Sabtu, 20 Ogos 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Bahaya lambakan produk ubat ajaib di pasaran

Posted: 19 Aug 2016 07:37 PM PDT

Oleh PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN
PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN

 BAGAIMANA agaknya sesuatu produk ubat itu menjadi pilihan untuk merawat sesuatu penyakit?

Mengapa pula kadang-kadang kita dapati seseorang doktor yang merawat akan cenderung memberi atau mengesyorkan sesuatu ubat berbanding ubat lain? Mengapa pula tidak ada doktor yang merawat pesakit kencing manis menggunakan sekadar produk-produk herba atau air berjenama yang didakwa berpotensi menyembuhkan?

Dalam kesihatan dan perubatan, terdapat tiga jenis produk yang berbeza namun sering dianggap sama oleh kebanyakan individu dalam masyarakat.

 Yang pertama, adalah produk yang diambil untuk mengekalkan seseorang sihat dan yang kedua, produk yang berupaya menyembuhkan dan yang ketiga, produk yang digunakan untuk merawat penyakit kronik.

Ketiga-tiga produk berkenaan tidak sama dari segi tindakan di dalam tubuh, dos yang diperlukan serta cara ia dikumuhkan dari badan. Ia juga tidak sama apabila disetarakan dari aspek kesan terhadap pe­nyembuhan sesuatu penyakit.

Salah faham yang sering timbul adalah apabila sesuatu produk yang hanya mengandungi zat dan mineral tambahan serta kandungan aktif bahan tertentu (yang tidak sampai ke paras terapeutik) dianggap sebagai ganti ubat-ubatan yang telah dikenalpasti sebagai ubat yang me­nyembuhkan sesuatu penyakit atau yang digunakan untuk me­rawat penyakit kronik.

Produk dari herba contohnya, biasanya disaring serta diperhatikan kesan tertentu yang berlaku melalui kajian makmal dan haiwan. Sebagai contoh, ia mungkin mengandungi bahan yang berperanan mengawal tekanan darah. Namun kajian peringkat itu sahaja tidak cukup menjadi bukti ia mampu menggantikan ubat kencing manis seperti glibencalamide, metformin, insulin dan beberapa ubat mengawal paras gula darah yang lain! Ia mungkin boleh membantu semasa seseorang yang sihat yang berusaha mengelakkan penyakit kencing manis, namun tidak cukup untuk mengawal mereka yang sudah disahkan berpenyakit seperti darah tinggi atau kencing manis.

Sesuatu produk yang berupaya menyembuhkan penyakit dalam kalangan manusia melalui pe­ringkat penyelidikan yang sangat ketat. Kajian tersebut dinamakan kajian rawak klinikal yang juga memperuntukkan kumpulan kawalan sebagai perbandingan.

Kajian tersebut yang bermula dari mengenal pasti bahan aktif yang berpotensi menyembuhkan sesuatu penyakit, ditapis dan di­saring serta melalui proses kimia agar ia sesuai digunakan dalam sistem tubuh. Kemudiannya diuji dalam sel-sel kultur dalam makmal sebelum diuji pula dalam populasi haiwan makmal dalam tempoh tertentu.

Fasa berikutnya adalah me­ngenal pasti kesemua kesan sampi­ngan bahan tersebut pada haiwan serta dokumentasi paras dos yang dikenalpasti paling tepat untuk digunakan secara selamat serta paras dos yang dikenalpasti boleh menyebabkan kesan toksik.

Selepas melepasi fasa di pe­ringkat haiwan makmal, bahan berkenaan kemudiannya diuji dalam populasi manusia iaitu para sukarelawan. Kesemua kesan sampingan atau tidak diingini terus didokumentasikan serta ditentukan dos-dos yang diperlukan. Peringkat seterusnya pula, bahan tersebut akan diuji pada skala yang lebih besar dalam pe­ringkat yang disebut ujian klinikal yang melibatkan beberapa hospital. Ini tidak terhenti setakat itu sahaja, namun terus diuji pada skala massa melibatkan negara-negara di pelbagai benua.

Selepas fasa-fasa itu disempurnakan, ujian statistik yang komprehensif akan menentukan sama ada bahan tersebut benar-benar terbukti berkesan. Kadang-kadang, ujian statistik membuktikan keberkesanan sesuatu produk namun terdapat kesan sampingan yang menunjukkan ia tidak selamat digunakan. Dalam kes seperti ini, bahan tersebut biasanya akan ditarik balik serta-merta dan diisytihar tidak selamat untuk kegunaan manusia.

Sama seperti penghasilan ubat-ubatan, penghasilan sesuatu vaksin juga melalui fasa sedemikian.

Keberkesanan vaksin bukanlah ditentukan melalui ucapan testimoni beberapa orang tetapi penglibatan penyelidikan klinikal komprehensif yang biasanya me­libatkan beberapa puluh hingga ratusan ribu responden atau pesakit. Ini juga meliputi luas kawasan yang menyeluruh merangkumi pelbagai peringkat umur, bangsa dan juga jantina.

Adalah tidak benar untuk mendakwa sesuatu produk berkesan hanya dengan merakamkan testimoni atau hujah dari mereka yang mendapat kesan positif dari penggunaan bahan berkenaan. Hujah testimoni hanya bersandarkan deskriptif tanpa analisis statistik adalah terdedah kepada bias, salah deduksi dan berpotensi menghasilkan kesimpulan yang tidak tepat.

Tanpa sesuatu ujian rawak klinikal yang ketat, mana mungkin ada produk sangat 'ajaib' yang boleh didakwa mampu menyembuhkan berpuluh penyakit kronik. Tidak mungkin juga ada produk yang diambil pada dos sangat rendah untuk tujuan supplemen berupaya menggantikan ubat yang digunakan untuk me­rawat penyakit tersebut. Tidak mungkin air suling yang ditambah ion positif serta dialkalikan namun tidak mengandungi sebarang bahan aktif mampu me­nyembuhkan penyakit angin ahmar, kanser dan sebagainya.

Kuasa menyembuhkan milik ­Allah SWT. Tidak ada yang mustahil untuk berlakunya keajaiban apabila ia diizinkan berlaku oleh-Nya. Namun membohongi masyarakat dengan menjual produk-produk tanpa asas penyelidikan saintifik yang benar adalah pengkhianatan terhadap akal, ilmu dan kehormatan diri sesama insan.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/ Biostatistik), Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Masjid purba ditemukan

Posted: 19 Aug 2016 07:28 PM PDT

RIYADH  - Pakar arkeologi yang menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sejarah di sekitar wilayah al-Kharj, tengah Arab Saudi menemukan sebuah masjid purba yang dipercayai dibina sejak zaman awal Islam.

Arab News melaporkan, masjid yang terletak di al-Yamamah, dipercayai yang terbesar pada zaman itu dan ketiga terbesar yang pernah dibina di Semenanjung Arab selepas Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Masjid tersebut dipercayai dibina pada abad pertama hingga kelima selepas tahun Hijrah.

Projek penggalian di tapak purba itu dijalankan oleh 18 orang sarjana dan pakar arkeologi dari Arab Saudi serta Perancis sejak September 2011.

Selain al-Yamamah, misi pe­nerokaan dan penyelidikan itu turut merangkumi kawasan al-Bina serta lima lagi tapak pe­nemuan di sepanjang Wadi Nisah.

Lebih menarik, pasukan penyelidik itu juga berjaya me­nemukan sebuah tapak lama yang dipercayai wujud sejak Zaman Batu yang sememangnya dikenali kerana kaya dengan ele­men budaya dan warisan penduduk Saudi.

Antara yang ditemukan termasuk barangan yang diperbuat daripada tanah liat, objek kaca dan gelang yang dihasilkan daripada tanah liat pelbagai warna.

Sementara itu, di Ain al-Dale'a, bahagian barat al-Kharj, beberapa unit kediaman yang dikatakan berusia sekitar 5,000 tahun telah ditemukan bersama besi serta pedang gangsa berukuran kira-kira 56 sentimeter panjang.

Penggalian yang dijalankan oleh kedua-dua buah negara itu dibuat menerusi satu perjanjian antara Suruhanjaya Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Negara dan rakan sejawatnya di Perancis pada 21 September 2011.

Menerusi perjanjian itu, pa­sukan penyelidik dari Perancis diketuai oleh Dr. Jeremy Chitikat manakala Arab Saudi pula di­pimpin Dr. AbdulAziz Al-Hammad yang juga seorang profesor arkeologi dan warisan di Universiti Raja Saudi.

Menurut Dr. AbdulAziz, misi itu dipercayai pertama kali dibuat di Asia Barat dengan penyertaan ramai pakar serta penyelidik yang datang daripada pelbagai latar belakang akademik.
Pengerusi Majlis Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Kebangsaan, Putera Sultan bin Salman juga dikatakan menghargai usaha itu demi melindungi kha­zanah serta peninggalan sejarah negara yang tidak ternilai.

Sehati Sejiwa memanifestasi erti merdeka

Posted: 19 Aug 2016 07:12 PM PDT

PENA DR. SIVA 

Tarikh 31 Ogos 1957 akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah Persekutuan Tanah Melayu. Tatkala itu, penyerahan watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj oleh wakil Queen Elizabeth II iaitu Duke of Gloucester menandakan ber­akhir kedudukan Persekutuan Tanah Melayu di bawah naungan British, berundurnya Britain dari ta­nah air; hatta pemasyhuran Persekutuan Tanah Melayu bermula.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan diiringi lagu kebangsaan, Negaraku yang pertama kali bergema di sebuah negara merdeka diikuti laungan azan serta tembakan meriam. Ini juga membawa kepada berakhirnya kedudukan Pesuruhjaya Tinggi British yang pada waktu itu ialah Sir Donald MacGillivray.

Kemerdekaan tanah air barang kali berbeza dengan beberapa buah negara yang bukan melalui pertumpahan darah. Ini tidak bermakna ia datang de­ngan mudah. Peristiwa yang berlaku sebelum membawa kepada kemerdekaan wajar diamati untuk memahami maksud mengapa ia sesuatu yang amat berharga. Memberi makna kepada pengertian ini akan membolehkan kita menyoal erti 'bebas', 'kedaulatan', 'adil', 'negara' dan 'merdeka'.

Ini semua merujuk kepada pemasyhuran kemerdekaan yang dibaca oleh Tunku Abdul Rahman. Antaranya berbunyi; "Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan per­kenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai 31 Ogos 1957, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah SWT akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa."

Sepanjang 59 tahun Malaysia sudah berubah wajah. Warisan kepimpinan yang bertanggungjawab kepada hala tuju masa depan negara memastikan dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kebebasan dan keadilan terpimpin tidak dikompromi agar rakyatnya hidup muhibah, aman dan sentosa. Pemasyhuran merdeka menjadi asas perjalanan pembentukan negara-bangsa ini yang ada zaman ke­gemilangan, kemerosotan dan pasang-surutnya tetapi tidak sama sekali menjadi penyebab kemunduran malahan perjalanan penuh liku dilalui bersama atas 'prinsip ke­negaraan dan warganegara' merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-59 tahun ini. Adakah ini satu rutin tahunan yang disambut secara berkala atau sebenarnya diraikan setiap hari tanpa kita sedari?

Jati diri yang dibina oleh setiap individu baik seorang guru, kerani pejabat, pembersih bangunan, peguam, kontraktor, pegawai agensi kerajaan dan swasta, pensyarah, pemandu, doktor, pelayan kedai, wartawan, pemilik warung dan restoran, atlet dan ahli sukan, imam masjid, paderi, sami tokong, jurujual, petugas teknikal, jururawat, pentadbir atasan agensi dan bermacam lagi; kesemuanya warga Malaysia yang menyumbang kepada kebaikan pembangunan negara.

Sumbangan itu juga bersifat patriotik kerana tidak mengira kelas perjawatan mahupun kedudukan dalam strata masyarakat. Masing-masing sumbangannya besar kepada negara ini baik seorang yang berada di Gred 11, 19, 29, 41, 52, 54 mahupun Jusa A, B dan C dalam agensi kerajaan. Grednya berbeza kerana pangkat tetapi patriotisme merentasi latar tersebut kerana jika berjiwa Malaysia; grednya adalah luar biasa dan istimewa. Aspira­sinya menyemarakkan semangat menghormati jata negara, bendera Malaysia, lagu Negaraku dan bunga raya dengan diikat panji Perlembagaan dan Rukun Negara.

Kesemua kita mempunyai peranan yang sama ke atas pembangunan negara ini kerana yang menjaga, membangun dan memeliharanya juga adalah tanggungjawab bersama.

Pemasyhuran merdeka dibuat atas prinsip untuk kesemua warga Malaysia hidup aman, sentosa dan muhibah walaupun rencam dari segi agama, etnik, ritual dan berbeza pegangan politik sekalipun tetapi kita mesti 'bersama' dalam mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Sumbangan masing-masing dalam apa bentuk sekali pun de­ngan penuh kejujuran dan keikhlasan adalah patriotik kerana mahu melihat anak bangsa ini maju, hebat dan membesar tanpa diperlekehkan oleh yang lain. Keluarga besar inilah 'sehati, sejiwa' di belakangnya; manifestasi ke atas pemasyhuran kemerdekaan 1957.

Pengisian kemerdekaan diwarnai dengan kewibawaan pemim­pin, kepemimpinan dan masyarakat yang dipimpin. Kese­tiaan kepada negara mendasari pencapaian hari ini. Ramai pembesar dan pejuang bangsa dan negara terkorban sebelum run­dingan kemerdekaan bermula termasuk juga pengalaman di zaman penjajahan. Wira ini menzahirkan pembentukan negara yang pelbagai; ada nilai pengorbanan dan kompromi diliputi sulaman nilai hormat, faham, menerima serta budi yang tinggi. Generasi hari ini wajar menghargai sumbangan ini kerana kita tidak akan bebas tanpa pengorbanan dan kesetiaan mereka.

Sebenarnya, yang mahu dilahirkan dalam proses pengisian kemerdekaan berdasarkan pemasyhuran 1957 adalah 'masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama' iaitu negara yang maju dengan pelbagai prasarana moden seiring peredaran zaman dengan dihuni oleh masyarakat berilmu, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Masing-masing mesti bersedia 'Bela Negara' dalam apa jua keadaan demi kedaulatan negara-bangsa ini.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-59!

PROF. DR. P. SIVAMURUGAN ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tiada ulasan: