Jumaat, 4 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Deklarasi Rakyat tiada makna jika tidak ke Parlimen – Haron Din

Posted: 04 Mar 2016 06:38 AM PST

 
Mursyidul Am PAS percaya suara menolak Najib sebagai Perdana Menteri masih perlu menerusi undi tidak percaya.


haron-din


PETALING JAYA: Datuk Dr Haron Din percaya Deklarasi Rakyat dibentangkan Tun Dr Mahathir Mohamad tiada impak jika tidak dibawa ke Parlimen.

Mursyidul Am PAS berkata, deklarasi itu tidak banyak beza dengan gerakan lain menuntut Perdana Menteri melepaskan jawatan yang pernah dilaksanakan.

"Kesannya tidak banyak berbeza jika kita tiada usaha ke arah melunaskan kepada demokrasi iaitu membawa anggota Parlimen yang boleh bersama bawa undi tidak percaya.

"Ia tidak ubah seperti suara yang kita dengar dalam kempen biasa yang mengajak masyarakat menolak kepemimpinan Najib, sekali gus menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada berkuasa," ujarnya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Jelas beliau, suara menolak Najib sebagai Perdana Menteri bukanlah perkara baharu, malah percaya isu itu lama kelamaan akan dilupakan.

"Ia akan habis di tengah jalan dengan berlalunya masa. Suara menolak seperti itu bukan benda baharu, selalu kita dengar, tetapi Najib masih di tempatnya.

"Ini satu lagi suara yang mendesak tetapi tidak juga akan sampai ke mana, melainkan menambah desakan yang selalunya berlaku dalam mana-mana sistem demokrasi," katanya.

Sementara itu, Haron menggesa Najib membuat keputusan berhubung desakan terbaharu itu memandangkan kini banyak desakan mahu beliau meletakkan jawatan.

"Kalau dilihat permasalahan besar dihadapi, terlalu banyak masalah membebani Perdana Menteri, termasuk kredibiliti kerajaan seolah-olah tergugat dan Najib diasak .

"Kita hanya mengharapkan Najib mempertimbangkan dan terpulang kepadanya untuk menyahut dengan mengundur diri. Semakin banyak mendesak, mungkin membawa Najib untuk fikir sendiri dan berundurlah," katanya.

Pemuda Umno gesa pecat Muhyiddin, Mukhriz

Posted: 04 Mar 2016 06:24 AM PST

MALAYSIAKINI


  
Pemuda Umno mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz dipecat susulan penyertaan dalam acara bersama pembangkang hari ini.

Ketua penerangannya Jamawi Jaafar mencadangkan tindakan itu kepada jawatankuasa disiplin dan Majlis Tertinggi (MT) berdasarkan peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno.

"Ingin saya tegaskan di sini cadangan ini bukanlah dibuat secara membuta tuli tetapi setelah menimbang dari pelbagai sudut, sesuatu perlu dikorbankan untuk mempertahankan kesejahteraan dan keharmonian parti dengan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dan menyingkirkan gunting dalam lipatan," katanya.

Muhyiddin dan Mukhriz hari ini menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad dan puluhan pemimpin pembangkang dan NGO bagi mendesak pengunduran perdana menteri dalam sebuah majlis deklarasi menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataannya hari ini, Jamawi menyeru semua pihak dalam Umno menghentikan segera perbalahan kerana percakaran hanya menyebabkan yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang.

"Sebaliknya ia menguntungkan pihak lawan ibarat peribahasa bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang," katanya lagi.

Jamawi berkata ketiga-tiga mereka bersekongkol dengan pembangkang dan oleh itu diminta meninggalkan Umno secara budiman supaya tidak menyebarkan "virus" dalam Umno.

"Tindakan ini seumpama harapkan pagar, pagar pula yang memakan tanaman," katanya.

"Saya melihat tindakan yang dilakukan oleh beliau sebagai tidak berprinsip, hipokrit dan berniat jahat.


 
 
 

Anwar tetap calon PM – Pakatan Harapan

Posted: 04 Mar 2016 06:08 AM PST

Oleh Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) teguh dengan pendirian mengekalkan saudara Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak menggantikan Perdana Menteri (PM).

"Kita tidak pernah berganjak dari ini. Kita sangat jelas dengan agenda pertama iaitu Datuk Seri Najib Razak mesti undur.

IMG_2445

"Kedua, Umno BN mesti ditumbangkan, ketiga Datuk Seri Anwar mesti dibebaskan dan keempat mesti melaksanakan reformasi dengan cara holistik," kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ini susulan kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali layak menggantikan Najib.

Saifuddin dalam pada itu turut menegaskan Pakatan Harapan tidak mempunyai kaitan dengan sidang media yang akan diadakan Mahathir pada hari ini.

Bagaimanapun, katanya PH tidak menolak untuk berjumpa dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja bagi menumbangkan Umno Barisan Nasional dan menyelamatkan Malaysia.

"PH tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir esok (4 Mac) tetapi mungkin ada satu atau dua pemimpin dari PH yang akan hadir atas kapasiti sendiri. Itu inisiatif mereka sendiri.

"Dalam kenyataan Majlis Presiden yang lepas, kita bersedia untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja, bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada parti politik, NGO, individu ataupun kalangan tokoh-tokoh," jelas Saifuddin pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.

Pakatan Harapan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu membentuk sebuah kerjasama pelbagai pihak bagi mendepani isu-isu dalam negara, termasuk ekonomi, perkauman dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

PAC minta rakyat yakin laporan 1MDB

Posted: 04 Mar 2016 04:53 AM PST

SINAR HARIAN


Hasan Arifin
Hasan


KUALA LUMPUR - Rakyat tidak perlu bimbang dan harus yakin dengan syor serta rumusan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, ini kerana laporan berkenaan dibuat oleh anggota PAC yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Hasan berkata PAC akan meneliti laporan akhir berkenaan berserta dengan 10 prosiding terdahulu bagi melengkapkan laporan jawatankuasa sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

"PAC berharap laporan berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB ini akan dapat dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini," katanya.

Hari ini, PAC mendengar pembentangan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara di bangunan Parlimen yang dijadualkan semula pada hari ini dan Isnin (7 Mac) selepas ditangguhkan pada 24 dan 25 Februari lepas.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan bermula Isnin ini dengan majlis perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dalam pada itu, Hasan berkata PAC akur serta memahami keperluan dan tindakan Jabatan Audit Negara  bagi mengklasifikasikan laporan akhir itu sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Ketua Audit Negara mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat demikian bagi menjaga kredibiliti dan integriti jabatan itu," katanya.

Katanya keputusan Jabatan Audit Negara  dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara  dan PAC sendiri.

"Sebagai sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen Malaysia, adalah menjadi keperluan untuk wujudnya pematuhan dan akauntabiliti serta menghormati peruntukan undang-undang yang turut digubal institusi yang sama," katanya.

Katanya, selepas Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB itu dibentangkan ke Dewan Rakyat, terpulang kepada Ketua Audit Negara sama ada perlu untuk membatalkan arahan dokumen rahsia rasmi ke atas Laporan Ketua Audit Negara Terhadap pengauditan 1MDB itu. - Bernama

'Mahathir: 'Kami hadir sebagai rakyat'

Posted: 04 Mar 2016 04:49 AM PST


Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir bersama pemimpin-peminpin lain walaupun berlainan politik mengangkat tangan sebagai isyarat tanda persetujuan sepakat menjatuhkan Najib dalam Majlis menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] "Kehadiran pemimpin parti dan NGO pada Majlis Deklarasi Anti Najib adalah atas kapasiti rakyat dan tidak mewakili mana-mana parti politik," kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mahathir, tujuan majlis deklarasi berkenaan adalah bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melepaskan jawatan yang dipegangnya kini selepas terpalit denggan beberapa isu skandal.

"Kami sebagai warga Malaysia ingin menyatakan kebimbangan terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial dalam negara yang semakin teruk pada masa kini.

"Kami di sini adalah disebabkan oleh kebimbangan terhadap masa depan negara dan bagaimana untuk menurunkan Najib," katanya ketika sidang media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Tan Sri masih kawan dengan Najib tak?' ]

Ketika ditanya adakah beliau mempercayai pembangkang dengan mengadakan kerjasama dengan pihak berkenaan, Mahathir memaklumkan bahawa soal berkenaan tidak timbul memandangkan kesemua pemimpin yang berkumpul pada hari ini adalah atas kapasiti rakyat.

Beliau berkata, pihaknya tidak berkempen bagi melawan Umno namun bertujuan bagi mendesak Najib untuk melepaskan jawatan yang dipegangnya kini.

"Pelbagai kesan telah ditanggung oleh negara ini ketika berada di bawah pentadbiran beliau yang telah membawa kerosakkan di dalam kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Mahathir memaklumkan bahawa deklarasi rakyat berkenaan adalah bagi mendesak Najib untuk melepas jawatannya melalui saluran yang aman dan mengikut undang-undang dibenarkan serta turut menyingkirkan semua pihak yang bersekongkol dengannya.

Selain itu, Mahathir memaklumkan deklarasi tersebut juga turut mendesak pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi dicbawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih.

"Akhir sekali, deklarasi ini turut menggesa agar pemulihan intergriti institusi yang telah dilemahkan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)," katanya.


Kerajaan gesa Dr Mahathir tunggu PRU

Posted: 04 Mar 2016 04:45 AM PST

JPM
Jabatan Perdana Menteri


SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr mahathir Mohamad perlu menggunakan saluran betul sekiranya mahu menukar kerajaan sedia ada.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini berkata, Mahathir perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU)seterusnya kerana ia mengikut undang-undang, demokratik dan memenuhi kehendak rakyat.

"Pada 2013, rakyat Malaysia telah menzahirkan pilihan mereka dengan memilih kerajaan yang ada sekarang dan diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri).

"Jika Mahathir mahu mengubah kerajaan, beliau perlu mengikut proses demokraasi dan menunggu PRU akan datang, selaras dengan undang-undang serta Perlembagaan Malaysia," katanya.

Katanya lagi, tindakan Mahathir hari ini bersama bekas musuhnya menggambarkan niat dan tujuan politik sebenar dan keadaan terdesak mereka.


Sekat The Malaysian Insider demi “kestabilan negara”: Wisma Putra jadikan Malaysia bahan ketawa dunia

Posted: 04 Mar 2016 04:41 AM PST

Lim Kit Siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Malaysia kini menjadi bahan ketawa peringkat antarabangsa berikutan kenyataan tidak matang Wisma Putra semalam bahawa kerajaan terpaksa "menutup" portal berita The Malaysian Insider demi menjaga "keamanan, kestabilan dan keharmonian negara".

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata kenyataan Wisma Putra itu merupakan salah satu kenyataan paling bodoh pernah dikeluarkan atas nama kerajaan Malaysia dalam sejarah 59 tahun negara merdeka.

"Adakah tahap intelek 'pembesar' dalam perkhidmatan awam sudah menjadi begitu terhad dan cetek sehingga kenyataan seperti itu boleh dikeluarkan atas nama kerajaan Malaysia?

"Adakah Wisma Putra benar-benar percaya TMI wajar disekat bagi menjamin keamanan negara, kononnya untuk melindungi amalan, nilai dan budaya pelbagai kaum di negara ini seperti didakwa mereka?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra semalam selepas dikritik oleh kerajaan Amerika Syarikat yang melahirkan rasa bimbang dengan sikap kerajaan Malaysia terhadap kebebasan bersuara.

White House Amerika bimbang dengan sekatan akses kepada laporan tempatan dan antarabangsa mengenai hal ehwal negara.

Selain itu, jurucakap Jabatan Negara AS. John Kirkby, turut menyeru agar undang-undang yang menghormati kebebasan bersuara, termasuk pengaliran idea secara bebas di internet dilaksana dan diraikan oleh kerajaan Malaysia.

Menyifatkan alasan Wisma Putra sebagai tidak masuk akal, Kit Siang berkata, rakyat Malaysia ingin tahu siapa di kalangan Menteri yang percaya dan bersetuju dengan kenyataan itu.

"Sejak bila semangat memerangi rasuah dan skandal kewangan seperti skandal mega berkembar Perdana Menteri menjejaskan 'keamanan, kestabilan dan keharmonian' negara atau membawa kesan buruk kepada 'amalan dan nilai budaya pelbagai kaum' di Malaysia?

"Sebaliknya, semua agama, budaya dan tamadun mendukung nilai dan cara kehidupan yang bersih, jujur​​, beretika dan tanpa rasuah," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoal sama ada kerajaan Malaysia masih berpegang kepada Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ditandatangani 20 tahun lalu yang menjanjikan tiada penapisan di internet.

"Adakah kini kesemua 10 jaminan itu dianggap seperti helaian kertas tidak bernilai oleh kerajaan Malaysia?" soal beliau. – Roketkini.com


Menteri UMNO teruja layanan Saudi kepada Najib tapi tak berani tanya soal ‘derma’

Posted: 04 Mar 2016 04:39 AM PST

limlipeng_M1

Oleh Ahmad Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Layanan kerajaan Arab Saudi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan istimewa VIP dalam lawatannya ke negara itu hanyalah protokol biasa bagi mana-mana pemimpin negara.

Sehubungan itu, layanan mengikut protokol itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengesahkan bahawa "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib datangnya daripada keluarga diraja Saudi yang "baik hati".

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata laporan terbaru The Wall Street Journal menunjukkan keadaan lebih teruk lagi apabila mendapati jumlah yang dimasukkan ke akaun Najib bukannya RM2.6 bilion tetapi RM4.2 billion, malah ia tidak disumbangkan daripada keluarga diraja Saudi itu sebaliknya didakwa melalui pindahan terus melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru, beliau menjelaskan, layanan istimewa terhadap pemimpin sesebuah negara yang melawat adalah amalan biasa, sekali gus tidak perlu digembar-gemburkan untuk membersihkan imej dan nama pemimpin yang menjadi perhatian dunia ekoran penglibatan pelbagai skandal itu.

"Layanan VIP terhadap Najib tak perlu dihairankan, semua kenamaan dan ketua negara yang bertandang ke Saudi menerima layanan serupa. Tidak ada apa-apa yang istimewa tentang layanan yang diberikan kepada Najib. Benda begini boleh Google sahaja.

"Sudah pastilah ketua negara delegasi diberi layanan VIP sesuai dengan pangkat dan statusnya sebagai pemimpin, bukankah ini namanya protokol? Tak ada istimewanya Najib Razak.

"Mungkin pihak Saudi sendiri punya adab untuk tidak memalukan Najib Razak atas tuduhan menerima sumbangan tunai ke akaun peribadi dengan mendedahkan kebenaran mengenai hal tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata demikian sebagai mengulas satu kemas kini laman twitter Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan seperti yang dilaporkan media sebagai berkata: "Jika @NajibRazak menipu mengenai derma Arab Saudi, kenapa keluarga diraja Saudi masih memberinya layanan VVIP dan mengukuhkan pertalian? Boleh @wsj jelaskan?

Mengulas lanjut, kata Lip Eng, penyokong tegar Najib sebaliknya harus menuntut penjelasan daripada kerajaan Arab Saudi mengenai kebenaran laporan WSJ berkenaan dan tidak terus membuat andaian setengah masak terhadap layanan 'istimewa' yang diterima pemimpin nombor satu itu.

"Apalah teruk sangat pemuka-pemuka UMNO BN ini sampai melihat ketua mereka dilayan dengan jambangan bunga dan dapat bergambar dengan monarki Saudi pun sudah begitu teruja.

"Barangkali 'Universiti UMNO' boleh mengadakan kursus protokol dan budi bahasa supaya mereka tidak cepat melompat.

"Lebih baik lagi, apa kata pemimpin BN sendiri bertanya kepada monarki Saudi kenapa pihaknya enggan mengaku bahawa mereka telah memberi 'derma' kepada Najib Razak dan sekaligus membersihkan nama Perdana Menteri." katanya. – Roketkini.com

Berita Terkini WSJ Malaysia Najib Razak Semakin Popular. Imej Malaysia Tercalar, Apa Tindakan Kerajaan Malaysia?

Posted: 04 Mar 2016 04:34 AM PST



Berita Terkini WSJ Malaysia Najib Razak Semakin Popular. Imej Malaysia Tercalar, Apa Tindakan Kerajaan Malaysia?


wsj malaysia


Bukanlah bermakna apa sahaja yang keluar daripada laporan berita mana-mana akhbar dan portal adalah betul dan benar. Dan bukan bermakna apa sahaja kenyataan media yang dilaporkan adalah benar-benar belaka.
Tetapi semacam ada sesuatu yang tidak kena sekarang membelengu negara terutama kepada Perdana Menteri Malaysia kita, Datuk Seri Najib Razak. Ada sahaja imej buruk yang dilemparkan terhadapnya.

Satu demi satu akhbar-akhbar yang cukup berpengaruh di seluruh dunia terus melaporkan berita terkini Najib Razak disebalik isu RM2.6 bilion yang masih belum nampak kesudahannya walaupun Peguam negara kata tiada kes, dalam erti kata lain tiada kes jenayah untuk Najib Razak.

Hakikatnya nama Malaysia terus gah dan mekar di seluruh dunia. Seluruh dunia bercakap mengenai isu ini. Sebut sahaja baik laporan berita terkini Wall Street Journal, Ney York Times, The Economist, Bloomberg, CNBC dan sebagainya.

Malah Wall Street Journal WSJ Malaysia berbesar hati dan berlapang dada memuatkan laporan berita terhadap Najib Razak mengenai isu RM2.6 bilion di muka hadapan akhbar perniagaan mereka. Ini bermakna kalangan tokoh politik, ahli perniagaan, pelabur, taikun kaya termasuk, rakyat marhaen di luar negara "sudah hadam" dengan laporan berita mereka mengenai isu ini.

Tetapi sampai bila? Apa tindakan daripada pihak kerajaan Malaysia? Berpeluk tubuh? Hanya menidakkan dengan hanya sangkaan jahat, fitnah, ada niat jahat dan sebagainya? Sebegitu mudah mempertahankan maruah negara Malaysia jikalau diyakini dikalangan pemimpin politik dan pemimpin negara bahawa terdapat kekuatan kebenaran untuk menidakkan dakwaan demi dakwaan yang dicampak ke bumi Malaysia sekarang ini?

P/S : Ayuh tunjukkan bukti dokumen yang dakwaan berita WSJ adalah tidak benar dan tidak berasas. Segerakan bersih nama Malaysia yang terus tercalar hari ini.

KLIK SINI : Najib Razak Paling Teruk Dalam Sejarah Perdana Menteri Malaysia? Pak Lagi OK? Najib Terlalu Banyak Skandal dan UMNO Kalah PRU!

Muka Hadapan Akhbar Berita WSJ Malaysia Terus Terkenal?

 

Ini contoh-contoh laporan berita melibatkan Najib Razak di WSJ Malaysia dan juga New York Times.

wall street journal wsj wsj najib razak
berita terkini

'Jangan beri talian hayat kepada Umno, BN'

Posted: 04 Mar 2016 01:21 AM PST

MALAYSIAKINI




PAS berpendapat tiada guna mana-mana pihak memberikan "talian hayat" kepada kerajaan sekarang ketika ia dianggap sudah sampai ke penghujung dan kepentingan negara mesti diutamakan.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata apa yang diperlukan kini adalah perdana menteri dan anggota kerajaan yang dibentuknya, ditukar.

"Mereka yang mendakwa sebaliknya mungkin mempunyai hasrat dan niat yang hanya mereka ketahui," kata Iskandar dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata masalah negara tidak akan selesai jika hanya perdana menteri ditukar dan pentadbiran tetap "tidak berlandaskan Islam".

Krisis kepimpinan juga semakin kronik apabila Datuk Seri Najib Razak terus diserang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau pada 29 Februari lalu turut mengumumkan keluar daripada Umno.

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim pula mengumumkan akan mengadakan perhimpunan membantah kepimpinan Najib pada 27 Mac ini.

Dr Mahathir dan timbalan presiden Umno yang digantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengesahkan untuk menyertai himpunan berkenaan.

Abdul Hadi bagaimanapun mengumumkan PAS tidak akan menyertai mana-mana perhimpunan untuk mendesak Najib melepaskan jawatannya.
Menurut Iskandar tuntutan PAS jelas menunjukkan parti itu mahu perdana menteri dan kerajaan UMNO-BN ditukar.
Kerajaan bermaruah adakan PRU

Katanya, rakyat kini tidak lagi percaya kepada penjelasan diberikan kerajaan berhubung kontroversi syarikat pelaburan strategik negara 1MDB dan SRC International.

Iskandar yang juga exco kanan Selangor berkata kemelut politik negara ketika ini hanya dapat diselesaikan dengan pembubaran parlimen dan mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan segera.

"PRU dan kerajaan baru yang akan dibentuk selepasnya akan dapat memulihkan imej negara kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk membersihkan kerajaan daripada pihak yang menjadi bebanan kepada negara.

"Pada hakikatnya rakyat tidak percaya dengan pelbagai penjelasan diberikan walaupun pentadbiran Umno-BN cuba mendakwa bahawa ia masih diterima oleh rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, ADUN Chempaka itu berkata imej negara terus tercalar di dalam dan luar negara.

"Rakyat Malaysia yang keluar negara kerap dihujani pelbagai soalan tentang skandal yang menjadi berita utama," katanya.

Menurut beliau, mana-mana kerajaan bermaruah akan mengadakan PRU bagi membuktikan mereka masih mendapat sokongan rakyat.

"Tetapi adakah pentadbiran Umno-BN sekarang adalah kerajaan yang bermaruah?" katanya.


KETEPIKAN CERITA2 LAMA, BEBAN SEMASA NEGARA IALAH NAJIB

Posted: 04 Mar 2016 01:18 AM PST

shahbudindotcom


Sesuatu yang harus disedari oleh semua pihak mengenai kemelut dalam negara sekarang ialah segala-galanya berpunca daripada hanya seorang manusia iaitu Najib Razak saja.

Negara rosak binasa, nama Malaysia dipandang hina di peringkat antarabangsa, rakyat sengsara dan UMNO semakin menuju ke pusara, tidak lain hanyalah berpunca daripada imej Perdana Menteri yang sudah dianggap tidak merosakkan segala-galanya.

Berbagai-bagai isu yang muncul satu persatu, kelemahan dalam mengurus negara, perlaksanaan undang-undang yang mengelirukan dan jentera awam dimusnahkan berikutan skandal kewangan yang secara langsung dan tidak langsung melibatkan dirinya, sebenarnya merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di ketika era Tun Mahathir misalnya, meskipun banyak isu yang berlaku, namun ia hanyalah berkaitan politik dan kepimpinan, tetapi sekarang ini yang dipertahankan merupakan hal-hal peribadi Najib semata-mata.

1MDB berkaitan dirinya, wang RM2,600 juta (dakwaan terbaru WSJ mendakwa sebenarnya RM4,200 juta) berkaitan dirinya, dana RM42 juga daripada SRC International berkaitan dirinya, Peguam Negara dipecat kerana dirinya, pegawai SPRM diganggu kerana dirinya dan segala-galanya adalah berkaitan beliau belaka.

Oleh itu, dengan kedudukan negara yang begitu buruk, sedianya Tun Mahathir menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang, khususnya setelah perkara itu disambut dengan jiwa besar oleh Anwar Ibrahim sendiri, ia seharusnya diterima dengan lapang dada oleh kita semua.

Ia hakikatnya menggambarkan kedua-duanya, Anwar dan Tun Mahathir sedia melupakan persengketaan politik mereka untuk menyelamatkan negara ini.

Tidak perlu diungkit-ungkit lagi cerita-cerita semalam berkaitan Tun Mahathir atau Anwar di ketika ini. Perkara pokok yang ada di depan mata ialah Najib yang lebih merosakkan negara, bukannya cerita-cerita semalam.

Mengungkit dan membesar-besarkan cerita lama, sesetengahnya pula entah sahih, entahkan tidak, seolah-olah bermakna kira reda dengan segala kerosakan yang ada ini berterusan sampai bila-bila.

Tun Mahathir mungkin ada kesilapan masa lalunya ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, tetapi sekarang beliau sedang menebus segala kesilapan itu untuk kebaikan kita bersama.

Berkaitan Anwar pula, biarlah apa yang berlaku dulu hanya menjadi rahsia Tuhan untuk menentukan siapa benar dan siapa yang salah. Lagi pun, begitu banyak  elemen meragukan semasa perbicaraan yang telah menjadi tatapan seluruh dunia.

Ia bukanlah soal Anwar melakukan dosa tersebut atau sebaliknya, tetapi lebih berkaitan prinsip keadilan. Bukanlah asing kita mendengar begitu banyak tertuduh atas kesalahan membunuh sekali pun yang terlepas daripada hukuman kerana prinsip keadilan yang berjaya diperjuangkan.

Itulah undang-undang dan keadilan jika kita memahaminya. Tetapi ia tentunya berbeza dengan pelbagai isu yang membeliti Najib yang nyata melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, jasa Anwar dalam mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat di negara ini haruslah juga jangan dilupakan. Disebabkan kesediaannya berkorbanlah berlakunya sistem semak yang seimbang yang kukuh sekarang, sedangkan jika Anwar berjiwa "cash is king"  atau "jenis pemakan dedak" dan tidak mengambil kita masa depan negara, sudah tentu senang lenang kehidupannya sekeluarga ketika ini.

Yang penting ialah sokongan dan pengaruh yang dicurahkannya kepada apa yang digerakkan oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Najib. Ingatlah Anwar kini dalam penjara dan sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri atau tidak suatu hari nanti, biarlah masa yang menentukannya.

Namun, yang jauh lebih penting ialah apabila Najib dapat disingkirkan, peluang untuk memulihkan negara ini lebih ternampak jalannya. Sudah tentu apabila Najib disingkirkan, sebuah kerajaan campuran yang baru akan diwujudkan yang merangkumi kumpulan tertentu dalam UMNO dan juga parti-parti pembangkang yang hari ini saling bekerjasama dengan Tun Mahathir.

Tidak mungkin apabila Najib dapat ditumbangkan, wakil-wakil pembangkang ini akan diketepikan begitu saja. Mereka tentunya akan terus mempunyai peranan dalam memulihkan pelbagai kerosakan sistem dan institusi yang diakibatkan oleh Najib.

Kerjasama dan persefahaman ini juga, jika tidak berjaya menumbangkan Najib dalam waktu terdekat, ia turut menjadi pilihan selepas keputusan PRU 14 nanti. Gerakan dan jelajah Tun Mahathir mulai sekarang sehingga pilihanraya akan datang tentunya akan menyebabkan UMNO kehilangan banyak kerusi dan memberi kelebihan kepada parti-parti pembangkang  bersama kumpulan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan.

Dilihat dari sudut mana pun, gerakan Tun Mahathir bersama parti-parti pembangkang ini akhirnya akan menjadikan Najib semakin tiada potensi untuk diundi rakyat. 

Cuma, bilakah kita mahu negara ini dipulihkan?

Jika mahu cepat, segeralah kita semua bangkit menolak Najib mulai sekarang dan jika boleh bertahan setahun dua lagi, tunggulah tarikh mengundi PRU 14 diumumkan.


Sah: Laporan audit 1MDB kepada PAC ditakrif OSA

Posted: 04 Mar 2016 01:08 AM PST

MALAYSIAKINI




Setelah ditangguhkan beberapa kali, laporan akhir siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akhirnya diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini.

Timbalan Pengerusi PAC Tan Seng Giaw mengesahkan bahawa laporan yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Ketua Audit Negara dan pasukannya menyampaikan apa yang mereka jumpai dalam siasatan 1MDB.
Mereka telah klasifikasikan laporan itu mengikut OSA," kata Ahli Parlimen Kepong itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada Ketua Audit Negara menyatakan alasan berhubung takrifan laporan itu sebagai OSA, Tan berkata tidak.

Menurutnya, prosiding hari ini dijangka berakhir pada jam 5 petang ini dan bersambung hingga petang Isnin.

Semalam, dilaporkan bahawa Ketua Audit Negara telah mengklasifikasikan laporan audit itu mengikut OSA.

Terdahulu hari ini, kebanyakan media tidak dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen, iaitu lokasi laporan berkenaan dibentangkan. Hanya media rasmi iaitu RTM dan Bernama yang dibenarkan membuat liputan.

Teks penuh Deklarasi Rakyat

Posted: 04 Mar 2016 01:04 AM PST

MALAYSIAKINI




Berikut adalah teks penuh Deklarasi Rakyat yang dibaca oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis deklarasi anti-Najib hari ini:

1. Kami, warga Malaysia seperti nama-nama berikut ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial datam negara.

2. Kami ingin menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap kerosakan yang telah dilakukan kepada negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak.

3. Di bawah pentadbirannya negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga Indeks Persepsi Rasuah 2015, dari 50 ke 54.

4. Ini adalah kerana dianya percaya yang wang tunai boleh mempastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya bahawa duit adalah segala-galanya-"Cash is King".

5. Peruntukan kepada semua Kementerian dan institusi awam termasuk universiti telah dikurangkan kerana ketandusan kewangan. Walaupun telah diperuntukkan, tidak ada sumber kewangan.

6. Pada tahun 2009, beliau telah menubuhkan satu Dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Fund) bertujuan untuk menjana pendapatan bagi Kerajaan.

7. Dia menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudiannya dibebani hutang sebanyak RM42 bilion yang tidak dapat ditanggung. Tanya tidak lagi menjadi Dana Kekayaan. Sebaliknya Dana Hutang Negara.



8. 1MDB telah meminjam RM20 bilion untuk membeli tiga janakuasa elektrik pada harga yang RM12.1 bilion, melebihi harga pasaran. Walaupun diberi kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang hampir tarnat, syarikat-syarikat janakuasa 1MDB ini telah dijual pada harga RM9.83 bilion dengan kerugian berjumlah RM2.27 bilion.

9. 1MDB juga telah melabur atau meminjamkan sebanyak US$1.83 bilion kepada Petrosaudi International (PSI) Limited diantara 2009 dan 2011 di datam projek-projek dan aset yang tidak wujud. Bank Negara Malaysia telah meminta supaya 1 MDB membawa pulang semula wang tersebut ke Malaysia kerana kebenaran yang diberi untuk pelaburan berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat. Daripada jumlah ini, sebanyak US$1.45 bilion telah secara langsung atau tidak langsung disalurkan kepada syarikat Good Star Limited dan lain-lain syarikat dibawah penguasaan Low Taek Jho.

10. Untuk menutup kehilangan wang tersebut, 1MDB telah melupuskan pelaburan dan Pinjaman ke PSI untuk us$2.318 bilion, dengan mendakwa yang ianya telah membuat keuntungan sebanyak us$488 juta. Bagaimanapun, tidak ada sesen pun daripada jumlah ini yang dipulangkan ke Malaysia. sebaliknya 1 MDB mendakwa yang wang tersebut telah dilabur di datam dana di Kepulauan caymans, yang kemudiannya telah di bongkar sebagai sebuah firma pengurusan pelaburan tidak berlesen. KpMG telah disingkir sebagai juruaudit 1MDB kerana enggan mengesahkan nilai pelaburan dana Caymans yang penuh misteri.



11. 1MDB mendakwa juga yang pelaburan di Kepulauan Caymans ini telah pun ditebus sepenuhnya. Sebanyak US$1.22 bilion telah dilaporkan ditebus pada 5hb November 2014, tetapi telah digunakan pada hari yang sama untuk membayar ganti rugi kepada Aabar Investments PJS. Ini merupakan gantirugi kerana menamatkan opsyen yang diberi kepada Aabar untuk membeli 49 peratus saham di datam syarikat-syarikat janakuasa 1 MDB. Ini merupakan satu penipuan kerana, syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Corporation(IPIC), tidak pun menyebut tentang penerimaan pembayaran tersebut di datam akaunnya yang diaudit dan tersiar di London Stock Exchange. Sebaliknya akaun IPIC menyebut bahawa 1MDB terhutang sejumlah US$481 juta kepadanya kerana penamatan opsyen tersebut.

12. 1MDB juga telah mengambil hutang berjumlah US$975 juta daripada konsortium Deutsche-Bank pada bulan September 2014, untuk tujuan yang sama iaitu membayar ganti rugi kepada Aabar. Akhbar the Wall Street Journal membongkar bahawa wang tersebut telah digunakan untuk membayar pihak lain di British Virgin Islands yang mempunyai nama yang lebih kurang sama iaitu,"Aabar Investment PJS Limited", yang dimiliki oleh pihak yang tidak ada kena mengena dengan IPIC. Penipuan licik ini telah berjaya memperdayakan juruaudit 1MDB, Deloitte Malaysia yang mempercayai bahawa bayaran telahpun diterima Aabar kepunyaan IPIC.

13. 1MDB mengumumkan bahawa ia telah membuat tebusan kedua dan terakhir berjumlah RM1.1 bilion daripada pelaburan di kepulauan Cayman pada bulan Januari 2015. Pada mulanya Perdana Menteri memaklumkan kepada Parlimen bahawa jumlah tersebut telah dimasukkan ke datam Bank BSI di Singapura. Dua bulan kemudian, pada bulan Mei 2015, dia memberitahu Parlimen bahawa, ianya bukanlah di datam bentuk wang tunai, tetapi aset. Kemudian, dijelaskan pula yang aset-aset ini merupakan"unit"yang bermakna bahawa tanya tidakpun ditebus. Ini membuktikan yang 1MDB dan Perdana Menteri telah berulang-kali menipu rakyat Malaysia. Ianya juga bermakna bahawa wang yang dilaburkan di datam Petrosaudi yang kemudiannya dilabur semula di Kepulauan Caymans, masih lagi hilang dan tidak dapat diperakukan.



14. Seorang bekas naib ketua bahagian UMNO Batu Kawan telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan sejumlah wang yang besar oleh 1MDB. Tiada sebarang siasatan dilakukan polis. Sebaliknya pengadu telah disoal-siasat polis, ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas)2012(SOSMA)kerana mensabotaj ekonomi negara. Peguam beliau juga ditahan dan didakwa dibawah Akta yang sama. Ini menakutkan sesiapa sahaja yang ingin melapor pada Polis berkenaan dengan 1 MDB.

15. Akhbar Wall Street Journal melaporkan yang Najib mempunyai US$681 juta Dolar di datam akaun peribadinya di Ambank.

16. Najib pada mulanya menafikannya, tetapi kemudian mengakui bahawa dianya mempunyai sejumlah wang yang banyak di datam akaun peribadinya, Dia mendakwa menerima derma dari seorang Arab, kemudian ianya menjadi derma untuknya memenangi Pilihanraya Umum ke-13 kemudian pula menyatakan ianya adalah kerana dedikasi beliau menentang keganasan. Dia kemudiannya mendakwa menerima duit berkenaan daripada seorang Putera Raja Arab Saudi, dan kemudian daripada Raja Arab Saudi yang telah mangkat.

17. Kemudian seorang Menteri Arab Saudi menyatakan bahawa tidak terdapat apa-apa rekod berkenaan sebarang hadiah daripada Arab Saudi. Beliau mencadangkan bahawa wang tersebut mungkin merupakan peaburan. Tetapi jumlahnya kecil.

18. Najib menyatakan hasrat untuk menyaman Wall Street Journal di mahkamah tetapi dia tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya dia meminta peguamnya bertanya kepada Wall Street Journal kenapa akhbar itu menyiarkan laporan tersebut.



19. Hingga ke hari ini WSJ berterusan mengeluarkan laporan demi laporan dengan fakta terperinci berkenaan dengan duit sejumlah US$681 juta yang terdapat di datam akaun peribadinya. Dianya masih tidak mengambil tindakan saman terhadap WSJ, sesuatu yang boleh dilakukan di negara di mana WSJ diterbitkan.

20. Khuatir dan syak dengan jumlah wang banyak dalam akaun peribadi Najib, satu pasukan petugas ditubuhkan di Malaysia untuk menyiasat sumber wang tersebut. Empat institusi Kerajaan terlibat, Polis Di Raja Malaysia, Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

21. Belumpun pasukan petugas berjaya selesaikan penugasan mereka, Peguam Negara disingkir oleh Najib atas alasan beliau sakit dan tidak mampu meneruskan tugasannya. Secara terang Najib telah memberi gambaran yang tidak benar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Tuanku bagi menggantikan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dilumpuhkan apabila pengerusi serta beberapa ahlinya dipindahkan oleh Najib bagi menghalang penyiasatan keatas 1 MDB. Pengerusi baru, kenalan Najib dilantik dan beliau secara spontan menyatakan yang Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

22. Najib kemudian melantik Peguam Negara baru. Peguam Negara baru menolak cadangan Bank Negara untuk tindakan diambil sambil mendakwa yang tidak ada apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan bahawa Najib melakukan kesalahan.

23. Rayuan Bank Negara tidak diendahkan.

24. peguam Negara yang baru juga menolak lagi satu laporan daripada SPRM. Kandungan laporan tidak didedahkan dan ancaman dibuat terhadap pendedahan laporan tersebut.



25. peguam Negara baru juga tanpa penjelasan yang munasabah menolak cadangan dari dua institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran datam bidang mereka.

26. penolakan ini juga menghalang perkara tersebut dibawa ke mahkamah di mana semua bukti dapat diketengahkan dan dibicarakan. Dengan ini Peguam Negara memain peranan sebagai pendakwa dan juga hakim. Proses undang-undang terhalang.

27. Timbalan Perdana Menteri yang disingkir kemudian mendedahkan yang peguam Negara yang lama telah menunjuk bukti kesalahan yang dilakukan Najib bersangkutan skandal- skandal tersebut. Di masa yang sama, beberapa agensi Kerajaan asing, iaitu Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Britain, telah memulakan siasatan ke atas 1MDB.

28. Akhbar di Malaysia ditapis menyebabkan rakyat lebih bergantung kepada laporan media asing. Tetapi apabila rakyat berbincang atau menulis berdasarkan laporan media asing, Kerajaan menerusi Ketua Polis Negara menjemput sesiapa sahaja untuk membuat laporan polis agar polis dapat menjalankan soal siasat terhadap orang itu.

29. Ini bercanggah dengan kegagalan polis menyiasat laporan polis yang dibuat terhadap Najib, Jho Low dan laporan Bank Negara dan SPRM kepada Peguam Negara. Peguam Negara juga mengugut untuk jatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan terhadap sesiapa yang bertindak membocor maklumat Kerajaan. Ini bermakna yang kesalahan jenayah di datam pentadbiran Kerajaanpun akan dilindung daripada pengetahuan awam.



30. Peguam Negara mengumumkan bahawa sebahagian daripada sejumlah RM2.6 bilion (sebanyak RM2.3 bilion)telah dipulangkan kepada Arab Saudi. Selain daripada kenyataan ini tiada bukti lain yang dikemukakan.

31. Rakyat juga semakin menderita.

32. GST yang dikenakan Najib, kenaikan kadar tol lebuhraya, kesemuanya mengakibatkan kenaikan kos sara hidup, memaksa perniagaan ditutup, menyebabkan industri kepunyaan asing menghentikan operasi dan berpindah kepada negara lain. Ini mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.

33. Walaupun rakyat membantah, Najib tetap menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik(TPP)Amerika yang mengikis hak kita untuk membuat dasar dan undang-undang yang sesuai bagi negara kita.

34. Hari ini imej Malaysia amat buruk sekali. Selain diklasifikasikan antara 10 negara terburuk mengamalkan rasuah, Malaysia juga dianggap tidak demokratik. Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan rakyat hidup datam ketakutan ditangkap dan ditahan. Akta Majlis Keselamatan Negara digubal untuk memberikan Perdana Menteri dan bukan Yang di-Pertuan Agong kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan dimana sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan tanpa bicara dan didakwa dibawah prosidur yang melanggar batas keadilan yang diterima.

35. Sebaliknya pula jika berlaku kesilapan datam penggunaan Akta ini oleh pegawai Kerajaan, atau di mana terdapat salahguna kuasa, rakyat tidak boleh mengambil apa bentuk tidakan terhadap mereka. Whistleblowers, atau pemberi maklumat, diganggu dan dihukum, dan bukannya diberi perlindungan. Undang-undang lain digunakan yang menyekat kebebasan bersuara menegur salahlaku. Hak asasi yang termaktub di datam Perlembagaan persekutuan tidak lagi membawa apa-apa makna.



36.0leh kerana sebab-sebab ini, kami rakyat Malaysia seperti yang tertera bersetuju dan menyokong
a) penyingkiran Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.
b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya
c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang Jetas metanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan
d) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC

37. Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, ugama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Dato Seri Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integrity institusi-institusi nasional.

Tandatangan rakyat


Dr M: Ini untuk M'sia, bukan Umno

Posted: 04 Mar 2016 01:00 AM PST

MALAYSIAKINI



LANGSUNG

4.43pm: Maria Chin berkata, beliau hadir bukan sebagai pengerusi BERSIH tetapi individu.

Beliau juga menegaskan bahawa apa yang penting adalah untuk masa depan Malaysia dan bukan untuk mengenang tentang kesilapan sesiapa sebelum ini

"Kita telah lakukan kesilapan dan kita berada di sini untuk memperbaiki kesilapan dan bukan untuk menceritakan tentang perkara 10 tahun lepas.

"Kita di sini untuk masa depan yang lebih bagus," kata Maria.

4.40pm: Dalam sidang media hari ini, Mahathir menegaskan kehadirannya hari ini bukan untuk berjuang bagi menyelamatkan Umno sebaliknya demi Malaysia.

"Tak ada kaitan dengan Umno dan parti. Ini adalah mengenai Malaysia dan saya bimbang tentang masa depan Malaysia," katanya.

4.05pm: Tandatangan deklarasi kini dilakukan oleh pimpinan yang hadir.

Ia dimulakan dengan Mahathir, Siti Hasmah, Azmin, Leong Sik dan Muhyiddin.

Selepas itu ia diikuti dengan Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Mukhriz, Ambiga dan Mustafa.

3.35pm: Mahathir berkata, kehadiran mereka pada hari ini bukan mewakili mana-mana parti sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang mengambil berat dan bimbang dengan keadaan negara.

Atas sebab itu, mereka semua tanpa mengenal parti politik, agama dan bangsa bersatu pada hari ini bagi memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.

"Hari ini penting kita sebagai rakyat Malaysia nak melahirkan kebimbangan dan kesedaran tentang apa yang berlaku di negara ini.

"Kami tak wakili parti, NGO dan kami adalah rakyat Malaysia," katanya.
Malah bekas perdana menteri itu berkata lagi, kesedaran untuk mereka bersama pada hari ini adalah disebabkan kebimbangan yang dilahirkan oleh rakyat Malaysia terhadap kepimpinan Najib.

"Rakyat Malaysia bimbang dan melahirkan pendapat mereka. Mereka datang kepada kami dan minta tolong lakukan sesuatu.

"Kami semua bersetuju bahawa negara ini dipimpin oleh seseorang yang lakukan kerosakan terhadap negara dan jika dia tak disingkirkan, kerosakan ini akan lebih teruk.

"Kami bersatu dengan satu isu iaitu Najib perlu disingkirkan sebagai perdana menteri Malaysia. Itu apa yang menyebabkan kami bersama," katanya dalam sidang media hari ini.

3.37pm: Mahathir berkata rakyat Malaysia bimbang berkaitan apa yang berlaku di negara ini tetapi bercakap dengan suara yang berbeza.

Mahathir berkata negara ini ditadbir oleh pemimpin yang melakukan banyak kerosakan kepada negara.

3.35pm: Mahathir bangun membaca ringkasan deklarasi anti-Najib.

3.18pm: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah masuk ke bilik sidang media di Rumah Kelab PAUM. Turut hadir ialah tokoh wartawan Datuk Kadir Jasin.

Ketika Mahathir tiba para penyokongnya melaungkan "Hidup Tun".

Sementara itu, seorang lagi anggota PAS Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Khairuddin Aman Razali turut menghadirkan diri pada majlis deklarasi anti-Najib pada hari ini walaupun parti Islam itu semalam mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyokong deklarasi tersebut.

Suasana dalam bilik sidang media kini sesak - dipenuhi oleh pemimpin pelbagai parti pembangkang dan NGO serta puluhan wakil media yang kini sedang menanti kehadiran Mahathir ke dalam bilik tersebut.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teresa Kok telah tiba bagi menghadiri majlis tanda tangan itu.

3.15pm: Mahathir dan isterinya Tun Siti Hasmah sampai ke lokasi disambut tepukan orang ramai.

3.02pm: Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustapha Ali ketika ditemui Malaysiakini berkata, kehadirannya pada hari ini atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.

Katanya, beliau mendapat jemputan atas namanya untuk menghadiri majlis hari ini dan bukan parti.

"Saya datang sini secara peribadi. Jemputan atas nama saya," katanya tersenyum.

Ditanya sama ada beliau tidak bimbang sekiranya diambil tindakan oleh PAS, Mustapha berkata:

"Perkara itu tidak berbangkit. Tak adalah (dipanggil). Saya datang sebab saya dijemput atas nama saya," katanya lagi.

PAS semalam memutuskan tidak menyertai acara itu.

3pm: Pemimpin lain kelihatan setakat ini:
  • Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Datuk Zaid Ibrahim
  • Datuk S Ambiga
  • NGO antirasuah C4 Cynthia Gabriel
  • Naib Presiden PKR Tian Chua
  • Presiden AMANAH Mohamad Sabu
  • Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali
2.57pm Salahuddin meminta orang ramai melupakan perbezaan sesama sendiri untuk satu misi bersama.
"Ini satu sejarah negara," katanya.

2.45pm: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub dan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sudah kelihatan sudah hadir.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar dan wakil PKR Kamaruddin Jaafar juga sudah hadir.

4.41pm: Menjelang sidang media 3.30 petang ini yang dinanti-nantikan banyak pihak, petugas media mula hadir ke acara di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu sedikit demi sedikit.

Kelihatan tempat sidang media yang dikatakan akan membariskan bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang itu telah disediakan.

Kira-kira 50 kerusi telah disusun untuk acara itu dengan 15 kerusi di bahagian depan dan lainnya di belakang.

Latar belakang bendera Malaysia dengan perkataan "Selamatkan Malaysia" dihias di pentas. Kelihatan juga individu memakai baju bertulis "I Support Dr M" (Saya sokong Dr M).

Sidang media hari ini bertujuan menyatakan deklarasi menolak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia juga menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kali dalam sejarah Mahathir, bekas presiden Umno, akan mengadakan sidang media bersama pemimpin pembangkang.

Siapa status 50 pemimpin itu masih menjadi tanda tanya. Selain pembangkang, berapa banyak pemimpin Umno dan BN akan terlibat sama?


Gempa bumi lemah landa Lahad Datu

Posted: 04 Mar 2016 12:51 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.5 pada skala Richter melanda Lahad Datu di Sabah pada pukul 8.43 pagi Jumaat, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
 
MetMalaysia dalam satu kenyataan di sini berkata kawasan yang dilanda gempa bumi itu terletak kira-kira 35 kilometer tenggara Lahad Datu.
 
Pusat gempa berada di 4.9 darjah utara dan 118.6 darjah timur.
 
"Gegaran mungkin dirasai di Lahad Datu," kata kenyataan itu.
 
 

Bekas pegawai khas Khalid Ibrahim dipenjara, disebat

Posted: 04 Mar 2016 12:42 AM PST

 
Mahkamah Rayuan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.


Mohd Yahya Mat Sahri,


PUTRAJAYA: Bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Rayuan atas dakwaan menipu.

Mahkamah Rayuan juga mengenakan hukuman dua sebatan rotan kepada Mohd Yahya Mat Sahri selepas dia gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu.

Panel tiga anggota Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menolak rayuan Mohd Yahya berkaitan sabitan kesalahannya, hukuman penjara dan sebatan bagi pertuduhan pertama menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Abdul Karim Munisar.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Abdul Karim dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa sekretariat Pakatan Rakyat sedang mencari penaja bagi sambutan 100 hari pakatan itu memerintah dan dengan curangnya mendorong beliau untuk memberi kepadanya RM50,000 sebagai sumbangan, di Gardenia Coffee House Hotel Quality di Shah Alam pada 4 Jun 2008.

Bagaimanapun, panel itu menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Mohd Yahya atas pertuduhan kedua menggunakan dokumen palsu iaitu 'Resolusi Pembukaan Akaun bagi Parti Keadilan Rakyat Selangor", sebagai tulen di sebuah bank di Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Keputusan sebulat suara panel hakim itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Rahman Sebli. Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Harmindar Singh Dhaliwal.

Dalam keputusannya, Abdul Rahman berkata, Mahkamah Tinggi adalah betul dalam keputusannya bahawa elemen penipuan diwujudkan dan ia (Mahkamah Tinggi) bertindak betul dalam keputusannya bahawa Mohd Yahya bersalah bagi pertuduhan pertama.

Beliau berkata, Mohd Yahya tahu bahawa sambutan itu ditaja oleh Kerajaan Selangor dan bukan oleh PKR dan dia menyembunyikan maklumat itu daripada Abdul Karim.

Hakim Abdul Aziz memerintahkan Mohd Yahya supaya memulakan hukuman penjaranya hari ini. Mohd Yahya diikat jamin RM15,000 sementara menunggu rayuannya itu diselesaikan.

Di dalam kandang tertuduh, Mohd Yahya, 47, yang memakai sut hitam, kelihatan terkejut selepas mendengar keputusan mahkamah.

Pada 27 Jun 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskannya daripada pertuduhan pertama dan mensabit kesalahan serta menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan rotan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Okt 2013 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu.

Mohd Yahya diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan Aida Adhha Abd Bakar mewakili pendakwaan.

PAS kena virus ‘otak udang’ sebab intim dengan UMNO

Posted: 04 Mar 2016 12:37 AM PST

 
Janganlah PAS ikut jejak langkah UMNO dengan membuat kenyataan tidak berasas serta tidak cerdik, kata Khairuddin.


khairuddin-pas

PETALING JAYA: Datuk Khairuddin Abu Hassan meluahkan rasa bimbangnya setelah melihat penyakit 'minda lemah', 'otak udang' yang ada dalam UMNO semakin merebak dalam PAS.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berkata, keintiman yang dijalinkan antara PAS dan UMNO kini semakin terserlah.

"Saya amat takut kerana ramai tokoh pemimpin PAS yang begitu intim dengan tokoh pemimpin UMNO telah menyebabkan virus penyakit 'minda lemah', 'otak udang' majoriti pemimpin-pemimpin UMNO sedang menular berjangkit kepada tokoh-tokoh PAS pula," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairuddin berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan Tantawi yang menyifatkan serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai serangan peribadi.

"Pada hemat peribadi saya, Nasruddin selaku Ketua Penerangan PAS tidak faham isu polemik yang sedang melanda negara kita masa kini dan agak ketinggalan zaman.

"Di saat seluruh dunia sedang memerhati pelbagai kes rasuah serta penyelewengan, Ketua Penerangan PAS boleh kata perjuangan Dr Mahathir berteraskan kepentingan peribadi.

"Ini membuktikan PAS telah hilang hala tuju perjuangan untuk membela bangsa, agama mahupun negara kita ini," tegasnya.

Sehubungan itu, Khairuddin menasihatkan Nasruddin membuat kenyataan yang ilmiah dan realistik agar PAS tidak kelihatan dungu.

Peniaga kini rebut tepung satu kg

Posted: 04 Mar 2016 12:30 AM PST

 
Bekalan tepung satu kg sememangnya tidak mencukupi sebelum kerajaan mengumumkan penghapusan untuk tepung 25 kg.


tepung


PETALING JAYA: Para peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan didakwa telah menyasarkan pembelian tepung satu kilogram susulan pemansuhan subsidi untuk tepung gandum 25 kilogram (kg).

Disebabkan itu pasar raya besar dan pasar raya kini telah kekurangan bekalan gandum berkenaan.

Bercakap kepada Sin Chew Daily, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang Runcit, Hong Chee Meng berkata, bekalan tepung satu kg sebenarnya memang tidak mencukupi sebelum kerajaan mengumumkan penghapusan untuk tepung 25 kg.
Kini jelas beliau, dengan berlakunya pemansuhan subsidi tepung 25 kg, ia secara tidak langsung telah mengeruhkan lagi keadaan.
Bagaimanapun beliau memberitahu, masalah yang berlaku itu boleh diselesaikan sekiranya kerajaan turut memansuhkan subsidi untuk tepung satu kg sebagai mengelak fenomena merebut tepung.

Sebelum ini katanya, peniaga pernah mengadakan dialog sebanyak beberapa kali dengan kerajaan untuk membincangkan isu harga tepung satu kg, namun semua perbincangan itu tidak berhasil.

Ahmad Zahid setuju kerajaan campur tangan kawal harga rumah

Posted: 04 Mar 2016 12:21 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju kerajaan campur tangan berhubung urusan mengawal harga rumah untuk kebaikan golongan berpendapatan rendah.
 
"Saya setuju kerajaan campur tangan urusan kawal harga rumah...tidak biarkan dikuasai kuasa pasaran untuk kebaikan golongan berpendapatan rendah," katanya dalam laman Twitter beliau, semalam.
 
Pada Rabu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bersetuju meneliti semula Dasar Perumahan Negara terutama berkaitan aspek harga hartanah itu yang dicadang ditentukan kerajaan, bukan semata-mata oleh aktiviti permintaan dan penawaran dalam pasaran.
 
Ahmad Zahid berkata kerajaan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh melakukan kawalan harga secara berhemah dengan mengambil kira elemen-elemen tertentu seperti lokasi dan jenis rumah.
 
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan pada Rabu lalu juga turut mengumumkan kementerian itu akan memperkenalkan dua pendekatan baharu dalam membangunkan rumah mampu milik.
 
Abdul Rahman berkata pendekatan itu akan membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah sendiri, selain mengurus secara efektif penawaran dan permintaan rumah jenis itu di pasaran.
 
 

Nahas CN235: Data suara, penerbangan dimuat turun

Posted: 04 Mar 2016 12:19 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Data suara dan penerbangan pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah dimuat turun semalam dan kini dalam proses dianalisis.
 
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Roslan Saad, berkata pihaknya difahamkan proses muat turun data dari kotak hitam berkenaan sebelum ini mengalami masalah susulan berlaku sedikit kerosakan pada komponen terbabit.
 
"Bagaimanapun, data itu dapat dimuat turun semalam dan kita turut menghantar dua orang jurutera TUDM untuk membantu proses menganalisis data.
 
"Kita belum dapat memastikan bila keputusan analisis akan diperoleh dan akan memaklumkannya sebaik diketahui," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
 
Terdahulu, beliau mewakili Panglima Angkatan Tentera menghadiri Majlis Penubuhan dan Penghantaran Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao 11 (TPA-M11) di Wisma Transit di sini.
 
Selasa lalu, kotak hitam pesawat CN235 itu dihantar kepada syarikat pengeluar pesawat terbabit iaitu OEM di Bandung, Indonesia.
 
Roslan berkata, usaha menaikkan pesawat CN235 yang kini masuk hari kelapan masih giat dijalankan.
 
Jumaat lalu, pesawat pengangkut jenis TUDM CN235 yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang bersama enam kru itu membuat pendaratan kecemasan berhampiran pantai Kuala Selangor pada kira-kira jam 8.50 pagi.
 
 

Keputusan SKMM sekat The Malaysian Insider kerana langgar undang-undang negara - Wisma Putra

Posted: 04 Mar 2016 12:17 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman The Malaysian Insider (TMI) bulan lepas kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia, dibuat dengan teliti.
 
Menurut kenyataan Kementerian Luar, tindakan itu diambil selepas pertimbangan mengenai kesan terhadap sekatan laman web berkenaan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara ini.
 
"Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat, namun hak dan kebebasan itu hendaklah diamalkan secara berhemah dan bertanggungjawab," tambah kenyataan itu.
 
Ia merujuk kepada kenyataan Jabatan Negara, Amerika Syarikat yang bimbang dengan tindakan kerajaan Malaysia menghadkan akses laporan dalam dan luar negara mengenai hal ehwal semasa di negara ini.
 
Menurut Wisma Putra, kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara ini serta memelihara nilai dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
 
"Malaysia menghargai jalinan kerjasama menerusi Perkongsian Komprehensif dengan Amerika Syarikat yang melambangkan hasrat ikhlas Malaysia mengekalkan kerjasama progresif dan dinamik dalam pelbagai bidang berkepentingan antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
 
Menurut Wisma Putra, Malaysia percaya Amerika Syarikat turut berkongsi hasrat tersebut dan yakin hubungan dua hala berkenaan dapat terus diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi melalui kerjasama yang akrab dan pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu domestik di Malaysia.
 
Pada 25 Februari lepas, SKMM menyekat laman TMI ekoran tindakan portal itu mengeluarkan kandungan yang menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.
 
 

Gerakan Reformasi akhirnya berjaya 'menawan' Mahathir?

Posted: 04 Mar 2016 12:15 AM PST

 Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Tanyalah mana-mana veteran atau otai reformasi betapa meluapnya semangat dan kebencian mereka terhadap tindakan-tindakan "keras dan kejam" Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap tuntutan mereka membebaskan Anwar Ibrahim.
 
Bagi mereka Anwar adalah lambang demokrasi dan ikon harapan masa depan negara. Anwar adalah pejuang menentang kebobrokan yang mula menggunung dalam rejim Dr Mahathir. 
 
Walaupun Dr Mahathir cuba menggambarkan Anwar terpalit dengan aktiviti tidak bermoral, gerakan reformasi tidak juga surut. Ini berkat kekentalan semangat reformis.
 
Justeru apabila Mahathir cuba menguji popularitinya selepas lahirnya gerakan reformasi dalam pilihanraya umum 1999, beliau terpaksa akur betapa rakyat Melayu khususnya sudah menjauhi Umno dan BN. 
 
Umno hilang kuasa di Kelantan, Terengganu dan nyaris Kedah. 
 
Ringkasnya, yang mencetuskan gerakan menuntut reformasi di Malaysia pada penghujung abad kedua puluh ialah Mahathir sendiri. Sebagai perdana menteri, tindak tanduknya menjengkelkan banyak pihak. 
 
Faktor utama yang menguja rakyat keluar beramai-ramai menuntut pemugaran sistem kehidupan dan perundangan di Malaysia ialah apabila Mahathir bertindak membunuh kerjaya timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
 
Pertentangan hakiki di antara kedua pemimpin itu ialah soal ekonomi yang amat mendesak ketika itu. Mahathir menyalahkan saudagar matawang, George Soros memanipulasi nilai matawang negara-negara rantau ini.
 
Bagaimanapun beban kesalahan yang sebenar ditimpakan ke atas Anwar Ibrahim yang mempunyai pendekatan yang agak berbeza dengan beliau untuk memandu Malaysia membebaskan diri daripada kesuraman ekonomi ketika itu. 
 
Tuduhan terhadap Anwar bangkitkan semangat reformasi 
 
Namun Anwar perlu membayar hutang perbedaan pendapat dengan bosnya itu apabila dituduh sebagai mempunyai agenda untuk "merampas tampuk pemerintahan Malaysia daripada Mahathir". 
 
Ramai kawan Anwar yang diragut kebebasan mereka. Ada yang ditahan di bawah pelbagai kesalahan. Sekonyong-konyong mereka diburu dan ditahan untuk "disejukkan sedikit semangat reformasi mereka".
 
Ramai penyokong Anwar yang hilang pekerjaan dan perniagaan mereka diganggu-gugat. Namun asakan sedemikian tidak melemahkan semangat reformasi. 
 
Maka meluaplah amarah rakyat. Reformasi tiba-tiba menjadi istilah keramat dalam penentangan terhadap Mahathir yang menggunakan semua cabang dan ranting kuasa sebagai perdana menteri untuk memadamkan api reformasi itu. 
 
Simpati rakyat pada nasib Anwar terbawa-bawa keluar negara. Ramai umat Melayu yang mengerjakan umrah atau haji membawa pulang cerita betapa orang Islam lain sudah maklum betapa zalimnya Mahathir terhadap Anwar. 
 
PKR muncul sebagai usaha jatuhkan Mahathir 
 
Lantaran iltizam, istiqamah dan kepintaran penggerak reformasi, Mahathir 'panas punggung' dan mulai gentar menghadapi pilihanraya umum ke-11.
 
Serentak itu lahir kesedaran untuk menubuhkan wadah politik baru bagi menjunjung gerakan reformasi dan lahirlah Parti Keadilan Nasional yang kemudian mekar menjadi Parti Keadilan Rakyat. 
 
Sasaran utama gerakan rakyat itu ialah untuk menumpaskan Mahathir dan partinya, Umno-BN. Secara langsung landskap politik negara mula berubah.
 
Bila dunia terasa semakin sempit baginya pada 2003, Mahathir menyerahkan tampuk pemerintahan negara dan parti kepada Tun Abdullah Badawi yang mendapat jolokan "Mr Clean". 
 
Khabar persaraan Mahathir dari senario politik negara disambut dengan mesra oleh rakyat yang memberikan BN dan Umno kemenangan terbesar dalam sejarah politik Malaysia pada pilihanraya umum 2004. 
 
Malangnya, prestasi cemerlang ini tidak menyeronokkan Mahathir yang berasa legasi pemerintahannya selama lebih 22 tahun, terancam. Kelemahan Pak Lah dihamburkan dan dikritik di tengah-tengah masyarakat. 
 
Mahathir giat berusaha menjatuhkan Pak Lah hingga beliau berlakon merajuk dan keluar Umno. Kini Mahathir mengulangi tabiat yang sama dengan berhenti menjadi ahli Umno untuk menumbangkan Datuk Seri Najib pula. 
 
Mahathir dulu ditentang kini ditatang
 
Namun yang lebih menggusarkan ialah sikap pemimpin parti yang lahir daripada gerakan reformasi. Tiba-tiba mereka menjadi pelupa dan pemaaf. Asal usul perjuangan politik mereka ialah menentang Mahathir tetapi kini mereka menatang Mahathir. 
 
Ke mana pergi semangat reformasi mereka? Adakah kini mereka mahu menyempurnakan perjuangan dengan mengambil Mahathir pula sebagai rakan seperjuangan? 
 
Baru 18 tahun berjuang, gerakan reformasi Malaysia sudah beralih arah daripada menghapuskan pemerintahan kuku besi dan anti demokrasi yang diamalkan Mahathir dan mengangkat beliau personaliti sebagai rakan.
 
Adakah Mahathir sudah berubah dan bertaubat sehingga gerakan reformasi yakin bahawa perjuangan mereka sudah sempurna? Adakah ini cara membalasi budi dan pengorbanan reformis tulen yang menderita dek kezaliman Mahathir?
 
Memang benar dalam politik tiada permusuhan atau kerabat yang abadi. Mahathir yang dahulu musuh kini sudah menjadi kawan. 
 
Namun Anwar masih dalam kurungan. Jika begini keadaannya, tentu ia memberi isyarat bahawa Anwar sudah memberi restunya untuk bekerjasama dengan Mahathir.
 
Yang membimbangkan ialah, tidakkah kini terserlah bahawa hakikat sebenar perjuangan pemimpin-pemimpin reformasi ialah mahu berkuasa sahaja. Soal dosa Mahathir boleh dilupakan begitu sahaja.
 
Ada reformis yang kehilangan kebebasan, pekerjaan, perniagaan dan juga rumahtangga kerana reformasi, masih merawat luka perjuangan. Namun kini PKR sudah menerima Mahathir sebagai rakan. 
 
Dan, mungkin juga sebagai Ketua Umum perjuangan. Selamat datang Tun Dr Mahathir Mohamad, juara reformasi rakyat. 
 
Maka, untuk apakah reformis bersusah payah sebelum ini?
 
 

Boleh gua berkenalan dengan putera Arab itu?

Posted: 03 Mar 2016 04:44 PM PST



Oleh Hishamuddin Rais

Kisah duit derma tok arab sebanyak 2.6 bilion ringgit ini tak habis-habis lagi. Bersambung-sambung. Meleret-leret. Bermula dengan berita seorang putera Arab yang baik hati telah memberi derma kepada Mat Najib. Ini cerita awal sesudah akhbar jahat Wall Street Journal membocorkan berita mendakwa duit sebanyak 2.6 bilion ringgit telah masuk ke akaun peribadi Najib.

Duit derma dari putera Arab beralih kisah, tiba-tiba beralih menjadi duit derma dari raja Arab pula. Gua tak ambil pot, dari putera raja ke atau dari maharaja. Yang gua fikirkan bolehkan gua berkenalan dengan putera Arab itu? Itu saja dalam kepala gua. Saja nak berkenalan. Mana tahu ada rezeki tersepak.

Kisah punya kisah rupa-rupa tok raja arab didapati sudah mati awal. Jadi mustahil hantu raja ini menderma kepada Najib. Malah gua rasa tak ada hantu yang berani rapat dengan Najib kerana kuasa guru Ji lebih kuat. Hantu jembalang pun takut, inikan pula manusia biasa.
 
Cerita duit dari raja ini beralih lagi. Ada dilaporkan datang dari beberapa tok Arab pula. Tup tup seorang putera tok Arab bangan marah. Putera Arab ini menafikan duit ini tidak datang dari dirinya. Heboh sekali lagi. Gua tak ambil pot.

Cerita asal usul duit derma ini kerap beralih-alih. Akhirnya diumumkan bahawa duit derma 2.6 bilion ringgit ini datang dari kerajaan Arab pula. Semua akur. Alhamdulilah.

Putera Arab ke, raja Arab ke, kerajaan Arab ke? Untuk gua semua tak penting. Yang penting derma ini datang dari Arab. Arab ini satu bangsa yang beragama Islam. Tok Arab tak makan babi. Tok Arab hanya makan ayam bersembelih, kecuali ayam Siam di Bangkok atau ayam China di Pudu.

Tapi ini kisah lain. Jadi pada hemat gua bila duit derma datang dari tok Arab pasti duit suci dan halal. Duit kosher, dalam bahasa Hebrew.

Gua ingat semua dah selesai. Semua beres apabila tok Arab yang baik hati buka cerita tentang duit derma bertimbun-timbun itu adalah hadiah, derma ikhlas kerana Najib ini budak baik.

Tok Arab itu berkata Mat Najib ini pengembang mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Mat Najib tidak ada sangkut paut dengan 'sunnni wal rasuah'. Mat Najib bukan penyokong Isis. Mat Najib adalah pemimpin Islam contoh. Budak kelahiran Pekan anak Razak bin Hussein ini memang budak baik, jujur, ikhlas dan berjurus. Syukur alhamdulillah.

Tiba-tiba budak baik ini membuat satu kenyataan. Mat Najib anak lelaki Razak telah mengumumkan kepada dunia bahawa duit derma 2.6 bilion ringgit itu telah dipulangkan kembali kepada tok Arab. Puh!
Aduh! Bila gua dengar berita ini gua hampir pengsan. Gua rasa kalau Najib ada di depan gua ketika itu pasti gua sekeh kepalanya. Gua tahu Najib ini budak baik. Tapi kenapa baik sangat hingga pulangkan kembali duit yang banyak ini. Cit, gua ketawa sampai terkencing.

Tapi gua mesti labon jujur. Kisah Mat Najib pulangkan kembali duit derma tok Arab betul-betul buat gua tak puas hati. Hingga sekarang gua terus bertanya: Why Datuk, why Datuk, Why pulangkan duit itu Datuk? Why, why?

Nasib baik gua tak pakai kasut tinggi tumit. Kalau tidak kasut gua patah macam kasut Rafidah Aziz ketika terperanjat mendengar Mahathir hendak letak jawatan pada 22 Jun 2002 dulu. Cit, gua ketawa sampai terkencing.

Bayangkan duit sebanyak 2.6 bilion ringgit ini kalau semua duit ini ditukar untuk menjadi keping 100 ringgit pasti boleh dijadikan payung untuk memayungi seluruh Kuala Lumpur. Bila hujan sampai kita semua boleh berpayung. Kalau keping 50 ringgit pasti boleh memayungi Selangor. Kalau keping 10 ringgit boleh memayungi Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Bayangkan. Bayangkan.

Kalau semua duit ini ditukar jadi keping satu ringgit ia boleh dijadikan jambatan dari Pontian ke Pekan Baru, Sumatera. Itu pasal gua jadi marah apabila gua dengar Mat Najib pulangkan kembali duit derma tok Arab ini.

Gua rasa apabila tok Arab itu sudah beri derma maka semua rakyat akan tutup buku. Kisah sudah jelas. Tok Arab hadiahkan 2.6 bilion pada budak baik. Ini bukan satu yang menghairankan. Semua ahli United Malays National Organisation percaya cerita ini.

Yang tak percaya cerita ini hanyalah penyokong Anwar Ibrahim, penyokong Mat Sabu, penyokong Tian Chua, penyokong Mahfuz Omar dan juga penyokong Mukhriz Mahathir.

Ini pun kerana tim Bola Kedah hilang penaja bila Mukhriz tidak jadi MB Kedah lagi. Kalau tidak Mukriz dan penyokongnya semua percaya dengan Najib.

Untuk gua kita tak perlu heboh heboh. Duit itu pemberian ikhlas, sedekah jariah dunia akhirat. Khalas bak kata orang Arab. Khatam kogiya bak kata Orang Pakistan. 'Masyuk' bak kata orang Melayu. Semua ngam bak kata tauke China Doll di Pasar Pudu.

Tapi biar gua royak dengan jujur. Sebenar-benarnya hati gua jadi geram. Dalam geram-geram ini tiba-tiba muncul wajah muka Haji Hadi Awang. Gwa bertambah naik marah. Jangan silap faham. Jangan salah tafsir. Gua marah pada Haji Hadi bukan kerana dia tidak suka Anwar jadi perdana menteri.

Gua marah Haji Hadi bukan kerana dia tak sokong Dr Wan Azizah jadi menteri besar Selangor. Bukan. Bukan. Bukan.

Gua marah dengan Haji Hadi kerana Haji Hadi ialah penasihat Mat Najib. Ini bukan fitnah gua. Semua rakyat Malaysia tahu bahawa Hadi Awang telah melantik dirinya menjadi penasihat kepada Mat Najib anak lelaki Razak.

Hadi telah umumkan perkara ini akhir tahun lalu. Ada laporan muka depan akhbar Harakah tentang perkara ini. Pada 1 November 2015 portal ada melaporkan berita yang sama. Hakikatnya gua bukan bikin tohmah.

Secara terbuka Hadi mengumumkan yang dia tak berminat nak merampas kuasa. Tak berminat untuk ke Putrajaya. Parlimen, kuasa dan Putrajaya bukan perjuangan parti PAS. Tuan Haji Hadi Awang hanya mahu menjadi penasihat Mat Najib. Khalas.

Mengikut 'fulussafah' terbaru Tuan Haji Hadi Awang, parti Pas hari ini hanya anti United Malays National Organisation tapi tidak anti ahli parti Ketuanan Melayu. Apa maknanya ini gua sendiri pun tak faham.

Beberapa ekor ahli PAS yang gua kenal tertojeng-tojeng ke hulu ke hilir. Mereka tertanya-tanya apa makna ini. Jawapan gua hanya: walah hu alam bisawab ya akhi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Gua naik bengang dengan Haji Hadi ini kerana sebagai penasihat peranan dia amat amat besar.

Menasihatkan Najib satu tugas negara. Maka gua bertanya, kenapa Haji Hadi tidak nasihatkan Mat Najib betul-betul. Kenapa Haji Hadi buat kerja sampai lewa sehinggakan Mat Najib melakukan perkara yang amat amat bodoh lagi tidak senonoh.

Memulangkan duit hadiah Tok Arab ini adalah kerja bodoh. Kerja bodoh ini terlalu amat bangang hinggakan satu Malaysia ketawa. Sebenarnya amat ramai sekali orang mentertawakan Mat Najib. Kira punya kira gua rasa seramai 36.5 juta orang sedang ketawa hingga terkencing bila mendengar berita Mat Najib memulangkan kembali duit derma Tok Arab.

Mana gua dapat jumlah 36.5 juta ini?

Jawabnya senang sahaja. Tiga puluh juta rakyat Malaysia campur dua juta pekerja dari luar negara campur tiga juta pendatang haram campur 1.5 juta Mat Bangla yang akan datang - jumlah 36.5 juta.

Inilah jumlah orang yang tidak percaya Mat Najib telah memulangkan duit itu. Kerana ini gua salahkan penasihat Mat Najib. Gua salahkan Tuan Haji Hadi Awang. Pasal apa Tuan Haji Hadi tidak beri nasihat yang baik kepada Najib?

Gua difahamkan kini penasihat Mat Najib yang unggul ulung dan tunggul hanyalah Tuan Haji Hadi Awang. Justeru akhir-akhir ini kita semua melihat bahawa ucapan Najib ada terselit beberapa perkataan Arab, Urdu dan Parsi.

Tidak boleh dinafikan keupayaan fikrah Tuan Haji Hadi ini. Cekap, malah lebih cekap dari fikrah sotong.
Gua ada bukti tentang kecekapan fikrah Hadi ini. Gua diberitahu pada ketika ini Hadi Awang sedang memasang strategi untuk memperkukuh kedudukan Najib. Najib sedang diserang dari pelbagai penjuru.

Berita telah terbongkar bagaimana pada 27 Mac ini ada perhimpunan anti-Najib sedang disusun. Dengan cekap lagi pantas seperti mencandat sotong Tuan Haji Hadi telah mengumumkan yang dia menolak rancangan perhimpunan ini.

Memang hebat pemikiran Haji Hadi Awang ini. Dengan satu kenyataan dia telah menyelamatkan Najib. Perhimpunan 27 Mac telah disabotaj oleh Haji Hadi. Kerana itu gua marah. Kerana itu gua tak puas hati kenapa Haji Hadi tidak nasihatkan Najib agar jangan pulangkan duit derma sebanyak 2.6 bilion ringgit itu.
Bayangkan kalau 0.0001 peratus dari duit derma itu dapat oleh gua, gua akan ketawa terkencing menuju ke bank.~Mkini


'Tan Sri masih kawan dengan Najib tak?'

Posted: 03 Mar 2016 04:34 PM PST

Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR - Suasana sidang media bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan selepas penggantungan jawatannya bertukar gamat seketika apabila beliau diajukan satu soalan.

"Tan Sri, masih kawan dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tak?" tanya seorang wakil media.

Muhyiddin kelihatan hanya tersenyum lebar sambil memandang wakil media yang mengajukan soalan tersebut tanpa berkata apa-apa.

Beliau kemudiannya ditanya soalan tentang kemungkinan adanya mana-mana pemimpin kerajaan dan parti yang bertemunya mengadu tentang isu melibatkan Perdana Menteri itu.

"Ini bukan sesuatu yang luar biasa. Sewaktu saya dalam kerajaan pun beberapa pemimpin dalam parti dan kerajaan berjumpa dengan saya kerana saya orang nombor dua dalam parti.

"Yang menyentuh soal kepimpinan negara, menyentuh soal Datuk Seri Najib, masalah isteri beliau dan lain-lain," katanya.

Dakwanya, banyak pemimpin yang mengadu kepadanya itu disarankan mengatur usaha bertemu dengan Najib dan menegur Presiden Umno itu supaya segala kepincangan dapat dibetulkan, namun katanya, mereka tidak berani berbuat demikian.

Malah katanya, beliau menerima keadaan apabila terpaksa membayar tindakannya mengkritik kepimpinan Najib.

"Sekarang ini mereka bantai sayalah. Tak apa. Kalau saya sebut, nanti mereka malu. Nanti mereka dipanggil Presiden 'kenapa kamu buat begitu?' dan menanggung nasib yang sama seperti saya.

"Tak apa lah mereka duduk bersenang lenang...saya dipecat. Tak apa," katanya sambil tersenyum.

Gara-gara lantang mengkritik pentadbiran Najib, Muhyiddin akhirnya digugurkan dari Kabinet ketika rombakan tahun lalu dan digantung serta merta dari jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno, minggu lalu.


Guru selamatkan keputusan SPM dari terbakar

Posted: 03 Mar 2016 04:32 PM PST

Guru selamatkan keputusan SPM dari terbakar
Anggota bomba memadam api kereta milik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang 3.
 
 


SEREMBAN – Tindakan pantas seorang guru sekolah berjaya menyelamatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari terbakar dalam satu kejadian kereta terbakar di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang 3, Taman Forest Heights, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kereta jenis Ford Kugar milik Guru Penolong Kanan 1, Norasyikin Jantan, 54, itu gagal diselamatkan apabila terbakar 100 peratus.

Norasyikin berkata, dia menyedari enjin keretanya keluar asap ketika dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas mengambil keputusan SPM di Pejabat Pendidikan Daerah Seremban.

"Ketika hampir tiba di sekolah, saya berasa enjin kereta terlalu panas dan kelihatan asap keluar dari enjin kereta.

"Saya segera masuk ke dalam sekolah dan mencari kawasan letak kereta yang selamat kerana asap semakin banyak keluar dari enjin," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dia sempat menyelamatkan keputusan SPM dan beg tangan sejurus melihat api keluar dari bahagian enjin kereta.

"Saya segera keluar kereta dan sempat capai beg keputusan SPM sekolah dan beg tangan saya manakala dokumen kerja gagal diselamatkan.

"Saya berasa takut sangat melihat api, mujur pintu kereta boleh dibuka dan saya segera capai apa yang penting. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya

Tiada ulasan: