Jumaat, 29 April 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


P'raya S'wak: Hartawan dan DAP 'bertarung' di Sibu

Posted: 28 Apr 2016 09:41 PM PDT

Zulaikha Zulkifli






ULASAN Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 bagi kawasan Sibu boleh dikategorikan sebagai 'pertarungan' antara hartawan dengan DAP.

Ia dapat dilihat apabila terdapat kerusi BN yang bertembung dengan DAP seperti di DUN Dudong dan Pelawan diwakili oleh hartawan yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di negeri itu.

Bagi calon Dudong,Datuk Tiong Thai King, beliau merupakan adik kepada pengerusi kumpulan syarikat Rimbunan Hijau (RH Group)- Tan Sri Tiong Hiew King yang pernah menjadi antara 10 orang terkaya di Malaysia.

Thai King yang membuat kemunculan sekali lagi selepas kalah pada PRN pada 2011 dengan majoriti tipis - 317 undi - merupakan pengarah eksekutif kumpulan bagi syarikat milik abangnya itu.

Di DUN Pelawan pula, Datin Janet Lau - balu kepada bekas timbalan menteri pengangkutan negeri, Datuk Robert Lau - dipilih oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebagai calon di kawasan bekas suaminya itu.

Robert Lau merupakan anak saudara kepada Datuk Henry Lau, ketua pegawai eksekutif Kumpulan KTS - sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Sarawak.

Pertandingan lebih tiga penjuru

Tiga lagi DUN dalam kawasan Sibu - Bawang Assan, Bukit Assek dan Nangka - dijangka sengit apabila ada antara kawasan itu menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

Selepas persempadanan semula, kawasan Sibu terbahagi kepada dua kawasan - Parlimen Sibu dan Lanang - yang masing-masing mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai iaitu 65 peratus dan 72 peratus. Manakala masyarakat bumiputera di Sibu pula sebanyak 35 peratus dan di Lanang 28 peratus.

Bagi DUN Bawang Assan, calon Datuk Seri Wong Soon Koh bertanding mempertahankan kerusi tersebut. Beliau menewaskan calon DAP dalam pilihan raya negeri lalu, dengan majoriti 1,808 undi.

Calon Bukit Assek, DAP meletakkan Irene Mary Chang Oi Ling, 51, untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi mendiang suaminya, Wong Ho Leng pada pilihan raya negeri 2011 dengan 8,827 undi.

Dan bagi DUN Nangka pula, penyandang Dr Annuar Rapaee bertanding mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti 5,302 undi, menentang satu-satunya calon PKR di Sibu.

Pertarungan antara hartawan dengan DAP ini juga dapat dilihat daripada cara kedua parti itu berkempen yang menampakkan beberapa perbezaan, antaranya dari segi 'sajian' yang diberikan.

Penampilan kempen

Selain daripada membuat program tinjauan mesra dan ceramah pada waktu malam, program BN dilihat lebih meriah apabila pengunjung adakalanya akan dihidangkan dengan persembahan tarian atau nyanyian.

Malah, terdapat juga calon yang tidak melepaskan peluang untuk mendendangkan lagu kepada bakal pengundi mereka.

Berbeza dengan DAP, ceramahnya lebih bersifat politik dan turut menggunakan teknologi seperti Skype bagi membolehkan pemimpin mereka yang disekat memasuki Sarawak, berinteraksi dengan masyarakat di situ.

Pada minggu pertama berkempen ini juga, perang poster di Sibu masih lagi suram dengan hanya beberapa kawasan sahaja yang dilihat meriah dengan bendera dan poster parti yang bertanding seperti di kawasan DUN Nangka.

Selain itu, Adenan juga dilihat menjadi 'bahan' utama bagi setiap kempen BN untuk menarik sokongan pengundi.

Perkara itu dapat dilihat apabila slogan #teamAdenan dan 'Adenan Fever' dipaparkan di poster serta kain rentang calon BN yang bertanding serta dalam ceramah-ceramah parti berkenaan.

Isu-isu nasional

Isu yang dibawa DAP berhubung cukai barangan perkhidmatan (GST) pula dilihat masih lagi berada pada tahap 50-50 dengan tidak semua pihak dilihat memahami dan 'merasai' kesan ekoran pelaksanaannya.

Tinjaun Malaysiakini juga mendapati ada anggota masyarakat yang tidak mengendahkan isu GST serta isu nasional lain seperti skandal 1MDB.

Ini kerana penduduk di negeri yang mempunyai pelbagai etnik kaum itu berpendapat isu sedemikian tidak memberi impak terhadap kehidupan seharian mereka.

Malah, terdapat juga segelintir yang berpendirian untuk tidak masuk campur urusan politik dan hanya mengundi kerajaan dan BN memandangkan ia merupakan perkara yang telah lama mereka lakukan dan tidak perlu diubah.

Bagi pemerhati politik Dr Jeniri Amir, walaupun isu GST dilihat sebagai 'ibu segala isu' kerana ia memberi implikasi terhadap semua rakyat termasuk di luar bandar, namun sesetengah masyarakat masih lagi menganggap ia tidak penting.

"Ini ibu segala isu berbanding isu lain kerana GST beri kesan dan implikasi terhadap semua orang termasuk di bandar, di luar bandar, miskin dan apa jua golongan.

Pola pengundian

"Sejauhmana terpengaruh atau tidak (tentang isu GST), kita perlu lihat cara BN untuk menangkis hujah dengan 'dalil' yang konkrit. Jika gagal, ini boleh mempengaruhi pola pengundian.

"Dan bagi orang Sarawak, mereka memang tak kisah kerana menganggap tak ada kaitan dengan diri mereka. Mereka (pengundi) lebih mengutamakan perut mereka dari isu 1MDB dan isu lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, dalam tinjauan Malaysiakini mengenai kempen Sarawak for Sarawakian (S4S) yang dibawa oleh NGO yang bertanding atas tiket Bebas, mendapati rata-rata anggota masyarakat tidak bersetuju dengan kempen itu dan enggan mengulas mengenainya.

Ditanya ditanya mengenai perkara itu, Dr Jeniri berpendapat isu tersebut sensitif dan pihak berkenaan perlu lebih berhati-hati dalam membawa isu yang menyemarakkan semangat kenegerian.

"Kita harus guna kebijakasaan untuk tentukan ke mana harus kita lakarkan negeri kita ini. Harus jelas tentang perjuangan dan faham tentang sejarah. Jangan hanya ikut membabi-buta," ujarnya.

Hari pembuangan bagi pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 12 hari.


Najib tak macam bapa, kata Dr M pada orang Kedah

Posted: 28 Apr 2016 09:36 PM PDT

Susan Loone

 

Selepas memperkenalkan diri sebagai 'Team B' Umno, pasukan yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu memilih Jitra untuk siri ceramahnya.

Acara malam tadi berlangsung di Napoh, sebuah pekan kecil di Jitra, yang cuma 18 minit ke sempadan Thailand, Bukit Kayu Hitam.

Antara digolongkan dalam kumpulan itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pusat Datuk Seri Shafie Apdal.




Dewan Lye Huat malam tadi penuh dengan kira-kira 2,000 penyokong dalam program dua jam bermula 8.30 malam.

Kelihatan sedikit batuk-batuk, Mahathir yang kini berumur 91 tahun, berucap hampir sejam dan hanya menamatkan ucapannya untuk bergegas pulang dengan penerbangan ke Kuala Lumpur pada tengah malam.

Selain membangkitkan dakwaan amalan urus tadbir yang tidak baik, Mahathir berkata Najib telah berubah selepas mendapat kuasa.

Pemimpin PAS, AMANAH turut hadir

Malah, kata Mahathir, beliau tidak seperti bapanya Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua.


Katanya, tidak seperti Razak, pentadbiran Najib didakwa menggunakan pendekatan "cash is king" (duit itu raja).

Menurut Mahathir, Najib berasa beliau boleh melakukan apa sahaja selagi memberikan wang kepada rakyat.

Antara yang hadir ke acara malam tadi ialah pemimpin PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi.

Turut hadir pendebat terkenal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Orang ramai memberikan tepukan gemuruh manakala Mukhriz sempat mengambil gambar selfie bersama orang ramai.

Video AG kena bu

Secara berjenaka beliau berkata terpaksa melakukannya supaya tidak dituduh pemimpin Umno hanya 200 orang hadir dalam acara itu.

Ucapan Mukhriz lebih banyak menumpukan kepada penglibatan Najib dalam kontroversi 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Beliau malah menunjukkan rakaman video menunjukkan perbezaan penjelasan Najib berkaitan wang itu, yang dimasukkan ke akaunnya sebelum pilihan raya umum ke-13.


Ketika ditunjukkan rakaman Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan salah laku, ia disambut sorakan bu oleh penonton.

Acara itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka "Jaringan Gelombang Merah" bagi mengumpulkan tandangan terhadap Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Najib.

Deklarasi itu, yang turut melibatkan pemimpin pembangkang, menyasarkan sejuta tendangan untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Sementara itu, Shafie pula berkata, sepanjang kerjaya politiknya dalam tujuh kementerian, beliau tidak pernah melihat dakwaan rasuah sebesar itu.

PAS: Kalau kita pelampau, kita bom saja

Posted: 28 Apr 2016 09:33 PM PDT

Zikri Kamarulzaman


81


Calon-calon PAS di Sarawak menolak tanggapan bahawa parti Islam itu bersifat sebagai pelampau.

"Kalau kita pelampau, kita tak akan bertanding (pada pilihan raya negeri), bom saja," sindir calon PAS bagi kerusi Pujut, Jofrie Jaraiee.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan untuk bertanding di Pujut, kerusi majoriti masyarakat Cina.

Menurut Jofrie, sebagai penduduk jati Miri, beliau yakin mempunyai peluang memenangi kerusi itu sekalipun berdepan saingan empat penjuru antaranya dengan DAP, BN dan Bebas.

Katanya, calon BN Hii King Chiong BN juga berdepan saingan sukar kerana bekas pemimpin UPP itu tidak akan mendapat sokongan daripada rakan SUPP di Miri.

"Mereka mungkin tak memilih parti, (tetapi akan) pilih calon yang terbaik, Wallahualam," katanya pada sidang akhbar di Miri hari ini.

Sementara itu, calon PAS bagi kerusi di Lambir, Arifiriazul Paijo juga menaruh keyakinannya untuk menang sekalipun berdepan dengan BN dan PKR.

"Masing-masing ada penyokong tetap, kita kejar pengundi atas pagar," kata Arifiriazul.

Beliau berkata PAS aktif di Lambir sejak 2012, dan sebenarnya berjaya meraih lebih 7,000 undi pada pilihan raya umum 2013 bagi kerusi parlimen Sibuti.

PAS tewas di Sibuti kepada calon BN dengan majoriti 6,000 undi pada pilihan raya berkenaan.

Pampasan RM39.8j bela nasib pesawah

Posted: 28 Apr 2016 09:25 PM PDT

Kemarau
Musim kemarau telah menyebabkan kawasan beting pasir sungai Danube berhampiran Mariaposching, Jerman menjadi tandus dan gersang. - Foto EPA


BAGAN SERAI - Lebih 3,000 pesawah di daerah Kerian memerlukan bantuan pampasan bernilai RM39.8 juta daripada kerajaan pusat bagi menampung kerugian tanaman padi mereka terjejas akibat fenomena El Nino terburuk ketika ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan kajian dibuat, anggaran nilai pampasan itu perlu dipertimbangkan secara serius memandangkan sejumlah 3,175 petani daerah ini bakal kehilangan satu-satunya sumber pendapatan iaitu hasil padi.

Setelah bekalan pengairan pertanian dari empangan Kolam Bukit Merah kini ditangguhkan sepenuhnya, Dr Noor Azmi mendedahkan sejumlah 8,237 hektar sawah padi melibatkan kompartment A hingga H dikenal pasti terjejas daripada keseluruhan 21,108 hektar sawah padi di daerah Kerian.

"Daripada keseluruhan 8,097 pesawah di daerah ini, sejumlah 3,175 pesawah melibatkan Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar dikenal pasti terjejas teruk setelah sawah padi diusahakan berisiko tinggi tidak menjadi akibat kekurangan bekalan air.

"Berdasarkan angka itu, kesimpulannya hampir 50 peratus pesawah daerah Kerian terkesan teruk akibat paras air empangan semakin kritikal dan saya menganggarkan nilai pengeluaran padi terjejas pada musim ini bernilai keseluruhan RM56.4 juta,"katanya kepada media pada majlis apresiasi rakyat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) sekolah-sekolah seluruh Parlimen Bagan Serai di sini, semalam.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen(MPPP) Parlimen Bagan Serai berkata, cadangan pemberian bantuan pampasan bernilai RM39.8 juta dibuat berdasarkan pengiraan jumlah kos permulaan menanam padi ditanggung pesawah setiap hektar ditambah bantuan pembiayaan 50 peratus daripada anggaran hasil padi mereka.

Meskipun maklumat awal menyatakan jumlah keluasan sawah padi terjejas di Kerian meliputi 5,000 hektar, Dr Noor Azmi menegaskan ia hanya melibatkan kawasan sawah padi di Kompartment G dan H yang tidak sempat memulakan tanaman musim ini gara-gara bekalan pengairan pertanian ditangguhkan.


"Sebaliknya, tambahan 3,097 hektar kawasan sawah padi melibatkan Kompartment A hingga F sebenarnya turut terjejas meskipun pesawah sudah memulakan tanaman.

"Hal ini kerana sawah padi sudah ditanam lebih berhadapan risiko tinggi tidak menjadi sekiranya bekalan pengairan tidak cukup terutama usia padi mencecah 40 hari.

"Selain itu, ancaman rumpai tumbuh secara agresif dalam cuaca panas turut meningkatkan risiko tanaman padi diusahakan pesawah terjejas sepenuhnya,"katanya.

Ditanya keputusan kerajaan pusat tidak mengisytiharkan kawasan empangan Kolam Bukit Merah sebagai kawasan bencana, Dr Noor Azmi akur dengan keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Menangani Bencana di Putrajaya petang semalam.

Menurutnya, kerajaan pusat wajar memikirkan implikasi yang perlu ditanggung dari segi kewangan dan perundangan sebelum pengisytiharan kawasan bencana dibuat.

"Bagaimanapun, saya berharap bantuan pampasan dapat disalurkan segera kepada golongan pesawah terjejas, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan dan perayaan Aidilfitri bakal menjelang tiba.

"Selain itu, kerajaan pusat juga perlu mengambil perhatian terhadap implikasi negatif ditanggung pemain industri pelancongan resort, Pulau Orang Utan dan pengusaha ikan arowana yang turut terjejas akibat bekalan air empangan sangat kritikal ketika ini," katanya.


Anwar berjaya teruskan rayuan qazaf

Posted: 28 Apr 2016 09:23 PM PDT

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim - Foto AFP


KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh meneruskan kesemua prosiding rayuan berkaitan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukari Azlan.

Ini susulan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi membatalkan kesemua semakan dan notis rayuan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Md Yusuf Che Teh memutuskan, kekhilafan Anwar selaku responden dalam menamakan bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden dalam rayuannya boleh diperbetulkan.

Korum yang turut dianggotai Hakim Datuk Yusof Musa dan Hakim Mohd Amran Mat Zain juga memutuskan, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang mensabitkan Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari tidak menjadikan Mahkhamah Syariah terikat kerana kedua-dua mahkamah berbeza.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki.

Jamil Khir, Shamsudin dan Che Mat mengemukakan permohonan bagi membatalkan kesemua notis rayuan yang difailkan Anwar atas alasan mereka tidak lagi memegang jawatan seperti yang dinamakan dalam rayuan.

Mereka juga mengemukakan alasan, bahawa Mahkamah persekutuan telah mensabitkan Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari.


Media Malaysia antara 10 paling tak bebas di Asia Pasifik

Posted: 28 Apr 2016 05:00 PM PDT

MALAYSIAKINI




Malaysia mengekalkan status 'tidak bebas' dengan markah 67 mata, demikian menurut laporan kebebasan media oleh badan pemantau antarabangsa, Freedom House 2016 yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan latar belakang tindakan keras dan penutupan beberapa media tahun lalu, Malaysia menjana dua mata, dalam sistem pemarkahan yang menilai sifar bagi terbaik manakala 100 bagi markah tercorot.

Sejumlah 33 peratus (66 negara) daripada 199 negara yang terlibat dalam tinjauan tersebut diberi penarafan tidak bebas; 36 peratus separuh bebas (71 negara); dan 31 peratus bebas sepenuhnya (62 negara).

Di peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia terikat bersama-sama Singapura di tangga 31 daripada 40 negara.

Korea Utara, dengan markah 97, berada di kedudukan tercorot dalam rantau ini manakala Palau - negara pulau yang terletak di Laut Pasifik barat - berada di tangga teratas dengan 15 markah.

Di peringkat global, Malaysia berada di kedudukan 149 daripada 199 negara dalam kajian.

"Kerajaan Malaysia— dalam usaha mempertahankan diri dari skandal rasuah besar-besaran — menggunakan secara meluas akta hasutan untuk menghalang mereka yang menentang, dalam satu kes mendakwa pelukis kartun politik atas beberapa siri tweet," kata laporan itu dalam analisanya berhubung trend serantau.

"Daripada semua, sekurang-kurangnya, 91 individu telah didakwa, ditahan dan disiasat di bawah undang-undang hasutan sepanjang tahun 2015," jelas laporan itu, memetik fakta-fakta daripada kumpulan hak asasi antarabangsa, Amnesty International

1MDB: Bekas pegawai BSI berdepan dakwaan baru

Posted: 28 Apr 2016 04:58 PM PDT

MALAYSIAKINI




Bekas pegawai BSI Bank dari Switzerland yang beroperasi di Singapura, yang didakwa dengan pengubahan wang haram selepas siasatan pihak berkuasa negeri itu ke atas 1MDB, berdepan dua pendakwaan.

Yeo Jiawei kini berdepan dengan dakwaan menipu melibatkan AS$1.6 juta dan cubaan untuk 'mempermainkan keadilan', sebagai tambahan kepada dakwaan awal kerana menerima S$200,000 dalam akaun Bank of China yang dianggap 'manfaat pelakuan jenayah', memetik laporan Channel NewsAsia.

Pegawai bank berusia 33 tahun itu didakwa minggu lalu atas kesalahan di bawah Akta Rasuah,

Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius lain (rampasan manfaat).

Walaupun dakwaan awal tidak menyebut 1MDB atau kaitan mana-mana individu mahpun entiti, ia berpunca dari siasatan ke atas aliran dana kewangannya, menurut laporan Bloomberg pada minggu lalu.

Peguam cara awam kedua Singapura, Kwek Mean Luck, yang mengetuai pendakwaan berkata, siasatan semasa ialah "tanpa keraguan, siasatan sempadan bersilang paling kompleks yang pernah wujud".

Dalam menekan mahkamah untuk mengarahkan Yeo terus ditahan reman tanpa akses kepada peguamnya, Kwek berkata, Yeo telah memainkan peranan yang beerti dalam memindahkan jumlah wang yang besar, dan siasatan ke atasnya "sangat relevan".

Peguam Yeo, Philip Fong, walaupun begitu, membuat penentangan dengan hujah jabatan hubungan komersil telah diberikan masa yang banyak untuk melakukan siasatan,

Jangan tertipu emel palsu LHDN

Posted: 28 Apr 2016 04:49 PM PDT

 
E-mel palsu itu mengehendaki pembayar cukai memasukkan maklumat perbankan mereka dan akan dipautkan dengan paparan laman web palsu perbankan pilihan mereka.


lhdn-cyber-crime


PETALING JAYA: Tiada emel yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pembayar cukai mengisi maklumat tertentu, bagi mendapatkan bayaran balik cukai pendapatan.

Penafian itu dibuat selepas LHDN menerima aduan orang ramai yang menerima emel daripada 'refunds15@hasil.gov.my'.

"Bayaran balik cukai pendapatan hanya diproses berdasarkan maklumat pembayar cukai dalam pangkalan data agensi itu sahaja.

"E-mel palsu berkenaan mengehendaki pembayar cukai memasukkan maklumat perbankan mereka dan akan dipautkan dengan paparan laman web palsu perbankan pilihan mereka.

"LHDN menjangkakan e-mel palsu ini sedang berlegar di internet dan menasihatkan semua pembayar cukai berhati-hati, tidak memberikan maklum balas terhadap sebarang arahan dalam e-mel berkenaan.

"Pembayar cukai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau mana-mana cawangan LHDN berhampiran untuk pengesahan dan maklumat lanjut. Nombor talian cawangan LHDN ada di www.hasil.gov.my," katanya, lapor Berita Harian.

Setakat jam 3 petang tadi, LHDN menerima 17 panggilan daripada pembayar cukai untuk mengesahkan e-mel terbabit.

Sesiapa yang cuba tujuk pandai, majlis presiden Pakatan Harapan perlu bertindak

Posted: 28 Apr 2016 04:47 PM PDT

MUHAMMAD SYAFIQ AZMI


Muhammad Syafiq AzmiMuhammad Syafiq Azmi


Pemimpin AMANAH, PKR atau DAP perlu belajar hormati janji dan persetujuan. Jangan bila sampai hari penamaan calon sudah memberi gambaran kegoyahan Pakatan Harapan dek kerana beberapa kerat yang cuba menjadi wira.

Jika kamu tidak mahu bergerak secara koalisi yang asasnya permuafakatan, maka nyatakan pendirian kamu dan parti. Ini lebih memudahkan perjalanan dan gerakan rakyat untuk terus mara. Belajarlah dari kesilapan yang berlaku ketika wujud Pakatan Rakyat.

Pesanan ini saya tidak hanya ditujukan untuk mereka yang terlibat dalam PRN di Sarawak. Ianya ingatan sepanjang zaman selagi hasratnya mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak teruslah bergelar pembangkang terlama didunia.

Saya kira ramai yang setuju seharusnya semua parti harus bergerak atas paksi yang telah dipersetujui. Bukan memberi seribu satu alasan dalam menunjuk kuasa. Saya tidak tuju pada semua, tapi siapa yang faham pasti berfikir apa yang perlu dibuat.

Jika kita mahu 1 lawan 1 bila berhadapan dengan PAS agar tidak memberi kemenangan kepada BN, mengapa kita tiada semangat itu sekaligus menghormati apa yang dilaung bahawa tiap keputusan yang diambil perlu melalui konsensus.

Ambillah iktibar yang berlaku di Dun Sungai Acheh dan Kota Damansara, tiada apa pun yang menguntungkan selain dari kepuasan sendiri. Ingat siapa yang berkenaan, jangan asyik fikir mahu tumbangkan BN dengan stratergi sendiri bimbang nanti kamu yang terkubur sekali.

Maka punya keperluan atas nama Majlis Presiden Pakatan Harapan atau mereka yang bertanggungjawab mengelola perjalanan Pakatan Harapan untuk mengambil tindakan kepada mereka yang suka bergerak sendiri. Rakyat bukan sekadar menilai BN tetapi mereka juga "sedang memerhati anda'.

Sekian, terima kasih.



Bekas banduan kongsi pengalaman sedih Anwar di penjara

Posted: 28 Apr 2016 04:41 PM PDT

MALAYSIA DATELINE


Sulaiman AjikSulaiman AjikDi sebalik tirai besi, tiada siapa menyangka, kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu kepada penghuni-penghuni Penjara Sungai Buloh.

Sulaiman Ajik, 49 yang baru dibebaskan selepas dipenjara enam bulan hadir ke pejabat Suara Keadilan berkongsi cerita dan pengalamannya bersama Anwar.

Sulaiman dipetik berkata, kali pertama dia melihat Anwar di dalam sel waktu itu, dia cukup sayu dan sedih.

"Tidak dapat digambarkan bila seorang pemimpin seperti beliau meringkuk di penjara dalam keadaan sedemikian rupa.

"Tapi beliau tidak mudah patah semangat. Dalam penjara pun, beliau selalu beri kata-kata semangat pada semua banduan-banduan lain," kata Sulaiman menceritakan detik-detik awal ketika melihat sosok tubuh pemimpin berjiwa besar di hadapannya waktu itu lapor Suara Keadilan.

Sulaiman berkata, masa Anwar banyak dihabiskan dengan mentelaah buku agama dan membaca Al Quran.

Malah Anwar juga mengimamkan lebih 300 jemaah banduan dan petugas-petugas penjara serta menyampaikan tazkirah seusai solat.

"Beliau langsung tidak menyentuh isu politik, semua pengisian adalah berbentuk nasihat dan bagaimana mahu menjadi manusia yang baik dan berguna kepada manusia.

"Tetapi yang menariknya apabila Anwar memberi tazkirah, para banduan seolah-olah terpaku dan sentiasa ternanti-nanti pada esoknya apa yang ingin Anwar sampaikan," katanya yang membenarnkan gambarnya dirakam ketika temubual diadakan di pejabat PKR.

Sulaiman dipenjarakan atas dakwaan memiliki barang curi selepas mendakwa dirinya diperdaya untuk membeli sebuah laptop daripada seorang pelajar.

Menceritakan pengalamannya lebih lanjut, Sulaiman berkata keadaan sel penjara sangat menyeksakan bagi individu seusia Anwar.

Apatah lagi, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menderita sakit belakang.

Mungkin selepas mendapat bantahan peguam, katanya, Anwar diberikan sebuah meja sebagai alas tempat tidur.

"Tetapi yang sedihnya hanya tilam nipis sebagai pengalas perbaringan. Untuk bantal pula atas inisiatif banduan-banduan yang lain yang mengumpulkan lipatan kain dan dimasukkan ke dalam sarung sebagai bantal untuk Anwar tidur," ceritanya sayu.

Dalam wawancara bersama Suara Keadilan, Sulaiman turut menceritakan kegemaran Anwar menyanyikan lagu Azizah dan berpuisi ketika berada dalam sel penjara.


Walaupun dihina, calon OKU Amanah PRN Sarawak teguh berdiri

Posted: 28 Apr 2016 04:37 PM PDT

MALAYSIA DATELINE


Rapelson Richard Hamit ketika mengisi borang pencalonan dan tulisan luahan hatinya terhadap pihak yang memperkecilkan kemampuannya sebagai calon wakil rakyat dari Amanah dalam PRN Sarawak.Rapelson Richard Hamit ketika mengisi borang pencalonan dan tulisan luahan hatinya terhadap pihak yang memperkecilkan kemampuannya sebagai calon wakil rakyat dari Amanah dalam PRN Sarawak.


Walaupun penyertaan beliau sebagai calon pilihan raya dipandang hina oleh sesetengah pihak, namun calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi N26 Gedong, Rapelson Richard Hamit tidak terkesan dengan kata-kata penghinaan itu.

Beliau sebaliknya menulis nota ringkas kepada pihak-pihak yang merendah-rendahkan keupayaannya sebagai calon OKU (orang kelainan upaya) yang menggalas cabaran Amanah dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 ini.

Dalam nota ringkasnya kepada para pengundi Rapelson menulis: "Salam sejahtera kepada pengundi-pengundi yang saya kasihi dan hormati.

"Saya dapat tahu ada kepen-kempen yang mengatakan saya tidak layak menjadi calon dan Adun kerana saya cacat.

"Saya mengucapkan terima kasih atas kata-kata itu. Dan saya tidak marah atau kecewa.

"Kecacatan ini anugerah Tuhan. Siapa yang kenal Tuhan mereka tidak akan pertikai pemberian Tuhan.

"Walaupun saya cacat tetapi saya tidak khianati rakyat. Bahkan saya telah membela rakyat.

"Bukan beribu ekar tanah yang saya kehendaki tetapi khidmat dan budi yang akan saya taburi. Tuan-tuanlah yang menilai saya.

"Ini kalilah... Undilah Parti Amanah." tulisnya.

Rapelson dilahirkan pada 13 April 1986 di Kuching, Sarawak.

Walaupun dilahirkan cacat, Rapelson membuktikan kekurangan fizikal tidak menghalangnya untuk mencapai kejayaan.

Berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Kajian Perancangan Dan Pengurusan Pembangunan) daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), anak muda ini berkhidmat sebagai Gis And Remote Sensing Officer.

Masa lapangnya tidak dibazirkan seperti manusia biasa yang lain. Rapelson menghabiskan masa terluangnya sebagai aktivis hak asasi manusia khususnya membela penghuni tanah adat negeri (NCR) yang diancam pembangunan.

Seorang gurunya yang enggan dikenali menyifatkan Repelson di antara pelajar yang bijak.

"Apabila ditawarkan masa yang lebih untuk menjawab peperiksaan, dia menolak. Katanya, 'saya akan jawab peperiksaan sebagaimana orang lain'.

"Dia tak merasakan perlu belas ehsan disebabkan keadaannya itu," ujar gurunya itu.

Rapelson Richard Hamit ketika menerima watikah pelantikan sebagai calon Amanah yang bertanding di Dun Gadong.Rapelson Richard Hamit ketika menerima watikah pelantikan sebagai calon Amanah yang bertanding di Dun Gadong.



Bekas  gurunya juga mengakui Repelson antara pelajar yang vokal dan tidak hairanlah jika beliau menjadi begitu vokal dalam isu pemilikan tanah di Sarawak.

Repelson juga mampu menulis laju dengan bantuan dua tangannya yang tidak berjari.

Malah dia boleh berdikari untuk ke mana-mana kerana mampu membawa kereta dengan baik tanpa bantuan sesiapa.

Mengulas penghinaan sesetengah pihak terhadap Repelson, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda menulis:

"Terkejut saya bila ada ahli Pas pertikaikan tindakan Amanah calonkan seorang OKU dalam PRN Sarawak. Diguna nas al qawwi al amin serta petikan tulisan ulama untuk sokong hujahnya.

"Apakah dia lupa Almarhum Prof Zulkifli Muhammad bekas Timbalan YDP Pas era Dr Burhanuddin Helmy dulu juga seorang OKU? Ada kecacatan pada kaki dan tangannya kesan penyakit polio yang dihidapi sewaktu kecil.

"Prof Zulkifli dicalonkan untuk kerusi Bachok dan beliau menang. Beliau muncul sebagai pemidato hebat di parlimen. Jasa beliau dikenang sehingga hari ini.

"Mahu kritik pun berpada-padalah. Jangan selewengkan nas untuk menutup kejahilan kamu," tulis Hasbie.

Dalam PRN Sarawak 7 Mei ini, Rapelson menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan calon BN-PBB, Datuk Mohd Naroden Majais dan Uja ak Bansi (Bebas).

N26 Gedong adalah kerusi baru dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak yang diluluskan Dewan Undangan Negeri tahun lalu.

Empat agensi siasat kes polis dera tahanan sampai mati

Posted: 28 Apr 2016 04:19 PM PDT

 
Ahmad Zahid berkata, pindaan undang-undang tidak perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian ini berulang di masa hadapan.


zahid


PUTRAJAYA: Empat agensi kerajaan diarah menyiasat kes tahanan didera dan dipukul sehingga mati oleh polis, ketika berada dalam lokap, pada 21 Mei 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi-agensi berkenaan akan bekerjasama bagi melihat aspek perundangan yang dapat diambil terhadap anggota dan pegawai polis terlibat dalam kematian N Dharmendran.

"Saya telah memperoleh laporan daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Agensi ini akan melakukan siasatan dengan kerjasama Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan serta pihak polis untuk melihat aspek-aspek yang boleh diambil tindakan perundangan terhadap mereka yang terlibat," katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga berpendapat, pindaan undang-undang tidak perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa depan.

"Saya fikir tindakan dalaman dan tindakan perundangan telah dilakukan sebelum ini dan tidak mustahil perundangan sedia ada boleh diaplikasi untuk perkara-perkara berkenaan," ujar beliau lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab saranan Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (JPN) meminda peruntukan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keterangan 1950.

Kata Yaacob, ia perlu bagi memasukkan peruntukan anggapan yang meletakkan beban bukti ke atas pegawai dan anggota yang mempunyai hak jagaan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan atau kematian tahanan sehingga dibuktikan sebaliknya.

Sebelum ini, EAIC mendedahkan kematian Dharmendran berpunca daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), pada Mei 2013.

Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik di Hospital Kuala Lumpur mendapati, mayat Dharmendran mempunyai 52 kecederaan dalam bentuk kesan lebam yang dipercayai berpunca daripada hentakan objek atau benda tumpul yang mengakibatkan kehilangan darah dengan banyak sehingga menyebabkan renjatan hipovolemia.

Pakar forensik mengesahkan dawai kokot turut diketip di telinga si mati, semasa Dharmendran masih hidup, dianggarkan tidak lebih dua hingga tiga hari, sebelum tarikh bedah siasat dijalankan.

Modal pembangkang hanya 1MDB – Azalina

Posted: 28 Apr 2016 04:09 PM PDT

 
Azalina percaya 1MD tidak akan memberi kesan kepada pengundi di Sarawak


azalina-sarawak-1mdb


KUCHING : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan parti pembangkang tidak mempunyai pilihan lain kecuali bercakap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

"Saya rasa jika saya pembangkang, tidak ada apa yang dapat saya lakukan kecuali bercakap mengenai 1MDB," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Jelajah Hijau Sarawak".

Azalina yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan isu berhubung pelaburan negara perlu diselesaikan oleh 1MDB sendiri.

Katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai Ahli Parlimen Pembangkang telah membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku berhubung kontroversi 1MDB.

"Oleh itu, saya ragu-ragu isu ini akan beri kesan kepada pengundi di Sarawak," katanya.

Ahli Parlimen Pengerang itu dalam masa yang sama turut menyatakan rakyat Sarawak mempunyai banyak perkara lain untuk direnung, termasuk pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Sementara itu, Azalina percaya calon BN untuk kerusi Nangka, Dr Annuar Rapaee yang juga merupakan 'senior' di universiti mempunyai sebab untuk menghalau seorang wartawan Malaysiakini dari ceramahnya.
"Saya tak rasa dia seorang lelaki yang tidak munasabah," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan calon kerusi DUN Nangka itu memarahi wartawan portal itu selepas dia memperkenalkan dirinya.

Malaysiakini melaporkan, Anuuar dipercayai tidak berpuas hati dengan wartawan yang mengetengahkan aduan daripada penduduk di Kampung Dato Lama.

Anuar dipercayai tidak berpuas hati dengan wartawan untuk mengetengahkan aduan daripada penduduk Kampung Dato Lama.

Pergaduhan di Kuala Lumpur berita palsu – Polis

Posted: 28 Apr 2016 04:07 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Polis sedang memantau media sosial dan akan bertindak keatas mereka yang menghasut.


KL-fight-rumours


KUALA LUMPUR: Polis menafikan khabar angin di laman media sosial yang mendakwa akan tercetusnya pergaduhan dan perbalahan di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya akan mengenakan tindakan kepada individu yang menyebarkan maklumat palsu dan menghasut di laman media sosial untuk menakutkan orang ramai.

"Sesiapa yang mengedarkan berita palsu dan menghasut orang lain untuk mempercayai khabar angin itu melakukan satu kesalahan menurut undang-undang negara.

"Polis sedang memantau laman media sosial dan mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menangani ancaman ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata berita palsu itu dipercayai sengaja disebarkan dengan menjadikan isu perkauman sebagai alasan untuk melakukan kekacauan.

Tiada ulasan: