Selasa, 26 April 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Tolak Najib: Dua cawangan Umno berdepan tindakan

Posted: 26 Apr 2016 08:36 AM PDT

Hanafi Mamat
Hanafi Mamat


KOTA BHARU - Umno Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap dua cawangan parti itu di Machang berikutan tindakan mereka yang secara terbuka menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti.

Setiausahanya, Datuk Hanafi Mamat berkata, ia kerana tindakan tersebut dianggap tidak mengikut saluran seperti yang ditetapkan perlembagaan dan peraturan parti.

"Sepatutnya mereka guna saluran yang dibenarkan untuk mengkritik atau menegur di mana semua ahli sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, tetapi bila secara terbuka tentang presiden maka bersedialah untuk dikenakan tindakan.

"Apa yang mereka lalukan bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya Umno, kita tidak menyekat ahli untuk tegur kepimpinan tapi tegur dengan berhemah. Jangan sampai menyertai gerakan yang mahu menjatuhkan presiden hingga menjejaskan perjalanan parti," katanya.

[ARTIKAL BERKAITAN: Dua cawangan di Parlimen Machang tolak Najib]

Beliau diminta mengulas berhubung mesyuarat Umno Cawangan Lepan Simpol dan Banggol Judah dekat Machang Sabtu lalu yang sebulat suara meluluskan usul menolak kepimpinan Najib sebagai kepimpinan parti.

Usul tersebut diterima tanpa bahas oleh kira-kira 70 ahli yang hadir pada mesyuarat dua cawangan tersebut.

Hanafi berkata, bagaimanapun tindakan dua cawangan tersebut tidak menjejaskan parti secara keseluruhan di negeri ini malah tidak memberi kesan kepada kedudukan Najib.

"Kita sebagai pengundi ada hak untuk memilih tetapi kena tunggu pilihan raya umum dan begitu juga dalam parti, kita ada hak untuk memilih atau menyokong pemimpin untuk sandang mana-mana jawatan tetapi tunggu pemilihan parti dan sekarang bukan musimnya.

"Kita sangat menerima teguran demi kebaikan bersama, Umno sangat demokrasi tetapi biar kena dengan caranya," katanya.


Nyahkan Imej PH Dari PAS

Posted: 26 Apr 2016 08:27 AM PDT



 
Oleh Alang Ibn Shukrimun


Melihat kebebalan blok PH yang melepaskan begitu sahaja dua kerusi kepada BN, ditambah pertembungan 5 kerusi antara rakan pakatan iaitu DAP dan PKR, nampaknya PAS perlu ambil langkah yang lebih progresif dan agresif.

PAS perlu sebarluaskan maklumat kepada orang awam dan seluruh rakyat Malaysia, bahawa PAS TIDAK LAGI BERSAMA BLOK PAKATAN. Sudah lama PAS tiada kaitan dengan pakatan yang dimonopoli oleh DAP itu. Malangnya perkara ini tidak sampai ke kebanyakan rakyat. Mereka masih menganggap PAS kuda DAP.

Teruskan mempopularkan blok ketiga sebagai alternatif baru. Majoriti rakyat memang bencikan BN. Tetapi mereka juga tak yakin kemampuan PH mengambil alih urustadbir negara secara lebih baik. Apatah lagi dengan kecamuk mereka di Sarawak sekarang.

Rakyat hampa. Rakyat kini memerlukan pilihan baru yang lebih matang dan sejahtera. Tidak mengamalkan politiking dan berebut kuasa. Tidak berpolemik sepanjang masa. Sebaliknya banyak mengemukakan solusi kepada yang bertanggungjawab. Walau rugi dari sudut politik, maslahah rakyat tidak boleh diperjudikan.

Jika PAS tidak nyahkan bayangan PH yang masih bertempel pada PAS di mata kebanyakan rakyat, imej buruk mereka akan terpalit pada PAS juga. Akibatnya, BN akan kekal sebagai kerajaan selepas PRU 14.
Rakyat pula akan kekal dengan minda politik kolot yang hanya kenal A atau B.

226 calon berumur antara 23 hingga 73 bertarung di pilihan raya negeri Sarawak

Posted: 26 Apr 2016 08:15 AM PDT

BERNAMA


Mohd Hashim AbdullahMohd Hashim Abdullah


Suruhanjaya Pilihan Raya menamatkan proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak semalam yang berlangsung selama sejam bermula 9 pagi, menerima sebanyak 230 kertas pencalonan namun, dua calon menang tanpa bertanding dan kertas pencalonan bagi dua calon lain ditolak.

Calon yang termuda bertanding dalam pilihan raya kali ini ialah Leslie Ting Xiang Zhi, 25, yang bertanding di Stakan mewakili DAP manakala calon tertua ialah Datuk Seri Wong Soon Koh berusia 73 tahun yang mewakili BN bertanding di Bawang Assan.

Bercakap pada sidang media di Pejabat SPR Sarawak di sini, hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, kertas pencalonan calon PKR bagi Dun Pantai Damai dan calon Bebas di Kuala Rajang ditolak kerana kedua-duanya didapati tidak layak bertanding.

Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Naib Presiden Kanan PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi Dun Bukit Sari.

Manakala Datuk Abdul Rahman Ismail juga dari PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi Dun Bukit Kota.

Menurutnya, BN akan bertanding di 80 Dun, PKR (40 Dun), DAP (31 Dun), Parti Amanah Negara (13 Dun), PAS (11 Dun), STAR (11 Dun), PBDS Baru (5 Dun) selain 35 calon Bebas turut

Bilangan calon lelaki turut mengatasi calon wanita dengan masing-masing 204 orang dan 22 orang.

Dalam pada itu, sebanyak lima Dun akan menghadapi pertandingan lima penjuru iaitu di Batu Kitang melibatkan calon BN, DAP, PKR dan dua calon Bebas; Bukit Semuja (BN, DAP, PBDSB, Star dan Bebas); Dudong (BN, DAP, Star dan dua calon Bebas); Bawang Assan (BN, DAP, Star dan dua calon Bebas); dan Jepak (BN, Pas, PKR, Star dan calon Bebas).

Sebanyak 12 kawasan akan menghadapi pertandingan empat penjuru, 27 kawasan pertandingan tiga penjuru, 36 kawasan pertandingan satu lawan satu, katanya.

Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang mempertahankan kerusi Tanjung Datu akan ditentang calon PKR Jazolkipli Numan.

Ditanya mengenai anggaran penjimatan perbelanjaan SPR bagi PRN11 memandangkan dua kawasan tidak dipertandingkan kerana calon menang tanpa bertanding, Mohd Hashim berkata pihaknya tidak dapat membuat anggaran itu buat masa ini.

SPR memperuntukkan RM135.6 juta bagi mengendalikan PRN11. Terdapat 1.13 juta pengundi pada pilihan raya negeri kali ini.

Sementara itu, SPR menjangka keputusan awal PRN11 pada 7 Mei ini dapat diperoleh mulai 6 petang dan keputusan penuh pada 11 malam.

Beliau berkata SPR melantik 62 pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau pilihan raya itu.

Bagi memudahkan urusan pengundian, pemilih berdaftar boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui panggilan ke ibu pejabat SPR Putrajaya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, sistem khidmat pesanan ringkas atau melalui laman sesawang SPR www.spr.gov.my

Aishah meriahkan kempen di Sarawak

Posted: 26 Apr 2016 08:12 AM PDT

A SHUKUR HARUN

Aishah bersama team Awan yang tiba di Sarawak untuk berkempen di N24 Sadong Jaya.Aishah bersama team Awan yang tiba di Sarawak untuk berkempen di N24 Sadong Jaya.

Di tengah-tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bukan saja calon yang bertanding menarik perhatian orang ramai ketika berarak, tetapi juga seorang selebriti bekas penyanyi terkenal, Wan Aishah Wan Arifin atau lebih dikenali Aishah, yang turut merancakkan kempen PRN tersebut.
Aishah yang juga Ketua Awan Parlimen Batu dengan pakaian warna oren – warna parti Amanah yang dari jauh sudah kelihatan jelas - adalah dari Team Amanah Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin, Ketua Amanah kawasan tersebut.

Aishah dengan teamnya yang tiba di Sarawak sejak minggu lalu turut mengedarkan risalah calon Amanah di dereten kedai sekitar Dun N24 Sadung Jaya dan kawasan sekitarnya.

Beliau turut singgah dari rumah ke rumah kerana ramai yang hendak bertemu dengannya. Beliau bertemu dengan penghuni rumah di kawasan tersebut.

Kehadiran beliau telah menarik perhatian demikian ramai orang di sepanjang jalan yang menghulur tangan dan mahu bergambar dengan Aishah.

"Aishah sudah berada di laman rumah kita," kata seorang tuan rumah yang segera turut bersalaman dan bergambar, diikuti orang ramai yang mengikutinya.

Bahkan beberapa rumah yang dinaiki Aishah dan rombongannya turut dipenuhi oleh orang ramai yang ingin bersalaman dan bergambar dengannya.

Seorang wanita tua di sebuah rumah turut bangun dari tempat duduknya kerana uzur dan bersalaman serta bergambar dengan penyanyi terkenal itu.

Wan Aishah turut juga berkempen di kawasan berdekatan, yang kelihatan wajahnya sentiasa ceria dan tidak merasa penat walaupun sudah hampir seminggu berkempen.

Beliau menyatakan gembira bertemu dengan orang ramai di Negeri Bumi Kenyalang itu.

Di sesetengah rumah yang dikunjunginya, Aishah turut menyanyikan beberapa buah lagi yang diminta oleh orang ramai yang berkumpul.

Ini pengalaman Wan Aishah yang kedua berkempen. Kali pertama ketika berkempen di kawasan Parlimen Jempol, Negeri Sembilan ketika beliau sendiri bertanding sebagai calon PAS di kawasan parlimen tersebut.

Nyatakah kemeriahan kempen PRN Sarawak kali ini, bukan semata-mata kerana perarakan calon yang bertanding, lawatan dari rumah ke rumah, bahkan kehadiran Aishah yang sentiasa tersenyum, bergambar dan bersalaman dengan orang ramai, tambah meriahkan kempen PRN Sarawak itu.

Aishah  (tiga dari kanan) dan team Awan berada enam hari dalam kempen di Dun Sadong Jaya.Aishah (tiga dari kanan) dan team Awan berada enam hari dalam kempen di Dun Sadong Jaya.

Negara tertunggu-tunggu siapa ganti Zeti

Posted: 26 Apr 2016 08:06 AM PDT

Reuters  




Dengan tinggal hanya empat hari sebelum gabenor Bank Negara menamatkan kontraknya, masih samar-samar tentang penggantinya - dengan kemungkinan tugas-tugas gabenor baru menjadi lebih mencabar jika beban kewangan semakin meruncing dalam dana milik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak masih belum menamakan pengganti Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, yang khidmat selama 16 tahun akan berakhir pada 30 April ini.

Para pelabur dan penganalisa memuji Zeti atas sumbangan beliau dalam melaksanakan dasar-dasar yang tepat dan menaikkan kredibiliti bank pusat itu. Ia sangat penting terutama ketika krisis tahun lalu bermula memalitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Najib, yang mempengerusikan lembaga penasihatnya.

Hari ini, 1MDB berkata, ia tidak membayar AS$50.3 juta kupon atas bon bernilai AS$1.75 bilion, ekoran pertikaian dengan IPIC, mencetuskan tunggakan bersilang atas beberapa bon-bon lainnya.

Standard & Poor berkata, ia tidak melihat kesan penarafan Malaysia buat masa ini, kerana ia menjangka kerajaan akan menjalangkan tanggungjawabnya secara baik ke atas 1MDB.

Hari ini, pengumuman tunggakan menghimpit ringgit, sehingga jatuh ke paras terendah dalam seminggu. Ringgit menjunam 1.1 peratus kepada RM3.9495 bagi setiap dolar.

Pada 2015, ringgit merupakan matawang paling lemah di kalangan negara Asia, menjunam hampir 19 peratus berbanding dolar di sebalik kejatuhan harga komoditi tenaga dan pergolakan politik negara. Tahun ini, ia menjadi matawang yang kukuh, naik sekitar 9 peratus.

Keberterusan digapai

Kepada gabenor baru, pemain pasaran mengharapkan keberterusan dasar dan ketegasan yang pernah ditunjukkan oleh Zeti.

"Kami mahu calon yang boleh meneruskan jejak langkah Dr Zeti," kata Vaninder Singh, ahli ekonomi Royal Bank of Scotland yang berpangkalan di Singapura.

Bagi beberapa penganalisa, calon yang diharapkan ialah timbalan gabenor, Muhammad Ibrahim.

Calon-calon lain termasuklah Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang kini bertugas sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat (AS).


"Panduan daripada kerajaan ialah mereka akan melantik seseorang yang mesra pasaran," kata Gan Eng Peng, ketua strategi ekuiti dan penasihat Affin Hwang Capital.

Ang Kok Heng, ketua pegawai pelaburan Phillip Capital Management, berkata, pasaran "tertanya-tanya siapa individu tersebut dan gaya (pengurusan) beliau."

Pada bulan Mac yang lalu, BNM berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan pentadbiran ke atas 1MDB. Tahun lalu, ia mendesak dakwaan jenayah ke atas firma itu, yang kemudiannya ditolak oleh Peguam Negara.- Reuters

Lepas 30 tahun, 'Team B' Umno muncul kembali

Posted: 26 Apr 2016 08:02 AM PDT

MALAYSIAKINI




Tiga puluh tahun yang lalu, gelaran Team B mungkin menghantui Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri yang berdepan saingan Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu.

Pergolakan dalam terbesar dalam Umno itu berkisar mengenai penentangan Team B menentang Mahathir dalam Team A.

Bagaimanapun, selepas hampir 30 tahun, siapa sangka label itu digunakan semula oleh anak beliau dan pemimpin kanan Umno yang senada dengan beliau.

Hari ini, Mukhriz, anak kelima Mahathir, menggunakan kembali gelaran itu dalam tweet beliau, yang sekali gus mengimbau kenangan perpecahan Umno sekitar 1987.

Team B diwujudkan bagi mewakili kumpulan lantang dalam Umno, melibatkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mereka berempat dijadualkan mengadakan ceramah di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, Jitra pada 28 April ini, jam 8.30 malam.

Tajuk ceramah berkenaan ialah "Bicara Isu-isu Semasa: Selamatkan Malaysia", tema gerakan Deklarasi Rakyat yang ditubuhkan baru-baru ini.

Mukhriz ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberi maklum balas.

Sejarah kewujudan Team A dan Team B Umno sangat memberi kesan dalam politik Malaysia kerana menyebabkan parti tertua di negara ini diisytiharkan sebagai haram dan seterusnya, mewujudkan Umno baru yang didaftar semula pada 4 Februari 1988.

Selain mendapat sokongan dua bekas perdana menteri iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, Team B turut dianggotai oleh Tun Musa Hitam, Tan Sri Dr Rais Yatim, Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Sebelum ini, portal pro-Umno, Mykmu.net melaporkan Najib sebagai berkata Mahathir sendiri pernah menempuh ujian dan beliau tidak boleh kekal sebagai perdana menteri selama 22 tahun jika tidak mendapat sokongan pemimpin lain.

"Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir) hampir kalah.
Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri'. Oh hebat dia jawab.

"Saya antara yang menyokong dia. Dia (Mahathir) kekal menjadi Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita tak sokong pemimpin menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana Menteri," kata Najib.


Solusi tarik undi pertindihan kerusi DAP-PKR dalam PRN Sarawak

Posted: 26 Apr 2016 07:54 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Chong Chieng JenChong Chieng JenDAP Sarawak hari ini menawarkan penyokong pembangkang satu penyelesaian untuk pertempuran parti itu dengan PKR di enam kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei depan.

Pengerusinya Chong Chieng Jen telah mencadangkan agar mengundi DAP untuk mengelakkan undi berpecah.

"Dalam kerusi di mana DAP bertindih dengan PKR, saya menggesa pengundi supaya tidak memecahkan undi mereka dan menumpukan kepada DAP. Jangan buang undi anda pada PKR.

"Tetapi di kerusi di mana PKR sahaja bertanding, saya menyeru kepada semua penyokong DAP mengundi PKR," katanya dalam sidang media diadakan hari ini lapor Malaymailonline.

Chong, yang akan mempertahankan Kota Sentosa untuk penggal ketiga dalam pilihan raya, yakin DAP boleh menang di Dun Batu Kitang dan Simanggang, dua daripada enam kerusi parti itu bertindih dengan PKR, rakan kongsi Pakatan Harapan itu.

DAP telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Batu Kitang, salah satu daripada 11 kerusi baru pilihan raya kali ini, semasa rundingan dengan kepimpinan pusat kedua-dua parti itu, tetapi meletakkan calon DAP selepas PKR gagal memenuhi peruntukan kerusi itu.

Kerusi itu kini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Voon Shiak Ni (PKR), Abdul Aziz Isa (DAP), Lo Khere Chiang (BN) dan dua calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Othman Bojeng.

Di Simanggang,  Leon Jimat Donald (DAP) dan Norina Umoi Utot (PKR)  berada dalam perebutan empat penjuru dengan Barisan Nasional (BN) penyandang Datuk Francis Harden Hollis dan calon bebas, Ngu Siew Peng.

Kerusi-kerusi lain di mana kedua-dua pihak akan menghadapi satu sama lain adalah Mambong, Ngemah, Murum dan Mulu.

DAP meletakkan sejumlah 31 calon dan PKR, 40.

Chong juga berkata PRN Sarawak kali ini akan menjadi 'prequel' kepada pilihan raya umum ke-14, melahirkan keyakinan bahawa 7 Mei itu kelak akan memberi isyarat berakhirnya pemerintahan BN di Putrajaya.

Beliau berkata tsunami politik 2008 yang menyaksikan pembangkang memenangi beberapa negeri, telah bermula di Sarawak pada pilihan raya negeri 2006 apabila DAP memenangi enam daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

"Itu adalah gelombang pertama. Gelombang kedua adalah pada tahun 2011 apabila DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi dalam pilihan raya negeri dan dalam 2013, pembangkang mendapat lebih daripada 50 peratus undi popular.

"Sekarang gelombang ketiga akan datang dan ia akan mula di Sarawak. Saya percaya ini adalah pusingan terakhir dalam perubahan kerajaan, "kata Chong.

Krisis MB: Pas Terengganu mahu pilihan raya kecil di adakan

Posted: 26 Apr 2016 07:50 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE


Satiful Bahri MamatSatiful Bahri MamatPas mengambil sikap tidak mencampuri urusan dalaman Umno berkait dengan kemelut melanda Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, sebaliknya bersetuju jika pilihan raya kecil negeri diadakan.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah kepimpinan kerajaan negeri adalah menyerahkan mandat kepada rakyat.

Menurutnya, cadangan agar menteri mesar meletak jawatan dan diganti dengan orang lain juga tidak dapat menyelesaikan masalah selagi Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

"Jalan yang terbaik ada pandangan supaya menteri besar letak jawatan atau diganti dengan orang lain. Tetapi, kita rasa tidak selesai juga masalah itu.

"Cara terbaik pada pendapat saya, serah kepada rakyat semula dan adakan pilihan kecil peringkat negeri ini.

"Itulah yang terbaik untuk memberi mandat baharu kepada rakyat dan biar rakyat yang berhak pilih siapa (kerajaan) yang bakal memimpin negeri ini," tegasnya ketika mengulas isu pelucutan darjah kebesaran Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Ekonomi Terengganu bertajuk "Kewangan Terengganu Dalam Bahaya, Rakyat Menderita" di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai seperti dipetik media rasmi parti itu.

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka menyifatkan isu pelucutan darjah kebesaran oleh Tuanku Sultan Terengganu itu memberi gambaran hubungan tidak baik.

"Pada pandangan awam bahawa menteri besar sudah tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tuanku Sultan.

"Ini akan datang menyebabkan urusan-urusan kerajaan, urusan yang melibatkan rakyat dan sebagainya tidak akan berjalan dengan baik. Jika hubungan (dengan Tuanku) tidak baik, macam mana hendak urus pentadbiran kerajaan akan datang. Konflik ini selagi tidak selesai akan berpanjangan," jelasnya.

Namun, beliau menolak pandangan pihak-pihak tertentu kononnya akan berlaku kerajaan campuran antara PAS Umno di negeri ini.

"Perkara itu tidak berbangkit sebab itu masalah dalaman dia (Umno).

"Kita bersedia bila-bila masa (pilihan raya) dan kita telah 'start' lama dah. Persiapan kita, 'roadmap' kita untuk menuju ke Wisma Darul Iman telah kita usahakan untuk menjadi pemerintah selepas PRU14, insya Allah.

"Kita juga mengambil kira pandangan Perlembagaan dan pandangan Tuanku Sultan. Dalam perkara ini kita (PAS) tidak boleh mengesampingkan apa pandangan Tuanku Sultan," ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau, Pas  lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri bagi membetulkan segala kepincangan kerajaan BN di negeri ini.

Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama.

Sabtu lalu, Malaysia Dateline telah melaporkan, Razif menyerahkan semua darjah dan bintang kebesarannya pada Jumaat selepas dimurkai oleh pihak Istana ketika beliau mengiringi Tuanku Sultan Terengganu menunaikan solat Jumaat.

Ketika dihubungi, seorang pemimpin Umno dari Terengganu yang mempunyai hubungan yang baik dengan Istana mengesahkan berita ini.

"Comfirm. Cuma belum ada kenyataan rasmi dari istana sahaja.

"Tuanku murka dengan ucapan MB ketika mengiringi Baginda solat Jumaat semalam. Lepas Jumaat beliau serah semua darjah kebesaran," kata laporan itu.

PKR cabar calon BN debat isu 'kepimpinan orang Islam'

Posted: 26 Apr 2016 05:20 AM PDT

MALAYSIAKINI





Calon PKR di Nangka Abdul Raafidin Majadi mencabar penyandang kerusi itu Dr Annuar Rapaee berbahas berkaitan kenyataan lawannya supaya orang Islam mengundi BN bagi mengekalkan penguasaan mereka.

Abdul Raafidin merancang menyerahkan surat undangan berbahas itu di pusat kempen Annuar esok.

Dalam kenyataan hari ini, calon PKR itu berkata Annuar (gambar) telah menggesa pengundi memilih calon berdasarkan sentimen kaum dan agama.

Politik perkauman, tambahnya, tidak patut dibawa ke Sarawak dan keharmonian beragama patut menjadi keutamaan negeri itu.

Abdul Raafidin berkata rakyat Sarawak patut memilih berdasar integriti dan kemampuan.

"Saya sebagai calon PKR Nangka yang berbangsa Melanau menekankan bahawa keadilan harus diberikan kepada semua warga Nangka dan Sarawak tanpa mengira latar belakang politik.

"Maka saya mencabar calon BN untuk N55 Nangka Dr Annuar Rapaee untuk berdebat dalam judul 'Siapakah yang lebih layak menjadi Ketua Menteri Sarawak' pada 1 Mei 2016," katanya.

Annuar, seorang pakar kardiologi, sebelum ini mempertikai laporan Malaysiakini yang melaporkannya sebagai berkata orang Islam, walaupun minoriti, mendapat peluang memimpin negeri dan perkara itu tidak patut disia-siakan.

Beliau mendakwa kenyataannya dibuat di luar konteks. Wartawan Malaysiakini yang menulis berita itu sedang disiasat selepas laporan polis dibuat terhadapnya.

Malaysiakini mempertahankan kesahihan berita itu.

AG: Kekalkan 'subjudis' - hakim boleh dipengaruhi

Posted: 26 Apr 2016 05:15 AM PDT

MALAYSIAKINI




Malaysia mungkin telah menghapuskan sistem juri, tetapi Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku pegawai pendakwa tertinggi negara berpendapat bahawa peraturan subjudis perlu terus dikekalkan.

"Kami tidak boleh mengambil ringan bahawa hakim-hakim tidak boleh dipengaruhi, terdapat kejadian (di mana) hakim telah dipengaruhi.

"Bukan sahaja melalui tulisan, tetapi semata-mata kehadiran di mahkamah yang boleh menimbulkan rasa takut kepada hakim," katanya.

Sambil menegaskan bahawa hakim hanya manusia, walaupun mereka dijangka memberi keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih, ramai, kadang-kadang berhadapan dengan penyokong tertuduh kes tertentu.

"Ada hakim beritahu saya, mereka rasa ketakutan. Elemen takut ada, hakim juga manusia.

"Untuk mengelakkannya, adalah lebih baik kekalkan (peraturan) subjudis ini," katanya.

Apandi berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan the Sun, R Nadeswaran yang menoalnya mengapa peraturan subjudis masih dikekalkan.

Peguam Negara sebelum ini menyampaikan ceramahnya kepada pengamal media dan ahli akademik di Kuala Lumpur hari ini.

AG telah arahkan siasatan lanjut ke atas 1MDB

Posted: 26 Apr 2016 05:11 AM PDT

Alyaa Azhar

 


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini berkata beliau telah mengarahkan siasatan lanjut ke atas 1MDB.

"Mengenai 1MDB, saya sudah arahkan siasatan lanjut berkenaan dengan personaliti lain yang mungkin terlibat dan saya masih belum menerima kertas siasatan (IP) berhubung dengan arahan itu.

"Setakat ini mereka belum kembali (kepada saya)," kata Apandi kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah kepada pengamal media dan ahli akademik.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporan yang dibentangkan awal bulan ini mencadangkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan juga pihak-pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudiannya mengumumkan satu pasukan polis sedang menyiasat 1MDB untuk meneliti laporan PAC.

Khalid berkata, keputusan berkenaan kemudiannya akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Apandi berkata beliau masih belum melihat kertas siasatan (IP) yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai kenyataan Khalid bahawa polis sedang menunggu keputusan Peguam Negara berhubung empat kertas siasatan, termasuk satu di bawah hasutan, Apandi berkata terdapat pelbagai jabatan di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Jabatan Pendakwaan di bawah saya, mungkin mereka hantar (IP) kepada pegawai saya di Jabatan Pendakwaan.

"Mereka (pegawai) perlu kaji, dan dalam analisis akhir jika mereka mahu membuat sebarang keputusan, mereka akan rujuk kepada saya. Sehingga kini mereka masih belum rujuk kepada saya," katanya.

Apandi juga yang mengakui bahawa beliau tidak tahu ketika ditanya mengenai wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie yang disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

"Saya tidak tahu. Saya tidak boleh kata bahawa saya mengetahui segala-galanya.

 "Apa pun, peguam negara sebagai pendakwa raya hanya akan tahu apabila mereka merujuk kertas kepada saya atau kepada pegawai saya, dengan tujuan untuk mendakwa atau sebaliknya. Sehingga sekarang saya tidak tahu," katanya.

Kow disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan penulisan, penerbitan dan mengedarkan kenyataan dengan niat untuk menghasut masyarakat untuk melakukan suatu kesalahan.

Wartawan itu, dalam laporannya memetik ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee sebagai berkata bahawa umat Islam di Sarawak tidak seharusnya mensia-siakan peluang untuk memimpin di negeri itu.

Ketika ditemui selepas itu, Annuar menafikan beliau meniupkan sentimen kaum dan agama.


Zuraida gesa 'gentleman', Shamsul ajak bincang

Posted: 26 Apr 2016 05:04 AM PDT

Shakira Buang

 


Pemimpin-pemimpin kanan PKR mempunyai pendekatan berbeza dalam isu pertindihan kerusi dengan DAP dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Bagi Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, mereka tidak perlu berundur daripada kempen di Batu Kitang dan lima lagi kerusi.

Malah, katanya, kedua-dua parti perlu 'gentleman' berkempen.

"Semua kena gentleman. Ini kan pilihan raya. Kalau tak kempen macam mana nak menang.

"Kita akan teruskan apa yang kita buat sekarang," kata anggota Parlimen Ampang kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan DAP 'berundur' daripada kempen di Batu Kitang jika PKR melakukan perkara sama di baki lima lagi kerusi yang menyaksikan pertembungan kedua-dua parti itu.

Shamsul tekan gesaan Anwar

Sementara itu, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mad Akin pula masih menekankan pendekatan berbincang seperti disuarakan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita akan bincang, DSAI (Anwar) pun telah buat kenyataan yang jelas agar perbincangan diteruskan.
"Jadi kita minta pemimpin DAP berbincanglah," kata anggota Parlimen Bukit Katil.

Calon PKR dan DAP akan bertembung di kerusi Mulu, Murum, Simanggang, Mambong, Ngemah dan Batu Kitang.


KJ: Sumbangan FC Bari pada negara masih kabur

Posted: 26 Apr 2016 04:27 AM PDT

Khairy
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.


PEMBELIAN kelab bola sepak dari Itali, FC Bari 1908 oleh ahli perniagaan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad dilihat tidak akan memberi sebarang perubahan kepada pembangunan bola sepak negara bagi peringkat awal.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, namun begitu, untuk tahun-tahun mendatang, pasukan luar yang dimiliki oleh rakyat negara ini boleh mewujudkan kerjasama dengan kelab-kelab tempatan bagi menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.

"Saya tak pasti bagaimana pembelian kelab FC Bari 1908 akan membantu kepada pembangunan bola sepak negara. Mungkin masih di peringkat awal.

[ARTIKEL BERKAITAN: Noordin sasar Bari layak ke UEFA]

"Tapi sekiranya untuk tahun-tahun akan datang pasukan yang dimiliki rakyat Malaysia boleh ada hubungan dan kerjasama sama dengan kelab-kelab yang ada di negara ini sama ada dalam bentuk penghantaran pemain atau dalam bentuk pembangunan jurulatih.

"Saya rasa mungkin ia boleh meyumbang kepada pembangunan bola sepak negara," katanya selepaa sidang media Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara 2016 yang berlangsung di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Sebelum in, Noordin mengejutkan negara apabila bertindak untuk membeli 50 peratus pegangan saham dalam kelab tersebut.


Media jangan terbit rahsia rasmi kerajaan

Posted: 26 Apr 2016 04:25 AM PDT

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali


KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengingatkan pengamal media agar tidak memiliki atau menerbitkan berita yang mengandungi rahsia rasmi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan memandang berat perkara ini berikutan peningkatan kejadian ketirisan maklumat terkelas yang boleh menggugat keselamatan negara.

Beliau mengambil contoh kes Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dituduh di mahkamah kerana memiliki tanpa kebenaran dan mendedahkan dokumen rahsia yang berada di bawah kawalan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Suka saya tekankan, selain tindakan jenayah yang boleh diambil, seseorang pengamal media juga boleh diambil tindakan sivil di bawah Akta Fitnah 1957 dan diarah membayar pampasan sekiranya terbukti bahawa sebarang laporan atau penerbitan yang dibuat berunsur fitnah dan telah mengakibatkan reputasi mana-mana pihak terjejas akibat laporan tersebut," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis luncheon talk bersama editor dan pengamal media anjuran Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dedah dan miliki dokumen rahsia: Mohd Rafizi didakwa]

Dalam pada itu, Mohamed Apandi turut meluahkan kekesalannya apabila ketegasan Malaysia mencorak kebebasan media disalah erti masyarakat antarabangsa sebagai tidak mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Katanya, ini dapat dilihat melalui penurunan skor negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2016 iaitu 46.57 mata berbanding 43.29 pada 2015.

"Namun, indeks tersebut juga menunjukkan kemerosotan media turut berlaku di banyak negara lain.
Malah, pada 2015, dua pertiga daripada negara yang dikaji dilaporkan menunjukkan kelembapan dalam kebebasan media, termasuk Amerika Syarikat dan Singapura.

"Mengambil kira kedudukan ini, persoalan yang perlu ditanya kepada pengamal media adalah sama ada ia benar-benar mencerminkan tahap kebebasan media di Malaysia," katanya.

Menerangkan mengenai sekatan dikenakan terhadap kebebasan pengamal media menulis, memberi pandangan, melapor dan menerbitkan sesuatu perkara, beliau berkata, ia diperuntukkan undang-undang.

"Oleh itu, kuasa media yang boleh mempengaruhi orang awam wajar digunakan dengan bertanggungjawab bagi memajukan agenda nasional. Juga untuk memelihara ketenteraman awam dalam negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia," katanya.


Gagal pastikan satu lawan satu, Kit Siang mohon maaf

Posted: 25 Apr 2016 09:51 PM PDT

MALAYSIAKINI




P'RAYA S'WAK Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memohon maaf atas kegagalan Pakatan Harapan dalam memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN alam pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

"Saya memohon maaf kepada rakyat Sarawak dan Malaysia kerana kegagalan Pakatan Harapan untuk memastikan pertandingan satu samasatu dengan Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11," kata Lim dalam ucapannya dalam satu ceramah di Kuching malam tadi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu memberi jaminan bahawa pemimpin, ahli dan penyokong DAP akan bekerja 'lebih keras' lagi bagi menebus kegagalan itu.

Bagaimanapun, Lim memberitahu hadirin bahawa beliau tidak terlibat dalam rundingan pembahagian kerusi dan mencadangkan supaya perkara itu tidak dibangkitkan sehingga selepas hari mengundi.

Katanya, beliau tidak tahu bagaimana Pakaran Harapan akan menebuskannya akibat kegagalan pakatan pilihan raya Pakatan Harapan dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Namun, Lim meminta supaya melupakan perkara itu sehingga selepas hari mengundi pada 7 Mei.

"Satu-satunya tugas kita sekarang ialah untuk memberi tumpuan menentang Barisan Nasional dalam kempen 12 hari yang akan datang," katanya sambil menambah bahawa ia bagi memastikan pengundi di Sarawak membuat pilihan yang bersejarah pada 7 Mei demi kepentingan yang terbaik untuk Sarawak dan Malaysia.

PKR dan DAP akan bertembung di enam kerusi - Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong. [Baca berita penuh]

Sementara itu, pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen merayu kepada pengundi menyokong calon DAP di Batu Kitang, Abddul Aziz Isa dan berkata dengan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina itu, ia adalah bukti bahawa DAP adalah parti berbilang kaum.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 4,000 orang dan turut mengumpulkan sumbangan sebanyak lebih RM6,000 caruman. Ia juga menjual kira-kira 100 patung Ubah pada harga RM20 setiap satu.

Sementara itu di Miri, di ​​sebuah restoran kecil di pinggir bandar itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyentuh kenapa pengundi di kawasan majoriti Cina Pujut perlu mengundi calon parti Islam itu.

Bercakap kepada kira-kira 50 orang, kuat, Hadi menafikan bahawa PAS adalah sebuah parti yang bersifat perkauman.

Beliau juga memberi jaminan bahawa PAS sebagai sebuah parti Islam akan berlaku adil kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau menambah bahawa tidak ada sebab rakyat Sarawak tidak boleh menerima PAS.

"Jika kapitalisme dengan ikonnya Adam Smith dan sosialisme dengan ikonnya Karl Marx, kedua-duanya bukan Iban, Cina, atau Melayu, boleh diterima, mengapa tidak Islam?" katanya.

Kemudian ketika bercakap kepada media, Hadi berkata PKR yang harus dipersalahkan ekoran pertandingan tiga penjuru dengan PAS di Kakus, Jepak dan Lambir kerana parti Islam itu telah pun mengumumkan calon mereka lebih awal.

PRINSIP SAYA TIDAK BERUBAH, KATA TAMRIN GHAFAR

Posted: 25 Apr 2016 09:48 PM PDT

shahbudindotcom


 
 
Berdepan kritikan dan syak wasangka pelbagai pihak tentang kemungkinan sudah membuat pusingan U, berpaling tadah dan menerima dedak berikutan secara terbuka meminta maaf kepada Najib Razak di majlis memperingati 10 tahun pemergian Tun Ghafar Baba Ahad lalu, Tamrin berkata, prinsipnya bersama dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara ini tidak pernah berubah.

"Itu prinsipnya, malah sebelum program di Melaka itu saya juga sudah memaklumkan kepada Tun Mahathir Mohamad mengenainya dan beliau memahaminya," kata Tamrin lagi.

Sehubungan itu, jelas Tamrin, isu sama ada beliau sudah membuat pusingan U, berpaling tadah atau menerima dedak daripada Najib tidak berbangkit sama sekali.

Sabtu lalu, ketika majlis memperingati 10 tahun pemergian Tun Ghafar Baba di Bukit Peringgit, Melaka yang turut dihadiri oleh Najib, ucapan Tamrin yang meminta maaf kepada Perdana Menteri telah menjadi viral di media sosial dan dalam perbualan umum serta dikaitkan dengan pendirian politiknya.

Tamrin sebelum pilihanraya 2013 lalu telah keluar UMNO dan menyertai Pas. Beliau bagaimanapun kemudiannya meninggalkan Pas dan kekal tidak menyertai mana-mana parti sehingga kini, tetapi kerap muncul bersama Tun Mahathir sejak timbulnya isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang melibatkan Najib.

Menjelaskan tindakannya meminta maaf di majlis yang dihadiri Najib dan sebahagian besar pemimpin UMNO  itu, Tamrin berkata, beliau bukan saja  meminta maaf kepada Najib, tetapi juga kepada semua yang hadir atas kelemahannya sebagai manusia dan jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukannya terhadap mereka.

Menurut beliau, meminta maaf itu hanya menunjukkan sikap merendah dirinya sebagai manusia yang beragama Islam terhadap sesama manusia yang lain.

"Ia tidak lebih daripada itu, lagi pun bukankah saling meminta maaf itu amat digalakkan dalam Islam?

"Selain itu, kita juga tidak tahu bila masanya kita akan dipanggil mengadap Tuhan, maka ada baiknya saya meminta maaf secara terbuka kerana saya juga banyak mengkritik mereka secara terbuka," tambahnya lagi.

Mengenai projek menaiktaraf Memorial Tun Ghafar yang diumumkan oleh Najib ketika majlis tersebut, beliau menjelaskan ia bukanlah perkara baru, malah sudah diluluskan kira-kira sembilan tahun lalu ketika Rais Yatim menjadi Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan lagi.
 
 
 
 
Namun, katanya, projek itu tertangguh sekian lama berikutan difahamkan kerajaan tiada peruntukan kewangan untuk melaksanakannya.

Kata Tamrin, projek menaiktaraf Memorial Tun Ghafar menjadi bangunan dua setengah tingkat adalah di bawah Arkib Negara, sebuah agensi di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan beliau tidak terlibat sedikit pun dengannya.

Jelasnya, beliau menyerahkan sepenuhnya mengenai pembinaan dan apa-apa yang berkaitan dengan memorial itu kepada kerajaan untuk menguruskannya.

"Bagi saya yang penting ialah pembinaan Memorial Tun Ghafar itu menjadi kenyataan kerana ia merupakan sesuatu yang bernilai dari segi sejarah dan juga kepada generasi muda," jelasnya lagi.





S'wak ibarat perlawanan akhir bola yang berat sebelah

Posted: 25 Apr 2016 09:41 PM PDT






ULASAN Semalam hari penamaan calon bagi memulakan proses awal pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 yang di jadualkan pada 7 Mei, selepas DUN dibubarkan pada 11 April lalu.

Proses pilihan raya adalah sebahagian daripada proses demokrasi berparlimen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks pilihan raya negeri Sarawak, dua pihak yang paling dekat bagi menjamin proses yang telus dan adil ialah kerajaan sementara yang wujud selepas pembubaran DUN Sarawak dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerajaan sementara negeri Sarawak sebenarnya tiada mempunyai apa-apa kuasa melainkan hanya buat sementara.

Tidak lagi wujud jawatan ketua menteri Sarawak dan kabinet melainkan hanya berfungsi membantu memastikan kelancaran proses pilihan raya berlangsung dengan telus dan adil.

Sekiranya kerajaan Sarawak prapembubaran DUN berasakan mereka kuat dan akan dipilih rakyat, itu kepercayaan mereka yang tiada siapa akan menghalangnya.

Namun mereka juga perlu sedar, mereka sudah tiada kuasa, justeru mesti menunggu sehingga proses pilihan raya selesai untuk memperoleh kembali kuasa.

Justeru perbuatan menghalang pemimpin kanan parti pembangkang daripada semenanjung untuk turut sama berkempen dan memberi sokongan kepada calon parti mereka yang bertanding adalah perbuatan yang pelik dan ganjil.

Seorang lwn satu pasukan

Ia juga bertentangan dengan prinsip demokrasi berparlimen. Benar, undang undang imigresen Sarawak agak berbeza dengan semenanjung.

Contoh terkini ialah polisi semenanjung yang menerima pekerja Bangladesh namun Sarawak pula tegas dilapor menolak pekerja negara itu bagi membolehkan penduduk tempatan mendapat peluang pekerjaan.
Namun sekalipun mempunyai undang-undang imigresen berbeza, sepatutnya Sarawak bertindak adil dalam situasi pilihan raya kali ini.

Apa yang berlaku ialah ibarat pasukan bola lawan tidak dibenarkan masuk ke stadium kecuali kapten seorang. Walhal pasukan bola tuan rumah dan pengadil sudah bersiap sedia di padang.

Pengadil sepatutnya tidak pandang berkelip-kelip mata begitu sahaja tanpa berbuat apa-apa.

SPR jika mahu memulihkan imej amat buruk mereka mestilah mengambil tindakan dengan memaklumkan kerajaan sementara Sarawak bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen bawah Perlembagaan Persekutuan dan akta pilihan raya.

Ini adalah permainan yang berat sebelah apabila majoriti pemimpin kanan parti pemerintah dibenarkan hadir tanpa sekatan di Sarawak.

Menyekat 'Jamal Pak Tongko' dan Papagomo bukanlah bermakna pihak kerajaan sementara Sarawak adil. Tiada siapa akan terkilan.

Beg tangan tak boleh dimakan

Sekalipun mereka dibenarkan masuk ke Sarawak pun, mereka tidak membawa apa-apa nilai tambah kepada kempen kedua-dua belah pihak, melainkan menimbulkan kemarahan rakyat tempatan semata-mata.

Alasan arahan sekatan pemimpin Pakatan Harapan dibuat terlebih awal oleh pihak imigresen tidak dapat diterima.

Ini kerana mana-mana institusi penguatkuasaan kerajaan akan bekerja melaksanakan arahan semata-mata.
Mereka tidak mempunyai kepentingan secara langsung dalam pilihan raya negeri Sarawak kecuali pihak yang berada dalam kerajaan sementara.

Justeru sekiranya SPR enggan mengarahkan kerajaan sementara berlaku adil, dengan mengarahkan kerajaan sementara membatalkan larangan masuk, situasi ini tidak mustahil dibawa ke Mahkamah Pilihan Raya ataupun Mahkamah Tinggi.

Ia melibatkan injunksi membatalkan perintah imigresen berkenaan ataupun sekiranya telah tamat pilihan raya, untuk deklarasi membatalkan pilihan raya negeri Sarawak dan diadakan pilihan raya baru.

Siapakah yang boleh bersetuju sekiranya perlawanan akhir piala dunia bola sepak cuma pasukan tuan rumah, pengadil dan kapten pasukan lawan serta penjaga gol pasukan lawan sahaja berada di padang.

Manakala pemain lain pasukan lawan dihantar pulang oleh imigresen bagi memberikan kemenangan mudah kepada tuan rumah.

Tentu sekali Fifa sebagai badan yang menjaga peraturan perlawanan bola sepak piala dunia akan bertindak membatalkan perlawanan atas sebab sebab kemenangan tidak adil.

Kerajaan campuran tidak perlu risau apa-apa kerana mereka sudah amat yakin akan menang.

Cuma, mereka sepatutnya dilihat tidak memberi peluang yang adil kepada pihak lawan untuk berkempen bagi membuktikan proses demokrasi semasa pilihan raya benar-benar berlaku dan bukan sekadar "lip service".

Rakyat seluruh negara kini memerhati saban hari pemimpin kerajaan semenanjung yang tidak ada kena mengena dan tidak berasal pun dari Sarawak tiba di Kuching, Miri dan Sibu tanpa sekatan.

Malah ada pemimpin hadir menghadiahkan beg tangan yang jelas mempamerkan ketidakfahaman isu keperluan asas yang dipentingkan rakyat Sarawak.

Beg tangan yang tentunya tidak boleh dimakan, cuma untuk bergaya semata-mata.

Alangkah baiknya jika kerajaan sementara atau imigresen Sarawak atau SPR berusaha segera membuktikan kepada dunia ketelusan demokrasi berparlimen dengan membatalkan segera kesemua larangan.

Ini termasuk pemimpin apa jua parti, hatta 'parti Tupperware' sekalipun semasa kempen pilihan raya negeri kali ini.


DR SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR seorang peguambela dan peguamcara di Kuala Lumpur.

Pemimpin disekat tampil di Sarawak melalui Skype

Posted: 25 Apr 2016 09:37 PM PDT

MALAYSIAKINI




Meskipun disekat daripada menjejaki kaki mereka di bumi Sarawak, namun ini tidak menghalang pemimpin DAP dari Semenanjung Malaysia untuk muncul di pentas ceramah pembangkang sempena kempen pilihan raya Sarawak ke-11.

Dalam penampilan yang tidak dijangka, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, yang dilarang daripada memasuki negeri ini sejak tahun lalu, berucap melalui Skype pada ceramah yang dihadiri lebih 450 orang di Pelawan, di Sibu malam semalam.

Pua dalam ucapannya menyentuh mengenai deposit berbilion ringgit dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB.

Ceramah itu berlangsung di hadapan sebuah kafe tempatan dengan sebuah lori dijadikan sebagai pentas sementara.

Difahamkan bahawa ceramah Pua melalui skype itu turut ditunjukkan semasa ceramah lain di Kuching, Miri dan Bintulu.

Bagaimanapun, sambungan internet tidak stabil dan kadang kala tidak dapat didengar dengan jelas.

Berikutan itu, ia dipendekkan tetapi pihak penganjur berjanji untuk berusaha melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

Sarawak - Kisah dua wilayah

Posted: 25 Apr 2016 09:34 PM PDT

Dr Ong Kian Ming

 


ULASAN Jika kita berkunjung ke Kuching, Sarawak, kita akan menyangka negeri terbesar di Malaysia itu tidak mempunyai sebarang masalah.

Kedai-kedai kopinya sentiasa dipenuhi pelanggan, hotel-hotelnya sibuk, dan pada waktu petang, dermaganya meriah sekali.

Kesesakan lalu-lintasnya masih boleh dieterima, sekurang-kurangnya mengikut standard Lembah Klang, jalan rayanya juga bersih dan teratur.

Kuching nampaknya menawarkan semua kemudahan bandar besar, tetapi pada rentak hidup yang lebih perlahan dan tenang.

Indikator ekonomi Sarawak menunjukkan ekonomi yang sihat dan inklusif.

Menurut Jabatan Statistik, Sarawak memiliki Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketiga tertinggi dalam negara pada kadar RM119 bilion pada tahun 2014 atau 10.7 peratus daripada jumlah KDNK negara selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

KDNK per kapita Sarawak sebanyak RM44,437 pada tahun 2014 juga adalah ketiga tertinggi dalam negara, mendahului Selangor (RM40,701) dan Pulau Pinang (RM42,186) dan hanya ditewaskan Labuan (RM56,062) dan Kuala Lumpur (RM91,907).

Menurut data Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2014, kadar kemiskinan Sarawak pada 0.9 peratus seakan hampir terbanteras meski garis kemiskinan Sarawak pada tahap RM990 sebulan, lebih tinggi berbanding semenanjung pada RM930 sebulan.

Sarawak menerima RM9.6 bilion pelaburan disahkan dalam sektor pembuatan pada tahun 2014, menewaskan Pulau Pinang (RM8.2 bilion) dan Selangor (RM7.0 bilion).

Pun begitu, di sebalik kesemua angka-angka yang ditonjolkan ini adalah sebuah kisah yang tidak diceritakan. Ia adalah kisah kesenjangan ekonomi dan ketidaksetaraan.

Sementara kawasan bandar di Sarawak nampak seakan kawasan-kawasan bandar lain di semenanjung dari segi pembangunan dan keberhasilan ekonomi, lain pula kisahnya dengan kawasan pedalaman.

Kita mungkin hanya tahu secara anekdot tentang wujudnya jurang bandar-luar bandar di Sarawak, kita mungkin tidak sedar betapa seriusnya jurang tersebut dan bagaimana ia memberi lebih banyak kesan kepada Sarawak, berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Dalam siri tulisan ini, saya ingin menampilkan kesenjangan ini, apa yang saya sebut sebagai kisah dua wilayah - satu wilayah di kawasan bandar Sarawak dan satu lagi wilayah yang jauh berbeza di pedalaman Sarawak.

Harapnya dapat didedahkan sejauh mana angka-angka makro yang begitu menarik tadi telah menyembunyikan realiti akar umbi di negeri terbesar di Malaysia.

Jurang bandar-pedalaman ini sangat penting dalam konteks Sarawak memandangkan 46.2 peratus negeri itu digolongkan sebagai pedalaman / kawasan luar bandar pada tahun 2010 (negeri keempat paling pedalaman) dan 44.4 peratus tenaga kerjanya berada di kawasan pedalaman (tenaga kerja pedalaman ketiga tertinggi di Malaysia). (Lihat Rajah 1 di bawah)

Rajah 1: Peratus Populasi (2010) & Tenaga kerja (2014) di Kawasan Luar Bandar Mengikut Negeri


Sumber: Jabatan Statistik

Daripada pengedaran pengeluaran ekonomi sehingga pembentukan tenaga kerja, daripada hasil pendidikan sehingga akses kemudahan dan infrastruktur, milikan kereta ke daya pengeluaran agrikultur, angka-angka yang ditunjukkan mendedahkan sisi pedalaman Sarawak yang kelihatan jauh berbeza berbanding kawasan bandar.

Malah, ia akan terus berhadapan tekanan ekonomi dan sosial yang signifikan sambil kesenjangan ini berterusan.

Pastinya, saya tidak mahu sekadar menunjukkan kekurangan semasa tanpa mencadangkan beberapa penyelesaian yang mungkin kepada permasalahan ini.

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak nanti, penting untuk kita mengadakan wacana secara matang dan bermaklumat tentang begitu banyak cabaran yang dihadapi orang Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar, dan menilai cadangan-cadangan oleh BN dan juga pihak pembangkang tentang bagaimana cabaran-cabaran ini boleh dan akan ditangani.

DR ONG KIAN MING anggota parlimen DAP Serdang. Beliau boleh dihubungi di im.ok.man@gmail.com.


Vigneswaran angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Negara

Posted: 25 Apr 2016 09:31 PM PDT

BERNAMA




Naib Presiden MIC Datuk S A Vigneswaran hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-17.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abd Halim Abd Samad di Dewan Negara hari ini.

Vigenswaran, 51, dilantik menggantikan Tan Sri Abu Zahar Ujang yang tamat perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara semalam.

Beliau yang merupakan Ketua MIC Bahagian Klang, sebelum ini dilantik sebagai senator pada 23 Jun 2014.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Staffordshire, England dan pemegang Sijil Amalan Guaman, Universiti Malaya.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia itu pernah menjadi Anggota Parlimen Kota Raja, Selangor dari Mac 2004 sehingga Mac 2008 dan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan sepanjang tempoh berkenaan.

Vigneswaran juga pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda MIC pada 2002 dan dipilih tanpa bertanding bagi jawatan itu pada 2003 dan Mei 2006.

Beliau tewas dalam pertandingan untuk jawatan Naib Presiden MIC pada 2013, namun berjaya merebut jawatan itu semula pada pemilihan semula parti itu pada 6 Nov lepas.

Turut hadir majlis angkat sumpah itu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Abu Zahar.-Bernama


Keluarga mangsa culik melutut mohon bantuan

Posted: 25 Apr 2016 09:30 PM PDT

MALAYSIAKINI




P'RAYA S'WAK | Hadirin di ceramah DAP di Pelawan, Sibu dikejutkan oleh anggota keluarga mangsa culik di luar pantai Sabah baru-baru ini, yang naik ke pentas untuk memohon bantuan.

Pengacara majllis memperkenalkan enam anggota keluarga tersebut dan menggesa orang ramai memberi bantuan kewangan untuk membayar wang tebusan.

Tanpa disangka-sangka, salah satu anggota keluarga itu terus melutut, dan diikuti oleh anggota keluarganya yang lain, yang turut mengejutkan pengacara dan hadirin.

Kira-kira 450 orang hadirin kelihatan mengesat air mata ketika anggota keluarga mangsa culik melutut di atas pentas sambil memegang sepanduk memohon bantuan daripada orang ramai.

DAP juga mengumumkan bahawa semua sumbangan di ceramah itu akan diberikan kepada kepada keluarga.

Anggota keluarga mangsa adalah penduduk asal Sibu.

Kemudian, anggota keluarga itu memberitahu bahawa jumlah wang tebusan yang dituntut oleh penculik adalah terlalu tinggi dan meletakkan mereka dalam situasi yang amat sukar.

Beberapa orang hadirin naik ke pentas untuk menyumbang kepada mereka.

Awal bulan ini, empat rakyat Malaysia, Wong Teck Pang, Wong Teck Chi, Wong Hung Song dan Lau Jung Hien telah diculik di perairan Semporna, Sabah.

Lau adalah sepupu kepada Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, manakala Teck Pang dan Tech Chi adalah saudara Lau dan dari Sibu.

Mereka diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Semporna, ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Filipina.

1MDB ingkar selepas gagal bayar AS$50 juta

Posted: 25 Apr 2016 09:27 PM PDT

MALAYSIAKINI




Firma pelaburan negara, 1MDB diisytiharkan ingkar selepas gagal membayar faedah AS$50.3 juta untuk bon berbilion-bilion dolar terbitannya yang dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC), milik Abu Dhabi.

Ini disahkan oleh 1MDB dalam satu kenyataan akhbar hari ini yang menyalahkan IPIC kerana keengganan untuk menunaikan "obligasinya untuk membayar faedah dan juga bayaran pokok untuk, antara lain, nota AS$1.75 bilion pada kadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022, yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited ".

"Disebabkan pertikaian, 1MDB, mahupun anak syarikatnya, 1MDB Energy (Langat) Limited, tidak membuat pembayaran dan kini ingkar setiap syarat-syarat Nota Langat," kata 1MDB.

Straits Times Singapura berkata pengisytiharan ingkar itu "mendedahkan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan hutang lebih AS$6.481 bilion" kepada Abu Dhabi.

Pegawai kerajaan Malaysia yang rapat dengan situasi itu memberitahu Straits Times Singapura bahawa pertikaian membabitkan bantuan kewangan AS$3.5 bilion oleh IPIC kepada 1MDB pada bulan Mei 2012 mungkin berlarutan ke timbang tara atau arbitrasi swasta.

Walaupun 1MDB menegaskan bahawa ia akan memenuhi semua obligasi kewangan yang sedia ada dan mempunyai kecairan mencukupi untuk berbuat demikian, ia tidak membayar faedah AS$50.3 juta itu berikutan dakwaan oleh IPIC bahawa bayaran tertentu dan kewajiban lain yang masih belum ditunaikan.

"1MDB terkejut dengan komen IPIC dan tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa ia telah cuba untuk memenuhi semua tanggungjawabnya kepada IPIC, manakala IPIC menafikan secara umum penerimaan atau pengetahuan tentang pelbagai transaksi kewangan dan / atau jaminan yang dibuat antara kedua-dua pihak.

"Meskipun 1MDB mempunyai dana untuk membuat bayaran faedah, namun sebagai perkara prinsip 1MDB, bahawa adalah tanggungjawab IPIC untuk berbuat demikian. Sehingga IPIC memenuhi semua kewajipannya, 1MDB bertanggungjawab untuk menahan pembayaran dan akan mendapatkan bantuan guaman dan rsolusi. "

PRN saksi pertembungan saudara-mara, anak ganti bapa

Posted: 25 Apr 2016 09:13 PM PDT

SINAR HARIAN


PRN Sarawak
Grafik Sinar Online


KUCHING - Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 turut menyaksikan pertembungan antara saudara-mara, anak menggantikan tempat bapa dan balu bertanding mempertahankan kerusi mendiang suami.
Dua calon akan bertanding mempertahankan kerusi bapa masing-masing.   

Gerald Rentap Jabu, 42, akan bertanding mewakili Barisan Nasional di Layar untuk mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang, selama sembilan penggal, dari 1974.    

Alfred Jabu adalah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Bahagian Pesaka) dan pernah menganggotai Kabinet dua bekas Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yaakub dan anak saudaranya Tun Abdul Taib Mahmud.  

Gerald Rentap merupakan timbalan ketua pemuda PBB dan seorang ahli perniagaan yang memegang berapa jawatan penting dalam beberapa syarikat.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perbankan dan Kewanggan) dari La Trobe University, Victoria, Australia.  

Allan Siden Gramong, 30, merupakan calon BN di Machan menggantikan bapanya Datuk Gramong Juna, 69, yang merupakan ADUN kerusi Machan selama lapan tujuh penggal, dari 1979.    

Allan seorang anggota Parlimen Belia Malaysia yang mempunyai Sarjana Muda Sastera dari Limkokwing University of Creative Technology.

Sementara itu, dua orang balu akan mengikut jejak mendiang suami masing-masing dalam politik.   

Irene Mary Chang Oi Ling, 51, daripada DAP akan bertanding mempertahankan kerusi Bukit Assek yang dimenangi mendiang suaminya Wong Ho Leng pada pilihan raya negeri 2011.  

Datuk Janet Lau, 69, seorang kapitan dan balu kepada bekas timbalan menteri persekutuan Datuk Robert Lau akan bertanding untuk kerusi Pelawan sebagai calon langsung BN.  

Calon BN Datuk Dr Jerip Susil pula akan bertanding bagi kali kedua dengan anak saudaranya daripada PKR Willie Mongin di Mambong (sebelum ini dikenali Bengoh) untuk mempertahankan kerusi yang dipegangi sejak 1996. - Bernama


Terjatuh dari tingkat satu ketika undur kereta

Posted: 25 Apr 2016 09:07 PM PDT

Terjatuh dari tingkat tiga ketika undur kereta


GEORGETOWN - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dinaikinya terjatuh dari tempat parkir di sebuah pangsapuri di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 42 tahun itu hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 7 petang tadi ketika lelaki berkenaan sedang mengundur kereta jenis Chevrolet Optra di tingkat satu, Mutiara Height, Jelutong di sini.

Mangsa dikatakan melanggar tembok batu kawasan parkir berkenaan lalu terjatuh.

Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.


Bilakah hutang negara liabiliti kepada ekonomi?

Posted: 25 Apr 2016 09:03 PM PDT

Bilakah hutang negara liabiliti kepada ekonomi?
 

SEJAK tahun 2009, paras hutang kerajaan persekutuan telah melangkaui paras yang melebihi 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pada tahun 2015, paras hutang kerajaan persekutuan direkodkan sebanyak 54.3 peratus kepada KDNK.
Walaupun paras hutang negara masih berada di bawah siling yang ditetapkan iaitu 55 peratus, wujud kebimbangan di kalangan rakyat tentang tadbir urus fiskal negara.

Persoalannya di sini ialah adakah hutang negara yang tinggi baik untuk pertumbuhan ekonomi? Biar saya jelaskan seperti berikut.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati ekonomi cenderung bertumbuh lebih pantas jika kadar hutang kepada KDNK di bawah paras 41.9 peratus.

Pada paras di antara 42.0 peratus sehingga 54.7 peratus, ekonomi masih bertumbuh tetapi dengan kadar yang lebih perlahan. Sebaliknya jika kadar hutang melebihi paras 54.7 peratus, maka ia berpotensi memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Hubungan di antara paras hutang dan pertumbuhan ekonomi dipengaruhi oleh gelagat tadbir urus hutang negara. Tidak menjadi kesulitan jika hutang negara melebihi tahap siling asalkan hutang tersebut diuruskan secara efisyen dan produktif.

Kadar hutang menjadi liabiliti kepada sesebuah negara apabila hutang tersebut dibelanjakan kepada aktiviti ekonomi yang tidak strategik dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK.

Mengapa tadbir urus hutang negara sangat penting kepada rakyat? Hal ini kerana lebih daripada 90 peratus daripada hutang negara diperolehi daripada sumber dalaman. Jadi ia bermakna secara tidak langsung hutang tersebut dibiayai oleh rakyat.

Kerajaan perlu memastikan setiap Ringgit yang dibelanjakan akan memberi manfaat maksimum kepada rakyat. Jika disandarkan kepada konsep "golden rule", kerajaan perlu memastikan sebahagian besar atau keseluruhan hutang tersebut digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang produktif.

Perlu diingatkan bahawa pengurangan cukai hari ini bermaksud peningkatan cukai di masa hadapan.

Perbelanjaan pembangunan yang produktif memberi pulangan di masa hadapan dan seterusnya memberi manfaat kepada generasi berikutnya. Kita tidak mahu berlaku situasi di mana generasi akan datang menyalahkan kita kerana tadbir urus fiskal yang lemah.

Sebagai penutup, berikut disarankan beberapa pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan tadbir urus hutang yang efisyen dan produktif.

Pertama, perbelanjaan perlu disasarkan kepada sektor ekonomi yang mempunyai kesan pengganda nilai ditambah yang tinggi. Penentuan kesan pengganda yang tinggi perlulah bersandarkan kepada penelitian dan kajian "tulen", dan tidak bergantung semata-mata kepada saranan oleh perunding swasta.

Kedua, perbelanjaan perlu terarah kepada usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang berkompetitif. Hal ini sangat penting bagi memastikan negara tidak terkesan akibat daripada kebergantungan tinggi kepada rantaian aktiviti ekonomi berasaskan sumber.

Ketiga, kerajaan juga perlu mempergiat aktiviti eksport yang mempunyai kandungan import yang rendah. Pulangan daripada eksport boleh digunakan untuk membiayai kos pembangunan negara.

Terakhir ialah ketelusan di dalam tadbir urus perbelanjaan negara. Setiap perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan perlu kepada pertimbangan umum kerana rakyat secara tidak langsung membiayai hutang negara.
 
*Dr Mohd Yusof Saari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia.


Tiada ulasan: