Ahad, 19 Jun 2016

.

.


Melayu bergurulah dengan Cina

Posted: 18 Jun 2016 10:37 PM PDT

ULAS PIRAKE (ii)

Kemenangan besar calon BN Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar dan Masturi Mohd Yazid di Kuala Kangar semalam ialah kerana peralihan undi Cina daripada pembangkang (sebuat Pakatan Rakyat) sebelum ini kepada BN. Pihak MCA mendakwa mereka berjaya meraih 35% undi Cina di Sekinchan berbanding 13% pada Peraum 2013 yang lalu. Manakala pihak Gerakan pula mengatakan mereka berjaya mengalihkan 40% undi Cina kepada BN.

Perubahan undi itu memang jelas dan menjadi fakta yang tidak boleh dipertikaikan. Peralihan itu memberi signifiken kepada parti DAP kerana ia dilihat kegagalan parti itu mengekalkan sokongan lalu untuk melonjakkan undi kepada rakannya Amanah. Cina di Sekinchan adalah penyokong dan ahli DAP. Dun Sekinchan satu-satu Dun yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam Peraum lalu.

Manakala di Kuala Kangsar, undi Cina di Jerlon yang dulu dimenangi oleh pembangkang kini jadi sebaliknya.

Mungkin peralihan undi Cina itu meresahkan DAP? Ia akan menjadi lebih menakutkan kalau siptom yang ditunjukkan di Sungai Besar itu khasnya berpanjangan hingga ke pilihan raya umum akan datang. DAP sudah tentu akan bangkit dan bingkas mencari formula dan kaedah untuk membendung siptom itu agar tidak menjadi barah kepadanya.

Bagaimana pun, saya melihat peralihan undi Cina yang boleh dikira besar itu, bukan kegagalan DAP dalam berkempen dan menarik perhatian orang Cina. Ia ada hubung kait dengan masalah lain. Seperti mana kata seorang politician Cina, pengundi Cina beralih kepada BN kerana bosan dengan apa yang berlaku dalam parti pembangkang.

Perpecahan dalam parti agama (Pas) sehingga muncul parti Amanah menyebabkan pengundi Cina keliru dan mereka bingung kalau pun tidak nanar. Mereka mungkin juga jeluak memikirkan cara orang Melayu bermain politik menggunakan agama sebagai modal mengkafirkan sesama sendiri. Perpecahan dan perbalahan itu boleh menyebabkan mereka lari kepada BN sebagai memberi peringatan agar pembangkang kembali bersatu.

Dari sudut lain, perubahan pengundi Cina di Sekinchan dan Jerlon itu ada kena mengena dengan cara orang Cina bermain politik. Seperti juga peralihan besar undi Cina dalam pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari. Mereka tidak bersemangat untuk kekal mengundi pembangkang, kerana mereka menyedari pilihan raya negeri Sarawak itu tidak akan membawa perubahan total, melihatkan kerajaan Persekutuan.

Jadi untuk apa mereka susah-susah sokong DAP, atau oposisi, apa lagi dengan memberi sokongan kepada DAP (pembangkang) menyebabkan mereka akan dicop sebagai pembangkang yang akan ditindas dan diskriminasi dalam Kerajaan Tempatan. Buat sementara waktu maka mereka memberi sokongan kepada parti memerintah BN, dengan cara itu mereka akan mendapat manfaat dan imbuhan semasa dan mengelakkan ditindas.

Demikian dengan perubahan undi Cina di Sekinchan dan Jerlon itu. Mereka sedar pilihan raya semalam tidak menganggu dan menjejaskan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh DAP dan PKR waktu ini. Sebaliknya kalau pilihan raya semalam berlaku di peringkat DUN, di mana kalah menangnya memberi kesan kepada kerajaan negeri, peralihan undi itu mungkin tidak berlaku.

Di sinilah saya selalu katakan orang Cina bijak bermain politik. Mereka selalu bijak dan mendapat untung kiri dan kanan. Sudah pasti dengan kemenangan dianggap besar oleh BN di Sungai Besar itu, habuah akan diterima oleh Cina di Sekinchan. Najib Razak seperti mana dijanjikan dalam ucapan merai kemenangan BN semalam akan meluluskan apa sahaja projek munasabah yang dipohonkan. Apakah orang Cina tidak akan menerima tempias itu?

Orang Melayu belajarlah berpolitik dengan bangsa yang lebih awal tamadun ini dan mempunyai benua terbesar di Asia Tenggara itu. Mereka bersatu dan senada dalam mengangkat martabat mereka, tidak seperti Melayu saling hina menghina sesama sendiri sehingga lupa kepada sejarah peribadi. Gunalah sampuo dalam berpolitik.

Makanya peralihan undi Cina di Sekinchan dan juga di Kuala Kangsar itu ia tidak bersifat kekal. Ia hanya semantara sahaja dan menyerlahkan macam mana kepintran orang Cina mengeksploitasikan politik untuk kepentingan mereka.  Saya yakin polisi-polisi baru diperkenalkan oleh kerajaan Najib, termasuk cukai GST, dan aksi politik penghinaan melampau kepada parti teras alternatif mereka, DAP terutama cara memburuk-burukan kerajaan Pulau Pinang menyebabkan orang Cina  menyimpan dendam kepada BN dan Najib.

Saya yakin DAP sendiri tidak begitu bimbang dengan pola pengundi di kalangan orang Cina semalam. Dan kalau mereka bersungut menzahirkan kebimbangan dan kekesalan, itu hanya desah politik yang penuh makna agar ianya tidak nampak menyusun agenda lain disebalik apa yang nyata. Walhau'alam. [wm.kl.1:15 t/hari 19/06/16]

BN boleh senyum, Amanah berpuas hati Pas tersengeh..

Posted: 18 Jun 2016 06:47 AM PDT

ULAS PIRAKE (i)

Menerima keputusan dua Pirake, Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang selesai lewat petang tadi, BN boleh tersenyum dengan kejayaan mempertahankan kedua-dua kerusi itu, namun tidak boleh berpuas hati. Kemenangan dengan majoriti besar (9,191) di Sungai Besar dan (6,969) Kuala Kangsar itu tidak mencerminkan hakikat kemenangan yang sebenar. Ini kerana sekiranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, pecah undi Pas dengan Amanah, BN boleh bergerudum.

Hakikat majoriti diraih oleh BN ialah, (2,289) di Sungai Besar dan (2,086) di Kuala Kangsar, jika ditolak gabungan undi yang diperolehi Pas dan Amanah.

Seperkara lagi perlu diingat selalunya dalam Pirake BN menguasai sepenuhnya kerana memiliki segala kemudahan termasuk jentera kerajaan. Jadi advantage ada kepadanya.

Sebaliknya Amanah, boleh berpuas hati dengan kejayaan meraih undi sebanyak (7,609) di Sungai Besar dan (4,883) di Kuala Kangsar. Sebagai penyertaan sulung dalam pilihan raya di Semenanjung, Amanah harus berbangga dengan pencapaian itu, tetapi tidak boleh bergembira. Dalam suasana ditekan, dihina kiri kanan oleh BN, media dan bekas rakannya Pas, namun Amanah berjaya juga meletakkan dirinya di persada politik tanah air. Dapat menyelamatkan wang deposit suatu tuah besar bagi Amanah.

Pencapaian Amanah itu mengenalkan (demostrasi) parti itu kepada rakyat negara ini. Dan hasrat Amanah pun saya kira bukan obses mengimpikan kemenangan, apabila ia turut ditentang sama oleh Pas, tetapi cukup sekadar untuk berada di atas abangnya dari segi urutan pencapaian undi. Di Sungai Besar Pas meraih 6,902 di Kuala Kangsar 5,684 melebihi daripada Amanah.

Manakala Pas pula bukan sahaja tidak boleh berpuas hati dengan kedua Pirake itu, tetapi untuk tersenyum sumbing pun tidak boleh. Yang mampu Pas lakukan hanya tersengeh sahaja. Dengan kedudukan ditempat ketiga dibawa parti compingan yang dihina dan ditekan demikian rupa, ia memberi pukulan kepada Pas dan parti itu patut menutup muka kerana malu. Usia Pas jauh lebih tua berbanding dengan Amanah yang baharu berumur belum sampai setahun.

Pencapaian Pas itu dilihat bahawa apa yang dibimbang sebelum ini menjadi kenyataan. Bahawa Pas tidak akan menguak jauh kalau ia mengambil sikap bersuku dan "berkera" sumbang dalam politik. Dalam realiti politik rencam seperti Malaysia, bersikap kera sumbang tidak banyak membawa kebaikan.

Keyakinan dan strategi Pas untuk bertanding secara bersendirian jelas membawa bencana memalukan kepada parti yang pernah menjadi harapan umum untuk menjadi alternatif kepada Umno itu. Lainlah kalau ada nawaitu kecil disebalik kalbu Pas penyertaan itu bagi membantu BN, yakini Umno yang kini sudah dipelukinya demi mempertahankan kerusi itu dari jatuh ke tangan pembangkang.

Apa yang berlaku di dua Pirake itu bakal menggambarkan pencapaian dan senario pada Piraum ke 14 nanti. Sekiranya momentum ini dikekalkan, khasnya bagi Amanah ia tidak syak lagi parti bongsu itu bakal menjadi parti kedua atau ketiga selepas DAP dan PKR. Mungkin juga Amanah akan menjadi pengganti kepada Pas tidak mustahil. Hal ini saya yakin kalau Amanah dapat bertahan untuk lima enam tahun, selepas Piraum ke-14 nanti, Amanah ada potensi menjadi parti diminati generasi baru.

Bagi Pas pula sekiranya ia tidak segera bangun dan bangkit mengambil iktibar dan melakukan semakan diri atas apa yang berlaku, parti itu akan menjadi semakin lemah dan mengecil. Tidak mustahil ia akan pupus dari peta siasah negara ini. Jikalau Pas terus mengambil pendekatan dan berpegang kepada doktirin politik hari ini, Pas sedang menuju ke tanah perkuburan.

Ada dua tindakan boleh diambil segera oleh Pas untuk menyelamat dan memulihkan maruah parti itu yang tertimpa dari dua Pirake itu. Pertama, kembali bersatu semula dengan pembangkang, memperkasakan komponen pembangkang untuk menghadapi Piraum akan datang, dan kedua, parti itu harus segera berkolabrosi dengan Umno.

Abdul Hadi Awang dan Haron Din yang memiliki kuasa veto atau air ludah keramat kepada Pas, tidak perlu malu-malu untuk membuat keputusan bekerjasama dengan Umno. Umno sendiri memahami dan berasakan mereka juga perlu bergabung dengan Pas, dengan berpandukan kepada keputusan Pirake itu. Umno tidak akan mampu mempertahankan kedua-dua kerusi itu apa lagi mendapat majoriti besar sekiranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru.

Justru itu seperti mana saya cadangkan BN-Umno perlu menghadiahkan sesuatu kepada Pas, dan hadiah yang paling dinanti-nanti dan afdal ialah bersedia bergabung dengan Umno. BN-Umno kena berkorban untuk mengahwini Pas. Jika Umno tidak sedia berbuat begitu ia akan dianggap sebagai memperdayakan Pas, "main" tetapi tidak mahu bertanggungjawab.

Seandainya pemimpin Pas masih berdegil, terus berilusi tidak mustahil parti itu akan jadi seperti pokok kelapa kena panah petir. Batangnya akan kecut dan kering, daunnya akan renggas dan lunyai kemudian pelepahnya akan gugur satu persatu. Akhirnya pokok kelapa itu tinggal batang tercokeng, batang kering bersendirian. Apakah Pas mahu jadi seperti itu? Tunggul.

Tepuklah dada tanyalah hati, atau Pas akan terus beretorik dengan caranya, yang mahukan keredhaan Allah bukan kemenangan! Terpulang. [wm.kl.8:30 pm 18/06/16]
*PIRAKE = pilihan raya kecil.
PERAUM = pilihan raya umum.

Tiada ulasan: