DIALOG RAKYAT |
- KALAU SUKA SANGAT BERGURAU, BERHENTI SAJA JADI MENTERI!!
- Gambar aib Najib: Pemilik Twitter disiasat
- PAN sedia pikul tugas Exco jika dilantik kerajaan negeri
- Tangguh sambung belajar, jaga kebajikan adik-adik
- Setuju tukar semula bayi perempuan
- Hina Kesultanan Johor: Aduka Taruna ditahan
- Gerakan mahu Pakatan Harapan nyata pendirian hudud
- SPRM beri amaran lebih tangkapan, Zam tanya bila ikan besar
- Guna Islam kaut untung, Rayani Air jawab Dr Mahathir
- Rumah pengawal peribadi Zahid pula dirompak
- AMANAH JANGAN AWAL SANGAT MAHU MENGADA-NGADA...
- Mufti, ketua biskop KL adakan pertemuan bersejarah
- Kemelut 1MDB cabaran kedaulatan undang-undang, kata Majlis Peguam
- Kos sara hidup: Putrajaya cari formula pulih keyakinan rakyat
- Siapa yang lebih rasis sebenarnya?
- PH meterai perjanjian elak serang antara komponen
- ‘Norieen tak boleh pandang SK Tohoi’
- Azmin: Isu pembahagian kerusi ahli majlis selesai
- Zizan Razak akhiri zaman bujang tahun ini?
- Tanah bekas perlombongan bauksit tidak subur untuk pertanian - Pakar
- Musim sekolah kini kembali dan ini adalah 5 tip untuk ibu bapa
- Caj urusan tanah Pahang naik 200 peratus!
- DAP tidak akan gadai prinsip perjuangan demokratik
- Kesungguhan Impian Sarawak bantu rakyat dorong anak muda Betong pilih DAP
- Pesakit, Kakitangan HTAA 'Berpeluh' Di Hospital
KALAU SUKA SANGAT BERGURAU, BERHENTI SAJA JADI MENTERI!! Posted: 08 Jan 2016 06:53 AM PST shahbudindotcomHamzah Zainuddin akhirnya mendapat "penangan pertama" media berikutan kenyataannya yang meminta rakyat membawa bekal ke pejabat sebagai salah satu cara untuk menangani kenaikan kos sara hidup. Kebetulan beliau yang memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil alih tempat Hassan Malek yang digugurkan daripada kabinet, kenyataannya itu rata-rata membuatkan Hamzah mula dilihat sebagai mempunyai gaya pemikiran yang sama dengan pendahulunya itu. Hasan Malek merupakan menteri yang paling banyak dipertikaikan umum berikutan kenyataan tidak cerdik yang dikeluarkannya yang antata, "jangan makan ayam jika harganya mahal" sehingga akhirnya digugurkan dalam rombakan kabinet Julai 2015 lalu. Setelah beberapa hari menjadi mainan di media sosial, Hamzah kemudian tampil mengakui kenyataannya itu hanya gurauan sesama kakitangan di kementeriannya saja. "Itu saya bergurau di perhimpunan bulanan kementerian, bukan ucapan yang ditujukan kepada rakyat. "Saya tak suruh rakyat bawa bekal. Selepas ini saya tak boleh melawak lagi dengan media", kata Hamzah membetulkan salah tanggapan yang sudah tersebar luas mengenai kenyataannya itu. Sebagai menteri, Hamzah sepatutnya sedar isu berkaitan kenaikan kos sara hidup bukanlah perkara yang boleh digurausendakan atas kapasitinya mengetuai kementerian yang bertanggungjawab secara langsung mengatasi masalah itu. Beliau adalah penyelesai masalah dengan sepatutnya menunjukkan jalan keluar yang munasabah dan dapat diterima rakyat dalam isu kos sara hidup, bukannya dengan cuba meringankan beban mereka melalui ketawa dan lawak jenaka. Kalau pun berucap di program bulanan kementerian dan di depan kakitangan, apakah perlu membuat lawak sedemikian rupa, apatah lagi bila mengetahui pihak media turut hadir sama? Menyalahkan media yang membuat laporan terhadap ucapannya juga merupakan tindakan yang tidak betul kerana jika beliau tidak bercakap "mengarut" sedemikian rupa, sudah tentu tidak timbul sebarang masalah mengenainya. Lagi pun, semua menteri yang lain turut membuat perhimpunan bulanan dan memberikan ucapan, tetapi mengapa ianya disiarkan secara baik-baik saja? Selain itu, Hamzah juga mesti ingat beliau mengambil alih tempat Hasan Malek yang banyak dipertikaikan logik kenyataannya sebelum ini dalam pelbagai isu yang melibatkan kenaikan harga barang dan pengguna. Maka, beliau seharusnya membuktikan perlantikannya adalah pilihan yang lebih baik yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak dan bukannya seperti "pelawak menggantikan pelawak" juga. Barangkali kesilapan pertama dengan cuba bergurau dan membuat lawak jenaka ini merupakan pengajaran yang berguna buat Hamzah. Jika beliau belajar, mengambil iktibar daripadanya dan menjadikan ianya sebagai sempadan, pasti ada kebaikan buat dirinya, tetapi jika tidak, kehadirannya tidak lebih dianggap hanya sebagai "Hassan Malek kedua" dalam pentadbiran kerajaan sekarang. Berhentilah bergurau dan membuat lawak, terutama dalam hal yang berkaitan kos sara hidup dan kenaikan harga barang. Ia bukan perkara yang wajar dijadikan bahan lawak oleh seorang menteri. Rakyat mahukan penyelesaian yang boleh menggembirakan mereka sekeluarga, bukannya dengan digeletek untuk terhibur dan ketawa. Cukuplah yang membuat rakyat ketawa ahli lawak jenaka atau peserta program Maharaja Lawak saja, kecualilah jika Hamzah juga peminat tegar program televisyen itu , sama seperti Hasan Malek yang kelihatan gembira sekali ketika hadir sebagai penontonnya tidak lama dulu. |
Gambar aib Najib: Pemilik Twitter disiasat Posted: 08 Jan 2016 03:05 AM PST NORAIZURA AHMADArahan yang diberikan kepada PCIRC oleh Khalid untuk mengesan pemilik muat naik gambar mengaibkan Najib. - Foto Twitter @KBAB51 KUALA LUMPUR, Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) diarah mengesan pemilik Twitter yang memuat naik gambar palsu Perdana Menteri yang disifatkan sebagai mengaibkan."PCIRC @PDRMsia kesan @DJStarscreamx dan soal di mana dia perolehi gambar PM yang mengaibkan ini," tulis Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam status Twitternya, hari ini. Laman media sosial hari ini gempar dengan sekeping gambar Datuk Seri Najib Razak yang telah diubah suai berpakaian wanita berwarna biru. Gambar tersebut diubah suai dengan meletakkan gambar Najib pada gambar yang dipercayai pemilik asal badan ialah pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman. Difahamkan, gambar dimuat naik DJStarscreamx itu, dikatakan diperoleh daripada laman Facebook. Gambar itu turut disertakan keterangan "Qu Samun Qu Samun…Barulah Penyamun!!..Ha Ha Ha". |
PAN sedia pikul tugas Exco jika dilantik kerajaan negeri Posted: 08 Jan 2016 02:55 AM PST Oleh Azizul Osman SHAH ALAM: Biapun baru enam bulan ditubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) tidak teragak-agak untuk memikul tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor sekiranya ditawarkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Pengerusi PAN Selangor Izham Hashim berkata kesediaan ini timbul kerana kepercayaan yang diberikan kepada parti itu dalam memenuhi kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kalau dia (kerajaan Negeri Selangor) nak bagi kita terimalah," katanya di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam sebentar tadi. Bagaimanapun bagi Pengarah Komunikasinya Khalid Abdul Samad, beliau tidak mengharapkan jawatan yang lebih tinggi dalam kerajaan negeri tetapi memadai jika diberikan bertanding sebagai ADUN pada pilihan raya umum akan datang. Katanya, ini sekali gus akan lebih mengiktirafkan PAN sebagai sebahagian daripada kerajaan Negeri Selangor. (Kerusi) Exco tidak payahlah. Kita cuma 2 kerusi (ADUN), parti baru lagi, kami gembira," celah Khalid Samad. Khalid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana diberi ruang berperanan dalam kerajaan Pakatan Harapan di Selangor bagaimanpun parti itu tetap meneruskan rundingan bersama kerajaan negeri bagi mendapatkan kouta sekurang-kurangnya 24 kerusi. Sebelum ini PAN dilapor tidak berpuas hati dengan kerusi Ahli Majlis PBT yang diserahkan kepadanya. Kenyataan itu dikeluarkan Izham sehari selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dipengerusikan Azmin yang mengumumkan sepuluh kerusi ahli majlis PBT diberikan kepada PAN hasil persetujuan antara PKR, DAP dan PAS. PAN diberikan 10 kerusi Ahli Majlis PBT yang merangkumi dua kerusi di Hulu Selangor, dua kerusi di Sabak Berman, dua di Kuala Langat dan juga dua di Sepang dan masing-masing satu kerusi di Subang dan Kuala Selangor. Keputusan itu ditentang Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad. Menurut Iskandar, parti itu tidak akan mengiktiraf lantikan berkenaan biarpun mereka akan mengangkat sumpah minggu depan. |
Tangguh sambung belajar, jaga kebajikan adik-adik Posted: 08 Jan 2016 02:46 AM PST SINAR HARIAN HULU TERENGGANU - Setelah bertungkus lumus belajar hingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), seorang pelajar mengambil keputusan untuk tidak melanjut pelajaran kerana terpaksa menyara empat orang adiknya. "Saya terpaksa tangguhkan dahulu niat nak sambung belajar sebab terpaksa dahulukan adik-adik yang masih belajar," kata Norul Akhmal Mohd Rafi, 20. Dia dan adik-beradiknya dari Kampung Lerek di sini kematian ibu dan bapa mereka. Ibu mereka Aida Mustapha meninggal tahun lalu akibat bengkak hati manakala bapa mereka Mohd Ropi Aripin meninggal tiga tahun lalu disebabkan paru-paru berair. Norul Akhmal berkata sejak kematian ibu bapa mereka, dia dan kakak mereka Nor Amiza, 21, serta adiknya Noor Assyikin, 19, mengambil tanggungjawab menanggung empat adik mereka Mohd Rusdi, 16, Nor Amaniah, 11, Muhammad Rafiq Edham, 7, dan Nor Amaliena, 6. "Saya dan adik bekerja sebagai pembantu kantin dan tukang sapu di sebuah sekolah di sini manakala kakak saya bekerja sebagai pembantu kedai di pekan Kuala Berang. "Bila kami dapat gaji yang tak seberapa, kami akan keluarkan seorang sedikit dan berkongsi untuk membeli barangan dapur, kelengkapan sekolah serta keperluan adik-adik," katanya kepada Bernama. Menurut Norul Akhmal, meskipun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan dan bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, namun kadang kala ia tidak mencukupi. Beliau berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat turut membantu membeli pakaian dan kelengkapan sekolah adik-adiknya bagi permulaan sekolah tahun ini. "Lepas ni, tak tahu lagi macam mana nasib kami. Saya ingat nak masuk kelas jahitan, tapi ia jauh di pekan Kuala Berang dan kami tak ada kenderaan lain kecuali sebuah motosikal peninggalan ayah dan mak yang perlu dikongsi kakak dan adik saya untuk bekerja," katanya. - Bernama |
Setuju tukar semula bayi perempuan Posted: 08 Jan 2016 02:43 AM PST ALOR SETAR - Sepasang suami isteri tidak menyangka keterujaan untuk menyambut kelahiran seorang cahaya mata baru bertukar peristiwa hitam apabila bayinya dipercayai tertukar dengan pasangan lain, Rabu lalu. Pertukaran anak kelima kepada pasangan Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, dan Mahani Zakaria, 36, hanya diketahui menerusi panggilan telefon oleh sebuah hospital swasta dekat Jitra, lima jam selepas bayi perempuan itu dibenarkan pulang ke rumah. Difahamkan, hospital swasta itu menerima kelahiran dua bayi perempuan seberat 3.1 kilogram dan 3.0 kilogram pada jam 2 dan 4 petang, hari sama. Nik Ahmad Sabri ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak mereka ditukarkan semula selepas perbincangan bersama hospital dan pasangan berkenaan kira-kira jam 11 malam, Rabu lalu. "Tiga anak saya lahir di Kelantan. Anak keempat dan kelima lahir di hospital berkenaan. "Saya pilih hospital itu sebab doktor yang merawatnya adalah wanita, tetapi saya tidak sangka kejadian ini akan berlaku kepada kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, insiden tertukar bayi amat dikesali dan suatu perkara serius jika tidak ditangani segera. "Bayangkan sepanjang hari isteri saya memegang bayi itu dan menyusukannya sampai kenyang sehingga pulang ke rumah kira-kira jam 3 petang. "Kemudian lebih kurang jam 8 malam, saya dapat panggilan dari hospital memaklumkan bayi kami tertukar dengan pasangan lain. Sejak itu, isteri saya menangis tidak henti sebab terkejut," katanya. [ARTIKEL BERKAITAN: Siasat hospital swasta punca bayi tertukar ] Beliau berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku disebabkan kecuaian jururawat ketika dalam bilik persalinan. "Kami setuju menukar semula bayi itu selepas melihat tanda nama yang diikat di kaki bayi tertera nama pasangan lain. "Tetapi ujian DNA tetap perlu dilakukan untuk memastikan ia benar-benar anak kami dan tidak tertukar lagi," katanya. Menurutnya, lebih menyedihkan apabila pasangan yang tertukar bayi dengannya melahirkan anak sulung dan mungkin lebih trauma. "Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil perhatian dalam isu ini sehingga ia dapat diselesaikan dengan cepat. "Saya harap isu ini tidak dijadikan spekulasi besar oleh pihak lain sebab bayi ini sudah ditukar semula dan menunggu keputusan DNA dalam masa 10 hari," katanya. Bagaimanapun, Nik Ahmad Sabri meminta suatu tempoh dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membolehkannya mendaftarkan nama anak mereka setelah ujian DNA diketahui. |
Hina Kesultanan Johor: Aduka Taruna ditahan Posted: 08 Jan 2016 02:39 AM PST SINAR HARIAN JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Aduka Taruna ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung tulisan menghina dan menghasut institusi Kesultanan Johor melalui laman sosial Facebook (FB). Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira 10 pagi ini di kawasan perumahan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan. Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, yang mengesahkan perkara itu, berkata penahanan suspek adalah untuk membantu siasatan kes yang dilaporkan di Balai Polis Skudai, semalam. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan komputer riba daripada suspek berkenaan. "Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, di sini. Menurutnya, perintah reman untuk lelaki tersebut akan dipohon daripada mahkamah dalam waktu terdekat. Wan Ahmad Najmuddin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan kenyataan berbaur fitnah atau hasutan, yang boleh mencemarkan kredibiliti kerabat diraja atau mana-mana individu. - Bernama |
Gerakan mahu Pakatan Harapan nyata pendirian hudud Posted: 08 Jan 2016 02:30 AM PST MALAYSIAKINI Keraguan terhadap perjanjian Pakatan Harapan bakal dimeterai oleh ketiga-tiga parti pembangkang esok terus mencurah, khususnya sama ada isu-isu hangat seperti pertikaian pelaksanaan undang-undang hudud telah diselesaikan. Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi, Parti Gerakan, Baljit Singh berkata, gabungan itu, yang masih terdiri daripada 'muka lama' seperti DAP, PKR dan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu menyatakan pendirian mereka mengenai hudud. "Sandiwara lucu lagi mengelirukan oleh bekas Pakatan Rakyat yang membabitkan pemimpin sama masih segar dan jelas dalam minda rakyat," kata Baljit dalam satu kenyataan. "Banyak soalan-soalan kritikal berhubung hudud tidak dijawab oleh DAP, PKR dan AMANAH yang menjadikan ikrar untuk menandatangani perjanjian itu tidak bermakna. "Adakah mereka akan mengeluarkan kenyataan bersama untuk menghalang PAS daripada membentangkan undang-undang hudud di Parlimen? Bersediakah AMANAH menggugurkan rancangan melaksanakan hudud jika DAP menentangnya?" soal Baljit. Menurutnya, rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas tanpa samar-samar sebelum perjanjian Pakatan Harapan ditandatangani esok. Jika tidak, Baljit berkata penjenamaan politik baru Pakatan Harapan tidak menawarkan banyak perubahan seperti 'hantu' Pakatan Rakyat yang masih hidup. |
SPRM beri amaran lebih tangkapan, Zam tanya bila ikan besar Posted: 08 Jan 2016 02:28 AM PST MALAYSIAKINI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan baru berhubung aktiviti perlombongan bauksit haram di Pahang. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, tangkapan baru itu bakal membabitkan beberapa individu yang disyaki sebagai orang tengah yang melindungi aktiviti berkenaan. "Kita tidak menolak akan ada suspek lain yang akan ditahan untuk bantu siasatan berhubung kes semalam susulan hasil daripada maklumat terbaru yang kita terima. "Pegawai SPRM kita kini sedang mengesan individu lain termasuk orang tengah serta individu lain dan sebagainya untuk disoal siasat," katanya kepada laman web rasmi Kelab Penyokong Kerajaan, BNBBC.my. Semalam, agensi anti-rasuah itu mendedahkan bahawa empat anggota Pejabat Tanah dan Galian termasuk seorang pegawai kanan ditahan. Keempat-empat mereka disyaki meminta serta menerima rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen. Dalam tulisan di Twitter, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyoal sama ada SPRM hanya menjadikan 'ikan bilis' sebagai sasarannya. "Apabila empat pegawai PTG ditahan SPRM kerana isu bauksit, ramai tertanya apakah exco negeri tak terlibat dlm kelulusan projek ini. Ikan bilis sahaja?" tulisnya. Sementara itu, Azam menafikan SPRM membuat penangkapan hanya selepas kerajaan persekutuan mengumumkan moratorium tiga bulan ke atas perlombongan bauksit di pahang. Katanya, ia hanya kebetulan. Ini kerana SPRM katanya telah mula bergerak secara aktif menyiasat aktiviti rasuah sejak pertengahan tahun lalu dan bertindak setelah mendapat maklumat yang jelas berhubung terdapatnya unsur-unsur rasuah di kawasan berkenaan. "Nak kata apabila kerajaan suruh tutup baru ada tangkapan, saya kira tidak juga kerana kita hanya akan lakukan tangkapan jika maklumat yang diberikan mencukupi. "Hanya kebetulan sewaktu tangkapan dibuat arahan menutup sementara aktiviti perlombongan sudah dibuat," katanya. Justeru orang ramai diseru tampil memberikan maklumat kepada SPRM jika mereka rasakan terdapat aktiviti melibatkan rasuah dimana-mana kawasan berdekatan mereka. "SPRM tidak boleh bertindak sendiri. Kalau tidak ada orang beri maklumat kepada kita, kita tidak tahu dan kita tak boleh nak siasat. Jangan takut beri maklumat kepada kita. Kita akan lindungi semua maklumat," katanya. |
Guna Islam kaut untung, Rayani Air jawab Dr Mahathir Posted: 08 Jan 2016 02:22 AM PST MALAYSIAKINI Syarikat penerbangan patuhi syariah yang pertama di Malaysia, Rayani Air menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ia hanya menggunakan nama Islam untuk mengaut keuntungan. Ketua Pegawai Operasinya, Sumar Lee Hashim Lee berkata syarikat itu cuba menampilkan ciri-ciri Islam dalam Rayani Air kerana ia bertepatan dengan imej negara sebagai sebuah negara Islam. Beliau berkata syarikat penerbangan itu juga cuba untuk membantu orang Melayu dalam mendapatkan pekerjaan. Menurutnya, pemilik Rayani Air adalah berbangsa India, namun konsep keislaman yang diterapkan itu adalah cetusan idea daripada empat orang kakitangan dalam bidang operasi termasuk beliau sendiri. "Itu pandangan peribadi Tun, dalam sesuatu perniagaan apa-apa pun memang nak untung, kalau tak mahu untung tak payahlah berniaga. "Tapi bila ada dakwaan kita guna nama Islam untuk kaut keuntungan, itu tak betul, kita hanya bawa ciri-ciri Islam dalam syarikat penerbangan ini. "Contohnya kita tengok perniagaan tudung Fareeda, Neelofar, kalau tak kerana ciri-ciri Islam yang ditampilkan, pengeluar tudung itu sendiri pun takkan untung," katanya yang dipetik dalam satu wawancara dengan portal BNBBC.my. Rayani Air bulan lalu memperkenalkan imej sebagai syarikat penerbangan patuhi syariah dengan mewajibkan anak kapal kabinnya yang beragama Islam memakai tudung dan menyediakan makan minum daripada sumber halal serta melarang minuman keras. Bacaan doa juga berkumandang sebelum memulakan penerbangan. Mahathir dalam wawancara dengan portal Free Malaysia Today, awal minggu ini mempersoalkan sama ada melayan penumpang dengan memakai tudung adalah untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam. Sumar Lee bagaimanapun menyoal semula sama ada memakai tudung itu satu kelahan. "Pakai tudung buat kerja salahkah? Ia sopan, Islam wajib pakai tudung, itu antara ciri-ciri Islam yang kita masukkan (dalam Rayani Air), di Malaysia juga sekarang ini ciri keislaman menjadi satu tarikan dan ia adalah satu kebaikan. "Bukan nak tunjuk lebih Islam, cuma kita nak penuhi kehendak keislamaan dengan mengetengahkan konsep ciri-ciri Islam dimana kita wajibkan pekerja kita pakai tudung. "Polisi yang kita buat tu disambut baik, bukan setakat pekerja menyambut baik, malah sekarang ni orang Malaysia semakin ramai memakai tudung," katanya kepada portal itu lagi. |
Rumah pengawal peribadi Zahid pula dirompak Posted: 08 Jan 2016 01:10 AM PST MALAYSAKINI Kurang tiga minggu selepas rumah anak perempuannya dipecah masuk buat kali kedua, nasib malang sekali lagi menimpa Timbalan Perdana Menteri apabila kali ini rumah pengawal peribadinya pula dimasuki perompak. Portal The Sun melaporkan sekumpulan perompak menggunakan parang dan merempuh masuk ke dalam rumah pegawai polis itu di bandar Bukit Mahkota pada jam 9.30 pagi semalam. Perompak tersebut dilapor mengancam anak dan isterinya dengan parang dan mendesak supaya menyerahkan wang dan barang berharga sebelum mengarahkan mangsa menekup muka di lantai. Pegawai polis berkenaan bagaimanapun tiada di rumah ketika kejadian. Penjenayah juga dilapor mendesak agar isteri pegawai polis terbabit menyerahkan senjata suaminya. Bagaimanapun mereka tidak dapat berbuat demikian kerana senjata api berkenaan dibawa bersama anggota polis terbabit. Dalam kejadian itu, perompak terbabit merampas wang tunai, barang kemas dan alat elektronik bernilai hampir RM60,000, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian. Pada 16 Disember tahun lepas, rumah anak perempuan Zahid, Nurulhidayah di Country Heights Kajang turut dipecah masuk untuk kali kedua. Zahid merupakan menteri dalam negeri dan pasukan polis berada di bawah bidang kuasanya. |
AMANAH JANGAN AWAL SANGAT MAHU MENGADA-NGADA... Posted: 08 Jan 2016 12:11 AM PST shahbudindotcomParti Amanah dilaporkan masih menimbang sama ada mahu menerima atau tidak peruntukan lapan kerusi ahli majlis di PBT Selangor dalam agihan baru yang dibuat baru-baru ini berikutan kurang berpuas hati dengan jumlah tersebut. Ia susulan parti itu sebelum ini meminta diperuntukkan sekurang-kurangnya 24 kerusi ahli majlis daripada keseluruhan 288 kerusi PBT yang terdapat di negeri itu. Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dipetik sebagai berkata, masih menimbang sama ada mahu menerima atau menolak peruntukan lapan kerusi yang diagihkan oleh kerajaan negeri itu. Agihan baru itu dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali berikutan kewujudan Amanah sebagai parti baru yang kini menganggotai Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP, sementara Pas walaupun tidak menganggotai gabungan baru itu, tetapi kekal bertahalul siyasi dengan PKR. Kerajaan negeri pula dilaporkan enggan melayan rasa tidak puas hati Amanah itu, sebaliknya meminta mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya "daripada kosong, kini sudah ada lapan kerusi ahli majlis dalam PBT yang dimiliki." Dalam hal ini, Amanah harus kembali kepada realiti. Mereka adalah parti baru yang masih belum diuji sokongan rakyat dalam mana-mana pilihanraya. Semua kerusi Parlimen atau DUN yang mereka menangi sekarang adalah atas tiket Pas. Oleh itu, ada baiknya mereka menerima saja peruntukan lapan kerusi yang diperuntukkan itu dan membuktikan keinginan untuk bekerjasama memenangi hati rakyat terlebih dahulu melalui kemampuan dalam pilihanraya akan datang. Amanah tidak perlu menunjukkan mereka terlalu "mengada-ngada" inginkan kerusi, jawatan dan kedudukan, sebelum kemampuan sebenar mereka diuji sama ada diterima rakyat atau sebaliknya. Yang penting buktikan kemampuan terlebih dahulu melalui kejayaan memenangi kerusi dalam pilihanraya dan membantu rakan-rakan dalam Pakatan Harapan mengekalkan kerajaan negeri yang ada. |
Mufti, ketua biskop KL adakan pertemuan bersejarah Posted: 08 Jan 2016 12:08 AM PST Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengadakan pertemuan dengan Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow semalam dan berbincang mengenai berbagai isu termasuk keperluan toleransi dan saling menghormati antara agama. Menerusi laman Facebook beliau, Zulkifli sendiri menyifatkan lawatan Leow ke pejabatnya di Kuala Lumpur itu sebagai bersejarah dengan menulis menggunakan hashtag "sejarah" di hujung catatannya. "Pelbagai isu yang dibincangkan bersama khususnya perihal konsep kepelbagaian masyarakat, toleransi dan sikap hormat-menghormati antara agama. "Semoga Allah merahmati kita semua. #sejarah," tulis mufti itu dalam postingnya tengah hari semalam. Shah memberitahu The Malaysian Insider kedua-dua pihak gembira dengan pertemuan itu dan Zulkifli dijangka turut mengadakan kunjungan hormat kepada Leow pada tarikh yang akan ditentukan secepat mungkin. Beliau berkata kedua-dua pemimpin agama mengadakan perbualan "hati ke hati" dan bersetuju prejudis dan syak wasangka antara agama tidak membawa manfaat kepada sesiapa. "Mereka gembira dapat bercakap dengan satu sama lain dan mufti berkata, seseorang yang mengaku menganut mana-mana agama, secara semula jadinya, tidak akan suka berkonflik. "Ketua biskop pula bercerita mengenai bagaimana rakyat Malaysia daripada latar belakang berbeza boleh hidup bersama dengan aman 40 tahun yang lalu dan kita mesti wujudkan semula suasana itu," kata Shah. Beliau berkata, pertemuan itu diadakan selepas dirancang selama 2 bulan. Katanya, ia bermula dengan Leow meminta untuk bertemu para imam masjid dan Shah kemudiannya mencadangkan supaya ketua biskop itu terus bertemu mufti, dan Leow bersetuju. "Apabila saya bangkitkan perkara itu dengan mufti, beliau sangat gembira mendengar ketua biskop tersebut ingin bertemunya. Begitulah bagaimana pertemuan itu akhirnya terjadi," kata Shah. Shah berkata kumpulan itu sering menerajui penganjuran pelbagai program yang mempromosikan pertemuan dan aktiviti antara agama. "Kami menganjurkan majlis berbuka puasa antara 25 imam masjid dan 25 paderi Kristian sebelum ini dan kami juga pernah menerima sekumpulan ustaz dan ustazah melawat gereja dan kuil pada tahun-tahun sebelum ini," katanya. Global Unity didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada Mac lalu |
Kemelut 1MDB cabaran kedaulatan undang-undang, kata Majlis Peguam Posted: 07 Jan 2016 11:58 PM PST Katanya, laporan meluas mengenai "campur tangan atau sekatan dalam siasatan" terhadap tuduhan salah laku membabitkan syarikat pelaburan milik negara itu "tidak boleh diabaikan". "Tindakan seperti itu meninggalkan kesan dari segi menjejaskan dan melemahkan institusi negara yang terbabit dalam siasatan itu. "Amat penting perkara yang tidak menyenangkan ini diakui kerana ia tidak sepatutnya berlaku, dan tidak boleh berlaku lagi demi kepentingan Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis Tahun Perundangan 2016 di Kuala Lumpur, hari ini. Beliau menamakan kontroversi 1MDB sebagai satu lagi cabaran terhadap kedaulatan undang-undang. "Satu lagi cabaran terhadap kedaulatan undang-undang yang kita bimbangkan ialah kemelut 1MDB dan kelemahan institusi penting negara menangani serangan dan campur tangan," kata Thiru. Katanya, banyak yang dilakukan pihak eksekutif tahun lalu yang mencetuskan tanggapan berlakunya campur tangan dalam siasatan terhadap 1MDB. Thiru berkata ini termasuk penyingkiran individu penting seperti bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam siasatan 1MDB, pembubaran pasukan siasatan khas pelbagai agensi dan kelewatan dalam inkuiri Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang disebabkan rombakan Kabinet. Beliau juga menyebut mengenai siasatan dilakukan terhadap pegawai SPRM, Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara susulan dakwaan kebocoran maklumat, serbuan ke pejabat dan rampasan dokumen serta pertukaran serta-merta 2 pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, yang kemudian dibatalkan selepas kekecohan timbul. "Semua tindakan berkenaan menyebabkan orang ramai tidak dapat tidak merasakan wujud sekatan dalam siasatan terhadap 1MDB. "Ia juga menyebabkan imej institusi berkenaan terjejas di mata awam. Gangguan yang mereka terima dilihat sebagai langkah merun¬tuhkan pentadbiran keadilan," katanya. Majlis Peguam juga mengecam tindakan campur tangan itu pada mesyuarat agung luar biasa pada 12 September tahun lalu, di mana ia meluluskan resolusi menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan mengenai perkara itu. Mengakui wujud perkembangan dalam siasatan itu baru-baru ini, Thiru berkata Majlis Peguam masih bimbang kerana kebebasan institusi awam amat penting untuk melaksanakan demokrasi. "Kami juga bimbang apabila semakin ramai orang awam khuatir ada usaha ke arah menyembunyikan sesuatu, dan hasil terakhir siasatan itu," katanya. Thiru turut merujuk kepada kenyataan Majlis Raja-raja pada Oktober tahun lalu menggesa resolusi segera terhadap masalah 1MDB dan tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. "Titah nasihat dan kebimbangan para Sultan ini perlu diberi perhatian dan dihormati," katanya. |
Kos sara hidup: Putrajaya cari formula pulih keyakinan rakyat Posted: 07 Jan 2016 11:50 PM PST Kerajaan perlu jadi lebih prihatin terhadap isu diperkatakan supaya rakyat yakin dan bersama menangani isu berkaitan kos sara hidup. PUTRAJAYA: Mesyuarat pertama jawatankuasa tertinggi menangani kos sara hidup hari ini membincangkan isu mengurus persepsi negatif di media sosial bagi meraih keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Kenyataan media jawatankuasa itu yang diedar hari ini, menyebut kerajaan memandang serius setiap perkara, komited dan proaktif mencari langkah menangani kenaikan kos sara hidup rakyat. "Kerajaan perlu jadi lebih prihatin terhadap isu diperkatakan supaya rakyat lebih yakin dan bersama menangani isu berkaitan kos sara hidup rakyat. "Rakyat juga perlu menjadi pengguna lebih bijak dalam membuat pilihan ketika berbelanja bagi mengurangkan impak kos sara hidup," katanya. Mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat jawatankuasa itu turut membincangkan kos sara hidup pelajar terutamanya cara untuk menaik taraf penggunaan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia. Katanya, isu tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Kabinet menangani kenaikan kos sara hidup sebelum sebarang keputusan dibuat. |
Siapa yang lebih rasis sebenarnya? Posted: 07 Jan 2016 11:48 PM PST Kita kutuk orang itu rasis dengan membuat kenyataan rasis, itu hipokrit namanya. '"Aku tak nak keling datang dekat aku ke, tolong aku ke. Banyak lagi orang yang boleh tolong…" "Saya tak tahu awak doktor, kalau doktor, boleh sentuh…" Dua itu antara ayat paling rasis pernah saya baca. Setiap orang, dari setiap kaum, ada sifat perkauman (racism) tersendiri. Bagaimanapun sifat perkauman dalam kalangan orang Malaysia bukanlah sebegitu teruk. Dan ia bukan hanya berlaku di Malaysia. Seorang rakan dari Amerika pernah berkongsi betapa parahnya perkauman di negara itu dalam kalangan kulit putih terhadap orang berkulit hitam, termasuk orang Asia. Sehinggakan ada restoran yang tidak membenarkan pelanggan 'berwarna' berkunjung. Syukur Malaysia belum ke tahap itu. Kecuali ada kes terpencil yang saya sendiri tak tahu! Sebaik sesuatu cerita yang mengaitkan bangsa dan agama dikongsi, wah, bukan main cepat berita itu tersebar. Malah media massa juga tidak ketinggalan bermain isu kerana capaiannya sangat di luar jangkaan. Lihat sahaja berita mengenai doktor itu, laporan FMT sahaja sudah mencapai lebih 17,000 perkongsian, tidak termasuk perkongsian di laman sosial dan perkongsian kedua, ketiga dan selebihnya. Itulah kita, suka benar membaca dan berkongsi kisah yang ada elemen perkauman, lebih-lebih lagi jika kisah itu mampu menarik simpati atau berunsur drama. Kita banyak bercakap mengenainya dan selepas itu, kita sama-sama memberi komen yang berunsur perkauman! Jadi apa bezanya kita dan pak cik atau sesiapa sahaja yang digelar 'rasis'? Membaca kebanyakan komen yang dikongsi, saya berpendapat ia lebih rasis daripada kenyataan pak cik itu sendiri. Sekali lagi saya ingin tekankan, ia tidak terhad kepada berita doktor itu sahaja, malah mana-mana berita berkaitan pun sama sahaja. Yang memberi dan membalas komen lebih rasis daripada subjek berita. Kalau dulu, kita percaya moral dan etika seseorang bermula dari rumah, hasil didikan pertama daripada ibu bapa, tetapi kini ia mudah terpesong sebaik log in ke laman sosial. Ini barulah kita sifatkan sebagai akidah lemah! Tidak ketinggalan, yang bertikam lidah mempertahankan agama, kaum dan bangsa masing-masing. Memang tak salahpun kalau mahu pertahankan latar belakang dan warisan anda, cuma berpada-padalah dan jangan sehingga mencemarinya dengan kata-kata kesat menyerang agama, bangsa atau kaum orang lain. Bagi saya, setiap orang ada hak menjaga, pertahan dan lindungi hak sendiri, tetapi anda sama sekali tiada hak untuk menjatuhkan, menghina atau memburukkan hak orang lain. Walaupun berita doktor dan pak cik menarik perhatian saya, sehingga wujud rasa kecewa dengan penggunaan perkataan 'keling' serta perbuatan pak cik itu, tetapi saya lebih kecewa dengan sesetengah komen yang sejujurnya mengalahkan pak cik itu. Janganlah jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Kita kutuk orang itu rasis dengan membuat kenyataan rasis, itu hipokrit namanya. |
PH meterai perjanjian elak serang antara komponen Posted: 07 Jan 2016 11:43 PM PST Kerana tidak mahu mengulangi kesilapan Pakatan Rakyat SHAH ALAM: Perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang bakal dimeterai esok dirangka untuk mengelakkan perang terbuka antara pemimpin PKR, DAP dan AMANAH. Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata penetapan displin dilihat perlu kerana pakatan baharu itu tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan komponen Pakatan Rakyat (PR). "Kita harap, PH lebih berdisiplin dan saling memahami perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Perjanjian ini akan mengawal dan mengurus tindakan kita dan hubungan kita antara satu sama lain," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini. Pakatan Harapan wujud setelah kerjasama diantara Pakatan Rakyat retak ekoran percanggahan pendapat diantara DAP dan PAS berhubung isu hudud. Perjanjian Pakatan Harapan yang bakal ditandatangani ini mengandungi tujuh fasal utama yang disepakati DAP, PKR dan AMANAH. |
‘Norieen tak boleh pandang SK Tohoi’ Posted: 07 Jan 2016 11:36 PM PST GUA MUSANG - Dua keluarga murid Orang Asli yang ditemui selamat di Pos Tohoi sedia menghantar anak mereka ke sekolah, namun ingin berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) bagi menyelesaikan beberapa perkara. Mereka mengakui Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 12, belum ke sekolah bukan kerana masalah jalan rosak, sebaliknya banyak masalah yang perlu diselesaikan. Ibu Norieen, Midah Angah, 41, berkata, dia mementingkan pelajaran anaknya itu, namun Noreen dilihat masih belum pulih sepenuhnya. Menurutnya, anaknya itu masih trauma hingga tidak dapat meneruskan persekolahan di sekolah sama. "Kita memang pentingkan pelajaran Norieen, namun dia masih trauma dengan kejadian lalu hingga tidak boleh memandang SK Tohoi. "Selepas buat perbincangan dan masalah selesai, kita akan hantar Norieen ke sekolah pilihannya khususnya Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis," katanya. Norieen dan rakannya, Mirsudiar dari Kampung Gawin adalah dua murid yang ditemui hidup dalam kejadian tujuh murid Orang Asli SK Tohoi hilang pada 23 Ogos lalu. Belum lapor diri Sehingga kini kedua-duanya masih belum melaporkan diri di sekolah itu walaupun sesi persekolahan dibuka Ahad lalu. Midah berkata, sehari sebelum sesi persekolahan dibuka, kenderaan sudah mengambil pelajar sekolah menengah sekitar Bandar Gua Musang dari Kampung Penad dan Gawin, namun anaknya itu tidak ikut sama. "Sebelum ini, kami sebagai ibu juga tidak dapat menerima hakikat kejadian menimpa tujuh murid SK Tohoi dan kami ingin bincang banyak perkara dengan Pengarah JPNK," katanya. Bagi ibu Mirsudiar, Rosita Bahir, 41, anaknya yang rapat dengan Norieen akan mengikut keputusan dibuat rakannya itu. Katanya, Mirsudiar sudah mula bersemangat untuk meneruskan persekolahan dan ketika berada di rumah, Mirsudiar banyak menghabiskan masa membaca buku bersama adiknya bagi menghilangkan trauma kejadian tersebut. "Kami tidak ada niat untuk boikot sekolah SK Tohoi, tetapi kami akan jumpa guru besar untuk mengambil surat perpindahan sekolah anak kami nanti," katanya ketika ditemui Sinar Harian. Dia juga mengakui murid lain yang tinggal di kampung itu dan enam kampung lain masih belum ke sekolah kerana mahu berpindah ke SK Kuala Betis, berikutan takut tragedi 23 Ogos lalu berulang. Akan temui keluarga murid Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Mara Kasmedee Che Abdul Rahman berkata, setakat ini, ibu bapa Noreen dan Mirsudiar belum membuat permohonan untuk berpindah sekolah. Beliau berkata, murid Orang Asli dari kampung terbabit belum ke sekolah SK Tohoi dan hingga pagi semalam, hanya terdapat 101 murid yang hadir membabitkan mereka yang tinggal sekitar Pos Tohoi. "Manakala bagi Kampung Penad, Gawin dan kampung lain sekitar Pos Simpor, masih ada murid yang masih belum hadir tanpa diketahui alasannya. "Kita mungkin akan mengadakan program turun ke kampung itu dalam masa terdekat," katanya. Dalam kejadian 23 Ogos tahun lalu, tujuh murid Orang Asli SK Tohoi hilang dari asrama dan dua daripada mereka ditemui hidup di bawah akar kayu di tepi Sungai Perias. Empat ditemui mati iaitu Linda Rosli, 8, Juvina David, 7, Ika Ayel, 9 dan Haikal Yaakob, 8, manakala seorang lagi, Sasa Sobrie, 8, masih belum ditemui. |
Azmin: Isu pembahagian kerusi ahli majlis selesai Posted: 07 Jan 2016 11:29 PM PST SUBANG JAYA - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan isu pelantikan ahli majlis selesai sepenuhnya dan pihaknya gembira semua pihak menerima formula diputuskan sebelum ini. Beliau berkata, penelitian sudah dibuat di pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), perbincangan diadakan katanya berjalan dengan baik dan lancar. "Saya gembira semua pihak menerima hakikat ini dan kita sudah membuat keputusan. Ini bukan soal kuasa... bukan soal jumlah kerusi..., tapi tanggungjawab besar semua yang berkaitan kepada pembayar cukai," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kampung Bukit Lanchong, pagi tadi. [ARTIKEL BERKAITAN: Amanah gembira dapat 10 kerusi ahli majlis PBT] Ketika ditanya sama ada wujud ruangan perbincangan berikutan Parti Amanah Negara (Amanah) mahukan kerusi lebih, beliau menjawab perbincangan sudah dilakukan dan pihaknya sudah membuat keputusan. Katanya, apa yang perlu difokuskan adalah tanggungjawab yang dilantik untuk 'delivery' kepada rakyat. |
Zizan Razak akhiri zaman bujang tahun ini? Posted: 07 Jan 2016 11:27 PM PST Kamaruddin Razal Astro GempakRAMAI peminat yang memberi komen tentang status diri pelawak, pelakon dan pengacara Zizan Razak yang masih solo. Melihat kepada perkembangan kerjayanya yang semakin berjalan lancar, adakah Zizan bakal menamatkan zaman bujang pada tahun 2016? "Saya memang sudah lama pasang niat untuk berkahwin. Tetapi saya sendiri tidak tahu bila saya akan menamatkan zaman bujang kerana jodoh, ajal dan maut terletak di tangan Tuhan. "Niat itu memang ada tetapi saya masih solo buat masa ini. Jadi, pada tahun ini, ada baiknya jika saya memberikan sepenuh tumpuan kepada perkembangan kerjaya saya sebagai pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan usahawan," kata Zizan yang ditemui di majlis pelancaran telefilem, Oh My Ganu 2. Memegang watak Zizan menerusi telefilem kelima dalam siri Oh My English itu, Zizan menyuntik elemen komikal dan kartun dalam karakter yang dibawa olehnya. "Memandangkan peminat siri Oh My English ini kebanyakannya datang daripada golongan kanak-kanak dan remaja, saya harus tampil dengan cara berbeza. "Saya selitkan karakter yang begitu bersahaja dan mempunyai ciri-ciri kartun serta komikal. Saya juga mengkaji cara lakonan dan lawak yang bersesuaian dengan remaja dan kanak-kanak," kata Zizan lagi. Selain Zizan, teraju bagi Oh My Ganu 2 ini ialah Zain Saidin, Tiz Zaqyah, Akhmal Nazri, Nadiya Nisaa, Izara Aishah, Juzzthin dan ramai lagi. Jangan lupa saksikan tayangan perdana Oh My Ganu 3 di Astro TVIQ (Saluran 610) dan Astro Maya HD (Saluran 135) pada 16 Januari ini, jam 9 malam. Gunakan hashtag #OhMyGanu2 untuk berinteraksi mengenai Oh My Ganu 2 di laman sosial dan layari laman web www.ohmyenglish.com.my untuk sebarang maklumat lanjut. |
Tanah bekas perlombongan bauksit tidak subur untuk pertanian - Pakar Posted: 07 Jan 2016 11:24 PM PST KUALA LUMPUR: Kajian mendapati kandungan mineral dalam bauksit boleh memudaratkan kesihatan manusia, kata Pakar Mineralogi Tanah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Shamsuddin Jusop. Menurut kajian, terdapat bukti kukuh bauksit mengandungi logam berat seperti aluminium, kromium, besi dan nikel yang boleh mengakibatkan penyakit termasuk kanser paru-paru. "Bauksit itu ada mineral yang tidak baik untuk badan kita. Umpamanya alumimium, besi, kromium dan nikel yang tidak baik untuk badan kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini. Selain itu, kajian mendapati aktiviti perlombongan bauksit bukan hanya merosakkan tanaman terutamanya kelapa sawit malah tanah yang dilombong tidak lagi subur untuk pertanian. "Dia gali lubang luas untuk mengangkat bauksit dan kemudian tutup balik tetapi sebahagian sahaja tanah yang ditutup jadi masih ada lubang yang akan menakung air hujan dan kemudian akan melimpah serta mengalir ke kawasan berdekatan. "Kalau melombong di tanah kelapa sawit ia akan merosakkan tanaman berkenaan kerana kandungan dalam bauksit boleh mematikan pokok kelapa sawit dan sebagainya. "Kalau sudah melombong untuk tempoh lama dan tanah itu telah rosak, ia akan mengambil masa lama untuk perbaiki tanah tersebut, sampai beratus-ratus tahun pun tidak boleh pulih semula," katanya. Sementara itu, Shamsuddin menyifatkan tempoh tiga bulan untuk menghentikan sebarang aktiviti melombong bauksit sebagai terlalu singkat untuk keadaan kembali normal. Sebaliknya, ia memerlukan masa yang lebih lama susulan aktiviti perlombongan tidak terkawal. |
Musim sekolah kini kembali dan ini adalah 5 tip untuk ibu bapa Posted: 07 Jan 2016 08:47 PM PST Astro Awani BERDASARKAN statistik e-Daftar Rendah Kementerian Pendidikan, seramai 314,697 murid memulakan persekolahan Tahun Satu pada 3 Januari lepas manakala 133,980 pelajar dari Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu pula pada 2 Januari. Manakala seramai seramai 443,008 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan di 2,402 sekolah menengah di seluruh negara. Sudah tentunya detik persekolahan adalah yang ditunggu-tunggu bagi pelajar sekolah untuk bertemu kembali bersama rakan-rakan lain selepas 42 hari bercuti, namun ia mungkin sedikit sukar bagi ibu bapa apabila keseronokan dan tempoh 'bulan madu' telah berakhir dan realiti awal pagi menanti anda kembali. Berikut adalah 5 tip kembali ke sekolah untuk ibu bapa : |
Caj urusan tanah Pahang naik 200 peratus! Posted: 07 Jan 2016 08:44 PM PST Oleh Fatih Hassan Nordin PAHANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membidas kerajaan Pahang kerana menaikkan caj urusan di pejabat tanah sehingga 200 peratus lantaran ia tidak munasabah. Malah, katanya, tindakan itu seolah-olah tidak mengendah keperitan rakyat yang sedia ada terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang melambung tinggi akibat ketirisan dan pembaziran Kerajaan BN UMNO. "Kerajaan negeri tidak patut menaikkan caj berkenaan, lebih-lebih lagi rakyat dihimpit dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit serta harga komoditi yang teruk. "Kenaikan 200 peratus tidak manusabah kerana ia menekan rakyat marhaen. Keborosan, salah guna kuasa dan ketirisan dibuat pemimpin yang korup tapi akhirnya semua risikonya rakyat yang kena tanggung," katanya kepada Roketkini. Sebelum ini, Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) pada kenyataan media menyatakan caj urusan di pejabat tanah seluruh Pahang mengalami kenaikan sehingga 200 peratus. Antaranya, caj RM100 untuk setiap carian berbanding kadar lama RM30, carian persendirian naik daripada RM20 kepada RM50 dan urusan salinan sah hak milik dokumen naik daripada RM30 kepada RM50. Caj urusan pendaftaran pindah milik tanah bernilai RM100,001 hingga RM250,000, kadarnya ialah RM400 berbanding RM250 sebelum ini manakala, hartanah bernilai RM250,001 hingga RM500,000, bayarannya RM800 berbanding sebelumnya RM500. Justeru, Tengku Zulpuri menggesa supaya kerajaan Pahang mempertimbang untuk mengemas kini sistem data sedia ada bagi mengelakkan peningkatan 'menggila' dan menggunakan sistem atas talian bagi menjimatkan kos urusan di pejabat tanah. "Untuk tambah pendapatan kerajaan negeri, bukanlah dengan cara naikkan caj perkhidmatan, sebaliknya menggunakan sistem atas talian dan kemas kini sistem sedia ada. Ini bagi mengurangkan guna tenaga manusia," katanya. Jika kerajaan Pahang gagal menangani masalah berkenaan, beliau menyeru semua pengundi menolak Kerajaan UMNO BN pada pilihan raya akan datang berikutan kehidupan rakyat tidak diambil berat. -Roketkini.com |
DAP tidak akan gadai prinsip perjuangan demokratik Posted: 07 Jan 2016 08:40 PM PST Oleh Syazana Hasanudin KUALA LUMPUR : DAP tidak akan sesekali menyertai Barisan Nasional (BN) tetapi boleh bekerjasama dalam aspek tertentu selagi tidak menggadaikan prinsip perjuangan sebagai sebuah parti demokratik. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata sebarang komunikasi dan mesyuarat dengan pemimpin kerajaan Persekuruan semata-mata untuk menjaga kepentingan negara dan masa depan generasi akan datang. "Kami berbuat begitu bukanlah untuk meminta jawatan Menteri atau Timbalan Menteri tetapi mengubah pemikiran dan sudut pandangan mereka tentang masalah kritikal yang melanda negara," katanya. Beliau berkata demikian pada forum dan majlis pelancaran bukunya berjudul "Time Bombs in Malaysia" edisi bahasa Mandarin semalam selepas tersebarnya khabar angin kononnya DAP menyertai BN. Secara tegas, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyifatkan khabar angin itu sebagai agenda sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu. "Penyebar cerita itu menggunakan isi ucapan saya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen DAP Ahad lalu yang menyentuh berkenaan parti kami pernah bersedia untuk ada kerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn. "Ia pegangan DAP sejak dulu untuk berkolaborasi dengan sesiapa yang berniat membangunkan Malaysia atas dasar menyelamatkan negara, menghapuskan kemiskinan dan penindasan kelas, menegakkan hak asasi manusia serta melawan gejala rasuah," katanya. Beliau bertegas DAP berpegang teguh kepada prinsip demokrasi sejak lima dekad lalu dan terus menggembleng tenaga membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan negeri. |
Kesungguhan Impian Sarawak bantu rakyat dorong anak muda Betong pilih DAP Posted: 07 Jan 2016 08:35 PM PST Oleh Syazana Hasanudin KUCHING : Usaha keras projek Impian Sarawak kendalian DAP di Betong semakin membuahkan hasil apabila masyarakat setempat khasnya golongan muda melihat parti itu sebagai pilihan terbaik masa ini. Pada bulan lalu saja, kira-kira 30 anak muda etnik Dayak dari enam rumah panjang menjadi ahli DAP Betong dan bergiat aktif menyertai politik, sekaligus membuktikan pelbagai inisiatif Impian Sarawak 'melembutkan' hati rakyat Betong. Bagi masyarakat setempat, peluang ekonomi untuk orang muda di Betong sangat terhad sekalipun Timbalan Ketua Menteri Sarawak selama 30 tahun, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berasal dari kawasan itu. Ketua DAP Betong, Gerald Roger Anding berkata sokongan itu berikutan dasar BN sangat bermasalah kerana gabungan parti itu tidak berkongsi hasil lumayan yang dikaut daripada kekayaan sumber semula jadi di Sarawak, dengan rakyat. "Hanya pihak berkepentingan termasuklah kroni BN saja mendapat keuntungan, rakyat biasa tak dapat apa-apa dan dibiar terus hidup miskin. "Nampaknya, anak muda Betong mulai sedar tentang kegagalan BN membela rakyat lantas menyertai DAP bagi membawa perubahan positif kepada kawasan itu," katanya pada kenyataan media, hari ini. |
Pesakit, Kakitangan HTAA 'Berpeluh' Di Hospital Posted: 07 Jan 2016 08:27 PM PST Penghawa dingin tidak berfungsi, tingkap dibiarkan terbuka bagi membolehkan udara masuk dan 'kipas berdiri' digunakan untuk menyejukkan pesakit dan peralatan penting. Namun kakitangan di hospital tersebut terpaksa bekerja dalam keadaan panas dan tiada jalan penyelesaian atau segera diambil. Kakitangan hospital bekerja di dalam bilik yang terperap dan perlu memastikan pesakit tidak menanggung kesakitan akibat kesan luka terlantar di atas katil dalam tempoh yang lama. "Hujan turun beberapa hari lalu tetapi cuaca kembali panas. "Semua orang berpeluh tetapi sekurang-kurangnya kami boleh menukar pakaian. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaan pesakit yang terlantar sakit," kata seorang pegawai perubatan. Seorang jururawat berkata pihak pengurusan hospital menyedari situasi tersebut kerana banyak aduan dibuat agar sistem penghawa dingin dibaiki. "Kami tidak tahu apa yang menyebabkan ia tertangguh. "Saya berharap agar kami boleh mendapatkan penghawa dingin mudah alih pada hujung minggu ini," katanya. Seorang pelawat, Wilson Ramamoorthy, 49, berkata dia terkejut apabila melihat bilik ICU beroperasi tanpa sistem penghawa dingin. "Keadaan amat panas dan lembap di dalam. Mengapa tidak disediakan penghawa dingin mudah alih dalam unit yang menjadi keutamaan. "Doktor dan jururawat berkata mereka juga turut terkesan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan. Saya bersimpati dengan kakitangan dan juga pesakit," katanya. Wilson yang melawat abangnya, Sundaraj, 55, yang berada dalam koma selepas kemalangan jalan raya bulan lalu berkata dia bimbang keadaan tingkap terbuka akan meningkatkan risiko jangkitan di kalangan pesakit. Tingkap terbuka juga membolehkan nyamuk dan lalat memasuki ICU. "Sekiranya seseorang mati akibat jangkitan, siapa yang akan bertanggungjawab?," soal Wilson. Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata sistem penghawa dingin yang sudah uzur di blok tersebut tidak berfungsi sejak tiga bulan lalu. Menurut beliau pembekal perkhidmatan sokongan hospital meletakkan beberapa unit penyejukan mudah alih di unit penting secara berperingkat sebagai penyelesaian sementara. "Tender untuk membaiki sistem penyaman udara telah dikeluarkan dan kami menjangka kerja pembaikan akan bermula pada Mac," katanya. Namun, kerja pembaikan itu mungkin memakan masa sehingga satu setengah tahun kerana kerosakan yang teruk. Dr Zainal Ariffin menjelaskan bahawa ia melibatkan kerosakan besar termasuk unit bekalan kuasa, jadi seluruh sistem perlu digantikan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan