Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB 
 
IPOH - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Menurut Anwar, beliau telah dimaklumkan tentang perkara itu oleh SPRM dan pihaknya akan berjumpa agensi terbabit secepat mungkin.


"SPRM sudah maklumkan tentang perkara ini dan saya sedang mencari waktu yang sesuai untuk berjumpa mereka.


"Saya jamin akan berikan kerjasama penuh untuk berikan keterangan kepada SPRM," katanya ketika ditemui selepas Majlis Dialog Anak Muda Bersama Anwar Ibrahim di sini, semalam.


Pada majlis itu, lebih kurang 100 anak muda dari seluruh negara berkumpul pada sesi dialog yang diadakan kira-kira satu jam itu.


"SPRM tak sepatutnya hanya tunggu dari saya (bukti), sedangkan mereka lebih mengetahui dan punya kelebihan untuk dapatkan pelbagai bukti," katanya.


Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, Anwar akan dipanggil untuk membantu siasatan kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh berkaitan kes Daim.


Pada perkembangan lain, Anwar berpendapat cadangan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) harus diteliti melalui Majlis Pimpinan PR dengan mengambil kira pandangan daripada semua kaum.


Beliau berkata, PR adalah gabungan parti yang mendukung proses demokrasi dan perkara itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat sebelum sebarang keputusan dibuat.


"Kami akan mengenal pasti segala isu dan pendapat semua penduduk dalam sesebuah bandar sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.


"Berikutan itu, kami dijangka akan membincangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat pimpinan PR pada Isnin ini," katanya.


Menyentuh pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu tersebut, beliau berkata, perkara itu adalah pendapat peribadinya.


"Kenyataan yang dikeluarkan beliau (Abdul Hadi) adalah pendapat peribadinya," katanya.


Kelmarin, Abdul Hadi dalam satu kenyataan telah menyuarakan kebimbangan berhubung desakan DAP yang mahu mengadakan pilihan raya PBT kerana perkara itu mampu mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk terutamanya di kawasan majoriti Cina.