Jumaat, 10 Jun 2016

.

.


Rakaman video yang fantastik?

Posted: 09 Jun 2016 11:27 PM PDT

OLE RAMADHAN

Email saya hari ini menerima kiriman satu bahan cukup memeranjatkan, mengenai gambaran atau suasana satu rombongan sedang menaiki sebuah jet dengan membawa beberapa buah beg besar. Orang menaiki kapal terbang atau pun jet eksekutif adalah perkara biasa, tidak pernah menjadi bahan berita panas pun.

Tetapi berlainan dengan keadaan yang dirakamkan dalam video berdurasi 2:29 ini. Rombongan itu diketuai oleh isteri pembesar negara. Ia dikatakan begitu kerana orang mirip isteri pembesar itu mendahului yang lain memijak tangga menuju ke pintu jet dan setiap orang dilewati menyambutnya dengan membongkokkan tubuh seakan mencium tangannya tanda hormat.

Tangga yang digunakan ada lambang sebuah syarikat penerbangan negara yang bertukar nama kerana bankrup.

https://drive.google.com/file/d/0B-KS2an8wNoEb2wxZW5IZnBaTW8/view?usp=sharinghttps://drive.google.com/file/d/0B-KS2an8wNoEb2wxZW5IZnBaTW8/view?usp=sharing

Mungkin mereka yang mempunyai daya pengamatan tinggi dapat mengecami siapa perempuan berkenaan.

Jika mengikut kenyataan disertai ULR video berkenaan perempuan tersebut ialah Rosmah Mansor? Tetapi ia tidak dapat disahkan kerana kecanggihan IT sekarang ini segala-galanya boleh direyasa sehinggakan ia kelihatan asli.

Terlintas di kepala selepas melihat video berkenaan (tanpa berkelip), lagaknya ia seolah-olah sedang membawa lari barangan berharga. Dari sisi lain keadaanya semacam penyeludup? Atau lagaknya ia seperti orang sedang melarikan diri ke sesebuah negara lain dan meninggalkan negara asalnya.

Di sini saya tidak mahu mengulas panjang, tenguk dan tontonlah sendiri. Kaji dan selidikilah sebaik mungkin apakah video ini tulen atau pun bikinan yang disunting sebegitu rupa. Yang pastinya video ini sangat menarik dan fantastik sekurang-kurang untuk sepanjang Ramadhan ini. [wm.kl.2:25 pm 10/06/16]

Alhamdulilah selamat kembali ke tanah air

Posted: 09 Jun 2016 03:50 AM PDT

CATATAN RAMADHAN 

Selfie dari musala Safwa Tower di Makkah. 
Alhamduliah setelah 12 hari meninggalkan tanah air untuk mengerjakan umrah dan ziarah, lewat malam tadi saya telah selamat pulang ke tanah air. Syukur yang mendalam saya kepada Allah SWT yang tidak "kupit" (habis-habis) kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mengunjungi rumahNya dan kampung halaman utusannya, Muhammad Abdullah untuk kesekian kalinya.

Kesyukuran ini sebenarnya penuh dengan kesebakan, terharu dan gembira, kerana di saat-saat saya merasakan sukar atau pun tidak mungkin untuk mengunjungi, tiba-tiba diberikan semangat dan kudrat untuk melakukan demikian. Dendam tertangguh sebanyak tiga kali sebelum ini terlunas.

Paling membahagiakan saya ialah kerana dapat melaksanakan semua rukun-rukun ziarah seperti mana kunjungan sebelum ini. Apa yang saya bimbangkan aktiviti umrah kali ini cacat, (tidak sesempurna umrah sebelum ini) namun tampaknya tidak berlaku. Satu kemujuran dan ia sangat memuaskan hati dan jiwa saya. Cuma kalau dapat dikatakan ia cacat sedikit ialah satu sahaja, sewaktu sai' di mana kali ini saya tidak menjadi selincah pada kunjungan sebelum ini; boleh berjalan dan berlari lincah dari Safa ke Marwah dan sebaliknya.

Banyak perkara manis dan indah apabila kita mengunjungi dua bumi penuh rahmat dan berkat itu; Makkah Mukarahmah dan Madinah Munawarah. Yang pastinya rasa kemanusiaan dan kehambaan kita akan bertambah. Kita akan berasakan diri makin kecil dan makin lemah, situasi ini berganjak bersama keadaan diri kita yang berubah ke arah ketuaan.

Di Makkah kita mengenali rupa diri dan sifat-sifat mazmumah kita yang dicerminkan oleh pelbagai ragam manusia. Manakala di Madinah pula kita dapat berasakan betapa naif dan lemahkan kita dalam beradab dan berbudi bahasa jauh sekali sudah mendacai makam mahmudah. Madinah mengajar kita mengenali diri sebenar dan menuntut kita mempraktikan di atas dunia ini. Keteduhan dan kemakmuran bumi Madinah akan dapat dihayati sesiapa sahaja.

Sesuatu yang indah juga setiap kali mengunjungi kedua bumi itu, ia tidak akan pernah rasa bosan dan jemu untuk terus mampir ke bumi bertuah dan bersejarah itu. Sebenarnya keindahan inilah yang mengikat dan memanggil-manggil kita untuk ke sana. Sejak ia menjadi rutin kunjungan saya ke dua tanah itu sejak tahun 80-an, ia semacam tidak sempurna hidup ini kalau tidak menjejaki kaki ke sana.

Sebab itu apabila saya mis untuk ke sana tahun kepas (2015) semacam ada hutang banyak yang tidak mungkin dibayar. Seakan hidup ini tidak sempurna dan sesuatu yang janggal.

Tanyalah sesiap yang pernah ke sana akan memberi jawaban yang unit berbeza. Umumnya kita senantiasa lapar dan dahaga dengan segala rahmat dan hikmat disebalik ziarah itu. Situasinya persis kita akan tetap terus dahaga setelah meneguk serbak berselasih dan madu di tengah panas. Makin diteguk rasa dahaga makin melekat di tekak, begitulah sepulang dari tanah itu, keinginan untuk mendatanginya lagi membuak-buak dalam diri.

Dan seperti selalunya selepas menyepikan blog selama bermusafir saya akan kembali mengsaktifnya dengan ulasan dan bahan-bahan politik semasa tanah air. Banyak isu dan perkara yang perlu disentuh dan diberi pandangan dari dimensi cermin mata saya. Kebetulan kini sedang berlangsung dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Seharusnya saya sudah membuat pengeposan memberi komen dan komenter mengenai dua pilihan raya berkenaan yang dianggap ada sesuatu yang menarik di sana untuk dinilai.

Wap dan cerita kedua pilihan raya itu tidak terus tertutup semasa umrah. Semasa di Makkah dan Madinah, setiap kali berjumpa jemaah yang mengenali saya, soalan pertama ditanya ialah mengenai pilihan raya kecil itu. Mereka tidak bertanya tentang umrah dan ziarah atau apakah hikmat dan falsafah di sebaliknya. Terasa juga sedikit terganggu dengan pertanyaan-pertanyaan itu. Tetapi apa boleh dilakukan kerana mereka menganli saya sebagai penulis, maka soalan penulisanlah yang ditanyai dulu. Pertanyaan dan sapaan itu sebagai satu penghormatan pula buat saya.

Kepada semua pertanyaan baik langsung atau melalui sms, saya memberi jawaban akan menulis soal pilihan raya kecil itu dan politik selepas kembali ke tanah air. Selama bermukim di bumi ini, Makkah dan Madinah, biarlah saya melupai seketika politik negara bangsa yang sangat-sangat mendukacitakan itu.

Tetapi niat itu saya urunkan (batalkan). Buat sementara saya tidak mahu memberi apa-apa komen dan membuat apa-apa tinjauan ke dua pilihan raya berkenaan. Selain daripada kita semua sudah mendapat pelbagai ulasan, kajian dan ramalan mengenainya nanti, bagi saya pilihan raya kecil berkenaan telah menyerlahkan akan kebusukan dan kebejatan cara ia dimainkan. Harapan untuk melihat pilihan raya dan demokrasi bangsa semakin matang dan profesional tampaknya tidak menjadi kenyataan.

Saya akan membuat ulasan dan memberi pandangan (analisa) mengenai dua pilihan raya berkenaan selepas keputusannya diumumkan kelak.  Akhirukalam untuk catatan ini selamat mengerjakan ibadah puasa Ramadhan, moga penghayatan Ramadhan akan menambahkan kesuburan keimanan dan ketakwaan kita semua. [wm.kl.6:29 pm 09/06/16]

Tiada ulasan: