Jumaat, 22 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BILA NAJIB NAK PANGGIL MUKHRIZ? KENAPA JUMPA KUMPULAN PENENTANG LEBIH DULU?

Posted: 22 Jan 2016 04:58 AM PST

shahbudindotcom


Sejak awal lagi sebaik saja timbul isu pemberontakan politik di Kedah yang mahukan kedudukan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah ditukar, ia segera dikaitkan dengan kehendak Najib Razak sendiri.

Ia bukan saja  kerana Najib memang bermasalah dengan bapa Mukhriz, Tun Mahathir Mohamad tetapi juga kerana hampir semua "muka-muka" di belakang gerakan itu adalah penyokong setia Najib belaka.

Kata mereka yang arif dalam politik, tidak mungkin mereka itu begitu berani mengadakan gerakan mahu menolak Mukhriz dan mewujudkan kemelut baru dalam politik UMNO, jika tidak mendapat restu daripada Najib sendiri.

Setelah dua hari kemelut itu berlangsung, pada pukul 4 petang hari ini pula, Najib dilaporkan akan bertemu dengan 14 Ketua UMNO Bahagian Kedah yang menolak Mukhriz itu. Pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

Dilaporkan turut hadir dalam pertemuan petang ini ialah Exco dan wakil-wakil rakyat Kedah.

Sekali lagi, timbul persoalan mengapa Najib begitu pantas berjumpa dengan 14 Ketua Bahagian itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan maklumat penuh daripada Mukhriz sendiri?

Bukankah Mukhriz masih lagi Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah?

Tidakkah mengikut amalan biasa apabila timbul sesuatu masalah di peringkat negeri, pihak yang patut dipanggil terlebih dahulu untuk diperolehi maklumat ialah Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO negerinya?

Dalam hal ini, mengapa Najib lebih dahulu ingin bertemu dengan pihak yang menentang dan bukan dengan Mukhriz sendiri?

Mengapa Najib tidak memanggil Mukhriz terlebih dahulu sebelum bertemu dengan 14 Ketua Bahagian itu?

Apakah Najib sudah lupa amalan serta adab dalam menguruskan parti dan kerajaan?

Sejak bila kumpulan penentang mendapat lebih kemuliaan berbanding pemegang jawatan dalam parti dan kerajaan?

Adakah semua ini "wayang" yang sedang ditayangkan untuk menunjukkan seolah-olah penyingkiran Mukhriz adalah kehendak 14 Ketua UMNO Bahagian dan bukan datang daripada naluri Najib?

Bila pula Najib mahu memanggil Mukhriz? Apakah mungkin Najib akan memanggil Mukhriz selepas mengadakan pertemuan dengan 14 Ketua Bahagian tersebut?

Bergunalah lagilah pertemuan dengan Mukhriz jika Najib sendiri sudah membenarkan dirinya mendapatkan maklumat daripada pihak yang mahu menyingkirkan anak Tun Mahathir itu terlebih dahulu?

Hakikatnya, pertemuan petang ini jelas menandakan Mukhriz semakin di hujung jalan. Tidak lain, pertemuan Najib dengan 14 Ketua Bahagian Kedah itu hanyalah bertujuan untuk mempercepatkan penyingkiran Mukhriz saja.

Malah, tidak mustahil jika Najib terus mengabaikan Mukhriz dan tidak memanggilnya langsung dalam kemelut ini.


Tokoh Wartawan: Najib mahu beli, kawal portal berita

Posted: 22 Jan 2016 04:56 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin mendakwa terdapat percubaan oleh Putrajaya untuk membeli dan mengawal portal berita.

Beliau yang juga adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times, berkata dirinya dimaklumkan oleh pemilik sebuah portal berita bahawa langkah itu sedang dimulakan oleh peneraju media dan propaganda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kadir bagaimanapun tidak menyebut nama individu profesional muda Melayu yang berjaya dan bersopan santun yang dikenalinya itu.

"Saya dimaklumkan yang dia kini bergabung dengan seorang penulis "mercenary" yang lari ke luar negara dalam percubaan membeli (atau mengawal) portal-portal berita bebas seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today.

"Pemilik portal berita tersebut memberitahu saya, percubaan membeli (atau mengawal) media atas talian ini adalah sebahagian daripada inisiatif baru kumpulan Najib untuk memenangi hati dan fikiran rakyat jelata," katanya dalam blog hari ini.

Kadir berkata meskipun Naib Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji laskar siber parti itu dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung parti, Disember lalu, namun Umno kini mahu kesampaian yang lebih luas.

Menurut Kadir, Ahmad Zahid juga mahu ia melepasi parti dan orang Melayu.

"Cakap-cakap di kalangan penggiat media bebas atas talian mengatakan salah sebuah portal yang dimiliki oleh seorang tauke Cina telah pun "kow-tow" kepada Ahmad Zahid.

"Sebuah lagi telah ditawarkan "bantuan kewangan" yang lumayan tetapi ditolak oleh pemiliknya," katanya.
Makin menguncup audiens

Kadir berkata inisiatif baru itu tercetus apabila media arus perdana dan media atas talian tajaan Umno, BN, kerajaan dan simpatisan mereka semakin hari semakin menguncup audiensnya.

Sebagai contoh, Kadir membekalkan statistik daripada Perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) yang mendapati penjualan akhbar Utusan Malaysia merosot dengan begitu ketara sekali.

Kadir mendakwa bahawa beliau mengenali individu di belakang kempen propaganda Najib itu lebih sedekad yang lalu dan pernah sering makan tengah hari bersamanya.

"Saya kenal orang itu kerana 10 atau 15 tahun lalu kami kerap makan di Restoran Raju, Petaling Jaya. Waktu itu saya hormati dia kerana, pada pandangan saya, dia seorang profesional muda Melayu yang berjaya dan bersopan santun.

"Kini dia dikatakan amat akrab dengan Najib dan sangat berkuasa sehingga pengarang media massa arus perdana pun melutut kepadanya," katanya.

Tipu muslihat mula terdedah, kata Mahfuz

Posted: 22 Jan 2016 04:52 AM PST

MALAYSIAKINI






"Tipu muslihat" dalam drama rampasan kuasa terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir mula terdedah susulan pengakuan pemimpin-pemimpin Umno negeri, dakwa anggota parlimen PAS.

Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) membangkitkan kenyataan Ketua Wanita Umno Kedah Maznah Hamid dan exco negeri Datuk Tajul Urus dan Datuk Suraya Yaacob bahawa mereka tidak tahu menahu berkaitan sidang media anti-Mukhriz sebelum ini.

"Kejadian ini sangat memalukan," kata Mahfuz (gambar) yang juga bekas naib presiden PAS.

Sinar Harian melaporkan Maznah ketika diminta hadir ke acara di Alor Setar pada Rabu tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai agenda perjumpaan itu, yang menjadi sidang media anti-Mukhriz.

BH Online pula melaporkan Tajul mengakui ragu-ragu sama ada kaedah dilakukan timbalan Mukhriz Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah dan pemimpin Umno lain itu betul atau tidak.

Seorang lagi exco Kedah Datuk Suraya Yaacob juga menafikan majoriti kepimpinan Umno negeri menolak Mukhriz sebagai menteri besar.

Manakala anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Datuk Norsabrina Mohd Noor juga berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar itu.

Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz berkata usaha menolak kepimpinan Mukhriz tidak akan menyelesaikan pelbagai masalah negara, termasuk krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Begitu juga dengan isu seperti 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup tinggi, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) serta nilai rendah ringgit.

Pemimpin Umno ditipu hadir sidang media singkir MB?


Brunei arah henti jualan 2 produk Qu Puteh

Posted: 22 Jan 2016 04:48 AM PST

MALAYSIAKINI

 


Kementerian Kesihatan Brunei mengarahkan kedai dan peruncit atas talian berhenti menjual beberapa produk kesihatan dan kosmetik selepas mendapati ia mengandungi bahan berbahaya.

Ini termasuklah dua produk popular Malaysia Qu Puteh.

Kementerian itu dalam kenyataan semalam berkata, produk terbabit telah diuji di Bahagian Kawalan Anti Dadah di bawah Jabatan Perkhidmatan Farmasi negara itu, lapor The Brunei Times.

Dua produk Qu Puteh itu adalah Qu Puteh Kosmetik Whitening Pro 9 cream dan Qu Puteh Kosmetik Whitening UV Block.

Satu lagi produk adalah Chantique Beauty Slimming Herbal.

Menurut kementerian itu, disebabkan mengandungi bahan terlarang, produk terbabit tidak dibenarkan diimport atau dijual di negara berkenaan.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan maklum balas daripada pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman mengenai perkara itu.


Dilema DAP hangat cara pikat pengundi Melayu

Posted: 22 Jan 2016 04:38 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Sejak pilihan raya umum 2013, DAP terikat dengan perbahasan berhubung keperluan memikat pengundi Melayu dan ini dilanjutkan semasa pemukiman pada hujung minggu lalu yang dihadiri oleh 200 pemimpin dan wakil rakyat.

Malaysiakini difahamkan, antara isu yang dibincangkan pada kedua-dua hari itu, termasuk bagaimana untuk memenangi hati dan minda pengundi Melayu memandangkan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Terdapat cadangan yang mendesak DAP supaya membuat perubahan radikal mengenai modus operandi dan menjadi lebih inklusif, jika mahu merampas Putrajaya.

Walaupun perlembagaan menyatakan DAP adalah parti berbilang kaum tetapi hakikatnya komposisi majoritinya berbangsa Cina.

Ini sering digunakan oleh seteru politik DAP yang menuduh parti itu mempunyai agenda jahat untuk melemahkan kedudukan orang Melayu dan Islam serta memaksa pemimpinnya berulang-kali membuat penafian.

Serangan itu diperhebatkan selepas pilihan raya umum ke-13 lalu apabila DAP menang besar dengan meraih 37 kerusi parlimen dan 105 kerusi DUN yang majoriti penduduk Cina.

Tidak hadir

Malaysiakini difahamkan bahawa seramai 16 pemimpin mengambil bahagian dalam perbincangan menarik undi Melayu.

Ada juga yang melahirkan kebimbangan DAP mungkin terpaksa berkompromi prinsip-prinsip tertentu berkaitan hegemoni kaum dan dasar-dasar tidak sama rata.

Mereka yang dikatakan percaya bahawa DAP tidak perlu menjadi parti tegar Cina adalah adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; ADUN Senai, Wong Shu Qi, dan penasihat Impian Malaysia, Wan Hamidi Hamid.

Mereka yang berpendapat sebaliknya pula adalah ADUN Bilut, Chow Yu Hui dan pengarah pendidikan politik Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong.

Bagaiamanpun pemimpin utama dua kumpulan yang berlainan pendapat itu - Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Hew Kuan Yau - tidak hadir.

Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014, DAP membuat kejutan dengan menampilkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud.

Bagaimanapun, Dyana kalah tipis kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

Berikutan itu, Hew berhujah bahawa memelihara sokongan asas orang Cina adalah penting sebelum menceburi kerusi Melayu, tetapi Liew tidak bersetuju.

Pertemuan petang ini tentukan nasib Mukhriz?

Posted: 22 Jan 2016 04:36 AM PST

Zulaikha Zulkifli


 


Di tengah-tengah kemelut dalaman Umno Kedah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan pertemuan khas di ibu negara hari ini.

Pertemuan itu diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Badshah Md Hanipah, Ketua Umno Jerai Datuk Seri Jamil Khir selain pemimpin akar umbi Datuk Seri Azeez Abd Rahim dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Najib tiba di PWTC kira-kira jam 4.45 petang. Turut hadir ialah pimpinan bahagian sayap parti Umno Kedah.

Mesyuarat tersebut bagaimanapun berlangsung sebentar sahaja apabila Najib beredar kira-kira jam 5.30 petang.

Sementara itu, beberapa pimpinan yang meninggalkan PWTC ketika ditemui pemberita menutup mulut ketika diajukan tentang pertemuan bersama Najib.

Azeez yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri hanya berkata:

"Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa. Semua OK," katanya ringkas sebelum bergegas memasuki keretanya.

Seorang lagi pimpinan Umno Kedah, Dr Mansor Abd Rahman yang merupakan timbalan ketua Umno bahagian Sik pula hanya berkata:

"Tak boleh komen. Terima kasih. Tak boleh bagi komen. Minta maaf, terima kasih banyak-banyak."

Pertemuan itu dibuat ketika spekulasi Bashah akan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah.

Pertikaian terhadap pentadbiran Mukhriz sedikit sebanyak dikaitkan dengan asakan keras dan berterusan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pentadbiran Najib.


Saya tak lakukan sebarang kesalahan, kata Mukhriz

Posted: 22 Jan 2016 04:30 AM PST

Geraldine Tong  







Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berdepan dengan percubaan untuk menggulingkannya menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya tidak fikir saya lakukan sebarang kesalahan," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Subang.

Mukhriz ditanya sama ada beliau bimbang sekiranya tindakan disiplin mungkin diambil ke atasnya.

Mengenai sama ada beliau berhasrat untuk berbuat apa-apa berhubung tindakan 14 pemimpin Umno Kedah yang mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya, Mukhriz sekadar berkata, beliau akan 'tunggu dan lihat'.

Beliau juga enggan mengulas apabila diminta mengulas sekiranya tindakan tatatertib seharusnya diambil ke atas 14 pemimpin Umno itu.

Beliau pada mulanya enggan mengulas sama ada dirinya hadir bagi mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak tetapi apabila diasak, secara berseloroh soalnya, "(Perdana Menteri) negara mana?"

Menurut seorang kakitangan lapangan terbang, Mukhriz tiba sekitar jam 6 petang dari Pulau Pinang.

Kira-kira 30 penyokong hadir menyambutnya, termasuk Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara).

Mereka membawa sepanduk yang berbunyi "Ansara sokong Mukhriz Mahathir" dan penyokong melaungkan "Hidup Mukhriz".


Merkuri paras tinggi, M'sia juga haramkan produk Qu Puteh

Posted: 22 Jan 2016 04:28 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Selepas Brunei, Malaysia juga melarang jualan produk kecantikan Qu Puteh.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu – Qu Puteh Whitening Pro 9 – tidak lagi dibenarkan dijual.

Ini kerana ia dikesan mengandungi merkuri pada paras tinggi.

"Produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

"Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi syarikat itu.


Kerajaan P.Pinang tidak haramkan vape

Posted: 22 Jan 2016 04:23 AM PST

SINAR HARIAN


Vape


GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini dan masih mencari kaedah terbaik bagi memantau penggunaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata setakat ini, kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan produk dan bahan rokok elektronik itu seperti mana yang dilakukan oleh negeri-negeri lain.

"Selepas dua minggu mengadakan dialog terbuka dengan pengusaha vape, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan lagi, pengusaha vape masih boleh menjalankan aktiviti mereka," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pengusaha-pengusaha vape di Pulau Pinang malam tadi.

Antara yang hadir pada sesi dialog itu ialah Pengerusi Penguasaha Vape Pulau Pinang (PPVPP) Muhammad Hafidz Adnan, Presiden Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) Allan Foo dan lebih 30 pengusaha vape negeri.

Tambahnya, kerajaan negeri akan memastikan keputusan yang akan dibuat nanti adalah adil bagi semua pihak khususnya pengusaha-pengusaha produk dan bahan rokok elektronik atau vape.

Pada 4 Disember lalu, Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan penggunaan rokok elektronik atau vape serta sisha difatwakan sebagai haram.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula telah berkali-kali meminta kerajaan negeri supaya mengharamkan vape serta-merta kerana berdasarkan tinjauan, vape telah mempengaruhi pelajar-pelajar sekolah untuk merokok. - Bernama


Parah ditembak dari jarak dekat di hadapan rumah

Posted: 22 Jan 2016 04:22 AM PST

Parah ditembak dari jarak dekat di hadapan rumah


PONTIAN - Seorang lelaki cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di hadapan rumahnya di Taman Teratai, Pekan Nanas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata ‎mangsa yang berusia 51 tahun itu,  mengalami kecederaan di bahagian dada dan lengan kiri akibat terkena tiga das tembakan yang dilepaskan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa baru sahaja tiba di rumahnya selepas pulang minum bersama rakan-rakannya di Jalan Kampung Sawah.

Sebaik tiba di rumah, mangsa didatangi seorang lelaki memakai t-shirt putih dan seluar gelap dan bertindak melepaskan tiga das tembakan dari jarak lebih kurang tiga meter dari mangsa.

"Mangsa terus melarikan diri ke rumah abangnya yang terletak di belakang rumah mangsa untuk meminta bantuan.

"Dalam  masa yg sama  penyerang tersebut juga melarikan diri. Mangsa memberitahu tidak mendengar sebarang bunyi kenderaan ketika atau selepas kejadian berlaku,"katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Pontian oleh abangnya sebelum  menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

‎Zakaria berkata, siasatan awal yang dilakukan polis menemui 1 slug dipercayai dari pistol jenis Revolver ‎di tempat kejadian, selain terdapat kesan tergores pada tiang batu pagar rumah mangsa.

"Tiada kamera litar tertutup (CCTV) disekitar tempat kejadian. Pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah akibat dendam,"katanya.

Mukhriz tampil beri penjelasan isu sebenar

Posted: 22 Jan 2016 04:17 AM PST

Mukhriz Mahathir
Mukhriz (dua, kanan) bersama sebahagian pimpinan Umno Bahagian Jerlun selepas menghadiri himpunan menyokong kepimpinannya, semalam.
 
 
JERLUN – Tindakan 14 daripada 15 Umno Bahagian di Kedah yang menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir jelas mengejutkan situasi politik negara, khususnya Umno di Kedah.

Berikutan itu, Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi Umno Kedah mengambil pendekatan bertemu rakyat untuk beri penjelasan menerusi satu program khas di Wisma Umno Bahagian Jerlun, di sini, semalam.

Berikut ucapan Mukhriz semasa program tersebut:

Saya dikejutkan dengan 14 daripada 15 Umno Bahagian di Kedah tidak lagi yakin dengan keupayaan saya untuk mentadbir Umno Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah. Tapi pada hari ini, sekurang-kurangnya saya lihat satu

Bahagian paling kuat bersama saya ialah Umno Bahagian Jerlun.

Pada waktu dan ketika ini, saya digelar sebagai Menteri Besar Kedah. Tetapi jawatan saya setinggi mana sekalipun, di peringkat negeri adalah hasil titik peluh rakyat. Atas sebab itulah setiap kali ada perkara-perkara seperti ini berlaku, mahu tidak mahu saya mesti pulang kepada akar umbi, bersama rakyat.

Yang kita lihat mungkin ada sedikit masalah dalaman parti. Masalah ini sepatutnya diselesaikan secara dalaman, tak perlu libatkan orang lain. Tapi malangnya dalam hal cadangan yang dikemukakan kelmarin untuk gugurkan saya sebagai pengerusi perhubungan dan menteri besar.

Sebagai pengerusi perhubungan mungkinlah yang itu dikira masalah dalaman Umno sahaja. Tetapi sebagai menteri besar, ini sebenarnya hak rakyat untuk menentukan.

Bukan untuk kita semena-mena buat pilihan sesuka hati. Memang saya akui selepas pilihan raya kalau suatu parti itu mendapat kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, parti itu yang diwakili oleh pemimpin tertinggi akan memilih seorang daripada Adun sebagai pemimpin negeri itu.

Bukan setakat memilih, mesti dibawa untuk mendapat perkenan Sultan negeri berkenaan. Sultan juga perlu diyakini bahawa orang yang dicalonkan itu mendapat mandat daripada rakyat. Maka ada pihak sebenarnya yang terlibat iaitu perdana menteri, Sultan dan tidak kurang pentingnya rakyat negeri itu sendiri.

Bayangkanlah kalau dicadangkan satu-satu nama itu tidak mendapat perkenan sultan seperti mana yang pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini, tidak jadi juga. Letaklah siapa pun, tapi kalau raja itu tidak perkenan orang yang dicalonkan itu, tidak lepas menjadi menteri besar.

Selain daripada itu, kalau di peringkat rakyat pun tidak berapa setuju itu pun akan menimbulkan masalah macam mana nak tadbir negeri, macam mana nak yakinkan rakyat sekiranya pemimpin peringkat tertinggi di negeri itu tidak diyakini dan tidak dapat sokongan padu daripada rakyat.

Saya  lihat bukanlah nak 'masuk diri dalam bakul, angkat diri dalam bakul'. Kurang-kurang selepas PRU13, salah satu faktor kemenangan adalah apabila dua hari sebelum mengundi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah buat kenyataan BN menang, Mukhriz jadi menteri besar.

Saya dimaklumkan begitu ramai sekali, bukan setakat di Kedah tetapi pengundi-pengundi luar khusus di kalangan anak-anak muda yang berduyun-duyun balik ke negeri untuk mengundi kerana merasakan bahawa akhirnya angin perubahan yang mereka minta itu berlaku di Kedah.

Maka mereka pun nak pastikan BN menang dan mereka menikmati apa juga perancangan kerajaan baru BN di negeri Kedah yang kita sayangi. Dan itu pun yang kita lakukan dan dapat mandat yang sepenuhnya.

Dari segi pembangunan pun kita buat, tidak ada satu kawasan kita cuai. Dari segi sosial pun kita buat, pondok-pondok agama kita jaga, sukan kita utamakan. Mana mungkin kalau tidak kerana strategi yang dipasang dan dilaksana begitu baik, akhirnya Piala Perdana pun kita julang. Bukan setakat itu, Piala Malaysia pun Naib Juara dan dipilih sebagai pasukan bola sepak terbaik bagi 2015.

Kalaupun ada sedikit masalah, mungkin di peringkat atas tidak dapat diselesaikan. Kalaupun ada masalah, kita boleh duduk berbincang.

Saya selaku pengerusi perhubungan tentunya boleh bagi ruang kepada ketua-ketua Umno Bahagian.

Kerana itu pun tanggungjawab saya. Tapi saya pohon janganlah pula kerana ada hubungan yang begitu baik dengan pucuk kepimpinan di peringkat nasional, maka menidakkan hak saya sebagai ketua Umno di negeri ini.

Malah apa yang saya sebutkan itu saya anggap sebagai cerminan suara rakyat kerana saya dengar rintihan daripada merata. Duduk di kedai kopi pun orang bercakap benda yang sama, berjumpa dalam mesyuarat pun tanya soalan-soalan yang saya sendiri tak dapat jawab. Mahu tidak mahu saya kena tanya orang yang boleh jawab.

Itulah yang saya buat. Kalau itu dianggap salah maka selepas ini janganlah kita tegur sapa-sapa pun kalau nampak kesilapan berlaku. Kalau itu berlaku, memang bungkus (Umno) dalam PRU14. Jadi inilah masalah.

Antara lain, dalam sidang Dun dua kali lepas, kerana saya lihat tekanan ke atas rakyat sudah sampai tahap yang teruk, barang makanan kita pun semakin mahal, baju sekolah pun dah naik harga, susu pun harga naik, itu sebabnya saya terpaksa beranikan diri walaupun boleh dituduh ingkar atau tidak menyokong dasar kerajaan persekutuan.

Tapi saya buka cadangan, baru cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikurangkan kepada tiga peratus. Takkanlah salah kalau saya kata macam itu.

Kerana ini adalah harapan rakyat yang rasa tertekan dengan kenaikan kos sara hidup. Apa yang diperlukan ialah penjelasan. Kalau tidak boleh, kenapa tidak boleh. Dan kalau kita boleh terima alasan yang diberikan tak apa, kita buatlah cara lain pula.

Jadi rupa-rupanya bila saya keluar kenyataan-kenyataan macam ini, timbul rasa tak puas hati. Menteri Besar ini tidak sehati sejiwa seperti yang diharapkan. Kemudian dikaitkan pula dengan anak bapa. Bapa dia macam itu, dia pun macam itu juga.

Mungkin saya silap, tapi rakyat boleh buat andaian yang bermacam-macam. Mungkin bukan kerana empat alasan yang diberi, tetapi sebenarnya kerana sebab-sebab itulah yang menyebabkan saya dituntut supaya berhenti sebagai pengerusi perhubungan dan menteri besar.

Yang saya nak nyatakan, selagi rakyat Kedah mahukan saya, selagi itulah saya akan berkhidmat untuk rakyat. Kalau nak tukar pun, tunggulah sat (sekejap). Buatlah cara elok-elok. Saya ini bukan susah sangat nak bincang-bincang pun.

Tapi kalau buat naya kat saya, terpaksalah kita bertindak. Buat naya ini bukan ke atas diri saya, tapi saya rasa rakyat negeri Kedah teraniaya. Tak ada salah apa pun, nak suruh tukar fasal masalah dalaman.

Mungkin ada orang 'geli' nak ambil alih jawatan saya. Saya pernah kata dulu, nampak jawatan menteri besar ini cukup bagus ada kereta besar, body guard, duduk di Seri Mentalon walaupun sebelum ni tidak ada yang duduk di situ sebab takut hantu.

Kabinet Najib perlu berhemah, bukan menekan rakyat

Posted: 22 Jan 2016 04:10 AM PST

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menasihatkan Kabinetnya supaya bijak dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kerajaan sebelum memperkenalkan polisi baharu yang menekan hidup rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah menyusun semula belanjawan negara mesti dilakukan dan bukannya membuat kejutan tentang penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kemunculan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Rakyat sangat mengharapkan agar Perdana Menteri mengambil tindakan drastik mengurangkan kos sara kerajaan terlebih dahulu. Beliau mesti menunjukkan teladan dengan menghentikan sikap boros beliau dan keluarganya yang menjadi buah mulut rakyat.

"Penggantungan biasiswa JPA memberi bayangan bahawa pengubahsuaian bajet yang akan dibentang oleh Perdana Menteri pada 28 Januari nanti akan hanya menambahkan tekanan kepada kehidupan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr M: Pengubahsuaian Bajet 2016 wajar]

Rabu lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mengumumkan Najib yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini.

Mohd Irwan berkata, pengubahsuaian Bajet 2016 akan dibuat berdasarkan anggaran baharu purata harga minyak semasa susulan penurunan harga minyak mentah dunia mencecah AS$29 setong dan nilai mata wang tempatan yang semakin menjunam.

Tuan Ibrahim juga berkata, pengubahsuaian bajet itu perlu dimulakan dengan pemotongan peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri terlebih dahulu dan mengecilkan saiz kabinet mengikut keperluan, bukan tuntutan parti komponen BN.

"Perdana Menteri diseru untuk menamatkan jawatan penasihat khas bagi beliau yang bertaraf menteri, termasuk empat hingga lapan pegawai dan pembantu yang diperuntukkan kepada setiap satu," ujarnya.

Beliau berkata, Najib juga perlu menyemak fungsi pentadbirannya yang bertindih antara kementerian dan agensi kerajaan.

"Terdapat enam agensi penguatkuasaan di atas jalan raya iaitu polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Puspakom, Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran.

"Peranan Puspakom boleh diserahkan kepada JPJ  adalah antara contoh yang boleh diteliti kembali," katanya lagi.


Pelajar kosongkan bangunan kerana panggilan bom

Posted: 22 Jan 2016 04:08 AM PST

Pelajar kosongkan bangunan kerana panggilan bom
Ribuan pelajar universiti swasta terbabit terpaksa mengosongkan bangunan sebelum dibenarkan masuk semula kira-kira jam 2.15 petang, tadi.


PETALING JAYA .- Ribuan pelajar sebuah universiti swasta di Kota Damansara, dekat sini, terpaksa mengosongkan bangunan tersebut selepas pihak universiti menerima panggilan terdapat bom di dalam bangunan terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata,  kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi itu diterima oleh seorang staff universiti melalui panggilan telefon dari seorang lelaki yang memaklumkan perkara itu.

Beliau berkata, berikutan itu, sepasukan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan dijalankan di seluruh bangunan kira-kira satu jam setengah.

"Bagaimanapun, tiada sebarang objek disyaki ditemui dan kita masih menyiasat perkara ini," katanya ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Dalam pada itu, semua pelajar kemudian dibenarkan masuk ke dalam bangunan terbabit semula kira-kira pukul 2.15 petang.


Tolak MB: Kumpulan anti-Mukhriz tutup mulut

Posted: 22 Jan 2016 04:04 AM PST

Tolak MB: Kumpulan anti-Mukhriz tutup mulut
Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah (atas pentas) kelihatan berada diatas pentas di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim 'tutup mulut' dan enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaan pemimpin Umno Kedah dengan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira jam 6.40 petang tadi.

Bagaimanapun pergerakan Abdul Azeez dapat 'dihidu' petugas media ketika melalui pintu belakang PWTC yang menghubungkan Hotel Seri Pasific menuju ke kenderaan rasminya.

Biarpun beliau diasak beberapa kali oleh petugas media, namun beliau enggan memberi komen tentang perjumpaan itu.

"Tak ada komen, mesyuarat tadi Alhamdulillah," katanya kepada pemberita sebaik sahaja memasuki kenderaan rasminya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman yang muncul di laluan sama selepas Abdul Azeez turut 'menutup mulut' dan terus meninggal petugas media.

"Saya tak boleh bagi komen," tegasnya

Terdahulu, 14 Ketua Umno Bahagian, Adun dan Ahli Parlimen Kedah mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung krisis Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di PWTC, di sini, hari ini.

Ia susulan tindakan Umno Kedah diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz dalam satu sidang media di Alor Setar, Kedah, pada Rabu lalu.

Sidang media itu mendesak Perdana Menteri melakukan perubahan pucuk pimpinan Kedah yang menurutnya dilihat gagal menggerakkan jentera Umno serta menjana  ekonomi negeri

Penolakan Mukhriz tidak wakili seluruh parti

Posted: 21 Jan 2016 09:02 PM PST

Suraya Yaacob
Suraya Yaacob


ALOR SETAR - Penolakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dikatakan sebulat suara daripada keseluruhan Umno Kedah tidak tepat, kerana keputusan tidak melibatkan kepimpinan semua peringkat.

Exco kerajaan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, keputusan yang dibuat pada sidang media tergempar petang Rabu itu melambangkan keputusan yang dicapai pemimpin yang hadir.

"Tidak boleh rumuskan ia keputusan keseluruhan parti, sekiranya ia keputusan sebulat suara, bermakna ia termasuk persetujuan ketua-ketua cawangan," katanya, yang memaklumkan tidak dijemput pada sidang media diketuai, Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah itu.

Suraya yang ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Pingat dan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88, di Istana Anak Bukit, turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz.

"Saya sokong kepimpinan Mukhriz yang diberi mandat sebagai Menteri Besar dan mandat itu belum ditarik balik. Bermakna kita perlu meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan beliau selagi diberikan mandat," katanya.

Menurut Adun Sungai Tiang itu, pertukaran Menteri Besar bukan bawah kuasa sebahagian pemimpin sebaliknya bidang kuasa Perdana Menteri dan Sultan.

"Saya percaya perkara ini perlukan masa untuk diselesaikan. Saya menyokong kepimpinan Menteri Besar dan Perdana Menteri, namun keputusan perlu dibuat secara baik agar keamanan negeri dipelihara," katanya.

Suraya turut menyifatkan tindakan mengadakan sidang media tergempar tanpa pengetahuan Mukhriz selaku Pengerusi Umno Kedah adalah terlalu drastik.

"Saya tidak setuju dengan tindakan itu, itu bukan caranya dalam Umno. Kemungkinan pemimpin terbabit ketika itu dalam keghairahan berdepan kemelut dan diasak beberapa pihak, menyebabkan mereka bertindak begitu," katanya.

Bagaimana pun, katanya, keputusan itu boleh ditarik balik jika perbincangan dibuat dan mencapai kata sepakat.

Mengulas viral disebar melalui WhatsApp, menyebut beliau antara exco yang akan digugurkan sebaik berlaku pertukaran Menteri Besar selain Datuk Aminuddin Omar, Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Datuk Norsabrina Mohd Noor; Suraya berkata, ia adalah dua isu berbeza.

"Apabila ada pihak sebarkan perkara itu, seolah tindakan yang dibuat ada kepentingan lain. Harus diingat, lantikan exco adalah kuasa prerogatif pimpinan, bukan segelintir pemimpin yang mahu siapa dilantik," katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz.

"Selagi Mukhriz Menteri Besar, kita wajar hormati lantikan itu yang diperkenankan Sultan Kedah.

Sehingga itu, beliau masih terajui negeri dan mendapat kepercayaan rakyat," katanya, yang turut tidak mendapat undangan menghadiri sidang media tergempar.

Menurut Adun Jitra itu, setiap perbuatan harus merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, dan tidak wajar bertindak melulu.

"Jika semua pakat tidak puas hati kepada satu pihak dan adakan sidang media menghukum pihak tertentu, itu menunjukkan kita ketepikan perundangan," katanya.

Exco kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kehadirannya pada sidang media tergempar adalah selaku Ketua Umno Bahagian Merbok untuk menghadiri satu mesyuarat.

"Saya ikut seperti mana yang diminta. Mesyuarat itu tidak dinyatakan agenda," katanya.

Manakala Mohd Rawi mengambil sikap berdiam diri ketika diminta mengulas.


PAN pula bakal terjerat?

Posted: 21 Jan 2016 08:58 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Perebutan kerusi di Selangor mungkin menyaksikan Parti Amanah Negara (PAN) bakal 'dipermainkan' rakan sekutunya, DAP.
 
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr Azmi Hassan berkata, DAP tidak akan begitu mudah menyerahkan kerusi milik mereka kepada rakan pakatan seperti PAN kerana menganggap parti mereka kuat dan mampu bersendirian.
 
"Diramalkam jumlah kerusi yang bakal ditandingi DAP pada PRU14 ini akan bertambah berbanding PRU13 kerana ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan. Secara logiknya kekosongan PAS sepatutnya diisi Amanah tetapi DAP ketika ini begitu dominan dalam pakatan.
 
"Saya jangka DAP akan menang besar dari segi pembahagian kerusi berikutan ketiadaan PAS manakala PKR pula hanya peroleh kerusi tambahan dalam bilangan sedikit sahaja. PAN pula akan rasa tertipu dan dipermainkan kerana mereka sepatutnya miliki kerusi PAS tetapi tidak akan dibenarkan DAP," katanya yang dipetik Sinar Harian.
 
Azmi berkata, secara logiknya PAN menyimpan harapan untuk bertanding 100 peratus di kerusi PAS.
 
"Mungkin PAN beranggapan semua kerusi PAS milik mereka, namun pada hakikatnya DAP dan PKR akan memperoleh sebahagian besar komposisi kerusi berkenaan Makala PAN cuma mendapat baki lebihan itu sahaja,"  katanya.
 
Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, situasi seperti ini jelas menguji keikhlasan DAP.
 
"Susulan kemelut ini, Amanah boleh menilai reaksi DAP sama ada bersetuju atau tidak menyerahkan sedikit kerusi mereka kepada sekutu baru seperti PAN.
 
"Malah PAN juga harus berhati-hati untuk pastikan mereka tidak disabotaj jika dapat kerusi kelak," katanya.
 
Beliau mengandaikan, DAP akan meredakan isu panas ini dengan meyakinkan PAN untuk bertanding di kerusi PAS.
 
"Kerana DAP pasti mahu kekalkan majoriti mereka untuk tidak timbulkan undi protes dalam kalangan ahli.
 
"Bagaimanapun DAP perlu sedar dan buka mata bahawa mereka masih perlukan sekutu Melayu Islam untuk dapatkan sokongan pengundi Melayu," katanya.
 
Sivamurugan berkata, buat masa ini tidak nampak persaingan dengan formula satu lawan satu malah berkemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan bukan PKR atau DAP.
 
Untuk rekod, sebelum ini, Setiausaha AMK, Chang Li Kang menyarankan DAP menyerahkan separuh daripada kerusi majoriti Cina yang diwakilinya kini kepada PAN hal ini bertujuan mengikis label 'anti Melayu' terhadap parti itu.
 
Bagaimanapun, DAP menyifatkan cadangan itu sebagai pendapat peribadi semata-mata bahkan perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan DAP Selangor.
 
 

Penganut Hindu yakin Batu Caves selamat ketika perayaan Thaipusam

Posted: 21 Jan 2016 08:57 PM PST

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
BATU CAVES: Walaupun terdapat desas-desus ancaman keganasan menjelang perayaan Thaipusam di Batu Caves, orang ramai yakin dengan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan polis bagi membendung kejadian tidak diingini.
 
Berbanding sebelum ini, kehadiran anggota polis di sekitar kawasan itu juga lebih banyak sejak kawalan keselamatan mula digerakkan mulai hari ini sehingga 26 Januari.
 
Pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menambahkan keyakinan lagi para pengunjung dan orang ramai terhadap keselamatan di kawasan Batu Caves.
 
Begitulah luahan perasaan orang ramai yang ditemui Antarapos ketika meninjau Batu Caves hari ini.
 
Seorang pengunjung yang juga pekerja swasta, Subramaniam, 40, berkata dia percaya tidak akan berlaku sebarang perkara tidak diingini menjelang sambutan Thaipusam kerana keadaan keselamatan yang sangat baik.
 
"Tidak ada apa-apa, itu perkara biasa. Pengawalan keselamatan dalam keadaan sekarang sangat baik," katanya.
 
Shankar, 37, yang juga berpendapat begitu, yakin dengan tahap keselamatan ditunjukkan oleh pihak berkuasa.
 
"Ini Malaysia, saya rasa kita tak perlu takut, polis sudah buat kawalan dengan baik," ujarnya.
 
Sementara itu, Rajenthiran, 40 menyokong segala usaha yang ditunjukkan oleh pihak keselamatan bagi memastikan sambutan perayaan Thaipusam berlangsung dengan lancar.
 
"Sini selamat, tidak ada masalah apapun. Dengan pihak keselamatan ada di sini mesti selamat. Saya sokong polis," katanya.
 
Dalam pada itu, ada juga pengunjung yang mengambil sikap berjaga-jaga walaupun polis dan tentera bekerjasama di dalam membuat rondaan sepanjang masa di Batu Caves.
 
"Lima puluh tahun saya datang ke sini untuk sembahyang kat sini tapi tahun ini kita rasa kesal sikit sebab mungkin kita anggap itu sebagai khabar angin tapi mungkin ada juga peratus khabar itu mungkin jadi benar.
 
"Saya rasa anggota polis terlalu banyak tapi saya tetap bimbang sedikit dan ini tidak mencukupi dan sepatutnya kita kena ada angkatan tentera yang pakar. Sebelum perayaan mereka perlu buat siasatan yang bagus dan baru kita rasa selamat sikit tapi sekarang memang penganut agama Hindu terasa ketakutan," ujarnya

Krisis Kedah boleh berpanjangan, kata pensyarah

Posted: 21 Jan 2016 08:53 PM PST

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kemelut yang melanda Menteri Besar Kedah boleh menyamai krisis perlembagaan  di Perak pada tahun 2009 sekiranya kemelut Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mengikuti prosedur dan undang-undang yang sah.
 
Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, perkara itu boleh berlaku sekiranya Undang-undang Tubuh Negeri Kedah diabaikan oleh mana-mana pihak. 
 
Malah katanya, kemelut itu boleh berpanjangan jika Mukhriz merujuk isu berkenaan ke mahkamah. 
 
"Tetapi kalau kes ini dibawa sampai ke mahkamah, mungkin dua tiga tahun, saya ingat sampai Pilihan Raya Umum ke 14 baru selesai. Jadi dia macam kes Perak, jadi saya tidak tahu bila paling cepat kes ini (boleh diselesaikan).
 
"Boleh jadi (bawa ke mahkamah macam di Perak), kalau ada benda-benda yang melanggar undang-undang, dia boleh bawa kes ini ke mahkamah," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau mengulas kemelut Umno Kedah yang menyaksikan 13 daripada 15 Ketua Umno Bahagian semalam mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campurtangan untuk menggugurkan Mukhriz sebagai menteri besar.
 
Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata mereka semua hilang keyakinan terhadap Mukriz yang dituduh lembab menjalankan tanggungjawab serta merancang strategi untuk Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang. 
 
Menurut perlembagaan negeri, Mukriz hanya boleh digugurkan menerusi usul undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah atau pun menerusi kuasa-kuasa Jemaah Pemangku Sultan Kedah.  
Keadaah di Kedah disebut mirip dengan krisis perlembagaan Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu tumbang selepas tiga ADUN PKR dan DAP memberi sokongan kepada BN pada tahun 2009. 
 
Bagaimanapun kemelut itu berpanjangan apabila bekas Menteri Besar Nizar Jamaluddin merujuk penggugurannya daripada jawatan itu ke mahkamah. 
 
Mukhriz di lantik Menteri Besar berikutan kejayaan BN menawan semula Kedah daripada PAS pada pilihan raya umum 2013. 
 
Azizuddin berkata tindakan pimpinan Umno Kedah mahu Mukriz berundur sebagai menteri besar sudah lama diuar-uarkan.
 
 

Harga minyak pulih sedikit

Posted: 21 Jan 2016 08:49 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
NEW YORK: Harga minyak meningkat lebih AS$1 setong daripada paras terendah 12 tahun semalam, kenaikan harian terbesarnya tahun ini.
 
Kenaikan dibantu rali pasaran kewangan yang memberikan peniaga kelegaan untuk mengambil keuntungan dalam kedudukan singkat.
 
Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada AS$30 setong apabila harapan dasar monetari lebih longgar dari Eropah akan mencetuskan pemulihan dalam pasaran saham Eropah serta Wall Street.
 
Harga tidak terpengaruh dengan data AS yang menunjukkan peningkatan di luar jangkaan simpanan minyak mentah dan bahan api.
 
Sebaliknya, laporan itu mencetuskan belian di kalangan peniaga yang bimbang angka itu akan menjadi lebih buruk.
 
Begitupun, sebahagian peniaga menjangkakan pemulihan segera daripada kelemahan ekonomi di China, pengguna minyak kedua terbesar dunia.
 
"Asasnya masih lemah dan anda perlu bimbang terhadap pertumbuhan ekonomi serta impaknya ke atas permintaan bahan api.

"Justeru, ini berkemungkinan satu isyarat bahawa sebahagian benda dilakukan secara berlebihan berbanding yang lain," kata penganalisis Tradition Energy di Connecticut, Gene McGillian.
 
Penanda aras Brent bagi penghantaran Mac meningkat AS$1.37 untuk berakhir pada AS$29.25, meningkat 4.9 peratus. Minyak mentah AS meningkat AS$1.18 untuk ditutup 4.2 peratus lebih tinggi pada AS$29.53 setong. - REUTERS
 
 

Adenan senaraikan 13 perkara dipersetujui

Posted: 21 Jan 2016 08:48 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyenaraikan 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam.
 
Adenan berkata adalah dipersetujui bahawa:
 
* Para Pegawai Undang-undang Negeri diberi tauliah oleh Pendakwa Raya mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut Ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.
 
* Penurunan kuasa dibuat kepada pegawai negeri untuk mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dalam pelantikan pegawai ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan, termasuk perkhidmatan perguruan dan perubatan.
 
* Jawatan dalam Jabatan Imigresen Sarawak diperkemas bagi menambah baik fungsi penguatkuasaan di negeri ini melalui penambahan 100 jawatan baharu, dengan pengisian sepenuhnya dibuat menjelang akhir Februari 2016.
 
* Nisbah guru kelahiran Sarawak yang berkhidmat di negeri ini dinaikkan kepada 90 peratus daripada keseluruhan jumlah guru di Sarawak menjelang 2018, dan untuk memastikan sasaran ini tercapai, guru sementara dari pasaran terbuka dipertimbangkan dari semasa ke semasa dan mereka ini mendapat Diploma Pendidikan semasa tempoh mengajar.
 
* Kuasa warden trafik bagi Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak diberi kepada Majlis Bandaraya Miri, selain Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan.
 
* Rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri sebelum sesuatu permohonan permit perikanan laut dalam dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian Permit Perikanan Laut Dalam untuk dipertimbangkan.
 
* Rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri dalam merangka undang-undang persekutuan yang mempunyai kaitan atau memberi kesan terhadap kerajaan negeri Sarawak seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
 
* Perancangan projek persekutuan di Sarawak memberi keutamaan kepada Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Sarawak, berdasarkan kelulusan bajet. Pelaksanaan projek ini perlu dirujuk/dirundingkan antara kementerian dan kerajaan negeri seperti dalam menentukan lokasi sekolah, hospital dan pelaksanaan projek pembangunan lain.
 
* Kementerian mengambil langkah perlu untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar daripada kalangan rakyat Sarawak bagi Program Ijazah Perubatan. Rakyat Sarawak akan diberi lebih banyak peluang untuk mengikuti program pengajian asasi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
 
* Bidang berkaitan yang boleh diperturunkan kuasa dikenal pasti untuk diperturunkan kuasa Ketua Pengarah mengikut Seksyen 49 Akta Kualit Alam Sekitar 1974 kepada pegawai/jabatan negeri.
 
* Pembangunan projek perumahan di Sarawak dilaksanakan semula melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama bagi memastikan agensi negeri terlibat sepenuhnya dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek berkenaan di Sarawak.
 
* Pembangunan sukan di Sarawak diuruskan secara bersama dengan kerajaan negeri. Kementerian Belia dan Sukan kini dalam proses memperkemaskan Akta Pembangunan Sukan 1997, yang dijangka selesai menjelang akhir 2016.
 
* Kerajaan negeri melaksanakan semua fungsi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Semua jawatan akan dipindahkan kepada Perkhidmatan Awam Negeri. Kerajaan Persekutuan akan menyumbang 50 peratus daripada kos yang terlibat seperti yang diputuskan Majlis Kewangan Negara.
 
Adenan berkata syarat penurunan kuasa pentadbiran ini telah dipersetujui dalam fasa pertama rundingan penurunan kuasa antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, manakala rundingan fasa kedua akan menyentuh tentang hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas.
 
 

Tiada ulasan: