Sabtu, 30 Julai 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Langkah kekalkan Pas di Selangor kelirukan rakyat, kata Pemuda Amanah

Posted: 30 Jul 2016 08:39 AM PDT

  Pemuda Amanah menganggap langkah mengekalkan Pas dalam kerajaan negeri Selangor akan terus mengelirukan rakyat kerana parti itu kini sudah nyata sangat cenderung kepada Umno dengan tidak lagi bersuara menentang isu-isu korupsi terutama 1MDB.

 Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil berkata perlu ditegaskan bahawa tidak timbul soal Adun Amanah mahukan jawatan Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana tidak pernah pun diminta.

 Namun katanya, sejarah dua orang Adun Amanah ini menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor adalah satu pengorbanan besar dan bukti jelas komitmen kepada kesinambungan dan pengukuhan Pakatan Rakyat.

 "Pertembungan tiga penjuru dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini adalah 'precedent' jelas bahawa Pas tidak lagi mahu bersama pakatan pembangkang.

 "Ini adalah pilihan PAS dan semua pihak perlu menghormatinya.

 "Maka, semua parti koalisi Pakatan Harapan perlu kembali ke meja rundingan secepat mungkin dan merangka strategi terbaik untuk berhadapan tiga penjuru dalam mana-mana pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan,9 Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

 PAKATAN HARAPAN PERLU KUKUHKAN KOMITMEN

 Kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) semalam menggambarkan komitmen tinggi Amanah untuk terus berjuang bersama koalisi Pakatan Harapan dalam membawa perubahan kepada sistem dan urustadbir negara yang semakin korup.

 Amanah terus bertekad membela nasib rakyat yang dizalimi serta kehidupan rakyat yang semakin ditekan kerajaan Barisan Nasional pimpinan 'Malaysian Official 1'.

 Skandal 1MDB adalah kemuncak korupsi pemimpin negara. Pendedahan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat melalui tindakan 'Civil Forfeiture' menunjukkan wujudnya perbuatan-perbuatan jenayah dalam pengurusan 1MDB. 

 Perdana Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bertanggungjawab sepenuhnya atas kecurian berbilion ringgit wang negara dalam skandal terbesar ini.

 Kroni-kroni Perdana Menteri jelas telah mendapat faedah langsung dengan mengumpul kekayaan hasil pengubahan wang haram.

 Maka, menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14 adalah satu kewajipan dan bukan lagi pilihan.

 Rakyat mahukan satu gabungan pembangkang besar yang kuat sebagai sebuah kerajaan menanti yang serius menentang Umno dan Barisan Nasional.

 Justeru, Pakatan Harapan perlu menunjukkan kesediaan untuk menjayakan agenda ini.

 Pakatan Rakyat sudah terkubur dan kini digantikan dengan Pakatan Harapan.

 Pakatan Harapan telah membuat satu lonjakan bagi mengukuhkan agenda perjuangan ini dengan menandatangani satu perjanjian bertulis melibatkan PKR, DAP dan Amanah.

 Pas yang tidak pernah bercadang menyertai Pakatan Harapan adalah punca kepada perpecahan Pakatan Rakyat.

 Justeru, Pakatan Harapan perlu memandang ke hadapan.

 Sebagai manifestasi kesungguhan perjuangan Pakatan Harapan, kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan di Pulau Pinang.

 Seharusnya langkah positif dan efisyen ini perlu diikuti kerajaan negeri Selangor.

 Mengekalkan Pas dalam kerajaan negeri akan terus mengelirukan rakyat.

 PAS sudah nyata sangat cenderung kepada Umno dengan tidak lagi bersuara menentang isu-isu korupsi terutama 1MDB.

 Perlu ditegaskan bahawa tidak timbul soal Adun Amanah mahukan jawatan Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana tidak pernah pun diminta.

 Namun, sejarah dua orang Adun Amanah ini menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor adalah satu pengorbanan besar dan bukti jelas komitmen kepada kesinambungan dan pengukuhan Pakatan Rakyat.

 Memang benar PAS yang wujud dalam Pakatan Rakyat ketika PRU-13, namun Amanah yang menjunjung perjuangan Pakatan Rakyat yang kini disambung dan diteruskan oleh Pakatan Harapan.

 Pertembungan 3 penjuru dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini adalah 'precedent' jelas bahawa Pas tidak lagi mahu bersama pakatan pembangkang.

 Ini adalah pilihan PAS dan semua pihak perlu menghormatinya.

 Maka, semua parti koalisi Pakatan Harapan perlu kembali ke meja rundingan secepat mungkin dan merangka strategi terbaik untuk berhadapan tiga penjuru dalam mana-mana pilihanraya.

 Pakatan Harapan juga perlu segera merangka polisi dan rangka kerja bersama sebagai tawaran alternatif yang lebih baik kepada rakyat.

 Jika kesefahaman ini dapat dicapai oleh semua parti koalisi Pakatan Harapan, maka cadangan 'snap election' di Pulau Pinang pasti akan dihadapi secara bersama dan penuh semangat.

 Ia akan menjadi satu referendum rakyat menolak pentadbiran Najib Razak dan Barisan Nasional.

 Ia juga menggambarkan solidariti kepada YAB Lim Guan Eng yang dizalimi melalui pendakwaan terpilih sepertimana rakyat membela saudara Anwar Ibrahim. Jika dilema tiga penjuru dikatakan alasan UMNO akan terus menang dalam pilihanraya, maka kemenangan UMNO akan berterusan dalam mana-mana pilihanraya kerana ia adalah pilihan PAS yang kini tidak mahu bersama pakatan pembangkang.

 Pembentukan Blok Ke-tiga adalah bukti jelas bahawa Pas tidak bersedia berjuang bersama rakyat, tetapi lebih bersedia menyambung nyawa Umno dan Barisan Nasional.

 Pakatan Harapan perlu bersama mencari strategi baru dan tuntas dalam menghadapi pilihanraya sekiranya pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielak.

 FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional ~ SUMBER

Tiada ulasan: