Rabu, 2 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Dua Gadis Disimbah Asid Rayu Bantuan

Posted: 02 Dec 2015 12:13 AM PST

Gadis Disimbah Asid Masih Rasa Sakit

KUALA LUMPUR: Dua sahabat baik kini memerlukan rawatan perubatan selepas mereka menjadi mangsa simbahan asid oleh penyerang tidak dikenali.

Nurul Umira Azali dan kawan karibnya Nur Farziana Hussein Hasnor Harry tidak boleh bekerja selepas diserang pada 24 Ogos lalu.

Gambar: Chong (tengah) bersama Nur Farziana (kiri) dan Nurul Umira.


Lebih malang apabila kedua-dua gadis berusia 22 tahun itu baharu sahaja berpindah ke sebuah kondominium di Taman Setapak Indah Jaya, Setapak kira-kira dua minggu sebelum serangan berlaku.

Nur Farziana sebelum ini bekerja di kedai restoran makanan segera manakala Nurul Umira bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar mini.

Kata Nur Farziana, pada hari kejadian kedua-dua mereka pulang ke rumah menaiki sebuah kereta selepas membeli barangan runcit untuk adiknya yang akan memasuki universiti.

Katanya ketika dia sedang mencari tempat letak kereta di kondominium itu, mereka melihat sebuah motosikal diletakkan di arah yang salah.

"Ada sebuah kereta di belakang motosikal itu dengan lampu dinyalakan. Ia juga berada di arah bertentangan.

"Selepas menemui parkir, kami keluar dan ketika kami berjalan melepasi penunggang motosikal itu, secara tiba-tiba kami diserang," kata Nur Farziana.

Kedua-dua mangsa gagal melihat dengan baik penyerang mereka ataupun nombor plat motosikal itu.

"Yang kami ingat ialah penyerang itu bertubuh tinggi dan kurus. Dia memakai pakaian hitam," kata Nurul Umira.

Nur Farziana berkata kedua-dua mereka telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk tempoh lebih daripada sebulan.

Mereka masih menjalani rawatan susulan di sana dan Nurul Umira akan melalui proses pembedahan di tangan pada minggu ini.

Nur Farziana mengalami kecederaan serius di muka, kepala, mata dan tangan hingga membuat dia tidak dapat menutup kelopak mata sepenuhnya walaupun selepas menjalani pembedahan.

"Kepala saya berasa seperti sedang terbakar kerana cuaca. Wajah saya terasa gatal dan penglihatan saya kabur.

"Saya tidak boleh menutup mata sepenuhnya. Saya dapat rasakan kulit saya seperti ditarik. Ia amat menyakitkan," kata Nur Farziana.

Nurul Umira yang turut melecur, tidak dapat menggerakkan tangan kirinya disebabkan oleh parut akibat serangan itu.

Sehingga kini mereka masih trauma dan takut.

Pada Selasa mereka bertemu dengan Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong di pejabatnya di sini.

Chong berkata pihaknya akan membantu kedua-dua gadis itu dan berharap orang ramai juga akan melakukan perkara yang sama.

"Kami akan beri mereka RM2,000," katanya.

Beliau berkata mereka yang ingin menyumbang boleh menghantar cek kepada biro itu dengan menulis nama kedua-dua gadis tersebut di belakang cek ke pejabatnya di Wisma MCA di Jalan Ampang.

Aduan Awam MCA dan Jabatan Perkhidmatan boleh dihubungi di 03-2203 3888 atau sebarang cek boleh dialamatkan ke Tingkat 8, Wisma MCA, 163 Jalan Ampang. -mstar

ULASAN GB

Tiada ungkapan yang lebih layak selain dari ...binatang... terhadap penyimbah asid berkenaan.

Mungkin yang disasarkan orang lain tetapi terkena kepada dua gadis yang tak berdosa itu.

Kita berharap ramai rakyat Malaysia yang baik budi dan bersimpati dengan nasib kedua-dua gadis berkenaan untuk tampil menghulurkan sumbangan ikhlasnya demi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Disamping kita berdoa agar kedua-duanya dikurniakan Allah ketabahan dan kesembuhan agar mereka dapat hidup seperti sedia kala serta menghukum perbuatan gila mereka yang terlibat yang menyebabkan kedua gadis itu teraniaya.

PAS Perak Terasa Kuat, Tak Mahu Bersama Pakatan Harapan

Posted: 01 Dec 2015 07:42 PM PST

Tiada Lagi Pakatan Rakyat Di Perak, Pas Sedia Berdiri Sendiri

IPOH: PAS Perak bersedia untuk meneruskan perjuangan secara bersendirian bagi menentang parti keramat Melayu, UMNO apabila parti itu mengumumkan kini berpecah dengan Pakatan Rakyat (PR) setelah rakan sekutunya, DAP dan PKR beralih arah ke Pakatan Harapan.

Kenyataan itu dibuat Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Razman Zakaria dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Perak, di sini.


Menurutnya, PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) dan beliau mengesa supaya PKR membuat keputusan sama ada mahu bersama dengan parti Islam itu atau bertindak sebaliknya.

"Kita tidak akan sama sekali menyertai Pakatan Harapan selagi PAN dan DAP terlibat dalam kerjasama itu.

"Jadi kita sudah bersedia untuk untuk bertanding menentang UMNO dan juga Parti Harapan, dan oleh sebab itu PKR perlu menyatakan pendirian mereka sama ada untuk bersama PAS atau Pakatan Harapan," ujarnya.

Razman menjelaskan, PAS akan merebut 22 kerusi di Perak dan kini ahli jawatankuasanya sedang giat menilai kerusi yang berpotensi untuk dimenangi mereka.

Katanya, PAS Perak telah menubuhkan satu jawatankuasa khas melalui Lajnah Perpaduan Nasional bagi menilai calon kepimpinan dalam kalangan bukan Islam untuk diketengahkan pada PRU-14.

"Calon-calon bagi kerusi ini sudah ada dan majoritinya adalah bukan Islam.

"PAS negeri hanya memberi cadangan dan akur kepada segala keputusan PAS Pusat, dan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan terdapat pertarungan tiga penjuru," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menambah PAS akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada Januari depan sebagai permulaan langkah awal menghadapi PRU-14.

"Kita akan buat perhimpunan ini di Bukit Gantang dan saya yakin program ini akan berjaya dengan jangkaann 10, 000 orang peserta," kata Razman.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa PAS tidak mempunyai ahli dan lumpuh berikutan tindakan seramai 200 orang ahli PAS di Parit Buntar didakwa telah keluar dari parti tersebut.

"Itu hanyalah spekulasi dan tidak ada bukti 200 orang itu keluar dari PAS," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak, S. Suriyanarayanan berkata, sikap DAP yang dilihat suka melaga-lagakan kaum membuatkan mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan parti itu.

"PAS amat berbeza dengan DAP kerana PAS adalah sebuah parti yang bukan sahaja memperjuangkan Islam, tetapi memperjuangkan agama.

"Sekarang ada 18,600 ahli dalam PAS dan saya jangkakan jumlah ini akan bertambah kepada 30,000 orang ahli selepas ini." ujarnya. -peraktoday

ULASAN GB

Hebat ya PAS Perak! Siap boleh ugut PKR nak bersama PAS atau nak bersama Pakatan Harapan. PAS Perak terlupa hakikat bahawa kememangan PAS di negeri itu adalah kerana PAS ketika itu berada di dalam Pakatan Rakyat. Fenomena "Nizar" adalah penyumbang besar kepada kemenangan PAS di Perak. Nizar adalah ikon rakyat Perak. UMNO BN berhempas pulas menjatuhkan Nizar. Menuduh Nizar menjadi alat DAP. Menuduh Nizar balaci DAP. Kini tuduhan-tuduhan itu dilakukan bukan oleh UMNO saja tapi oleh PAS juga. PAS sudah serupa dengan UMNO. Masing-mamsing menghentam NIzar.

Itu satu hal. Hal keduanya ialah kini PAS Perak menyatakan PAS akan merebut 22 kerusi di Perak dan kini ahli jawatankuasanya sedang giat menilai kerusi yang berpotensi untuk dimenangi mereka. Sebelum ini Razman menyatakan mahu bertanding kesemua 59 kerusi di Perak.


Sudah tidak istiqamah. Sudah tidak yakin. Lepas ni mungkin akan umum pengurangan lagi dari 22 kppada 10. Daripada 10 pula, berapa agaknya yang akan menang... silap gaya sifar.

Ketiga, tambah Razman "Calon-calon bagi kerusi ini sudah ada dan majoritinya adalah bukan Islam." Sebuah parti Islam tapi meletakkan calon majoriti bukan_islam. Kita senyum sahaja. Mengapa majoriti bukan Islam ... sebab baru menyedari hakikat mereka dulu memang kerana undi dari rakyat bukan Islam yang memenangkan PAS di era Nizar dahulu.

Keempat, hentam DAP hentam PKR. Demikian pendirian PAS Perak. PAS Selangor sebab nak jaga kedudukan mempunya pendirian berbeza walhal parti yang serupa, PAS!

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata ahli exco PAS akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

"Ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Selangor tetap bersama Pakatan (Rakyat) dan tetap dalam kerajaan Selangor. MB Selangor juga sudah putuskan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. -Bernama (20-11-2015)

Dan yang agak pelik dan melucukan kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak, S. Suriyanarayanan: ""PAS amat berbeza dengan DAP kerana PAS adalah sebuah parti yang bukan sahaja memperjuangkan Islam, tetapi memperjuangkan agama." Tuan-tuan boleh menilai sendiri dan boleh senyum sendiri.

Tiada ulasan: