Jumaat, 6 November 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] Husam Dedah Haji Hadi Mahu Bentuk Kerajaan Campuran Di Selangor

Posted: 06 Nov 2015 01:15 AM PST

Hadi akui mahu bentuk kerajaan dengan Umno di Selangor, dakwa Husam

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa "melepaskan bom" malam tadi dalam ceramahnya apabila mendedahkan secara terbuka, presiden PAS mengaku pernah merancang kerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Katanya, "konspirasi" antara 2 parti Melayu itu menjadi punca perpecahan dalam PAS sebelum ini sehingga melahirkan kumpulan serpihan yang membentuk parti baharu Parti Amanah Negara (Amanah).



Husam berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengakuan tersebut ketika ditanya secara beramai-ramai oleh beliau sendiri dan rakannya dalam PAS.

"Presiden kita sendiri mengaku apabila ditanya ramai-ramai," kata Husam dalam ceramahnya di Kota Baru malam tadi, yang pertama selepas sekian lama berehat kerana sakit.

"Saya jadi begini, Mat Sabu jadi begini, adalah kerana konspirasi orang Umno dengan kerjasama orang PAS," katanya merujuk kepada bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang kini presiden Amanah.

Sehubungan itu, Husam mencabar Hadi menafikan perkara itu, yang didakwanya berlaku sekitar tahun lepas dalam proses pertukaran menteri besar di Selangor, jika apa yang didedahkannya itu tidak benar.

"Kalau presiden kata tidak, sila nafi. Kalau presiden tanya, kenapa beritahu, saya tanya balik, kenapa buat?," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu.

Husam berkata dalam perancangan itu, Hadi mengaku membuat tawaran kepada beberapa Adun PKR untuk mencukupkan bilangan bagi menubuhkan kerajaan negeri dengan Umno.

Ia berlaku ketika Pakatan Rakyat ketika itu menghadapi krisis berhubung pertukaran menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Mohamed Azmin Ali tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, perkara ini dimaklumkan oleh Adun PKR berkenaan kepada parti mereka.

Husam berkata, perancangan kerjasama dengan Umno itu tidak berhenti setakat itu saja walaupun gagal ia selepas ditolak akar umbi PAS.

Sekarang, katanya, Hadi melontarkan pula idea baharu kepada umum, iaitu untuk menjadi "penasihat kepada kerajaan" sebagai kesinambungan daripada usaha kerjasama ini.

"Niat di hati sudah ada, tetapi kerana rakyat jelata tidak boleh terima lagi, bila campak (idea) penasihat, bagaimana?," soalya dalam ceramah itu.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Hadi baru-baru ini yang dilaporkan berkata, PAS bersedia menasihati kerajaan BN menguruskan masalah berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), perumahan serta kejatuhan nilai ringgit, dengan syarat Umno mengubah pemerintahannya selaras dengan Islam.

Hadi juga pernah berkata sebelum ini, PAS tidak mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur tetapi mahu beliau menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri dan parti itu bersedia membantu kerajaan dalam dasarnya.

Husam dalam ceramahnya berkata, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz pernah berkata, sukar untuk menambah bilangan menteri dalam kerajaan buat waktu ini kerana bilangan 39 menteri sudah terlalu ramai.

"Nazri beritahu, tak usah masuklah, menteri sudah penuh. Sebab itulah timbul idea lantik jadi penasihat yang bertaraf menteri," kata Husam. –TMI


TRANSKRIP PENDEDAHAN DATO HUSAM PERANCANGAN KERJASAMA PAS DAN UMNO OLEH PRESIDEN PAS

1. Kaki sebelah duduk di Pakatan, sebelah lagi tebeng ko UMNO. Haram. Ni hok Tok Guru kita.

2. Kalau nak kerjasama royak (bagitahu) molek. Biar jelas. Panggil Muktamar dan Kawasan. Royak ko kawasan2 kita ni kerjasama dah. AJK kita campur dengan AJK dia. Menteri kita campur dengan Menteri dia.

3. Nak jadi menteri tak boleh. Dah Penuh. 39 Orang. Dato Nazri royak doh tak payah masuk sebagai Menteri sebab dah penuh. Sebab itu timbul idea jadi Penasihat. Gaji sama dengan Menteri. Ni orang agak sebab kita tak jelaskan.

4. Dalam proses parti kena ada keputusan. Dalam kes Perkasa. Ambo pertahan Presiden. Presiden berdiri, Ibrahim Ali yang krabak (peluk) dia. Tapi berjumpa depan ramai2 itulah sebabkan Ibrahim Ali gi Berdakap. Kalau tak jumpa tak berlaku. Bila berlaku orang terkejut. PAS ni Parti Melayu ke Parti Islam? Dulu Parti Islam.

5. Pesuruhjaya Selangor buat kenyataan Selangor tak buat kerjasama dengan Perkasa. Maknanya benda itu buat tidak melalui keputusan Parti.

6. Dengan UMNO ni bukan benda baru. Ambo dan Mat Sabu jadi begini sebab ini bagi ambo konspirasi orang UMNO dengan kerjasama orang PAS.

7. Ambo nak terus terang. Sebab benda benar. Tak nak buang masa. Kita boleh tumpu perjuangan Islam. Presiden mengaku bahawa dia pernah tawarkan kepada 2 3 adun PKR masuk PAS nak buat kerajaan dengan UMNO di Selangor. Presiden mengaku. ADUN PKR tadi laporkan pada Parti dia. Bila ramai2 tanya, Presiden akui.

8. Maknanya niat dihati sudah ada. Tapi kerana rakyat tak boleh terima lagi maka kehing koho (kona kona). Bila campak (idea) Penasihat macamana (penerimaan rakyat)?. Kalau senyap maka ada chance. Kalau ditolak maka kita beringat dulu (hati2 dulu).

9. Ini kenyataam terbuka ambo. Kalau presiden kata tak, sila nafi. Kalau presiden tanya kenapa royak (cerita hal tu), ambo tanya balik bakpo buat? (kenapa buat?). Kalau Presiden tak buat, ambo tak tanya.

10. Dok marah sebab ambo dok Bertanya kerajaan negeri. Kalau tak buat, tak perlu marah. Demo jelaskan kepada ambo. Bahawa apa yang mu kata tu tak betul.

11. Alhamdulillah, 5 soalan yang ditanya dalam DUN tak ada seorang pun kata perkara tu tak betul.

12. Masalah tungakkan guru YIK. 14juta. Mula2 dibagitahu 2juta. tak sampai dua juta. tak banyak. sdikit. akhirnya diakui 14.6juta.

13. Ada seorang exco jawab dalam DUN bahawa tungakkan tu daha da sejak 2001, 2002, 2003, 2007. Ambo tanya balik: nta pastikan elok2, 2011 kita bayar habis. tak ada tunggakkan. sebelum tu tak bayar. ambo tak tahu sebab YIK bukan dibawah (bidangtugas) ambo. Bawah sapa? (disahut orang ramai: Bawah Nik Amar). Jadi kenapa marah ko ambo?.

14. Ambo nak cadang Lembaha YIK dan Yakin ni tukar orang jugak lah. Jangan dilantik orang sama sejak sekian lama.

15. Kalau sokong Najib, dengan keburukkan dia tu, ambo misalkan sebagai madu (kita perjuangan Islam) tapi bercampur dengan Najis (rasuah) boleh makan ke? dengan Rasuah dan Penyelewengan yang dahsyat orang semua dah tahu. Tak leh nak makan madu tu.

16. Saifuddin sebut td, DS Anwar cadangkan kalau dia jadi PM, ambo akan jadi TPM. Malam ni ambo baru tahu.

17. Ambo berjuang tidak kerana PM, tidak kerana TPM. ambo bagitahu Tok Guru "Selagi tok guru berjalan dengan betul, ambo bawak kasut Tok Guru sampai bila2 pun tiada masalah"


Nota: Terima kasih kepada penulis transkrip ini.


IMBAS KEMBALI


Hadi tawar Azmin sertai PAS bentuk kerajaan bersama Umno, dakwa AJK PAS Pusat

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam dikejutkan pengakuan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang beliau menawarkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menyertai PAS bersama beberapa rakannya bagi membentuk kerajaan bersama di Selangor.

Namun, tawaran itu kemudiannya ditolak Azmin.

Menurut seorang AJK PAS Pusat yang menyertai mesyuarat semalam, Hadi mengesahkan perkara itu setelah ditanya oleh ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin tentang perkara itu.

Ia diikuti pertengkaran hangat antara Hadi dan Hanipa.

AJK PAS Pusat itu mengesahkan kepada The Malaysian Insider pengakuan Hadi itu ekoran tersebarnya maklumat dalam laman sosial kononnya PAS menawarkan jawatan menteri besar kepada Azmin untuk membolehkan kerjasama dibuat dengan Adun PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi membentuk kerajaan.


Menurut sebaran itu, isu itu bermula dalam mesyuarat semalam apabila seorang AJK PAS Pusat bertanya kepada presiden adakah benar perkhabaran beliau dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan dengan Azmin.

Presiden mengatakan perkhabaran itu benar.

"Kalau PKR boleh curi wakil rakyat PAS maka PAS pun boleh berbuat perkara yang sama," kata Hadi, menurut sebaran itu.

AJK yang sama bertanya lagi isi kandungan perbincangan dengan Azmin, lalu dijawab yang Azmin diajak menyertai PAS bersama dua atau tiga orang lagi Adun PKR.

AJK yang sama menyambung pertanyaan, "Kalau dicampur PAS yang 13 orang dengan Azmin dan 2 orang Adun PKR, bilangan cuma 16 orang. Bagaimana hendak mengadakan kerajaan?"

Belum sempat Hadi menjawab, seorang AJK lain mencelah dan bertanya adakah presiden bersetuju bekerja sama dengan Umno.

"Lantas presiden menyatakan persetujuan, malahan presiden memberikan alasan menjaga Melayu sebagai asas perpaduan,"
kata sebaran itu yang disahkan kebenaran sebahagian besar isi kandungannya oleh AJK PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Azmin ketika ditemui wartawan semasa Kongres PKR hujung minggu lepas mengakui beliau ada berbincang dengan Hadi sehari dua sebelum itu.

Antara kandungannya, kata Azmin, adalah mengenai pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, Hadi berkeras dalam mesyuarat itu yang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak boleh dicalonkan sebagai menteri besar Selangor kerana dia wanita dan kerana dia juga tidak layak.

Tindakan Hadi ini jauh berbeza dari sikapnya dalam mesyuarat 17 Ogos lepas apabila beliau sendiri yang mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai calon menteri besar Selangor.


Pencalonan Azmin pula ditolak oleh 13 Adun PAS Selangor yang masih tinggal selepas dua dari mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah.

Ekoran tindakan dua Adun PAS itu, Khalid hilang peluang untuk kekal sebagai menteri besar kerana bilangan penentang beliau membentuk majoriti iaitu 30 dari 56 kerusi dalam DUN Selangor.

Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) berpecah dari kelompok PAS apabila mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah atas dasar untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat AJK PAS Pusat semalam, Mustafa berkata, mesyuarat mengambil keputusan menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor melantik menteri besar yang baru.
– TMI (26 Ogos, 2014)


PAS Bergegar: Lebih 50% Sokong AMANAH Di Kelantan...

Posted: 05 Nov 2015 06:15 PM PST

Lebih 50% ahli PAS sokong Amanah di Kelantan, kata penyelidik

Walaupun perhimpunan raksasa PAS di Kota Baru bulan lalu menunjukkan parti Islam itu masih relevan di kawasan majoriti Melayu dan boleh berbangga dengan sokongan anak muda Islam, sebuah firma kaji selidik bebas mendakwa sebaliknya.

Menurut kajiannya, separuh ahli dan penyokong PAS di Kelantan akan menyokong Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya umum akan datang dengan kebanyakannya daripada golongan muda, profesional serta bekas penyokong Berjasa dan Hamim sebelum ini.


Kira-kira 15% ahli PAS di Kelantan pula menyertai Amanah manakala 35% lagi masih berada dalam parti yang memerintah negeri Kelantan itu kerana tidak mahu menimbulkan masalah dengan kerajaan negeri yang dikuasai PAS itu.

Pengerusi Eksekutif Ilham Center Mohamad Hisomuddin Bakar yang mengkaji politik di Kelantan menemui fakta ini dalam kajian mereka yang terkini.

"Kami dapati sangat ramai aktivis Berjasa dan Hamim selama ini yang menyertai Amanah apabila ia ditubuhkan, di samping profesional dan golongan remaja yang menyertai parti baharu itu di Kelantan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, ramai penyokong Amanah yang memegang jawatan di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Mereka terdiri daripada wakil rakyat, ahli majlis kerajaan tempatan, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penghulu, guru halaqat dan jawatan politik kekal dengan PAS.

Mereka diberikan gelaran "harum manis"
iaitu buah mangga yang kulitnya berwarna hijau manakala isinya berwarna oren.

"Mereka tidak mahu menimbulkan masalah dengan pengisytiharan menyertai Amanah," kata Hisomuddin mengulas kenapa fenomena ini berlaku.

Kelantan menjadi penyumbang utama keahlian Amanah apabila 8,000 daripada 30,000 ahli pertamanya semasa dilancarkan 16 September lalu berasal dari negeri itu.

Sokongan kepada Amanah ini diakui pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bahkan Wan Rahim yakin, mereka boleh menang jika terpaksa bertanding 3 penjuru di kerusi paling kuat PAS iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, dalam Parlimen Kubang Kerian.

"Kami yakin menang di Demit dengan calon yang kami ada di situ," katanya kepada The Malaysian Insider.

Namun, beliau tidak mahu Amanah dipersalahkan jika kerajaan negeri Kelantan, yang dibina bekas menteri besar allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak 1990 lalu, jatuh.

Sebab itu, sejak awal, beliau mahu berbincang dengan PAS agar tidak berlaku pertandingan 3 penjuru antara PAS, Amanah (mewakili Pakatan Harapan) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Bahkan katanya, Amanah bersedia tidak bertanding sebarang kerusi DUN di Kelantan jika perundingan dibuat antara kedua-duanya.

"Namun, PAS tidak pernah menghiraukan bunga yang kami tawarkan," kata Wan Rahim ketika ditemui selepas satu majlis dialog antara Amanah dan golongan profesional Kelantan di Kota Baru baru-baru ini.

Program yang diadakan di sebuah dewan milik sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam itu menyasarkan hanya 70 profesional Kelantan, khasnya di kalangan doktor perubatan, ahli farmasi dan peguam.

Bagaimanapun, ia mendapat sambutan di luar dugaan apabila dewan itu dipenuhi ramai golongan profesional, terutamanya di kalangan para doktor dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, khasnya Hospital USM sendiri.

Salah seorang doktor yang ditemui, Datin Dr Salehatun Salleh berkata, beliau masih bersama PAS tetapi pada masa sama mengkaji prospek Amanah, parti serpihan PAS yang ditubuhkan susulan tewasnya pemimpin progresif parti itu pada pemilihan Jun lalu.

"Kebanyakan kawan saya sudah sertai Amanah dan mereka kempen agar saya juga menyertainya," katanya yang saban waktu menyertai kuliah Nik Aziz ketika menteri besar, yang juga bekas mursyidul am PAS itu, masih hidup.

"Masa Tok Guru masih ada, kami orang profesional ni terasa sangat dihargai, tetapi sekarang mereka buat tak kisah sahaja," katanya memberikan justifikasi kenapa golongan profesional di Kelantan menyertai Amanah.
– TMI

ULASAN GB

Kajian di atas dilakukan oleh ILHAM CENTRE, bukan oleh AMANAH. Justeru ia bukan kajian "syok sendiri" bagi pihak AMANAH.

Dan berdasarkan kajian itu, kerajaan PAS Kelantan yang ada pada hari ini dijangka tumbang pada pilihanraya akan datang.

Kelantan merupakan negeri yang mempunyai ahli AMANAH paling ramai sebelum Johor dan Kedah. Bilangan tersebut meningkat dari hari ke hari.

Golongan profesyenal sememangnya sudah tidak lagi berminat dengan PAS kerana PAS seperti menurut kajian di atas, sudah tidak dihargai oleh PAS. Golongan profesyenal yang satu ketika telah menjulang PAS ke aras yang ada kini, telah dijatuhkan oleh geng ulama malah mereka dihalau keluar dari PAS.

PAS masa kini merupakan parti yang syok sendiri. Mereka menempelak golongan yang menentang mereka sebagai anti-ulama. Mereka mendakwa mereka saja ahli "parti Islam" walaupun dari segi akliah, akhlak dan tindakan tidak lansung mencerminkan nilai-nilai Islamiah. Memaki hamun dan memfitnah sudah dijadikan kelaziman dari pimpinan tertinggi sehinggalah kepada ahli-ahli di bawah.

Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan. Seperti yang GB nukilkan sebelum ini bahawa segala maki hamun dan fitnah itu akan berbalik kepada PAS semula. Sama-sama kita saksikan nanti kebenaran jangkaan GB ini...

Tiada ulasan: