Ahad, 3 Januari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu Nik Omar: Tidak Menjadi Hal Untuk AMANAH

Posted: 03 Jan 2016 12:08 AM PST

Amanah: Ambo tidak terlibat, kata Nik Omar

KOTA BHARU - Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan penyertaan beliau dalam‎ Parti Amanah Negara (Amanah) seperti mana yang dilaporkan portal berita.

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun tidak‎ menolak kewujudan kepelbagaian parti, termasuk kehadiran parti Amanah dalam sistem politik tanah air.

Menurutnya, beliau lebih suka kepada gagasan penyatuan ummah dengan masing-masing membawa pendekatan meraikan satu sama lain.


"Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya semalam, Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin‎ mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Ditanya kenyataan itu bermaksud beliau menolak perlantikkan itu, Nik Omar yang juga Pengetua Mahaad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka‎ berkata, beliau sama sekali tidak terlibat.

Dalam masa yang sama, Nik Omar turut enggan mengulas ketika ditanya dakwaan mengatakan beliau telah menyertai parti itu dengan menggunakan nama samaran.

Nik Omar sebelum ini seringkali dikaitkan dengan Amanah setelah beberapa kali hadir dalam majlis anjuran parti serpihan Pas itu‎ beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

ULASAN GB

Gegak gempita sekejap alam siber dengan isu Nik Omar sertai AMANAH.

Ia gara-gara dengan pengumuman MC majlis makan malam Amanah kelantan di Petaling Jaya yang mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Nik Omar (samada telah atau belum sertai AMANAH) seperti biasa, memberi pandangannya bahawa beliau "tidak‎ menolak kewujudan kepelbagaian parti, termasuk kehadiran parti Amanah dalam sistem politik tanah air."

Beliau tidak mahu megguriskan hati ibunya, kerana sudah pasti pengumuman Nik Omar menyertai AMANAH akan menyebabkan ibunya akan diganggu oleh mereka-mereka yang tidak senang dengan perkembangan itu.

Terdapat sebilangan besar pimpinan dan ahli PAS yang "hilang akal" dan bertindak agresif samada melalui tindakan, ucapan atau tulisan sejak penubuhan AMANAH.

Banyak laporan sebelum ini apabila terdapat kaum keluarga "orang-orang penting" PAS menyertai AMANAH, mereka akan diganggu oleh mereka yang "tidak siuman" seperti apa yang menimpa ke atas anak saudara Presiden PAS iaitu Miqdad Zakaria. Ada seorang anak pemimpin PAS yang dilaporkan tidak siuman telah menyerang dan memaki hamun keluarga Miqdad.

Justeru itu untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku, Nik Omar tidak mengisytiharkan dirinya menyertai AMANAH secara terbuka.

Kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang sebelum ini mengesahkan penyertaan Nik Omar ke dalam AMANAH seperti yang dilaporkan oleh portal MSTAR sebelum ini menjawab segala-galanya. Sudah tentulah sebagai Timbalan presiden parti, beliau mempunyai akses daftar keahlian AMANAH dan beliau tahu samada benar atau tidak nama Nik Omar ada tersenarai di dalam pendaftaran. Salahuddin tidak berbohong. Beliau bercakap di atas dasar fakta yang beliau ada.

Menjadi hak Nik Omar untuk tidak berterus-terang. Kerana ada hal yang perlu dipertimbangkan, seperti yang kita sebut di atas iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman ibunya.

Yang jelas, Nik Omar dilaporkan ada menyertai beberapa program AMANAH di Kelantan. Dan yang jelas juga Nik Omar tidak menyertai mana-mana program PAS di negeri itu.

Walau apapun, AMANAH tidak bergantung kepada satu-dua figur semata-mata. AMANAH adalah sebuah jemaah. Walaupun baru ditubuhkan 3-4 bulan, sambutan terhadap AMANAH cukup menggalakan. Biarlah Nik Omar tidak mengisytiharkan dirinya menyertai AMANAH. Namun kebenaran itu tetap kebenaran. Tiada kebatilan boleh menutup kebenaran.

AMANAH kini bergerak pantas dan laju - kita tidak lagi mampu melayan karenah-karenah yang melecehkan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Biarlah PAS bersama UMNO memperlekehkan AMANAH dengan isu Nik Omar ini. Ia tidak sekali-kali menjadi kudis kepada AMANAH sedikit pun.

Jangan Lama Sangat Jadi Harum Manis, Pesan Salahuddin

Posted: 02 Jan 2016 07:15 PM PST

Ayuh bersama Amanah jika mahu tumbangkan UMNO-BN

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub menegaskan parti itu tidak bersendirian dalam perjuangan menumbangkan Umno-BN walaupun Amanah parti yang baharu ditubuhkan tetapi ia mampu menjadi kuat apabila berada dalam Pakatan Harapan.

"Amanah telah buktikan gelanggang kita free for all. Parti ini inklusif, progresif, sesiapa yang mahu berdepan dengan Umno-BN ayuh mari kita bersilat bertarung di gelanggang ini.


"Orang kata kita (Amanah) tak ada tokoh besar macam Anwar Ibrahim, Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh orang perkecilkan kita, kita terima. Tetapi kita ada pasukan terbaik dalam Pakatan Harapan untuk menumbangkan Umno BN," ujarnya ketika berucap dalam majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Bekas naib presiden PAS itu juga sempat memperli ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar yang digelar "harum manis" iaitu masih berada dalam PAS tetapi seolah-olah menyokong Amanah.

"Seorang lagi rakan kita Datuk Mahfuz Omar. Sampai bila mahu jadi harum manis," katanya.

Salahuddin turut mengenang kembali pesanan bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa bagi menumbangkan Umno, dua tongkat mereka perlu dipatahkan iaitu MCA dan MIC.

Beliau berkata, tongkat itu berjaya dipatahkan oleh DAP sewaktu dalam Pakatan Rakyat

"Hari ini sejujurnya kita sebagai orang perjuangan mesti mengakui DAP telah berjaya mematahkan tongkat MCA dan MIC.

"DAP tidak mampu melakukannya seorang diri tetapi berjaya apabila bertahaluf siayasi dalam Pakatan Rakyat.

"Tetapi bila Umno dalam kritikal ada pula orang datang bawa tangki oksigen,"
katanya merujuk kepada PAS yang ingin mengadakan kerjasama dengan Umno.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam ucapannya di majlis sama berkata, DAP akan menyaman seorang ahli politik yang mendakwa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson.

Beliau tidak menamakan "pemimpin politik kanan" berkenaan tetapi berkata individu itu akan disaman kerana memfitnah.

"Menurut al-Quran, memfitnah adalah satu jenayah yang lebih buruk daripada membunuh. Saya menjangkakan peguam DAP akan memulakan prosiding undang-undang dalam satu atau dua hari lagi," katanya yang juga Ketua Parlimen DAP.


Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga berkata, pembohongan tersebut menunjukkan "budaya terdesak politik di negara ini".

Beberapa hari lalu, Pengarah Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa DAP ditawarkan wang sebagai pertukaran dengan pangkalan tentera laut Israel.

Dakwaan itu timbul apabila Ketua Biro Ekonomi Perak DAP Chong Zhemin mengecam Kementerian Belia dan Sukan dalam kes atlet Israel yang dinafikan visa dan akhirnya tidak mengambil bahagian dalam acara sukan luncur antarabangsa di Langkawi.

Chong bagaimanapun kemudiannya menarik balik kenyataannya dan DAP mengatakan ia pandangan peribadi beliau sementara parti itu tetap dengan pendiriannya tidak menyokong Israel. -MD

ULASAN GB

Betul juga kata Salahuddin yang memperli rakannya Mahfuz Omar apabila secara berseloroh bertanya, sampai bila mahu jadi harum manis?

Kita jangan lama-lama jadi buah harum-manis, nanti buah itu akan menjadi busuk dan tidka boleh digunakan lagi.

Sekarang AMANAH sedang menyusun gerak kerja di segenap pelusok negara. Dilakukan dan disertai oleh mereka yang yakin dan percaya bahawa dengan Pakatan Harapan kita bakal akan dapat menumbangkan kerajaan UMNO BN. Yang harum manis semacam tunggu, tengok dan lihat. Kata mereka, jasad bersama PAS, tapi hati bersama AMANAH.

Menjadi harum manis ada tempohnya. Tidak boleh terlalu. Sebab perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan memerlukan insan yang tegas dan bergerak pantas. Jika tidak kebatilan dan kezaliman akan terus bermaharajalela. Dan salah siapa jika berlaku demikian?

Justeru itu, tinggalkan segera kapal yang dah nak karam. Jom bersama di dalam kapal baharu bernama AMANAH dan Pakatan Harapan. Kita tak tahu bilakah ribut dan gelombang besar akan tiba.... kudrat dan iradat Ilahi tidak boleh terduga...

Tiada ulasan: