Rabu, 10 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO & GAMBAR] #BebasAnwar: Semua Pembangkang Hadir Kecuali PAS

Posted: 10 Feb 2016 01:07 AM PST

Tiada pemimpin PAS hadir sambutan setahun Anwar dipenjara

Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat sempena genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara di Sungai Buloh malam tadi menyaksikan tiada seorang pun pemimpin PAS hadir memberikan sokongan.

Sebaliknya, sekurang-kurangnya 15 pemimpin politik pembangkang daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyampaikan ucapan secara bertali arus di atas pentas sementara di depan pintu masuk penjara itu.

Jurucakap penganjur daripada kumpulan yang menggelar diri mereka "Pro98 Reformis Malaysia", Dr Badrulamin Bahron berkata, mereka menjemput PAS bermesyuarat untuk penganjuran acara malam ini sejak 2 bulan lalu tetapi tidak diendahkan.

"Saya rasa terkilan kerana sepanjang perjalanan program daripada mesyuarat ke mesyuarat walaupun kami jemput tapi pimpinan PAS di semua peringkat tidak ada yang hadir dan kemuncaknya tidak ada seorang pun pada malam ini.

"Sedangkan, program malam ini acara rakyat untuk membebaskan ikon perjuangan rakyat bagi meneruskan agenda reformasi," kata pengerusi tetap PKR Sabak Bernam itu ketika ditemui selepas acara tamat pada 12 malam.

Bagaimanapun, ketidakhadiran pimpinan PAS tidak merencatkan mood sambutan acara.

Bahu jalan di depan Penjara Sungai Buloh dipenuhi kereta sejak jam 8 malam lagi.

Gerai menjual makanan ringan turut didirikan, tidak ubah seperti ceramah kempen pilihan raya. Mencuri perhatian ramai ialah puteri sulung ketua umum PKR itu, Nurul Izzah Anwar yang cuba meniup semangat kira-kira 1,000 penyokong.

Katanya, orang ramai tidak perlu bersedih dengan pemenjaraan Anwar yang dianggap sebagai seorang tahanan politik.

"Ingat pesanan saya, jangan sedih.

"Nak sedih buat apa? Bukan kita yang rasuah. Kitalah patriot yang sebenar," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu disambut tepukan gemuruh hadirin.

Selain Nurul Izzah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan ringkasnya menggesa orang ramai untuk meneruskan perjuangan suaminya.

"Selagi hayat dikandung badan kita teruskan perjuangan kerana inilah yang Datuk Seri Anwar mahu kita lakukan," kata Dr Wan Azizah.

Sebelum itu, tepat 10 malam Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah melepaskan beberapa ekor burung merpati ke udara sebagai simbolik kepada gesaan mereka agar Putrajaya membebaskan Anwar.

Pada acara sama, sasterawan negara yang kini menganggotai DAP, Datuk A Samad Said turut mendeklamasikan sajak bertajuk "Puisi Lara Datuk Seri Anwar Ibrahim".

Sebelum itu juga, aktivis pelajar Mashitah Sulaiman turut mendeklamasikan sajak berjudul "Rajawali" yang ditujukan kepada Anwar.

Hadir sama pada sambutan malam tadi daripada Amanah ialah presidennya, Mohamad Sabu, setiausaha agung, Anuar Tahir, ahli jawatankuasa pusat Dr Mohd Hatta Ramli dan Khalid Samad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim daripada DAP turut hadir dan berucap dalam dialek Jawa.

Majlis tamat dengan bacaan doa diketuai Badrulamin dan nyanyian lagu "Negaraku".

Pada 10 Februari, 2015 Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar sekali gus menamatkan kerjayanya sebagai ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mahkamah mengetepikan permohonan Anwar yang meminta hukuman lebih ringan daripada dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum itu dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan. -TMI


Mat Sabu: Najib kekal berkuasa kerana rakyat M'sia penakut

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mendakwa rakyat Malaysia penakut dan tidak mempunyai keazaman untuk menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, tidak kira betapa buruk tanggapan mereka terhadap pentadbirannya.

"Kita semua penakut," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika berucap di majlis mengingati ulang tahun pertama pemenjaraan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan Penjara Sungai Buloh malam tadi.

Anwar menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak penghakiman Mahkamah Tinggi membebaskan ketua umum PKR itu dalam kes Liwat II.

Dalam nada menyindir, Mat Sabu mengeluh bagaimana Najib akan terus berkuasa kerana rakyat Malaysia berdiam diri.

"Kita masih berdiam diri. Bersuara jantan tapi hati betina," katanya.

Dan kerana rakyat Malaysia penakut, katanya, rakyat dan negara, telah ketinggalan.

Mat Sabu berkata, walaupun Indonesia, Thailand dan Myanmar telah menyambut kejayaan transformasi politik, tetapi Malaysia tidak berubah.

"Sampai bila nak jadi begini?

"Kami merayakan kejatuhan orang lain tetapi (pemimpin bermasalah) kita, kita tak jatuh kerana kita sanggup ditipu," katanya lagi.

Mat Sabu mengakhiri ucapannya dengan menyeru kepada rakyat untuk bangun dan melakukan perubahan.

"Cis! Mari kita bangun!" katanya sebelum melontar mikrofon dan berjalan beredar dari pentas. -mk








ULASAN GB

GB tak perlu ulas panjang, kita berharap pemimpin-pemimpin PKR sedar hal ini.

Jika alasan untuk berbaik dengan PAS ialah untuk mengekalkan pertandingan satu lawan satu, namun apa ertinya jika semangan permuafakatan dan kesetiakawanan di dalam Pakatan Harapan terpaksa digadaikan.

Kni terbukti bahawa parti sejarah itu tidak lansung menghiraukan Anwar. Yang mereka pentingkan ialah mereka yang hendak menjadi juara, yang lain bagi mereka tidak penting.

Pakatan Harapan tidak perlu melayan karenah sedemikian, Rakyat boleh melihat dna menilai dengan terang dan nyata.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan....

Tiada ulasan: