Jumaat, 1 Januari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Selamat Tahun Baru Dari AMANAH

Posted: 01 Jan 2016 12:20 AM PST

Tahun Baru 2016 : Perutusan Presiden Amanah

Parti Amanah Negara (Amanah) dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan diminta bekerja kuat untuk melahirkan suatu masyarakat yang cakna terhadap nilai dan hak sebagai rakyat negara ini.

Justeru masyarakat madani perlu dibentuk untuk membuat perubahan ini. Amanah bersedia memikul tangungjawab membuat perubahan terutama dalam pemikiran politik dan ekonomi.


Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kesejahteraan masyarakat mesti diutamakan supaya 'good governance' menjadi tujuan utama dan 'maqasid syariah' pula perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya Islam sebagai rahmat untuk semua dapat dijelmakan pada tahun 2016.

"Tahun 2016 menjelang tiba kerajaan dan rakyatnya berada dalam keadaan yang tidak menentu berikutan masalah tekanan ekonomi dan inflasi.

"Rasuah pula masih lagi berleluasa. Ketirian dan penyalahgunaan kuasa dan undang-undang masih lagi digunakan ke atas rakyat.

"Akta Hasutan digunakan secara bermaharajalela ke atas pembangkang dan NGO yang tidak sebulu dengan pemerintah.

"Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula bakal diperkenalkan untuk membolehkan Perdan Menteri bertindak mengisytiharkan darurat di mana kawasan negeri dan negara," ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.


2016 TAHUN MERAKYATKAN AMANAH

Tahun 2016 ini merupakan tahun untuk merakyatkan Parti Amanah Negara (AMANAH). Di dalam satu kenyataan media khas yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden AMANAH sedmpena Tahun Baru 2016, Tn Hj. Salahuddin Ayub, beliau menyeru setiap kepimpinan di semua peringkat supaya menjadikan tahun baru 2016 sebagai 'Tahun Merakyatkan AMANAH'.

Menurut kenyataan tersebut, di saat dan ketika ada beberapa parti politik di negara ini cenderung untuk kembali kepada era politik perkauman, AMANAH perlu pantas untuk menampilkan pendekatan politik yang lebih segar dan menyakinkan.

"Penampilan AMANAH dengan pendekatan politik Islam yang progresif, inklusif dan peduli, perlu diagendakan dalam setiap segmen kehidupan rakyat di negara ini," tambah kenyataan itu lagi.

AMANAH juga sedang merancang secara teliti agar setiap keluarga di negara ini mempunyai ahli AMANAH.

AMANAH juga konsisten untuk menjadikan perjuangan pembelaan isu-isu rakyat dan menentang salah laku serta kezaliman BN sebagai suatu keutamaan.

Dan adalah terlalu penting bagi AMANAH sepanjang tahun 2016 untuk menjenamakan dirinya dalam ingatan dan sanubari rakyat melalui seluruh ruang dan kesempatan yang terbentang luas di persada politik negara ini, tambahnya..

Di dalam perkembangan yang sama, Pengerusi AMANAH Melaka, Tn Hj Adly Zahary turut mengucapkan Selamat Tahun Baru 2016 kepada seluruh warga Melaka terutama ahli-ahli AMANAH.

Beliau berkata semuga tahun baru 2016 akan membuka lembaran baharu dengan harapan baharu kepada seluruh rakyat negara ini.




Tiada ulasan: