WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- SELEPAS POLIS PENGIRING TUN M DITARIK BALIK, APAKAH JET KERAJAAN PULA DISEKAT SELEPAS INI?
- Khabar gembira buat Adenan Satem: Pulau Pinang sudah lama sediakan bas percuma
- ‘TEAM B’ UMNO DAPAT SAMBUTAN HANGAT DI JITRA, KEDAH
- Manifesto kitar semula BN, lebih 100 ribu rumah lagi tiada bekalan air bersih di Sarawak
- PERNIAGAAN MEROSOT, KEMELESETAN EKONOMI SEMAKIN HAMPIR?
- TERENGGANU: MUNGKINKAH PAS AKAN SOKONG MB BARU SEHINGGA PRU 14?
SELEPAS POLIS PENGIRING TUN M DITARIK BALIK, APAKAH JET KERAJAAN PULA DISEKAT SELEPAS INI? Posted: 29 Apr 2016 07:18 PM PDT Menurut tulisan yang dikemaskini dalam blog A Kadir Jasin, khidmat polis pengiring bermotosikal untuk Tun Mahathir Mohamad telah ditarik balik oleh kerajaan berkuat kuasa 28 April yang lalu. Namun, khidmat ADC dan Unit Tindakan Khas atau UTK masih dikekalkan. Walaupun tidak diketahui dengan jelas sebab-sebab tindakan itu diambil, ia dipercayai bagi menyukarkan lagi perjalanan Tun Mahathir untuk menghadiri majlis-majlis yang berkaitan pengumpulan tandatangan Deklarasi Rakyat. Apa pun sebabnya, penarikan itu tentunya berkaitan dengan pendirian bekas Perdana Menteri itu yang tidak lagi menyokong Najib Razak dan berterusan mendesaknya meletakkan jawatan. Apa pula selepas ini? Mungkinkah kemudahan lain seperti jet kerajaan juga akan ditarik balik? Yang jelas, di mata rakyat, tindakan kerajaan itu seperti kebudak-budakkan dan tidak matang. Ia seperti seorang kanak-kanak yang apabila kawan sebelah rumahnya tidak mahu lagi berkawan dengannya, lalu bertindak mengambil balik semua permainan yang selama ini biasa dikongsi bersama. Selepas jawatan Penasihat Petronas dilucutkan, ini adalah tindakan kebudak-budakan kedua yang diambil Najib terhadap Tun Mahathir. Tetapi, jika Najib merasakan tindakan menarik khidmat polis pengiring itu akan menyukarkan perjalanan Tun Mahathir dan membuatkannya selalu terperangkap dalam kesesakan jalanraya, simpati dan sokongan yang diterima oleh bekas Perdana Menteri itu mungkin lebih berganda jadinya. Kecuali penagih dedak yang senantiasa bersetuju, rakyat biasa akan melihatnya suatu layanan melampau kepada seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara. Bagi seorang bekas Perdana Menteri, khidmat polis pengiring bermotosikal adalah kelayakan yang sepatutnya diterima, malah Tun Abdullah Badawi juga menerima perkhidmatan itu. Jika khidmat itu ditarik daripada Tun Mahathir yang menentang, apakah ia masih dikekalkan kepada Tun Abdullah yang menyokong Najib? Kiranya penarikan itu semata-mata kerana mengkritik dan tidak menyokong, tetapi terus dikekalkan kepada Tun Abdullah, ternyata Tun Mahathir jauh lebih berjiwa besar kerana tidak pernah pun mengusik khidmat polis pengiring kepada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang juga tidak menyokong dan selalu mengkritiknya. (SH 30/04/2016). |
Khabar gembira buat Adenan Satem: Pulau Pinang sudah lama sediakan bas percuma Posted: 29 Apr 2016 07:03 PM PDT KUCHING, 29 APRIL: Kerajaan negeri Pulau Pinang telah lama menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk, termasuk masyarakat luar bandar, malah sedang berusaha mengambil alih syarikat-syarikat bas swasta di negeri itu. Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, membidas kenyataan pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kononnya Pulau Pinang gagal menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada golongan luar bandar. Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, Pulau Pinang menyediakan kemudahan itu kepada rakyat negeri tersebut sejak 2009 semasa kerajaan negeri melancarkan bas Central Area Transit (CAT) di George Town. "Pada 2011 pula, Bridge Express Shuffle Transit (BEST) Zon Perindustrian Bebas (FIZ) pula diperkenalkan kepada pekerja feri bagi memudahkan mereka ke Bayan Lepas, manakala servis BEST di Komtar bermula pada 2012. "Terbaru, satu lagi perkhidmatan bas percuma iaitu Pulau Tikus Free Shuttle diperkenalkan di kawasan Parlimen Bukit Bendera, dengan kerjasama dan tajaan pihak berwajib tempatan," katanya dalam satu kenyataan media. Adenan sebelum ini mengatakan bahawa Pulau Pinang gagal menyediakan kemudahan bas percuma kepada penduduk luar bandar, malah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk mengambil alih syarikat-syarikat bas swasta yang beroperasi di negeri itu. Beliau mengulas demikian sebagai respon kepada manifesto mesra rakyat DAP Sarawak yang menggariskan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk bandar besar Sarawak, iaitu Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu sebagai salah satu perkara terpenting. Menurut Zairil, kerajaan negeri Pulau Pinang memang sudah lama berazam mahu mengambil alih syarikat-syarikat bas swasta di negeri itu tetapi digagalkan oleh isu perlesenan. "Tidak seperti di negara lain, di Malaysia, pengangkutan awam sepenuhnya dikawal oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Seperti yang kita semua maklum, kerjasama dari mereka tidak selalu ada. "Selain itu, kerajaan negeri memang cuba menyediakan perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri pada waktu puncak pada hari minggu. "Ketua Menteri Lim Guan Eng telah menulis surat rasmi kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Prasarana yang mengendalikan perkhidmatan bas RapidPenang dengan tawaran geran tahunan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri. "Malangnya, Prasarana tidak menerima tawaran itu," katanya. Beliau menambah, Sarawak tidak boleh dibandingkan dengan Pulau Pinang berikutan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber, malah mempunyai bajet tahunan sebanyak RM6 bilion – enam kali lebih besar dari Pulau Pinang. "Dengan sumber sebanyak itu, Sarawak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan dasar-dasar hebat termasuk cadangan DAP Sarawak itu. Malah, ia mampu menyediakan tiga kali ganda jumlah bas percuma di kawasan utama di negeri tersebut," katanya. – Roketkini.com |
‘TEAM B’ UMNO DAPAT SAMBUTAN HANGAT DI JITRA, KEDAH Posted: 29 Apr 2016 06:51 PM PDT Selepas memperkenalkan diri sebagai 'Team B' Umno, pasukan yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu memilih Jitra untuk siri ceramahnya. Acara malam tadi berlangsung di Napoh, sebuah pekan kecil di Jitra, yang cuma 18 minit ke sempadan Thailand, Bukit Kayu Hitam. Antara digolongkan dalam kumpulan itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pusat Datuk Seri Shafie Apdal. Dewan Lye Huat malam tadi penuh dengan kira-kira 2,000 penyokong dalam program dua jam bermula 8.30 malam. Kelihatan sedikit batuk-batuk, Mahathir yang kini berumur 91 tahun, berucap hampir sejam dan hanya menamatkan ucapannya untuk bergegas pulang dengan penerbangan ke Kuala Lumpur pada tengah malam. Selain membangkitkan dakwaan amalan urus tadbir yang tidak baik, Mahathir berkata Najib telah berubah selepas mendapat kuasa. Pemimpin PAS, AMANAH turut hadir Malah, kata Mahathir, beliau tidak seperti bapanya Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua. Katanya, tidak seperti Razak, pentadbiran Najib didakwa menggunakan pendekatan "cash is king" (duit itu raja). Menurut Mahathir, Najib berasa beliau boleh melakukan apa sahaja selagi memberikan wang kepada rakyat. Antara yang hadir ke acara malam tadi ialah pemimpin PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi. Turut hadir pendebat terkenal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Orang ramai memberikan tepukan gemuruh manakala Mukhriz sempat mengambil gambar selfie bersama orang ramai. Secara berjenaka beliau berkata terpaksa melakukannya supaya tidak dituduh pemimpin Umno hanya 200 orang hadir dalam acara itu. Ucapan Mukhriz lebih banyak menumpukan kepada penglibatan Najib dalam kontroversi 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya. Beliau malah menunjukkan rakaman video menunjukkan perbezaan penjelasan Najib berkaitan wang itu, yang dimasukkan ke akaunnya sebelum pilihan raya umum ke-13. Ketika ditunjukkan rakaman Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan salah laku, ia disambut sorakan bu oleh penonton. Acara itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka "Jaringan Gelombang Merah" bagi mengumpulkan tandangan terhadap Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Najib. Deklarasi itu, yang turut melibatkan pemimpin pembangkang, menyasarkan sejuta tendangan untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Sementara itu, Shafie pula berkata, sepanjang kerjaya politiknya dalam tujuh kementerian, beliau tidak pernah melihat dakwaan rasuah sebesar itu. |
Manifesto kitar semula BN, lebih 100 ribu rumah lagi tiada bekalan air bersih di Sarawak Posted: 29 Apr 2016 06:42 PM PDT Persembahan manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak terus dilihat mengulangi perkara sama yang menunjukkan kegagalan pentadbiran sejak merdeka. Kecenderungan manifesto salin dan tampal ini dapat dilihat apabila BN Sarawak mendakwa sebanyak 471,425 isi rumah atau 80 peratus isi rumah telah menerima bekalan air terawat hasil daripada apa yang dipanggil transformasi luar bandar. Hal ini bermakna, sebanyak 117,856 isi rumah masih belum lagi menikmati bekalan air bersih walaupun BN lebih 50 tahun menguasai Sarawak. PRN kali ke-11 terus menyaksikan BN mencampakkan pelbagai projek infrastruktur sebagai umpan bagi memancing sokongan 1,138,650 pengundi di Bumi Kenyalang itu. Hal ini dapat dilihat pada manifesto BN yang kelapan iaitu untuk mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi. Paling ketara dapat dilihat pada keterujaan BN terhadap projek Lebuhraya Pan Borneo yang bakal merentasi dari Telok Melano di hujung barat laut ke bandar Merapok di Lawas di sempadan Sabah. Projek mega sepanjang 1,089 kilometer itu ibarat 'bapa' kepada banyak lagi projek yang diasak ke telinga rakyat di Sarawak melalui semua saluran media daripada TV sehingga akhbar yang dikuasai parti pemerintah sepanjang tempoh kempen PRN ini. Bahkan, janji manis berkenaan projek itu juga diulang oleh Perdana Menteri, Najib Razak ketika membentangkan laporan tahunan program transformasi negara 2015, di Angkasapuri, Kuala Lumpur Selasa lalu sekaligus mengambil kesempatan untuk berkempen termasuk menyerang blok pembangkang. Sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu lagi, BN berjanji untuk membina Lebuh Raya Pan Borneo tetapi ketika itu, jarak keseluruhan yang dicanang ialah 2,300 km bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudong, Sabah. Tidak hairanlah, projek membabitkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) yang dimeterai pada Jun 2015 itu tidak lebih sekadar mengitar semula janji ibarat 'candu' kepada rakyat di Sarawak. Monopoli BN terhadap akses rangkaian media di negara ini yang sudah menjadi kelaziman setiap kali musim pilihan raya turut mendedahkan kononnya tanpa BN, rakyat di Sarawak tidak akan memperoleh jalan berturap, bekalan elektrik dan air terawat. Lantaran itu, lambakan angka termasuk 'auta' apa yang dipanggil transformasi luar bandar pun dibentang. Antaranya, BN Sarawak setakat ini didakwa sudah membina lebih 1,400 km jalan serta berbangga dengan pencapaian 513,170 isi rumah atau 90 peratus isi rumah menerima bekalan elektrik 24 jam. Politik pembangunan 'recycle' itu juga dapat dilihat semasa musim PRU-13 lalu yang antara lain berjanji untuk membina jalan raya berturap di Sarawak sepanjang 2,800 km dalam tempoh lima tahun. Berdasarkan janji BN pada 2013 lalu juga, sebanyak 80,000 isi rumah baharu di Sarawak sepatutnya sudah dilengkapi bekalan air bersih memandangkan tempoh PRU-14 yang semakin hampir. Namun, angka bagi manifesto BN Sarawak bagi PRN kali ini berkaitan penyediaan bekalan air terawat terus dihantui persoalan apabila sebanyak 79,000 isi rumah baharu akan disediakan kemudahan asas itu. Soalnya, bagaimana angka bagi rentang masa kira-kira tiga tahun tersebut menjadi lebih kurang sama atau adakah sekadar 'copy and paste' sahaja? Dalam manifestonya pada PRU13 lalu, BN mengaku telah memperuntukkan sejumlah RM18.7 bilion sepanjang 2010 hingga 2013 untuk pembangunan infrastruktur luar bandar. Soalnya, ke mana bocornya dana sebanyak itu ketika ramai lagi rakyat tidak mendapat kemudahan asas pada kadar yang sepatutnya? Paling malang, jika berpandukan janji BN Sarawak bagi PRN Mei ini, ini bermakna sebanyak 33 peratus isi rumah lain sudah tentu perlu menanti menagih bekalan air terawat pada PRN selanjutnya pula. Oleh itu, bila lagi majoriti pengundi Sarawak mahu bangkit berani berubah memilih calon Pakatan Harapan pada 7 Mei ini daripada terus dibuai dengan candu kitar semula BN? |
PERNIAGAAN MEROSOT, KEMELESETAN EKONOMI SEMAKIN HAMPIR? Posted: 29 Apr 2016 06:41 PM PDT Teori yang menyatakan negara akan menghadapi kemelesetan ekonomi tidak boleh dipandang sepi ketika sektor perniagaan mula berdepan dengan kekurangan jualan dan penutupan semakin banyak perniagaan sejak Januari lalu. Seorang usahawan hartanah di Kuala Lumpur ketika ditemu bual tidak menolak jangkaan kemungkinan ekonomi negara akan meleset pada hujung 2016. Namun beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan kelihatan lewat untuk mengumumkan langkah konkrit bagi menangani masalah tersebut. "Kita ambil contoh sebuah kedai buku terpaksa menutup cawangan utamanya disebabkan oleh kemerosotan angka jualan. Situasi yang sama telah juga menyebabkan sebuah rangkaian kedai emas menutup beberapa buah cawangannya. "Selain dari itu, sebuah syarikat yang telah lama berkecimpung dalam industri fesyen dan barangan perhiasan rumah pun telah mengalami kejatuhan harga sahamnya, yang kini berada dibawah harga RM1. Ini petanda ekonomi sedang menuju ke arah yang tidak baik," katanya. Katanya lagi, restoran-restoran mahal juga kini kekurangan pelanggan, terutama pada waktu makan malam. Selain itu, banyak gedung membeli-belah kekurangan jualan. "Hanya bahagian pasaraya yang menjual barang runcit dan keperluan harian sahaja yang aktif. Kedai kasut dan pakaian kebanyakannya tidak dikunjungi pembeli," katanya lagi. Beliau berkata, hanya ada satu cara mudah sekiranya kerajaan ingin mengurangkan impak kegawatan ekonomi iaitu mengurangkan kadar Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST – Goods & Services Tax) kepada 3%. "Hanya dengan cara itu dapat meningkatkan kembali perbelanjaan pengguna dan menaikkan jualan. "Jika tidak kilang yang mengeluarkan produk berjangka hayat lama, misalnya perabot dan peralatan rumah akan mengalami penurunan angka jualan. Pinjaman bank pula bukan mudah diperolehi. Ekonomi akan bertambah lemah," keluhnya. |
TERENGGANU: MUNGKINKAH PAS AKAN SOKONG MB BARU SEHINGGA PRU 14? Posted: 29 Apr 2016 06:23 PM PDT Terengganu: Mungkinkah Pas akan sokong MB baru sehingga PRU 14?Spekulasi bertiup kencang Pas akan memberi sokongan secara tidak rasmi kepada MB baharu yang akan dicadangkan Umno – BN. Menurut pemerhati politik yang rapat dengan Pas Terengganu, kemungkinan tersebut tidak dapat ditolak memandangkan PM Najib dikatakan tidak bersetuju dengan pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya negeri. Pas dikatakan tidak akan menyokong sebarang usaha bekas MB Ahmad Said sekiranya beliau menarik keluar beberapa ADUN untuk menyertai pembangkang. Tambah sumber itu, Pas amat anti terhadap Ahmad Said yang didakwa terbabit dengan isu perobohan masjid Bujal, yang didirikan penyokong Pas di Kemaman tidak lama dahulu. "Beberapa kenyataan pimpinan Pas pusat akhir-akhir ini menzahirkan kerjasama lisan dengan Umno untuk memastikan MB Umno terus berkuasa. Geng Mat Said tidak akan berupaya membalas dendam mereka ke atas Umno negeri "Oleh itu, ada ura-ura Umno akan bersama Pas mentadbir Terengganu selepas MB baru dilantik menggantikan Razif "Tapi kerjasama yang dibuat kelak bukan bergabung atau pun kerajaan campuran cuma persefahaman sehingga PRU 14," kata sumber berkenaan dengan syarat namanya tidak disiarkan. Kata beliau lagi, krisis politik Terengganu tidak akan berakhir dengan mudah kerana semuanya telah dirancang sejak berakhirnya PRU 13 lalu. "Krisis di Terengganu berpunca daripada percaturan puak-puak dalaman Umno selepas BN hampir tumbang kepada Pas dan PKR "Sejak Idris Jusoh digantikan oleh Mat Said sehingga era MB Ahmad Razif, masing-masing ketua puak sangat tidak berpuas hati antara satu sama lain "Tambahan pula mereka sedar kelemahan Najib dalam menguruskan isu politik Terengganu. "Sesiapa pun yang menerajui kerajaan negeri selepas ini akan dikira rapuh sehingga PRU 14. Ini kerana adanya Adun-Adun yang tidak dapat dijamin kesetiaan mereka kepada arahan Umno pusat. "Dengan berlakunya perang Mahathir – Najib disertai bekas MB Ahmad Said maka Umno Terengganu akan bertambah kacau bilau selepas ini," akhiri sumber itu. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan