"BERANI KERANA BENAR!" |
- Dukun Doktor Dani sarat kritikan sosial
- Vaksin: menerima pendapat pakar
- Cabaran alam maya masa kini
- Tak mustahil naik basikal ke pejabat
- Baru Nak Mula Buat Bisnes ?
Dukun Doktor Dani sarat kritikan sosial Posted: 02 Aug 2016 12:03 AM PDT PERTAMA kali mencuba nasib di layar perak bukan satu kerja mudah. Pastinya tumpuan khalayak lebih terarah kepada nama besar yang dijaja yang seringkali dianggap mampu menarik minat penonton ke panggung. Apatah lagi naskhah yang digarap oleh Sabri Yunus sentiasa dinanti ramai, pastinya kredibiliti dan kebolehan Taufik bukan sahaja menguji dirinya sebaliknya kepada Sabri yang turut bertindak selaku pengarah filem ini. Kelebihan Sabri bukan omong kosong. Dia sudah berpengalaman menghasilkan telefilem seperti Sanggul Berdarah, Parut Asyikin, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sorok Bau Budu, Sebuah Piala Seekor Kambing, Vespa Sharif Dol, Asyura dan Olong. Setiap karya Sabri bukan sahaja dinantikan ramai tetapi turut menyuntik kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu khususnya. Menonton buah tangan baharu Sabri ini, dapat dilihat filem ini seimbang dari segala sudut. Tidak berlebih-lebihan dalam membangunkan setiap watak, Sabri memberikan kritikan sosial yang halus selapis demi selapis yang tidak sukar untuk difahami. Menghidupkan watak Doktor Dani yang gagal menyelamatkan nyawa pesakit dalam satu pembedahan, watak tersebut mula berkembang apabila dia meletak jawatan dan pulang ke kampung halaman. Kisah Dani bertambah rumit apabila dia terpaksa berhadapan dengan ibunya Mak Siti (lakonan Khatijah Tan) yang tidak dapat menerima hal tersebut. Keadaan bertambah buruk apabila orang kampung mula tahu tentang perkara tersebut. Plot ceritanya nampak mudah tetapi garapan yang dibuat oleh Sabri terhadap beberapa watak yang ada di sekeliling Dani begitu terperinci dan penting. Stigma masyarakat sendiri yang tidak dapat menerima peletakan jawatan seorang doktor itu juga sebenarnya ditunjukkan secara terperinci yang menggambarkan situasi sebenar masyarakat Melayu. Selain Taufik, pelakon lain yang turut membintangi filem ini terdiri daripada Fasha Sandha, Amerul Affendi, Sabri Yunus, Yus Edoo, Raysha Rizrose, Sani Sudin dan Saidi Sabri. Seimbang Perkembangan watak Dani sebenarnya turut menarik sama watak-watak lain dalam filem ini. Tentunya watak Dukun Sudin yang dilakonkan oleh Sabri dan Lepat (Amerul Affendi) tidak kurang hebatnya. Amerul tidak pernah menghampakan. Walaupun sekadar watak pembantu, yang ditunjukkan oleh pelakon ini menghidupkan lagi filem Dukun Doktor Dani. Menariknya setiap watak yang dibangunkan seimbang, tidak berlebihan dan sama penting antara satu sama lain. Dukun Doktor Dani mengisahkan tentang Dani yang membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi doktor, pulang ke kampung dan bekerja dengan dukun Sudin. Dani memilih untuk bekerjasama dengan Dukun Sudin mengubat penduduk kampung selepas pulang ke kampung. Perkara tersebut bukan sahaja dihalang oleh ibunya tetapi juga teman wanitanya Dr. Lily (Fasha Sandha) yang kurang senang dengan hal tersebut. Keadaan menjadi kalut apabila Dukun Sudin meninggal dunia dan Dani mengambil alih tempat Dukun Sudin dengan caranya sendiri. Menariknya yang dikupas mengenai filem ini adalah meskipun ilmu kedoktoran dan ilmu dukun bertentangan antara satu sama lain, ada persamaan yang cuba ditunjukkan oleh Sabri. Pastinya soal kemuliaan hati dan mahu bantu-membantu menjadi isi terpenting dalam cerita ini. Dalam realiti kehidupan seharian sekalipun, perbezaan dan pertentangan itu tetap ada. Tetapi tidak ada yang mustahil sekiranya mereka membuang sengketa dan tidak mendengar hasutan pihak lain yang cuba merosakkan keharmonian itu. Paling menyentuh perasaan pastinya melihatkan kelibat arwah Yus yang memegang watak Chot. Ini merupakan filem terakhir lakonannya sebelum meninggal dunia penghujung tahun lalu. |
Vaksin: menerima pendapat pakar Posted: 01 Aug 2016 10:42 PM PDT Oleh STATISTIK terkini oleh Kementerian Kesihatan mengenai penyakit difteria pada 27 Julai lalu mengesahkan lagi lima kes baru dengan satu kematian. Sejak kes difteria mula dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu dengan mencatatkan beberapa angka kematian, isu vaksin terus menjadi liputan utama dalam diskusi masyarakat kita. Kelompok antivaksin mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, pola amalan yang mereka lakukan secara berasingan itu tidak lagi terbatas secara peribadi. Kewujudan media alternatif membolehkan apa sahaja yang dilakukan setiap individu dikongsikan untuk tatapan awam. Ini secara umum sangat mempengaruhi individu yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan pengalaman saintifik. Sebahagian golongan antivaksin adalah mereka yang terpelajar serta individu yang dihormati masyarakat. Antara hujah mereka menolak vaksin ialah vaksin mempunyai komplikasi sangat bahaya, dianggap menyalahi hukum agama, agenda provokasi Yahudi serta 'batu locatan' pihak tertentu mengaut keuntungan. Walau perspektif berbeza, kita perlu tahu mengapa vaksin itu wujud dan sangat disyorkan, bagaimana vaksin bertindak dalam tubuh kita serta bagaimana sesuatu vaksin itu disahkan selamat sebelum ia disahkan selamat untuk masyarakat awam.Vaksin adalah bahan yang menghasilkan antibodi dalam tubuh seseorang terhadap penyakit tertentu. Ia mengandungi komposit bahan yang dinyahaktifkan kandungan toksiknya, yang mana kandungan biologi itu diperlukan untuk mengaruhkan antibodi terhadap sesuatu penyakit secara semula jadi. Sebagai contoh, vaksin terhadap difteria mengandungi bahan terdiri binaan molekul tertentu dari kuman difteria yang telah dimusnahkan komponen toksiknya; yang mana binaan itu menyebabkan tindak balas tubuh menghasilkan antibodi terhadap penyakit difteria. Secara umum, penghasilan vaksin sama seperti penghasilan ubat yang digunakan dalam rawatan perubatan iaitu melalui ujian rawak klinikal yang sangat ketat serta didokumentasikan kesemua kesan sampingan yang berpotensi berlaku. Namun, pengetahuan mengenai rumitnya sesuatu ujian klinikal itu tidak difahami oleh golongan anti vaksin. Mereka secara umumnya mendefinisikan saintifik menurut acuan mereka tanpa asas pengetahuan yang benar. Justeru, fokus perbincangan mereka dalam mengemukakan hujah menolak vaksin menyimpang serta tidak mengikut terma dan syarat ilmu. Laman web Children's Hospital of Philadephia memaparkan hasil kajian yang sangat menarik dalam membahaskan isu ini. Pembentangan mereka pada November 2015 itu yang bertajuk Mengapa maklumat anti-vaksin sangat persuasif? Analisis kandungan laman web yang menjelaskan perkembangan strategi promosi vaksin. Kajian tersebut menilai sebanyak 480 laman web antivaksin dan mendapati sebanyak 65 peratus daripada laman web itu mengatakan vaksin sangat bahaya, 62 peratus darinya menyebut vaksin menyebabkan autisme, manakala 41 peratus darinya memberikan maklumat vaksin boleh menyebabkan kerosakan otak. Untuk menyokong hujah itu, 65 peratus dari laman web itu menyebut ia daripada penemuan saintifik tanpa perincian manakala 30 peratus dari laman web berkenaan bergantung kepada testimoni! Lebih menarik, laman-laman web itu bukan sahaja memberikan maklumat tidak benar mengenai vaksin, 19 peratus daripadanya mempromosikan perubatan alternatif dan 10 peratus daripadanya mempromosikan homeopati. Tambah mengelirukan apabila ada yang mempromosikan diet tertentu sebagai ganti kepada vaksin dan merawat autisme akibat vaksin. Kajian saintifik sebenarnya bukanlah mainan sesuatu hujah. Dalam mana-mana hasil akademik, tatacara penghasilan serta reka bentuk penyelidikan untuk mengesahkan keberkesanan serta selamat sesuatu bahan perlu diperincikan dengan menyandarkan kepada konsep validiti dan reliabiliti. Adalah tidak benar sekadar menyebut hujah penemuan saintifik namun apa dan bagaimana dilakukan tidak didedahkan. Dalam konteks penyelidikan saintifik, testimoni adalah bukti yang paling lemah untuk memberikan kesimpulan keberkesanan sesuatu bahan. Dalam isu yang mengaitkan vaksin dan autisme pula, tidak ada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dan autisme. Kajian pada 1998 yang melaporkan hasil penemuan 12 kanak-kanak yang didakwa mendapat autisme akibat vaksin telah ditarik balik oleh majalah Lancet pada 2010 selepas artikel didapati mengandungi data palsu. Penyiasatan lanjut akhirnya mendapati penulis kajian tersebut sebenarnya ditaja oleh kelompok tertentu yang mengemukakan saman terhadap syarikat vaksin tertentu. Pembohongan data kajian terserlah apabila penyiasatan mendapati lima daripada 12 kanak-kanak yang dilaporkan itu telah pun mendapat autisme sebelum mereka menerima vaksin! Namun, golongan antivaksin terus membuat propaganda dan berbohong mengatakan kes tersebut sebenarnya telah disemak semula dan sebahagian data diperakui benar. Hal seperti inilah sebenarnya menjadi 'duri dalam daging' serta digunakan oleh mereka yang tidak kita pasti apa agendanya terus bertindak menentang polisi vaksin. Kesimpulannya, terlalu banyak skop dalam kehidupan kita yang masih tidak diketahui. Jika kita bukan ahli dalam sesuatu bidang, jangan pula memandai membuat kesimpulan. Tanyalah mereka yang lebih tahu. PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi Penyakit Berjangkit/ Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). |
Posted: 01 Aug 2016 10:02 PM PDT OLEH PERKEMBANGAN teknologi pada hari ini terlalu pantas melangkaui peredaran zaman. Kemampuan menguasai teknologi maklumat pada hari ini akan menunjangi kehidupan kita di masa hadapan. Kini, kita hidup dalam dunia ledakan maklumat atau dalam dunia yang tanpa batasan maklumat. Maklumat-maklumat ini kesemuanya boleh dicapai dalam dunia maya. Mengapa maklumat di alam maya ini penting untuk dibahaskan dalam tulisan ini pada kali ini? Banyak contoh sebenarnya yang kita boleh ambil dari segi peri penting dan kritikalnya ledakan maklumat di alam maya ini. Sebagai contoh dalam bidang politik dan pemerintahan masa kini. Jatuh bangunnya sesebuah negara atau seseorang pemimpin amat bergantung kepada kemampuan menguasai maklumat di alam maya ini. Trend pada hari ini, rakyat lebih memilih media sosial bagi mendapatkan informasi berbanding dengan akhbar, majalah dan lain-lain. Ini adalah kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh media sosial seperti informasi terkini, kos yang murah, mudah dicapai di mana sahaja, boleh mendapatkan maklumat dalam bentuk audio dan visual serta banyak lagi. Maklumat ini sedikit demi sedikit akan mempengaruhi minda rakyat sesebuah negara. Maklumat-maklumat ini akan terbentuk secara perlahan-lahan di dalam kotak pemikiran rakyat dan akhirnya setelah bertahun-tahun perkara itu akan menjadi satu ideologi ataupun pegangan yang mantap. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan cubaan rampasan kuasa yang berlaku di Turki dan mengapa usaha itu menemui kegagalan. Mungkin banyak sebab yang boleh kita katakan tetapi apa yang ingin diutarakan di sini adalah peranan cybertrooper di belakang tabir. Rakyat Turki telah menyahut seruan pemimpin mereka, Recep Tayyib Erdogan untuk berkumpul di jalan-jalan raya. Walaupun tembakan dan letupan telah menggegarkan kedua-dua bandar raya Istanbul dan Ankara selepas tentera mengambil kedudukan di kedua-dua bandar tersebut. Apa yang kita dapat pelajari daripada peristiwa itu adalah kemampuan menguasai alam maya atau media sosial ini. Untuk menguasai alam maya ini terdapat dua cabaran besar. Pertama adalah dari segi pengisian atau informasi di alam maya ini. Apakah maklumat-maklumat terkini yang perlu diberi kepada rakyat? Siapakah yang berperanan untuk bertindak sebagai cybertrooper? Bagaimana sepatutnya pihak kerajaan dapat memikirkan bagaimana untuk melantik beribu-ribu cybertrooper secara sukarela yang boleh berperanan di media sosial ini? Cybertrooper ini sepatutnya dilatih agar memberikan maklumat yang tepat dan betul. Maklumat yang dirujuk dari sumber yang boleh dipercayai sahaja. Cybertrooper yang dilatih dengan penuh integriti dan terdiri dari pelbagai bidang dan pelbagai peringkat dan kaum. Cabaran yang kedua untuk menguasai media sosial ini adalah berkaitan dengan kepakaran dari segi teknikal berkaitan teknologi maklumat ini. Kepakaran teknikal ini sangat penting untuk dikuasai kerana teknologi ini cepat berubah dengan versi-versi yang baharu. Sebagai contoh, Web 1.0 adalah generasi pertama web yang berfungsi sebagai pemberi informasi dan maklumat yang bersifat satu arah dan statik. Segala isi kandungannya adalah di tangan admin. Contoh adalah seperti e-mel, forum dan chat. Sebelum ini ruangan untuk bersembang atau chat adalah seperti di #IRC yang mana ada saluran-saluran seperti #veteran, #kampung dan lain-lain lagi. Pada ketika itu, bersembang hanya dalam berbentuk tulisan sahaja. Tidak ada gambar, video, rakaman suara yang dapat dikongsikan. Namun, perkembangan teknologi bergerak pantas dan seterusnya memperkenalkan kita kepada Web 2.0 yang mana isi kandungan web tersebut tidak sepenuhnya dipegang oleh admin tetapi pengunjung juga boleh mengendalikannya. Ini membolehkan pengguna berinteraksi di media sosial dan membentuk komuniti maya. Pengguna boleh memberi komen-komen, memberi pendapat, memuat naik video, gambar serta boleh menyanyi bersama-sama atau berkaraoke yang merentasi negara. Contoh-contoh Web 2.0 ini adalah seperti Facebook, YouTube, Smule serta banyak lagi. Perkembangan web 2.0 tidak berhenti setakat itu tetapi berkembang kepada Web 3.0. Apakah web 3.0 ini pula? Satu contoh perkembangan dalam Web 3.0 adalah seperti web semantik (web bermakna), micro-network, clouding computing serta lain-lain. Contoh-contoh lain seperti bagaimana kita ingin mendapatkan maklumat yang tepat mengenai harga kereta termurah dalam tahun tertentu misalnya. Isu teknikal yang seterusnya ialah Internet of Things (IoT). Apa itu Internet of Things? Internet of Things ini adalah satu senario di mana benda, haiwan atau manusia di beri pengenalan khas (IP) dan membolehkan data dipindahkan melalui rangkaian tanpa menggunakan interaksi manusia-kepada-manusia ataupun manusia-kepada-komputer. Sebelum ini, penggunaan Internet hanya melibatkan manusia, komputer dan rangkaian iaitu melibatkan perpindahan data di antaranya. Kini, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin maju dan penggunaan teknologi ini bukan hanya melibatkan manusia tetapi juga melibatkan benda dan haiwan yang dikenali sebagai Internet of Things (IoT). Satu lagi isu teknikal yang menarik untuk kita fikirkan ialah isu Big Data. Setiap hari, kita menjana 2.5 quintillion byte data sehinggakan 90 peratus data di dunia hari ini dijana dalam tempoh dua tahun ini sahaja. Data ini datangnya dari merata tempat: pengesan untuk mengumpul maklumat cuaca, maklumat yang dimuatkan di media sosial, gambar digital dan video, rekod belian dan transaksi, isyarat GPS telefon bimbit dan sebagainya. Big Data ini berdasarkan tiga parameter iaitu volume, velocity dan variety. Dengan kata lain, Big Data adalah lebih daripada suatu koleksi besar data dan cabaran pengurusan serta penyimpanan. Sebagai kesimpulan, teknologi yang terdapat pada hari ini menjanjikan perubahan yang drastik dari semasa ke semasa. Perubahan dari segi teknologi ini sekali gus akan mengubah cara kita berfikir dan juga gaya hidup kita di masa akan datang sebagaimana yang dikatakan oleh Profesor Stephen Hawking bahawa kecerdasan buatan artificial intelligence yang telah berkembang sejauh ini terbukti sangat bermanfaat, namun beliau bimbang bahawa teknologi ini yang pada akhirnya dapat melampaui kemampuan otak manusia. PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). |
Tak mustahil naik basikal ke pejabat Posted: 01 Aug 2016 09:57 PM PDT OLEH WALAUPUN bunyinya macam pelik dan kelakar tetapi percayalah tidak mustahil satu hari nanti rakyat kita terutamanya warga kota akan menjadikan basikal sebagai antara pengangkutan utama ke pejabat masing-masing. Hal ini kerana negara-negara maju yang lain sudah lama mengamalkan budaya berbasikal ke pejabat. Justeru kita yang memasang impian untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak lama lagi juga boleh mengikuti jejak langkah mereka asalkan masyarakat kita lebih terbuka dan berfikiran positif. Dewasa ini minat rakyat kita baik golongan muda mahupun dewasa untuk berbasikal terutamanya untuk tujuan riadah dan kesihatan boleh dikatakan terus meningkat. Ini ditambah pula dengan pelbagai program berbasikal dan kayuhan amal yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan organisasi yang dilihat semakin merancakkan inisiatif untuk menggalakkan rakyat kita berbasikal. Antara inisiatif yang boleh dipuji penganjuran program KL Car Free Morning oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan OCBC Bank yang diadakan sebanyak dua kali setiap bulan iaitu pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga. Program KL Car Free Morning dilihat mampu menggalakkan warga kota menggunakan basikal sebagai satu kaedah pengangkutan di ibu kota. Program yang bertujuan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di kawasan bandar itu diadakan setiap bulan bagi memupuk minat warga kota untuk berbasikal. Selain itu, kempen ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan rekreasi serta mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar. Hakikatnya, budaya berbasikal bukan saja menyumbang kepada gaya hidup sihat tetapi turut membantu menjaga alam sekitar daripada pencemaran asap terutamanya di bandar besar dan sibuk seperti Kuala Lumpur di samping dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Berbasikal sewajarnya menjadi alternatif yang baik kepada pengguna yang mahu mengelak dari kesesakan di ibu negara iaitu sama ada menggunakan kemudahan pengangkutan awam ataupun berbasikal ke destinasi yang hendak dituju. Justeru penulis berpandangan sudah tidak wajar dan tidak relevan lagi untuk sesetengah golongan masyarakat secara berterusan masih menggunakan alasan bahawa amalan berbasikal ke pejabat kurang sesuai di negara ini kerana faktor cuaca. Betul, kita bukan negara bermusim sejuk seperti Jepun, Korea mahupun seperti di negara Barat lain tetapi sampai bila kita mahukan jadikan itu sebagai alasan dan penghalang untuk membudayakan amalan berbasikal dalam kalangan masyarakat kita? Dalam konteks ini kita perlu terima hakikat bahawa kita tidak mungkin akan memperoleh musim sejuk seperti itu justeru kita perlu memikirkan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian supaya budaya ini dapat dikembangkan. Pertama, sudah semestinya dari aspek kemudahan infrastruktur seperti laluan khas untuk berbasikal. Kita memuji segala inisiatif yang telah dilaksanakan selama ini oleh pihak DBKL dalam menyediakan laluan basikal dan kita berharap projek laluan basikal akan terus dikembangkan di kawasan strategik sekitar ibu kota supaya pada akhirnya hampir semua lokasi utama di ibu kota dapat disambungkan dan dicapai dengan laluan basikal yang selamat dan sofistikated. Seterusnya kita juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menyediakan kemudahan basikal kepada pengguna sama ada kita boleh guna konsep sewa, pinjam ataupun menyediakan kemudahan skim tertentu untuk menggalakkan rakyat kita membeli basikal sendiri. Kebanyakan negara maju menyediakan kemudahan basikal sama ada secara percuma ataupun secara sewaan kepada pengguna yang mahu menggunakan basikal untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di mana mereka boleh pinjam dari satu lokasi dan kemudiannya memulangkan basikal tersebut di lokasi lain. Dalam pada itu, sebagai galakkan jangka panjang penulis cadangkan pihak kerajaan menyediakan kemudahan skim rebat pembelian basikal agar lebih ramai rakyat kita mampu membeli basikal sendiri. Pihak kerajaan boleh menyediakan subsidi melalui skim ini di mana pengguna boleh membeli dan membayar pada harga yang lebih murah serta boleh dibayar secara ansuran. Ini tidak mustahil untuk dilakukan misalnya pengalaman penulis di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan penyediaan skim rebat basikal banyak membantu pelajar UPM membeli basikal dan membayar secara ansuran pada setiap semester. Melalui cara ini UPM bukan saja menggalakkan budaya berbasikal dalam kalangan warga kampus malah dapat terus memelihara status kampus hijau dengan mengekang dan mengawal pelepasan asap kenderaan yang berlebihan. Dalam pada itu, rungutan yang biasa kita dengar dalam kalangan orang bekerja adalah keadaan cuaca di negara kita akan menyebabkan kita cepat berpeluh jika berbasikal dan tidak selesa untuk ke pejabat dalam keadaan berpeluh. Untuk atasi rungutan ini kita perlu memastikan majikan dan setiap pejabat menyediakan bilik salinan pakaian yang khas agar mereka yang berbasikal itu dapat membersihkan diri dan mulakan kerja dengan cergas, sihat dan selesa seperti biasa. Majikan juga boleh menyediakan ruang simpanan basikal. Ringkasnya, dalam hal ini pihak majikan perlu memainkan peranan yang sewajarnya kerana mereka perlu lihat betapa budaya berbasikal akan membolehkan pekerja mereka kekal sihat dan cergas sekali gus dapat meningkatkan produktiviti diri dan juga organisasi. Memang sukar untuk kita memulakan dan membudayakan suatu amalan yang baru seperti berbasikal ke pejabat ini. Tetapi percayalah tidak mustahil untuk dilakukan andai semua pihak berfikiran terbuka dan positif di samping kesediaan pihak kerajaan untuk menyalurkan sedikit peruntukan dan pelaburan jangka panjang bagi menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan sebagai galakkan kepada anggota masyarakat yang ingin berbasikal. Kita perlu terima kenyataan betapa berbasikal bukan saja menyumbang kepada kesihatan dan kecergasan badan tetapi turut menyumbang kepada aspek penjagaan alam sekitar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara ini. PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM). |
Posted: 01 Aug 2016 09:49 PM PDT Tak pasti atau masih 'blur' apa langkah-langkah awal yang perlu dilakukan? Disini saya kongsikan apa yang perlu dibuat pada peringkat pertama bisnes langkah demi langkah (basic) : . 1. Tentukan bisnes apa yang nak dibuat. Produk atau servis? Jual produk sendiri atau produk orang lain? Dan tentukan dimana produk / servis itu akan dipasarkan. Ini penting untuk memudahkan proses mengenalpasti target market dan specific customer kita. Jika melibatkan produk, kebagusan pakejing harus dititikberatkan selain dari produk itu sendiri. Cari designer jika mampu. 2. Cari nama syarikat - nama yang ada 'commercial value'. Mudah dibaca dan mudah diingati. Tentukan juga jenis syarikat yang nak dibuka sama ada Sole Prop , PLT atau Sdn Bhd. Buka ikut kemampuan dan tujuan. 3. Cari nama brand dan buat logo (kalau ada bajet, mohon trade mark terus dengan MyIPO - Isi borang TM5 - kos +- RM350) 4. Tentukan jawatan kita dalam syarikat. Contoh : Jawatan Pengurus untuk Enterprise, Pengarah Urusan / CEO untuk syarikat Sdn Bhd 5. Buat kad bisnes. Bagi designer buat dan cetak terus. Hanya RM30 untuk 100 keping. 6. Daftar syarikat dengan SSM (+- RM100 untuk Enterprise dan +- RM3,000 untuk Sdn Bhd). Nak daftar Sdn Bhd kena berurusan dengan syarikat Setiausaha Syarikat. Buka akaun fesbuk, instagrem, install wasapp dll (jika belum ada) Jika pandai buat website / blog, silakan buat :-) 7. Buat profail syarikat dan sentiasa kemaskini mengikut perkembangan semasa. - latarbelakang syarikat - jenis perniagaan - produk / servis yang ditawarkan - struktur organisasi - misi dan visi 8. Buat Rancangan perniagaan dan kemaskini mengikut perkembangan semasa - aspek sumber manusia - aspek kewangan - aspek pengeluaran - aspek pemasaran - aspek pengedaran 9. Sertai kursus/seminar produk atau servis bidang yang diceburi atau berkuli di syarikat yang berkaitan dengan bisnes yang nak dibuka / diceburi. 10. Join kelas pemasaran sama ada online dan offline. Kemahiran dalam memasarkan produk sangatlah penting dan kemahiran ini adalah sangat kritikal untuk menentukan kelangsungan bisnes kita. 11. Ambil gambar produk cantik-cantik. Gambar mesti jelas. Post iklan produk atau servis yang ditawarkan serta logo dalam fesbuk 10 kali sehari selama 3 bulan. Content dan headline mesti catchy. Persembahkan nilai dengan betul. Proses pre pengenalan. (Lagi banyak friendlist lagi bagus) - nak advance lagi buat iklan fesbuk berbayar terus. Buat Fanpage. Boleh juga post ke group wasapp, instagrem, twitter, wechat etc 12. Cetak buku bil / resit / invois / d.o . (Fast print RM200). Design buku bil / invois mengikut kesesuaian bisnes. 13. Mula menjual (Market first, sell later). Ilmu memasar lain, menjual lain. Kuasai kedua-duanya. Kenalpasti siapa dan platform apakah yang kita akan gunakan untuk pasarkan produk / servis kita. Kenalpasti channel, channel, channel. Next step adalah besarkan channel yang sesuai dan berkualiti. Perletakan harga produk juga amat penting. Pada fasa ini kena tentukan berapa layer peringkat pengedaran yang kita nak gunakan. Contoh: Pengeluar - Stokis - Pengedar - Agen - Customer Pengeluar - Stokis - Agen - Customer Pengeluar - Stokis - Customer Pengeluar - customer Pemilihan peringkat pengedaran sangat penting dalam perletakan harga produk dan juga margin keuntungan. Tentukan peringkat pengedaran yang nak digunakan. 14. Ada modal sikit, pilih bank yang sesuai dan buka akaun semasa syarikat serta ambil lah buku cek. (RM1,000 - RM2,500 untuk deposit buka akaun syarikat) 15. Membeli dan membayarlah dengan menggunakan cek agar akaun syarikat aktif. 16. Semua urusniaga perlu dicatatkan / direkodkan. Paling penting adalah catat berapa RM masuk dan berapa RM keluar. 17. Simpan semua resit, voucher, bukti pembelian atau jualan. 18. Ambil maklum balas customer. Buat penambah baikan produk / servis setiap masa. 19. Perhatikan teknik pemasaran dan jualan yang macam mana paling mendatangkan hasil yang paling maksimum. Ulang yang paling berkesan. 20. Tentukan gaji pemilik dan pekerja. Asingkan penggunaan wang peribadi dengan wang syarikat. 21. Wajib tahu perbelanjaan tetap bulanan seperti gaji, sewa, bil elektrik, air agar kita tahu dan dapat plan target pendapatan 22. Upgrade ilmu pengurusan syarikat, ilmu pemasaran, ilmu kewangan dan juga upgrade produk dari segi pengiktirafan. Contoh : untuk produk makanan, dapatkan sijil halal.. Kelengkapan pakejing seperti barcode, nutrition fact cuba dapatkannya. Ini penting untuk keyakinan agen dan pembeli. . Bila dah dapat jualan pertama, perkara pertama yang perlu anda fikir adalah bagaimana dan apa strategi yang perlu dibuat untuk catat jualan yang mampu mencapai titik pulangan modal, barulah fikir untuk langkah seterusnya yang lebih bergaya :-) . PENGETAHUAN KEWANGAN (ASAS) YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM MEMULAKAN BISNES ===================== . 1. Berupaya mengenalpasti dan menyenaraikan berapa (RM) jumlah perbelanjaan / overhead tetap syarikat kita sebulan. Contoh overhead sebulan = RM5,000 2. Wajib mengetahui berapa profit margin produk kita. katakan profit margin kita adalah 50% Profit margin / margin keuntungan = Harga jual - harga kos / Harga jual Contoh : Harga jual kasut = RM20.00 Harga kos kasut = RM10.00 . Jadi, Profit margin kasut : = RM20 - RM10 / RM20 = 50% @ 0.5 3. Mesti mengetahui berapa titik pulang modal (break event point). Berapa jumlah jualan yang diperlukan untuk capai titik pulang modal. Dengan kata lain, berapa jualan yang diperlukan untuk menjadikan bisnes kita tak rugi dan tak untung. Bila kita tahu berapa overhead sebulan, berapa profit margin produk kita, maka kita boleh mengetahu berapa titik pulang modal kita seperti contoh di bawah : Formula titik pulang modal = Jumlah perbelanjaan / profit margin = 5,000 / 50% = 5,000 / 0.5 = RM 10,000 . Ini bermakna, anda perlukan jualan sebanyak RM10,000.00 sebulan untuk mencapai titik pulangan modal (tak untung dan juga tak rugi) iaitu jualan yang berupaya untuk menampung perbelanjaan atau overhead tetap anda sebulan bagi produk yang profit marginnya 50%. Ia juga bersamaan dengan RM333.33 sehari. + Jika purata jualan harian anda tidak sampai kepada RM333.33 sehari, maka perniagaan anda adalah dalam mode 'rugi' + Dan jika anda dapat hasilkan purata jualan bersamaan dengan RM333.33 sehari, maka perniagaan anda tak untung dan tak rugi. + Dan jika purata jualan harian anda melebihi RM333.33 sehari, maka perniagaan anda dalam mode untung. . Sebelum anda berfikir dan berharap anda berupaya untuk menjadikan syarikat yang baru anda tubuhkan ini mendapatkan untung, saya cadangkan, belajar dahulu biar ia berupaya mencapai titik pulang modal. Jika perniagaan syarikat berupaya bertahan sehingga 3-6 bulan dalam mode tak untung dan tak rugi, ini sudah boleh dikatakan satu kejayaan besar. . Bila anda sudah biasa berjuang untuk capai titik pulang modal, akan datang satu masa, kita dah rasa cukup kuat dan selesa untuk 'push' jualan harian atau bulanan kita mencapai tahap keuntungan sedikit demi sedikit.. Tempoh 6 bulan tak rugi dan tak untung itu adalah tempoh kita bina jenama, bina tribe, bina kepercayaan dan bina rangkaian untuk menjadikan 6 bulan seterusnya adalah dalam mode 'buat duit' . Manusia perlu masa untuk jadi pelanggan setia kita. Jadi, kita perlukan modal penimbal untuk bertahan menunggu di antara selang masa mereka menjadi pengguna biasa sehingga menjadi pengguna tegar produk kita.. Adalah menjadi tugas owner untuk cari modal penimbal tersebut. . Pertahankan perniagaan kita untuk melepasi tempoh asas pertama iaitu 3 tahun. InshaAllah untuk ke fasa seterusnya kita dan perniagaan kita dah semakin dewasa dan makin kuat untuk berdepan dengan cabaran yang lebih besar. . ** Mohon share jika tuan puan fikir ianya bermanfaat dan mampu membantu orang lain juga. Buat pahala sambil santai-santai |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan