Jumaat, 5 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pengurusan Tabung Haji Perlu Diserahkan Kepada Yang Bekelayakan

Posted: 05 Feb 2016 12:46 AM PST

TABUNG HAJI DAN KRISIS KEYAKINAN TERHADAPNYA

1. Tabung Haji (TH) merupakan institusi kewangan umat Islam hasil buah fikiran Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz. Ia bertujuan memudahkan urusan dan bebanan kewangan jemaah haji Malaysia. TH sebuah institusi unggul di dunia Islam yang boleh kita banggakan.

2. Untuk mencapai tujuan penubuhannya, operasi TH dibahagikan kepada dua, iaitu bahagian urusan jemaah Haji dan kegiatan pelaburan pendeposit. Keuntungan dari kegiatan pelaburan membantu menampung sebahagian kos jemaah haji.


3. Sejarah prestasi tadbir urus TH adalah baik dan memuaskan dan punya rangkaian urusniaga yang luas melalui pelaburan dan pembelian aset strategik dalam dan luar negara.

4. Mutakhir ini TH ditanggapi umum sebagai bermasalah, khasnya setelah surat dari Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) tersebar luas. Secara lebih khusus tentang pertikaian pemberian dividen melebihi keuntungan dan pembelian hartanah tertentu dengan harga tinggi. Dakwaan urus niaga dan pelaburan TH dipengaruhi oleh pimpinan politik sukar disangkal.

5. Dalam soal pemberian dividen dan bonus yang melebihi keuntungan perniagaannya untuk sesuatu tahun berkenaan, AMANAH menyedari bahawa pemberian bonus setinggi 5% dan bonus sebanyak 3% yang diumumkan semalam hanya dilakukan TH setelah beberapa asetnya di London dijual. Aset-aset yang selama ini mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada TH terpaksa dikorbankan demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk menggambarkan bahawa perniagaan TH masih utuh dan berkeuntungan.

6. Amalan sebegini tidak wajar atau berhemah dan tidak mampan. Teguran oleh pihak BNM tentang polisi rizab secara komprehensif dan pengurusan risiko amat mustahak untuk dipatuhi.

7. AMANAH mengutarakan kebimbangan perihal tanah TR Exchange yang awalnya didakwa dijual tetapi didapati tidak begitu. Kami mendapat faham, keputusan mengenai perkara ini belum lagi muktamad. Justeru kerana pelbagai versi dan cerita berada di pasaran hartanah dan media, maka AMANAH sarankan TH segera tangani isu ini secara tuntas dan muktamad sesuai dengan perhitungan strategik TH.

8. Amat malang sekiranya keputusan pembelian sepenting ini berlaku tanpa adanya kajian dan perancangan khusus, selain untuk memenuhi kehendak pemimpin politik negara. Dasar sebegini mesti dihentikan jika ada, supaya TH dapat diselamatkan.

9. Tindakan membayar dividen atau bonus melebihi keuntungan merupakan suatu ketidakpatuhan amalan perniagaan baik dan digunakan untuk menarik lebih ramai penyimpan. Ini jelas akan menghakis rizab serta memudaratkan TH. Wujudnya simpanan yang besar tanpa adanya satu perancangan pelaburan yang baik boleh mendatangkan kesan yang merugikan. Akhirnya simpanan itu hanya mendatangkan pulangan biasa, sebagai contoh 3% sedangkan TH terus memberikan dividen atau bonus yang lebih daripada biasa, seperti 5%.

10. Maka dengan itu AMANAH mendesak supaya:

a) Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH sedia ada dikaji dari segi kelayakan dan kemampuan mereka seperti disentuh BNM.

b) Jawatan Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH wajib diserahkan kepada mereka yang layak dan bukan sebagai habuan politik.

c) Senarai pengurusan TH perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Bank Negara sepertimana senarai pengurusan bank komersil di negara ini. Ini bertujuan untuk menjamin hanya yang layak diberi jawatan di institusi kewangan yang menyimpan hampir RM54 billion aset umat Islam.

d) Demi menjamin wujudnya ketelusan dan amalan semak dan imbang, maka AMANAH mengesyorkan agar pihak Ketua Pembangkang sewajarnya diberi peluang untuk menamakan calon Lembaga Pengarah TH dengan syarat calon yang dinamakan layak dan diluluskan Bank Negara.

e) Satu audit menyeluruh terhadap kegiatan dan pelaburan TH serta kesemua anak syarikatnya perlu segera dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan juga firma juruaudit bebas bertaraf antarabangsa. Segala yang tidak mematuhi piawaian profesionalisme dan amalan pengurusan yang baik perlu ditamatkan. Ini termasuk menutup syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebaliknya hanya menjadi tempat berteduh ahli dan penyokong politik untuk sekian lama, sekiranya ada.

f) Sistem tangga gaji dan elaun sama ada untuk Ahli Lembaga Pengarah atau Pengurusan TH perlu disemak kembali. Mana-mana yang didapati melampau dan tidak seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang dimainkan, perlu diubah.

g) Sebagai langkah pengurusan risiko tambahan, TH diminta menjalankan satu ujian 'stress test' untuk institusi kewangan mengikut panduan di bawah kelolaan BNM. Hasil ujian tersebut perlu diterbitkan kepada umum untuk memberikan gambaran tahap keutuhan kewangan TH dan mengembalikan keyakinan penyimpan dan seluruh rakyat jelata.


11. AMANAH mengambil berat teguran Bank Negara. Hanya pengurusan yang tidak bertanggungjawab sahaja akan sanggup menepis teguran berkenaan dengan berbagai alasan.

12. AMANAH melihat TH bakal dilanda krisis keyakinan penyimpan dan pelabur yang akan menjejaskan kewujudannya kecuali tindakan segera diambil untuk memulihkan keyakinan ini.

13. AMANAH memandang serius tindakan kerajaan melantik Peguam Negara sebagai Ahli Lembaga TH. Tindakan susulan berhubung persoalan ini akan diambil.

"Harapan Baru"
Sekian, terima kasih,

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
5 Februari 2016

[PANAS] Pendedahan Berani Mati Hamid Bador..

Posted: 04 Feb 2016 07:35 PM PST

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nampaknya tiada keinsafan langsung di dalam hati Perdana Menteri dalam kemelut jijik yang tercetus akibat kelemahan diri beliau sendiri. Saban hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan episod demi episod pembohongan oleh agen-agen serta para penasihat beliau bagi menutup jenayah jijik yang menjerumuskan negara ini ke dalam kancah penuh keserabutan. Bukan itu sahaja. Imej negara di arena antarabangsa turut terjejas dengan buruk sekali.


Baru-baru ini Peguam Negara tampil mengumumkan keputusan beliau terhadap hasil siasatan SPRM. Kononnya Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan bersabit "wang derma RM2.6 billion" dan penyelewengan wang negara dalam SRC. Saya tidak tahu di mana beliau belajar undang-undang tetapi bagi orang seperti saya hasil siasatan SPRM itu amat jelas menunjukkan wujud salahlaku jenayah.

Betapakan tidak, dokumen carta aliran keluar masuk wang dalam SRC dan akaun bank peribadi Perdana Menteri yang dipamirkan oleh Peguam Negara itulah yang turut saya perolehi dan berbincang dengan pihak SPRM sewaktu saya masih memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dulu.

Ketika itu saya aktif membantu Taskforce 1MDB yang ditubuhkan khas untuk menyiasat penyelewengan dalam entiti tersebut. Ibarat sudah terang lagi bersuluh. Mengapa dengan mudah Peguam Negara mengenepikan bukti ini. Bukan sekadar RM42 juta malahan berpuluh juta ringgit lagi digubah di dalam akaun ini dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Tidak kah Peguam Negara nampak bukti-bukti ini???

Berapa banyak dari wang negara ini yang telah diguna untuk menjelaskan hutang piutang kad kredit PM???

Cepat sungguh Peguam Negara dapat membaca hati PM dengan mengatakan bahawa PM tidak tahu menahu asal usul wang SRC itu!!! Jika PM menyatakan bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah 'Public Fund' atau wang kerajaan mengapa sehingga saat ini pun beliau tidak MENGEMBALIKAN SEMULA wang tersebut kepada kerajaan ??? Ingat ya......bukan RM42 juta sahaja tetapi ada berpuluh juta lagi yang masih belum diisytiharkan.

Saya juga ingin bertanya di sini samada wang berbillion billion yang "didermakan" itu sudah dibayar cukai ataupun belum??? Jika belum, saya mohon LHDN menagih cukai tersebut supaya penderma misteri tersebut sedar bahawa di Malaysia ada undang-undang berkaitan dengan "derma" se macam ini.

Wahai Peguam Negara, ingatlah kuasa mutlak yang diberikan oleh Perlembagaan Negara itu wajib digunakan untuk melindungi kepentingan negara. Bukannya untuk menegakkan benang yang basah!!! Kuasa tersebut bukannya untuk digunakan sesuka hati bagi MELINDUNGI JENAYAH.

Jika Peguam Negara kurang yakin dengan segala bukti yang telah dikemukakan oleh SPRM maka aktifkan semula Special Taskforce 1MDB yang sekarang ini hanya tinggal nama sahaja.


Saya menawarkan diri untuk sama-sama tampil membantu taskforce ini menyiasat salahlaku pengurusan 1MDB. Saya amat yakin dengan kejujuran Tan Sri Zeti, Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail dan saya sanggup berjumpa Tan Sri Khalid, KPN, untuk mendedahkan banyak bukti lain.

Sungguh janggal sekali apabila Peguam Negara bertindak mengarah siasatan kes ini dihentikan oleh semua pihak dan failnya ditutup. Amboi amboi amboi !!! Mudah sekali ya tugas dan tanggungjawab Peguam Negara yang baru ini. Mengapa rendah sangat martabat diri??? Siapa kah yang ditakuti........hantu, toyol, iblis, syaitan, puaka ???

Saya CABAR Peguam Negara agar bertindak dengan penuh amanah dan jujur supaya memberikan alasan-alasan untuk membuktikan PM tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes ini.

Menyentuh tentang wang derma RM2.6 billion. Ish...ish...ish... Cukuplah dengan segala pembohongan ini. Mengapa takut sangat nak dedahkan identiti penderma tersebut jika hamba Allah ini benar-benar wujud. Mengapa berdolak dalik dalam memberi jawapan sehinggakan Timbalan Perdana Menteri pun terpaksa 'masuk daun' untuk 'akun' (slang orang Sabah bagi perkataan 'mengaku') bahawa kononnya beliau telah bertemu dengan wakil penderma tersebut???

Sudahlah!!! Jangan perbodohkan orangramai. Fokuskan tugas itu untuk membasmi gejala judi cybercafe dan dadah yang berleluasa hampir di seluruh negara. Sudah berpuluh ribu belia di negara ini yang rosak akhlak akibat ketagihan benda-benda haram ini. Jangan cemar integriti diri sendiri untuk kepentingan politik.

Pendedahan Peguam Negara bahawa sebahagian besar wang "derma Arab halimunan" ini telah dikembalikan sungguhlah menakjubkan. Sekarang saya ingin bertanya, bolehkah Peguam Negara tunjukkan bukti bagaimana, caramana serta institusi bank mana atau syarikat mana proses pemulangan wang ini dilakukan ???

Jika tidak boleh dijelaskan maka wajarlah Peguam Negara segera mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk mendapatkan bukti-bukti tersebut di luarnegara menerusi peruntukan MLAT. Saya amat yakin jejak wang atau money trail ini akan membuktikan bahawa penderma RM2.6 billion itu sebahagian besarnya adalah MITOS yang SENGAJA direka untuk menutup bangkai gajah.

Kepada Perdana Menteri saya ingin menyeru agar bertindak berani sebagai seorang Pahlawan Bugis. Beranikan diri untuk tampil sendiri memberi penjelasan. Bukankah itu salah satu ciri pahlawan??? Sedarlah bahawa diantara sifat2 kepahlawanan jati termasuklah berani bercakap benar....berani menggadai nyawa demi mempertahankan pertiwi.....tegas melawan kejahatan.....membela orang yang teraniaya.....

Di antara ciri-ciri PENGECUT pula termasuklah menggunakan oranglain sebagai jurucakap untuk menabur fitnah bagi mengalih tumpuan dari isu ....mengguna harta kekayaan untuk menutup kebenaran......menggunakan duit untuk membeli kesetiaan.....menggunakan agensi kerajaan untuk mengugut dan menggertak pegawai kerajaan......mengikut telunjuk isteri secara membabi buta.

Sedarlah bahawa sifat2 keji ini dimurkai Allah SWT. Sudahlah tu......sudah cukup kalut keadaan dalam negara masakini. Sampai bila episod penganiayaan ini akan berakhir???

Tidakkah ada perasaan keinsafan dan belas ihsan dalam diri apabila melihat negara dalam keadaan begini. Percayalah bahawa orangramai semakin jelik dan meluat melihat telatah pemimpin politik demi pemimpin politik mengeluarkan kenyataan bohong bagi menutup bangkai gajah ini. Kalau kita pergi ke Mekah seminggu sekalipun dosa kita tidak akan terhapus dengan sebegitu mudah.

Ada pihak yang berpandangan bahawa skandal 1MDB ini tidak akan ada kesudahannya kerana PM terlalu kuat pengaruhnya hinggakan Presiden OBAMA sendiri akan menggunakan kuasa veto presiden untuk menghentikan siasatan pihak FBI ke atas kes MONEY LAUNDERING di Amerika. Nonsense !!! Kononnya pihak FBI terpaksa menunggu Presiden Obama mengakhiri tempoh jawatan presidennya pada bulan september depan. Nonsense!!! FBI tetap FBI. Pandai, pandai tupai melompat....

Kepada teman2 saya di dalam media arus perdana saya doakan agar datuk/dato semua dikurniakan Allah SWT kesedaran diri serta dibekalkan kekuatan untuk berani berkata benar. Aamiin. Jangan bertindak berpaksikan sesuatu ideologi yang jelas menyimpang dan sempit. Terimalah hakikat bahawa negara sedang dilanda krisis kepercayaan orangramai akibat perbuatan rasuah dan penyelewengan pemimpin tertinggi kita sendiri. Selagi pemimpin terbabit tidak berani berterus terang maka krisis ini akan berlarutan. Ia tidak ada kena mengena dengan ISIS!!!

Elakkanlah taktik melaga-lagakan orang Melayu dengan orang Cina. Isu penyelewengan 1MDB ini tidak ada kena mengena dengan cubaan kaum Cina nak memalukan pemimpin Melayu. Majoriti orang Melayu sendiri mahukan penjelasan ikhlas dari pemimpin yang bertanggungjawab.
Hentikanlah usaha jahat nak "membeli kesetiaan" akhbar SINAR tu. ...dan kita akan tengok dalam masa terdekat ini samada penyakit BODEK ini akan turut dijangkiti oleh FREE MALAYSIA TODAY

Kepada orangramai saya merayu agar tidak terpengaruh dengan pelbagai cerita2 yang menyentuh peribadi pegawai2 tinggi SPRM yang bakal ditonjolkan oleh agen2 jahat tersebut bagi mengalihkan tumpuan. Ia ditimbulkan dengan niat MENGALIH TUMPUAN dan untuk melaga-lagakan pegawai SPRM. Taktik hina ini hanya layak digunakan oleh manusia yang PENGECUT.

Agen-agen yang mabuk kuasa dan arak serta "giler" duit ini akan terus bertindak untuk menghakiskan kredibiliti SPRM dengan pelbagai cerita dengan harapan orangramai akan meragui keikhlasan agensi ini. Jangan bimbang RAKYAT BUKAN BODOH. Agen-agen jahat ini sedia mempunyai KECACATAN pada imej dan diri masing-masing. Yang menghairankan saya ialah ada di kalangan PEMBODEK ini pada suatu ketika dulu pernah mendabik dada lantang mengkritik amalan rasuah dan penyelewengan!!! Tetapi dalam sekelip mata buat U-turn 180 darjah.

Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan/ugutan sesiapapun. Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara. Contohilah integriti agensi anti rasuah negara jiran kita, Indonesia. Para pegawai KOMISI PEMBERANTASAN KORUPSI di negara tersebut berani dan telus bertindak tanpa memilih bulu. Orangramai dapat merasakan betapa ikhlas SPRM memainkan peranannya untuk menyingkap segala salahlaku oleh pemimpin2 negara. Just carry on with your tasks without fear or favour......rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk!!!. KIPIDAP DONGIBAB!!!

Bagi diri saya, in syaa allah, saya yakin bahawa tindakan saya ini tidak menyalahi mana2 undang-undang negara. Sebagai seorang pegawai polis saya telah mengangkat sumpah untuk menjalankan kewajipan saya dengan sebaik2nya bagi memenuhi kehendak Akta Polis.

Peranan dan fungsi utama saya adalah untuk mengesan dan mencegah jenayah. Undang-undang itu sendiri mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah.

Jika KPN mendapat arahan dari langit Putrajaya untuk menangkap saya maka saya redha. Hati ini semakin redha apabila mengenangkan Hari Polis 25 Mac depan semakin hampir. Masih kuat lagi semangat di dalam hati ini untuk menyanyikan lagu POLIS SEDIA BERKHIDMAT. Sewaktu dalam lokap nanti saya akan kumandangkan lagu keramat ini.

Semua manusia mempunyai harga untuk dibeli dan dikompromi. Begitulah kata orang tua-tua dulu. Harga bagi diri saya ialah........mengaku sajalah dan bertaubat.

Sudahlah tu.....

Salam hormat dan GONGXI FA CAI

ABDUL HAMID BADOR
1 Feb 2016

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

GB ingin membawakan di sini satu hadith Rasulullah saw:

Dari Tsauban r.a : Rasulullah saw bersabda, "Senantiasa ada sekelompok umatku yang memperjuangkan kebenaran. Tidak gentar dan tidak kisah terhadap orang yang memusuhinya hingga Hari Kiamat sedangkan mereka tetap seperti itu (berada dalam kebenaran)." -Sahih Muslim

Tiada ulasan: