Isnin, 29 Februari 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Jom kopi! Panjang umur, kurang penyakit, seks baik

Posted: 28 Feb 2016 10:17 PM PST

SYDNEY,  ― Lebih banyak kopi yang diminum, lebih kurang risiko seseorang mengalami masalah kesihatan, termasuk penyakit rosak hati cirrhosis, kata satu kajian terkini.

Kajian Universiti Southampton di Britain mendapati mengambil satu atau dua cawan kopi setiap hari boleh mengurangkan risiko kerosakan hati antara 22 hingga 43 peratus, lapor News.com.au hari ini.
Kajian terhadap 430,000 orang juga menunjukkan mereka yang minum tiga atau empat cawan kopi boleh merendahkan risiko kerosakan hati antara 57 hingga 65 peratus.

Ketua penyelidikan itu Oliver Kennedy memberitahu akhbar The Washington Post bahawa cirrhosis boleh membawa maut dan tiada ubat dapat merawatnya.

"Jadi, penting bagi kita mengurangkan risiko berlakunya kerosakan hati dengan mengambil kopi, sejenis minuman yang murah dan mudah diperolehi," katanya.

Penyebab-penyebab utama kerosakan hati termasuklah pengambilan alkohol yang banyak, serangan hepatitis B, jangkitan hepatitis C dan juga pengumpulan lemak di hati.

Menurut data, lapor portal Australia itu lagi, 1,772 orang mati di negara itu akibat kerosakan hati pada 2013 dan lebih satu juta maut setiap tahun angkara masalah ini di seluruh dunia.
Manfaat-manfaat lain kopi ditunjukkan dalam beberapa kajian lain:

1. Panjangkan usia 

Kajian di Universiti Harvard mendapati minum kopi antara tiga hingga lima cawan kopi sehari boleh melanjutkan usia seseorang. Mereka yang mengamalkan minuman ini boleh mengurangkan risiko terkena penyakit jantung, bunuh diri, kencing manis atau penyakit Parkinson.

2. Tidak tingkatkan degupan jantung

Mitos yang popular, kopi akan menyebabkan degupan jantung anda lebih kencang atau tidak teratur. Namun kajian mutakhir menunjukkan mengambil kafein dengan kerap bukan penyebab gejala tersebut. Malah, peminum kopi lebih rendah risiko mendapat penyakit jantung koronari.

3. Bantu kekalkan ketahanan seks

Kajian Pusat Sains Kesihatan di Universiti Texas mendapati lelaki yang minum dua cawan kopi sehari lebih sukar terkena masalah organ seks susah tegang, atau ED, sebanyak 42 peratus.
4. Cegah kencing manis

Kajian menunjukkan peminum kopi lebih rendah peluang terkena diabetes jenis 2, sama ada mengambil kopi biasa atau kopi tanpa kafein.

Bagus atau tidak pemanis tiruan dalam minuman anda?

Posted: 28 Feb 2016 10:15 PM PST

NEW YORK, — Ahli sains masih menggaru-garu kepala, tidak pasti sama ada mengambil pemanis
tiruan seperti dalam minuman diet boleh menguruskan badan atau menggemukkan?

Pemanis tiruan, yang tidak mempunyai khasiat pemakanan, memang tidak mempunyai kalori dan sering dimasukkan dalam makanan untuk membantu mengurangkan berat badan.

Beberapa ujian menunjukkan mereka yang mengambil pemanis tiruan tidak menambah berat seperti mereka yang mengambil minuman bergula, lapor New York Times seminggu lalu.

Namun, lapor akhbar berpengaruh itu, kajian di kalangan ramai responden menunjukkan keputusan sebaliknya. Mereka yang sering mengambil pemanis tiruan boleh mengalami mudarat kesihatan, termasuk menambah berat badan.

Kajian melibatkan 6,814 warga Amerika Syarikat berumur 45 hingga 84 tahun mendapati mereka yang meminum soda diet sekurang-kurangnya sekali sehari lebih berisiko 67 peratus menghidap diabetes jenis 2 berbanding mereka yang tidak mengambil minuman diet, sama ada berat badan mereka bertambah atau tidak.

Kajian itu, yang dijalankan sekurang-kurangnya selama lima tahun, juga mendapati mereka bakal mengalami sindrom metabolisme 36 peratus lebih tinggi, yang boleh mendatangkan penyakit jantung, serangan angin ahmar dan diabetes kemudiannya.

Satu lagi kajian yang dijalankan terhadap penduduk San Antonio selama 10 tahun mendapati mereka yang mengambil lebih 21 hidangan minuman diet setiap minggu berisiko dua kali ganda menjadi gemuk. Lebih banyak minuman soda diet yang diambil, lebih tinggi risikonya.

Ujian berskala besar itu bagaimanapun tidak mencari sebab dan akibat; dan mungkin membayangkan mereka yang bertambah berat badan minum terlalu banyak soda diet.

Dr John Fernstrom, profesor di Universiti Pittsburgh dan juga perunding syarikat perisa makanan terkenal Ajinomoto, mengkaji semula bukti terhadap pemanis tiruan. Beliau menyimpulkan bukti yang mengaitkan pemanis tiruan dengan masalah metabolisme sebagai "tidak begitu meyakinkan".
Tetapi ahli-ahli sains lain lebih berhati-hati, mereka menuntut lebih banyak kajian.

Mereka berhujah, ujian-ujian pada haiwan menunjukkan pemanis tiruan mengubah tindak balas terhadap gula dalam darah tikus dengan mengganggu hidupan mikrob pada sistem penghadaman.

Ada juga ahli-ahli sains mengandaikan pemanis tiruan boleh mengganggu keupayaan badan mengawal gula dalam darah dengan merangsang reseptor rasa manis ke seluruh sistem pencernaan atau mengganggu hormon dan laluan saraf otak yang mengawal kelaparan dan kekenyangan.

"Sehingga kita mengetahui lebih lanjut, kita wajar menggunakan pemanis tidak berkhasiat ini secara berpada-pada.

"Anggap saja ia satu hidangan khas sekali-sekala, bukannya sesuatu yang perlu diminum sepanjang hari," kata M Yanina Pepino, pembantu profesor di Pusat Pemakanan Manusia di Fakulti Perubatan Universiti Washington.

Lima Kg Ketumbuhan Keluar Dari 'Lelaki Pokok' Bangladesh

Posted: 28 Feb 2016 10:11 PM PST

WARGA Bangladesh yang dikenali sebagai 'Lelaki Pokok' berikutan ketumbuhan yang menyerupai
akar yang banyak pada tangan dan kakiknya perlu menjalani belasan sesi pembedahan untuk tempoh sehingga setahun.

Pengarah Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Samanta Lal Sen berkata, sepasukan doktor telah melakukan pembedahan pada tangan kanan Abul Bajandar untuk mengeluarkan beberapa ketumbuhan Sabtu lalu.

Prosedur pada lelaki berusia 26 tahun yang dimasukkan ke hospital bulan lalu dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya lima kilogram ketumbuhan.

Pemuda dari Khulna ini menderita penyakit yang dikenali sebagai Epidermodysplasia verruciformis sejak 10 tahun lalu.

Penyakit kulit yang jarang dialami ini menyebabkan kaki dan tangannya ditumbuhi umpama akar kayu yang menyukarkan kehidupan hariannya.

"Kami mengeluarkan beberapa ketumbuhan pada tapak tangannya, selain mencuci lula pada jari yang dibedah minggu lalu," katanya.


Berita kaki dan tangannya dipenuhi ketumbuhan yang tersebar menyebabkan ribuan pengunjung membanjiri pekan kelahirannya di selatan Bangladesh sekali gus menjadikannya terkenal.

Kata Bajandar, dia tidak mahu pulang ke kampung selagi kaki dan tangan masih dipenuhi ketumbuhan.

Beliau disahkan bebas penyakit kanser dan susulan itu pasukan perubatan yang mengendalikan kesnya merangka jadual pembedahannya.

Kos pembedahannya akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Bangladesh.

Tiada ulasan: