Rabu, 27 April 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PKR Suruh Buat Kajian Tapi PKR Sendiri Tak Ikut

Posted: 27 Apr 2016 12:48 AM PDT

PKR tak boleh terima kenyataan – DAP

KUALA LUMPUR: Perbalahan berlaku kerana PKR tidak boleh terima kenyataan parti itu tidak popular di lima daripada enam kerusi yang menjadi pertikaian dengan DAP, tegas pemimpin parti Roket di sidang media hari ini.

Sikap PKR itu mengecewakan lantaran parti itu yang mendesak tinjauan diadakan, sebagai sandaran untuk menguatkan tuntutan masing-masing dalam rundingan pengagihan kerusi.


Bagaimanapun, tinjauan Merdeka Centre itu mendapati DAP lebih popular dalam kalangan pengundi Dayak dan Cina di kerusi Batu Kitang, Senadin, Simanggang, Tasik Biru dan Bukit Simuja.

PKR sekadar popular di Mambong.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, partinya bagaimanapun menawarkan pakej Batu Kitang, Marudi dan Machan kepada PKR meskipun hasil tinjauan menyebelahi Roket.

Menceritakan turutan peristiwa kepada media, Anthony berkata tinjauan itu pertama-tamanya dicadangkan oleh Naib Presiden PKr, Tian Chua.

Mengesahkan dakwaan itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata DAP sebenarnya tidak berminat mengadakan tinjauan itu atas faktor kewangan.

"Saya tanya, 'Betul kamu mahu tinjauan dibuat? Dan kamu akan akur dengan hasilnya?'

"Mereka jawab, 'Jangan bimbang, kami akan patuh',"
menurut Tony menceritakan jaminan PKR bahawa hasil tinjauan itu akan dipatuhi mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata DAP bukan parti yang tamak walaupun bertanding di kerusi yang ditandingi PKR.

"Kami mahu tumpu pada Simanggang kerana tinjauan menunjukkan kami popular di situ."

Sidang media bersama itu diadakan susulan pengumuman PKR dan DAP bertembung di enam kerusi, iaitu Batu Kitang, Mulu, Simanggang, Mambong, Murum dan Ngemah.

Anthony mendakwa DAP sebenarnya bersedia mengundurkan diri daripada Batu Kitang sekiranya PKR berbuat sedemikian di lima kerusi lain.

Namun, Anthony berkata sekarang sudah terlambat untuk berbuat demikian. -FMT


Solusi tarik undi pertindihan kerusi DAP-PKR dalam PRN Sarawak

DAP Sarawak hari ini menawarkan penyokong pembangkang satu penyelesaian untuk pertempuran parti itu dengan PKR di enam kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei depan.

Pengerusinya Chong Chieng Jen telah mencadangkan agar mengundi DAP untuk mengelakkan undi berpecah.

"Dalam kerusi di mana DAP bertindih dengan PKR, saya menggesa pengundi supaya tidak memecahkan undi mereka dan menumpukan kepada DAP. Jangan buang undi anda pada PKR.

"Tetapi di kerusi di mana PKR sahaja bertanding, saya menyeru kepada semua penyokong DAP mengundi PKR,"
katanya dalam sidang media diadakan hari ini lapor Malaymailonline.

Chong, yang akan mempertahankan Kota Sentosa untuk penggal ketiga dalam pilihan raya, yakin DAP boleh menang di Dun Batu Kitang dan Simanggang, dua daripada enam kerusi parti itu bertindih dengan PKR, rakan kongsi Pakatan Harapan itu.

DAP telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Batu Kitang, salah satu daripada 11 kerusi baru pilihan raya kali ini, semasa rundingan dengan kepimpinan pusat kedua-dua parti itu, tetapi meletakkan calon DAP selepas PKR gagal memenuhi peruntukan kerusi itu.

Kerusi itu kini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Voon Shiak Ni (PKR), Abdul Aziz Isa (DAP), Lo Khere Chiang (BN) dan dua calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Othman Bojeng.

Di Simanggang, Leon Jimat Donald (DAP) dan Norina Umoi Utot (PKR) berada dalam perebutan empat penjuru dengan Barisan Nasional (BN) penyandang Datuk Francis Harden Hollis dan calon bebas, Ngu Siew Peng.

Kerusi-kerusi lain di mana kedua-dua pihak akan menghadapi satu sama lain adalah Mambong, Ngemah, Murum dan Mulu.

DAP meletakkan sejumlah 31 calon dan PKR, 40.

Chong juga berkata PRN Sarawak kali ini akan menjadi 'prequel' kepada pilihan raya umum ke-14, melahirkan keyakinan bahawa 7 Mei itu kelak akan memberi isyarat berakhirnya pemerintahan BN di Putrajaya.

Beliau berkata tsunami politik 2008 yang menyaksikan pembangkang memenangi beberapa negeri, telah bermula di Sarawak pada pilihan raya negeri 2006 apabila DAP memenangi enam daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

"Itu adalah gelombang pertama. Gelombang kedua adalah pada tahun 2011 apabila DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi dalam pilihan raya negeri dan dalam 2013, pembangkang mendapat lebih daripada 50 peratus undi popular.

"Sekarang gelombang ketiga akan datang dan ia akan mula di Sarawak. Saya percaya ini adalah pusingan terakhir dalam perubahan kerajaan, "kata Chong.
-Malaysia Dateline


ULASAN GB

Kita berharap PKR bertindak "gentleman". Akur dengan kajian yang mereka sendiri telah cadang supaya diadakan. Tiba-tiba apabila kajian tidak memihak kepada mereka, mereka enggan untuk menerimanya.

Kita berharap, memetik kenyataan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, kita mengharapkan PKR dan DAP mencari jalan terbaik sebelum hari pembuangan undi agar 'satu lawan satu' berlaku.

"Saya yakin pemimpin DAP dan PKR berupaya melakukan yang terbaik untuk Pakatan Harapan di Sarawal dan Malaysia.

"Saua juga yakin penuh dengan fikiran waras jalan penyelesaian terbaik dicari supaya pakatan Harapan dapat merealisasikan harapan rakyat," ujarnya lagi.

Terengganu: Apa Kesudahannya?

Posted: 26 Apr 2016 03:10 PM PDT

Tiga pilihan buat Umno T'ganu ketika krisis MB Oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi

Kemelut kepimpinan politik Terengganu kembali menjadi perhatian ramai apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah dengan resminya melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa pada Jumaat, 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu semalam.


Menurut kenyataan rasmi tersebut; "Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di Negeri Terengganu".

Pada awal bulan lalu, Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, telah cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri Terengganu sehingga mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Dengan perkembangan terbaru ini, kedudukan Umno sebagai parti yang memerintah di negeri Terengganu sedang berada didalam keadaan terumbang-ambing dan menjadi persoalan ramai kalangan rakyat Terengganu sendiri kerana kemelut dalaman kepimpinan Umno Terengganu yang tidak berkesudahan.

Walaupun Umno masih mempunyai kedudukan 'simple majority' di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi, namun dengan perkembangan terbaru ini, bagi saya mereka hanya mempunyai 3 pilihan;

1. Menukar Menteri Besar yang baru

2. Membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang khususnya PAS

3. Membubarkan DUN dan diadakan pilihanraya Negeri

Bagi saya, walaupun dengan kedudukan majoriti yang ada pada Umno di DUN, apapun keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan Umno, kemelut dalaman kepimpinan mereka perlu diselesaikan dengan segera kerana rata-rata rakyat awam sudah terlalu muak dengan sikap terlalu banyak 'berpolitiking' sedangkan rakyat kini dihimpit dengan tekanan kos kehidupan termasuk GST yang amat membebankan mereka.

Negeri Terengganu juga sedang berhadapan dengan cabaran getir dengan penurunan drastik bajet tahunan 2016 dari RM2.3 bilion kepada hanya sekitar RM640 juta sahaja akibat dari terlalu bergantung kerajaan Terengganu kepada sektor minyak dan gas.

Kini dengan kejatuhan harga minyak dan kelembapan ekonomi negara juga sedang melanda negeri Terengganu.

Realitinya, kini semakin ramai anak-anak muda Terengganu termasuk lulusan universiti yang terpaksa menjadi penggangur terhormat akibat dari tiadanya peluang pekerjaan buat mereka di negeri Terengganu.

Realitinya, masih terlalu ramai pengayuh beca, petani dan nelayan di negeri ini yang hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' serta mencari-cari erti kehidupan mereka.

Atas rasa tanggungjawab inilah saya ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama mengenepikan sentimen 'kepartaian sempit' dan 'kepentingan peribadi' serta sikap terlalu banyak 'berpolitik' bagi memastikan kepentingan rakyat Terenganu terus dijamin dan dihormanti.

Setiap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri termasuk saya sendiri tidak terlepas dari tanggungjawab untuk mengangkat agenda rakyat dan mempertahankan hak dan maruah rakyat Terengganu bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Terengganu Darul Iman.

Marilah kita sama-sama menyempurnakan tanggungjawab secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, serta amanah lagi berintrigriti.

Kita sama-sama berdoa agar seluruh rakyat dan negeri Terengganu Darul Iman ini sentiasa dirahmati oleh Allah Swt bagi kita melangkah ke lembaran baru demi kepentingan agama dan rakyat khususnya.

Selamatkan Ganu Kite!

ULASAN GB

Kecuali yang pertama iaitu "melantik MB baru", dua alternatif lain yang diutarakan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ADUN Batu Burok Terengganu di atas telah GB cadangkan sebelum ini, iaitu pembentukan kerajaan perpaduan UMNO-PAS dan adakan pilihanraya negeri.

Ada pun perlantikan MB yang baru dijangka akan mengalami perjalanan yang serupa dengan perlantikan Ahmad Razif Abdul Rahman. Ini kerana kedudukan jumlah kerusi UMNO BN yang hampir sepadan dnegan jumlah kerusi pembangkang.

Kedudukan terkini ADUN Terengganu:

UMNO BN = 14
PAS = 14
PKR = 1
Bebas = 3

Jadi logiknya, sebarang perlantikan MB baru tidak akan mengubah situasi politiking di negeri Terengganu.

Justeru itu pilihan yang ada hanyalah kerajaan perpaduan UMNO-PAS, atau pilihanraya negeri.

Tiada ulasan: