Ahad, 7 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu Derma RM2.6 Billion: Membelit Dan Akhirnya Terbelit

Posted: 07 Feb 2016 01:01 AM PST

SIAPA SEBENARNYA PENDERMA RM2,600 JUTA ITU? ADAKAH NAMANYA PUTERA TURKI ABDULLAH AL SAUD?

Baru semalam Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengatakan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak adalah suatu bentuk pelaburan dan bukannya derma, kini Peguam Negara, Apandi Ali pula mendedahkan penderma tersebut ialah salah seorang daripada anak lelaki Almarhum Raja Abdullah.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identitinya, cuma berkata, "kami tahu nama penderma itu. Dia bukan Almarhum Raja Saudi yang mangkat itu, tetapi anak lelakinya. Dia masih hidup."


Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud ialah pemerintah Arab Saudi yang mangkat pada Januari 2015 lalu.

Melalui dapatan di wikipedia, Raja Abdullah dikesan mempunyai 18 anak iaitu lapan lelaki dan 10 perempuan. Anak-anak lelakinya ialah Putera Khalid, Putera Mutaib, Putera Mishal, Putera Abdulaziz, Putera Turki, Putera Badr, Putera Saud dan Putera Bandar.

Jadi, anak Raja Abdulllah yang mana satu yang dimaksudkan oleh Apandi sebagai penderma itu?

Siapakah di kalangan putera-putera itu yang diketahui begitu baik, dermawan dan murah hati?

Berapa pula kekayaan dan harta-harta mereka sehingga sanggup menyumbang derma sebanyak RM2,600 juta?

Mungkinkah penderma itu bernama Putera Turki Abdullah Al Saud, salah seorang putera Almarhum Raja Abdullah yang merupakan pemilik syarikat PetroSaudi yang diketahui ada menjalin kerjasama dengan 1MDB?

Dalam pada itu, Sarawak Report sebelum ini pernah mendedahkan mengenai gambar-gambar percutian Najib Razak bersama keluarganya di atas kapal layar mewah dengan Putera Turki yang turut juga disertai oleh Jho Low.

Berita yang turut disiarkan oleh portal Malaysiakini itu menyebut gambar-gambar tersebut dirakam pada Ogos 2009 dan sekiranya tarikh itu tepat, ia adalah kira-kira sebulan sebelum 1MDB menandatangani perjanjian dengan PetroSaudi yang melibatkan pelaburan bernilai AS$1 biliion.

Pernahkah diketahui Najib mempunyai hubungan dengan anak-anak Raja Abdullah yang lain selain Putera Turki?

Jika benar sumbangan itu diterima itu daripada Putera Turki, bolehkah ia dianggap sebagai derma yang dibuat tanpa mengharapkan sebarang balasan sedangkan syarikatnya, PetroSaudi mempunyai perjanjian perniagaan dengan 1MDB yang mana Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihatnya?

Yang lebih misteri, jika benar wang yang diberi itu sebagai derma, mengapa pula sebahagian besar daripadanya dipulangkan semata-mata kerana tidak digunapakai?

Atau barangkali memang benar seperti yang dikatakan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa wang itu bukannya derma, tetapi adalah suatu bentuk pelaburan.


Tetapi, jika ianya pelaburan, mengapa dimasukkan ke akaun peribadi dan kemudian dikembalikan?

Kalau derma bukan dan pelaburan juga bukan, kategori apakah wang tersebut?

Yang pasti, hari demi hari semakin banyak perkara-perkara pelik terdedah akhirnya?

ULASAN GB

Dua perkara yang meletupkan isu derma RM2.6 bilion.

Pertama penafian Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengatakan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak adalah suatu bentuk pelaburan dan bukannya derma.

Kedua kini setelah terdedah Raja Abdullah telah mangkat sewaktu Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beliau telah berjumpa sendiri dengan Raja Abdullah, kini Peguam Negara menyatakan iua bukan Raja Abdullah yang menderma, tetapi anaknya.

Berpusing-pusing kumpulan Najib hendak menutup kes derma berkenaan tetapi hukum kebenaran dan keadilan terus berjalan sehingga kebenaran akan tetap terdedah juga.

Persoalan yang dilontarkan Shahbudin di atas amat menarik juga. "Mungkinkah penderma itu bernama Putera Turki Abdullah Al Saud, salah seorang putera Almarhum Raja Abdullah yang merupakan pemilik syarikat PetroSaudi yang diketahui ada menjalin kerjasama dengan 1MDB?".

Jika benar penderma itu bernama Putera Turki Abdullah Al Saud pemilik syarikat PetroSaudi yang mempunyai perjanjian perniagaan dengan 1MDB, sudah pastilah ada "urusniaga" yang berjalan diantara PetroSaudi dan 1MDB.

Lebih menghairankan apabila Peguam Negara pernah membuat kenyataan bahawa Najib telah memulangkan RM2.04 bilion dari "derma" itu kepada pemiliknya kerana kononnya ia tidak digunakan. Orang tidak siuman saja akan memulangkan wang derma kepada pemberinya.

Apa-apa pun kita tunggukan episod selanjutnya isu derma ini. Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.....

Tiada ulasan: