Isnin, 28 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kos sara hidup: Zahid perlu bertindak bantu rakyat

Posted: 28 Dec 2015 03:08 AM PST

 
Sebagai pemimpin nombor dua negara, beliau berkewajipan melakukan sesuatu untuk menangani masalah rakyat


fahmi-fadzil-zahid


PETALING JAYA: PKR menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) mengenai kontrak, perjanjian dan konsesi yang memberi kesan terhadap kos sara hidup rakyat.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, sekiranya benar kontrak, perjanjian dan konsesi yang dimeterai tidak memberi manfaat malah membebankan rakyat, ia seharusnya dikaji semula.

"Jika benar kontrak, perjanjian dan konsesi ini tidak memanfaatkan malah membebankan hidup rakyat, apakah tidak mungkin ia dikaji semula dan perjanjian yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat dimeterai?, katanya menerusi kenyataan media.

Tegasnya lagi, rakyat hari ini sentiasa melihat dan memerhati gerak-geri dan langkah pemimpin dan apabila tiba waktunya, rakyat akan menilai pemimpin-pemimpin ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

"Rakyat sentiasa melihat dan memerhati gerak langkah pemimpin. Bila tiba waktunya nanti, pemimpin terutamanya mereka yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran kerajaan akan dinilai di dalam "mahkamah rakyat" atas segala tindak-tanduk yang mereka lakukan," katanya.

Fahmi berkata demikian sebagai kenyataan balas terhadap Zahid yang menyatakan ramai pihak yang menyalahkan kerajaan kerana kontrak penswastaan yang semakin membebankan rakyat dan amat mendukacitakan.

"Ini kerana bukan sahaja beliau menggunakan perkataan-perkataan yang tidak patut oleh seorang Timbalan Perdana Menteri dan pimpinan kanan UMNO-BN, tetapi lebih dari itu beliau enggan melihat isu dari sudut dasarnya.

"Masalah yang ada sekarang adalah kesinambungan daripada pentadbiran dahulu, itu tidak dipersoal.
Bezanya ialah orang berkuasa seperti Zahid mempunyai kewajipan moral sebagai pemimpin nombor dua negara untuk melakukan sesuatu untuk menangani masalah ini," kata Fahmi.

Najib tidak berhak untuk peluang kedua- Syed Saddiq

Posted: 28 Dec 2015 03:06 AM PST

Juara debat Syed Saddiq Abdul Rahman merayu agar Sultan Johor menimbang semula seruannya agar Najib diberi peluang kedua.


Syed-Saddiq-Abdul-Rahman


PETALING JAYA: Juara debat, Syed Saddiq Abdul Rahman merayu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar agar menimbang semula seruannya supaya rakyat Malaysia memberikan peluang kedua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana Najib, katanya, telah banyak mencampuri urusan siasatan skandal yang turut melibatkan dirinya sendiri, dakwanya di laman Facebooknya semalam.

Antaranya, mencampuri siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis terhadap 1MDB selain memecat bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Campur tangan dalam siasatan yang dikendalikan amat dikesali oleh rakyat marhaen seperti saya. Ini bukanlah kali pertama beliau dan pasukannya bertindak demikian.

"Patik kira Najib hanya layak diberi peluang kedua jika beliau sedia untuk berundur sementara sehingga siasatan ke atasnya selesai," katanya lagi.

Syed Sadiq mengulas kenyataan yang dibuat Sultan Ibrahim dalam satu wawancara di akhbar The Star baru-baru ini, yang antara lain mengatakan"Saya tahu Perdana Menteri telah dihujani pelbagai kritikan, tetapi bagi saya berilah dia peluang.

"Tahun (2015) sudah sampai ke penghujungnya, kita perlu melangkah ke hadapan. Memang ini tahun yang mencabar buat semua, termasuk saya sendiri," katanya seperti dipetik.

Pelajar tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga menyifatkan Sultan Ibrahim sebagai "sumbu harapan rakyat".

"Pinjamkan suara Tuanku kepada kami. Najib sudah diberi peluang berulang kali. Kini tiba giliran rakyat pula diberi peluang," katanya lagi.

Selebriti pun tidak terlepas tegur kenyataan #2kerja

Posted: 28 Dec 2015 03:01 AM PST

 
Pekerjaan adalah perkara yang dilakukan setiap hari. Jadi, untuk seseorang melakukan dua pekerjaan bererti mereka harus bekerja selama 16 jam sehari.


harith


PETALING JAYA: Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan mengenai saranannya yang menyeru rakyat Malaysia melakukan lebih dari satu kerja mendapat perhatian di luar jangkaan termasuk daripada selebriti negara.

Selebriti tanah air, Harith Iskander menerusi status di Facebooknya menyangkal kenyataan Ahmad selain menerangkan pekerjaan adalah perkara yang dilakukan pada setiap hari.

"Pekerjaan adalah perkara yang dilakukan pada setiap hari. Jadi, untuk seseorang melakukan dua pekerjaan bererti mereka harus bekerja selama 16 jam sehari," ujarnya.

Harith turut menjelaskan selain seorang pelawak, beliau turut melakukan perkara lain seperti pengacara, penulis, pelakon, jurulatih dan juga pengarah.

"Ia tidak bermakna saya miliki enam pekerjaan. Ia bermakna saya melakukan enam perkara yang berbeza. Jadi dalam konteks kakitangan kerajaan, boleh dikatakan saya memegang enam jawatan yang berbeza," ujarnya.

Pelbagai pihak termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Krishnam yang mengecam keras kenyataan yang dibuat Ahmad itu.

Bagaimanapun, Ahmad tampil menjelaskan bahawa dua pekerjaan yang dilakukan itu adalah seperti perniagaan atas talian.

Dr. Asri: Selesai masalah rakyat bukan tambah beban

Posted: 28 Dec 2015 12:15 AM PST

 
Menteri mesti seorang yang sangat waras, bijak dan tangkas menyelesaikan masalah rakyat dan negara.


Mohd-Asri-Zainul-Abidin


PETALING JAYA: Saranan Datuk Ahmad Maslan supaya rakyat melakukan dua kerja untuk menambah pendapatan turut mendapat respon daripada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, seorang menteri sepatutnya mencari jalan penyelesaian untuk rakyat bukan membuat cadangan yang membebankan lagi rakyat.

"Menteri itu hendaklah seorang yang sangat waras, bijak lagi tangkas menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara.

"Jika akal yang bijak dan tangkas tidak diperlukan untuk menjadi seorang 'pak menteri', maka apakah kelebihan jawatan itu sehingga diberikan gaji dan pelbagai peruntukan yang istimewa untuknya?, tulisnya di Facebook tanpa menyebut nama menteri berkenaan.

Ahmad Maslan menerusi Twitter telah menjelaskan saranan itu merujuk kepada perniagaan atas talian atau e-commerce yang boleh dilakukan pada sebelah malam atau hujung minggu tanpa menjejaskan pekerjaan utama pada siang hari.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan, sudah ramai rakyat Malaysia melakukan dua kerja untuk mencari rezeki yang halal.

Beliau turut memberi contoh dirirnya sendiri yang melakukan tiga kerja – Ahli Parlimen Pontian, Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO.

10 berita utama 2015 - pilihan pembaca

Posted: 28 Dec 2015 12:07 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Akhir tahun sudah menjelang dan Malaysiakini sekali lagi menyerahkan kepada pembaca untuk memutuskan apa yang mereka fikir berita yang paling penting dalam tahun 2015.

Sejumlah 1,140 pembaca mengambil bahagian dalam kajian tujuh hari itu, yang hanya dibuka kepada pelanggan berbayar.

Mereka mengundi memilih di antara 18 bahan berita yang disenaraikan oleh Malaysiakini dengan keutamaan pilihan 1 (paling rendah) hingga 10 (paling tinggi).

Tidak menghairankan, skandal 'derma' RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpilih sebagai berita paling utama bagi tahun ini

Menariknya, terpilih menduduki No 2 dan No 3 dalam senarai itu adalah berita mengenai masalah ekonomi negara - kejatuhan ringgit, dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) (dan kenaikan seterusnya dalam kos sara hidup).

Berita mengenai kenaikan harga menduduki No 2 pada tahun lepas dan No 1 pada tahun 2013, yang menunjukkan bahawa isu ini telah menjadi satu kebimbangan yang tidak berkesudahan di kalangan rakyat Malaysia.

Perkara lain dalam senarai itu termasuk 'kudeta' Najib terhadap Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dan BERSIH 4 serta perhimpunan baju merah pada 16 September.

Berikut adalah 10 berita utama dalam 2015 pilihan pembaca Malaysiakini.

1. 'Derma' RM2.6 bilion dan dakwaan RM42 juta dari SRC dalam akaun bank PM
- 9,441 undi
2. Kejatuhan nilai Ringgit ke paras terendah dalam tempoh 17 tahun.
- 8,356 undi
3. GST dilaksanakan, kenaikan kos sara hidup
- 8,286 undi
4. 'Kudeta' Najib terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri A Gani Patail
- 8,229 undi
5. BERSIH 4 dan perhimpunan 16 September
- 8,153 undi

6. Serbuan ke atas SPRM, cubaan untuk pindahkan pegawai penyiasat dalam siasatan terhadap 1MDB/SRC
- 8,105 undi
7. Anwar dihukum penjara, buat kali kedua
- 7,618 undi
8. Pembunuhan Kevin Morais, adik beradiknya bertelagah dan misteri pen drive.
- 7,434 undi
9. Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota)
- 7,324 undi
10. Skandal hartanah MARA di Australia
- 6,954 undi

Manakala lapan lagi bahan berita yang turut disenaraikan untuk pilihan pembaca ialah:

11. Pergaduhan di Plaza Low Yat
- 6,499 undi
12. Perpecahan dalam PAS dan kemunculan AMANAH
- 6,204 undi
13. Gempa bumi Sabah, 18 maut di Gunung Kinabalu
- 6,017 undi
14. Pakatan Rakyat 'berkubur'
- 5,947 undi

15. Jerebu kembali, kali ini lebih lama daripada biasa
- 5,786 undi
16. Rayuan terhadap kes pengunaan kalimah 'Allah' ditolak, protes terhadap salib di gereja di Taman Medan.
- 5,459 undi
17. Tujuh kanak-kanak Orang Asli hilang, 5 ditemui mati
- 4,691 undi
18. G Palanivel digulingkan dalam MIC
- 3,105 undi

Esok: The newsmaker 2015

Bauksit: 'Godaan jadi jutawan segera'

Posted: 28 Dec 2015 12:04 AM PST

Nigel Aw


 


LAPORAN KHAS Kuantan sekali lagi menjadi tumpuan berkaitan dengan isu alam sekitar ketika ia diselubungi debu merah dari aktiviti melombong bauksit.

Tetapi tidak sepertimana bantahan di Kuantan terhadap loji pemprosesan nadir bumi Lynas lima tahun lalu, kontroversi alam sekitar terbaru ini tidak mengundang sebarang gerakan protes yang ketara, walaupun ia telah berlarutan selama hampir dua tahun.

Ini walaupun ancaman terhadap alam sekitar adalah lebih jelas dan ketara, seperti yang diluahkan oleh seorang penduduk tempatan, Wong Chum Yuan, yang juga ketua pemuda PKR negeri itu.

"Dengan Lynas, ia adalah mengenai risiko (pencemaran alam sekitar) tetapi dengan bauksit, kita sudah dapat melihat kesannya sekarang," katanya.

Debu dari aktiviti melombong bauksit membawa logam berat, yang boleh memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka panjang.



Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (foto), yang merupakan orang penting dalam memulakan gerakan menentang loji penapisan nadir bumi Lynas, mengakui beliau bergelut untuk mencari gelombang sokongan dalam isu terbaru membabitkan bauksit.

"Semuanya kerana disebabkan sikap tamak," kata Fuziah.

Manakala kerajaan Pahang membenarkan tanah di negeri itu yang kaya dengan kandungan bauksit dikorek, penduduk tempatan juga membenarkan tanah mereka dikorek untuk tujuan yang sama, ekoran janji pulangan yang lumayan.

 Jutawan segera

Salah satu contohnya ialah peneroka Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di mana generasi sebelumnya telah mengusahakan tanah di situ selama lebih empat dekad, tetapi kini anak-anak mereka berpeluang untuk menjadi jutawan segera dengan membenarkan kelapa sawit mereka dicabut.

RTP - satu inisiatif yang bermula pada 1971 oleh kerajaan negeri Pahang - adalah serupa dengan Felda, di mana peneroka telah diberikan 10 ekar tanah untuk mengusahakan tanaman.

RTP Bukit Goh terletak kira-kira 16km dari pusat bandar Kuantan.

Hari ini, pemilik tanah ditawarkan purata RM9 bagi setiap tan tanah yang kaya dengan bauksit.

Walaupun jumlah itu mungkin nampak tidak seberapa, tetapi kawasan seluas 10 ekar boleh digali sehingga purata kedalaman sekitar 10 kaki yang diterjemahkan kepada keluasan kira-kira 120,000 meter persegi.


Bergantung kepada jenis tanah dan kelembapannya, di antara satu hingga 1.8 tan tanah boleh diperolehi dari setiap meter padu, di mana pemilik tanah boleh mendapatkan antara RM1 juta dan RM2 juta.

Menurut Fauziah, beliau meminta penduduk kampung supaya tidak membenarkan tanah mereka dikorek seperti itu.

Katanya, mereka tidak akan dapat lagi menanam di plot itu dan ratusan ribu ringgit yang mereka dapat, tidak akan bernilai dengan apa juga penyakit yang mungkin menimpa diri mereka atau anak-anak mereka.

"Tetapi mereka memberitahu saya ini adalah peluang mereka jadi kaya, jadi mengapa saya cuba nak halang mereka?" keluh Fuziah.

Namun, tidak begitu halnya dengan mereka seperti Salwani Tajuddin yang berusia 37 tahun dan keluarganya.

Rumah Salwani terletak di Jalan Bukit Kuantan, jalan utama yang digunakan oleh ribuan lori setiap hari untuk menghantar tanah yang kaya dengan bauksit ke pelabuhan Gebeng.

Kedua-dua belah jalan raya itu kini bersepah dengan pokok kelapa sawit yang mati dan dedaun yang layu kerana selubungi lapisan tebal debu merah.

Manakala jentera pengorek pula boleh dilihat mengorek tanah dengan pokok kelapa tumbang berselerak di situ.

"Kami terjejas di sini... anak-anak saya tak selamat apabila mereka keluar dan bermain. Tiada seorang pun daripada kami selamat apabila kita keluar," kata Salwani, sambil menyapu lapisan tebal debu merah di atas meja di luar rumahnya.

Beliau berkata, anak-anaknya juga telah mengalami masalah pernafasan dan penyakit kulit sejak kerja mengorek tanah bauksit bermula di keliling tanah miliknya.





Salwani, yang berniaga kedai kopi di luar rumahnya, terpaksa mengubahsuai gerainya dengan ditutup sepenuhnya dengan tingkap kerana jika tidak, tiada siapa yang akan datang kerana debu di situ.

'Seorang Cina bergelar 'datuk' pernah datang dan memberi jaminan kami akan jadi kaya. Dia letak segumpal wang tunai dalam sampul surat di atas meja kami.

"Ayah saya mahu mengalah tetapi kita (anak-anak) berkata 'tidak'. Wang yang mereka beri pada kami hanya boleh bertahan beberapa tahun, kemudian tanah kami tidak boleh digunakan lagi," katanya, sambil menambah keluarganya memperolehi sekitar RM5,000 sebulan dari hasil perladangan.

Sejak bulan lepas, setiap rumah di kawasan itu kini dibayar RM500 sebulan oleh mereka yang terbabit dengan pengeluaran bauksit itu bagi menenangkan kemarahan mereka.

Penduduk bakar lori bauksit

Tetapi beberapa kilometer ke Jalan Bukit Kuantan, di sempadan Pahang, kemarahan telah memuncak dengan penduduk tempatan bertindak membakar lori yang membawa bauksit.

Pemandu lori dikehendaki menggunakan laluan itu kerana ia dapat mengelakkan pusat-pusat penduduk utama, tetapi mereka perlu melintas ke Neram, Terengganu, ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Gebeng di Pahang.

Penduduk kampung yang tinggal di sempadan sebelah Terengganu tidak mendapat apa-apa daripada perusahaan bauksit itu tetapi jalan di tempat mereka berlubang dan secara beransur-ansur berubah menjadi jalan yang kotor kerana dilalui ribuan lori tersebut.

"Di sinilah di mana kebanyakannya berlaku kejadian lori dibakar," kata Aidil Haryman Mat Noor, pembantu Fuziah yang membawa media ke lokasi.

Gambar Dr Mariah pegang tangan 'lelaki' jadi isu

Posted: 27 Dec 2015 11:51 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Sekeping gambar yang memaparkan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Dr Siti Mariah Mahmud memegang tangan seorang "lelaki" menjadi viral di Facebook sehingga mencetuskan kontroversi.

Dalam gambar tersebut, Dr Mariah yang mengenakan pakaian berwarna coklat tersenyum dan mengangkat tangannya sambil dipegang oleh seorang lelaki.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Pejuang Tegar mempersoalkan tindakan Dr Mariah yang juga anggota parlimen Kota Raja itu dengan berkata:

"Minta penerangan sikit... sejak bila Islam membolehkan berpegang tangan bukan muhrim... Ahmad Awang (Penasihat Umum AMANAH) tolong jawab jap".

Tulisan lelaki berkenaan mendapat perhatian orang ramai antaranya penceramah Wan Ji Wan Hussin dan Anggota Jawatankuasa AMANAH Aiman Athirah yang memberikan penjelasan berhubung gambar berkenaan.

Menulis di Facebooknya Aiman berkata, lelaki yang bersama Dr Mariah itu merupakan suaminya, Dr Hakim Jaafar.

"Lelaki yang memegang dan mengangkat tangan Dr Siti Mariah itu adalah Dr Hakim, suami beliau. Saya baru mendapat maklumat bahawa ada sekelompok sebelah sana yang giat menyebarkan gambar ini dengan menuduh Dr Siti Mariah sedang berpegangan tangan dengan ajnabi. Ulang suara... ini adalah suami beliau," tulisnya.

Wan Ji pula berkata: "Pak cik oi, ini suami Dr Mariah la. Namanya Dr Hakim".

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan komen Dr Mariah berhubung perkara tersebut.



Presiden berang, mahu sebat penganjur konsert Iglesias

Posted: 27 Dec 2015 11:40 PM PST

MALAYSIAKINI



 


GLOBAL l - Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena berang dengan anjuran konsert bintang pop Enrique Iglesias di Colombo yang menyaksikan wanita tempatan menanggalkan seluar dalam mereka ke arah penyanyi itu.

Sambil menyelar penganjurnya, laporan AFP memetik beliau berkata penonton seharusnya juga "disebat dengan ekor beracun ikan pari" kerana 'tidak bertamadun.'

Pada konsert 20 Disember lalu di ibu kota Sri Lanka itu, wanita tempatan yang dilaporkan teruja berlari ke pentas untuk memeluk dan mencium penyanyi "Hero" itu sementara yang lain membaling seluar dalam ke arahnya.

"Ini adalah tindakan paling tidak bertamadun yang bertentangan dengan budaya kita.

"Saya cadangkan supaya wanita tidak bertamadun ini yang menanggalkan pakaian dalam mereka supaya disebat dengan ekor beracun ikan pari, namun mereka yang menganjurkan acara itu juga patut dihukum sedemikian," katanya yang dipetik agensi berita itu.

Peminat Enrique membayar harga tiket antara 5,000 rupee hingga 50,000 rupee (RM149.86 hingga RM1,498.58) untuk menyaksikan persembahan langsung sejam oleh penyanyi Latin itu di stadium ragbi di Colombo, sebahagian daripada jelajah dunia "Love and Sex."

Sebatan menggunakan ekor ikan pari beracun dikhususkan untuk penjenayah tegar di Sri Lanka dan digunakan sebagai ungkapan popular bagi menjelaskan salah laku ekstrem.

Tiada ulasan daripada penganjur tempatan, Live Events, syarikat milik bersama bintang kriket Sri Lanka, Kumar Sangakkara dan Mahela Jayawardene.


Ahmad Maslan: Saya sendiri buat 3 kerja

Posted: 27 Dec 2015 11:29 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Selepas dikritik keras kerana bercakap tentang dua kerja rakyat Malaysia bagi menampung kos sara hidup tinggi, Datuk Ahmad Maslan hari ini tampil mempertahankan kenyataan itu.

Malah, katanya, beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan dalam kerajaan dan partinya Umno.

"Saya ada 3 kerja: anggota parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2Kerja.

"Berusaha gigih cari rezeki yang halal," kata timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Ahmad Maslan @ahmadmaslan
Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, Timb Menteri, Ketua Penerangan UMNO. Ramai dah di Msia yg buat . Berusaha gigih cari rezeki yg halal
Astro Awani semalam melaporkan melakukan dua kerja bagi menampang kos hidup yang makin meningkat digalakkan kerajaan dan bukan alaman luar biasa, seperti di negara-negara lain.

"Saya rasa ia (dua pekerjaan) bukanlah satu kesalahan, (walaupun) Malaysia ada peraturan, ia satu cara bagi menangani kos sara hidup juga. Walaupun kerja waktu pejabat (dari jam 8 pagi ke 5 petang), masih boleh buat online business, asalkan datang kerja dengan tidur yang cukup. Online business boleh buat weekend juga.

"Kerajaan telah melancarkan dua perkara; e-usahawan dan e-rezeki... boleh lihat portal... ia (dua pekerjaan) selaras dengan apa yang dibuat oleh peringkat kerajaan," beliau dipetik sebagai berkata ketika ditemui di Majlis Sesi Ramah Bersama Usahawan Johor di Johor Bahru.

Mengulas kenyataan kontroversinya itu, beliau juga berkata beliau bercakap berkaitan dua kerja ketika ditanya wartawan, dalam konteks perniagaan atas talian.

"Jika kerja sedia ada waktu siang, boleh business online waktu malam dan hujung minggu asal tak jejas prestasi, boleh tambah pendapatan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat peraturan yang perlu diikuti bagi pihak yang bekerja tetap.
"Untuk yang kerja sendiri, tak ada isu," katanya.

Pagi menyawit, petang kedai runcit'

Dalam siri tweet menggunakan hashtag #2kerja hari ini, beliau juga menjelaskan orang kampung sudah biasa dengan amalan itu.

"Pagi menyawit, petang kedai runcit. Pagi menoreh, petang menyawit. Pagi ambil upah menebas, petang bertukang buat rumah," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad juga menegaskan bahawa pemimpin pembangkang juga melakukan banyak kerja seperti Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, anggota parlimen dan ketua pembangkang.

Begitu juga dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kata Ahmad lagi.

Ada peraturan yg perlu diikuti utk mereka yg kerja tetap, maka patuhilah. Utk yg kerja sendiri, tak ada isu

Saran lakukan 2 kerja, MTUC pula bidas Ahmad Maslan

Posted: 27 Dec 2015 11:26 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan terus dibidas pelbagai pihak berhubung cadangannya agar golongan berpendapatan rendah menjalankan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang terus meningkat.

Hari ini, giliran Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) berbuat demikian.

Menurut Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Krishnam, kerajaan sepatutnya mencadangkan strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

"Bagi MTUC cadangan itu bukan satu idea konstruktif yang sepatutnya ditimbulkan.

"Sebaliknya MTUC mahu kerajaan memikirkan semula pendekatan dan merangka strategi-strategi yang berkesan untuk memastikan bahawa setiap pekerja tanpa mengira sektor swasta atau awam, mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara diri dan keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad pada Sabtu lalu dilaporkan berkata kerajaan menggalakkan rakyat yang dihimpit dengan bebanan kos hidup mencari pekerjaan kedua.

"Saya rasa ia (dua pekerjaan) bukanlah satu kesalahan, (walaupun) Malaysia ada peraturan, ia satu cara bagi menangani kos sara hidup juga.

"Walaupun kerja waktu pejabat (dari jam 8 pagi ke 5 petang), masih boleh buat online business, asalkan datang kerja dengan tidur yang cukup. Online business boleh buat weekend juga.

"Saya rasa tidak salah (mempunyai dua pekerjaan) di Malaysia, walaupun kita mempunyai peraturan-peraturan, tetapi ia masih salah satu cara untuk menangani kenaikan kos sara hidup," katanya.

Timbalan menteri itu turut menerima cemuhan di ruang siber berhubung kenyataannya itu.

Tiada kompromi, ingat lagi isu kriket Israel?

Posted: 27 Dec 2015 11:24 PM PST

Mahfuz Omar


 


ULASAN Saya merasa terkejut apabila seorang pemimpin muda DAP Perak, Chong Zhemin mengherdik larangan memasuki Malaysia terhadap ahli sukan luncur angin Israel daripada menyertai kejohanan luncur angin di Langkawi.

Kenyataan yang sangat mengejutkan rakyat Malaysia apabila dilihat bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia dan antarabangsa.

Walaupun beliau telah menarik balik kenyataan tersebut, namun pendirian tersebut sangat dangkal.
Kekejaman Isreal bukan persoalan sukan atau kebajikan tetapi persoalan kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Ia bukan perkara baru tetapi sudah diperakui dunia akan kekejaman rejim zionis Israel. Oleh yang demikian tiada perselisihan pendapat dalam perkara ini.

Kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga tidak wajar dan tidak matang. Tidak timbul persoalan 'kompromi profesional'.

Itulah jua alasan perdana menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad kononnya dengan membenarkan pasukan kriket Israel datang ke Malaysia maka mereka akan insaf melihat keharmonian Malaysia.

Ratusan rakyat ditahan

Mereka kemudian kononnya dan akan mendesak Israel menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Jika Nga menjelaskan 'kompromi profesional' untuk dua orang peluncur angin Israel tidak akan mengubah sedikit pun prinsip dan pendirian tegas dalam isu Palestin-Israel, maka apa gunanya beliau membantah Bajet 2016.

Ia juga sedikit pun tidak akan mengubah keputusan kerajaan kerana anggota parlimen pembangkang tetap minoriti.

Pembangkang mengundi menolak Bajet 2016 kerana rakyat Malaysia. Tiada kompromi dengan kerajaan BN yang zalim dan Tiada kompromi dengan Israel.

Pendirian saya sejak dahulu dalam isu Israel tegas dan jelas, tiada kompromi dalam apa jua perkara.

Saya dihadapkan ke mahkamah ketika mana saya bersama-sama rakyat Malaysia bersama dalam bantahan kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia pada tahun 1997.

Ratusan rakyat Malaysia ditahan ketika bantahan tersebut.

Setelah empat tahun turun naik mahkamah, pada tahun 2000, mahkamah mendapati kami bersalah membantah kehadiran pasukan kriket Israel tersebut dan kami dikenakan denda atau penjara.
'Tolak Umno, tolak Israel'

Saya bersama-sama rakan saya, Salahudin Ayub dan Pak Amjal (Jalaluddin Abdul Manap) memilih tidak tunduk kepada keputusan mahkamah untuk membayar denda.

Sebaliknya kami memilih penjara demi mempertahankan prinsip bahawa tiada kompromi dalam isu Israel.
Saya ingin tegaskan kegagalan kerajaan Malaysia Umno-BN dalam menjaga kepentingan umat Islam khasnya dan Malaysia amnya amat dikesali.

Berjayanya agen-agen Israel meresapi ke jantung pemimpin utama negara melalui Apco tempoh hari sudah cukup menjadi pengajaran kepada kita.

Tatkala Apco yang jelas institusi yang ada hubung kait dengan Israel ini menjadi penasihat kepada kerajaan Malaysia, bermakna segala intipati negara dan rakyat dilacurkan kepada Israel.

Sikap pilih kasih kerajaan Umno-BN dalam berurusan dengan Israel juga amat dikesali apabila dimaklumi terdapatnya hubungan dagang Malaysia-Israel sejak 1997, walaupun dipertegaskan tiada hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Saya menyeru rakyat Malaysia agar terus kekal dan komited dalam mempertahankan hak dan keadilan serta perjuangan rakyat Palestin dengan menolak apa jua kerjasama dan kompromi dalam apa jua perkara dengan Israel.

Tolak Umno, tolak Israel.

DATUK MAHFUZ OMAR anggota parlimen Pokok Sena.


Serbuan vape: Agensi kerajaan disaman RM1 juta

Posted: 27 Dec 2015 11:21 PM PST

Koh Jun Lin


 


Sebuah NGO hari ini memfailkan saman terhadap beberapa agensi kerajaan susulan serbuan terhadap peniaga-peniaga vape.

Mewakili empat peniaga vape, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menuntut RM1 juta ganti rugi teruk dan teladan selain mahukan pemulangan barang rampasan.

IKHLAS juga mahkamah mengisytiharkan bahawa serbuan dan rampasan terhadap anggotanya sebagai batal dan tidak sah.

IKHLAS juga menuntut pengisytiharan bahawa pengharaman jualan produk vape melalui penguatkuasa negeri tidak sah.

Empat pihak dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Pihak-pihak itu ialah menteri kesihatan dan menteri perdagangan dalam negeri, Majlis Bandar Raya Johor Bahru dan ketua polis negara.

Bercakap kepada pemberita di kompleks mahkamah, Presiden IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah berkata mereka bukan hendak melawan kerajaan sedia ada.

"Hari ini kita bukan nak lawan kerajaan, tetapi kita nak mengajar segelintir penjawat awam terburu-buru mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga ini, sita dan rampas barangan vape dan sebagainya [...]

"Padahal peniaga dah bersedia nak berpindah ke negeri lain, kenapa mereka terburu-buru nak rampas? Ertinya mereka tak akur dengan titah sultan," katanya.


Polis beri amaran belum terima notis demo bantah tol

Posted: 27 Dec 2015 11:16 PM PST

Zikri Kamarulzaman  






Bantahan terhadap kenaikan tol pada ambang tahun baru 2016 yang beralih dari plaza tol Jalan Duta ke plaza tol Sungai Besi akan tetap menjadi suatu kesalahan jika pihak penganjur tidak memfailkan permohonan mereka.

"Jika mereka tidak mengemukakan permohonan untuk berhimpun, maka ini akan menjadi suatu kesalahan.
"Kami belum menerima permohonan daripada mereka, tetapi ada menerima maklumat (mengenai bantahan itu) dan sedang memantau," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdu Samah berkata plaza tol Sungai Besi juga bukan merupakan lokasi yang sesuai untuk mengadakan bantahan.

Salah seorang pemimpin protes, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata kumpulan #ShutdownSungaiBesi telah cuba untuk memfailkan permohonan untuk mengadakan bantahan itu.

"Bagaimanapun, pegawai polis enggan menerima (permohonan) dengan alasan bahawa ia dihantar selepas waktu pejabat," kata Shazni.

Demonstrasi 31 Disember itu dijadualkan bermula pada jam 9 malam sebagai bantahan terhadap kemungkinan lapan lagi jalan bertol di Lembah Klang dinaikkan tahun depan.

Ia sebelum ini dijadualkan di plaza tol Duta, tetapi penganjur mengubah lokasi itu berikutan reaksi negatif hebat daripada pihak polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shazni berkata lokasi baru itu sebenarnya lebih baik, kerana ia berhampiran laluan keluar, sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan semasa protes.

"Pengguna jalan raya yang tidak mahu menyertai protes dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari plaza tol Sungai Besi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.


Agihan pendapatan ASN 6.10 sen seunit

Posted: 27 Dec 2015 11:14 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.10 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, berbanding 6.45 sen seunit yang diagihkan pada 2014.
 
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sejumlah RM106.72 juta dan memberi manfaat kepada 1.25 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.75 bilion unit ASN.
 
"Sehingga 23 Disember, ASN mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM126.27 juta," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan dividen itu di sini hari ini. Daripada jumlah berkenaan, keuntungan daripada jualan saham menyumbang 63.3 peratus, diikuti dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat (28 peratus) dan instrumen lain (8.7 peratus).
 
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Ekseutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata dividen yang lebih rendah itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang mencabar, seperti harga komoditi yang rendah dan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan.
 
"Indek FTSE Bursa Malaysia KLCI telah mencatat penurunan sebanyak 5.5 peratus kepada 1,663.51 mata pada 23 Disember, 2015 daripada 1,761.25 mata pada 31 Disember, 2014," katanya. Agihan pendapatan akan dilaburkan semula ke dalam unit tambahan ASN dan akan secara automatik dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai bersih setakat 31 Disember 2015.
 
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun ASN mereka bermula 4 Januari 2016 di mana-mana pejabat ASNB atau ejennya di seluruh negara.
 
Semua urus niaga ASN di ibu pejabat ASNB, pejabat atau ejennya digantung pada 24 Disember tahun ini sehingga 3 Januari ini bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan urus niaga boleh dijalankan semula pada 4 Januari 2016. 


Kerajaan sasar kedatangan 30.5 juta pelancong, RM103 bilion pendapatan 2016

Posted: 27 Dec 2015 11:11 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MELAKA:  Kerajaan menyasarkan kedatangan pelancong seramai 30.5 juta orang yang menyumbang kira-kira RM103 bilion kepada pendapatan negara tahun depan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
 
Beliau berkata sasaran berkenaan diyakini mampu dicapai menerusi pelbagai program dan acara tahunan termasuk Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang dianjurkan bagi menyemarakkan acara pelancongan dan kebudayaan di negara ini.
 
"Bidang pelancongan dan kebudayaan kini semakin berkembang dengan berasaskan kepelbagaian bidang seperti pelancongan kesihatan, pendidikan dan sebagainya namun tarikan pelancong adalah kepada destinasi yang menarik dan bersejarah serta adat dan budaya sesebuah negara itu.
 
"Bagi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia majlis ini bukan sahaja menjadi acara tahunan bagi sambutan perayaan Krismas dan tahun baharu 2016 tetapi juga dapat menyemarakkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di negeri Melaka," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir di sini, semalam
 
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.
 
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata keunikan dan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia telah merealisasikan kempen Malaysia Year of Festivals 2015 atau MyFEST2015 pada tahun ini yang bertemakan 'Endless Celebrations'.
 
"Kempen ini bertujuan menonjolkan dan meraikan kepelbagaian budaya dan kepelbagaian yang banyak terdapat di negara ini sebagai tarikan kepada pelancong," katanya.
 
Beliau berkata kempen tersebut juga akan terus meningkatkan momentum pertumbuhan industri pelancongan dan kebudayaan negara sebagaimana kejayaan yang dicapai sepanjang tahun pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2014.
 
Sementara itu, Idris berkata sehingga Okt tahun ini negeri Melaka telah berjaya merekodkan kedatangan pelancong berjumlah 12.5 juta dan ia dijangka terus meningkat menjelang hujung tahun ini.
 
"Semalam saya menerima laporan tidak lebih 435,000 pelancong berkunjung ke Melaka dalam tempoh dua minggu ini.
 
Saya yakin dan percaya perancangan dan aktiviti termasuklah Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas ini, negeri Melaka bakal berjaya mencapai sasarannya iaitu menarik seramai 16 juta pelancong pada tahun ini," katanya. 


BR1M mula dibayar 28 Januari - Najib

Posted: 27 Dec 2015 11:08 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mula diberikan secara berperingkat bermula 28 Januari tahun hadapan.
 
Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa orang ramai yang belum memohon atau ingin mengemas kini permohonan BR1M bagi 2016 diminta melakukannya segera melalui atas talian atau secara manual.
 
"Permohonan BR1M 2016 akan ditutup 31 Disember ini. Sekiranya belum memohon atau mengemas kini, segera lakukan di https://ebr1m.hasil.gov.my/.
 
"Permohonan juga boleh berbuat demikian dengan mendapatkan borang seterusnya diisi dan kemudian dikembalikan di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau pusat
khidmat hasil di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
 
"Insya-Allah, sekiranya permohonan lengkap dan anda layak, pembayaran BR1M akan mula diberikan secara berperingkat pada 28 Januari 2016 kelak," katanya dalam satu catatan di laman Facebook miliknya hari ini.

Pada pengumuman Bajet 2016 lalu, Perdana Menteri turut mengumumkan kategori baharu bagi penerima e-Kasih yang berpendapatan bawah RM1,000 layak untuk terima BR1M sebanyak RM1,050.
 
Di samping itu, ka­tegori lain melibatkan isi rumah pendapatan bawah RM3,000 dengan jumlah BR1M dinaikkan dari RM950 kepada RM1,000.
 
Bagi kategori isi rumah pendapatan bawah RM3,001 hingga RM4,000 jumlah BR1M akan menerima RM800 manakala Skim Khairat Kematian akan menerima RM1,000.
 
Dalam pada itu, individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang pendapatan kurang RM2,000 juga layak menerima RM400.
 
 

Azmin hanya laksana ketetapan PKR

Posted: 27 Dec 2015 11:06 PM PST

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya berpegang kepada ketetapan yang dibuat PKR sebelum ini  dengan mengekalkan kepimpinan Selangor dibawah Pakatan Rakyat.
 
Justeru Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata tidak timbul soal Azmin menggunakan kuasanya sebagai Menteri Besar Selangor untuk menentukan sama ada Selangor dibawah seliaan Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.
 
Abdullah turut menepis dakwaan bahawa kuasa Azmin lebih besar daripada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
"Presiden dan Timbalan sudah tentu Presiden lebih besar lagi berkuasa dan dalam perlembagaan dari segi 'strength of description' jawatan (presiden) daripada timbalan.
 
"Perkara itu tidak betul. Itu adalah tanggapan orang Umno terhadap Azmin," jelasnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Abdullah berkata demikian mengulas pandangan pengarang kanan akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa Azmin mempunyai kuasa yang lebih besar daripada Azizah.
 
Melalui ruangan rencana dalam edisi Mingguan Malaysia semalam, Zulkefli Hamzah turut meramal kononnya Azmin tidak mustahil untuk mengkhianati partinya dan membentuk kerajaan negeri bersama PAS dan Umno.
 
"DAP, apatah lagi PKR dan Dr Wan Azizah, sebenarnya tidak berani untuk terus menekan Azmin.
 
"Timbalan presiden PKR yang dikelompokkan dalam satu kem lain dalam parti milik Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memegang kuasa.
 
"Kuasa itu lebih besar daripada presiden PKR mahupun penasihatnya yang kini bermastautin di Sungai Buloh," kata pengarang itu merujuk Anwar yang kini di Penjara Sungai Buloh.
 
Mengulas lanjut, Abdullah berkata Selangor akan kekal dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang, demi menjaga amanah yang diberikan pengundi sebelum ini.
 
"Itu strategi pentadbiran, tidak lebih daripada itu dan ia hanya pandangan orang Umno tapi saya yakin parti mengambil langkah yang jelas dengan apa yang ada hari ini. 
 
"Itu dia punya langkah untuk pentadbiran negeri sebab pandangan dia itu ketika kita dapat kuasa daripada rakyat ketika itu adalah Pakatan Rakyat," katanya.
 
Pun begitu menurut Abdullah, Pakatan Harapan termasuk di Selangor giat menjayakan program mereka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
 
"Kita bentuk Pakatan Harapan baru lagi jadi sekarang ini kita tengah menggerakkan kita punya kekuatan pada Pakatan harapan.
 
"Jadi untuk kita katakan di Selangor ini, kita terbuka. Jika PAS hendak keluar kita tidak boleh paksa itu hak mereka jadi kita bersedia dengan sebarang kemungkinan.
 
"Sebab itu kita di Selangor tidak gusar sebab kita sekarang ini buat program Pakatan Harapan ini berterusan sebab kita tidak boleh pandang ke belakang lagi kita kena ke hadapan,"ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: