Khamis, 5 Mei 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bomba terharu individu tak dikenali hulur sumbangan

Posted: 05 May 2016 03:56 AM PDT

Bomba terharu individu tak dikenali hulur sumbangan
Razali (kanan) bersama anggota lain sempat bergambar bersama dua individu tidak kenali yang menghulur sumbangan makanan dan air kepada mereka, semalam.


KUALA ROMPIN – "Sepanjang kira-kira 36 tahun berkhidmat sebagai ahli bomba, inilah kali pertama ada orang awam yang tidak dikenali tiba-tiba datang menghulur sumbangan berbentuk makanan dan air".

Demikian luahan Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Razali Yazit, yang terharu menerima sumbangan berkenaan ketika beliau bersama beberapa anggota lain baru keluar dari belukar yang terbakar untuk berehat.

Menurutnya, individu berkenaan yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Kuantan disifatkan sebagai insan yang prihatin kerana sanggup berpatah balik menghantar sumbangannya walaupun tiada seorang anggota yang dia kenali.

"Ini kali pertama ketika operasi sebegini ada masyarakat yang prihatin dan langsung tidak dikenali menghulurkan sumbangan makanan dan air minuman yang cukup besar bagi kami secara tidak disangka-sangka .

"Ketika itu kami baru keluar dari belukar selepas selesai memadam kebakaran dan dia melihat kami berehat di tepi jalan. Mungkin atas rasa simpati dia sanggup berpatah balik selepas membeli roti dan air di Leban Chondong kira-kira sejauh 5KM dari lokasi kami berada," katanya kepada Sinar Harian.

Sejak beberapa hari lalu, belukar di Tebu Hitam dan hutan kecil di belakang Taman Nusa Puteri terbakar sekali gus mengakibatkan kawasan sekitar Kuala Rompin diselubungi asap seakan jerebu.

Menurut Razali, beliau bersama anggota lain pada ketika itu bagaikan terkesima dan terharu dengan sikap individu berkenaan yang langsung tidak sempat mereka kenali kerana kejadian berlaku dengan sangat pantas.

"Dia kelihatan dalam keadaan tergesa-gesa.. kami hanya sempat bersalam namun tidak sempat bertanyakan namanya. Sebelum dia beredar kami sempat tahannya sebentar untuk bergambar sebagai kenangan.

"Mungkin ini 'hadiah' kepada kami sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia semalam ditemukan dengan insan yang mulia sebegitu walaupun kami tidak pernah mengenalinya," katanya.


SELEPAS INI APA JADI KEPADA 1MDB? APAKAH NAJIB SEDANG BERUSAHA "CUCI TANGAN"?

Posted: 05 May 2016 03:48 AM PDT

shahbudindotcom


 
 
Kementerian Kewangan Diperbadankan yang memiliki 100 peratus saham 1MDB membuat beberapa keputusan semalam:-

- memindahkan semua asetnya iaitu  Bandar Malaysia, TRX City, tanah di Air Hitam, Pulau Pinang dan Pulau Indah, Selangor daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan.

- menukar rujukan Artikel 117 M & A 1MDB daripada memerlukan kelulusan "Perdana Menteri"  kepada "Menteri Kewangan".

- membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan bersetuju dengan tawaran perletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 31 Mei, kecuali kedudukan Arul Kanda Kandasamy selaku Presiden akan dikekalkan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Dimaklumkan juga bahawa keputusan itu diambil sebagai persetujuan terhadap cadangan-cadangan yang terkandung dalam Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen, baru-baru ini.

Betulkah tindakan yang diambil Menteri Kewangan Diperbadankan itu kerana bersetuju dan akur dengan syor PAC atau disebabkan faktor-faktor lain?

Aset 1MDB sebelum ini ialah janakuasa bebas dan empat keping tanah seperti disebut di atas. Dengan aset janakuasa bebas sudah dijual keseluruhannya kepada syarikat China dan empat harta itu pula akan diserahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan, bermakna selepas ini 1MDB akan menjadi syarikat kosong atau domain sahaja.

Jadi, bagaimana ia mahu membayar hutang-hutangnya?

Apakah pemindahan aset itu merupakan langkah pertama yang akan disusuli dengan pemindahan keseluruhan hutang juga kepada Menteri Kewangan Diperbadankan selepas ini?

Jika itu berlaku, apa jadi kepada 1MDB nanti? Adakah ia bakal ditutup dan hutangnya akan ditanggung oleh kita semua?

Menukar rujukan dalam artikel 117 M & A daripada "Perdana Menteri" kepada "Menteri Kewangan", sekali imbas tidak menampakkan apa-apa perbezaan kerana kedua-dua jawatan itu dipegang oleh orang yang sama iaitu Najib.

Maknanya, jika Najib masih memegang kedua-dua jawatan itu, tiada apa-apa yang berbeza dari segi praktikalnya.

Tetapi, apakah pertukaran itu merupakan tanda-tanda Najib mahu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan beliau mahu "cuci tangan" daripada segala beban 1MDB?

Siapa yang dipercayainya untuk dilantik ke jawatan tersebut?

Adakah Tengku Razaleigh bakal dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk membersihkan segala "kekotoran" yang ditinggalkannya berikutan Najib sebelum ini lima atau enam kali mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebelum Deklarasi Kelantan ditandatangani?

Dengan rujukan nama "Perdana Menteri"  sudah dimansuhkan dalam artikel 117, sudah tentu kaitan yang paling dekat ialah pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan semalam.

Tiada nama "Perdana Menteri"  sebagai rujukan, bermakna keperluan Lembaga Penasihat yang selama ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga tidak wujud lagi.

Sekali lagi, ia memperlihatkan Najib benar-benar ingin "cuci tangan"  dan bebas sepenuhnya daripada badi 1MDB.

Selepas ini, Lembaga Pengarah yang baru akan dibebankan sepenuhnya untuk menangani semua perkara berkaitan 1MDB, dengan seolah-olah Najib tidak lagi terlibat dengan syarikat pelaburan tersebut.

Lihatlah nanti siapa bakal dilantik dalam susunan Lembaga Pengarah 1MDB itu?

Secara keseluruhannya, tidak mustahil apa yang diputuskan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan ini adalah langkah pertama yang akan disusuli langkah-langkah seterusnya untuk membebaskan Najib daripada segala kekangan 1MDB dan orang lain pula akan memikul beban seterusnya.

Tetapi, bagaimana Najib mahu membebaskan dirinya dari segi moral berkaitan hutang, kaitan dengan Jho Low, dakwaan melibatkan anak tiri, wang dalam akaun peribadi, kemewahan berbelanja dan lain-lainnya, di tambah negara-negara luar yang menyiasat 1MDB berkaitan salah laku kewangan dan penggubahan wang haram juga ternampak semakin menunjukkan kemajuannya? 


Singapura kini tumpu pelaburan 1MDB di Cayman

Posted: 05 May 2016 03:43 AM PDT

MALAYSIAKINI




Penyiasat Singapura kini mungkin memberi tumpuan kepada pelaburan kontroversi 1MDB di Cayman dalam siasatan besar-besarannya ke atas firma pelaburan Malaysia itu yang membabitkan beberapa negara, lapor The Business Times.

Akhbar harian kewangan Singapura itu membuat kesimpulan berkenaan berdasarkan perbicaraan baru-baru ini dan siasatan yang membabitkan dua individu yang didakwa di mahkamah dalam proses siasatan.

Bekas tokoh bank BSI SA Yeo Jiawei dikenakan tuduhan berkaitan menipu BSI Singapura pada tahun 2012, manakala Kelvin Ang berdepan dakwaan rasuah dan telah ditahan selama 16 hari untuk membantu siasatan.

Pihak berkuasa sedang menyiasat "urus niaga yang rumit serta bertingkat" dengan "elemen rentas sempadan" melibatkan banyak syarikat 'kosong' dalam siasatan mereka ke atas 1MDB, kata ketua pendakwa Singapura Tan Ken Hwee.

Beliau memberitahu mahkamah dalam sebutan ketiga kes Ang. Ang didakwa pada 20 April lalu.

"Menganalisis semua urus niaga terbabit akan terus mengambil masa yang agak lama.

"Kemajuan dicapai dalam siasatan berhubung peranan tertuduh dalam pelbagai perkara yang sedang diteliti.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa siasatan yang memerlukan tempoh lanjut tahanan reman," kata Tan dalam hujahnya untuk melanjutkan tahanan reman Ang selama seminggu lagi.

"Pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial sedang menyiasat perkara ini dan perkara berkaitan sepanjang masa dan kami jangka untuk memuktamadkan kedudukan tertuduh dalam tempoh enam hari akan datang," katanya.

Hakim Christopher Goh membenarkan permohonan pendakwaan itu.

Walaupun tidak menyebut nama 1MDB di mahkamah, akhbar itu berkata umum mengetahui bahawa kes itu melibatkan siasatan jejak aliran wang 1MDB.

Ia juga melaporkan bahawa sebuah pusat kewangan Singapura telah dilantik bagi menilai dana kontroversi 1MDB sebanyak AS$2.318 bilion di Kepulauan Cayman.

'Ambil air siram bagi sejuk, siapa calon BN kita sokong'

Posted: 05 May 2016 03:40 AM PDT

Zulaikha Zulkifli  




Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi meminta kepada semua anggota parti mesra BN di Sarawak supaya ketepikan perasaan 'kecil hati' bagi memastikan kemenangan BN pada Sabtu ini.

"Ketepikan rasa kecil hati, marah-marah kita. Ambil air, siram bagi sejuk. Siapa sahaja calon BN yang dipilih kita sokong.

"Saya minta, mungkin ada tak puas hati, kecil hati, kecewa, tolong padamkan dan buang jauh-jauh sehingga 7 Mei bagi menentukan calon BN yang telah ditentukan oleh Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) dan Najib (Datuk Seri Najib Razak) sebagai calon menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Maling, Sibu.

Malah beliau juga meminta supaya jentera parti supaya gandakan usaha dan kerja bagi memastikan kemenangan BN di Sarawak.

Selain itu, pengarah pilihan raya BN itu juga mengumumkan peruntukkan RM100,000 kepada rumah panjang di sekitar Rumah Panjang Maling.

"Untuk kawasan rumah panjang di sini dan di sekitar jagaan tuai Rumah Panjang Maling, saya bagi pendawaian satu rumah RM2,000.

"Ada 50 rumah jadi lulus RM100,000," katanya sambil mendapat tepukan penduduk rumah panjang tersebut.


Anak jati Kelantan belanja RM300,000 benih awan

Posted: 05 May 2016 03:33 AM PDT

Anak jati Kelantan belanja RM300,000 benih awan
Amrul Nizar menunjukkan tiga suar digunakan semalam. 
 
 

"KITA guna tiga kapal terbang kecil bagi membenihkan awan dan saya rasa terpanggil untuk bantu rakyat negeri ini memandangkan tempoh cuaca kemarau sudah lama," demikian luah anak jati Kelantan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AF Jets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar, 42.

Usaha percubaan dan kajian pembenihan awan berkenaan yang dimulakan semalam menggunakan kapal terbang jenis Cessna Grand Caravan di sekitar bandar Kota Bharu, menampakkan potensi pembuatan awan akan berhasil.

Operasi pembenihan dijangka berlangsung 10 hari

Awal pagi semalam, bersama tujuh kakitangan AF Jets, pihaknya melakukan percubaan menggunakan kaedah 'weather mod' bagi membenihkan awan dan pada hujung minggu hadapan, operasi pembenihan dijangkakan berlangsung selama 10 hari.

Memperuntukkan kira-kira RM300,000 kos bagi belanja membenihkan awan, AF Jets secara sukarela bekerjasam dengan kerajaan negeri melakukan kerja berkenaan secara percuma bagi membantu rakyat Kelantan.

"Sebatang suar untuk usaha ini berharga kira-kira RM600 dan selepas ini, beribu-ribu batang suar dari Amerika Syarikat (AS) akan sampai untuk memudahkan kerja membenihkan awan.

"Sebelah sayap kapal terbang boleh memuatkan 24 suar, manakala sebelah lagi 24 suar digunakan dalam tempoh tiga hingga empat jam semasa proses berkenaan dijalankan di seluruh daerah di Kelantan," katanya.

Guna 100kg garam tanpa air

Amrul Nizar berkata, kelebihan pembenihan awan yang dijalankan mengikut kajian AF Jets ialah ia menggunakan konsep ubah suai dan membenihkan awan menggunakan rembesan 100 kilogram (kg) garam tidak dicampur air (dry seeding) bagi sebatang suar.

"Kita akan terbang pada awal pagi untuk melakukan proses pembenihan awan kerana waktu pagi, atmosfera akan diubahsuai supaya awan mudah terbentuk," kata anak kepada tentera ini.

Menguatkan usahanya itu, Amrul  Nizar berkata, semasa operasi pembenihan awan di Kelantan, terdapat empat kakitangan bertugas sehari, termasuk seorang juruterbang.

"Kita tidak kejar awan, sebaliknya kita 'buat' awan dan tukarkan kepada hujan. Daripada tiada hujan, kita ikhtiar sebaik-baiknya," katanya.
 
Perlu mula dari sekarang

"Untuk usaha pembenihan awan ini, kita boleh menggunakan kapal terbang kecil, malah saiz kecil lebih baik berbanding besar memandangkan kawasan yang dicari adalah luas.

"Kami akui, tompokan hujan kurang tetapi kita perlu mulakan dari sekarang. Jika tidak, cuaca di negeri ini akan berterusan panas," katanya selepas mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Ditanya bagaimana tercetus hasrat itu, dia mengakui, sebagai anak jati Kelantan biarpun dibesarkan di Kuala Lumpur, dia akui terkesan dengan keadaan cuaca panas yang melanda negeri itu dan timbul hasrat untuk membantu, dengan harapan bumi Serambi Makkah ini dibasahi hujan.

"Saya berbincang dengan ahli keluarga, ibu pun selalu bertanya bila nak bantu anak-beranak yang ada di Kelantan yang menghadapi kesukaran terutama ketiadaan air. Jadi memandangkan kerja kita membenihkan awan, saya sahut hasrat hati ibu.

"Kasihan ibu saudara panas dan ahli keluarga di Kelantan, saya dikhabarkan juga, padi pun tidak boleh tanam waktu ini sebab takut berisiko. Jika tak boleh tanam padi, harga beras pun naik, jadi untuk elak keadaan tambah kritikal, saya ambil inisiatif ini dengan ikhtiar membenihkan awan," katanya.

Doa, solat hajat dan ikhtiar benihkan awan

Menurut cucu dalam Persatuan Tok Wali Che Mud, Pasir Hor ini, usaha itu dilihat berpotensi selain doa sebagai ikhtiar paling baik.

"Di dunia, ikhtiar paling baik untuk satu-satu perkara, yang turunkan hujan adalah ALLAH SWT. Bagusnya di Kelantan ini, ada solat hajat, ada ikhtiar dan usaha ini dikira sudah 100 peratus kita buat.

"Bukan saya tidak mahu buat di negeri lain, cuma negeri lain sudah ada arahan dari pihak majlis dan untuk tunggu Kelantan masuk dalam senarai pembenihan awan, rasanya ia memakan masa agak lama, jadi AF Jets tampil untuk kajian dan tanggung jawab sosial korporat (CSR) ini.

"Saya bukanlah bomoh hujan, tetapi kami tekad berikhtiar memandangkan kami ada kepakaran dalam bidang ini," katanya

Facebook kini buka pejabat di Malaysia

Posted: 05 May 2016 03:26 AM PDT

Pejabat Facebook di Malaysia
Pejabat Facebook di Malaysia.
 
 
SELEPAS dua minggu membuka pejabat di Filipina, Facebook turut membuka cawangan di Malaysia.
Naib Presiden Asia Pasifik Facebook, Dan Neary mengumumkan pembukaan tersebut semalam di laman Facebooknya.

"Saya teruja untuk berkongsi bahawa Facebook baru sahaja membuka sebuah pejabat di Malaysia.

"Misi kami adalah untuk memberikan pengguna kuasa berkongsi dan menjadikan dunia lebih terbuka dan berhubung," katanya.

Menurut Dan, syarikat itu turut mengambil kira 18 juta rakyat Malaysia sebagai pengguna aktif yang membentuk 81 peratus daripada asas Internet di negara ini.

"Malaysia adalah antara pemimpin dalam penggunaan digital dan inovasi di seluruh Asia Tenggara.

"Rakyat Malaysia mengetuai perubahan di rantau ini dan transformasi digital telah memberi kesan positif kedua-dua rakyat dan perniagaan," ujarnya.

Seperti pejabat-pejabat lain Facebook yang telah ditubuhkan di Asia Tenggara, pejabat Malaysia turut akan memberi tumpuan kepada mendekati perniagaan di negara ini.

SPRM: Guan Eng, isteri beri keterangan esok

Posted: 05 May 2016 03:21 AM PDT

SINAR HARIAN


GUAN-ENG


GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew esok bagi membantu siasatan berhubung pembelian banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, Guan Eng dan isteri dijangka memberi keterangan di pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Guan Eng dan isteri akan dirakam percakapan di SPRM Pulau Pinang jam 9.30 pagi esok," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini 62 saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan kepada SPRM dan meminta pihak berkuasa menyiasat pembelian banglo oleh Guan Eng yang didakwa di bawah harga pasaran dan urusan jual beli tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.

Pembelian banglo oleh ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac lepas.

Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian ke atas hartanah berkenaan.

Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin. - Bernama


Ular sawa ditemui mati dalam kebakaran

Posted: 05 May 2016 03:19 AM PDT

Ular sawa ditemui mati dalam kebakaran
Anggota bomba menemui ular sawa yang mati dalam kebakaran hutan di kem TUDM Gong Kedak semalam. - Foto Bomba dan Penyelamat
 

PASIR PUTEH - Seekor ular sawa sepanjang enam meter ditemui mati oleh anggota Bomba dan Penyelamat dalam operasi memadamkan kebakaran hutan di kawasan Kem Tentera Udars (TUDM), Gong Kedak, di sini, semalam.

Ular sawa dengan ukur lilit lebih 0.3 meter itu dikatakan mati selepas terperangkap dan gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran hutan itu.

Ketua Balai Bomba Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, ular itu dipercayai terperangkap dalam kebakaran.

"Kita menyertai operasi bersama anggota bomba TUDM kem tentera berkenaan dari jam 12 tengahari dan berakhir jam 7 malam.

"Anggota bomba terkejut menemui ular yang besar dengan kesan terbakar selepas terperangkap," katanya.

Menurutnya, seramai lapan anggota bomba Pasir Puteh melakukan operasi bersama dengan lapan anggota Bomba TUDM selain dibantu sebuah pesawat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

"Kebakaran hutan seluas kira-kira 20 hektar itu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka oleh orang ramai.

"Api kemudiaannya merebak ke kawasan kem tentera di Gong Kedak," katanya.

Bekas ketua SUPP bidas penyiaran 'cek RM1 juta Najib'

Posted: 05 May 2016 03:17 AM PDT

MALAYSIAKINI




Bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin Fah Kui membidas portal Sarawak Report kerana menyiarkan dua imej cek berjumlah RM1 juta yang kononnya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk partinya.

Walau bagaimanapun, Chin tidak menafikan atau mengesahkan jika perkara itu benar.

Katanya, penyiaran gambar itu ketika Sarawak sedang menghadapi pilihan raya negeri bertujuan memburuk-burukkan imej SUPP dan calon-calonnya.

"Sarawak Report, pada pandangan saya, berusaha untuk memburukkan kepimpinan SUPP dahulu dan sekarang, dengan harapan untuk mengelirukan pengundi daripada memilih berdasarkan isu-isu semasa yang penting kepada rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan media.

Chin yang mengetuai SUPP sepanjang 2012 hingga 2014 menyifatkannya sebagai kerja-kerja pembangkang.



Sambil menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh, beliau berkata, isu itu adalah satu lagi contoh
"serangan yang diselaraskan dengan campur tangan pihak antarabangsa dalam pilihan raya Sarawak."

"Saya ingin memberi jaminan kepada setiap pengundi bahawa SUPP tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang yang sedia ada di negara kita," katanya.

Sarawak Report, dalam artikel terbarunya menerbitkan imej dua keping cek yang memaparkan bayaran kononnya dibuat oleh Najib kepada SUPP pada 2012 dan 2013.

Portal pemberi maklumat itu berkata tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengapa perdana menteri membuat sumbangan peribadi kepada parti tempatan di Sarawak.

Mengulas lanjut, Chin berkata pasukan teknologi maklumat SUPP di ibu pejabatnya di Kuching, sedang berusaha untuk mengesahkan keaslian imej berkenaan.



"Tarikh pada imej cek (yang tidak jelas di beberapa bahagian) adalah sekitar tahun 2013.

Mac lalu, Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) yang memetik rekod bank yang memperincikan bagaimana bayaran yang didakwa dibuat oleh Najib disalurkan kepada sekutu politiknya menjelang pilihan raya umum lalu, termasuk kepada SUPP.


Calon: 6 kali p'raya, mana klinik dijanjikan?

Posted: 05 May 2016 03:12 AM PDT

MALAYSIAKINI




Selepas tiga kali pilihan raya umum dan tiga kali pilihan raya negeri, seorang calon DAP membangkitkan persoalan di mana klinik ibu dan bayi yang dijanjikan dibina di kawasannya belasan tahun lalu.

Calon DAP Tasik Biru Mordi Bimol berkata, tapak klinik telah dikenal pasti dan diluluskan sejak 2004 lagi tetapi keadaan di Stungkor itu masih seperti hutan.

"Enam kali pilihan raya, janji nak bina Klinik Kesihatan Stungkor – sampai sekarang habuk pun tak ada! Inilah janji kosong ala-BN," katanya.

Rancangan Pembinaan klinik itu dikatakan bagi menampung susulan infrastruktur di Hospital Daerah Bau yang masih dalam keadaan yang daif dan teruk.

Dalam kenyataan hari ini, Mordi membangkitkan persoalan berapa lama lagi kesihatan penduduk Tasik Biru "dipermainkan dan digadaikan" oleh kerajaan negeri bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem dan BN?

"Adakah semua menteri kabinet, anggota parlimen dan ADUN BN Sarawak akan menghantar anggota keluarga mereka ke Hospital Bau jika memerlukan rawatan dengan keadaan infrastruktur hospital Bau yang begitu kekurangan?

"Jika tidak, mengapa diharapkan rakyat warga Sarawak menghantar ahli keluarga mereka ke sana?" soalnya.

Tasik Biru, dalam kawasan parlimen Mas Gading mempunyai 17,045 pemilih berdaftar. Seramai 68 peratus daripadanya bumiputera bukan Islam, Cina (25 peratus) dan Melayu Melanau (6 peratus).

Mordi akan berdepan calon BN daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDB) Henry Jinep dalam pertembungan dua penjuru.

Dalam pilihan raya negeri 2011, Peter Nansian NGusei (SPDB) mengalahkan calon PKR John Tenewi Nuek (PKR) dan Frankie Jurem Nyombui (Parti Kebangsaan Sarawak atau SNAP) dengan majoriti 2,072 undi.


Jual beli 1MDB, ini cuma sebahagian skandal

Posted: 05 May 2016 03:07 AM PDT

Dr Mahathir Mohamad




ULASAN 1MDB, kemungkinan atas nasihat penasihat syarikat itu, iaitu perdana menteri telah membeli tanah kerajaan di Kuala Lumpur pada harga RM60 setiap kaki persegi di kawasan tanah dijual pada harga mencecah RM7,000 setiap kaki persegi.

Najib yang juga menteri kewangan sepatutnya menjual tanah kerajaan pada harga hampir harga pasaran.

Dengan menjual pada kadar RM60 setiap kaki persegi, kerajaan telah kehilangan banyak wang.
Jelas terdapat konflik kepentingan apabila menteri kewangan adalah juga penasihat kepada 1MDB.

Jika bukannya Najib yang meluluskan penjualan ini, maka siapakah yang melakukannya? Pegawai yang meluluskan penjualan ini harus didakwa atas kehilangan wang kerajaan.

Tanah ini telah dinilai semula ke atas supaya nilai aset 1MDB meningkat menjadi RM50 bilion.

Begitu juga tanah lapangan terbang Sungai Besi telah dijual kepada 1MDB.

Harga jualan tidak diketahui tetapi pada hakikatnya 1MDB sudah pun memiliki tanah ini dan telah membuat persiapan untuk memindah pangkalan TUDM ke Subang.

Dengan menilai semula tanah ini nilai aset 1MDB akan sekali lagi meningkat. Sekali lagi kerajaan kerugian banyak wang.

1MDB kemudian menjual sebahagian daripada tanah di Jalan Tun Razak kepada Tabung Haji dengan harga RM 3,500 setiap kaki persegi.

Ini bermakna dana yang disumbangkan oleh bakal jemaah haji telah digunakan untuk membayar balik pinjaman 1MDB.

Ini adalah tidak adil kepada bakal jemaah yang sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang miskin.
Tanah juga telah dibeli di Pulau Pinang dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Tanah ini diduduki oleh hampir seribu orang setinggan.

Selain daripada itu Pulau Pinang diperintah oleh parti pembangkang. Tidak mungkin rancangan pembangunan untuk tanah ini akan diluluskan.

1MDB menghadapi kemungkinan kehilangan lebih banyak wang kerana pembelian ini.

Semua pelaburan 1MDB yang lain hampir tidak menghasilkan sebarang keuntungan.

1MDB tidak boleh membayar balik RM42 bilion yang ia telah pinjam. Terdapat bukti penipuan dan kehilangan wang yang tidak dapat diterangkan.

Dakwaan bahawa wang telah dilaburkan dengan sempurna dan akan memberi keuntungan tidak dapat disahkan.

Tiada terdapat bukti dokumentari yang boleh menunjukkan di mana jumlah wang yang banyak itu disimpan.

Kepercayaan bahawa RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib adalah dari 1MDB tidak disangkal dengan sempurna dan kebolehpercayaan.

Hakikat Najib tidak menyaman Wall Street Journal kerana mendedahkan banyak kesalahan yang dilakukan oleh 1MDB dan Najib sendiri seolah-olah membuktikan bahawa apa yang akhbar itu laporkan tidak dapat disangkal.

Begitu juga kegagalan untuk mendakwa Sarawak Report mengenai 1MDB dan AS$681 juta dalam akaun peribadi Najib.

Ini hanya sebahagian daripada cerita 1MDB.

Terdapat lebih banyak skandal yang melibatkan 1MDB daripada mana-mana dana lain dalam sejarah Malaysia.

Ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa Najib perlu berhenti menjadi PM Malaysia.


Tiada ulasan: