Jumaat, 11 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ibrahim: Strategi PAS tak meterai Deklarasi Rakyat untuk menang PRU14

Posted: 10 Mar 2016 04:18 PM PST

Anne Muhammad

 


Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali percaya tindakan PAS yang tidak memeterai Deklarasi Rakyat untuk 'Selamatkan Malaysia' adalah strategi bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, dengan tidak menandatangani deklarasi itu, PAS tidak berada di bawah bayang-bayang mana-mana pihak seperti yang pernah berlaku ketika ia berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.

"PAS tak nak terlibat sebab dia tak nak bawah bayang-bayang macam dia dalam Pakatan Rakyat dulu, jadi maknanya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini bijak kerana tidak mahu tertutup dengan bayang-bayang orang lain.

"Dalam Pakatan Rakyat dia (PAS) cuba bawa agenda mereka tapi orang lain halang. Ini strategi politik PAS.

"PAS dan Umno adalah parti Melayu terbesar di negara ini. Apabila PAS berdiri sendiri, dan Umno sekarang bermasalah, ketika PRU14 orang akan pergi kepada PAS," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai 57 individu dari pembangkang dan NGO menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun empat pemimpin PAS hadir sama, parti itu mengumumkan tidak akan bersama dalam gerakan itu kerana mempunyai pendekatan tersendiri khususnya melalui 'blok politik ketiga' ke arah mengubah kepimpinan negara melalui "saluran yang demokrasi dan berperlembagaan".

Malah Rabu lalu, Abdul Hadi berpendapat, tindakan Mahathir dan kumpulan 'Selamatkan Malaysia' bagi menyingkirkan Najib adalah usaha sia-sia.

Abdul Hadi dilaporkan berkata bahawa untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya.

Menurut presiden PAS itu, usul undi tidak percaya dilihat tidak akan berlaku memandangkan ia memerlukan majoriti daripada ahli parlimen daripada Umno dan BN.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang pernah bertanding di atas tiket BN, PAS dan juga BEBAS bagi kerusi parlimen Pasir Mas berkata, beliau melihat parti Islam itu banyak belajar dari pengalaman dan sehingga kini prinsip dan matlamatnya adalah jelas.

Menurutnya, menjelang PRU14, PAS akan cuba merampas kerusi majoriti Melayu sebanyak mungkin.

"PAS banyak belajar, mereka sangat bijak. Saya pernah 'provoke' PAS untuk lihat sikap sebenar dia. PAS ada strategi dengan matlamat yang jelas, Dia cuma nak dapatkan kerusi sebanyak mungkin kerana pada ketika itu Umno bukan lagi pilihan rakyat.

"Jangan perkecilan PAS. Sekarang PAS hilang kerusi kerana pemimpin mereka pergi ke Parti Amanah Negara (AMANAH), mereka sedang nak dapatkan semula kerusi mereka.

"Bila lihat isu yang sedang berlaku sekarang ini, jangan teruja tapi lihat ke depan," katanya.

Ogos tahun lalu, PAS kehilangan sepuluh wakil rakyat serentak selepas lima ahli Parlimen dan lima ADUN parti itu menyertai AMANAH.

AMANAH kini menyertai Pakatan Harapan bersama DAP dan PKR.

PAS bagaimanapun akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baru yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.

Setiausaha agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata 'blok politik ketiga' diharapkan setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Umno pun hendak diputihkan?

Posted: 10 Mar 2016 04:13 PM PST

ABDUL JALIL ALI
 

BUKAN orang parti, saya tidak pernah menjangka Umno begitu teruk, walaupun semakin ramai kawan-kawan – termasuk dalam kalangan ahli parti sendiri – beranggapan parti terbesar Melayu itu semakin parah.

Sehari dua ini anggapan negatif itu ternyata ada benarnya, lebih-lebih setelah diakui sendiri oleh seorang pemimpin Pergerakan Pemuda – sayap penting parti – yang mencadangkan program pemutihan dalam organisasi berkenaan.

Ketua Pemuda Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar meminta majlis tertinggi parti mempertimbangkan program pemutihan bagi membersihkan parti itu daripada individu yang tidak sehaluan serta tidak taat setia kepada pucuk pimpinan.

Katanya, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, program seperti itu penting memandangkan Umno telah melalui fasa perpecahan sehingga parti itu diharamkan dan membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46.

Beliau bimbang kerana selepas Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti, bekas perdana menteri itu mengheret sama beberapa pemimpin yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menuntut Datuk Seri Najib Razak berundur.

Keliru saya. Sebelum ini ada pemimpin parti menegaskan Tun M tiada pengaruh lagi.

Malah, ada yang menganggap mantan PM itu sebagai orang tua nyanyuk, dan nazak. Sama ada beliau di dalam atau di luar parti, tidak ada apa-apa makna.

Tetapi cadangan dari Perlis itu membuktikan Tun M masih menyengat sehingga perlu dilaksanakan program pemutihan untuk mengelakkan ramai lagi ahli parti bersekongkol dengan negarawan tersebut.

Cadangan program pemutihan juga seolah-olah menunjukkan parti besar itu kini berada pada tahap paling kritikal – begitu kotor dan hitam – sehingga perlu satu program khas untuk membersih dan memutihkan ahli yang diragui kesetiaannya.

Setakat semalam ramai pemimpin Umno merasakan program seperti itu tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru. Almaklumlah, kerja terburu-buru biasanya kantoi.

Secara peribadi saya tidak berkenan dengan pemutihan. Sejarah telah membuktikan berbagai-bagai program pemutihan telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini untuk kononnya memperbetulkan benda yang tidak betul. Tetapi tidak ada kesan; orang Tanjung kata 'pi mai, pi mai dok tang tu!'

Kalau kita masih ingat, program pemutihan pendatang asing telah dilaksanakan seawal 2011.

Tujuannya ialah untuk mendaftarkan secara sah pendatang asing yang masuk secara gelap @ Pati.

Tetapi, setelah beberapa kali tarikh tutup ditunda, jumlah yang datang memutihkan diri tidak sampai 50 peratus. Pada ketika itu jumlah Pati kira-kira sejuta, yang berjaya diputihkan sekitar 450,000; selebihnya masih hitam-legam.

Selepas itu kita sudah beberapa kali mengulangi program pemutihan Pati – ada 6P, ada 3P – semata-mata untuk memberi peluang kepada yang haram supaya dapat dihalalkan. Tetapi, lebih ramai yang rela terus dalam keadaan haram.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi melaksanakan program pemutihan untuk pendatang Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Vietnam dan Filipina.

Program yang berakhir 31 Mac ini adalah untuk Pati – jumlahnya kini lebih 2 juta! – yang bekerja di pelbagai sektor seluruh negara. Walaupun peluang dibuka untuk mendaftar secara sah, ramai yang tidak peduli langsung.

Mereka lebih suka terus dalam kehitaman, dan dari semasa ke semasa main sembunyi-sembunyi dengan pihak berkuasa. Kelakar! Bagi mereka, putih atau hitam tidak ada apa-apa beza, sebab sudah terlalu kerap 6P dan 3P diadakan tidak menjejaskan kehidupan mereka.

Hatta majikan sendiri pun mengambil sikap 'ada aku kisah' dengan program pemutihan yang baru dilaksanakan.

Ketika program pemutihan disambut acuh tak acuh oleh pendatang dan majikan, beribu-ribu lagi pendatang gelap menyusup setiap hari ke negara kita, melalui macam-macam laluan dan lubang.

Terkini ada pula ura-ura program pemutihan terhadap pelajar-pelajar asing di negara ini, terutama dari Afrika sebagai langkah menangani gejala jenayah oleh golongan berkenaan.

Buatlah apa pun program pemutihan, pelajar berkenaan akan tetap suka hitam. Pihak berkuasa selalu jadi bahan ketawa sebab macam tidak dapat berbuat apa-apa. Agaknya pihak berkuasa kita juga telah dihitamkan!

Macam-macam program pemutihan, Pati yang berjuta-juta itu masih tidak dapat diputihkan. Umno patut fikir semula cadangan pemutihan, jangan cakap sahaja berdegar-degar tetapi kesan kosong.

Kempen kerajaan untuk memutihkan orang ternyata tidak berkesan. Maka saya cadangkan kerajaan belajar dari Dr Vida. Setakat ini sistem pemutihan usahawan wanita ini lebih digemari kerana terbukti berkesan!


Jurulatih maut, kereta perisai hilang kawalan

Posted: 10 Mar 2016 04:05 PM PST

Jurulatih maut, kereta perisai hilang kawalan
Keadaan mangsa yang maut akibat kereta perisai berkenaan hilang kawalan.
 
 
PEKAN - Seorang jurulatih memandu kereta perisai maut selepas dihempap sebuah kereta perisai dalam kejadian kemalangan di trek pandu uji kilang syarikat berkenaan di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Mangsa, Abdul Razak Abdul Jabbar, 46 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kluang, Johor merupakan seorang pesara tentera yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, ketika kejadian mangsa sedang mengajar seorang juruteknik, Mohd Amirnuddin Osman, 23, memandu kenderaan tempur berkenaan di litar pandu uji kilang itu.

"Ketika kejadian kereta perisai yang dipandu Amirnuddin sedang menuruni laluan bukit di litar berkenaan bagaimanapun ia hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kereta perisai itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Amran, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya di Pahang Tua dekat sini.

Jelasnya, Mohd Amirnuddin yang mengalami kecederaan ringan di tangan turut dirawat di hospital sama.


Kemalangan: Bayi 8 bulan dalam kandungan maut

Posted: 10 Mar 2016 04:03 PM PST

SINAR HARIAN


Kemalangan


SUNGAI PETANI - Seorang suri rumah yang hamil lapan bulan patah paha kanan, manakala bayi dalam kandungannya maut selepas motosikal ditunggangi terlibat kemalangan di Jalan Bukit Kluang, hari ini.

Bagaimanapun, dua anaknya membonceng, Mohamad Haziq Abdul Khadzir, 14, dan Nor Bahiyah, 11, dilaporkan tidak mengalami kecederaan,

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Norazah Abdul Halim, 38, berlanggar dengan sebuah kereta kira-kira 7.30 pagi tadi.

Katanya, kereta yang dalam perjalanan dari arah Jalan Gurun ke Sungai Tiang itu, gagal dikawal ketika melalui jalan tidak berturap, mengakibatkan ia memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.

"Suri rumah itu dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, manakala bayi dalam kandungan itu disahkan meninggal dunia pada pukul 12.50 tengah hari tadi." katanya. - Bernama


Bantah DLP : Kerajaan tidak yakin sistem pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris

Posted: 10 Mar 2016 03:54 PM PST

Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abd Aziz Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abd Aziz Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)  mempersoalkan sejauhmana keyakinan Putrajaya terhadap kualiti proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi subjek Bahasa Inggeris.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abd Aziz berkata, Program Dwi-Bahasa (DLP) sebagai projek rintis di sekolah tertentu pada masa ini dilaksanakan ketika PdP Bahasa Inggeris tidak ditambahbaik.

"Mengapa sampai hari ini kerajaan tak letak syarat Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus? Sebab kerajaan tahu nanti ramai tidak lulus.

" Kerajaan sendiri tak yakin dengan sistem PdP Bahasa Inggeris untuk murid-muridnya," tegasnya pada sidang media menuntut kerajaan memansuhkan DLP di bangunan Abim, Taman Melati, Gombak semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun pada tahap awal pelaksanaan DLP hanya melibatkan sekolah tertentu tetapi dibimbangi akhirnya berlaku ketidakseimbangan di Sekolah Kebangsaan dengan kesan paling besar adalah kepada orang Melayu.

"Adakah ini menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan? Adakah kita hanya mahu anak-anak VIP berjaya, lupakan anak-anak rakyat bawahan?" bidas Faisal lagi.

Abim antara lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah dasar DLP kerana dilihat sebagai jelmaan PPSMI yang gagal mencapai matlamat walaupun menelan belanja tinggi sebanyak RM5.2 bilion.

Untuk rekod, Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober tahun lalu memberitahu sejumlah RM38.5 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan DLP.

DLP dilaksana tidak runding dengan pakar, kata Prof Shaharir

Posted: 10 Mar 2016 03:53 PM PST

Prof Emeritus Shaharir Mohamad ZainProf Emeritus Shaharir Mohamad ZainPelaksanaan Program Dwi-Bahasa (DLP) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik tidak melibatkan rundingan dengan pakar pendidikan terlebih dahulu, kata Prof Emeritus Shaharir Mohd Zain.

Menurut anggota Jawatankuasa Bertindak Mansuhkan DLP itu, terdapat pelbagai pendekatan lain bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah tanpa mengganggu mata pelajaran sains, matematik dan teknologi.

"Begitu banyak cara (supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris) tapi kenapa hanya fikir mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris?

"Terbukti semasa PPSMI, tiada bukti jelas tentang pencapaian pelajar. Inilah masalah besar kerajaan. Cubalah dengar pandangan alternatif," tegasnya pada sidang media menuntut pemansuhan DLP di bangunan Abim di Gombak semalam.

Terdahulu, Prof Shaharir ketika berucap di Seminar Hala Tuju Pendidikan Negara Siri 2 di Shah Alam, 5 Mac lalu berkata, fasih berbahasa Inggeris dijadikan alasan pelaksanaan DLP walaupun prestasi banyak syarikat korporat di Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris tidak pernah mengatasi badan-badan korporat di Korea dan Jepun.

"Hakikat sebenarnya Vietnam yang kurang fasih berbahasa Inggeris perdagangan luarnya lebih tinggi daripada kita nilainya.

"Filipina yang masih berbahasa Inggeris penganggurannya sekitar 7 peratus berbanding Malaysia 3.2 peratus.

"Vietnam, Laos, Thailand dan Kemboja penganggurannya sekitar 2 peratus ke bawah.

"Negara yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris seperti Britain penganggurannya 6.2 peratus, Amerika Syarikat 6 peratus, Kanada 6.5 peratus, Australia 6.1 peratus dan New Zealand 5.6 peratus," ujar Zamil Penyelidik Kanan di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (UM) itu dipetik dari kertas kerja beliau bertajuk 'Dual Language Programme (DLP) Perlu Dimansuhkan.'

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Hasan Bahrom turut hadir dalam sidang media berkenaan.

"Mempamerkan (sokongan). Saya tak payah jawablah," katanya ringkas ketika ditanya oleh Malaysia Dateline tentang pendirian parti Amanah berkenaan program DLP.

Shafie sindir Ku Nan, "Siapa yang kebudak-budakan?"

Posted: 10 Mar 2016 03:51 PM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar dan Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ekoran kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggelarkan dirinya bersikap kebudak-budakan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal tampil membalas kembali kenyataan Setiausaha Agung Umno itu secara sinis.
 
"Siapa yang budak-budak? Biarkan mereka bercakap, itu hak mereka untuk bercakap," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Terdahulu Tengku Adnan atau Ku Nan memberitahu tidak mahu melayan pihak yang menimbulkan masalah kepada parti dan menyifatkan mereka sebagai kebudak-budakan, merujuk kepada tindakan Shafie dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyokong Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib razak selaku Perdana Menteri. 
 
Ku Nan berkata demikian awal hari ini ketika ditanya sama ada Umno akan mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pemimpin itu kerana mengkritik kepimpinan Najib.
 
Umno sebelum ini menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden pada 26 Februari lalu, ekoran tidak membantu tugas Presiden parti. 
 
Shafie tidak hadir ke majlis menandatangani Deklarasi Rakyat, Jumaat lalu. Bagaimanapaun Muhyiddin dan Mukhriz hadir menyatakan sokongan dan menandatangani deklarasi diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
 
Muhyiddin dan Mukhriz kemudiannya dikritik oleh pimpinan parti sehingga timbul gesaan supaya kedua-dua mereka dikenakan tindakan.
 
Sementara itu, Shafie enggan mengulas lanjut mengenai usaha pembangkang yang mahukan sebahagian teras perjuangan di dalam Deklarasi Rakyat itu sebagai usaha membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Untuk rekod, pada Isnin lalu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembebasan Anwar adalah teras perjuangan Deklarasi Rakyat yang kini didokong oleh pembangkang, Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya.
 
Azizah berkata penglibatan Mahathir dalam deklarasi itu menunjukkan beliau bersetuju dengan agenda PH yang mahu institusi tertentu yang 'memangsakan' Anwar dirombak.
 
 

Ikatan nafi bersama PAS bentuk gabungan baru pembangkang

Posted: 10 Mar 2016 03:46 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PETALING JAYA: Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menafikan hari ini parti itu akan menyertai PAS untuk menubuhkan satu gabungan baru pembangkang.

"Tidak, perkara itu tidak benar. Ya, kami rapat dengan PAS tetapi tidak wujud perhubungan rasmi di antara kami," kata beliau kepada The Star Online.

Abdul Kadir yang juga bekas menteri Kabinet juga menafikan berjumpa dengan pemimpin PAS hari ini untuk membentuk satu gabungan baru.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu parti Islam itu akan menubuh sebuah blok pembangkang pelbagai kaum yang baru.

Bercakap kepada wartawan di Parlimen hari ini, beliau berkata, PAS akan bekerjasama dengan parti yang berkongsi matlamat dengannya dan satu majlis tandatangan gabungan itu akan diadakan di ibupejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Mac.

Takiyuddin mengesahkan Pakatan Harapan tidak akan terbabit dalam gabungan baru itu.

Ikatan dilancarkan pada Mei tahun lalu dengan logo Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada benderanya.

Abdul Kadir berkata, parti pelbagai kaum itu tidak bersandar dengan kerajaan atau pembangkang tetapi mencerminkan 'semangat' pengasas negara.

Bagaimanapun, sumber rapat dengan Ikatan berkata, parti itu berkemungkinan besar menyertai PAS dalam gabungan baru berkenaan.

Dipercayai, satu perjumpaan diadakan sebelum ini di antara wakil PAS dan Ikatan bagi membincangkan pembentukan blok berkenaan.

PAS umum pakatan baru 16 Mac ini - Takiyuddin

Posted: 10 Mar 2016 03:43 PM PST

Oleh Azizul Osman & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan menubuhkan pakatan baru dengan sebuah parti pelbagai bangsa sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan datang.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pakatan itu akan bergerak sebagai sebuah lagi parti politik selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
 
Bagaimanapun perkara itu hanya akan diumumkan pada 16 Mac ini, ujar Takiyuddin. 
 
"PAS akan ada blok pembangkang dia sendiri, saya akan umumkan pada 16 Mac depan kita akan ada satu kerjasama dengan satu badan politik," katanya di lobi Parlimen.
 
Enggan mendedahkan parti sekutu PAS buat masa ini, ujar Takiyuddin, blok terbaru itu adalah bagi memastikan PAS kekal relevan dalam PRU 14 nanti.
 
"Kerjasama politik antara parti dengan parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14, semestinya pembangkang. 
 
"Di Malaysia ada lebih 20 parti politik yang berdaftar jadi ada yang kepunyaan satu kelompok dan ada parti kepunyaan satu bangsa, tapi tujuan untuk menghadapi pilihan raya. Sebab itu kita dah umumkan kita adalah blok pembangkang iaitu blok politik ketiga," katanya lagi.
 
Ditanya sama ada parti sekutu itu merupakan salah satu parti dalam PH, ujarnya PAS secara jelas memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan itu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) tahun lalu.
 
"Kita dah beritahu dalam perlembangaan, kita boleh kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai arah tuju politik yang sama dengan PAS... bukan parti dalam Pakatan Harapan. Kami masih Pakatan Rakyat dengan kerjasama dengan PKR.
 
"Kerjasama adalah berkonsepkan muafakat dengan satu parti politik dan bukan Pakatan Harapan, kami adalah pembangkang dan akan ada parti lain yang akan sertai PAS," jelas Takiyuddin.
 
Mengetengahkan budaya politik matang dan sejahtera, kerjasama itu adalah langkah terbaru PAS dalam mengorak langkah selepas tidak menyertai PH yang kini disertai parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) bersama PKR dan DAP.
 
Dalam pada itu, Takiyuddin mengulangi pendirian bahawa parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam membentuk kuasa baru dalam arena politik negara.
 
 

Deklarasi Rakyat: Jangan tanya saya sekapal dengan Hadi atau tidak - Mahfuz Omar

Posted: 10 Mar 2016 03:41 PM PST

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar & Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak mahu dirinya dikaitkan dengan pendirian Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang secara terang-terangan tidak menyokong Deklarasi Rakyat. 
 
Sebaliknya, beliau mempertahankan tindakannya menandatangani deklarasi itu untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
 
Hadi sebelum ini menolak untuk menyokong deklarasi itu dan bertegas mahu menggunakan pilihan raya umum untuk menukar pemerintah secara keseluruhannya bukan hanya Najib seorang.
 
"Tidak timbul soal sekapal atau tidak. Jadi tak perlu tanya. Saya isytiharkan dari awal, tidak timbul (isu) sebelum presiden saya kata pun memang dari awal saya isytiharkan Najib kena turun demi rakyat dan negara.
 
"Saya tidak tergamak untuk tunggu pilihan raya dalam tempoh dua tahun hingga mengsengsarakan rakyat," katanya kepada pemberita, hari ini.
 
Mahfuz antara pemimpin PAS yang hadir hadir ke majlis menandatangani Deklarasi Rakyat pada Jumaat lalu bersama bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
 
Bagaimanapun kehadiran mereka berdua tidak mendapat keizinan Hadi, sebagaimana yang diperolehi dua lagi pemimpin PAS yang turut hadir ke majlis tersebut - Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.
 
 

Keputusan kes Aminulrasyid 24 Mac ini

Posted: 10 Mar 2016 03:39 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan tarikh baru untuk menyampaikan keputusan dalam saman RM50 juta yang difailkan oleh keluarga remaja Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis kira-kira enam tahun lalu.
 
Peguam Latheefa Koya hari ini memberitahu pemberita bahawa keputusan berhubung saman terhadap polis dan kerajaan akan dibuat pada 24 Mac, jam 3 petang.
 
"Beberapa penjelasan perlu disahkan. Ini perkara biasa.
 
"Selepas hujah bertulis, jika hakim mempunyai soalan, peguam akan diminta untuk menjelaskan," kata Latheefa yang mewakili plaintif selepas menemui Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim di kamar.
 
Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung remaja itu, Nor Azura Amzah, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
 
Ketika ditemui di luar mahkamah, Norsiah berkata beliau berharap kebenaran akan terserlah.
 
"Saya sentiasa berdoa agar kebenaran akan terserlah. Dulu saya banyak beri komen tetapi sekarang saya hanya akan berdoa.
 
"Jika kita ingat Allah, Allah akan ingat kita," katanya.
 
Saman itu difailkan untuk menuntut ganti rugi hampir RM50 juta bagi kematian Aminulrasyid akibat luka tembakan di kepala yang didakwa disebabkan oleh kecuaian polis.
 
Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Korporal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, Shah Alam antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.
 
Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan anggota polis itu tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan tujuan menghentikannya

Tiada ulasan: