Sabtu, 20 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Bangla Pun Tak Percaya Putrajaya & Zahid Hamidi...

Posted: 20 Feb 2016 12:34 AM PST

Pembekuan pekerja Putrajaya karut, pegawai Bangladesh beritahu Dhaka Tribune

Langkah Putrajaya membekukan pengambilan pekerja asing, termasuk 1.5 juta dari Bangladesh, diragui pegawai negara itu, lapor Dhaka Tribune. Memetik pemangku setiausaha Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Begum Shamsun Nahar, beliau percaya, kerajaan Malaysia masih akan mengambil pekerja dari Bangladesh seperti dipersetujui dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani 18 Februari lalu.

Memorandum itu dimeterai hanya sehari sebelum Putrajaya mengumumkan ia menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber.


"Kerajaan Malaysia membuat pengumuman itu untuk menenangkan kumpulan pendesak tempatan yang menentang pengambilan pekerja asing," Begum Shamsun dipetik berkata.

Dhaka Tribune juga berkata, beliau menyifatkan pengumuman Putrajaya itu "mengarut".

Menurut laporan itu, Bangladesh masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan pembekuan Putrajaya itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Putrajaya menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, termasuk Bangladesh.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara Asia Selatan itu dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penggantungan itu dibuat supaya Putrajaya boleh menilai semula status pekerja asing sedia ada di negara ini.

Beliau berkata perjanjian yang ditandatangani dengan Dhaka akan tamat tempoh dalam masa 3 tahun dan Malaysia tidak perlu melaksanakannya dengan segera.

Pertubuhan tempatan mengkritik rancangan membawa masuk lebih ramai pekerja asing sedangkan sebilangan besar di negara ini adalah pekerja tanpa izin, manakala majikan bimbang kesan pembekuan ke atas perniagaan mereka.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia N Gopal Kishnam menyambut baik langkah menangguhkan pengambilan pekerja asing, tetapi masih mahu sebuah suruhanjaya diraja dibentuk bagi mengenai keperluan pekerja asing di negara ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan bagaimanapun berkata, beliau berharap pembekuan itu tidak akan menjejaskan pengambilan pekerja asing yang berjalan ketika ini. -TMI


Zahid bidas kritikan bekas pemimpin terhadap usaha kerajaan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membidas sikap sesetengah bekas pemimpin kerajaan yang menuduh kerajaan tidak tetap dengan pendirian apabila membuat sesuatu perubahan dasar selepas mendengar suara desakan rakyat.

Katanya pemimpin atau tokoh-tokoh ini juga semasa memiliki kuasa dalam kerajaan turut sensitif terhadap desakan ramai dan bertindak membuat perubahan serta pembaharuan bagi memenuhinya, namun apabila kerajaan sekarang melakukannya, mereka sebaliknya menuduh kerajaan sebagai tidak tetap pendirian.

Katanya ada juga mereka yang semasa memegang jawatan dan kuasa dalam kerajaan, tidak melakukan apa-apa perubahan, tetapi apabila sudah tiada lagi jawatan, mereka terus membidas segala usaha gigih kerajaan.

"Orang ini adalah orang 'gila talak', apabila ada jawatan tidak mahu buat, bila hilang jawatan dan nakkan jawatan, barulah kata kerajaan tidak betul... padahal semasa mereka ada jawatan dulu, ia adalah disebabkan sokongan pegawai dan kakitangan akar umbi," katanya semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri di sebuah hotel di Kuching.

"Tokoh itu ingat dialah yang terpandai, dia yang terbaik, terbagus, sampai begitu. Zaman dia sudah berlalu, tolong hormat kepimpinan sekarang, pegawai yang ada sekarang," katanya, dan menambah kenyataan itu tidak merujuk kepada individu tertentu.

Sementara itu, Zahid berkata dasar terbuka kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak kini menyebabkan perdana menteri dihujani dengan "peluru-peluru" kritikan yang pelbagai.

Beliau berkata zaman kerajaan tahu semua perkara, atau betul dalam semua tindakannya sudah berlalu; dan kepimpinan sekarang bukan sahaja lebih prihatin dalam mendengar segala keperluan ramai, malah sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan rakyat.

Beliau yang memuji media 'konvensional' yang melaporkan setiap fakta yang tepat atas platform yang jelas, turut membidas "wartawan" yang tiada platform sebenar, yang menulis mengikut 'suka hati' di media sosial.

Menurutnya mereka ini melakukan analisis dengan niat tersendiri, melakukan perancangan media, membuat fitnah, berusaha mencipta suatu imej yang amat negatif terhadap kerajan, semata-mata untuk melakukan tindakan mencemarkan reputasi.

"Mereka mahu gambarkan setiap tindakan kerajaan itu sentiasa tidak betul. Ini tidak adil," katanya dan menambah mereka tidak seharusnya melihat yang negatif sahaja, sedangkan segala tindakan positif kerajaan diketepikan begitu sahaja.

Zahid juga menasihatkan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri supaya terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan ikhlas untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai.

Beliau berkata bagi orang ramai menyedari kebaikan yang dilakukan memang amat sukar sekali, namun jika segala tindakan dilakukan dengan ikhlas dan berniat baik, kejayaan akan tetap tercapai.
– Bernama


ULASAN GB

Bangla pun kurang yakin dan kurang percaya dengan pengumuman Putrajaya pembekuan pengambilan pekerja dari negara itu yang dilaporkan sebelum ini.

Pegawai bangladesh itu menyifatkan pengumuman Putrajaya itu "mengarut".

Apakah benar kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja Bangladesh sehari selepas menandatangani perjanjian persafahaman membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara itu?

Atau ia hanya sandiwara untuk meredakan penentangan rakyat terhadap langkah kerajaan tersebut?

Pengumuman itu meragukan kerana tidak mungkin ia dilakukan sehari selepas perjanjian dimeterai dan apatahlagi dimaklum bahawa pihak kerajaan Bangladesh lansung tidak tahu menahu mengenai pembekuan itu.

Nampaknya Putrajaya sudah kantoi. Sekarang menteri itu membidas pula mereka yang mempertikaikan langkah kerajaan yang tidak tetap itu.

Beliau menyatakan beliau mendengar suara rakyat. Benarkah? Jika benar, sekarang rakyat mahu Najib dan konco-konconya berundur. Boleh dengar tak?

Jika enggan letak jawatan tunggu hukum kebenaran dan keadilan sampai. Ia tetap tiba dan yang "bersalah" tetap menerima hukuman.

Tiada ulasan: