WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- HUDUD: PAS BERSAMA BN, MASA DEPAN POLITIK AZMIN MERUDUM!
- USUL MENGEJUT HUDUD UNTUK PILIHAN RAYA KECIL? – KHALID
- HUSAM DIPECAT KERANA JADI SAKSI KES MAHKAMAH?
- PKR AKAN SOKONG CALON AMANAH DI SG. BESAR, K. KANGSAR – SUMBER
HUDUD: PAS BERSAMA BN, MASA DEPAN POLITIK AZMIN MERUDUM! Posted: 27 May 2016 03:55 PM PDT Hudud: Pas bersama BN, masa depan politik Azmin merudum!Surat panjang lebar Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim tempoh hari yang menegur ahli-ahli politik parti itu tidak akan muncul sekiranya parti ditadbir secara berhemah. Teguran Anwar ke atas pemimpin utama PKR yang semakin membelakangkan reformasi dan mula berpolitiking mungkin jelas ditujukan kepada Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali. Azmin sebagai pemimpin yang diberi mandat untuk menguruskan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan rundingan kerusi dengan DAP pada Mei lalu gagal mengawal pemimpin-pemimpin PKR Sarawak yang majoritinya menganggotai kem beliau. Kecelaruan pengundian Mereka enggan mengaku kalah ke atas kerusi-kerusi baharu yang sebahagiannya pecahan kerusi DAP sedia ada dan dikatakan boleh menang walaupun tinjauan pendapat mendapati DAP lebih berpengaruh. Pengerusi PKR negeri, Baru Bian misalnya gagal ditenangkan Azmin daripada menuntut lima kerusi selepas DAP setuju melepaskan DUN Batu Kitang. Dalam situasi ini Azmin sepatutnya menggunakan kuasa beliau menekan Baru Bian agar pertandingan satu lawan satu berlaku di Sarawak. Namun Azmin tidak melakukannya, sebaliknya memberi watikah kepada PKR Sarawak untuk bertanding di lima kerusi yang direbutkan. Persengketaan itu menyebabkan DAP meletakkan calon di DUN Batu Kitang. Keputsan PRK 7 Mei adalah sejarah. Dalam 6 kerusi DAP dan PKR bertembung, DAP mendapat undi yang lebih tinggi daripada PKR di empat kawasan. Kesan yang lebih buruk ialah penolakan besar-besaran pengundi Sarawak ke atas parti pembangkang kerana mengecewakan mereka. Perebutan itu juga menyebabkan penurunan ketara jumlah keluar mengundi pada 7 Mei. Lebih mengejutkan, Pas yang tidak laku di Semenanjung tiba-tiba mampu menunjukkan pengaruh mereka di Beting Maro dan mendapat undi tinggi. Sewajarnya Parti Amanah Negara yang baru memperkenalkan diri di Sarawak boleh memberi cabaran sengit sekiranya Pakatan Harapan (PH) bergerak dalam satu pasukan dan mampu memberi impian kepada pengundi bahawa mereka layak memerintah. Dua PRK Selepas PRN Sarawak, Azmin mencuba lagi menunjukkan pengaruhnya dengan membelakangkan presiden parti Dr Wan Azizah dan Majlis Presiden Pakatan Harapan dengan melakukan rundingan bersendirian bersama Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mustafa Ali. Kononnya Pas masih bertahaluf siyasi dengan PKR dan pemimpin Kelantan yang menguasai Pas akan terhutang budi kepada Azmin kerana kerajaan Selangor menyumbang berpuluh-puluh buah rumah gantian kepada mangsa banjir di negeri itu. Kononnya Presiden Pas Hj Hadi sayangkan Azmin kerana pernah menaikkan nama beliau dalam mesyuarat Dewan Harian Pas mencalonkan nama Wan Azizah dan Azmin sebagai bakal MB Selangor pada 2014. Walaupun nama yang dihantar kepada Sultan Selangor selepas itu tidak pun mengandungi nama Azmin, sebaliknya 3 Exco negeri daripada Pas. Rundingan hanyut Mesyuarat Majlis Presiden PH bagi menetapkan parti bertanding dalam dua PRK ditangguhkan dengan harapan rundingan Azmin dan Pas akan berhasil. Diharapkan PKR bertanding di Sungai Besar dan Pas mengambil kerusi Kuala Kangsar. Walaupun banyak pihak – terutama blok Wan Azizah – memberi amaran Pas mempunyai 'deal' dengan BN dan tidak akan menerima tawaran Azmin. Akhirnya pada 27 Mei, Hadi memalukan Azmin apabila beliau mengusulkan pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat yang disokong oleh dua MP Umno. Dalam sekelip mata rakyat mentertawakan Azmin. Pada petang itu juga Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh mengesahkan Pas bekerjasama dengan Umno dalam isu Hudud. Haji Hadi terbukti tidak mengendahkan sumbangan Azmin di Kelantan atau tahaluf siyasi dengan PKR. Mungkin BN menjanjikan perkara yang lebih lumayan kepada Pas berbanding rumah-rumah mangsa banjir yang berharga di bawah RM100,000 sebuah. Hakikatnya, politik Azmin berakhir selepas dikhianati Hj Hadi dan Pas. Sekiranya Azmin pemimpin yang bermaruah maka beliau perlulah menyerahkan kembali kebijaksanaan menetapkan calon dan strategi pilihan raya di Sungai Besar, juga pilihan raya selepas itu kepada parti atau lebih tepat lagi, blok Dr Wan Azizah. Hulubalang Azmin seperti Shamsul Iskandar Mat Akin yang 'mengekor' Anwar suatu ketika dahulu wajar menegur bos baru beliau ini. Dr Xavier pula tidak perlu terus menerus jadi yes man. Tokoh reform yang baru masuk klik Azmin, Tian Chua, wajib mengkritik langkah tunggang langgang timbalan presiden itu. Azmin ternyata tidak mempunyai naluri politik sebagaimana mentornya Anwar. Malah naluri politik Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli lebih tepat dalam membaca putar belit Pas. PKR Selangor lingkup Setelah dua kali gagal dalam percaturan pilihan raya, sekiranya Azmin masih mahu berkuasa lagi memimpin percaturan seterusnya, maka PKR pasti akan lingkup. Selama ini pun blok Dr Wan Azizah tidak berkenan dengan strategi Azmin mengekalkan Exco dari Pas dalam kerajaan Selangor. Exco mendapat peruntukan kewangan yang besar dan mampu mengembangkan pengaruh Pas. Tempoh 3 tahun sebelum PRU boleh menguatkan parti itu untuk persediaan 'bercerai' dan bertanding sendirian pada PRU 14. Sekiranya Pas mempertahankan kebanyakan kerusi yang dimenangi pada PRU 13 lalu maka mereka boleh bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan campuran. Umno Selangor pernah membawa Pas ke meja rundingan selepas PRU 12 pada 2008 lalu namun dibantah oleh pimpinan kanan Pas negeri, Khalid Samad. Hari ini tiada tokoh yang 'elergi' dengan Umno di dalam Pas Selangor dan tidak mustahil mereka akan membentuk kerajaan campuran. Dengan strategi politik yang tidak bijak, Azmin mungkin mencatat sejarah sebagai MB terkahir Pakatan Harapan di Selangor sebelum diambil alih oleh perikatan Umno – Pas. Sekiranya strategi bercelaru Azmin digunakan di peringkat nasional maka negeri BN yang berpotensi ditawan PH pada PRU 14 akan tinggal sejarah. Apatah lagi PKR parti terbesar PH dengan 600,000 keahlian, DAP 300,000 keahlian dan Amanah 100,000 keahlian. Sebarang gerak langkah PKR akan menjadi panduan kepada parti lain. Peristiwa dimalukan Pas ini wajar menjadi pengajaran kepada pimpinan PKR. Pentadbiran di Selangor perlu bergerak lebih dinamik dan keputusan tegas mesti diambil menghadapi Pas yang semakin rapat dengan BN. Azmin pula perlu menunjukkan prestasi yang lebih baik sebagai MB. Komuniti perniagaan di Selangor menganggap pentadbiran beliau seperti auto pilot. Terdapat aduan, pihak berkuasa tempatan semakin kurang bertoleransi dan mungkin tidak mengikut sepenuhnya arahan pejabat MB dalam memberi perkhidmatan. Selain itu, hampir tidak ada skim baharu diperkenalkan kerajaan Selangor selepas dua tahun Azmin ditampuk kuasa. Beliau meneruskan sahaja skim yang diperkenalkan Khalid Ibrahim. Anwar gusar Dalam keadaan ini, tentulah Anwar berasa gusar dengan pemusatan kuasa kepada seorang yang kurang kebijaksanaan politiknya dan kini bergabung pula dalam inisiatif Deklarai Rakyat yang diketuai Dr Mahathir. Justeru Anwar mengingatkan agar pemimpin parti waspada dengan agenda Mahathir yang tidak menjurus kepada reformasi total sistem, sebaliknya hanya mahu menjatuhkan Najib sahaja. Selepas Muhyiddin diangkat menjadi PM baharu, tentu sekali Mahathir akan menyertai semula Umno dan memerangi PH. Hal seperti itu tidak boleh ditolak memandangkan Mahathir pernah berceramah di pentas Pas selepas dipecat daripada Umno pada 1969 lalu. Namun beliau kembali menjadi pemimpin Umno. Malah sekiranya Mahathir menawarkan Azmin jawatan TPM sekali pun, janji itu tidak boleh dipercayai 100 peratus berdasarkan rekod putar belit bekas diktator itu. Pas pula tidak wajar dirundingi sebagai sekutu kerana parti itu tidak mahu mengiktiraf PH. Nada ucapan Hadi kebelakangan ini yang cenderung untuk menjadi penasihat kepada Najib sudah membuktikan Pas bukan lagi sebahagian agenda reformasi. Pas mahu menjadi parti yang menguatkan Umno. Penasihat dalam apa definisi sekali pun adalah pihak yang bersetuju dengan sesuatu dasar, cuma menasihati dasar berkenaan agar menjadi lebih baik. Sedangkan PH adalah pihak yang menentang dasar Umno BN. Pengundi mahu jelas Azmin dalam semua keadaan mesti belajar menjauhkan diri daripada Pas. Beliau tidak boleh lagi menjadi seperti anak manja yang mengadu kepada Anwar dan Hadi. Minta kedua-dua pemimpin duduk semeja untuk memujuk dan mententeramkannya. Dalam PKR pula seseorang harus berani mengatakan tidak kepada Azmin jika beliau mahu meneruskan polisi persahabatan dengan Pas. Pengundi mahu sesuatu yang jelas. Mereka ditindas setiap hari oleh BN dan mahukan satu gerakan politik yang kuat menumbangkan parti itu. Jika Pas telah beralih arah menyokong BN maka PH perlu meneruskan dengan parti-parti lain yang masih mahu menumbangkan BN. Tanpa keputusan yang tegas rakyat tidak akan keluar mengundi. Keputusan PRU 14 kelak tidak akan jauh berbeza dengan PRK Sarawak. 1/3 pengundi tidak akan menunaikan tanggungjawabnya. Cuma, keadaan itu akan lebih mendukacitakan jika sikap tidak tegas Azmin menjadi puncanya! |
USUL MENGEJUT HUDUD UNTUK PILIHAN RAYA KECIL? – KHALID Posted: 27 May 2016 03:50 PM PDT Usul mengejut Hudud untuk Pilihan Raya Kecil? – KhalidPosted By PentadbirAhli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoalkan mengapakah kerajaan BN membenarkan usul yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang dibentangkan secara mengejut dan tidak mengikut prosedur kebiasaan Dewan. Beliau yang ditemui wartawan di lobi parlimen berkata, usul seperti itu adalah pertama kali dalam sejarah apabila kerajaan BN memberi laluan kepada usul peribadi pembangkang sebelum usul atau rang undang-undang kerajaan selesai dibahaskan. "Usul peribadi hanya boleh dibentang sekiranya kerajaan memberi laluan. Apa yang telah berlaku hari ini merupakan satu prosedur yang tak pernah berlaku sebelum ini. "Kita nak faham apakah faktor yang menyebabkan kerajaan mengutamakan usul ini berbanding urusan kerajaan yang lain seperti akta – akta yang dibahas ketika ini. "Saya minta ia dijelaskan, adakah kerana pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kerajaan tak jawab, kita tak tahu. "Tak tahu apa sebab, tiba-tiba mereka sokong usul daripada Pas," katanya. |
HUSAM DIPECAT KERANA JADI SAKSI KES MAHKAMAH? Posted: 27 May 2016 09:58 AM PDT Husam dipecat kerana jadi saksi kes mahkamah?Bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa telah menerima surat pemecatan beliau daripada Pas dan telah menulis surat khusus kepada presiden Pas meminta pemecatan beliau dibatalkan. "Hujah-hujah yang dinyatakan dalam surat pemecatan itu ada beberapa perkara yang sama sekali tidak dapat diterima dan saya yakin kalau presiden Pas menelitinya beliau patut membatalkan pemecatan saya," kata Husam pada satu sidang media di rumahnya hari ini. Menurutnya, beliau tidak mencabar parti kerana memecat beliau tetapi hujah-hujah yang dijadikan sebab pemecatan adalah tidak benar dan sebahagiannya mungkin bercanggah dengan undang-undang. "Misalnya satu ucapan saya di Kedai Mulong telah digunakan sebagai hujah untuk menyatakan saya bersalah, sedangkan bila saya teliti semula transkrip ucapan itu ia sama sekali tidak betul seperti dinyatakan dalam pertuduhan," katanya. Satu lagi contoh pertuduhan kononnya beliau bersalah kerana menjadi saksi di mahkamah berkaitan saman satu syarikat terhadap kerajaan Kelantan berhubung pembatalan kontrak pembinaan lebuhraya. "Saya sama sekali tidak memohon jadi saksi, penetapan saya jadi saksi kes diputuskan pihak mahkamah dan sudah tentu dalam makluman pihak plaintif dan defendan. "Bila pihak mahkamah berpuas hati saya wajar dipanggil sebagai saksi saya disapina untuk hadir dan tentu saya tidak boleh ingkar kerana ia telah menjadi kewajipan undang-undang," katanya. Adalah pelik katanya apabila kehadiran beliau di mahkamah kerana mengikut ketetapan undang-undang dijadikan bahan bukti kepada parti Pas untuk memecatnya. Beliau mengingatkan pihak Pas bahawa sekiranya pemecatan beliau tidak dibatalkan perkara ini terpaksa dibawa ke mahkamah. "Saya memang tidak ada hak untuk persoal pemecatan saya di mahkamah, tapi sebab pemecatan itu jelas mengandungi unsur fitnah dan saya sedang berunding dengan peguam untuk membuat saman malu (defamation suit)," tegasnya. Husam turut menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan Adun Salor dengan syarat Pas membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi membenarkan wakil rakyat yang meletak jawatan boleh bertanding semula. Beliau turut mendakwa, tindakan Pas 'mendera' beliau apabila meminta melepaskan jawatan Adun Salor selepas baru sahaja memecat daripada ahli Pas. "Pada saya ini adalah penderaan berkali-kali, kamu sudah dera dan pecat, mungkin ada motif politik pecat saya, dan kemudian bila saya dipecat saya kena letak jawatan tak boleh bertanding, "Jadi Pas telah mendera saya sebanyak dua kali, saya bersedia letak jawatan tapi kalau saya letak jawatan tak boleh bertanding macam mana saya nak lawan," katanya. Majlis kesyukuran yang mengorbankan seekor lembu dan seekor kerbau di rumahnya di Salor hari ini, dihadiri pelbagai lapisan masyarkat temasuk pemimpin Pas pelbagai peringkat. Malaysia dateline Comments |
PKR AKAN SOKONG CALON AMANAH DI SG. BESAR, K. KANGSAR – SUMBER Posted: 27 May 2016 09:55 AM PDT PKR akan sokong calon Amanah di Sg. Besar, K. Kangsar – SumberPKR dikatakan telah mengambil keputusan tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar dengan sedia memberi peluang kepada parti baru di gabungan Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (Amanah). Menurut, satu sumber dalaman PKR mengesahkan bahawa parti tersebut bakal akan sokong calon daripada Amanah dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan berlansung pada 18 Jun ini. "Kami telahpun mendapat arahan supaya bersiap sedia menghadapi PRK, bekerjasama dengan Amanah," kata sumber tersebut kepada Berita Daily. "Ya. Kami diberitahu bahawa pucuk pimpinan parti akan bantu Amanah pada PRK kali ini. Dan kami akan turun ke kedua-dua kawasan parlimen itu untuk berkempen bagi pihak Amanah," tambah sumber yang enggan mendedahkan namanya. Jelasnya lagi, perbincangan dengan PAS tidak berjaya selepas parti Islam itu berkeras untuk mencalonkan wakil pembangkang dari kalangan parti itu. "Tetapi, nampaknya pucuk pimpinan PH tidak begitu percaya dengan PAS yang kini khususnya Presiden PAS Abdul Hadi Awang lebih mesra dengan Umno berbanding PH," katanya lagi. Ketika ditanya mengapa PKR tidak bertanding di Sungai Besar, sumber tersebut berkata bahawa PKR sedia memberi ruang kepada Amanah demi semangat muafakat. "Pada kami (PKR), memang mempunyai peluang untuk memenangi di PRK Sungai Besar, tetapi ini bukan soal PKR atau Amanah tetapi Pakatan Harapan," katanya. "Dengan adanya PKR, DAP dan Amanah peluang PH untuk menawan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar lebih cerah berbanding PAS," ujarnya. Katanya, keputusan meletakkan calon Amanah di kedua-dua kerusi parlimen akan diumumkan secara rasmi pucuk pimpinan dalam masa terdekat. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan