Khamis, 26 Mei 2016

kalam Perantau

kalam Perantau


PAS tiada pilihan, tanding pilihanraya kecil berkembar

Posted: 26 May 2016 09:02 AM PDT

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa hari ini saya ditanya adakah PAS akan bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kecil berkembar Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Bermacam-macam teori yang dikemukakan selain pujuk rayu pelbagai pihak supaya PAS tidak bertanding pada kerusi tradisi yang ditandingi oleh PAS sebelum ini.

Ramai yang keliru dengan PKR yang mendakwa mereka parti yang boleh menang di Sg Besar dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18hb Jun 2016 nanti. Semua parti akan mendakwa mereka boleh menang hatta Parti Amanah Negara (PAN) yang belum teruji itu pun membuat dakwaan yang sama.

Saya tak berminat untuk sebut tentang PAN dulu setakat ini. Biarkan mereka dengan dakwaan dan teori-teori mereka. Ramai yang kenal siapa mereka. Mereka tak lebih dari ahli politik yang kecewa dalam PAS setelah kalah dalam pemilihan parti pada tahun lepas.

Begitu juga dengan dakwaan PKR yang mendakwa mereka boleh menang juga boleh dipertikaikan. Tak perlulah PKR nok bertukar kerusi pada masa ini kerana masa hendak tukar kerusi boleh dibuat pada PRU ke-14 nanti. Sekarang PAS dan PKR masih terikat dengan 'status quo' yang telah dipersetujui sebelum ini.

Cuma saya minta PKR merenung sejenak kebelakang dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 selepas PRU ke-12. Kerusi Hulu Selangor tersebut dimenangi oleh PKR dalam PRU ke-12 sebanyak 198 undi.

Ketika itu Pakatan Rakyat (PR) masih kuat dan semua pihak menyokong PKR tanpa berbelah bahagi dibantu oleh kerajaan PKR yang memimpin Selangor. Calon PKR pun bukan calang-calang orang, seorang bekas Menteri UMNO, Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan kerana prinsip dan menyertai PKR.

Apa yang berlaku dalam PRK tersebut, PKR bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi tersebut, malah tewas dalam pilihanraya kecil tersebut dengan majoriti 1,725 undi. Calon  BN, P. Kamalanathan mendapat 24,997 undi dan calon PKR,  Datuk Zaid Ibrahim pula mendapat 23,274 undi sahaja.

Dalam satu perkembangan yang lain pada PRU ke-12, calon PAS Mohd Sabu (sekarang Presiden PAN) yang disebut-sebut sebagai calon popular PAN di Sungai Besar gagal memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi.

Bila PAS bertanding semula dalam PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009, PAS meletakkan calon yang diterima rakyat mampu merampas kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Saya sendiri pun tidak pasti sama ada PAS akan bertanding atau tidak kerana penamaan calon belum diadakan lagi. Penamaan calon bagi pilihanraya kecil berkembar itu akan diadakan pada 5hb Jun 2016 nanti.

PAS berkeras kerusi tradisi parti Sg Besar dan Kuala Kangsar

Dalam Pakatan Harapan, parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut, atas alasan ia mempunyai hak keatas kerusi itu yang sebelum ini ditandingi oleh PAS apabila mereka menjadi sebahagian daripada bekas gabungan Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam masa yang sama, Azmin Ali Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar juga 'berminat' PKR bertanding di Sungai Besar, Selangor kerana beranggapan mempunyai lebih peluang untuk menang.

Tetapi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yakin PAS mempunyai peluang yang cerah pada PRK ini dengan berkata, "PAS akan bertanding di sini kerana PAS secara tradisinya bertanding di kerusi Sungai Besar, kerusi tradisi PAS, maka keputusan parti itu untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa dan kini memberi tumpuan untuk merampasnya dari BN kerana terdapat pelbagai isu tempatan dan nasional akibat dari kebobrokan pentadbiran BN".

Dalam banyak-banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin politik terutama dari kem pembangkang, saya rasa kenyataan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang juga pemimpin PKR paling realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

"Saya bersetuju PAS bertanding dikerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pembangkang harus tunjukkan komitmen berpadu jika mahu mengambil alih Putrajaya pada PRU 14 nanti. Bertanding untuk tewas bukanlah pilihan yang bijak" dimuat naik dalam facebook beliau pada 12hb Mei 2016 yang lepas.

Tan Sri Muhammad dilihat terus konsisten dengan pendirian awalnya bila seminggu lepas itu, pada 19hb Mei, 2016 sekali lagi beliau memuat naik pandangan beliau dalam facebook, "kalau saya memutuskan siapa nak bertanding di piluihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya akan pilih PAS. Soal dia dilihat berbaik-baik dengan Umno sama lah seperti PH dilihat berbaik-baik dengan Tun Mahathir"

Walaupun diserang kiri dan kanan dalam dalam dunia maya, beliau bertegas, "mengapa di satu pihak kita boleh berbaik-baik dengan Tun Mahathir dan disatu pihak tidak mahu sokong-menyokong dengan PAS dalam pilihanraya kecil ini? Biasanya dalam pilihanraya kecil, 'incumbent' akan bertanding" katanya dalam facebook beliau pada 19hb mei, 2016 tersebut.

Keputusan PAS untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa hatta PKR sekali pun sebagaimana PAS tidak mempertikai PKR bertanding pada kerusi tradisinya di Selangor.

Apatah lagi dalam keadaan PAS akan adakan muktamar ke-62 pada 1-3hb Jun, 2016 (dpercepatkan sehari dari asal yang akan berakhir pada 4hb Jun) di Kota Bharu kerana penamaan calon PRK berkembar berkenaan pada 5hb Jun, 2016.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini konsisten dalam kenyataan mereka bahawa parti itu akan meneruskan keputusannya untuk meletakkan calonnya dalam dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Setakat ini saya tak nampak ada pemimpin PAS yang sanggup "membunuh" karier politik mereka dalam PAS dengan mengambil sikap U-turn dengan keputusan yang dah diputuskan untuk bertanding dan sanggup berhadapan dengan ahli dalam muktamar yang diadakan untuk digelar pengkhianat parti sendiri.


PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar : Pembangkang bertembung lagi ?

Posted: 19 May 2016 09:30 PM PDT

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Tiada siapa yang menjangkakan ujian kepada Najib belum berakhir dengan berakhirnya Pilihanraya Negeri Sarawak yang memberikan kemenangan yang besar kepada Barisan Nasional bila mana parti-parti pembangkang mempamerkan keegoaan masing-masing untuk bertanding sesasama sendiri yang membolehkan Barisan Nasional Sarawak tak perlu bekerja keras menghadapi pilihanraya baru-baru ini untuk membentuk semula kerajaan negeri.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2011 yang lalu, DAP mendapat habuan yang besar dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditanding tetapi PKR hanya mendapat 3 kerusi DUN sahaja. Disebabkan DAP merasakan p encapaian yang cemerlang, DAP yang sudah 'naik tocang' dan besar kepada mula menunjukkan keegoan mereka dalam politik.

Tidak cukup dengan tindakan politik DAP bertindak secara bersendirian membubarkan Pakatan Rakyat ekoran perselisihan mereka dengan PAS, DAP sekali lagi 'membuli' PKR pula di Sarawak bila merasakan sokongan kepada mereka sudah hebat.

DAP yang dulunya bertading 15 kerusi DUN Sarawak, dalam pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini DAP bertanding 31 kerusi dengan 16 kerusi tambahan dimana 6 daripadanya bertindan dengan PKR. Kalau mengikut perjanjian Pakatan Harapan, gabungan tersebut telah terbubar atau boleh dibubarkan bila mana komponen bertanding sesama sendiri pada kerusi yang sama.

Pilihanraya kecil Sungai Besar, Kuala Kangsar serentak

Diluar jangkaan pemerhati politik berlaku kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar. Kesosongan kedua-dua kerusi ini berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti tipis, 399 undi. Manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihanraya Malalaysia menetapkan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini diadakan serentak pada 18 Jun 2016 dengan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS. PAS mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi tidak akan menarik diri jika ada pihak lain, terutama dari serpihannya Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Demokratik Action Party (DAP) hendak mencuba nasib bersaing sesama pembangkang.

PKR bukan lah parti yang wajar untuk bertanding pada kerusi Sungai Besar seperti yang diminta oleh Azmin Ali kerana parti itu sendiri pun sebelum ini gagal mempertahankan kerusi parlimen Hulu Selangor dalam satu pilihanraya kecil yang telah diadakan walaupun ketika itu Pakatan Rakyat masih belum berpecah.

Manakala jika ada usaha PAN untuk mempertaruhkan Nizar Jamaluddin pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar pun tidak akan Berjaya kerana reputasi Nizar bukan lagi seperti ketika beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang dulu.

Berikut adalah data-data pertembungan PAS dan UMNO sejak 3 pilihanraya umum yang lepas. (Grafik: Ihsan Malaysiakini)

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima). Manakala Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Harapan tanding satu lawan satu

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang". Tun Mahathir lebih jelas pendiriannya dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini berbanding dengan parti-parti pembangkang yang 'bercelaru' kerana masing-masing merasakan mereka paling layak bertanding mewakili pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Sebelum itu, Dato' Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS mengumumkan PAS akan bertanding pada kedua-dua kerusi tersebut yang beberapa kali ditandingi pada sebelum ini termasuk pada PRU ke-13 yang lepas.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja. Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini. Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu memberi peluang kepada PAS bertanding di situ bagi menumbangkan BN.

Kalau PKR atau PAN letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan parti-parti lain tidak meletakkan calon.


Tiada ulasan: