Rabu, 29 Jun 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


DAP Yakin PAN Masih Ada Harapan Untuk PRU 14

Posted: 29 Jun 2016 04:18 PM PDT


LIHAT VIDEO DI SINI

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan dan Sungai Besar bukan ukuran sebenar untuk menentukan kerelevanan Parti Amanah Negara (PAN) dalam arena politik di negara ini, kata Setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Anthony Loke.


Loke berkata PRN Sarawak lebih bersifat kenegerian, manakala keputusan yang diperolehi PAN pada dua PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar disifatkannya sebagai 'di bawah jangkaan'.

"Dua PRK ini..kita secara terus terang..keputusan yang dicapai (calon PAN) itu di bawah jangkaan kita.

"Namun begitu, kita semua perlu memikul tanggungjawab (di atas kekalahan calon PAN itu). Sudah tentu pimpinan dan rakan-rakan Pakatan Harapan akan bersama-sama memikul tanggungjawab itu untuk membantu proses naikkan parti Amanah,"katanya dalam sebuah forum bertajuk "Amanah membawa tuah atau rebah" di Petaling Jaya semalam.

Namun, pendapat Loke itu dibidas oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PSM S Arutchelvan yang berkata kekalahan PAN di dua PRK itu bukan berpunca dari parti itu sendiri, tetapi berpunca daripada Pakatan Harapan.

Katanya, PAN adalah sebuah parti mangsa keadaan, sambil menambah bahawa masalahnya bukannya PAN tetapi Pakatan Harapan.

"Masalahnya bukan Amanah tetapi Pakatan Harapan sendiri,"katanya.

Laporan 'post mortem' kekalahan PAS di dua PRK siap Ogos

Posted: 29 Jun 2016 04:08 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan menyerahkan laporan 'post mortem' mengenai kekalahan parti itu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diserahkan kepada kepimpinan Pusat selewat-lewatnya akhir Ogos depan.
 
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata laporan berkenaan akan diserahkan pengerusinya Datuk Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS kepada peringkat pusat.
 
Jelasnya, Mohd Amar diberikan tanggungjawab memimpin Jawatankuasa 'post mortem' PAS bagi mengenal pasti punca-punca kekalahan PAS di kedua-dua kawasan PRK terbabit.
 
"Berdasar kepada pemerhatian awal PAS tidak kurang sokongan walaupun gagal memenangi PRK berkenaan. 
 
"Ini kerana undi teras PAS masih kekal. Sebaliknya penyokong PKR dan DAP berpaling arah di mana ada yang menyokong calon BN atau PAN," jelas Takiyuddin memetik laporan HarakahDaily hari ini.
 
Jawatankuasa berkenaan juga akan turut menilai pengendalian perjalanan pilihan raya dan jentera parti itu secara terperinci.
 
Pada PRK yang diadakan pada 18 Jun lalu, PAS gagal mencabar kekuatan Umno-Barisan Nasional (BN) yang berjaya mempertahankan kubu kuat mereka.
 
Di Kuala Kangsar BN menerusi Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi mengatasi calon PAS Dr. Najihatussalehah Ahmad dan Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Tarmizi Ramli.
 
Situasi sama di Sungai Besar apabila Budiman Mohd Zohdi yang mewakili BN mendapat majoriti 9,191 undi menewaskan calon Amanah Azhar Abdul Shukur dan Dr Rani Osman yang mewakili PAS.
 
 

Gerakan kecam Exco Pulau Pinang guna kata kesat dalam debat

Posted: 29 Jun 2016 04:07 PM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Gerakan Pulau Pinang menyelar wakil rakyat DAP negeri itu, Lim Hock Seng ekoran tindakannya yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong Barisan Nasional (BN) ketika sesi debat mengenai isu projek tiga lebuh raya dan terowong dasar laut malam tadi.
 
Setiausahanya, Hng Chee Wey berkata, Hock Seng sepatutnya bijak mengawal emosi ketika berdebat dan tidak cuba mengalih isu dengan mengeluarkan kata kesat apabila penjelasan beliau mendapat kritikan penyokong parti lawan.     
 
"Macam mana pun, anda kena menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai Yang Berhormat (YB) tidak patut dihormati. Adakah itu perkataan yang patut dikeluarkan dari mulut seorang YB. Lagipun beliau seorang Exco.
 
"Kita harus menampakkan seorang ahli politik yang matang dan berpengalaman, tidak harus memberi satu contoh (buruk) kepada golongan muda atau belia" katanya kepada Antarapos.  
 
Debat di antara Gerakan dan DAP yang menampilkan Hock Seng dengan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng malam tadi berakhir dengan kekecohan apabila penyokong kedua-dua pihak mengejek satu sama lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
 
Dilaporkan, kekecohan bermula selepas Hock Seng mengeluarkan perkataan kesat terhadap penyokong BN apabila penjelasan beliau tidak diterima kira-kira 500 penyokong parti itu. 
 
Ekoran terlalu marah, Hock Seng melabelkan kumpulan berkenaan sebagai 'hooligan' dan 'bodoh' sekaligus menyebabkan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati cuba menyerbu pentas untuk meminta penjelasan.
 
"Kita nampak semalam, penyokong kedua-dua pihak dalam keadaan berdisiplin tetapi YB Lim (Hock Seng) yang cuba membangkitkan perasaan (marah).
 
"Sebagai seorang pendebat, anda patut menjawab persoalan berdasarkan topik, bukan mengeluarkan emosi dengan memarahi penyokong pihak lawan," kata beliau.
 
Tambahnya, perdebatan yang sewajarnya menjadi medan untuk kerajaan negeri menjelaskan polisi agar difahami rakyat sudah bertukar kepada medan mempromosi 'kebaikan' pentadbiran sendiri. 
 
Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambil, ujar Chee Wey, buat masa ini Gerakan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan media bagi meminta pihak kerajaan negeri menjelaskan soalan yang tidak berjawab dalam debat berkenaan.
 
Antaranya mengenai kos terowong, perjanjian pertukaran tanah dengan kontraktor Consortium Zenith-BUCG (CZBUCG) dan kos RM305 juta yang dianggap tinggi untuk kajian daya maju projek.
 
BN sebelum ini mengecam sikap 'flip flop' kerajaan negeri dalam mencadangkan pembinaan jambatan ketiga yang bebas tol untuk menggantikan terowong.
 
Isu terowong bertol bernilai RM6.3 bilion dan tiga lebuh raya itu, yang ditawarkan kepada CZBUCG melalui tender terbuka, menjadi tajuk utama untuk beberapa bulan, dan daya maju projek itu terus dipersoalkan oleh NGO dan pembangkang di negeri ini.
 
Tiga lebuhraya tanpa tol itu dijangka siap pada 2022, manakala terowong itu dijangka siap pada 2027.

Guan Eng dihadap ke mahkamah esok atas dua tuduhan rasuah

Posted: 29 Jun 2016 04:01 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGTOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas  dua tuduhan rasuah termasuk pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran.
 
Setiausaha Agung DAP itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang.
 
Perkara itu disahkan oleh bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerusi Twitter.
 
Guan Eng akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah dan dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan. 
 
Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan beliau  menyeleweng kuasa bersabit  permohonan menukar status sebidang tanah daripada pertanian kepada komersial.
 
Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah  berhubung tindakannya  membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah harga pasaran.
 
Ahli perniagaan berkenaan Phang Li Khoon, yang menjual rumah di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta kepada Guan Eng tahun lalu. 
 
Beberapa pihak sebelum ini mendakwa banglo itu mempunyai nilai pasaran sehingga RM5 juta apabila dijual kepada Guan Eng.
 
Phang dilaporkan turut di tahan SPRM petang tadi untuk dihadapkan ke mahkamah. 
 
Kontroversi banglo dan isu tanah  itu tercetus pada 4 Mac lalu apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya mendakwa Guan Eng membeli sebuah banglo jauh di bawah harga pasaran.
 
Beliau meminta siasatan di jalankan untuk menentukan samada pembelian itu berkait dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada sebuah syarikat swasta.
 
Phang di katakan adalah rakan niaga pemilik utama saham syarikat yang membeli tanah di Taman Manggis itu daripada kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.
 
 

DAP Pulau Pinang akan adakan mesyuarat tergempar esok

Posted: 29 Jun 2016 03:53 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGTOWN: Susulan penahanan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kepimpinan DAP negeri itu akan mengadakan satu mesyuarat tergempar esok. 
 
Mesyuarat berkenaan akan diadakan sejurus selepas Guan Eng dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah, demikian menurut Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow. 
 
"DAP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri tergempar esok untuk membuat keputusan bagi menangani krisis politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, sambil menegaskan mesyuarat itu hanya akan diadakan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
 
Ujarnya, DAP menganggap tuduhan ke atas Guan Eng berunsurkan politik yang bertujuan mematikan kariernya.
 
Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dalam satu kenyataan berkata parti itu akan sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang Guan Eng.
 
Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas dua tuduhan rasuah termasuk pembelian sebuh banglo di bawah harga pasaran.
 
Beliau terdahulu ditahan SPRM petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang.
 
Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan beliau menyeleweng kuasa bersabit permohonan menukar status sebidang tanah daripada pertanian kepada komersial.
 
Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah  berhubung tindakannya  membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah harga pasaran.
 
Pemimpin DAP itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah dan dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan. 


Bekas tahanan ISA dapat ganti rugi RM 5.2 juta

Posted: 29 Jun 2016 03:53 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
PUTRAJAYA: Lima individu mendapat sejumlah RM5.2 juta ganti rugi termasuk faedah dan kos selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan Malaysia dan dua pihak lagi gagal dalam rayuan mereka untuk mengurangkan ganti rugi ekoran kesemuanya ditahan secara salah, 15 tahun lalu.
Lima individu itu Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Badaruddin Ismail dan Dr Badrulamin Bahron. 
Masing-masing ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh yang berbeza.
Kelima-lima mereka akan mendapat ganti rugi dalam tempoh kira-kira setahun selepas melalui beberapa prosedur.
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak kerajaan dan memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada responden-responden.
Kerajaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2014 yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari serta faedah lapan peratus setahun kepada pihak responden. Saman itu dikemukakan pada April 2004.

Shafie dijangka umum keluar parti?

Posted: 29 Jun 2016 12:42 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Datuk Seri Mohd Shafie ApdalDatuk Seri Mohd Shafie ApdalKetua Umno Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini berada di Mekah kerana mengerjakan umrah dijangka mengumumkan keluar parti selepas Majlis Tertinggi memutuskan menggantung beliau sehingga siasatan selesai dijalankan.

Daripada sumber maklumat yang dilapor portal MalaysiaGazette hari ini,  menyebut, Shafie difahamkan akan membuat pengumuman tersebut sekembalinya daripada menunaikan umrah.

Jumaat lepas, MT sebulat suara membuat keputusan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO ekoran perbuatan mereka yang secara terang-terangan melanggar disiplin dan perlembagaan parti.

Antara yang dilakukan oleh kedua mereka adalah duduk sepentas dengan parti pembangkang sambil memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia.

Walaupun Shafie sejak mula dipecat dari Kabinet telah bersama Muhyiddin mengkrittik kepimpinan Najib, namun nasibnya agak baik kerana MT hanya menggantung keahliannya sehingga siasatan jawatankuasa disiplin parti selesai.

"Shafie sekarang sudah nekad akan keluar daripada Umno walaupun dipujuk kerana hatinya sudah cukup kecewa.

"Dia akan buat pengumuman nanti sebaik sahaja dia sampai di Semporna nanti," kata sumber berkenaan seperti dipetik.

Semalam, lebih 300 ahli Umno di Semporna bertindak melepaskan semua jawatan dan keahlian mereka kerana membantah keputusan MT berhubung penggantungan keahlian Shafie.

"Mungkin akan lebih ramai ahli Umno di bahagian lain di Sabah akan menyertai Shafie sebagai tanda sokongan kepadanya selepas pengumuman dibuat," ujarnya.

Amanah perlu diperkukuh dalam Pakatan Harapan, kata Anthony Loke

Posted: 29 Jun 2016 12:37 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Peranan Amanah dalam Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkanPeranan Amanah dalam Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan


Gabungan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjayakan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas berkuburnya Pakatan Rakyat bagi meneruskan kesinambungan pakatan pembangkang.

Bercakap dalam forum 'Amanah: Bawa rebah atau tuah?' semalam, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berpandangan PH perlu memberi fokus kepada formula untuk memenangi pertembungan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang.

"Sekarang kita bukan bimbang kepada kerjasama pembangkang tetapi bimbang (rakyat) tak keluar mengundi," katanya menurut laporan Roketkini.

Kebimbangan itu dilahirkan merujuk kepada pertembungan tiga penjuru yang dilihat sering berpihak kepada kemenangan BN.

"Usaha kita sekarang ialah bagaimana untuk yakinkan pengundi supaya keluar mengundi," ujar Anthony.

Penubuhan Amanah katanya adalah keperluan dalam gabungan pakatan pembangkang setelah perpecahan PAS dari Pakatan Rakyat (PR).

"Adalah tidak adil melihat Amanah sebagai beban kepada pakatan pembangkang. Tak timbul soal tuah atau rebah. Saya melihat itu adalah tanggungjawab bersama.

"Kita perlu tahu pengasas dan pemimpin Amanah merupakan pimpinan PAS yang disingkirkan dari muktamar PAS tahun 2015 lalu dan mereka sendiri melihat wujudnya keperluan menubuhkan (Amanah)," katanya.

Turut sama dalam forum malam tadi ialah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.

Bagi Hisomuddin, Amanah memiliki potensi besar untuk diterima baik dalam arena politik tanah air dan perlu diberi lebih banyak ruang untuk dikenali pengundi.

"Dua pilihanraya kecil lepas tidak mendukacitakan dan melonjakkan sokongan rakyat kepada Amanah.
"Cuma bila ini parti baru, ada yang anggap ia parti bebas," katanya.

Panel forum semalam turut disertai Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Husni bertindak bijak jauhkan diri dari Umno, kata bekas pengarang Utusan

Posted: 29 Jun 2016 12:35 AM PDT

 BORHAN AHMAD
 
 
Husni bijak mahu jauhkan diri dari Umno, kata bekas pengarang Utusan, Ku Seman Ku HussainHusni bijak mahu jauhkan diri dari Umno, kata bekas pengarang Utusan, Ku Seman Ku Hussain


Tindakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melepaskan semua jawatan dari kabinet dan dalam Umno serta BN boleh dilihat sebagai tindakan bijak menjauhkan diri dari dilibatkan dengan Umno, kata bekas pengarang Utusan Malaysia.

Bagi Ku Seman Ku Hussain yang meletakkan jawatan dari akhbar itu kerana tidak berpuashati dengan laporan mengenai skandal 1MDB oleh akhbar milik Umno itu, karakter Husni tidak sesuai dengan kepimpinan Umno sekarang.

"Apa lagi Husni dipaksa pikul isu skandal 1MDB  yang tidak mungkin boleh diterangkan kepada rakyat kecuali berbohong," kata Ku Seman melalui facebooknya.

Bagi beliau, walaupun banyak yang kebulur jawatan dalam Umno tetapi yang ada integriti bagi percuma pun mereka tolak.

"Husni tidak seperti beberapa menteri yang menjadi panglima melindungi ketua mereka dengan kata kata yang angkuh dan sedikit biadab," tulis bekas wartawan veteran Utusan yang meninggalkan akhbar itu hujung Mac lalu.

Katanya, Husni tidak banyak bercakap tentang retorik politik tetapi tekun dengan tugas.

"Karakter begini tidak sesuai dengan Umno. Tengoklah sekarang tak cukup menteri,  ketua bahagian yang pun galak beri kenyataan kpd media, belasah orang itu dan orang ini yang tak sebulu dengan ketua.

"Tak cukup ketua bahagian setiausaha akhbar pun sudah beri reaksi kenyataan  politik. Jadi nyatalah Husni tidak layak.

"Saya pasti selepas ini Husni akan diserang oleh media arus utama yang dicengkam oleh Umno," tulis beliau lagi yang menjadi viral dalam media sosial.

Datuk Seri Husni Hanadzlah meletakan jawatan sebagai Menteri Kewangan kedua serta semua jawatan dalam Umno bersama Datuk Abd Wahid Omar menteri di JPM yang menguruskan EPU di waktu negara sedang dilanda krisis ekonomi dan kewangan yang meruncing.

Pengumuman perletakan jawatan mereka diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan penyusunan kabinetnya baru-baru ini.

Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa pengunduran editor kanan akhbar itu Ku Seman Ku Hussain berkaitan dengan sikap kritikal beliau dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

"Secara jelasnya saya tidak tahu kenapa tetapi saya dimaklumkan sikap Ku Seman yang agak kritikal terhadap perdana menteri khususnya dalam isu 1MDB dan isu wang derma RM2.6 bilion antara penyebabnya," katanya.

Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa pengunduran editor kanan akhbar itu Ku Seman Ku Hussain berkaitan dengan sikap kritikal beliau dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

"Secara jelasnya saya tidak tahu kenapa tetapi saya dimaklumkan sikap Ku Seman yang agak kritikal terhadap perdana menteri khususnya dalam isu 1MDB dan isu wang derma RM2.6 bilion antara penyebabnya," kata bekas bos Ku Seman itu.

'Tindakan tegas ke atas ahli Umno bantah keputusan MT'

Posted: 29 Jun 2016 12:24 AM PDT

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Umno khususnya di bahagian Pagoh, Semporna dan Jerlun yang membantah keputusan Majlis Tertinggi parti itu yang memecat dan menggantung pemimpin mereka Jumaat lalu.

Tengku Adnan berkata, adalah tidak wajar bagi ahli parti di bahagian tersebut menuduh Majlis Tertinggi mengambil tindakan di luar batasan.

Akhbar Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, pemecatan ketua Umno bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua Umno Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan ketua Umno bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mereka melanggar disiplin parti.

"Kita sedang meneliti dan memantau pergolakan yang berlaku di Semporna dan Pagoh di mana ada ahli-ahli yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Majlis Tertinggi Umno.

"Jika mereka tidak menunjukkan tataetika sebagai ahli Umno yang benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk individu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka," katanya kepada akhbar milik Umno itu.

Umno bahagian Pagoh dan Semporna sebelum ini mengumumkan mereka menolak keputusan Majlis Tertinggi yang memecat pemimpin mereka daripada parti.

Ia berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat lalu yang membuat keputusan memecat Muhyiddin dan Mukhriz selepas didakwa bersekongkol dengan pembangkang menyerang parti serta kepimpinannya.

Shafie pula digantung keahlian atas kesalahan sama dan tindakan itu berkuat kuasa sehingga Majlis Tertinggi Umno menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Sementara itu, dalam isu peletakkan jawatan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kabinet dan Umno,
Ketua Penerangannya Tan Sri Annuar Musa meminta supaya semua pihak bertenang dan tidak membuat spekulasi.

Akhbar itu melaporkan, dakwaan yang mengatakan Husni digugurkan daripada kabinet adalah tidak benar kerana keputusan tersebut dibuatnya sendiri atas sebab peribadi, katanya.

"Bagi saya tidak timbul soal digugurkan atau tidak daripada kabinet dan mengenali Husni, beliau seorang yang jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta amanah diberikan," katanya.

Tuduhan bunuh tahanan, mahkamah bebaskan empat polis

Posted: 29 Jun 2016 12:17 AM PDT

Alyaa Alhadjri 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan empat anggota polis yang dituduh membunuh N Dharmendran semasa dalam tahanan pada tahun 2013.

Hakim Datuk Kamardin Hashim menyampaikan keputusannya di bilik mahkamah yang penuh sesak.
Dalam penghakimannya, Kamardin berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.

"Semua tertuduh memilih untuk membela diri dan memberi sumpah kenyataan dari kandang tertuduh.
"Mereka juga mengemukakan saksi untuk memberi keterangan," kata Kamardin yang berkata tidak ada hubungan antara Dharmendran dan dua tertuduh sebagai alasan untuk pembelaan.

Inspektor Hare Krishnan, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, didakwa membunuh Dharmendran, 32, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah antara 18 dan 21 Mei 2013.

Mereka berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 12 Dis 2014, Hakim Kamardin membebaskan keempat-empat pegawai dan anggota polis itu daripada pertuduhan membunuh, di akhir kes pendakwaan tanpa memanggil mereka membela diri.

Bagaimanapun pada 26 Feb 2016, Mahkamah Rayuan memerintahkan kesemua lelaki itu membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 28 April 2016, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dharmendran, mendapati kematiannya pada 21 Mei 2013 adalah akibat daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, manakala peguam M Athimulan dan Gobind Singh Deo mewakili Hare Krishnan, manakala Datuk Baljit Singh Sidhu bertindak bagi pihak tiga lagi tertuduh.

LIHAT VIDEO DI SINI

Dewan Bahasa dan Pustaka 'bapak segala indie'

Posted: 29 Jun 2016 12:13 AM PDT


Pada 22 Jun yang lalu genaplah 60 tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah institiusi bahasa dan sastera tersohor negara. Atau bagi yang arif akan sejarahnya, bapa kepada segala penerbitan indie di Malaysia.

Institiusi yang tidak asing lagi bagi peminat arena sastera dan bahasa tempatan ini pada zahirnya berada pada aliran arus perdana. Namun perlu disebutkan, inti pati sejarah dan perjuangannya berbeza daripada naratif tersebut.

Tersergamnya bangunan DBP di Jalan Dewan Bahasa ketika ini bukan sahaja sebagai arca dan mural untuk menghiasi pemandangan ibu kota, tapi juga menjadi pemangkin dan pembina bahasa dan sastera negara.

Walaupun begitu jolokan DBP sebagai bapa segala indie mungkin tidak akan dipersetujui setengah pihak jika mereka hanya melihat dari aspek wacana pentadbiran DBP semasa.

Seperti baru-baru ini, ada herdikan terhadap golongan penulis dan penerbit indie oleh wakil DBP dan mereka dianggap sebagai anasir yang merosak nilai serta identiti bahasa.

Kata-kata ini dilemparkan kepada penerbit dan penulis bebas yang melawan aliran arus perdana dengan menerbitkan karya-karya alternatif, imiginatif dan juga menyusuri alur-alur satira dan sastera, yang membahasakan ketidakpuasan mereka kepada keadaan semasa negara dengan cara yang mungkin dilihat biadab oleh sesetengah orang.

Malah golongan indie ini juga dikatakan telah merosakkan bahasa dengan penggunaan perkataan dan juga gaya penulisan yang tidak menyantuni apa yang dikatakan sebagai konvensyen dan aturan.

Indie seteru arus perdana
 
Namun mengimbau sejarah - dari Balai Pustaka kepada Dewan Bahaha dan Pustaka, dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur - DBP sememangnya meliputi perjalanan yang panjang dan lama, dari Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III pada 1956 hinggalah kepada Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

Walaupun ianya sebuah institiusi yang dimeterai undang-undang, namun sepanjang kewujudannya, DBP lebih mirip kepada rangkuman indie yang ironisnya telah dicerca itu.

DBP pada asalnya bukan sekadar hanya sebuah gudang kamus makna dan tempat bersidang jawatankuasa kosa kata, tetapi pada suatu ketika merupakan tempat bersanding imiginasi dan idea, melunak puisi dan memupuk segala sajak, cerpen dan karya.

Apakah itu indie selain seteru kepada arus perdana dan pemangkin kepada mereka yang mempelopori dan melakur sastera baru dan alternatif.

DBP sejak awal lagi - ketika dipelopori oleh pemikir dan sasterawan umpama Usman Awang - memang tidak menari mengikut gendang aliran arus perdana semasa.

Siapa boleh melupakan kisah Salina oleh A Samad Said, novel kontroversi pada masanya yang diterbitkan DBP. Dengan Salina beliau merangkumkan permasalahan isu pelacuran yang tidak berani disentuh pena arus perdana ketika itu. Bukankah inilah indie?

Selain isu kontroversi, DBP juga pernah mempelopori penggunaan bahasa yang boleh dikatakan tidak mengikut konvensyen dan aturan semasa.
Malahan dikatakan biadab oleh sesetengah orang.

Lihat sahaja karya Shit dan Tok Guru nukilan Shahnon Ahmad umpamanya. Shahnon adalah seorang lagi penulis indie ketika beliau dinaung DBP. Shahnon banyak menulis tentang pergolakan sosial dan politik negara dengan bahasa dan naratif yang tidak konvesional dan bukan mengikut sopan-santun penerbitan arus perdana.

Dan DBP juga tidak pernah gentar suatu ketika dahulu untuk mengherdik golongan berkuasa, umpamanya terbitan cerpen Hikayat Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail yang mengajuk pergolakan poltik tempatan.

Tidak boleh disangkal lagi yang DBP pada suatu ketika adalah kubu tempat bertempur pelopor karya dan penulisan indie, yang mungkin tidak akan disentuh penerbitan arus perdana.

Bukan lagi pelopor idea kebebasan

Ia boleh berlaku kerana pimpinan DBP ketika itu sedar bahawa peranannya adalah untuk menjana kemajuan sastera dan bahasa, dan bukan mengawal atau mengongkong golongan yang ingin berkarya.

Bagi generasi seangkatan dengan saya, tentu ramai yang masih ingat akan Ahmad Patria Abdullah dan Saga Artakusiad tulisannya. Salah sebuah trilogi kisah fantasi pertama tulisan anak muda Malaysia ketika itu, yang menyorot seakan-akan tulisan Tolkien.

Ianya sesuatu yang mencabar naratif penulisan tempatan dengan membawa liuk cerita yang berbeza. Sesuatu yang boleh dikatan indie pada masanya. Ianya juga dipelopori DBP.

Memang tidak salah lagi, jika kita boleh mengatakan yang DPB itulah bapa kepada segala indie malah ianya pelopor kepada budaya menegur yang berkuasa dengan sastera.

 Ketika itu pelopor idea-idea kebebasan dari tali-temali duniawi akhirnya tewas - dan terikat - dengan budaya wang, gajet, pembelian barang melalui telefon dan juga susur galur hedonisme lain.

Mungkin inilah yang terjadi kepada golongan "hippies" tahun 1960-an yang bertukar kepada golongan "yuppies" sekitar era 1980-an.

Ketika itu pelopor idea-idea kebebasan dari tali-temali duniawi akhirnya tewas - dan terikat - dengan budaya wang, gajet, pembelian barang melalui telefon dan juga susur galur hedonisme lain.

Mungkin inilah juga yang telah terjadi kepada DBP, bapa segala indie itu. Daripada pelopor pembaharuan dan pembebasan sastera dan minda, ia kini umpama institiusi yang ingin mengawal naratif dan cerita, dan bukan lagi tempat membina imiginasi dan karya.


Bekas IGP: Memalukan jika tuduhan ke atas Sanjeevan benar

Posted: 28 Jun 2016 11:53 PM PDT

Yap Jia Hee


Adalah memalukan sekiranya tuduhan ke atas Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan adalah benar, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Musa, yang juga adalah bekas penaung MyWatch,berkata ini akan memberi kesan kepada NGO lain dengan agenda sama untuk memerangi jenayah.

"Saya tidak mahu lihat sebagai menekan sesiapa kerana siasatan polis sedang dijalankan ke atasnya, biar polis jalankan siastan sama ada perkara itu benar berlaku atau tidak.

"Kalau betul berlaku, ia memalukan kerana lama-kelamaan masyarakat tidak akan percaya kepada NGO yang diwujudkan untuk mencegah jenayah," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Musa menekankan keperluan untuk NGO seumpama itu yang kononnya ingin mencegah jenayah tetapi terlibat pula dengan kegiatan haram.

"NGO ini perlu lebih kredibiliti kerana dia nak bantu masyarakat tetapi kalau mereka pula bertindak sebaliknya, bersama dengan kegiatan yang tak betul maka haramlah, maka malulah kita," katanya.

Minggu lalu, polis menahan Sanjeevan di Plaza Tol Nilai berikutan dakwaan bahawa beliau menuntut wang RM25,000 daripada seorang pengusaha judi haram. Pemandunya, seorang warga India, yang berusi 216 tahun turut ditahan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Remaja potong kaki Mek Som dipenjara 11 tahun

Posted: 28 Jun 2016 11:17 PM PDT

Remaja potong kaki Mek Som dipenjara 11 tahun
Mohd Fikri Noor Rosland, 19, dipenjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dengan cara memotong kaki kiri seorang warga emas Mek Som Mat Diah, 89, pada 19 Jun lepas.
 
 
PASIR MAS - Seorang remaja lelaki dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas kesalahan cubaan membunuh dengan cara memotong kaki kiri seorang warga emas wanita pada 19 Jun lalu.

Hakim, Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh Mohd Fikri Noor Rosland, 19, dari Kampung Tanjung Rendang, Lemal di sini yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.  

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu diarah menjalani hukuman penjara tersebut dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya,Haslida Isamail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian 19 Jun lalu, seorang warga emas, Mek Som Mat Diah, 89, putus pergelangan kaki kiri selepas ditetak tertuduh yang dipercayai dalam pengaruh dadah di rumahnya di Kampung Tanjong Rendang, Lemal.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tetak kaki nenek tua sebab tak dapat duit]

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Mek Som turut cedera di bahagian muka akibat ditumbuk suspek yang dikatakan berang kerana mangsa enggan memberikan wang kepadanya.

Mek Som kini kehilangan kaki kirinya yang terpaksa dipotong sehingga paras lutut sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Rasa pelik tak dok kaki']

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.  

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara terhadapnya.


Di mana Jho Low sekarang?

Posted: 28 Jun 2016 05:07 PM PDT

MALAYSIAKINI


Jutawan ranggi Jho Low kembali menarik perhatian berikutan polis menyiasat dakwaan hubungannya dengan syarikat yang kini tidak lagi berfungsi, Good Star Ltd.

Bagaimanapun, jutawan berusia 35 tahun itu telah hampir setahun menjauhkan diri dari perhatian awam.

Malah, organisasi amalnya, Yayasan Jynwel, turut berdiam diri sejak 26 Jun tahun lepas. Itu hanya seminggu sebelum Wall Street Journal memecahkan berita bahawa RM2.6 bilion ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jynwel Capital - sebuah firma pelaburan yang berpangkalan di Hong Kong di mana Low merupakan pengasas bersama dan juga menjadi ketua pegawai sksekutifnya - turut sama berdiam diri.

Walaupun syarikat Low itu berpangkalan di Hong Kong, tetapi dia dikhabarkan berada di Taiwan.

Menurut khabar angin, ini kerana Taiwan kekurangan perjanjian bantuan perundangan dan perjanjian ekstradisi, yang mana boleh melindungi seseorang yang dikatakan terlibat dalam skandal 1MDB.

Skandal itu kini menjadi bahan siasatan berasingan tetapi bertindih yang dijalankan oleh pihak berkuasa di lapan buah negara - Malaysia, Singapura, Switzerland, Luxemburg, Hong Kong, United Arab Emirates, Australia, dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, khabar angin itu tidak disahkan walaupun itu tidak menghalang seorang ahli parlimen DAP untuk mendapatkan bantuan Taipei bagi mengesan Low tahun lepas.

Namun, Taiwan mempunyai perjanjian bersama bantuan perundangan dengan salah sebuah daripada negara yang menyiasat sesuatu skandal 1MDB - Amerika Syarikat.

Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - merupakan orang penting dalam penubuhan pendahulu 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA). Reuters baru-baru ini mepetik orang yang mempunyai pengetahuan tentang siasatan, mengesahkan dakwaan sebelum ini bahawa Low merupakan pemilik tunggal Good Star.

Pada tahun 2009, 1MDB menghantar kira-kira AS$1.03 bilion yang sepatutnya untuk rakan kongsi perniagaannya ketika itu, PetroSaudi International (PSI), tetapi wang itu dilencongkan ke Good Star.

Kerajaan bertegaskan bahawa Good Star merupakan anak syarikat PSI, manakala Low menafikan ada kaitan dengan Good Star.

Berikutan laporan Reuters itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis akan menyiasat dakwaan kaitan antara Low dan Good Star.

Kapal layar mewah

Sementara itu, kapal layar mewah yang dikhabarkan milik Low, kali terakhir dilihat berada di negara kepulauan Pasifik, Palau, pada 5 April tahun ini, demikian menurut laman web Trafik Marin.

Satu lagi laman web pengesanan kapal, Vessel Finder, melaporkan kapal yang sama berada di Cairns, Australia, hanya beberapa jam lebih awal.

Pada bulan Februari tahun ini dan Disember tahun lepas, seorang pengguna di laman web ShipSpotting melaporkan melihat kapal layar itu di Auckland, New Zealand, di mana ia dikatakan sedang diperbaiki.

Kehadiran kapal layar itu di Auckland juga telah dipaparkan dalam kumpulan Facebook 'Superyachts di Auckland.

Bagaimanapun, untuk menentukan sama ada ada kebenaran mengenai khabar angin bahawa Low sebenarnya memiliki kapal laya 'Equanimity', terbukti lebih mencabar.

Di atas kertas, kapal itu milik Equanimity (Cayman) Ltd. Undang-undang syarikat Berahsia di Kepulauan Cayman membuatnya hampir mustahil untuk menentukan pemilik syarikat melalui rekod umum.

 Pelbagai laman web peminat marin menunjukkan Low sebagai pemilik utama kapal itu, seperti laporan oleh laman Sarawak Report.

Bagaimanapun, sesetengah laman web juga membuat spekulasi bahawa kapal itu sebenarnya dimiliki oleh Do Won Chang, pengasas rantaian runcit fesyen Korea Selatan, Forever 21.

Salah satu laman web itu, SuperYatchFan, mendakwa telah menerima mesej dari peguam Low menafikan bahawa Low adalah pemilik kapal layar itu, walaupun ia menyatakan bahawa dia masih calon yang mungkin memiliki kapal layar itu, selain daripada Chang.

Lebih sukar lagi ialah bagi menentukan sama ada Low berada di atas kapal layar mewah itu semasa ia dilihat di beberapa tempat tersebut.

Parti baharu mampu saingi Umno?

Posted: 28 Jun 2016 05:07 PM PDT

Parti baharu mampu saingi Umno?
Abdullah (duduk, tengah) bersama pimpinan tertinggi GPMS. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusof.‎ - Foto Sinar Online


KUALA LUMPUR - "Belum boleh lagi, kekuatan masih ada pada Umno," demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ‎ketika menggulas sama ada Umno akan tergugat sekiranya parti baharu ditubuhkan.

Ini rentetan daripada beberapa cadangan yang mencadangkan agar  bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menubuhkan parti baharu selepas dipecat daripada Umno.

Katanya, Umno mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak mampu disaingi oleh mana-mana parti.

"Umno masih menerima sokongan ramai," katanya ringkas ketika sidang media media dalam Majlis Berbuka Puasa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama beliau di Restoran D Saji Titiwangsa Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya adalah isu pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz memberi kesan kepada Umno, Abdullah berkata, impak terhadap Umno hanyalah sedikit.

Terdahulu, Majlis Tertinggi  memutuskan agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.

Sementara, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.


Pastikan vaksin anak lengkap, elak jangkitan

Posted: 28 Jun 2016 05:07 PM PDT

Vaksin
- Gambar Hiasan


SUNGAI PETANI - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menasihati ibu bapa untuk memastikan setiap anak menerima imunisasi lengkap bagi mengelakkan terkena jangkitan terutama apabila meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pemeriksaan boleh dilakukan dengan menyemak kad kesihatan anak masing-masing dan sekiranya masih belum berbuat demikian (imunisasi), boleh mendapatkannya di klinik kesihatan berhampiran.

Menurutnya, ia bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan sebarang penyakit  boleh dicegah vaksin kerana dalam tempoh cuti dan  Hari Raya, akan berlaku pergerakan orang ramai.

"Tidak dinafikan vaksin boleh menyebabkan  kesan sampingan atau Adverse Events Following Immunization (AEFI) seperti kesakitan dan kemerahan di tempat suntikan mahupun demam.

"Namun kebanyakan daripada kesan sampingan ini atau 98 peratus adalah ringan dan sembuh segera," katanya.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan sentiasa memantau keselamatan penggunaan dan pengambilan ubat dan vaksin di mana Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan  akan mendaftar dan meluluskan sesuatu vaksin sebelum diguna pakai.

"Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memastikan anak-anak mereka menerima imunisasi kerana ia dapat mencegah kejadian penyakit berjangkit dan mencegah wabak yang serius," katanya.

Beliau berkata, Pengesanan aktif kes di lapangan (ACD) mengenal pasti seramai 179 kanak-kanak bawah umur 7 tahun di Flat Paya Nahu, Sungai Petani di mana 146  menerima imunisasi lengkap.

"Seramai 10 orang akan menerima imunisasi hari ini (semalam), manakala 23 orang belum layak menerima vaksinasi sepatutnya.

"Di Langkawi, pengesanan aktif kes di lapangan mengesan lapan kontak di rumah semuanya sudah sihat dan diberi ubat kemoprofilaksis.

"Pengesanan kontak di tadika mengenal pasti seramai 22 kanak-kanak di mana 20 mendapat imunisasi lengkap dan dua dalam verifikasi," katanya.

Beliau mengesahkan lima beradik yang ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan satu kes di Langkawi telah dibenarkan pulang.


Kes bunuh Bill Kayong: Polis masih siasat, belum ada tangkapan

Posted: 28 Jun 2016 05:07 PM PDT

MALAYSIAKINI


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor hari ini berkata belum ada sebarang tangkapan berhubung kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong.

Katanya, siasatan masih diteruskan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

"Kita bekerja siang dan malam untuk menyiasat dan menyelesaikan kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 9/2016 sempena sambutan Aidilfitri di Summer Shopping Mall, hari ini.

Bill, 43 yang merupakan calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri Bekenu pada pilihan raya negeri Sarawak Mei lepas, ditembak mati di persimpangan lampu isyarat Kuala Baram, Miri pada kira-kira jam 9.20 pagi 21 Jun lepas.

Mengenai Op Selamat yang bertema "Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi", Mazlan berkata penggunaan perangkap had laju akan dikuatkuasakan semula sepanjang operasi kali ini dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang semakin meningkat di negeri ini.

Katanya, pemandu yang didapati memandu melebihi had laju yang dibenarkan akan dikeluarkan saman serta-merta.

Beliau berkata pasukan khusus juga akan ditugaskan bagi memantau pemandu-pemandu yang melanggar lampu isyarat lalu lintas.

Mazlan juga mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak menghalang lorong kecemasan sehingga menghalang pasukan bantuan kecemasan bergerak dengan pantas ke tempat kemalangan untuk menyelamatkan mangsa kemalangan.

"Perkara seperti ini pernah berlaku sebelum ini dan kita tidak mahu ia berulang," katanya.

Kepada pengusaha bot penumpang, beliau menasihatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana operasi mereka akan turut dipantau.- Bernama


Si miskin menyambut raya

Posted: 28 Jun 2016 05:07 PM PDT

A SHUKUR HARUN

A Shukur HarunA Shukur Harun

 Tidak sampai dua minggu lagi, Hari Raya Idulfitri akan menjelang di mana umat Islam, seperti biasa, membuat persiapan menyambutnya dengan kadar kemampuan masing-masing.

Dalam suasana yang begini, dengan keadaan kriisis ekonomi yang melanda, harga barang melambung naik, nilai ringgit ysng rendah, pembuangan pekerja begitu ramai di pelbagai sector, suasana hari raya akan disambut dengan muram.

Memang sering diulang-ulang seruan oleh pemimpin negara supaya rakyat berjimat, iaitu berbelanja sekedar yang termampu, tetapi pemimpin negara, atau orang-orang besar hidup dengan cara bermewah-mewah.

Dalam hal ini mereka perlu sedar bahawa rakyat sudah lebih dari berjimat. Tidak ada lagi yang boleh dijimatkan, kerana daya beli rakyat sudah sampai ketahap sangat rendah.

Walaupun di gedung membeli belah, barangan jualan, terutama barangan untuk menyambut hari raya, banyak seperti biasa dengan lebel 'jualan murah' dan tawaran istimewa hari raya di sana sini, tetapi daya beli rakyat ternyata terus merosot.

Mereka kelihatan sangat berhati-hati untuk membeli bukan saja barangan keperluan hari raya, bahkan keperluan asas harian.

Mereka begitu teragak-agak dan sangat berhati-hati untuk membeli barangan bukan saja di pasar biasa, tapi juga di gedung membeli belah.

Tidak mudah untuk mengambil barangan itu dan membubuh di tray, disebabkan kekangan wang yang dibawah sangat terbatas.

Dahulu, mereka membawa wang lima puluh ringgit ke pasar, umpamanya, banyak barang yang boleh dibeli. Tetapi kini berapalah nilai lima puluh ringgit, menyebabkandaya beli mereka sangat terbatas.

Peniaga sendiri merasa amat tertekan, disebabkan daya beli orang ramai semakin lemah. Menurut peniiaga, orang ramai datang seperti biasa, tetapi mereka sangat memilih, berharti-harti.

Keadaan merosot ini, menurut peniaga, yang dikenal sebagai Lim di pusat membeli belah Kuala Lumpur, berlaku sejak tahun lalu. Tetapi tahun ini, keadaan lebih teruk lagi.

"Kadang-kadang pulang modal saja," kata Puan Fadhilah, yang meniaga pakaian wanita di gedung membeli belah di Klang.

Seorang peniaga pakaian dan kasut kanak-kanak di Shah Alam, Encik Aminudin berkata, beliau kesihan melihat ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk membeli pakaian dan kasut.

Mereka sangat berhati-hati dan hanya memilih jenis pakaian yang murah, walaupun anak mereka mahu yang mahal, katanya.

Mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah, sangat terasa dengan harga barangan yang mahal, nlai wang yang rendah akibat krisis ekonomi yang melanda negara dengan pelbagai cukai yang dikenakan.

Lebih-lebih lagi dengan pembuangan ramai pekerja sekarang ini. Di mana mereka yang dibuang kerja ada yang menanggung keluarga yang ramai, ada yang menjaga ibu bapa yang sakit yang memerlukan wang untuk membeli ubat-ubatan. Belum lagi belanja persekolahan anak-anak.

Ramai yang tidak mampu membelikan pakaian baru untuk anak-anak mereka, walaupun anak-anak mendesak untuk dibelikan baju baru.

Seperti dikatakan tadi, walaupun barangan untuk sambutan hari raya sama dengan tahun-tahun yang lalu di gedung membeli belah,, tetapi ibu bapa 'berkerut dahi' ketika hendak membeli pakaian raya anak-anak mereka justru wang yang ada di poket mereka sangat terbatas.

Gambaran jual beli di Bazar Ramadhan, umat Islam juga kelihatan sangat berjimat untuk membeli makanan berbuka puasa. Mereka tidak 'bermewah-mewah', tetapi membeli makanan yang sangat perlu saja bagi mereka yang bekerja di laut, sementara suri rumah membuat persiapan iftar ala kadar saja.

Ada yang enggan ke Pasar Ramadhan, kerana alasan "nanti macam-macam makanan nak dibeli. Jadi masak sendiri lebih jimat," kata sesetengah suri rumah.

Bagaimana pula nasib petani dan nelayan – pesawah, penoreh getah, nelayan pantai, pekebun kecil ketika menyambut raya ini.

Dapat digambarkan bagaimana suasana di tempat mereka lebih memllukan. Bagaimana mereka berbuka puasa dan hari raya.

Bagaimana dengan persiapan pakaian untuk anak-anak mereka.

Oleh itu seruan pemimpin negara atau orang-orang besar supaya rakyat berjumat adalah seruan yang sangat tidak lojik, iaitu ketika rakyat sudah memaksimakan penjimatan mereka. Tidak ada lagi benda yang boleh dijimatkan.

Di sini bagaimana pula dengan sikap orang-orang besar atau golongan elit yang terus bermewah-mewah, berbuka puasa di hotel mewah atau mengadakan jamuah mewah ketika beriftar di dewan mewah.

Anak isterti mereka membeli belah di pusat membeli belah yang mewah di dalam negeri, menggunakan credit-card.

Malah ada yang shooping di luar negara, membeli beg tangan berjenama mahal, pakaian mahal, kasut mahal dan segala barangan lain yang mahal belaka.

Barangan perhiasan di banglo kediaman kawasan elit mereka juga mahal belaka, kebanyakkan dibeli dari luar.

Semuanya ini adalah manifestasi kehidupan rakyat yang sangat kontras dan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini yang semakin ketara.

Miliki Barang Berkaitan IS, Pereka Grafik Dipenjara 20 Bulan

Posted: 28 Jun 2016 05:02 PM PDT

MSTAR ONLINE




KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik dipenjara 20 bulan oleh Mahkamah Tinggi sini pada Selasa atas tuduhan memiliki barang berkaitan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan enam keping wang palsu, Mac lalu.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Muhammad Saiful Hashim mengaku bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Ab Karim memerintahkan 20 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan turut memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 22 Mac 2016.

Mengikut pertuduhan pertama, Saiful, 35, didakwa memiliki pelekat IS, satu imej gambar merangkumi susunan dua senjata api AK-47, bom tangan, pistol warna hitam dan peluru dengan nama Epol Antilabel serta bendera IS yang ditemui dalam komputer riba.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan mana-mana item, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki enam keping wang palsu iaitu wang kertas RM10 yang bernombor siri BE1993049 dengan menyedari wang itu palsu.

Untuk kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di No 56 Jalan Sekolah Derma, Kangar Perlis, jam 9.45 pagi, 22 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Muhamad Mustaffa P Kunyalam manakala Saiful diwakili peguam bela, Ad Zulkarnain Zulkafli

Kren Tumbang Di Jalan Titiwangsa, Pemandu Bas Nyaris Terkorban

Posted: 28 Jun 2016 04:49 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas berdepan pengalaman ngeri apabila sebuah kren dari kawasan pembinaan berhampiran Jalan Titiwangsa di sini tumbang dan hampir menghempap bas yang sedang dipandunya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Selasa, Idris Ham , 49, yang memandu bas Rapid KL menghala ke ibu negara bersama kira-kira 30 penumpang terkejut apabila kren tersebut nyaris-nyaris terkena tempat pemandu bas berkenaan.

"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan pantas. Waktu itu saya hanya ingat mati kerana besi kren hampir mengenai bahagian atas tempat saya memandu.

"Ketika kejadian, kira-kira 30 penumpang turut berada dalam bas ini dan mereka semua terkejut," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima laporan itu pada 7.15 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sejurus selepas itu, saya mengerahkan tujuh anggota dari Balai Bomba  Setapak ke tempat kejadian untuk memantau dan membantu mengalihkan kren tumbang itu," katanya.

Azizan berkata dalam kejadian itu dua kereta turut terjejas tetapi tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Anggapan Semua Ubat Selamat, Berkesan Punca Ubat Tidak Berdaftar Dibeli

Posted: 28 Jun 2016 04:47 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Gambar hiasan.
 
 
KUALA LUMPUR: Meskipun mengetahui terdapat ubat yang dijual di kedai-kedai atau menerusi Internet tidak berdaftar dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, namun masih ada yang mahu membelinya.

Pakar Psikologi Klinikal Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Noh Amit berkata perkara itu berlaku kerana psikologi sesetengah individu menganggap semua ubat yang dijual di pasaran terbuka bersifat penyembuh, selamat dan berkesan.

"Anggapan itu tercetus berikutan mereka masih kurang faham tentang kepentingan penggunaan ubat-ubatan yang perlu disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata atas kurang kefahaman dan tidak mempunyai maklumat mengenai bahaya serta kesan sampingan ubat itu, menyebabkan terdapat segelintir orang menjadi pelanggan kepada ubat yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

"Didorong dengan sikap masih belum bersedia untuk membincangkan masalah kesihatan secara terbuka kepada pengamal perubatan menyebabkan mereka ini sanggup membeli ubat yang berkemungkinan boleh memudaratkan kesihatan," katanya.

Dr Noh berkata selain itu, faktor ketagihan individu terhadap sesetengah ubat tidak berdaftar juga antara penyebab pengambilan berterusan ubat yang dijual di kedai-kedai dan melalui Internet.

"Apabila ubat ini mudah didapati di pasaran Malaysia dan dijual secara terbuka termasuk di kaki lima, di kedai runcit, premis kecantikan dan pasar, dengan harga mampu milik malahan tanpa memerlukan preskripsi pengamal perubatan berdaftar, ia akan terus dibeli oleh pengguna," katanya.

Bagi menangani masalah sedemikian, Dr Noh berkata orang ramai perlu mendidik diri untuk menjadi pengguna bijak dengan mendapatkan maklumat ubat-ubatan yang dibeli serta berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, khidmat nasihat kesihatan dan merujuk mengenai preskripsi ubat yang perlu diambil.

"Orang ramai jangan terlalu cepat percaya dengan testimoni keterlaluan tanpa mengenal pasti produk itu terlebih dahulu.

"Sebagai pembeli, mereka perlulah membeli ubat berdaftar di farmasi yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan mereka boleh menyemak ubat yang mereka ambil untuk pengesahan dengan Bahagian Farmasi," katanya.

Dr Noh mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan lebih agresif dan berterusan mendidik pengguna mengenai ubat-ubatan ini, selain mempertingkat penguatkuasaan terhadap pengimportan, pengeluaran dan penjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar.


"Serbuan dan tindakan perundangan yang tegas terhadap premis dan individu yang menjual ubat terlarang dan tidak berdaftar perlu dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penguatkuasaan yang jitu dengan penglibatan pihak berkepentingan, sokongan kuat kerajaan dan semua golongan masyarakat diperlukan dalam menjayakan usaha membanteras ubat-ubatan beracun di pasaran.

"Di pihak kami tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan dan akan dipertingkatkan lagi. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana kedai yang didapati terlibat melakukan kesalahan menjual ubat tanpa kelulusan kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya undang-undang farmasi dikuat kuasa ala koboi susulan pendedahan penjualan ubat beracun yang tidak terkawal di kedai-kedai secara terbuka.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika membeli ubat di kedai-kedai biasa agar tidak terbeli ubat mengandungi racun.

Beliau berkata orang ramai perlu memastikan ubat yang dibeli itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan yang mempunyai pendaftaran dan label keselamatan hologram Meditag yang diluluskan. - BERNAMA

Kabinet Najib bersifat sementara, usaha tutup masalah Umno

Posted: 28 Jun 2016 04:45 PM PDT

OLEH : AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Penstrukturan semula menteri kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih kepada usaha menutup kelompongan krisis dalaman Barisan Naisonal (BN) khususnya Umno.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menjangkakan, barisan kabinet baru ini tidak bertahan lama ekoran penarikan diri beberapa menteri termasuk Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang menjadi menteri kewangan kedua sebelum ini.

"Sebenarnya (BN) banyak masalah. Penstrukturan semula ini lebih kepada cubaan menutup masalah yang ada. Ini bukan kabinet bertahan lama.

"Sungguhpun Najib 'cakap besar' apabila menang dalam dua pilihan raya tetapi sebenarya beliau mempunyai kelemahan dari sudut dalaman," katanya kepada SelangorKini.

Katanya, beberapa menteri dalam kerajaan lebih selesa mendiamkan diri berbanding memberikan kenyataan bagi mengelakkan masalah dalaman berlarutan lebih parah.

Pengumuman Najib semalam menyaksikan Tan Sri Noh Omar menyertai semula kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menggantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi.EZY


MPK ambil tindakan pihak tinggal barang kitar semula di bahu jalan

Posted: 28 Jun 2016 04:43 PM PDT

OLEH : NORHAYATI UMOR


KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak berkompromi dalam isu peninggalan barangan perniagaan kitar semula yang ditinggalkan atas tanah kerajaan.

Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata hampir 20 tan barangan kitar semula disita iaitu pepulau, kaki lima atau siar kaki di bawah pentadbiran MPK.

KS 7

Katanya, tindakan diambil di bawah Seksyen 46 (1) (d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan halangan di atas tempat awam.

"Antara lokasi yang menerima banyak aduan ialah sekitar Pulau Indah dan beberapa kawasan yang dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya selepas ini.

"MPK sering mengadakan operasi penguatkuasaan dan penyitaan terhadap barangan ditinggalkan kerana menyalahi undang-undang yang ditetapkan selain menghalang laluan awam di situ," katanya dalam kenyataan.

Yasid berkata operasi yang diadakan membabitkan Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) serta melibatkan lima buah lori dan sebuah jentolak.

Beliau berkata bahu jalan di kawasan itu digunakan oleh pemilik untuk meletak barangan kitar semula miliknya tanpa menghiraukan bahaya.

"Sikap tidak bertanggungjawab ini mungkin menimpa selain mendatangkan ancaman kesihatan kepada penduduk berhampiran," katanya.EZY


Di mana wajah muda dan bakat baharu Borneo dalam kabinet Najib?

Posted: 28 Jun 2016 04:33 PM PDT

SANY HAMZAN
 
 
Tiada bakat-bakat baru yang boleh membaiki keadaan, rombakan ini jelas merupakan rombakan yang gagal dakwa Pemuda Amanah.Tiada bakat-bakat baru yang boleh membaiki keadaan, rombakan ini jelas merupakan rombakan yang gagal dakwa Pemuda Amanah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak masih mengulangi paten kabinet yang sama, bahkan lebih buruk dengan peletakan jawatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah.

Kabinet yang masih dalam skala besar (pastinya dengan perbelanjaan mengurus yang besar), portfolio antara kementerian yang tidak bersepadu, menjadikan kabinet kali ini lebih buruk berbanding sebelumnya.

Berapa juta lagi Perdana Menteri mahu bazirkan setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun menteri-menteri yang rakyat rasakan sebagai membazir dan tidak perlu?

Gaji pokok sebagai ahli parlimen ialah RM16,000. Jika dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, kerajaan perlu menyediakan tambahan RM14,907.20 dan RM10,847.65 lagi untuk setiap perjawatan.

Itu tidak termasuk elaun-elaun lain yang total jumlahnya menghampiri gaji pokok! Dengan keadaan kewangan negara yang semakin tenat, mengapakah Perdana Menteri mahu meneruskan trend pembaziran ini?

Lebih merunsingkan, kita tertanya-tanya di mana kedudukan bakat-bakat muda dalam kabinet kali ini? Dengan pengambilan 'menteri recycle' seperti Tan Sri Noh Omar, pengekalan menteri seperti Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Shahidan Kasim dengan portfolio mengurus Parlimen yang sangat minimum sifatnya, tiadanya pertambahan portfolio penting dan kritikal kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno,
Khairy Jamaluddin yang masih kekal dengan portfolio tradisi, menunjukkan tiadanya anjakan baru yang mahu diaspirasikan oleh Perdana Menteri ketika ini.

Bahkan lebih teruk, bakat-bakat muda daripada parti-parti komponen khususnya parti-parti daripada Sabah dan Sarawak langsung tidak diberi ruang untuk dibawa dalam Jemaah Menteri kali ini.

Ia menguatkan lagi telahan ramai bahawa Datuk Seri Najib hanya ingin 'menggunakan' sahaja pemimpin-pemimpin politik daripada Borneo untuk mengekalkan kedudukannya di Putrajaya, tanpa sedikit pun mahu berkongsi kuasa sebagaimana semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Belum lagi ditelusur bakat-bakat muda daripada MIC dan MCA yang langsung diketepikan terus. Jika ada pun, hanyalah muka lama yang dilihat setia mengampu Datuk Seri Najib sebelum ini seperti Datuk Chua Tee Yong yang diletakkan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Tiada langsung sosok-sosok baharu yang dibawa masuk untuk
meremajakan imej Kerajaan Persekutuan yang rosak teruk bawah kendalian Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pemuda Amanah merasakan rombakan kabinet ini langsung 'tidak bernafsu' untuk mengembalikan negara ke laluan yang selamat dan dijangka akan terus terjunam imejnya di mata dunia.

Dengan pengekalan Perdana Menteri, yang pastinya masih individu bermasalah, tiada bakat-bakat baru yang boleh membaiki keadaan, rombakan ini jelas merupakan rombakan yang gagal.

Perdana Menteri harus bersedia dengan segala risiko atas rombakan yang ditanggap tidak mampu membawa keluar negara daripada kemelut kewangan dan krisis kepercayaan yang amat parah.

Jika beliau berhasrat mahu membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, dengan tradisi 'politik dedak' yang masih berleluasa, Datuk Seri Najib harus bersedia mencongak lubuk kewangan mana lagi yang mahu ditarah.

Kerisauan kita paling asas ialah, rakyat seperti biasa - dalam banyak keadaan - poket merekalah yang bakal menjadi mangsa nombor satu!

*Penulis Sany Hamzan adalah Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tiada ulasan: