Jumaat, 26 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


TMI Disekat - Sudah Berakhirkah Kebebasan Bersuara Di Malaysia?

Posted: 26 Feb 2016 12:35 AM PST

Halang akses TMI bukti Putrajaya takut media bebas?
Adun Salor Datuk Husam Musa berkata, sekatan laluan ke atas portal berita TMI bukan sahaja mengejutkan, tetapi menakutkan.
"Malaysia dengan cepatnya seakan menuju negara diktator semacam Filipina di era Marcos dan Myanmar di era tentera.
"Simpton itu menyerlah. Hanya kerana ketakutan satu dua orang terhadap nasibnya di neraca undang-undang.
"Jika ia bersabit dengan laporan hari ini oleh TMI - kenyataan Panel SPRM adanya prima facie atas kes 1MDB - lalu TMI disekat laluan akses, ternyata 1MDB telah mengheret Malaysia terlalu jauh ke jurang kerosakan," ujarnya dalam satu kenyataan malam ini.
Bekas Naib Presiden Pas ini  berkata, semua kebenaran berkaitan 1MDB menunjukkan kesalahan kepada beliau. Hari demi hari tidak pernah reda dari bukti dan fakta baru.
"Lebih baik bagi orang ini menerima hakikat dirinya telah membawa beban kepada negara," ujarnya.
Menurut portal media bebas itu, beberapa pembaca memaklumkan kepada TMI apabila mereka tidak dapat mengakses portal berita itu. Pembaca TMI yang menggunakan perkhidmatan Celcom, dan Unifi, kedua-duanya syarikat yang dikawal kerajaan, di sesetengah tempat,  mengadu mengenai sekatan itu.
Mereka menerima notis SKMM yang menyatakan portal berita ini melanggar undang-undang Malaysia, apabila melayari laman web The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, tiada notis dihantar kepada TMI mengenai pelanggaran sebarang undang-undang.
Fahmi FadzilFahmi FadzilBagi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Fahmi Fadzil pula berkata, tindakan SKMM menghalang akses pengguna beberapa Internet Service Provider (ISP) ke laman berita online TMI amat mendukacitakan dan dikecam.
"Tindakan yang bersifat kuku besi ini jelas melanggar Akta Jaminan MSC Malaysia yang ke-7, iaitu 'Menjamin tiada penapisan Internet' dan berkemungkinan berkait laporan berita TMI dalam isu "derma politik" RM2.6 bilion pemimpin utama negara.
"Ia menjadi bukti Putrajaya takut pada media bebas, terutama media online yang tidak mudah didiamkan khusus mengenai isu-isu penting dalam negara.
"Putrajaya tidak patut menggunakan langkah ini untuk menghalang tugas dan tanggungjawab media sebagai estet ke-empat di dalam sesebuah demokrasi.
"Malah ia hanya mengukuh persepsi umum bahawa ada usaha untuk menghalang orang ramai dari mendapat berita dan maklumat untuk perbincangan sihat di ruang awam demi masa depan negara. Sudah pasti tindakan ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap kedudukan kebebasan media di Malaysia," ujar Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Keadilan.
Justeru beliau menggesa agar Putrajaya mengkaji semula dan menarik balik halangan akses ini dengan segera.
Khalid SamadKhalid SamadManakala Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad pula berkata sekatan terhadap TMI merupakan satu pencabulan hak asasi rakyat yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
katanya, hak untuk tahu dan mendapat maklumat berhubung prestasi dan tindakan kerajaan yang dipilih rakyat adalah satu hak yang dijamin perlembagaan.
"Amanah menyedari bahawa kerajaan sedang tertekan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa khususnya berhubung 1MDB. Namun tindakan menghalang akses kepada mana-mana laman berita seperti TMI tidak boleh diterima.
"Amanah mengutuk apa jua usaha menutup salah laku pimpinan kerajaan dengan menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang bebas dan telus dari sumber-sumber di luar kawalan kerajaan.
"Amanah ingin mengingatkan kerajaan Umno- BN bahawa keadaan dan suasana dunia tidak lagi seperti dahulu di mana akses kepada maklumat boleh dihalang dengan mudah. Suasana dunia tanpa sempadan dewasa ini menyebabkan maklumat boleh diperolehi dari pelbagai sumber," ujarnya dalam kenyataan.
Justeru Khalid berkata, adalah lebih baik pihak kerajaan mendepani segala pendedahan yang dibuat mana-mana pihak secara bertanggungjawab dengan memberi jawapan balas terhadap setiap persoalan yang ditimbulkan.
"Sekiranya pendedahan dan tuduhan itu adalah benar dan berasas maka Amanah  menuntut supaya pihak bertanggungjawab, setinggi mana sekalipun kedudukan mereka, perlu dibawa ke proses pengadilan dan tidak sebaliknya dilindungi dengan menindas dan menafi hak rakyat.
"Amanah menuntut supaya halangan akses kepada laman berita The Malaysian Insider ditamatkan dengan segera dan kerajaan kembali ingat tanggungjawab mereka kepada rakyat," ujar Ahli Parlimen Shah Alam ini. -Malaysia Dateline

Tiada ulasan: