Ahad, 27 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Musuh, Bila Dia Sokong Kita, Mesti Ada Yang Tak Kena..

Posted: 27 Dec 2015 12:01 AM PST

Presiden PAS dapat layanan istimewa Utusan

Di tengah-tengah kehangatan isu kerjasama Umno-PAS, Utusan Malaysia tampil memberi layanan istimewa kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhbar milik Umno itu hari ini menyiarkan kenyataan penuh Hadi, yang antara lain mempertahankan peranan parti itu sebagai pembangkang yang menasihati kerajaan.

Malah, kenyataan anggota Parlimen Marang itu turut diketengah di muka depan akhbar itu.


Manakala kenyataan penuh Hadi dimuatkan di halaman ke-12 dengan tajuk "Fahami konsep Nasihat PAS"

Jarang Utusan memberi ruang sebegitu kepada pemimpin pembangkang selama ini.

Akhbar web PAS Haakahdaily turut memuatkan kenyataan penuh Hadi semalam.

Masih tidak jelas sama ada layanan istimewa Utusan itu akan menjadi isyarat bahawa Umno terus berusaha untuk 'melamar' PAS, yang kini bersendirian selepas perpecahan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Dalam artikel itu, Hadi antaranya berkata kesediaan PAS itu untuk menjadi penasihat kerajaan bukan kerana pangkat tetapi untuk menjadi penyelamat.

Malah, katanya, konsep nasihat sangat penting untuk umat Islam dan termaktub dalam al-Quran dan sunah yang menjadi dasar tertinggi PAS.

Beliau pada masa yang sama menyelar pihak yang "lemah iman" dan tidak istiqamah dengan "mahu menjadi pembangkang semata-mata atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi".

Isu kerjasama kedua-dua parti terbesar di Malaysia itu kembali disemarakkan selepas perkongsian pentas Hadi dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah acara alumni Universiti al-Azhar, Mesir baru-baru ini.

Kemesraan mereka, selain pakaian sedondon merah jambu, mereka juga menjadi perhatian lensa jurugambar, yang terus mencetuskan perbahasan awam.


BILA UTUSAN TIBA2 JADI BAIK...

Semua orang tahu akhbar Utusan sentiasa memusuhi Pas, perjuangan dan para pemimpinnya sejak dulu. Disebabkan itu, Pas pernah melancarkan kempen agar ahli-ahlinya jangan membeli dan membaca akhbar tersebut yang didakwa hanya menyebarkan propaganda, laporan tidak tepat dan memburukkan parti itu sahaja.

Lantaran itu, masih ramai yang kekal memboikot Utusan sekarang. Salah satu sebab merosotnya jualan akhbar Utusan juga adalah dipercayai kerana berkesannya pemboikotan itu kerana ia bukan saja dilakukan oleh ahli Pas, malah juga oleh penyokong dan mereka yang condong kepada perjuangan parti itu.

Tetapi, sejak timbulnya cadangan Najib Razak mahu mengajak Pas bekerjasama dengan UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya, kecondongan akhbar itu juga dapat dilihat dengan nyata.

Tiba-tiba saja Pas disanjung, pemimpinnya diberi muka untuk siaran berita dan seolah-seolah parti itu sahabat yang setia.

Apabila musuh tiba-tiba jadi baik, selain harus bersangka baik, tetapi janganlah sesekali dilupa pesanan bekas Presiden Pas, Fadzil Noor yang pernah dibuatnya sebelum ini.

"Musuh, bila dia sokong kita, mesti ada yang tak kena."

Insya Allah, pesanan beliau itu sentiasa relevan sampai bila-bila.
-shahbudindotcom


ULASAN GB

GB tak payah ulas panjang-panjang tentang laporan Utusan itu, Shahbudin dah pun mengulas sama dengan apa yang GB hendak perkatakan.

GB nak sentuh sedikit mengenai "nasihat". Presiden PAS kata bukan kerana pangkat tetapi kerana nak selamatkan negara.

Memang betul pun addinu nasihah, agama itu nasihat. Tetapi kita tidak boleh mengabaikan untuk "menasihati diri sendiri" sebelum menasihati pihak lain.

Nak selamatkan negara macamana jika tugas penting diabaikan? Nak selamat negara macamana jika kerap ponteng parlimen? Nak selamatkan negara macamana jika asyik tuduh orang tidak istiqamah kepada orang yang tak setuju dengan beliau dan menghalau orang dari partinya? Nak selamatkan negara macamana jika boleh bersama dengan pihak yang selama ini menjadi musuh parti dan rakyat dengan pelbagai isu dan skandal? Nak selamat negara macamana jika selama ini lebih mengutamakan pergi memancing di laut?

Subky Latif, seorang wartawan veteran pernah menulis untuk membela Presiden PAS. Katanya ada perkara yang dibuat oleh Presiden PAS itu melangkaui akal manusia biasa, lalu beliau memetik kisah Nabi Allah Khidir yang mempunyai ilmu yang luas yang disuruh oleh Allah swt Nabi Musa untuk belajar daripadanya. Nabi Khaidir adalah "tuanguru" yang serba berilmu tetapi yang memimpin umat ialah Nabi Musa a.s.

GB ingin menjawab, Nabi Khidir mengajar hakikat, bukan syariat. Nabi Musa a.s. yang diutuskan Allah membawa syariat untuk kaum dan umatnya. Nabi Khaidir tetap Nabi Khidir dan Musa menemuinya di laut untuk belajar "hakikat setiap kejadian dan perbuatan" - itu pengajaran dari surah Al-Kahfi.

Itu perbezaan peranan kedua-dua nabi Allah, Musa dan Khidir.

Jika terus-terusan ingin menjadi "tuanguru" seperti Khidir dan bukan pemimpin umat seperti Musa, maka sewajarnyalah Presiden PAS itu duduk di laut bukan di bumi. Yang duduk di daratan ialah Musa manakala yang ditemui di bibir laut ialah Khidir.

Itulah pelajaran yang kita alami dari kisah kedua-dua Nabi berkenaan. Lagipun Musa adalah salah seorang dari lima orang rasul yang memiliki gelaran Ulul Azmi selain dari Nuh, Ibrahim, Isa dan Muhammad.

Ramai yang menganggap Haji Hadi yang ada sekarang tidak sama dengan Haji Hadi sebelum menjadi wakil rakyat. Dahulu Haji Hadi adalah seorang yang vokal menentang segala kekejaman dna kezaliman. Ramai yang mengkagumi kelantangannya. Tetapi apabila sudah berjawatan dan sudah "kaya raya" (dilaporkan kini pendapatanya dari hasil menjadi wakil rakyat termasuk elaun dan pencen ialah hampir RM100,000 sebulan dan lebih sejuta untuk setahun) rentak perjuangannya sudah berubah.

Malah amanah dan tanggungjawabnya kini sentiasa diabaikan. Ada yang membela kononnya beliau berjawatan tinggi di peringkat dunia - sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, mempunyai jadual yang padat sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke parlimen dan DUN.

Jika demikian, lebih elok beliau letak jawatan sebagai wakil rakyat dan tumpukan perhatian kepada jawatan "sedunianya" itu. Kerana tindakan beliau sekarang akan menyebabkan lebih ramai mempersoalkan siapa yang sebenarnya membayar gaji dan elaun beliau dan akan ramailah wakil-wakil rakyat PAS akan berani ponteng parlimen dan DUN, kerana mengikut jejak langkah Presiden itu.

Itulah "nasihat" dan muhasabah yang lebih utama untuk dilakukan terhadap dirinya jika bertujuan untuk selamatkan negara.

Tiada ulasan: