Khamis, 24 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PAS Terus Berpecah... Yang Sokong Dgn Yg Bantah Kerjasama PAS-UMNO

Posted: 23 Dec 2015 10:12 PM PST

PAS jangan ungkit dosa lampau Umno, kata Zuhdi

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki menasihatkan parti Islam itu supaya membuka lembaran baharu bersama Umno dalam mewujudkan kerjasama berkaitan perkara ketakwaan dan kebaikan, lapor akhbar Berita Harian.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama itu tidak bermakna PAS perlu bergabung dengan Umno, tetapi demi menegakkan dan mempertahankan Islam untuk kebaikan rakyat dan negara.


"Sekiranya generasi pemimpin dan ahli Umno hari ini mahu merapatkan hubungan persaudaraan Islam, maka adakah perlu diungkit segala dosa dan kesalahan lampau yang bukan dilakukan mereka?" katanya.

Zuhdi berkata, pimpinan dan ahli Umno hari ini tidak mewarisi dosa dan kesalahan generasi terdahulu dan wajar bagi PAS membuka lembaran baharu dengan parti Melayu itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kesediaan parti Islam itu memaafkan dan melupakan kesalahan Umno yang lalu.

Katanya, dalam perkara yang mengancam Islam dan merugikan rakyat serta negara, menjadi kewajipan PAS mencegah perkara itu termasuk membetulkan Umno sebagai parti pemerintah.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata parti Islam itu bersedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno kerana ia sebahagian ciri perjuangan mereka.

Malah, ahli Parlimen Kota Baru itu berkata tindakan memaafkan dan melupakan kesalahan adalah perkara yang sentiasa diamalkan parti Islam itu.


Zuhdi pada masa sama mengakui hubungan Umno dan PAS sebelum ini agak meruncing sehingga berlaku beberapa peristiwa yang tidak diingini.

Katanya, ada kalangan pemimpin itu sudah lama meninggal dunia dan sekiranya masih hidup, mereka bukan lagi pemimpin yang menggerakkan Umno.

"Kita serahlah kepada Allah untuk mengadili seadilnya pemimpin dulu pada hari akhirat kelak," katanya. – TMI


3 pemimpin kanan PAS bangkit menentang kerjasama dengan Umno

Seorang demi seorang pemimpin kanan PAS bangkit menentang usaha membawa parti mereka mendekati Umno seperti presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun dalam pelbagai nada, antara kerjasama dan bergabung, namun jelas sekurang-kurangnya 3 pemimpin kanan PAS sudah mula kelihatan dalam menentang arus yang cuba dibawa untuk bersama dengan Umno.

Nada penolakan kerjasama ini bermula dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sentiasa bertegas, tidak akan ada gabungan antara parti Islam itu dengan Umno.

Kenyataan Tuan Ibrahim disokong naib presiden yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad.

Terbaru, seorang lagi Naib Presiden PAS Idris Ahmad bangkit dengan kenyataan paling panas iaitu menghalau mana-mana pemimpin atau ahli keluar parti itu jika mahu bergabung dengan Umno.


"Heboh di media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.

"Ingin saya tegaskan PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulama, AJK PAS Pusat dan muktamar.

"Pandangan peribadi tidak boleh dipakai. Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu saja yang pergi," kata ahli Parlimen Bukit Gantang itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sehingga kini, siapakah yang disasarkan Idris tidak dapat dikenal pasti.

Apakah presiden PAS sendiri yang memakai baju Melayu sedondon dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di Multaqa Alumni Al Azhar Malaysia?

Atau pihak yang berusaha dan menjadi dalang kerjasama antara Umno dan PAS ini.


Kenyataan Idris selari dengan kenyataan bekas mursyidul am PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hayatnya yang marah dengan usaha untuk bekerjasama dengan Umno.

"Umno kena buang kebangsaan dan terima Islam dulu. Sudah lama saya cakap macam ini, sikit lagi ada orang Umno cari PAS, saya akan ludah muka orang itu, kalau kamu hendak bersatu, buang kebangsaan ambil semangat Islam, tidak kena di mana Islam?" kata Nik Aziz sebagaimana dilaporkan akhbar milik Umno, Utusan Online pada 8 Mei, 2013.

Sejak awal, Tuan Ibrahim yang kebetulan anak saudara kepada isteri Nik Aziz, antara pemimpin PAS kini yang paling tidak senang dengan kerjasama dengan Umno.

Apabila media melaporkan beliau merestui kerjasama antara PAS dan Umno ekoran kenyataannya yang dilihat lembut selepas pertemuan antara Najib-Hadi, beliau bangkit menafikannya secara bertulis.

"PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Malah kini, PAS sedang merangka strategi mempertahankan kerajaan Kelantan, menguasai kerajaan Terengganu dan menguasai 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Umno di Selangor dan menambah kerusi Parlimen di tempat berlawan dengan Umno," kata Tuan Ibrahim menafikan laporan media beliau kini setuju PAS bekerjasama dengan Umno.

Bahkan dalam kenyataan itu, beliau menegaskan kenyataannya pada 14 Disember lalu yang antara lain menyebut, "PAS tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama".

Katanya, lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Islam secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.

Iskandar yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor pula bertegas, dosa Umno terhadap PAS terlalu besar untuk dimaafkan akar umbi parti Islam itu. – TMI


ULASAN GB

Nampaknya PAS terus berantakan dan berpecah.

Pada awalnya, kumpulan progresif menapak keluar dari PAS menubuhkan AMAANAH dan masih bersama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan. Kini PAS berpecah lagi, diantara yang sokong dengan yang tidak sokong PAS bersama UMNO.

Takiyuddin Hassan dan Zuhdi Marzuki nampaknya telah ke depan... sanggup memaafkan dosa lampau UMNO terhadap PAS, manakala Tuan Ibrahim, Iidris Ahmad dan Iskandar Samad menyatakan TIDAK kepada kerjasama PAS-UMNO. Malah Iskandar menyatakan dosa UMNO terlalu besar untuk dimaafkan oleh PAS.

Di peringkat bawahan, mereka kebingungan. Yang pertahankan Hadi dengan yang tidak. Dulu, jika disebutkan mengenai kerjasama UMNO-PAS, ahli-ahli PAS akan kata itu FTNAH. KIni bila di tanya semula.... ada yang menjawab, apa salahnya?

Perpecahan yang melanda PAS ini memang sudah dijangka. Presiden PAS masih begitu sikapnya. Membiarkan ahli-ahli partinya saling bertentangan dan bercakaran.

Haji Hadi tidak berterus terang, masih samar-samar tentang isu kerjasama PAS-UMNO. Tetapi semua orang tahu idea UG (Unity Government) adalah lontarannya satu ketika dahulu. Ini bererti memang ada ruang di hatinya untuk jalinkan hubungan kerjasama dengan UMNO.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa merupakan "man behind the screen" untuk tugas mempersatukan UMNO-PAS. Beliau sudah pernah membuat pengakuan, tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh pimpinan PAS terhadapnya. Bererti pengakuan beliau itu benar. Malah sehingga kini beliau masih seorang ahli PAS. beliau dilaporkan mempunyai hubungan akrab dengan beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain termasuk ahli Majlis Syura.


Ya, seperti kata GB di atas, PAS terus berantakan dan berpecah-belah... selepas ini akan ada lagi yang bakal menapak keluar tinggalkan PAS...

Tiada ulasan: