebelum ini.

"Jangan anggap dengan mengatakan kamu tidak bersalah dan untuk apa nak minta maaf. Kamu sudah menghasut rakyat untuk membenci Yang di-Pertuan Agong.

"Kamu jangan angkuh dan sombong dengan rakyat. Kamu dipilih rakyat. Jangan biadap dan kurang ajar kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat," kata bekas ketua penerangan PAS itu.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan Nawawi akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya itu, susulan beberapa laporan yang diterima polis.

Nawawi turut membuat laporan polis pada Jumaat lalu mendakwa kenyataannya diputar belit.


ULASAN GB

Jikalah yang bercakap demikian terdiri dari mana-mana tokoh pembangkang, sudah pasti polis sudah membuka kertas siasatan, menahan dan mendakwanya di mahkamah.

Tetapi kerana dia seorang pemimpin UMNO BN, polis bersikap begitu lunak terhadapnya dengan hanya memanggilnya untuk diambil keterangan.

Sikap dwi-standard polis di dalam hal ini ternyata mengecewakan rakyat.

Kini kerabat diraja sendiri yang terpaksa mengeluarkan amaran kepada Nawawi. Polis pun sepatutnya berasa malu dengan teguran Majlis Kerabat Diraja Kedah itu kerana jika polis sudah mengambil tindakan yang wajar sudah pasti pihak Majlis Kerabat Diraja tidak perlu mengeluarkan amaran sedemikian.




FEATURED ADS


Tiada ulasan: