Sabtu, 5 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MAHATHIR TERUS MEREPUTKAN NAJIB

Posted: 05 Mar 2016 05:50 AM PST


shahbudindotcom


Percubaan menggambarkan kedudukan Najib Razak di dalam UMNO semakin kukuh berikutan tindakan Tun Mahathir Mohamad bersama parti-parti pembangkang dan masyarakat sivil menandatangani Deklarasi Rakyat, Jumaat lalu, boleh dianggap sudah tidak bermakna dan perbuatan sia-sia.

Ia mungkin sesuai sekadar untuk mendamaikan jiwa sendiri atau barangkali merupakan "bodek manja" buat Najib semata-mata.
 
 
 
 
Yang sepatutnya diperhitungkan ialah makin kukuhkah kedudukan Najib di hati rakyat selepas ini?

Tun Mahathir, dengan wibawa dan pencapaian cemerlangnya selama ini, amat berpengaruh di kalangan rakyat, khususnya golongan pertengahan serta masyarakat perniagaan.

Tindakannya keluar UMNO pada 2008, walaupun hanya diikuti oleh Siti Hasmah dan Sanusi Junid, telah merudumkan pencapaian BN kepada 140 kerusi dan hilang lima negeri sedangkan keputusan pilihanraya 2004 adalah paling cemerlang dalam sejarah iaitu 198 kerusi Parlimen.

Oleh itu, keluarnya Tun Mahathir daripada UMNO sekali lagi dan kemudian berjaya berpakat dengan parti-parti pembangkang yang sudah pun ada sokongan 52 peratus undi popular untuk terus memberi tekanan kepada Najib, hanya "orang gila" saja yang tidak bimbang dengannya.

Dalam situasi itu, apa ertinya lagi jika Zahid Hamidi dan Abdul Rahman Dahlan ingin terus berbangga kononnya tindakan Tun Mahathir itu menjadikan kedudukan Najib di dalam UMNO bertambah kukuh berbanding sebelumnya.
 
 
 
 
Siapa peduli kalau sekadar kukuh dan padu di kalangan 3.4 juta ahli UMNO sedangkan perhitungan Tun Mahathir kini lebih bertujuan mereputkan lagi kedudukan Najib di kalangan kira-kira 17 juta pengundi. 

Jalan terbaik mungkin dengan mulai belajar menjadi pembangkang pula.


Benarkah Muhyiddin Yassin seorang Umno totok?

Posted: 05 Mar 2016 05:39 AM PST

Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Sedalam mana dan setebal mana sifat dan sikap totok Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Umno? Secara rasminya sudah dua kali beliau menggunakan istilah itu untuk mempamerkan kesetiaan pada Umno.
 
Pertama kali Muhyiddin berkata demikian apabila disergah wartawan apakah beliau akan meninggalkan Umno berikutan pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. 
 
Kelmarin, 3 Mac 2016 ketika mengulas penggantungannya menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno pada Jumaat, 26 Februari 2016 lalu, Muhyiddin dengan bangganya mengulangi beliau adalah Umno totok. 
 
Totok membawa makna setia, sayang yang pasti akan meneruskan perjuangan dan sentiasa bersedia mempertahankan maruah partinya. Justeru kini terpulang pada Muhyiddin membuktikan sedalam mana ketotokannya pada Umno. 
 
Pertama sekali persoalan yang boleh ahli-ahli Umno jati ditujukan pada Muhyiddin adalah, bersediakah beliau berbalah dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed? 
 
Lebih dari itu, sanggupkah beliau menyerang balas kritikan, sindiran dan serangan politik yang dilakukan Mahathir tanpa lelah demi mempertahankan maruah Umno?
 
Pengumuman Muhyiddin bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno kerana ia adalah sebuah parti yang baik pasti teruji dan mengujanya mempertahankan partinya daripada serangan musuh terbesar Umno kini iaitu Tun Dr Mahathir. 
 
Sesungguhnya, Mahathir kini kemaruk mahu menumbangkan Umno. Kini beliau sudah berjaya memujuk dan meyakinkan parti-parti pembangkang bahawa beliau bersedia bersama mereka menjahanamkan Umno. 
 
Mahathir pun bukan bertepuk sebelah tangan. PKR yang ditubuhkan atas dorongan benci terhadap Mahathir kini sudah bersedia berganding dengan Mahathir berkempen menjatuhkan presiden Umno.
 
Cuma yang masih teragak-agak mahu menyertai Mahathir ialah Muhyiddin, yang kini digantung tugas partinya kerana bukan sahaja tidak membantu presiden, Datuk Seri Najib Razak, tetapi mencercanya di khalayak ramai. 
 
Bela parti jika ikhlas
 
Pada 3 Mac (Khamis) 2016, Muhyiddin mengisytiharkan rasa cinta, yakin dan ketaatannya membela partinya. Beliau tidak akan meninggalkan Umno meskipun jawatannya digantung. 
 
Namun keikhlasan dan kesungguhan perisyhtiharannya itu harus dibuktikan dengan ketegasan bahawa beliau akan sentiasa membela partinya jika diperlekehkan oleh pihak luar, tidak kira ia adalah Mahathir atau bukan.
 
Dr Mahathir kini bukan ahli Umno. Beliau sudah meninggalkan parti yang dianggapnya sudah jadi milik peribadi Najib. Beliau kini menyertai pemimpin-pemimpin pembangkang mengatur siasah menundukkan Umno.
 
Jika sayangkan Umno perkara yang perlu dilakukan oleh Muhyiddin ialah menyediakan jawapan dan hujah balas terhadap setiap serangan yang sedang diatur pembangkang. 
 
Soal rasa tidak puas hati beliau terhadap Najib adalah satu perkara lain. Beliau harus sentiasa insaf bahawa soal dalaman parti mesti diselesai dan didebatkan dalam parti. 
 
Kali ini Muhyiddin mestilah benar-benar ikhlas. Dalam sejarah politik moden Johor ada sekurang-kurangnya dua tokoh yang perlu dijadikannya pedoman dalam menyusun strategi dan survivalnya dalam parti. 
 
Tun Musa Hitam adalah satu contoh cemerlang. Meskipun bersengketa dengan Mahathir dan Tengku Razaleigh, beliau sanggup bergabung dengan putera Kelantan itu untuk menentang mudarat lebih besar dalam Umno iaitu Mahathir.
 
Pada perhimpunan Agung Umno pada 1987 beliau tewas kepada regu Mahathir, Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden parti. Namun beliau tidak meninggalkan Umno hingga hari ini. 
 
Seorang lagi pemimpin Umno Johor yang menentang Mahathir ialah Tan Sri Shahrir Samad. Beliau meletakkan jawatannya sebagai ahli Parlimen Johor Bahru untuk memastikan satu pilihanraya kecil diadakan. 
 
Kemudian beliau menawarkan diri untuk bertanding semula menentang calon Umno yang dipilih oleh Mahathir. Shahrir menang dan berjaya memungut markah politik yang besar. 
 
Namun Shahrir tidak pula meninggalkan Umno. Mungkin unsur ini yang dibanggakan oleh pemimpin-pemimpin Umno Johor dan amat berbesar hati mengisytiharkan diri Umno totok. 
 
Tergamakkah Muhyiddin aibkan parti kepada RoS?
 
Bagaimanapun berapa totok kah Muhyiddin sebagai ahli Umno? Ketika beliau mengulangi istilah itu dalam sidang medianya Khamis lalu beliau juga menyatakan mahu merujuk penggantungannya kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
Apakah sikap totoknya tidak dapat mengingatkannya bahawa tindakan merujuk Umno kepada RoS itu akan mempunyai kesan negatif terhadap integriti dan maruah Umno?
 
Tergamakkah Muhyiddin menjerumuskan Umno mengharungi badai politik dalaman seperti yang hampir memusnahkan MIC? Seorang Umno totok pasti tidak akan rela mengaibkan partinya hingga ke peringkat itu.
 
Selain itu, Muhyiddin tidak segan silu menyatakan bahawa beliau menyokong usaha mengadakan sidang di kalangan pimpinan pelbagai parti politik yang dirancang pada 27 Mac. Agenda sidang ialah bagaimana menggulingkan Najib! 
 
Jika benar Muhyiddin ahli Umno totok, beliau juga seharusnya bertindak cara budiman. Jika sasaran kebenciannya ialah Najib, mengapa tidak umumkan sahaja beliau akan menggunakan saluran parti untuk mengalahkan Najib.
 
Muhyiddin boleh menawarkan diri dari sekarang untuk bertanding jawatan presiden apabila ada pemilihan kelak. Sudah tentu ahli Umno akan melihat tindakan ini sebagai kombinasi keikhlasan dan keberanian dan betapa totoknya Muhyiddin. 


Purdah Che Ta disamakan ‘spender roti jala’

Posted: 05 Mar 2016 04:02 AM PST

 
Netizen mempertikaikan purdah yang dipakai Che Ta yang lari daripada tujuan sebenar pemakaian purdah.


che ta


PETALING JAYA: Sudah menjadi lumrah dunia apabila bergelar 'public figure' maka setiap perbuatan dan percakapan akan menjadi tumpuan ramai, tambah lagi jika melibatkan golongan selebriti.

Begitulah yang berlaku kepada selebriti tersohor, Rozita Che Wan atau lebih dikenali Che Ta apabila purdah yang digayakannya mendapat teguran dan kritikan netizen.

Isteri kepada pelakon Zain Saidin itu antara selebriti yang aktif memuatnaik status dan gambar-gambar di akaun laman sosial jadi tidak hairanlah jika Che Ta sering menjadi mangsa kecaman.

Terbaharu Che Ta memuatnaik gambarnya memakai purdah sebelum berangkat menunaikan umrah bersama keluarga.

Namun, niat baiknya itu menjadi sebaliknya apabila netizen mengkritik purdah yang dipakainya yang jarang dan menampakkan muka.

Purdah yang digayakan Che Ta itu agak berbeza dan lari daripada tujuan sebenar pemakaian purdah.
Kesannya, netizen menyamakan purdah yang penutup bahagian muka Che Ta itu dengan 'spender french lace' dan 'spender roti jala'.

Ada juga netizen yang menegur Che Ta lebih mengutamakan berfesyen walaupun mahu mengerjakan umrah.

Apapun purdah Che Ta itu menjadi perbalahan dalam kalangan peminat dan 'haters' Che Ta sehingga ada yang memberi alasan pergaduhan itu kerana bosan dengan politik negara

Pantai barat Sabah juga terdedah kepada ancaman- Ahmad Zahid

Posted: 05 Mar 2016 03:57 AM PST

Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah.


zahid


PETALING JAYA: Ancaman terhadap keselamatan yang sebelum ini terhad di kawasan pantai timur Sabah kini sudah merebak ke kawasan pantai barat negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa cabaran keselamatan di Sabah bukan hanya di pantai timur Sabah tetapi ia telah merebak ke pantai barat.

"Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah. Ini bukan soal main-main. Soal keselamatan bukan main-main. Ini soal ancaman sebenar dalam negara," katanya, lapor Bernama.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Berdasarkan perkembangan berkenaan kata Ahmad Zahid, operasi keselamatan di darat, di laut dan udara juga tidak lagi terhad di kawasan pantai timur Sabah semata-mata tetapi turut diperhebatkan di kawasan pantai barat negeri berkenaan.

Berikutan itu, Ahmad Zahid menggesa supaya pertahanan menyeluruh atau 'handruh' melibatkan kerjasama seluruh lapisan rakyat dan anggota pasukan keselamatan agar tidak seincipun bumi negara ini khususnya di Sabah diceroboh mana-mana pihak.

"Biarpun keberadaan polis dan tentera itu penting, undang-undang punitif dan preventif itu penting, tetapi ketahanan jiwa rakyat itu lebih penting daripada perundangan yang ada dan daripada keberadaan pasukan keselamatan kerana pertahanan yang sebenarnya adalah pertahan menyeluruh atau handruh.

"Kefahaman (berkaitan pertahanan menyeluruh) ini boleh membantu pertahanan fizikal, malah kita boleh membantu pasukan keselamatan sedia ada," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua lapisan rakyat tidak kira dari negeri mana atau asal mereka atas perinsip di 'mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Di samping itu, beliau juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Pusat akan memperthankan kedaulatan Sabah dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak menceroboh negara ini.

Sebagai negeri berdaulat dalam Malaysia beliau menegaskan tidak akan timbul soal tuntutan mana-mana pihak ke atas negeri berkenaan kerana rakyat Sabah, melalui pungutan suara pada tahun 1960-an, sudah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk Malaysia.

"Kewujudan pelbagai akta dan perundangan yang berbentuk punitif dan preventif di negara ini diwujudkan bagi memastikan kedaulatan negara yang dikecapi kini terus terpelihara manakala akta dan perundangan yang sudah menjadi sebahagian daripada perlembangan negara itu wujud adalah hasil suntikan kesedaran rakyat," katanya.

Empat kritikal makan sarapan dicemari kimia

Posted: 05 Mar 2016 03:54 AM PST

 
Daripada kesemua mereka yang berusia dua hingga 71 tahun itu, empat dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, dan Pusat Perubatan KPJ, Ipoh manakala selebihnya di Hospital Batu Gajah.


food-poison


PETALING JAYA: Seramai 37 orang menjadi mangsa keracunan makanan selepas termakan makanan yang dicemari bahan kimia dikenali sebagai organophosphate di sebuah gerai di Siputeh dekat Batu Gajah pada pagi Jumaat.

Daripada kesemua mereka yang berusia dua hingga 71 tahun itu, empat dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, dan Pusat Perubatan KPJ, Ipoh manakala selebihnya di Hospital Batu Gajah.

Kejadian berlaku selepas makan menu sarapan pagi seperti kuih muih, bihun goreng, kuey teow goreng dan nasi goreng yang dipercayai dicemari racun kimia di gerai berkenaan.

"Bomba mengunakan alat yang cukup canggih untuk cuba untuk mengenal pasti kompaun bahan kimia yang mungkin menyebabkan keracunan dan setakat ini kawasan yang diperiksa cukup luas dan pemeriksaan teliti dijalankan memang tiada didapati kebocoran atau gas yang mencurigakan," katanya, lapor Astro Awani.

Gerai yang beroperasi di Siputeh tersebut telah pun diarahkan tutup dan pelbagai agensi ketika ini sedang giat menjalankan siasatan di kawasan sekitar bagi mencari punca kejadian berkenaan.

Orang ramai diminta tidak panik dan mempercayai berita yang sedang diviralkan ketika ini kerana kerajaan negeri telah pun mengambil langkah-langkah keselamatan yang diperlukan.

Beliau memberitahu, 24 daripada 37 pesakit yang terlibat telah pun dibenarkan pulang pada 5 petang Jumaat dan selebihnya dijadualkan akan melakukan ujian kesihatan pada Sabtu.

Gelaran ‘kufur’ Jamal melampau dan tidak wajar – Wan Ji

Posted: 05 Mar 2016 03:35 AM PST

 
Usaha menjatuhkan pemerintah (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) bersama-sama rakan-rakan (pembangkang) bukanlah bercanggah dengan agama.


wan-ji


PETALING JAYA: Ungkapan 'kufur' yang digunakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus terhadap mereka yang mempercayai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak wajar dan melampau.

Penceramah Wan Ji Wan Hussin berkata Jamal seharusnya menarik balik kenyataanya itu kerana bimbang ia akan berbalik kepada Jamal.

"Dalam politik tidak wajar bersikap melampau dan kerana di Malaysia kita mengamalkan demokrasi.

"Usaha menjatuhkan pemerintah (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) bersama-sama rakan-rakan (pembangkang) bukan bercanggah dengan agama.

"Dalam hadis ada menyebut, sesiapa yang menggunakan perkataan kufur kepada yang tidak sepatutnya, bimbang akan balik kepada diri sendiri," katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata, Jamal seharusnya menarik balik kenyataannya itu kerana berpandangan meminta perubahan Malaysia secara aman tidak salah.

Jamal juga dinasihatkan agar tidak menggunakan agama untuk kepentingan politik.

"Dalam hadis, orang-orang melampau dalam agama akan binasa sebenarnya," katanya.

Sebelum itu, Jamal berkata negara akan menghadapi bencana yang teruk sekiranya rakyat percaya dengan 'Deklarasi Rakyat' yang dibentangkan oleh Dr Mahathir.

Jamal berkata, mereka yang percaya dengan Dr Mahathir boleh dianggap kufur kerana tidak bersyukur dengan nikmat negara yang sedang aman.

Roti canai naik harga, lapor segera- KPDNKK

Posted: 05 Mar 2016 03:29 AM PST

 
Kos bagi menghasilkan sekeping roti canai hanya dua sen.


roti-canai-hamzah


LARUT: Pengusaha restoran tidak wajar menjadikan penarikan balik subsidi tepung gandum kegunaan am bagi pek 25 kilogram (kg) sebagai alasan untuk menaikkan harga makanan terutama roti canai.

Ini kerana, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kos bagi menghasilkan sekeping roti canai hanya dua sen.

"Kalau ada yang kata roti canai naik sebab tepung 25kg tak ada subsidi, sila buat laporan dan kita akan ambil tindakan terhadap mereka.

"Kita akan siasat bila restoran itu mula dibuka, kalau restoran itu dah bukavselama lima tahun, jadi kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 adalah sebanyak lima tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Dendang di sini hari ini.

Bermula 1 Mac lepas, kerajaan menarik balik subsidi tepung gandum kegunaan am bagi pek 25kg kerana kebanyakan isi rumah tidak membeli produk saiz berkenaan.

Harga subsidi tepung gandum untuk kegunaan am bagi pek sekilogram pula diteruskan dengan harga runcit kekal pada RM1.35 sekilogram.

Menurut Hamzah, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung kenaikan harga makanan selepas pengurangan subsidi tepung gandum.

"Kita akan memantau dari semasa ke semasa kerana tepung gandum antara bahan utama untuk membuat roti canai," katanya.-Bernama

Utamakan ‘kisah lama’ atau ‘demi masa depan’?

Posted: 05 Mar 2016 03:27 AM PST

 
Pembangkang yang membenci Dr Mahathir kerana sejarah lampau sanggup bekerjasama dengan beliau kerana mahu jatuhkan Najib Razak.


kit-siang-mahathir

'Kisah lama' atau 'demi masa depan'? Berikut adalah salah satu perbincangan yang timbul selepas pelancaran Deklarasi Rakyat semalam, yang menggabungkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang dan NGO.

Semalam, 58 individu daripada pelbagai latar politik dan ideologi berkumpul bagi menandatangani apa yang dinamakan sebagai 'Deklarasi Rakyat', yang mempunyai satu matlamat utama – untuk mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak dan 'menyelamatkan Malaysia' (maaf atas tanda kutip).

Tidak sedikit yang marah apabila melihat pemimpin pembangkang dan NGO ini sepentas dengan Mahathir – sosok yang sekian lama menjadi musuh mereka. Bagi yang marah, mereka telah mengkhianati perjuangan dan melupakan hakikat bahawa masalah sekarang adalah hasil air tangan Mahathir sendiri.

Apatah lagi selepas Mahathir sendiri sehingga sekarang enggan memohon maaf, atau paling kurang mengakui ada membuat kesilapan sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

"Bagi tahu apa yang saya lakukan. Saya tolak dakwaan saya lemahkan badan kehakiman. Badan kehakiman semasa (pentadbiran) saya boleh mengharamkan UMNO," katanya, seperti yang dilapor sebuah portal.

Selamba sungguh jawapannya, kerana badan kehakiman mula dilemahkan selepas itulah. Selepas Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas memutuskan UMNO sebagai pertubuhan haram, Mahathir meminda Perlembagaan untuk mengehadkan kuasa kehakiman. Dan siapa boleh lupa klip video 'VK Lingam'?

Tetapi bagi yang sudah lelah dengan keadaan politik negara, penyatuan tersebut bagi mereka adalah satu harapan baru untuk Malaysia, yang bagi mereka sudah tenat dan selangkah menuju 'negara gagal'.

Bagi Hishamuddin Rais – bekas tahanan ISA dan pernah hidup sebagai pelarian akibat diburu kerajaan – masa depan negara lebih penting berbanding 'kisah lama'.

"Hal-hal (berbangkit) seperti ISA, kezaliman, ketepikan dahulu. Perkara yang lebih besar adalah untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini jelas," katanya ketika ditemui usai pelancaran Deklarasi Rakyat semalam.

Hishamuddin adalah salah seorang yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, kerana terlibat dalam gerakan Reformasi.

Soalan-soalan seputar hubungan Mahathir-pembangkang ketika sidang media semalam mendominasi sidang media, dan kebanyakannya tidak dijawab secara terus-terang.

Ketika wartawan bertanya kepada Lim Kit Siang berhubung kerjasama dengan Mahathir, beliau memberikan jawapan: "Saya alu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit mengatasi apa sahaja (perbezaan)."

Mahathir pula, ketika ditanya sama ada beliau mempercayai pembangkang, berkata, "Itu tidak mengapa. Apa yang penting ialah bahawa kita adalah rakyat Malaysia."

Ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan politik seumpama ini, yang jika dilihat sekali lalu, adalah satu penafian. Tetapi jawapan retorik ada kalanya menunjukkan kejujuran.

Bayangkan jika Lim Kit Siang menyifatkan Mahathir sebagai negarawan ulung, yang di sebalik kelemahannya, telah berjasa besar dalam membangunkan Malaysia. Dan Mahathir pula membalasnya dengan menamakan Lim Kit Siang selaku pejuang sejati, yang tanpa lelah mempertahankan demokrasi.

Sama ada 'the rakyat' suka atau marah, setuju atau bantah, dengan Deklarasi Rakyat, semuanya telah dan akan terus ditumpahkan ke status Facebook masing-masing dan di ruang komen berita-berita, seperti lazimnya. Semuanya betul dan akan berlalu pergi begitu sahaja, juga seperti lazimnya.

Kerana pada akhirnya, rakyat…maaf kerana bercakap bagi pihak kalian, saya perlu kembali kepada banyak hal yang menjadi kebimbangan seharian, masalah-masalah yang hanya boleh ditanggapi diri sendiri. Seperti kata Osman Tikus, "Brader, kita mesti terus hidup."

NGO bidas laporan 1MDB diklasifikasi bawah OSA

Posted: 05 Mar 2016 03:15 AM PST

MALAYSIAKINI




Keputusan Ketua Audit Negara untuk mengklasifikasikan laporan audit berkaitan 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) merupakan satu halangan kepada keadilan, kata sebuah NGO anti-rasuah.

Pengarah eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata langkah itu bertentangan dengan fungsi yang mendasari audit itu sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata langkah melindungi laporan itu di bawah OSA menghalang wacana dan perbahasan terbuka, tetapi yang lebih penting, ia merupakan halangan kepada keadilan kerana mencerobohi peruntukan perundangan dalam pengendalian kes-kes seumpama itu.

Keputusan itu juga bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), yang mana Malaysia telah menandatanganinya pada 2003 dan disahkan pada 2008.

Pasal 5 (1) UNCAC menyatakan bahawa "setiap pihak negeri hendaklah, selaras dengan prinsip-prinsip asas sistem undang-undang... melaksanakan atau mengekalkan dasar anti-rasuah yang berkesan dan diselaraskan, yang menggalakkan penyertaan masyarakat dan mencerminkan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang, pengurusan yang betul hal ehwal dan harta benda awam, integriti, ketelusan dan akauntabiliti."

Oleh itu, tegasnya ia menjadi tanggungjawab Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memastikan siasatan 1MDB adalah telus dan dengan "penyertaan tanpa halangan" anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Sebaliknya, langkah tersebut menghapuskan penyertaan masyarakat, menghalang kedaulatan undang-undang dan menghalang ketelusan dan akauntabiliti," tegas Gabriel.

Ini, katanya, hanya menyerlahkan kontroversi sekitar siasatan 1MDB, dan mencalarkan sistem keadilan Malaysia.

Bekas pegawai tinggi polis buat laporan terhadap AG

Posted: 05 Mar 2016 03:14 AM PST

Zikri Kamarulzaman

 


Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim telah membuat laporan polis terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung dengan derma RM2.6 bilion.

Dalam laporan yang dibuat pada hari Rabu, Mat Zain mendakwa AG disyaki telah "menyalahgunakan kuasanya, menyembunyikan maklumat, dan atau menggunakan keterangan palsu" apabila membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam kes derma tersebut.

Dalam laporannya, Mat Zain telah menganalisis dakwaan Apandi bahawa derma itu datangnya dari seorang putera Raja Saudi untuk membuktikan dakwaannya bahawa AG didakwa telah memberi maklumat palsu.

Memetik senarai Forbes 2013 mengenai individu Arab paling kaya di dunia, Mat Zain berkata, hanya empat orang putera sahaja berada dalam senarai tersebut.

Mereka ialah Putera Alwaleed Talal yang ketika itu dilaporkan mempunyai AS$20 bilion; Putera Sultan Mohammed dengan AS$2.6 bilion; Putera Abdullah Musaad dengan AS$144.5 juta dan Putera Mutaib Abdulaziz dengan AS$110.1 juta.

Daripada empat orang tersebut, hanya Putera Mutaib adalah anak kepada seorang raja, tetapi AS$110.1 juta yang dimiliknya jauh lebih rendah daripada AS$681 juta yang didermakan kepada Najib.

Mat Zain menganjurkan bahawa jika Najib telah memulangkan AS$620 juta kepada pendermanya pada bulan Ogos 2013, maka kedudukan penderma tersebut akan lebih tinggi dalam senarai Forbes.

Bagaimanapun, Putera Mutaib tidak tersenarai dalam senarai Forbes 2014 mengenai orang Arab paling kaya, menjadikan hanya Putera Alwaleed, Putera Sultan, dan Putera Abdullah merupakan kerabat diraja Saudi yang disenaraikan, hujah bekas pegawai kanan polis itu

Yang di-Pertuan Agong rasmi sidang Parlimen Isnin ini

Posted: 05 Mar 2016 03:05 AM PST

MALAYSIAKINI




Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen bagi Penggal Keempat Isnin ini.

Tuanku Abdul Halim, yang akan tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Disember ini, dijadual menyampaikan titah ucapan diraja bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Titah ucapan baginda itu akan dibahaskan oleh anggota kedua-dua dewan bermula dengan Dewan Rakyat pada Selasa ini.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari sehingga 7 April depan, dan Dewan Negara yang turut bersama pada perasmian Parlimen akan bermula pada 18 April dan berakhir pada 4 Mei, iaitu selama 11 hari.

Antara yang menarik perhatian umum pada persidangan kali ini ialah pembentangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bertujuan menambah baik akta berkenaan, merangkumi beberapa perkara termasuk yang berkaitan hukuman dan penalti dengan cadangan hukuman denda lebih tinggi dikenakan.

Selain itu, Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 dan 26 pindaan terhadap 17 undang-undang berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang ditandatangani kerajaan pada 4 Feb lalu akan dibentangkan pada mesyuarat kali ini.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah diluluskan oleh kedua-dua dewan pada Disember tahun lepas, dibawa semula untuk dibahas selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu perlu diperhalusi.

Pindaan akta itu bertujuan memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan.

Selain itu, antara rang undang-undang yang akan dibentang pada persidangan kali ini ialah Rang Undang-undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2015 yang ditangguhkan pada persidangan tahun lepas.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong lai berkata satu sesi khas memperingati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang akan turut diadakan, dengan anggota Parlimen akan diberi peluang memberi ucapan bagi memperingati tragedi malang itu.

Pesawat Malaysia Airlines itu bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Selain itu, PAS yang menunggu perkenan daripada Majlis Raja-Raja masih berharap untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata jawatankuasa teknikal bersama negeri dan Persekutuan berhubung pindaan terhadap akta itu masih belum menerima persetujuan daripada sultan-sultan di beberapa negeri.- Bernama


Jakim mahu dakwah dibuat secara berhikmah

Posted: 05 Mar 2016 03:03 AM PST

SINAR HARIAN


Othman Mustapha
Othman
 
 
PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru para pendakwah menyampaikan dakwah dan ceramah secara berhikmah tanpa menggunakan kata-kata kesat serta membuat kenyataan yang mengelirukan.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata para pedakwah yang ingin menyampaikan kuliah atau ceramah dinasihatkan agar terlebih dahulu mendapatkan kebenaran atau tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Katanya, ini adalah kerana Jakim mendapati ada segelintir pendakwah yang menyampaikan ceramah dengan cara tidak sepatutnya seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina beberapa pihak.

"Mereka (pendakwah) juga mencaci pelbagai pihak termasuk penjawat awam, anggota keselamatan dan sebagainya, sedangkan apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar dan mengguris perasaan pihak-pihak yang dimaksudkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Othman berkata Jakim sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama di negeri-negeri agar peraturan menyampaikan ceramah dan mengajar agama sentiasa dipatuhi.

"Langkah ini bertujuan mengelakkan mereka yang tidak berkelayakan menyampaikan ceramah dan mengajar dengan cara yang tidak sepatutnya serta dapat mengelak perpecahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," jelasnya. - Bernama

Perpaduan Umno masih utuh, kata Ahmad Zahid

Posted: 05 Mar 2016 03:00 AM PST

SINAR HARIAN


Perpaduan Umno masih utuh, kata Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (dua kanan) pada perjumpaan khas bersama UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, Sabtu. Hadir sama Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil (kanan) dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tiga kiri). - Foto Bernama


KOTA KINABALU - Perpaduan dalam kalangan ahli Umno masih kukuh walaupun ada usaha beberapa bekas pemimpin parti itu bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan pucuk pimpinan parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata anggota parti terus utuh mendukung kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun wujud 'deklarasi rakyat' yang dibuat bekas pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan pemimpin daripada pembangkang semalam.

"Umno dan BN menolak persekongkolan itu. Tidak terjangkau di benak fikiran rakyat tentang tindakan yang sebegitu keras diambil oleh tokoh-tokoh berkenaan terutamanya yang berstatus negarawan yang cuba mempengaruhi rakyat untuk menukar barisan kepimpinan negara yang telah dipilih secara sah melalui pilihan raya.

"Ia (deklarasi rakyat) adalah satu tindakan yang tidak masuk akal dan tidak berpaksikan kepada kebenaran," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas bersama barisan kepimpinan Umno Sabah di Bangunan Umno Sabah di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Deklarasi Rakyat satu cabaran politik dalam PRU]

Beliau berkata tindakan mahu menggulingkan kerajaan menerusi sistem di luar perundangan seperti yang berlaku pada deklarasi rakyat adalah lebih kepada kehendak sekumpulan pihak tertentu yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti serta pernah mengetuai parti komponan BN. 

"Tindakan itu jelas mempunyai agenda tersendiri yang tidak sulit untuk rakyat tafsirkan," tegas Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru agar semua ahli Umno dan parti komponan BN tetap bersatu dalam memperkukuhkan ikatan.

"Dalam keadaan inilah, kita di peringkat pusat dan negeri khususnya di bahagian akar umbi perlu berazam untuk memperkukuhkan dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan anggota parti," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata Umno Sabah akan terus menyokong pucuk pimpinan parti.

"Kita terus menyokong dan akan menentukan Umno Sabah terus kuat serta kukuh untuk menghadapi apa juga cabaran yang datang dan yang penting bagi Umno Sabah adalah terus kuatkan jentera untuk menghadapi apa juga keadaan," katanya. - Bernama


Deklarasi Rakyat satu cabaran politik dalam PRU

Posted: 05 Mar 2016 02:54 AM PST

SINAR HARIAN


Suasana pilihan raya
Gambar hiasan


KUALA TERENGGANU - Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri merupakan satu cabaran politik yang perlu dihadapi dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti pembangkang, namun beliau telah pergi ke pejabat PKR dan duduk sebaris bersama pemimpin pembangkang daripada PKR dan DAP.

"Tindakannya itu adalah berlawanan dengan sifat kesetiaan, hormat menghormati dan kesepaduan yang wujud dalam Umno sejak dulu lagi.

"Daripada Perdana Menteri pertama hingga PM Najib sekarang, setiap proses pertukaran itu ada tertibnya, namun tindakan Tun Mahathir yang mengajak pembangkang (menjatuhkan Najib) sedangkan selama ini mereka dianggap musuh politik Umno adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.

"Jika inilah gerakannya, maka kita akan berdepan dengan kumpulan yang sama dalam pilihan raya nanti namun saya yakin dengan kekuatan jentera parti Umno serta Barisan Nasional yang ada kita mampu menghadapinya," katanya mengulas tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan pembangkang dalam kempen Anti-Najib. 

Terdahulu, Menteri Pendidikan itu merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Deklarasi Rakyat tuntut Najib undur]

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pelantikan Perdana Menteri adalah melalui sistem demokrasi berparlimen dan ia telah dilakukan menerusi pilihan raya umum yang sah dan ia perlu dihormati semua pihak.

"Usaha Tun Mahathir itu adalah di luar kebiasaan...pemimpin Umno yang didapati turut menandatangani deklarasi itu boleh diambil tindakan mengikut perlembagaan parti.

"Saya sebagai pemimpin Umno dari Kedah, tetap teguh menyokong Perdana Menteri untuk terus mentadbir negara dan bersama-sama membantu Perdana Menteri untuk meneruskan agenda pembangunan negara," katanya. -Bernama

Perdana Menteri yang korup boleh disingkir dengan cara sah

Posted: 04 Mar 2016 11:34 PM PST

IMG_20160305_134811
Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang korup serta menyalahgunakan kuasa boleh disingkirkan melalui apa sahaja cara asalkan ia bersifat demokratik dan sah mengikut undang-undang. 

Sehubungan itu, DAP membidas kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa hanya pilihanraya merupakan satu-satunya cara untuk menukar kerajaan dan Perdana Menteri, sedangkan kerajaan UMNO-BN sendiri jarang "cakap serupa bikin".

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri dilaporkan berkata demikian ketika memberi respons kepada gerakan "Selamatkan Malaysia" yang menandatangani Deklarasi Anti-Najib semalam bagi menuntut penyingkiran segera Najib.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata terdapat pelbagai mekanisme lain boleh dilakukan bagi menurunkan Perdana Menteri yang menyalahgunakan kuasa, tidak terhad kepada pilihanraya umum sahaja.

"Salah satu cara ialah dengan membawa Najib ke mahkamah melalui Peguam Negara. 

"Jika Peguam Negara menjalankan siasatan dan berpuas hati bahawa Najib terlibat dalam rasuah, beliau tidak boleh terus menjadi Perdana Menteri dan perlu berhadapan dengan kes rasuah di mahkamah," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Najib kini sedang disiasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi seperti dilapor media, justeru beliau boleh diturunkan jika didakwa bersalah.

"Jika FBI memanggil Najib untuk memberi kenyataan di Amerika Syarikat, maka beliau perlu ke sana untuk menentukan sama ada harta dimilikinya terdapat unsur rasuah.

"Takkan rakyat masih mahu pemimpin yang didakwa dengan kesalahan rasuah oleh FBI? Justeru, Najib wajar meletakkan jawatan," katanya sambil menyatakan bahawa situasi sama pernah terjadi di Korea Selatan sebelum ini.

Beliau berkata sekiranya FBI mendapati Najib bersalah atas segala skandal kewangan melibatkannya seperti skandal 1MDB dan skandal derma RM2.6 bilion sebelum ini, satu usul tidak percaya terhadapnya perlu dibentangkan di parlimen.

"Jika Najib sudah didapati bersalah, kita perlulah buat perubahan. Parlimen wajar bentangkan usul tidak percaya terhadap pemerintahan Najib," katanya.

Kit Siang berkata demikian di majlis "Media Disekat, Demokrasi Nazak", sebuah forum anjuran DAP sebagai tanda solidariti kepada portal berita The Malaysian Insider (TMI) yang disekat aksesnya oleh kerajaan Najib.

Sebelum ini, pada 2009, kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan melalui "lompatan" Ahli Dewan Undangan Negeri yang membolehkan BN merampas pentadbiran negeri walaupun tewas sebelum itu dalam pilihanraya umum 2008.

Sejak 2008, beberapa menteri besar BN juga disingkirkan tanpa melalui proses pilihanraya.

Antara panelis lain di forum tersebut ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran; bekas ketua editor New Straits Times, A. Kadir Jasin; peguam, Syahredzan Johan; dan pengasas Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown yang membuat penampilan khas melalui Skype. – Roketkini.com

Sarawak: BN mahu halang ejen PACA melalui permit kerja

Posted: 04 Mar 2016 11:31 PM PST

chong chieng jen
Roketkini.com


KUCHING,  Cadangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak agar sukarelawan Semenanjung Malaysia dikenakan permit khas untuk menjadi ejen pengundian dan pengiraan undi (PACA) untuk pilihanraya negeri akan datang adalah berniat jahat.

PBB yang merupakan komponen Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mengemukakan cadangan itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam satu perjumpaan baru-baru ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata ia merupakan tindakan terdesak dan tidak adil, sama seperti amalan Najib yang mengamalkan politik menekan pihak-pihak yang menegurnya.

"Permintaan sebegini mengarut. Pertamanya, PACA adalah sukarelawan yang memang tidak diberikan gaji. Di dalam peruntukan undang-undang, mereka tidak memerlukan permit kerja.

"Keduanya, kehadiran mereka untuk kelangsungan demokrasi di Sarawak dan sepatutnya digalakkan," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Chieng Jen, beberapa pusat pengundian luar bandar dalam pilihan raya sebelum ini mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi melebihi 90 peratus dan jumlah tersebut amat mencurigakan berbanding peratusan keluar mengundi di bandar yang hanya 70 peratus.

"Kami juga mengesyaki ejen PACA bagi pihak pembangkang telah, sama ada di rasuah ataupun diperdaya dan ditakut-takutkan.  Dengan adanya ejen PACA dari Semenanjung di kawasan-kawasan ini, BN takkan mudah untuk menipu.

"Adakah PBB berasa takut kepada ejen PACA dari Semenanjung yang ditempatkan di kawasan luar bandar ini kerana sukar untuk mereka memanipulasi dan menipu sistem? 

"Adakah ini sebabnya mereka membuat permohonan kepada SPR supaya PACA dari Semenanjung dikenakan permit kerja?" soal beliau. – Roketkini.com

Keluar Umno: ‎Petunjuk Dr M selepas dua tahun menegur

Posted: 04 Mar 2016 11:28 PM PST

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff


KOTA BHARU – Walaupun rata-rata pemimpin masyarakat terkejut dengan tindakan keluar parti yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad tempoh hari, namun sebenarnya ia merupakan tindakan susulan selepas 'petunjuk' yang diberikan sejak dua tahun lalu.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, jangkaan awal sudah dapat dilihat terutamanya dalam tulisan beliau bertajuk 'Menegur' pada 18 Ogos 2014.

"Tulisan itu jelas menunjukkan Mahathir menyebut mengenai keputusan beliau menarik balik sokongan kepada Datuk Seri Najib. Ketika ini alasan yang digunakan oleh Mahathir sangatlah umum, iaitu kerana 'banyak dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara'.

"Seterusnya, dalam tulisan beliau bertajuk 'Umno dan PRU 14' pada 2 April 2015, Mahathir pergi setapak lagi dengan mengumumkan bahawa 'rakyat sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib' dan 'ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar bahawa Umno dan BN akan kalah jika Datuk Seri Najib memimpin Umno hingga PRU 14'," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, penarikan sokongan Mahathir kepada Najib ini ternyata gagal mendapat perhatian dan sambutan ahli serta pemimpin Umno mahupun rakyat umum.

Beliau berkata, tulisan bekas perdana menteri itu yang bertajuk 'Bersih' pada 1 September 2015, jelas menyasarkan Ahli Dewan Rakyat Umno dan BN dengan menyebut, "saya rayu kepada Ahli Dewan Rakyat Umno dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. BN tidak akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti.

"Malangnya, sekali lagi seruan Mahathir itidak mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Rakyat Umno dan BN, maka gagallah cubaan beliau untuk menjatuhkan Najib.

"Malangnya, walaupun pelbagai seruan dibuat, Mahathir masih lagi tidak mendapat perhatian dan sambutan daripada ahli dan pemimpin Umno, malah Najib masih utuh sebagai Presiden Umno selepas berakhirnya Perhimpunan Agung," katanya.

Kamarul yang juga Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berkata, apabila dilihat melalui konteks yang menyeluruh seperti ini, maka tindakan Mahathir keluar Umno adalah tidak lebih daripada luahan kekecewaan ke atas kegagalan beliau untuk mempengaruhi ahli dan pemimpin Umno serta BN untuk menggulingkan Najib.

Malah, Mahathir dilihat terdesak untuk berbuat sesuatu sekarang bagi membuktikan bahawa beliau masih berpengaruh.

Bagaimanapun, jika beliau menjangka bahawa Najib terpaksa meletakkan jawatan ekoran tindakan beliau keluar dari Umno, maka jangkaan Mahathir ini sudah pasti salah.

"Najib bukanlah Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan tidak mustahil keluarnya Mahathir dari Umno ini akan lebih menguatkan kedudukan Najib. Dengan tiadanya Mahathir di dalam Umno, maka Najib tidak lagi berhadapan masalah kewujudan duri dalam daging, berhadapan serangan dari luar adalah jauh lebih mudah daripada berhadapan serangan dari dalam.

"Jika tindakan Mahathir keluar dari Umno dilihat sebagai tamparan kepada Najib, maka bukankah Tun Dr Mahathir sendiri menerima tamparan jauh lebih hebat dulu apabila bukan seorang, tetapi dua orang bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri yang tidak bersama beliau, iaitu Tengku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn? Malang sekali jika saat-saat akhir kehidupan seorang negarawan yang pernah berjasa kepada tanah air tercinta disia-siakan dengan membiarkan diri dipergunakan," katanya.


‘Saya tak kisah #JumpadiPadangMahsyar jadi viral’‎

Posted: 04 Mar 2016 11:24 PM PST

Anak Zahid tidak kisah kritikan di media sosial
Nurulhidayah melancarkan program "Pay-It-Forward" di Pusat Beli Belah Anggerik.


SHAH ALAM - Ikon belia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tidak kisah netizen menggunakan hastag #JumpadiPadangMahsyar di media sosial masing-masing.

Beliau berkata, tidak ada salahnya netizen bersama-sama meriahkan dunia media sosial dengan hashtag tersebut.

"Biarlah mereka nak guna pun (hashtag #JumpadiPadangMahsyar). Itu bukan hashtag saya. Mereka yang wujudkan hashtag itu. Guna sajalah beramai-ramai.

"Apa salahnya kita memeriahkan dunia netizen?" katanya ketika ditemui Sinar Online selepas sidang media pelancaran program "Pay-It-Forward" di Pusat Beli Belah Anggerik, di sini, semalam.

Hashtag  #JumpadiPadangMahsyar mula viral selepas Nurulhidayah mengeluarkan kenyataan untuk menunggu pengkritik bapanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Padang Mahsyar.

Nurulhidayah dipercayai mengeluarkan kenyataan itu selepas akaun parodi Facebook, Amran Fans mencadangkan beliau bekerja seperti operator pusat khidmat panggilan untuk menyahut cabaran bapanya.


JDT layak ke suku akhir Piala FA

Posted: 04 Mar 2016 11:21 PM PST

JDT layak ke suku akhir Piala FA
Safee Sali (kanan) diasak pemain Negeri Sembilan, Annas Rahmat pada Perlawanan Superbest Power Piala FA di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos Larkin.
 
 
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) layak ke pusingan suku akhir Superbest Power Piala FA selepas menang mudah ke atas Negeri Sembilan 4-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos Larkin, di sini, malam ini.

Pasukan pelawat pada babak pertama perlawanan dikejutkan dengan gol pembuka tirai JDT hasil sepakan lambung Aznie Taib dari luar kotak penalti pada minit kelima.

Tindakan pemain Negeri Sembilan mengasari Gary Steven Robart membawa padah apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh Pengadil Perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Mohd Amri Yahya berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekaligus memberi gol kedua buat Harimau Selatan pada minit kesembilan.

Juara Liga Super musim lepas itu terus mengasak pasukan pelawat melalui sepakan leret Azammuddin Akil pada minit ke-15, namun sedikit tersasar keluar.

Sepakan lambung Aznie dari luar kotak penalti sekali lagi hampir menggegarkan gawang gol Negeri Sembilan pada minit ke-33, tetapi tidak menepati sasaran.

Anak buah Gary Michael Phillips membuat beberapa serangan balas, namun sepakan leret Joel Chianese Joseph pada minit ke-38 sedikit tersasar keluar.

Babak kedua perlawanan menyaksikan asakan bertalu-talu anak buah Mario Gomez mencari gol ketiga melalui tandukan Safee Sali pada minit ke-53, namun sekadar melepasi palang gol.

Bagaimanapun, kemasukan Pareyra Diaz serasi berkolaborasi bersama Safiq Rahim sehingga membuahkan gol ketiga JDT apabila tandukannya selepas menerima hantaran lambung Safiq berjaya memboloskan gawang gol pasukan pelawat.

Usaha Negeri Sembilan yang dilihat gigih mencari gol pertama berhasil selepas tendangan kencang Andrew Nabbout pada minit ke-62 berjaya merobohkan benteng pertahanan tuan rumah.

Pasukan pelawat sekali lagi hampir merapatkan jurang gol dengan tuan rumah melalui sepakan leret Mohd Norhafizzuan pada minit ke-79, namun berjaya didakap kemas Mohd Izham Tarmizi.

Beraksi pada masa tambahan dua minit, JDT meledakkan gol keempat hasil sepakan Pareyra Diaz sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan dari Perak.

Minta Najib buka mulutnya luas-luas, boleh tengok jenis apa lidah yang beliau ada

Posted: 04 Mar 2016 11:12 PM PST

ASPAN ALIAS


Mungkin kah Tun Mahathir akan sama keadaannya dengan Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn? Maksud saya Tun Mahathir jika ditakdirkan meninggal dunia beliau tidak berada dalam UMNO seperti kedua-dua bekas Perdana Menteri itu. Kalau begitu hanya Abdullah Badawi sahaja yang akan meninggal berada dalam UMNO, dan Tun Razak meninggal semasa beliau masih dalam UMNO dan masih dalam jawatan Perdana Menteri.


Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn tidak mati dalam UMNO kerana mereka tidak bersetuju dengan penubuhan UMNO Baru ini. Kepada Tunku dan Hussein penubuhan UMNO baru sememangnya dirancang dengan membunuh UMNO lama itu. Tun Mahathir pula meninggalkan UMNO kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri Najib Razak kerana beliau berpendapat UMNO itu sekarang bukan lagi UMNO dan ianya hanyalah parti 'Najib' dan segala identiti UMNO itu sudah hilang dipandang mata. Sifat dan rupa bentuk UMNO itu sudah hilang samasekali dan tidak berguna lagi untuk berada dalam parti itu.


UMNO sekarang terlalu sarat dengan penyalahgunaan kuasa oleh pucuk pimpinannya dan juga setiap peringkat kepimpinannya. Malah pemimpin UMNO sekarang sedang ketagih dengan rasuah dan salah guna kuasa. Jika tidak makan rasuah seolah-olah nya ia bukan lagi pemimpin UMNO. Pendeknya UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar di antara satu dengan lain. Rasuah tidak akan berkembang tanpa UMNO dan UMNO tidak akan berjaya tanpa rasuah dan salah guna kuasa.


UMNO itu merupakan parti yang rendah moral pemimpinnya. Tidak seperti dahulu kala. Pelajaran tinggi tidak berjaya menjadikan seseorang pemimpin UMNO itu berfikir secara baik dan sentiasa memilih kerja 'cari duit luar' yang banyak sebagai perjuangan utama mereka. Kos untuk menanggung pemimpin hari ini amat tinggi dan yang menjadi mangsa adalah perbendaharaan negara. Dulu kita  menganggapkan apabila seseorang itu mempunyai pelajaran yang tinggi mereka akan tahu untuk membuat penilaian kepada diri masing-masing. Tetapi sebaliknya mereka yang belajar tinggi pun akan menjadi bodoh bila menyertai UMNO.


Satu lagi 'attribute' yang buruk dalam UMNO itu ialah sifat kurang ajar pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu sombong bila bercakap. Bila berbahas kerana perbezaan kuasa pemimpinnya bercakap tanpa 'decorum' yang baik.Bukan sedikit di antara pemimpin yang seperti Nazri Aziz dan pemimpin inilah yang diharapkan untuk menyelamatkan bangsa dan agama kita.


Jika benar niat Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib yang paling 'controversial' dalam dunia sekarang ini ia patut disokong ramai. Najib pun bukan lagi melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, di sebaliknya beliau berpusing merata-rata dunia untuk menyelesaikan masalah yang beliau tidak dapat sorokkan lagi. Najib telah berbohong hingga ke Parlimen dan satu pun percakapan beliau tidak dapat dipercayai. Tiada apa lagi yang kita boleh harap dan minta dari Najib sekarang ini. Jika ada pun permintaan ramai sekarang ialah untuk Najib membuka mulutnya luas-luas kerana orang ramai nak tengok apakah jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu.

Semoga Tun Mahathir berjaya dalam usaha membersihkan kerajaan yang ada pada hari ini.

Polis masih belum bayar ganti rugi RM23,000 – Fahmi Reza

Posted: 04 Mar 2016 09:46 PM PST

 
Polis memberi alasan bahawa bayaran itu sepatutnya dibuat oleh Kementerian Kewangan.


Fahmi reza


PETALING JAYA: Aktivis Fahmi Reza mendakwa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih belum membayar ganti rugi kepadanya kerana menahan secara tidak sah pada tahun 2012.

Katanya, ganti rugi itu sepatutnya sudah diterima pada tahun lepas setelah Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Nordin memerintahkan polis untuk membayar RM23,000 kepadanya.

"Saya masih belum terima lagi wang ganti rugi itu. Sepatutnya polis perlu membayar RM3,000 ganti rugi am, RM10,000 ganti rugi teladan dan RM10,000 kos mahkamah yang kesemuanya berjumlah RM23,000.

"Polis memberi alasan bahawa bukan pihaknya yang bayar tetapi pihak Kementerian Kewangan yang perlu bayar. Saya masih menunggu cek daripada polis yang saya percaya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

"Sekarang ini yang lambat bayar bukan pihak polis tetapi pihak Kementerian Kewangan," katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata dia telah menyerahkan kepada pihak peguamnya untuk meminta Kementerian Kewangan mempercepatkan pembayaran ganti rugi itu.

"Sekarang ini peguam saya telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta ganti rugi tersebut," katanya yang kecewa dengan sikap melengah-lengahkan pembayaran itu.

Sebelum ini Fahmi Reza, mendakwa PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperintah membayar ganti rugi kepada beliau kerana menahannya secara tidak sah pada 2012.

Surat berkenaan memaklumkan bahawa pihak DBKL dan polis dikehendaki membayar pampasan berjumlah RM38,000 kepada Fahmi, iaitu masing-masing RM8,000 kerana penahanan salah dan RM30,000 sebagai ganti rugi teladan.

PRK Pagoh, Semporna Mampu Ukur Relevan Umno

Posted: 04 Mar 2016 09:43 PM PST

Oleh: SYED AZHAR
 
 
Datuk Mohd Amar Abdullah
 
 
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal mengosongkan kerusi Parlimen mereka bagi mengukur kekuatan Umno setelah berdepan isu 1Malaysia Development Bhd.

Amar berkata kedua-dua pemimpin itu tidak akan mengalami kerugian sekiranya dengan mengosongkan kerusi mereka.

"Shafie hanya menunggu masa untuk digantung sebagai naib presiden kerana dia semestinya akan bersama dengan Muhyiddin dalam 'roadshow'nya.

"Sekarang ini Muhyiddin adalah ahli Umno biasa manakala Shafie sedang menunggu masa untuk mengalami nasib yang sama jadi mengapa tidak mengosongkan kerusi dan melihat hasilnya.

"Berdasarkan situasi politik Umno ia akan menjadi ujian pengukur bagi parti itu untuk membuktikan bahawa ia masih relevan," kata Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan, pada Jumaat.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, digantung sebagai timbalan presiden Umno minggu lepas manakala Shafie, Ahli Parlimen Semporna, diberi amaran.Muhyiddin berkata, beliau tidak akan keluar daripada Umno.

Amar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah terbaharu oleh Majlis Tertinggi Umno yang sebulat suara bersetuju menggantung Muhyiddin berhubung serangannya terhadap kepimpinan parti.

Beliau berkata pilihan raya kecil yang diadakan jika Muhyiddin dan Shafie mengosongkan kerusi parlimen mereka akan mengukur sejauh mana pengundi akan menyokong Umno.

"Ini adalah perkara yang paling wajar dilakukan dan untuk meninggalkan parti dengan cara terhormat dan bermaruah."

Mungkin bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga perlu mengambil kira untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah," katanya.
 
 

Sekat Laman TMI Kerana Langgar Undang-Undang Negara - Wisma Putra

Posted: 04 Mar 2016 09:41 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman The Malaysian Insider (TMI) bulan lepas kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia, dibuat dengan teliti.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, tindakan itu diambil selepas pertimbangan mengenai kesan terhadap sekatan laman web berkenaan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara ini.

"Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat, namun hak dan kebebasan itu hendaklah diamalkan secara berhemah dan bertanggungjawab," tambah kenyataan itu.

Ia merujuk kepada kenyataan Jabatan Negara, Amerika Syarikat yang bimbang dengan tindakan kerajaan Malaysia menghadkan akses laporan dalam dan luar negara mengenai hal ehwal semasa di negara ini.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara ini serta memelihara nilai dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Malaysia menghargai jalinan kerjasama menerusi Perkongsian Komprehensif dengan Amerika Syarikat yang melambangkan hasrat ikhlas Malaysia mengekalkan kerjasama progresif dan dinamik dalam pelbagai bidang berkepentingan antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Malaysia percaya Amerika Syarikat turut berkongsi hasrat tersebut dan yakin hubungan dua hala berkenaan dapat terus diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi melalui kerjasama yang akrab dan pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu domestik di Malaysia.

Pada 25 Februari lepas, SKMM telah menyekat laman TMI ekoran tindakan portal itu mengeluarkan kandungan yang menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

BN Johor Sokong Kepimpinan Najib

Posted: 04 Mar 2016 09:38 PM PST

Oleh: YEE XIANG YUN
 
 
Mohamed Khaled Nordin.
 
 
JOHOR BARU: Barisan Nasional (BN) Johor menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak disebalik tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani deklarasi menuntut peletakan jawatannya.

Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, negeri itu termasuk parti komponen Umno berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib.

Katanya, BN negeri itu tidak boleh menerima tindakan Dr Mahathir menandatangani deklarasi rakyat menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.

"Dr Mahathir telah meninggalkan Umno dan tindakannya itu tidak dijangka seperti yang kita semua tahu, beliau akan melakukan apa sahaja untuk menggulingkan Najib.

"Namun tindakannya (memulakan deklarasi) amat berbahaya kepada parti kerana ia akan memberi impak pada pilihan raya umum akan datang," katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina Gerakan Johor di Skudai pada Sabtu.

Empat hari selepas mengumumkan keluar Umno, Dr Mahathir telah bekerjasama dengan tokoh utama politik dan pemimpin masyarakat sivil untuk menandatangani deklarasi rakyat bagi menuntut penyingkiran Najib.

Kumpulan tersebut yang terdiri daripada 50 individu termasuk Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung tugas, penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menandatangani deklarasi dalam satu sidang media 'Selamatkan Malaysia' di rumah kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini pada petang Jumaat.

Ancaman Terhadap Keselamatan Sabah Sudah Merebak Ke Pantai Barat - Ahmad Zahid

Posted: 04 Mar 2016 09:36 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Ahmad Zahid (empat,kiri) dan Musa Aman (lima, kiri) ketika menghadiri Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu. -fotoBERNAMA
 
 

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa ancaman terhadap keselamatan yang sebelum ini terhad di kawasan pantai timur Sabah kini sudah merebak ke kawasan pantai barat negeri ini.

"Dahulu, ancaman hanya di pantai timur Sabah, tetapi kawalan keselamatan cukup ketat setakat ini di pantai timur. Cabaran keselamatan di Sabah ini bukan hanya di pantai timur Sabah ia telah merebak ke pantai barat.

"Maklumat risikan mendapati bahawa telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah. Ini bukan soal main-main. Soal keselamatan bukan main-main. Ini soal ancaman sebenar dalam negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan Musa turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC), UMS.

Berdasarkan perkembangan berkenaan kata Ahmad Zahid, operasi keselamatan di darat, di laut dan udara juga tidak lagi terhad di kawasan pantai timur Sabah semata-mata tetapi turut diperhebatkan di kawasan pantai barat negeri berkenaan.

Justeru, Ahmad Zahid mahu supaya pertahanan menyeluruh atau 'handruh' yang melibatkan kerjasama seluruh lapisan rakyat dan anggota pasukan keselamatan perlu diberi roh, suntikan baharu dan kesinambungan bagi memastikan tidak seincipun bumi negara ini khususnya di Sabah diceroboh mana-mana pihak.

"Biarpun keberadaan polis dan tentera itu penting, undang-undang punitif dan preventif itu penting, tetapi ketahanan jiwa rakyat itu lebih penting daripada perundangan yang ada dan daripada keberadaan pasukan keselamatan kerana pertahanan yang sebenarnya adalah pertahan menyeluruh atau handruh.

"Kefahaman (berkaitan pertahanan menyeluruh) ini boleh membantu pertahanan fizikal, malah kita boleh membantu pasukan keselamatan sedia ada," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua lapisan rakyat tidak kira dari negeri mana atau asal mereka atas perinsip di 'mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Beliau turut mengulangi jaminan bahawa Kerajaan Pusat akan memperthankan kedaulatan Sabah dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak menceroboh negara ini.

Katanya Sabah ialah negeri berdaulat dalam Malaysia dan tidak timbul soal tuntutan mana-mana pihak ke atas negeri berkenaan kerana rakyat Sabah, melalui pungutan suara pada tahun 1960-an, sudah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk Malaysia.

Justeru, kata Ahmad Zahid, kewujudan pelbagai akta dan perundangan yang berbentuk punitif dan preventif di negara ini diwujudkan bagi memastikan kedaulatan negara yang dikecapi kini terus terpelihara manakala akta dan perundangan yang sudah menjadi sebahagian daripada perlembangan negara itu wujud adalah hasil suntikan kesedaran rakyat. - BERNAMA

Tiada ulasan: