Khamis, 11 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Nicol David dinobat atlet terhebat dunia

Posted: 11 Aug 2016 04:28 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Akhbar British The Telegraph menyenaraikan nama ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David sebagai salah seorang daripada 20 atlet terhebat dunia.
 
"Bukan ramai atlet boleh merekodkan penguasaan sebagaimana dilakukan Nicol David dalam sukan skuasy dunia.
 
"Atlet berusia 32 tahun itu mempertahankan rekod No.1 dunia selama 109 bulan sehingga September tahun lalu dan memenangi tiga pingat emas pada Sukan Dunia, dua emas pada temasya Komanwel dan menjuarai lapan gelaran juara Terbuka Dunia," kata The Telegraph.
 
Akhbar tersebut menyenaraikan namanya di kalangan atlet terbaik termasuk pemain bola sepak Cristiano Ronaldo, pelari pecut Usain Bolt, pemain tenis Serena Williams dan Novak Djokovic dan perenang Michael Phelps dan Katie Ledecky.
 
Nicol beraksi buat pertama kalinya dalam arena skuasy pada usia 16 tahun dengan memenangi Kejohanan Skuasy Remaja Dunia Wanita pada 1999 sebelum merangkul kejuaraan utama dalam siri jelajahnya pada Februari 2000.
 
Beliau kemudiannya menjadi atlet Malaysia pertama memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia dan Terbuka British selain merangkul trofi pertama daripada lapan pada saingan Kejohanan Dunia.
 
Pada Januari 2006, beliau menjadi wanita Asia pertama menduduki ranking No. 1 dunia.
 
Nicol mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2008, memenangi gelaran juara Terbuka British dan trofi ketiga Kejohanan Dunia.
 
Namun rekod kemenangan Nicol berjaya dileburkan pada 2009 apabila beliau tewas di tangan Natalie Grainger.
 
Pada Julai lalu, Nicol sekali lagi menguasai kedudukan 10 terbaik selama 151 bulan mengatasi rekod yang dicatatkan Peter Nicol pada Oktober 2006.
 
 

Wajah ‘Abang Long’ DAP semakin terserlah.....

Posted: 11 Aug 2016 04:26 AM PDT






DETK DAILY


Alhamdulillah kita semua masih lagi diberi kesempatan untuk bersama-sama berada dalam perjuangan dalam gerakan Islam yang ulung ini.Tidak sampai setahun Pakatan Harapan terbentuk, akhirnya kini mula bertelagah.

Masing-masing tahu sebenarnya mereka bersatu untuk kepentingan masing- masing sahaja, bukan kerana ikhlas mahu menghormati dasar atau prinsip antara satu sama lain.

DAP memainkan lagi sekali peranannya sebagai 'Abang Long' dalam menggerakkan Pakatan Harapan. Lihat sahaja pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahukan pembubaran DUN Pulau Pinang.

Keputusan yang diambil tatkala beliau kini resah diburu isu pembelian banglo dan kes siasatan SPRM membabitkannya, sekonyong beliau mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dan disegerakan.

Tatkala PKR sedang kalut dengan isu Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, maka Guan Eng membuka langkah 'Abang Long' untuk memaksa semua pihak dalam PH menerima keputusan tanpa bincangnya itu.

Diheretnya isu Langkah Kajang yang kejang itu menjadi bukti memaksa dan menghentam PKR. Aksi kata-kata telanjang menelanjang, bogel membogelkan mula berkumandang, tidak cukup satu-satu isu dibangkitkan.

Inilah yang sebenarnya terjadi apabila sebuah parti terlalu merasakan dominan untuk membawa semua idealisme dan pandangannya sahaja yang harus diterima sebagai suatu yang betul.

PAS menghadapi situasi ini dahulu apabila DAP tidak langsung menghormati dasar dan perjuangan PAS yang sudah diketahui sejak sekian lama. DAP begitu kuat menghentam PAS dalam isu Hudud, dan kemudiannya menjadikan isu itu sebagai sebab kononnya mengapa Pakatan Rakyat harus dibubarkan.

Kini bila DAP berdepan kesukaran dan ujian, maka dipaksanya lagi untuk menerima apa sahaja idea mereka ke atas PAN dan PKR. PKR yang sudah tahu permainan licik DAP membalas dengan keras, namun PAN hingga kini hanya membisu seribu bahasa, tidak mampu melawan 'Abang Long' mereka lagi.

Inilah wajah sebenar DAP, dan apa yang terjadi ini boleh disifatkan sebagai 'kata dulang paku serpih, kata orang DAP yang lebih'. Sama-sama mengambil iktibar, dalam bertahaluf, bersahabat usahlah terlalu tamak dan hanya mahu mengangkat idea sendiri sahaja...~Editorial Harakah

6 Teknik Untuk Ibubapa Berhadapan Dengan Anak Pemarah

Posted: 11 Aug 2016 04:18 AM PDT


 
Oleh Suraya Ali


Berhadapan dengan anak yang pemarah atau mudah marah bukanlah mudah jika ibubapa tidak mempunyai ilmu.

Enam perkara ini dapat membantu ibubapa menjadi ibubapa yang bijak apabila berhadapan dengan anak yang pemarah biar berapa pun usianya.

Seawal usia anak dua ke tiga tahun kita akan dapat mengesan anak yang mudah naik marah ini berbanding anak yang sebelumnya (jika kita ada) dan sesuatu perlu dilakukan dengan segera sebelum anak ini meningkat dewasa.

Namun biar berapa pun usia anak kita, kita masih belum terlambat.

10 Teknik ini dapat membantu kita mengatasi masalah anak yang pemarah.

Perkara Pertama : Kenali Sikap Ini

Tak kenal maka tak cinta kan. Eh macam tak kena je. Maksud saya, kita perlu mengenali apakah tanda-tanda marah?

Perasaan marah wujud apabila kita kehilangan sesuatu milik kita.

Ia boleh jadi anak kecil ini kehilangan sesuatu yang dirasakan miliknya seperti perhatian ibu bapa.

Anak kecil yang menunjukkan sikap marah akan kerap membentak apabila barangnya diambil atau apa yang dimahukannya tidak diberikan oleh penjaga.

Manakala anak yang lebih besar akan lebih lantang menyuarakan perasaannya seperti, "Saya tidak mahu dengar apa Mama cakap," ataupun mendengus dan berpaling.

Ianya petanda bahawa sesuatu perlu dilakukan!

Perkara Kedua : Kenalpasti Apa Masalah Sebenar


Apabila situasi kemarahan berlaku, kedua-dua pihak selalunya memfokuskan kepada penyelesaian sementara. Iaitu "Apa masalahnya sebenarnya ni?".

Jika kemarahan (atau tangisan) anak itu kerana dia mahukan tabletnya, maka penyelesaiannya boleh jadi:

1. Memberikannya tablet itu atau

2. Tetap konsisten tidak mahu memberikannya.

Keseluruhan konteks kita di bawa ke dalam topik tablet sahaja.

Itu bukan masalah sebenar. Masalah sebenar ialah anak menjadi marah apabila ibu atau bapanya mengawal penggunaan tabletnya.

Jadi penyelesaiannya yang perlu difokuskan ialah bagaimana anak ini mahu mengawal perasaannya apabila sesuatu berlaku.

Apakah 'kehilangan' sebenar anak ini. Kasih sayangkah? Perhatian? Atau rasa keyakinan?

Isu kedua barulah isu mengawal penggunaan tablet untuk anak.

Perkara Ketiga : Ibubapa adalah Model Sebenar


Anak kita menuruti model mereka sejak mereka lahir lagi iaitu diri kita sebagai ibu bapa. Buat semakan bagaimana kita mengendalikan emosi apabila sesuatu berlaku.

Adakah kita menjadikan 'marah' itu sebagai senjata yang melukakan atau ubat yang merawat?

Sikap kita hari ini adalah penghasilan psikologi yang berlaku sejak kita kecil. Mahukah kita mewarisi kemarahan dan kekecewaan kepada generasi seterusnya biar apapun alasan kita terhadap kemarahan?

Pasti tidak bukan.

Perkara yang perlu diubah boleh jadi adalah sikap kita.

Perkara Keempat : Rendahkan Tona Suara

Mulakan dengan nada suara kita.

Setiap kali kita mahu marah atau melihat anak mula membentak, mulakan dengan nada suara berbual seperti, "Mama lihat adik mula mahu marah. Tarik nafas dan bertenang. Ambil masa duduk disini dan fikirkan perkara yang baik."

Jangan tinggalkannya begitu sahaja.

Beritahunya yang mama sentiasa ada di sini bersedia mendengar apabila dia bersedia untuk memberitahu punca kemarahannya.

Hormatinya sebagai manusia.

Sepertimana apa yang kita akan lakukan kepada kawan-kawan kita yang sedang ada masalah.
Usah membebel dan jauhi perbuatan menjerit.

Bukan kerana dia anak kita, maka kita ada hak memarahinya semula. Tapi kerana dia adalah anak kita maka kita perlu membesarkan individu yang berkeyakinan untuk meneruskan kebaikan.

Perkara Kelima : Empati Dahulu


Manusia sukar untuk mendengar apabila dia rasa dia tak didengari.

Selalunya kita mahukan anak kita mempunyai sikap-sikap mulia jadi perkataan ibubapa dimulai dengan,
"Tak baik buat begitu. Jangan gaduh dengan kawan."

Ianya seolah-olah menidakkan emosinya.

Dengarinya dahulu.

Beritahunya, "Mama faham, adik sedih," Atau, "Mama tahu abang tengah marah. Mama pun akan rasa yang sama juga jika mama ialah abang."

Bersetuju dahulu.

Katakan, dia menjatuhkan barang kerana marah. Biasanya kita mulakan, "Kenapa jatuhkan barang? Elokkah perangai begitu?"

Manusia yang sedang marah tidak dapat menerima penolakan mahupun kritikan.

Pandangnya dan tanya, "Abang ok? Abang ada marahkan sesiapa atau apa-apa? Mahu kongsi dengan mama?"

Jika anak masih kecil dan belum memahami, peluknya dah usap belakang badannya.
Perkara Keenam : Menggalakkan Perbualan


Beritahunya, "Jika abang bercerita dengan menangis, mama tak dapat dengar dengan baik. Bertenang, tarik nafas dan mulakan semula."

Beri perhatian sepenuhnya ketika dia bercerita.

Bila dia memberitahu sesuatu, pujinya, "Mama suka abang berterus terang. Ianya sikap yang bagus."

Puji anak yang mula merendahkan suaranya selepas marah, "Bagus nada suara ni. Adik teruskan bercakap begini walaupun waktu marah ya."

Bagi anak yang lebih kecil, "Anak mama suka berusaha dan sayangkan kawan-kawannya. Sama macam sikap Rasulullah dan sahabatnya."

Atau bagi yang belum memahami, berikan tepukan dan raikan selepas anak berhenti menangis dan mula bertenang.

Teknik mendidik perlu dilakukan sebagai sahabat dan pendorong. Bukannya sebagai ibubapa yang lebih berkuasa.

Adun wajar isytihar harta

Posted: 11 Aug 2016 04:18 AM PDT

DETIK DAILY




RAKYAT berhak mengetahui harta yang dimiliki wakil rakyat sama ada di peringkat kerajaan negeri dan juga Kerajaan Pusat.

Ini kerana rakyat mahu wakil rakyat yang dipilih dalam tempoh tertentu mesti telus dan tidak langsung terlibat dengan rasuah serta penyelewengan kuasa.

Anak muda, Zubir Shah Omar berkata, pelbagai aspek perlu diteliti untuk mengisytiharkan harta dan tidak dinafikan ia sebenarnya salah satu usaha yang baik.

Katanya, maqasid (matlamat) untuk melakukan pengisytiharan harta adalah untuk menjamin integriti seseorang pemimpin.

"Isytihar harta adalah hanya merupakan salah satu kaedah untuk mencapai ke arah itu. Jika ia hendak dilaksanakan kepada Adun-Adun di Selangor, hal yang perlu difahami bahawa Adun-Adun ini mempunyai latar belakang yang berbeza sama ada doktor, peguam, ahli perniagaan, aktivis dan lainlain.

Sudah pasti mereka mempunyai aset mereka sendiri seperti klinik, firma guaman, syarikat-syarikat persendirian ataupun milikan keluarga dan lain-lain sebelum dari mereka dipilih menjadi Wakil Rakyat," katanya.

Beliau berkata, apakah ada polisi bahawa seorang Adun sekiranya telah dipilih sebagai Wakil Rakyat perlu memindah milik semua aset yang dimiliki sebelum ini?

Katanya, jika seorang usahawan atau peguam perlu menutup syarikat atau firma-firma mereka.

Justeru itu, pandangan beliau selain cadangan untuk seseorang Adun melakukan pengisytiharan harta, beberapa aspek lain perlu juga dititikberatkan sebagai contoh dalam pelaksanaan sesuatu kerja.
Katanya dengan mewujudkan satu SOP (Standard Operation Procedure) yang dipersetujui dengan menjamin ketelusan dan keabsahan sesuatu cara kerja.

"Perlu ada tender terbuka; audit bebas; Jawatankuasa Hisbah dan sebagainya. Perkara-perkara ini juga amat penting dan perlu diangkat martabatnya seiringan seperti Selangor memperkenalkan sistem tender terbuka, Special Committee On Competence, Accountability and Transparency (SELCAT) manakala di Kelantan adanya Jawatankuasa Hisbah dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata, hal-hal demikian perlu diangkat dan diletakkan ke tempat yang sewajarnya jika tidak diangkat seiringan maka usaha untuk menetapkan istihar harta bagi seseorang Adun hanya tindakan yang bersifat populis effect.

Katanya, bagaimana mungkin kita dapat menyediakan air yang bersih dari sumbernya tetapi air itu perlu melalui corongcorong paip yang berkarat dan berlumut. Sudah pasti air itu turut tercemar walaupun sumber air itu pada awalnya bersih tetapi menjadi tercemar dan membawa mudarat apabila sampai kepada penggunanya.

Maka tambah beliau, demi menjamin integriti seseorang pemimpin berbaliklah kepada soal yang ditekankan oleh kehendak agama.

"Jika hilang agama pada diri sesorang itu, maka hilanglah sifat Amanah, akhlak yang terpuji, jujur dan ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja," tegasnya.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Selangor (Unisel), Muhammad Hafizuddin Ali setuju dengan cadangan wakil rakyat wajib isytihar aset kepada rakyat kerana ia merupakan cadangan yang amat munasabah.

"Bagi saya sebagai seorang rakyat di Selangor pengisytiharaan seperti itu mampu membuktikan ketulusan kerajaan Selangor dan membolehkan rakyat memahami kedudukan kewangan negeri dengan lebih jelas," katanya.

Selain itu tambah beliau rakyat juga boleh mengetahui apakah pendapatan mereka iaitu wakil rakyat sepadan dengan kekayaan harta yang mereka perolehi.

"Bagi saya jika wakil rakyat di Selangor tidak terlibat dengan penyelewengan duit dan kuasa tiada masalah untuk isytiharkan harta masing-masing."

Tegas beliau jika mereka tidak melakukan sebarang penyelewengan kenapa perlu takut untuk istiyharkan harta masingmasing.

Ahli perniagaan, Azman Mohd Mah Husin setuju sekiranya setiap Adun dan pemimpin negara perlu mengisytiharkan harta masingmasing.

Katanya ini bagi memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pemimpin yang mereka pilih adalah bersih dan bebas daripada syak wasangka yang tidak berasas.

Beliau berkata, pengisytiharan itu juga perlu merangkumi isteri dan anak-anak mereka agar setiap pendapatan dilihat datangnya daripada sumber yang betul dan tidak menyalahi undang-undang.

"Walaupun nilai harta individu adalah bersifat peribadi dan ia boleh mengundang persepsi dan risiko yang tersendiri jika didedahkan, namun itulah harga yang perlu dibayar oleh setiap orang yang ingin menjawat jawatan pemimpin," katanya.

Menurut beliau, pemimpin terdedah dengan harta negara yang diamanahkan untuk diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Tiada sebab para pemimpin menolak cadangan ini sekiranya mereka benar-benar jujur dan telus demi merubah keseluruhan sistem pentadbiran yang lebih baik dan diterima rakyat," tegasnya.

Optometris, Mazila Muda setuju supaya semua wakil rakyat bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara perlu mengisytiharkan harta masing-masing.

Katanya, apabila harta masingmasing diisytiharkan mudah bagi rakyat untuk membezakan harta yang diperolehi sebelum menjadi wakil rakyat dan selepas menjadi wakil rakyat.

"Mudah bagi rakyat dan pihak berkuasa untuk mengesan apabila berlaku salah laku dan penyelewengan kuasa," katanya.

Beliau yakin dan percaya rakyat akan berasa puas hati apabila mengetahui harta yang dimiliki wakil rakyat mereka.

Pengisytiharan harta itu juga tambah beliau mendidik setiap wakil rakyat supaya bersifat telus dalam urusan rakyat dan ia menjadi benteng supaya wakil rakyat tidak ada ruang untuk menerima rasuah

Ini Caranya Dapatkan Kembali Akaun Facebook Yang Digodam

Posted: 11 Aug 2016 04:15 AM PDT



 
Oleh Hairi Ariff


Seringkali kita mendapat berita tentang akaun Facebook seseorang digodam. Ironinya, akaun individu yang kerap digodam merupakan akaun yang kerap mengeluarkan kata-kata kesat atau berjanji untuk mengaibkan diri diatas sesuatu pertaruhan. Pertambahan laman web 'phishing' di Facebook juga merupakan kemungkinan seseorang digodam.

Facebook ternyata mengambil serius akan masalah akaun yang digodam seterusnya mengeluarkan altenatif terbaik untuk mendapatkan kembali akaun Facebook iaitu Facebook Hacked.

Sekiranya akaun Facebook anda digodam, jangan panik kerana Facebook Hacked bakal membantu anda mendapatkan akaun Facebook anda semula. Apa yang perlu anda lakukan adalah layari Facebook Hacked.

facebook-messenger-apple-ios-macbook-iphone-4-5-6-app

Di laman ini, anda akan diminta untuk memasukkan kata laluan dan seterusnya melalui beberapa soalan sekuriti dalam mendapatkan kembali akaun Facebook peribadi anda. Kaedah yang sama sepertimana anda lupa kata kunci email atau akaun anda. Sangat mudah bukan?

Kami harap dengan adanya fungsi ini anda akan lebih peka dengan soalan sekuriti yang disediakan Facebook yang sering dipandang enteng kepentingannya. Adalah dinasihatkan juga untuk menukar kata laluan Facebook beserta email anda jika sudah lama digunakan bagi mengelakkan daripada sebarang kes melibatkan akaun anda digodam.

BN umum calon Speaker DUN Perak saat akhir kerana pergelutan dalaman?

Posted: 11 Aug 2016 04:09 AM PDT

Sivakumar-DAP

Roketkini.com


IPOH: DAP percaya tindakan Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di saat-saat akhir pengundian, mencerminkan pergelutan dalaman sedang berlangsung dalam parti itu.

Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangeswary, semalam, dipilih sebagai Yang Dipertua DUN Perak setelah memperolehi 30 undi berbanding calon Speaker dari Pakatan Harapan, V. Sivakumar yang memperoleh 24 undi, manakala empat Adun PAS memilih untuk berkecuali.

Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata, beliau percaya krisis yang dihadapi dua parti komponen BN, UMNO dan MIC akan berterusan walaupun pelantikan Speaker DUN negeri telah selesai.

"Saya juga tahu masalah dalaman parti MIC berhubung dengan pelantikan Speaker," katanya dalam kenyataan hari ini tanpa menyatakan secara jelas masalah itu.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan turut memuji Adun Pakatan Harapan yang bersatu hati mengundi beliau meskipun tidak berjaya merampas semula kerusi Speaker DUN.

"Ahli-ahli Yang Berhormat dari Pakatan Harapan Perak telah sehati sejiwa telah mengundi saya semalam. Saya rasa amat bangga dan berterima kasih kerana semangat kesetiakawanan rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan Perak.

"Walaupun saya tidak berjaya merampas semula kerusi Speaker DUN Perak tetapi semangat dan komitmen pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Perak perlu dipuji.

"Saya yakin semangat dan komitmen ini akan membawa berkat kepada Pakatan Harapan Perak dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.

Sivakumar yang juga Naib Pengerusi DAP Perak pernah menyandang jawatan Speaker DUN Perak selama setahun bermula 2008 dan terpaksa melepaskan jawatannya pada tahun berikutnya ekoran krisis Perlembagaan di negeri itu. – Roketkini.com


DAPSY sokong himpunan #TangkapMO1, seru anak muda bangkit lawan kezaliman

Posted: 11 Aug 2016 04:07 AM PDT

Slide1

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Sosialis Muda DAP (DAPSY) menyeru dan menyokong masyarakat umum khususnya anak muda menyertai perhimpunan aman #TangkapMO1 yang akan diadakan pada 27 Ogos di Dataran Merdeka dan juga di Johor Bahru pada 13 Ogos 2016.

Ketua DAPSY Selangor Teh Hoong Keat dan Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan Leong Yu Sheng dalam satu kenyataan bersama, berkata sikap berdiam diri dalam situasi kezaliman hanya akan mengukuhkan lagi pemerintah zalim.

"Anak muda wajib tampil ke barisan hadapan dan turun melawan rejim pemerintahan yang rasuah dan menelan wang rakyat tanpa mengendahkan hidup mati rakyat jelata sebagaimana yang diungkap jurucakap Gabungan #Tangkap MO1, Anis Syafiqah, bangkit kita teguh, diam kita roboh," ujar kenyataan itu.

Menurut mereka, Malaysia tidak pernah terlepas daripada skandal rasuah besar-besaran sejak pemerintahan UMNO BN.

Justeru, mereka berkata DAPSY akan menggerakkan jentera yang sedia ada dan menyokong penuh usaha #TangkapMO1 dan sekali lagi menyeru anak muda bangkit melawan kezaliman rejim #NajibMO1.

Gabungan #TangkapMO1 merupakan usaha sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi negara ini bertujuan mendesak penangkapan individu yang didakwa sebagai MO1.

Gabungan itu turut menyatakan tuntutan mereka supaya semua institusi awam seperti PDRM dan SPRM daripada bebas cengkaman dan campur tangan politik UMNO-BN. –Roketkini.com


1MDB: Senator AS mahu Obama kaji semula hubungan dengan Najib

Posted: 11 Aug 2016 03:56 AM PDT

Oleh Aliff Fikri


NAJIB-1MDB


KUALA LUMPUR: Senator Amerika Syarikat menggesa Presidennya Barrack Obama untuk mengkaji semula hubungan dua hala dengan Malaysia.

Mereka berkata, tindakan perlu diambil berikutan penolakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke atas siasatan kerugian US$11 bilion dan sumbangan derma US$700,000 1MDB yang sedang disiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
 
Menurutnya, tanpa mengira keputusan siasatan tersebut, skandal itu telah membawa rekahan mendalam antara Najib dan institusi kerajaan berkenaan bagaimana untuk menangani perkembangan rasuah.

"Hasilnya, sokongan domestik Najib telah jatuh merudum dan krisis berterusan ini memburukkan lagi perbezaan kaum, agama dan mewujudkan persekitaran politik bahaya.

"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan mengenai peranan jangka panjang Malaysia sebagai rakan kongsi dalam menangani keganasan.

"Kami berharap untuk bekerja dengan anda untuk menyokong usaha-usaha mengembangkan perkongsian komprehensif bersama Malaysia berdasarkan kemajuan substantif ke arah demokrasi, undang-undang, anti rasuah dan hak asasi manusia," kata Benjamin L Cardin dan John McCain dalam surat kepada Obama bertarikh 3 Februari itu.

Menurut mereka lagi, hubungan dengan Malaysia mestilah dibina melalui asas dan prinsip-prinsip demokrasi.

Katanya, tindakan Najib jelas telah menimbulkan kebimbangan apakah Malaysia merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai di rantau ini.

"Kami berharap anda akan mengajukan permasalahan ini dalam mesyuarat bersama pemimpin Malaysia pada persidangan ASEAN Summit akan datang," tegas mereka.

Menteri arah media BN turun ke Lembah Subang cari kesalahan?

Posted: 11 Aug 2016 03:51 AM PDT

OLEH NAZLI IBRAHIM

iskandar01

SHAH ALAM,: Kerajaan Negeri kesal dengan sikap salah seorang menteri persekutuan yang baru dilantik kerana seakan mahu melancarkan perang terhadap Kerajaan Negeri berbanding pendekatan berbincang menyelesaikan masalah rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato' Iskandar Abdul Samad, berkata keadaan itu sangat berbeza ketika portfolio sama disandang individu sebelumnya.

"Kerajaan Negeri boleh bincang, tiada masalah tetapi apa yang saya lihat mereka guna sikap sebagai orang politik, masuk televisyen hentam kita dan difahamkan pada Isnin minggu lalu seolah-olah media kerajaan diarahkan turun ke Lembah Subang untuk mencari apakah silap atau kekurangan di situ.

"Kita terbuka dalam hal ini tetapi kena datang dengan berjiwa besar antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri berbincang masalah rakyat, bukan bercerita seolah-olah nak rampas Selangor.

"Menteri dahulu, Datuk Rahman Dahlan juga pernah datang berjumpa Menteri Besar dalam isu Akta 757. Saya dan Kassim Aziz beberapa kali berjumpa dengan Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Halimah Mohd Sadique tetapi nampaknya menteri baru ini bawa budaya berbeza bukan untuk berbincang tetapi berperang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Penerima Skim Dana-Sel di Pangsapuri Rimba Jaya, di sini, semalam.

Mengulas isu sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail pula berkata, menteri berkenaan seharusnya memiliki jiwa besar untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan menggunakan pendekatan 'G to G'.

rumah-ppr

"Mereka sepatutnya mengambil pendekatan 'G to G' (kerajaan dengan kerajaan). Janganlah fikir kita datang daripada parti politik berbeza.

"Rasanya kalau di Rimba Jaya ini kalau kami nak ungkit, ini adalah peninggalan era Barisan Nasional tetapi kita tak pandang isu ini dana bila dah jadi kerajaan kita pandang ke hadapan untuk menyelesaikan masalah menggunakan pelbagai pendekatan.

"Yang anda lihat pada hari ini sebenarnya adalah kumpulan terakhir yang kita selesaikan. Sebenarnya, ada 427 penduduk yang dijanjikan rumah baru dengan bayaran seringgit oleh kerjaan terdahulu dan sudah tiga keempat kumpulan kita selesaikan dengan tawaran pelbagai skim. Akhirnya 118 ini, Kerajaan Negeri sendiri keluarkan duit untuk selesaikan," katanya.-NFN-

Anwar sambut baik BERSATU

Posted: 11 Aug 2016 03:45 AM PDT

OLEH LIZAWATI MADFA


Anwar


SHAH ALAM: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menyambut baik penubuhan parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Memetik Malaysia Kini, Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun berharap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menggerakkan parti itu.

"Sekarang beliau harus gerakkannya," katanya kepada pemberita mengulas penubuhan BERSATU.

Terdahulu, Anwar hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas memberi keterangan dalam aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin menyerah permohonan mendaftar BERSATU sebagai parti politik kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Selain Muhyiddin, BERSATU turut disertai Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Naib Presiden.

Sebelum ini, Tun M mengesahkan beliau akan menjadi pengasas sebuah parti politik baru.

Katanya, parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Umno Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.-NFN-

KEADILAN lancar HEAP, bantu pelajar buat rayuan

Posted: 11 Aug 2016 03:45 AM PDT

OLEH AFIX REDZUAN


 Sim Tze Tzin


PETALING JAYA: KEADILAN melancarkan Portal Penasihat Pendidikan Tinggi (HEAP) bagi membantu pelajar gagal mendapatkan tawaran IPTA atau ditawarkan kursus luar pilihan.

Pengarah Strategik KEADILAN, Sim Tze Tzin, berkata laman web ini dibuka kepada semua pelajar lepasan STPM atau setaraf dengannya yang ingin mengadu kepada Ahli Parlimen KEADILAN.

"Mereka hanya perlu mengisi borang aduan di laman HEAP, heap.keadilanrakyat.org.
"Sejurus menerima aduan pelajar, kami akan mengumpulkan data diterima untuk dianalisis," katanya.

Tze Tzin berkata, rayuan kepada HEAP adalah kaedah tambahan sahaja dan tarikh tutup penghantaran aduan adalah 22 Ogos 2016.

Namun, pelajar diwajibkan merayu terlebih dahulu kepada UPU menerusi laman upu.mohe.goy.my sebelum tarikh berkenaan.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, beliau berkata pengambilan pelajar IPTA pada 2016 seramai 39,862 orang adalah terendah sejak 2013.

Katanya, penurunan ini disyaki berkaitan pemotongan Bajet IPTA yang mendadak dalam Bajet 2016.

"Pemotongan bajet disebabkan pengurusan ekonomi songsang di bawah Perdana Menteri akibat gagal mengawal hutang negara selain dilanda pelbagai skandal seperti 1MDB.

"Sebenarnya banyak IPTA sekarang dalam keadaan kegawatan bajet," katanya.

Dalam Bajet 2016, Kerajaan Persekutuan memotong peruntukkan bajet IPTA sebanyak 16.48 peratus yakni RM7.31 bilion untuk pada 2016.

Penurunan sebanyak RM1.44 bilion dicatatkan berbanding RM8.75 bilion pada 2015.

"KEDILAN berpendapat, pendudikan generasi muda adalah yang paling penting dalam pembangunan negara.

"Kerajaan seharusnya meningkatkan Bajet IPTA kerana ia merupakan pelaburan yang bijak," katanya.

SPR digesa tingkat sistem, elak proses bantahan pemilih dicabuli

Posted: 11 Aug 2016 03:42 AM PDT

OLEH NORHAYATI UMOR


lee kee hiong


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menambah baik proses bantahan pendaftaran pemilih supaya medium itu tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan bagi menafikan hak rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihanraya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata tindakan tegas juga perlu diambil SPR terhadap individu yang mengemukakan bantahan itu tetapi enggan hadir Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

"SPR harus mengambil tindakan tegas terhadap pembantah yang tidak hadir supaya mereka tidak berhak membantah orang berdaftar dengan SPR pada masa akan datang." katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Kee Hiong berkata demikian sebagai mengulas tindakan Azman Jaidi sebagai pembantah yang gagal hadir ke Sesi Pendengaran Awam untuk mengemukakan bukti bantahan terhadap 19 orang yang dimasukan ke dalam daftar pemilih tambahan.

" Azman sepatutnya hadir memberikan bukti kukuh kenapa membantah. Adakah beliau (Azman) membantah secara sewenang-wenangnya dengan tujuan politik bagi menafikan hak mengundi 19 orang itu?

" Saya dapati 19 orang kena bantah adalah penduduk Hulu Selangor. Jelas sekali perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang kena bantah," katanya.

Pada masa yang sama, Kee Hiong mahu SPR mengenakan cagaran wang setiap borang bantahan dikemukakan pembantah supaya proses bantahan pendaftaran pemilih tidak disalahgunakan.

Katanya, hal itu akan mengurangkan kes bantahan sengaja ditimbulkan pembantah sekali gus mengekang perbuatan bantahan tanpa sebarang alasan kukuh.

"SPR harus menyemak alasan bantahan dengan teliti sebelum mengadakan Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

"Kebanyakan alasan diberikan pembantah adalah alamat orang yang dibantah diragui tetapi pembantah tidak mengemukakan bukti bagaimana beliau meragui alamat rumah itu," katanya.-nR-

Tiada ulasan: