Isnin, 4 Januari 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Tinggalkan 2015, pasang azam baharu 2016

Posted: 04 Jan 2016 12:09 AM PST

Oleh Rozaman Ismail 

SELAMAT Tahun Baharu 2016. Semoga tahun ini akan lebih baik dari tahun 2015 dan tahun-tahun
sebelumnya. Kepada yang berjaya memenuhi azam dan tekad yang ditanam sepanjang tahun lalu, tahniah! Kepada yang masih tertunggak, lupakan azam yang tidak kesampaian itu dan pasanglah azam baharu.

Syukurlah, jendela tahun 2016 dibuka dengan tenang tanpa apa-apa tragedi atau kejadian menyayat hati. Tahun lepas, 2015 disambut dengan rasa dukacita ekoran kejadian banjir besar di negeri-negeri Pantai Timur terutama di Kelantan. Seluruh rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dengan mangsa-mangsa banjir yang terlibat. Kesannya masih terasa sehingga sekarang.

Tahun 2016 dijangka terus menjadi tahun yang mencabar bagi setiap orang. Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu rentaknya, berikutan kejatuhan teruk harga minyak di pasaran dunia, isu kos sara hidup rakyat akan terus mewarnai tahun baharu ini.

Isu peningkatan kos hidup terutama golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar meresahkan. Tempiasnya turut dirasai semua orang. Harga barang keperluan seharian naik mendadak. Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan dijadikan alasan oleh para peniaga dan pemborong untuk menaikkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan. Keluhan ini dapat didengari di mana-mana sahaja.

Beberapa pengumuman tentang kenaikan kadar tol, tambang pengangkutan awam serta beberapa perkhidmatan lain turut menambahkan resah rakyat. Agensi penguatkuasa yang terlibat dilihat seperti tidak berdaya melawan perbuatan segelintir peniaga yang bertindak menaikkan harga barangan keperluan. Walaupun harga minyak dunia jatuh teruk, harga barang tidak pula turun malah terus 'mencanak-canak'.

Menyedari isu ini terus membelenggu hidup rakyat, kerajaan beberapa hari lalu mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi bagi membincangkan usul dan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani kos sara hidup rakyat. Sebelum ini pada Julai 2011, kerajaan mewujudkan NKRA Menangani Kos Sara Hidup juga bagi menangani isu yang sama. Tidak dapat dipastikan apa sudah jadi kepada NKRA berkenaan.

Semoga jawatankuasa peringkat tertinggi yang akan diwujudkan kelak berhasil tampil dengan satu pendekatan atau mekanisme bagi membantu golongan atau kumpulan yang paling teruk terkena berikutan peningkatan kos sara hidup ini.

Penyelesaian itu nanti bukanlah melibatkan syor-syor 'tidak masuk akal' dan 'menyakitkan hati' seper­ti cadangan melakukan dua, tiga, empat atau lima pekerjaan lain sebagai jalan bagi menambah pendapatan. Bukan semua orang mampu melaksanakan dua, tiga atau empat kerja dalam satu masa waima pekerjaan kedua, ketiga atau keempat itu hanyalah 'perniagaan dalam talian'.

Untuk tahun 2016 ini, ahli-ahli politik yang mahu kelihatan menonjol dan terkehadapan dalam memperjuangkan isu rakyat tolonglah hindarkan diri daripada mengeluarkan idea-idea sedemikian lagi. Dan cukuplah mempersalahkan media jika kenyataan sedemikian 'menikam diri' sendiri.
Melihat kepada situasi yang sudah berlaku pada tahun lalu, setiap orang sudah dikira bersedia mengharungi tahun 2016 dengan lebih cekal dan lebih tabah, termasuk kemungkinan berhadapan dengan satu suasana yang lebih 'perit'. Apa yang berlaku pada 2015 sudah pasti banyak membantu mereka menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran baharu.

Pada masa yang sama, setiap rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat. Jangan sesekali mudah berputus harap. Walaupun laporan segelintir media sosial tentang isu ini kedengaran 'menakutkan,' setiap orang perlu bertenang dan tidak mudah goyah dengan cerita-cerita sedemikian.

Sejak isu kos sara hidup rakyat timbul beberapa tahun lalu, kerajaan telah memperkenalkan banyak pendekatan bagi membantu mengurangkan beban hidup kumpulan tersebut. Usaha seumpama itu sudah pasti akan berterusan sehingga kesannya dapat dirasai golongan sasaran. Percayalah, kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini sentiasa mendengar denyut nadi dan berkongsi jerih perih rakyat.
- utusan.com.my

Diet Baik , Diet Jahat ?

Posted: 04 Jan 2016 12:06 AM PST

KITA perlu menyasarkan dalam lima hingga 10 peratus penurunan berat badan bergantung kepada
berat badan sedia ada.

 Ujar Nurul Aziah, secara amnya, mungkin dalam tempoh tiga bulan pertama. penurunan berat badan yang selamat adalah dua hingga empat kilogram dalam tempoh sebulan.

Tegas beliau, dalam mengurangkan berat badan, sasaran perlulah realistik. Sasaran yang terlalu drastik akan membuatkan kita sukar untuk patuh kerana apa yang paling penting ialah menjaga momentum yang berterusan.

"Ramai yang putus asa kerana cara yang tidak betul dan ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil rebound membuatkan kita makan dalam jumlah yang lebih tinggi daripada sebelum ini.

"Lagipun, tidak digalakkan turun terlampau cepat kerana selalunya apabila turun berat badan secara drastik, bukan lemak yang hilang sebaliknya adalah air kerana lemak mengambil masa yang lama untuk hilang
.
"Keadaan ini akan menyebabkan penyahidratan lalu mengundang pelbagai penyakit berkaitan. Air merupakan antara asas yang penting dalam sistem badan seseorang dan pastikan pengambilan air putih sebanyak 1.5 hingga 2.5 liter setiap hari.

"Untuk melihat sama ada berlaku penyahidratan atau tidak, perhatikan air kencing, jika ia jernih maka menunjukkan jumlah air mencukupi dan jika pekat ia adalah sebaliknya. Tanda lain termasuk dahaga, sembelit, sakit kepala dan penat," terangnya.

Tambah Nurul Aziah, antara prinsip penting lain, jangan lupa untuk makan setiap kali waktu makan kerana ia akan membuatkan kita semakin lapar. Tegasnya, sarapan pagi merupakan hidangan paling penting untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan dan saiz hidangan perlu semakin kecil apabila petang.

Mengulas tentang pelbagai jenis diet yang wujud, ujar Nurul Aziah, tidak dinafikan ramai yang memilih pelan diet yang memberikan kesan penurunan berat badan yang drastik kerana mahu mengejar matlamat namun mereka perlu maklum tentang kebaikan dan keburukan cara pemakanan tersebut.

"Sebagai seorang pakar diet, tiada istilah makanan yang baik dan makanan yang buruk, cuma ada diet yang baik dan diet yang buruk. Selagi kita ikut cara makan dalam piramid makanan, kita boleh makan semua yang kita mahu cuma perlu tahu jumlah makanan yang sesuai," terangnya.

Diet Yang Tidak Berkesan

1. Diet satu jenis makanan

Diet ini diamalkan dengan mengambil sejenis makanan sahaja tanpa had. Ia tidak seimbang dan tidak dapat membekalkan nutrisi lengkap yang diperlukan untuk keperluan badan.

2. Diet rendah karbohidrat tinggi protein

Diet ini boleh menurunkan berat badan tapi ada kesan jangka masa panjang yang boleh mendatangkan mudarat iaitu:

a) Penurunan berat badan pada peringkat awal adalah lebih kepada kehilangan air di dalam badan (kesan diuretik).

b) Diet tinggi protein berkemungkinan meningkatkan pengambilan lemak dan kolesterol. Ini mungkin meningkatkan risiko untuk penyakit kardiovaskular dan kanser.

c) Diet ini adalah kurang dari segi kanji dan serat. Ia boleh mendatangkan risiko sembelit.

3. Diet Sangat Rendah Kalori (menggunakan formula yang dibancuh dengan air)

Diet ini mungkin berkesan untuk satu jangka masa yang pendek tetapi ia tidak boleh dilaksanakan untuk jangka masa panjang kerana ia membosankan dan tidak seperti rutin harian makanan biasa. Ia mungkin boleh menyebabkan rasa lesu, lemah, sembelit, mual dan perlu pemantauan doktor atau pakar dietetik sekiranya ingin dilakukan pada tempoh masa yang sekejap.

Secara amnya, diet yang mempromosikan 'makanan magik', kadar penurunan berat badan yang terlalu banyak dalam masa yang singkat dan peng­gunaan produk yang harus diambil ber­sama, tiada senaman diperlukan adalah jenis diet yang tidak selamat untuk dipraktikkan.

Bersenam

Tidak lengkap perjalanan mengurangkan berat badan jika tidak disertakan senaman secara berkala. Selain membuatkan individu sihat dan cergas, ia amat membantu proses mengurangkan berat badan.

Sekurang-kurangnya lakukan senaman selama 30 hingga 45 minit untuk tiga kali seminggu dan pastikan mencapai 10,000 langkah sehari. Sekali lagi Nurul Aziah menegaskan tidak susah untuk memastikan senaman tersebut dicapai dengan penggunaan aplikasi telefon pintar dan gajet yang boleh merekodkan segala aktiviti.

"Jika di pejabat, cuba mencari masa untuk bersenam dengan banyakkan berjalan, menaiki tangga, elakkan menggunakan lif dan letak kereta jauh sedikit dari pejabat.

"Pastikan ada kepelbagaian aktiviti untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap kecergasan kendiri serta dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit. Keseimbangan dalam aktiviti fizikal adalah penting untuk tujuan kesihatan seperti senaman kardio, kekuatan otot dan fleksibiliti untuk menjadikan kita lebih bertenaga dan sihat.

"Selain itu, keserderhanaan dalam senaman adalah penting bagi memastikan senaman adalah mengikut kemampuan badan individu dan tidak memudaratkan sekiranya terlalu kuat dan berat," terangnya.

Diet DNA

Pelbagai jenis pelan diet mengurangkan berat badan yang muncul selain cara mengira kalori. Terbaru, satu kajian dijalankan yang bakal membuatkan mereka yang berdepan dengan masalah menguruskan berat badan kembali bersemangat iaitu diet DNA.

Kajian yang disiarkan dalam journal Obesity itu merupakan diet genom khusus, alternatif untuk mereka yang mahu mengurangkan berat badan pada tahun 2020, menurut penyelidik Institut Kesihatan Kebangsaan AS.

Saintis mengelarkan teknik tersebut sebagai pengurangan berat badan yang tepat dan efektif. Kajian tersebut melibatkan pemahaman kaitan gen dan obesiti serta gabungan diet dan senaman khas menurut struktur unik DNA setiap individu.

Ujian analisis genetik dan data perubahan berat badan serta kajian genomik dilakukan dalam mencari kaitan antara obesiti dan gen. Mereka telah mengenal pasti beberapa gen yang dapat dikaitkan dengan obesiti tetapi masih belum mengetahui bagaimana ia memberi kesan kepada badan.

Bagaimanapun, saintis menyatakan tang diet DNA tidak akan menyebabkan seseorang itu turun berat badan dengan automatik. Senaman masing memainkan peranan penting dalam memastikan penurunan berat badan yang efektif.- utusan.com.my

Kaji Hikayat Hang Tuah

Posted: 04 Jan 2016 12:02 AM PST

Oleh RASDAN AHMAD

Setiap bangsa atau kaum mempunyai wira mereka sendiri. Tetapi tidak semua wira itu adalah bahan
sejarah, banyak juga yang lahir menerusi tradisi sastera lisan atau cerita rakyat yang dibukukan. Dalam tradisi masyarakat England misalnya, Robin Hood dan King Arthur antara wira legenda yang kekal dalam masyarakat untuk menyemarakkan semangat nasionalisme.

Orang Cina pula dengan kisah seorang raja yang baik hati dari zaman Tiga Kerajaan, iaitu pengasas kerajaan Shu, Liu Bei yang amat terkenal dengan kebijaksanaannya. Begitu juga dengan kisah Lu Bu yang dianggap jeneral perang yang handal.

Dalam masyarakat Melayu, Hang Tuah dianggap sebagai wira dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Bagaimanapun kedua-dua naskhah klasik itu bukanlah buku sejarah yang menunjukkan Hang Tuah benar-benar wujud pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Tetapi ini tidak bermakna naskhah klasik berkenaan tidak berperanan dalam konteks antropologi dan sosiologi kepada generasi masa kini.

Oleh yang demikian kedua-dua naskhah klasik yang Hang Tuah tercatat di dalamnya adalah lebih besar berbanding Hang Tuah sebagai wira di alam realiti. Baru-baru ini timbul kembali polemik kitar semula mengenai dakwaan Hang Tuah benar-benar wujud. Terdapat beberapa tokoh akademik menghabiskan begitu banyak masa semata-mata untuk membuktikan Hang Tuah Tuah sememangnya wujud.

Pada masa yang sama terdapat pula dalam kalangan ahli akademik yang dan tokoh sejarah menganggap Hang Tuah sekadar watak dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Hujah mereka, dari sudut sejarah tidak ada satu bukti yang boleh dipegang untuk menunjukkan Hang Tuah satu fakta sejarah. Begitu juga dengan kewujudan puteri dari China bernama Puteri Hang Li Po yang tidak tercatat dalam sejarah di China.

Tokoh sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim dalam beberapa pembentangannya sebelum ini tidak menganggap Hikayat Hang Tuah sebagai satu catatan sejarah. Ini kerana tidak terdapat fakta-fakta sejarah yang boleh dikaitkan dengan Hang Tuah walaupun dikatakan pada abad ke 14 di Melaka.

Walaupun Hang Tuah bukan satu sejarah tetapi ini tidak bermakna Hikayat Hang Tuah tidak bernilai dalam konteks sosial dan budaya khususnya bagi orang Melayu. Nilai naskhah klasik ini melampaui penemuan terkini sekiranya disahkan bahawa Hang Tuah memang wujud. Sama ada wujud atau tidak, naskhah klasik itu tetap bernilai tinggi untuk melihat psikik orang Melayu pada zaman silam.

Oleh kerana itu, penyelidikan, kajian dan debat yang panjang tentang kewujudan Hang Tuah tidak menguntungkan dalam pengembangan ilmu budaya dan sosial. Mengkaji untuk membuktikan bahawa dinosaur benar-benar wujud jauh lebih bermanfaat berbanding membuktikan kewujudan Hang Tuah. Debatnya pula tidak mencambahkan tafsiran-tafsiran baharu kerana kewujudan Hang Tuah adalah suatu yang statik, sedangkan mengkaji naskhah klasik Hikayat Hang Tuah itu suatu yang dinamik.

Pedoman

Katakanlah akhirnya memang benar Hang Tuah benar-benar wujud dan bukan mitos seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak, apakah penemuan ini boleh memberikan manfaat kepada generasi hari ini? Lekeh sangatkah orang Melayu sekarang hingga terpaksa menghabiskan begitu banyak masa, tenaga dan wang untuk membuktikan Hang Tuah sebenarnya wira orang Melayu?

Orang Melayu sekarang tidak perlu bertenggek di atas kehebatan "luar biasa" Hang Tuah sebaliknya memetik sekian banyak iktibar dan petunjuk daripada kedua-dua naskhah klasik itu sebagai pedoman untuk membina masa depan. Misalnya dalam konteks semasa, kata-kata hikmat, "Melayu tidak hilang di dunia" yang dikatakan diucapkan oleh Hang Tuah sudah tidak relevan. Buktinya Melayu memang wujud di dunia. Bagaimanapun wujud Melayu tidak bermakna sekiranya tidak dipertahankan ciri-ciri yang menunjukkan identiti Melayu seperti budaya dan bahasa. Untuk apa yang wujud hanya jasad Melayu tetapi bukan lagi jati diri?

Sebaik-baiknya masa yang diberikan kepada kerja-kerja membuktikan kewujudan Hang Tuah dialih kepada mengkaji kedua-dua naskhah klasik yang berkaitan dengan Hang Tuah. Penemuan daripada kajian ini boleh memberikan banyak manfaat kepada rakyat kerana ternyata banyak lagi yang belum digali daripada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Tanpa menafikan kemungkinan Hang Tuah sebenarnya wujud tetapi tumpuan ahli akademik perlu kepada perkara yang lebih besar dan menyumbangkan sesuatu kepada generasi masa kini dan akan datang.

Hikayat Hang Tuah telah menjadi ilham kepada pembuat filem, teater dan karya lagu. Pengarah filem dari India, Phandi Majundar mengarahkan filem Hang Tuah yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan Ahmad Mahmud pada era kegemilangan filem Melayu di Singapura. Filem ini mengangkat Hang Tuah sebagai wira. Tidak lama selepas itu pengarah Hussein Hanif mengarahkan filem Hang Jebat lakonan M. Amin yang mengangkat Hang Jebat sebagai wira.

Secara perbandingan, filem Hang Jebat jauh lebih baik isi kandungan, pemikiran dan tafsiran-tafsiran baharu daripada Hikayat Hang Tuah. Sementara filem arahan Phandi Majundar seperti mengindiakan Hikayat Hang Tuah dan tidak ada tafsiran baharu daripada sumber asal.

Sasterawan Negara Usman Awang menghasilkan naskhah teater, Matinya Seorang Pahlawan yang mengangkat Hang Jebat sebagai pahlawan. Ini juga satu tafsiran baharu yang sangat dinamik daripada Hikayat Hang Tuah. Maknanya dalam Hikayat Hang Tuah, yang wiranya boleh jadi Hang Tuah yang menjadi pengampu raja dan boleh jadi juga Hang Jebat yang menuntut keadilan.

Pengarah filem U-Wei Haji Saari pernah mementaskan teater Wangi Jadi Saksi juga diilhamkan dari Hikayat Hang Tuah dengan tafsiran baharu bahawa yang membunuh Hang Jebat adalah Patih Karma Wijaya bukannya Hang Tuah. Peristiwa itu disaksikan oleh Dang Wangi. Tetapi di depan rakyat, Hang Tuah mengaku membunuh Hang Jebat yang dianggap penderhaka oleh Sultan Melaka.

Inilah bukti dinamiknya Hikayat Hang Tuah. Inilah yang perlu terus dikaji dan bukannya membuktikan Hang Tuah sebenarnya wujud.
Dalam sosiobudaya dan politik, watak Hang Tuah dan Hang Jebat memang wujud dalam kalangan politikus termasuk di negara ini. Semua ini membuktikan naskhah klasik itu mempunyai nilai yang tidak pernah surut dan terus relevan dengan semua zaman. Maka kajilah Hikayat Hang Tuah dan tidak perlu terus mencari Hang Tuah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/kaji-hikayat-hang-tuah-1.175761#sthash.rg06XlFt.dpuf

Tiada ulasan: