Rabu, 4 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Saman WSJ Najib Razak Saman Isu 2.6 Bilion di Mahkamah Malaysia Sebab Tidak Terkenal di Amerika Syarikat?

Posted: 04 Nov 2015 04:08 AM PST

BERITA SEMASA


Saman WSJ Najib Razak Saman Isu 2.6 Bilion di Mahkamah Malaysia Sebab Tidak Terkenal di Amerika Syarikat?


wsj najib


Alhamdulillah, setelah melepasi beberapa kali hari Selasa yang terus menjadi penantian rakyat Malaysia dan juga selepas beratus kali matahari terbit dan terbenamnya sejak daripada cakap-cakap akan, akan dan akan berlakunya tindakan Najib Saman WSJ Wall Street Journal pada hari Selasa yang dahulu. 

Akhirnya…..

Akhirnya, Najib Razak melalui barisan peguam yang dilantiknya diketuai Datuk Hafarizam Harun akan saman WSJ Wall Street Journal bukannya di Amerika Syarikat tetapi di Malaysia, di kampung halaman sendiri.
Nama Malaysia cukup buruk pada ketika ini melalui siri laporan berita dan akhbar perniagaan berpengaruh di seluruh dunia yang terending sehingga menjadi buah mulut masyarakat seleuruh dunia termasuklah kalangan pada pelabur.

Ditambah pula laporan berita tersebut turut diselitkan nama Najib Razak sekaligus menjadikan nama Najib Razak bukan sahaja popular di Amerika Syarikat tetapi di UK, Australia, Singapore, Rusia, China dan lain-lain lagi.

Dan bagi Berita Semasa sendiri, tindakan saman WSJ Wall Street Journal ini memang perlu bagi membersihkan nama Malaysia amnya dan Najib Razak umumnya. Apa tujuan utama saman WSJ sebenarnya? Untuk bersihkan nama atau mahu berkira-kira mengenai duit sebenarnya?

Jikalau wang yang jadi ukuran, apa yang masalahnya untuk bawa kes tersebut di Amerika Syarikat?

 

Najib Saman WSJ di Malaysia atau Di Amerika Syarikat USA?

wall street journal najib


Di Amerika Syarikat jikalau melibatkan kes sivil contohnya akan menggunakan sistem juri. Walhal, sudah berbelas-belas novel hasil penulis tersohor John Grisam dan belum ditambah dengan siri drama dengan pelbagai sistem perundangan undang-undang Amerika Syarikat dipaparkan kepada dunia. Sejarah telah membuktikan, di sanalah siri "damages" paling banyak diputuskan.

Di Malaysia? Melibatkan Kes saman tokoh perniagaan terkenal di Malaysia Vincent Tan dahulu berjumlah RM10 juta terhadap majalah perniagaan Malaysian Industry sekitar tahun 1995. Adakah mereka membayarnya? Pilihan bankrap bukankah masih ada.

Bagi Berita Semasa sendiri, apa yang WSJ tulis dan dakwa terhadap Najib Razak adalah isu yang sangat-sangat besar.
  • Dakwaan RM2.6 billion masuk ke akaun peribadi bukannya perkara kecil
  • Negara jiran kita Singapura tanpa banyak bicara saman WSJ atas artikel yang mempersoal badan kehakiman negara itu
  • Singapura tidak peduli tentang berapa banyak pampasan yang bakal diterima. Apa yang diutamakan adalah maruah negara mereka.
P/S : Baru Berita Semasa sedar, keadilan hanya boleh ditegakkan apabila hakim kenal plaintif. Jikalau hakim tidak kenal, payah sikit. Ibarat keputusan hakim macam main kabel agaknya. Ermm….

PPP/S : Berdasarkan semakan Berita Semasa terhadap satu kes melibatkan pemandu teksi yang sama sekali tidak popular langsung di Amerika Syarikat pun boleh menang saman satu juta di sana. Jikalau pemandu teksi muslim yang tidak terkenal pun boleh menang dan dapat 1 juta Dolar Amerika, Datuk Seri Najib Razak yang pernah main golf dengan Barack Obama berapa pula?

Laporan berita pemandu teksi tersebut anda boleh semak pada yang Berita Semasa kongsikan di bawah ini…….

Bonus Sebulan Setengah Gaji Kakitangan Kerajaan Selangor? Naik Gaji 3 Peratus Bermula Januari 2016

Posted: 04 Nov 2015 04:00 AM PST

BERITA SEMASA
 
 
Bonus Sebulan Setengah Gaji Kakitangan Kerajaan Selangor? Naik Gaji 3 PeratusJanuari 2016

Bonus Sebulan Setengah 

Dengan gelombang kenaikan harga barang, kenaikan tol lagi, belum campur GST lagi kakitangan kerajaan negeri Selangor boleh menarik nafas lega seketika dengan sumbangan dan kerja keras, bakti yang mereka taburkan sepanjang tahun 2015 ini bagi menguruskan negeri Selangor khususnya.

Ini kerana berdasarkan pengumuman pembentangan Belanjawan Selangor 2016, kakitangan kerajaan akan menerima bukan sebulan bonus sahaja tetapi satu bulan setengah gaji penjawat awam Selangor.

Tetapi selepas diselidiki dan diteliti rupa-rupaya ia dirangkumkan sekali dengan bayaran bonus pada bulan Mei yang lalu.
Semoga pembayaran bonus ini dan pengumuman kenaikan gaji naik ini nanti bakal menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kerja yang lebih baik dan efektif di masa akan datang pada masa akan datang

 

Butiran Bonus Satu Bulan Setengah Gaji Selangor dan Naik Gaji

  1. Peruntukkan berjumlah RM44.1 juta
  2. Pembayaran bonus pada 17 Disember 2015 untuk setengah bulan. Manakala, sebulan bonus telah pun dibayar pada Mei 2015 yang lalu. Oh…begitu rupanya.
  3. Kenaikan naik gaji sebanyak 3 peratus akan bermula Januari 2016 ini.

Khalid Jamin Pegawai Terlibat Akan Dikenakan Tindakan

Posted: 04 Nov 2015 03:56 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan pegawai yang mengakibatkan kematian tahanan berusia 25 tahun pada 2014 akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Ia susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mendapati berlaku tindakan kekerasan fizikal oleh pegawai bertugas yang menyebabkan kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur di Balai Polis Sungai Renggit pada 3 November tahun lalu.

Laporan itu juga mendapati adanya cubaan pihak polis untuk menjejaskan bukti dengan membersihkan lokasi kejadian, melindungi saksi, menutup darah Syed Mohd Azlan dengan alas kaki getah dan permaidani.

Menerusi kenyataannya, Khalid berkata, Bukit Aman sedia maklum penemuan EAIC dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung kes itu.

Keputusannya akan dirujuk kepada Peguam Negara dan Khalid turut berjanji tindakan setimpal akan dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab.

"Kami tidak mengamalkan tindakan melindungi mana-mana anggota atau pegawai polis yang bertanggungjawab melakukan jenayah," katanya.

Syed Mohd Azlan dilaporkan meninggalkan kediamannya di Teluk Ramunia pada 9 malam sehari sebelum kematiannya untuk membeli seluar.

Beberapa jam kemudian, bapanya, Syed Mohamed Nur Ali dikejutkan dengan ketukan pintu oleh anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di rumah itu tanpa sebarang penjelasan.

Bapa mangsa juga mendakwa, polis juga meminta ubat penyakit asma untuk anak lelakinya itu walaupun keluarga itu memberitahu Syed Mohd Azlan tidak pernah menghidap penyakit itu.

Keluarga itu hanya dimaklumkan mengenai kematian Syed Mohd Azlan pada hari berikutnya.
Kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Laporan EAIC mendapati adanya kekerasan fizikal semasa siasatan dengan 61 kecederaan berbeza dikesan pada seluruh tubuh tahanan itu.

Peguam keluarga Syed Mohd Azlan, Gobind Singh Deo bagaimanapun meminta Khalid meletak jawatan susulan kejadian itu.

"Ia laporan yang memalukan kerana memberi kesan kepada pasukan polis. Laporan seumpama ini sudah cukup untuk meminta Ketua Polis Negara meletak jawatan," katanya di Parlimen minggu ini.

Rokok Elektronik Bernikotin Perlu Diharamkan

Posted: 04 Nov 2015 03:53 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan kekal dengan pandangan dan keputusan bahawa rokok elektronik bernikotin perlu diharamkan.

Menegaskan demikian, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, penggunaan rokok jenis itu boleh merosakkan kesihatan masyarakat dalam jangka masa panjang.

Katanya pihak kementerian tidak akan menyokong sebarang aktiviti yang menyumbang ke arah peningkatan masalah kesihatan di kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Beliau berkata keputusan itu juga dicapai selepas kajian Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan, yang turut mengsyorkan kepada kerajaan agar mengharamkan penggunaan rokok elektronik.

Menurut Lokman, Kementerian Kesihatan mentakrifkan rokok elektronik yang mengandungi nikotin dikenali sebagai e-rokok manakala rokok elektronik yang tidak mengandungi nikotin adalah vape.

"Tapi kebanyakan rakyat Malaysia tidak dapat membezakan e-rokok dan vape.

Pada mereka vape, e-rokok benda yang sama. Selain itu, ada juga cecair vape yang bernikotin," katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Lokman berkata hanya ahli farmasi berlesen dalam premis berlesen sahaja boleh menjual produk yang mengandungi nikotin bagi tujuan membantu memulihkan ketagihan nikotin.

"Penjualan dan penggunaan cecair e-rokok yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah peruntukan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 dalam Peraturan Kawalan Tembakau 2004," katanya.

Sehubungan itu, Lokman berkata kementerian akan mengambil tindakan kepada penjual dan pengguna rokok elektronik yang mengandungi nikotin sepertimana tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan menggiatkan kempen anti rokok elektronik dan vape seperti kempen 'Tak Nak Merokok'.

"Pesanan kementerian kepada masyarakat adalah janganlah menggunakan rokok elektronik atau vape kerana ia memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan, Prof Datuk Dr Abdul Razak Mutallif berkata walaupun tiada nikotin dalam 'vape' namun trend baru itu menghasilkan ketagihan baru dalam masyarakat.

"Kajian yang kita lakukan mendapati banyak kesan jangka masa panjang bakal mengundang kanser baharu di masa depan," kata Dr Abdul Razak, yang juga Pakar Perunding Kanan Perubatan/Respiratori Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur.


Piala AFC: Sultan Johor derma RM1 juta

Posted: 04 Nov 2015 01:41 AM PST

 
Baginda akan menderma RM1 juta kepada rumah anak yatim bagi membayar nazar manakala TMJ akan menderma seluruh masjid di Johor.


sultanjohor


PETALING JAYA: Sultan Johor, Tuanku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar akan menderma RM1 juta kepada rumah anak yatim di negeri itu bagi membayar nazar di atas kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menggondol Piala AFC.

Menerusi status di Facebook, Baginda memaklumkan, Tengku Mahkota Johor, Tuanku Ismail atau TMJ juga akan menderma kepada seluruh masjid di Johor sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan itu.

"Tunku Mahkota Johor kata dia ada bernazar bahawa jika JDT menang, maka dia akan menderma kepada semua masjid di negeri Johor.

"Dan saya sendiri pula dah bernazar untuk menderma sebanyak RM 1 juta kepada rumah-rumah anak yatim di Johor," tulis Baginda.

Baginda memaklumkan, satu majlis keraian akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru untuk meraikan kemenangan JDT selepas TMJ pulang dari luar negara pada 18 November.

"InsyaAllah, piala AFC akan dipamerkan ke semua daerah di Johor supaya rakyat Johor dapat melihat piala itu. JDT adalah milik Bangsa Johor. Kesetiaan anda semua telah membawa kita ke tahap ini. Terima kasih sekali lagi atas sokongan padu dan doa dari anda semua," tulis Baginda lagi.

Ibu: Mereka cuma budak mentah

Posted: 04 Nov 2015 01:37 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
Insiden memaparkan pelajar berpakaian sekolah berpelukan dan berciuman tidak harus berlaku dan tidak harus diperbesar, kata ibu kepada seorang pelajar itu.
 
Wanita yang enggan namanya disebut itu berkata, disebabkan video rakaman itu dikongsi meluas, pelbagai tanggapan negatif turut tersebar.
 
"Ia tiada apa pun.
 
"Mereka masih budak mentah, kejadian itu wujud apabila ada orang bersorak di sekeliling yang memberi provokasi," katanya sewaktu dihubungi Malaysiakini.
 
Dalam siaran video 15 saat itu, kelihatan seorang pelajar perempuan berlari ke arah si lelaki sebelum berpeluk sambil dikelilingi pelajar lain.
 
Lelaki itu pula kelihatan menunggu sambil melutut dan memegang sesuatu, yang dikatakan seutas rantai.
 
Sebaik berdakap satu sama lain, suasana riuh dan pelajar lelaki tadi kelihatan memberi ciuman pada pipi wanita itu.
 
Ibu itu menjelaskan anak lelakinya melamar gadis itu untuk ke sebuah acara tari-menari sempena meraikan pelajar yang menamatkan persekolahan.
 
Kementerian cari sekolah mana
 
Bagaimanapun, katanya lagi, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan rakaman itu untuk mengeruhkan keadaan.
 
Beliau menegaskan kedua-dua pelajar itu sememangnya anak yang mendengar kata, malahan segala tindak-tanduk mereka diketahui ibu bapa.
 
Kata wanita itu, pelajar yang sudah saling mengenali satu sama lain sejak kecil itu juga tidak pernah keluar berdua-duaan.
 
"Saya mengenali mereka berdua dan persahabatan mereka diketahui oleh kedua belah keluarga.
 
"Itu hanya cara mereka meluahkan perasaan, tidak lebih dari itu.
 
"Ini hanya permulaan hubungan mereka, tapi sudah pasti ia di bawah pemerhatian ibu bapa dan kejadian seperti itu tidak akan berlaku lagi," katanya.
 
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan dilapor akan menyiasat video yang menjadi viral di laman sosial itu.
 
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata kementerian itu masih dalam proses mengenal pasti sekolah yang terlibat, lapor mStar.
 
 

Pandikar tidak berganjak pendirian letak jawatan

Posted: 04 Nov 2015 01:29 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak berganjak dari keputusannya untuk meletakkan jawatan sekiranya perdebatan umum antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy diteruskan.
 
"Saya berpegang teguh kepada pendirian, kalau ketetapan saya tidak diterima, saya tidak teragak-agak.
 
"Kalau itu menjadi masalah kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang), maka saya rasa tidak boleh pertahan integriti Parlimen dan saya sukacitanya meletakkan jawatan sebagai Speaker," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
 
Menurut Pandikar, beliau tidak menghalang perdebatan itu, namun perkara berkenaan hanya boleh dilakukan selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selesai menyiasat 1MDB dan membentangkan laporan kepada sidang Dewan Rakyat.
 
 

MENGAKU SAJALAH TAKUT BERDEBAT, HABIS CERITA!!

Posted: 04 Nov 2015 12:54 AM PST

shahbudindotcom


Debat antara Tony Pua dengan Arul Kanda Kandasamy secara umumnya telah pun dipersetujui oleh kedua-dua tuan punya badan dan mengikut logik akal, tiada apa-apa lagi yang sepatutnya boleh menghalang debat itu daripada menjadi kenyataan.

Tetapi nampaknya, UMNO dan kerajaan mulai menggelupur kebimbangan dengan debat itu dan mulai cuba melakukan pelbagai usaha untuk menghalangnya dengan menjadikan Tony Pua sebagai sasarannya.

Hahahaha....Mari kita ketawa dengan sikap penakut dan pengecut UMNO dan kerajaan itu. Buat malu dengan makcik Felda sajalah....

Hari ini saja banyak drama telah dipentaskan yang menggambarkan ketakutan itu. Walaupun cuba menyembunyikannya, jawapan yang tepat ialah TAKUT DENGAN KEBENARAN.

Drama 1 - Speaker Parlimen,  Pandikar Amin Haji Mulia mengancam untuk meletakkan jawatan jika debat itu diadakan, kecuali jika Tony Pua meletakkan jawatan sebagai anggota PAC.

Beliau juga mengatakan jika Arul Kanda menyertai debat itu, beliau tidak boleh lagi menjadi saksi dalam siasatan oleh PAC. Kenapa main ugut-ugut orang lain kalau nak letak jawatan? Dulu ugut nak letak jawatan sebab tiada kemudahan tandas, sekarang Tony Pua dan Arul pula umpannya?

Drama 2 - Suara ugutan Pandikar itu kemudian disambut oleh Pengerusi PAC yang baru Hasan Ariffin, dengan mengatakan Tony Pua seharusnya tidak boleh bercakap mengenai 1MDB di luar Parlimen dan sebagainya selagi menganggotai PAC.

Kita mendengar keputusan Speaker tadi. Saya selaku pengerusi jawatankuasa di bawah Parlimen patuh kepada arahan itu. Ini bermakna Tony Pua tidak boleh bercakap tentang 1MDB di luar dan sebagainya, jelas beliau.

Drama 3 - Selepas itu, Shahrir Samad yang pernah menjadi Pengerusi PAC pula mengeluarkan kenyataan bahawa Tony Pua bakal berdepan tindakan Parlimen jika membocorkan maklumat diperolehinya dalam prosiding jawatankuasa itu ketika berdebat dengan Arul nanti.

Katanya, sekiranya debat itu berlangsung, Tony Pua dikhuatiri sama ada secara sengaja atau tidak membocorkan maklumat yang diperolehinya dan mungkin memberi kesan kepada jawatankuasa itu.

Sehubungan itu, tegasnya, jika Tony Pua mengambil bahagian dalam debat itu, beliau berdepan dengan keadaan di mana satu usul boleh dibuat terhadapnya kerana menghina Parlimen.

Drama 4 - Seorang lagi pemimpin UMNO iaitu Annuar Musa juga tampil dengan melabelkan Tony Pua sebagai tidak mempunyai "T" yang bermaksud "tidak bertelur"  jika tidak berani meletak jawatan sebagai anggota PAC untuk berdebat dengan Arul. 

Kata beliau, jika benar Tony Pua mempunyai bukti kukuh tentang salah laku 1MDB, beliau tidak seharusnya takut untuk meletak jawatan sebagai anggota PAC dan menumpukan perhatiannya kepada debat itu.

Jika Tony Pua enggan melepaskan jawatannya dalam PAC yang disifatkannya sebagai tiada "T", beliau lantas mencadangkan agar Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi gantinya untuk berdebat dengan Presiden 1MDB itu.

Ehh...kalau nak minta Dr Wan Azizah sebagai gantinya, lawannya bukanlah Arul Kanda, tetapi seharusnya Najib sendiri. Barulah padan, Ketua Pembangkang lawan dengan Perdana Menteri dan dapatlah juga kita mengetahui sama ada Najib ada "T" atau tidak.

Drama 5 - Salleh Said Keruak yang sebelum ini sudah menyatakan persetujuan untuk membenarkan RTM membuat siaran langsung untuk debat itu, bahkan sudah menetapkan tarikhnya pada Jumaat, jam 9 hingga 10 malam, tiba-tiba membuat pusingan U dengan mengatakan ianya tertakluk kepada pematuhan terhadap arahan Speaker Parlimen.

Katanya, syarat yang dimaksudkan perlu dipatuhi  untuk siaran langsung itu ialah Tony Pua mesti meletak jawatan sebagai anggota PAC dan Arul Kanda pula tidak boleh terlibat sebagai saksi dalam siasatan mengenai 1MDB.

Auta betul Salleh ni...Esok lusa entah apa drama beliau. Esok lusa juga entah siapa-siapa lagi akan bercakap dengan nada yang serupa iaitu jika mahu debat diteruskan, Tony Pua mestilah berundur daripada PAC dan Arul pula dibebaskan sebagai saksi 1MDB.

Sebenarnya inilah yang  sebetul-betulnya dinamakan penakut dan pengecut tetapi malu mahu mengaku, bahkan dalam masa yang sama putar alamnya tetap gred satu. 

Sudahlah Tony Pua dipaksa berundur daripada PAC jika mahu berdebat, bahkan Arul turut diputuskan tidak boleh lagi menjadi saksi dalam penyiasatan PAC mengenai 1MDB jika tampil dalam debat itu.

Kenapa takut jika debat itu melibatkan Tony Pua? Kenapa pula jika Arul muncul dalam debat, beliau tidak boleh lagi menjadi saksi? Bukankah Arul sudah banyak bercakap di luar mengenai 1MDB, termasuk dalam televisyen sebelum ini?

Dalam penakut dan pengecut itu, tetapi maksud tersiratnya tidak lain ialah untuk melindungi 1MDB.

Drama demi drama  yang dipentaskan sekarang tidak lain ialah agar debat itu tidak menjadi kenyataan akhirnya. Itu saja tujuannya.


Zahid: Gambar palsu burukkan protes baju merah

Posted: 04 Nov 2015 12:39 AM PST

Kow Gah Chie


 


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi menuduh terdapat usaha memburukkan himpunan baju merah pada 16 September lalu dengan menyebarkan gambar palsu melalui media sosial.

"Tidak ada ucapan-ucapan sensitif dan perkauman.

"Apa yang ada dalam media sosial itu adalah tampalan kepada banner di tempat lain," katanya dalam sesi penggulungan Bajet 2016 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

"Yang ada dalam sosial media, kami telah melakukan penyiasatan tidak ada satu banner yang menulis begitu.

"Ini dilakukan oleh pihak lain. Saya tidak menuduh, pihak melawan (perhimpunan) baju merah, tapi saya dapat tahu daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), bukan datang daripada baju merah," katanya lagi.

Beliau (BN-Bagan Batoh) bagaimana tidak menyebut kain rentang kontroversi yang dirujuknya.

Zahid, yang bercakap atas kapasiti menteri dalam negeri, menjelaskan tiada unsur perkauman dalam himpunan baju merah yang dinamakan Himpunan Rakyat Bersatu itu.

Perhimpunan itu sebelum ini dicemari kenyataan berbaur perkauman melalui video di Internet, yang antaranya memperlihatkan seorang wanita melaungkan "Cina babi".

"Saya ingin sahkan, tidak ada satu banner pun yang berbaur perkauman atau yang menyentuh mana mana agama," katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Zahid, menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) berkaitan peserta himpunan baju merah yang didakwanya menghamburkan kenyataan perkauman dan jumlah perbelanjaan untuk anggota polis untuk mengawal keselamatan baju merah.

Kematian Syed Azlan: Polis, k'jaan berdepan saman

Posted: 04 Nov 2015 12:34 AM PST

Geraldine Tong


 


Anggota parlimen Puchong Gobind Singh Deo akan memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bulan depan terhadap polis dan kerajaan susulan kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur dalam tahanan.

"(Kepada kerajaan) dalam kes ini, jangan pertikai. Jangan pertahankannya.

"Tunjukkan bahawa kita serius.

"Tunjukkan bahawa dalam kes ini, tindakan akan diambil terhadap pihak yang bersalah," kata Gobind dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau akan failkan saman itu pada minggu pertama bulan depan.

Butiran lanjut akan didedahkan kemudian, jelas wakil rakyat DAP itu.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam laporan dikeluarkan pada 30 Oktober lalu menyebut keganasan fizikal polis semasa siasatan telah menyebabkan kematian Syed Azlan pada 3 November 2014.

RTM batalkan siaran langsung debat 1MDB

Posted: 04 Nov 2015 12:33 AM PST

Zikri Kamarulzaman 





Perdebatan secara langsung mengenai isu 1MDB yang dijadualkan Jumaat ini telah dibatalkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Ini kerana, katanya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua tidak lagi akan berdebat.

"Perdebatan secara langsung dibatalkan.

"Kami hanya setuju menyiarkan siaran langsung Pua dengan presiden 1MDB Arul Kanda," katanya kepada pemberita di luar lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata tawaran debat secara langsung tidak akan dilanjutkan kepada pengganti Pua, walaupun Arul Kanda bersetuju.

PAS akan kembali ke tahun 1980-an

Posted: 04 Nov 2015 12:31 AM PST



Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
 

ULASAN Saya melihat Selangor sebagai model mini bagi Malaysia. Tiada satu pun parti politik yang mampu menjadi kerajaan di Selangor secara tunggal. Justeru parti politik amat perlu bekerjasama untuk menjadi kerajaan di negeri ini.

Sebelum 2008, BN menguasai Selangor. Selepas 2008, kita ada Barisan Alternatif dan DAP, yang kemudiannya bergabung menjadi Pakatan Rakyat. Dalam pilihan raya umum ke-13, Pakatan mengekalkan mandatnya di Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor kelihatan tergugat apabila menteri besar waktu itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadapi tentangan dan ancaman daripada PKR dan DAP.

Hanya PAS sahaja dilihat mempertahankan TSKI, mungkin kerana ghanimah yang diperolehi oleh PAS agak lumayan pada waktu itu. Kemuncaknya, enak orang exco – tiga dari PKR dan tiga dari DAP – dipecat daripada pentadbiran negeri Selangor.

Bakinya hanya empat orang exco PAS sahaja yang tinggal bersama seorang menteri besar bebas. Masalah ini diselesaikan apabil Mohamed Azmin Ali dipilih menjadi menteri besar yang baru.

Selangor kembali dilanda kontroversi pada tahun ini. Kemuncaknya, Muktamar Agung PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP tapi masih bersama dengan PKR. Dari itu terbitlah Gerakan Harapan Baru (GHB) dan seterusnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sekali lagi, kerusi menteri besar menjadi tumpuan. Azmin digesa memilih Pakatan Harapan (gandingan PKR, DAP dan AMANAH) dan menyingkirkan PAS dalam pentadbirannya.

Azmin bagaimanapun memutuskan untuk menyatukan semua pihak berkepentingan termasuk PAS dan PSM dalam menghadapi musuh yang satu iaitu Umno/BN.

Dalam situasi ini, saya melihat Azmin berada dalam keadaan yang cukup dilema dalam meraikan semua pihak termasuk istana, Pakatan Harapan, PAS dan rakyat Selangor. Diluah mati emak, ditelan mati bapak.

Pasti beliau sendiri pening dalam memikirkan kelangsungannya sebagai MB, kelangsungan parti, harapan dan aspirasi rakyat serta kehendak istana sendiri.

Melihat kepada situasi itu, aku memahami kekurangan yang ada pada PKR sehinggakan perlu bergantung atau menumpang kekuatan PAS dalam beberapa aspek.

PKR masih lagi parti yang muda yang mana punya penyokong yang ramai tapi masih lagi kekurangan pendukung terutamanya di peringkat akar umbi.

Jika PAS dikesampingkan akan wujud satu lompong yang besar ketika PKR perlu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jika PKR mengesampingkan parti baru iaitu AMANAH, parti itu akan kehilangan pengundi Cina – sehingga 15 peratus – mengikut tinjauan Merdeka Center.

Terdapat juga simulasi yang menunjukkan bahawa BN akan berpeluang merampas kerusi seperti DUN Kota Damansara, Semenyih dan Sungai Aceh sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru.

Adakah PAS boleh menang jika berlaku pertandingan tiga penjuru? Kita boleh melihat contoh di DUN Selat Kelang.

Jumlah sokongan kepada PAS sememangnya meningkat pada 2013. Pada tahun 2008, PAS mendapat sokongan yang agak menyeluruh di mana kemenangan yang diperolehi hampir seimbang di setiap unit daerah mengundi Melayu dan unit daerah mengundi campuran (majoriti cina).

Pada tahun 2013 pula, DUN Selat Klang mencatatkan penambahan undi popular dan majoriti.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa PAS hanya menang di satu daripada kesemua sembilan Unit Daerah Mengundi (UDM) majorit Melayu. PAS menang di kesemua enam UDM majoriti Cina.

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat? Jika pecahan UDM kekal sama dan sentimen pengundi Cina merosot, adakah PAS dapat mengekalkan kuasa di DUN Selat Klang? Bagaimana dengan DUN yang lain?

Dengan trend pengundiannya yang hampir sama, PAS akan menghadapi masalah apabila peratus undi Cina melebihi 20 peratus dalam sesuatu DUN.

Rentetan itu, PAS akan dicabar di sekurang-kurangnya sembilan kerusi yang mereka menangi sebelum ini. Jika ini berlaku, adakah Selangor dapat dipertahankan? PKR sendiri belum tentu dapat mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada 2013.

Saya tidak bimbang dengan pertandingan tiga penjuru, tetapi saya bimbang jika jumlah kerusi yang dimenangi PAS menyusut. Perkara ini akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk mengekalkan kuasa di Selangor.

Saya berpendapat, keputusan yang terbaik adalah memastikan Selangor diperintah oleh PKR, DAP dan AMANAH menjelang pilihan raya umum akan datang.

Rakyat Selangor dan rakyat Malaysia mendambakan sebuah kerajaan yang utuh dan stabil untuk menggantikan Umno/BN.

Ulama fekah menetapkan kaedah fikh Islam sendiri menetapkan kaedah yang membolehkan pelaksanaan mudarat yang ringan demi menghilangkan mudarat yang lebih besar.

Darurat yang lebih besar adalah membiarkan Umno/BN kekal memerintah dan menzalimi rakyat.

Darurat yang kecil cakap-cakap yang timbul apabila AMANAH berpisah dengan PAS.

Dalam masa dua tahun ini, Pakatan Harapan perlu memperkemas jentera di peringkat akar umbi dan membuktikan tiada masalah timbul.

Lagi pula, Menteri Beasr Mohamed Azmin Ali sudah berkali-kali mengajak PAS untuk bersama, tapi ditolak mentah-mentah oleh pimpinan PAS Pusat.

Justeru itu, takkanlah PKR mahu diumpamakan seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong? Namun apakah implikasinya jika PKR bekerjasama dengan PAS dan pada masa yang sama terus dalam Pakatan Harapan?

Saya meramalkan empat perkara akan berlaku: empat kemungkinan berikut:

1. Pertandingan tiga penjuru tidak akan dapat dielakkan lagi melainkan ada rundingan saat akhir.

2. Jika Selangor berjaya dipertahankan, PKR akan memperolehi kemenangan paling sedikit berbanding parti komponen lain dalam Pakatan Harapan kerana rakyat akan melihat PKR adalah parti yang flip-flop.

3. Parti yang akan menang ialah gandingan AMANAH-DAP-PKR. AMANAH mampu menyengat kerana memiliki gerak kerja yang tersusun dan juga pemikir PAS yang sudah berhijrah.

4. PAS akan kembali ke tahap seperti tahun 1980-an dan akan lebih malang jika gagal mempertahankan Kelantan.

MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR bekas ahli PAS dan kini ahli PKR.


Penampilan awam pertama Gani pertahan Sosma

Posted: 04 Nov 2015 12:25 AM PST

Koh Jun Lin

 



Di tengah-tengah kritikan salah guna kuasa melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012, bekas peguam negara tampil mempertahankan undang-undang kontroversi itu.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kuasa siasatan dan prosedur khas diberikan Sosma terbukti berguna dalam menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu (gambar), Sabah, sebelum ini.

Ia juga, katanya, berjaya digunakan untuk menangani kumpulan bersenjata global Negara Islam (IS).

Bagaimanapun, katanya, walaupun dengan undang-undang yang baik, beliau memberi amaran masih terdapat masalah dalam pelaksanaan dan pentafsiran Sosma.

Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur malam tadi.

Gani juga ditanya sama ada Sosma digunakan secara melebihi dalam kes bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Mengulas perkara itu, beliau berkata tidak dapat mengulas perkara yang akan diputuskan mahkamah.
Tunggu perbicaraan

Didesak memberikan jawapan dalam forum itu, Gani berkata tidak dapat mengulas sesuatu itu tanpa fakta mencukupi dalam tangannya.

"Satu-satunya yang saya tahu dia (Chang) seorang peguam, dan dia direman atau ditahan bawah undang-undang tertentu. Itu saja saya tahu, dan dia didakwa peguam mewakili seorang lagi (Khairuddin).

"Itu saja. Lebih dari itu, saya tidak tahu apa yang pihak pendakwaan ada. Kamu mesti adil kepada mereka, ini belum terdedah lagi. Kita mesti lihat pada perbicaraan.

"Jika perbicaraan tiada bukti, maka ia pendakwaan yang buruk. Jika mereka ada sesuatu untuk buktikan, ya. Seorang peguam tidak terkecuali daripada undang-undang," kata Gani.

Beliau ditanya sama ada Chang patut ditahan bawah Sosma dan didakwa mensabotaj institusi kewangan dan perbankan Malaysia dengan membuat laporan polis berkaitan isu 1MDB di pelbagai negara luar.

Gani sebelum ini berkhidmat selama 13 sebagai peguam negara dan mempunyai peranan merangka Sosma.

Penampilan semalam adalah yang pertama baginya selepas digugurkan daripada jawatan itu.

Selangor selesaikan hutang pusat tahun depan

Posted: 04 Nov 2015 12:23 AM PST

Zulaikha Zulkifli  





Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menyelesaikan jumlah tunggakan hutang terhadap kerajaan persekutuan pada tahun 2016.

"Sehingga 30 September 2015 jumlah keseluruhan tunggakan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM6.73 juta.

"Dan kerajaan negeri bercadang menyelesaikan hutang tertunggak ini sebanyak RM6.73 juta pada tahun 2016 memandangkan kebanyakan kerajaan negeri (lain) masih lagi belum membentangkan penyata kewangan 2014 di dewan undangan negeri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Suee Lim (gambar) (DAP-Sekinchan) berhubung jumlah terkini kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Selain itu, dalam soalan tambahan, Ng kemudian bertanya tentang status hutang industri air Selangor, ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata hutang terhadap kerajaan persekutuan akan dibayar oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) melalui syarat yang ditetapkan.

"Dalam konsesi penswastaan antara kerajaan persekutuan, SYABAS dan kerajaan negeri telah inovasikan jumlah pinjaman dan dipindahkan kepada SYABAS dalam konsesi penswastaan di mana salah satu syarat yang ditetapkan ialah SYABAS perlu membayar pinjaman tersebut kepada kerajaan persekutuan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Itu adalah sebahagian daripada terma dalam konsesi penswastaan.

"Maka ketika berlakunya penstrukturan industri perkhidmatan air Selangor, hutang kerajaan ini turut diambil kira dan menjadi tanggungjawab air Selangor untuk membayar terus baki pinjaman tersebut kepada kerajaan persekutuan melalui pajakan sewa kemudahan air melalui pam air," kata Azmin.


Bekas bos Apco pemastautin tetap, kata Zahid

Posted: 04 Nov 2015 12:20 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas bos Apco Malaysia Paul Stadlen yang didakwa mengendalikan operasi media besar-besaran bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah seorang pemastautin tetap Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Semakan rekod Jabatan Imigresen Malaysia mendapati Paul Stadlen (Gregory) adalah seorang penduduk tetap (PR) Malaysia," kata Zahid dalam jawapan bertulis Parlimen semalam.

"Oleh yang demikian, beliau bebas keluar masuk dan bekerja di negara ini tanpa perlu memiliki pas untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia," katanya selaku Menteri Dalam Negeri.

Zahid menjawab soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang memintanya menyatakan sama ada Stadlen mempunyai permit kerja yang sah.

Wong juga meminta menteri menamakan majikan Stadlen ini. Walau bagaimanapun, Zahid tidak menjawab soalan berkenaan.

Mengikut laporan, warga negara British itu bekerja sebagai pakar perhubungan awam Najib, tetapi ini tidak disahkan oleh Putrajaya.

Kerajaan membayar RM77 juta kepada syarikat perundingan komunikasi gergasi Apco Worldwide pada tahun 2009 untuk menguruskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Selepas peranannya dalam Apco, Stadlen juga bekerja dengan FBC Media, sebuah kumpulan pelobi yang dikaitkan dengan kempen dalam talian untuk memburuk-burukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh bloger Amerika yang diragui Josh Trevino dan syarikatnya, Rogue Communications.

Mahkamah Rayuan kekalkan perintah Utusan fitnah Kit Siang

Posted: 04 Nov 2015 12:14 AM PST

Hafiz Yatim 





Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mendapati akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bersalah memfitnah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan mengarahkannya membayar ganti rugi RM250,000.

Hakim Datuk Lim Yee Lan, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, hakim mahkamah tinggi yang membicarakan kes itu tidak silap dalam membuat keputusan.

Panel lain yang bersidang hari ini adalah Datuk Varghese George Varughese dan Tan Sri Idrus Harun.
Hakim Lau juga hari ini mengarahkan Utusan membayar kos RM15,000 kepada ahli parlimen Gelang Patah itu yang diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala lumpur memerintahkan Utusan membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Kit Siang kerana didapati bersalah memfitnahnya dalam satu artikel berkaitan pelantikan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Lim memfailkan saman itu dengan mendakwa akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Kit Siang manipulasi CEC?' mengandungi perkataan berunsur fitnah.

PIBG: 'Mentah' bukan alasan pelajar berpelukan

Posted: 03 Nov 2015 11:55 PM PST

Shakira Buang


 


Isu "budak mentah" tidak harus dijadikan alasan mewajarkan tindakan berpelukan pelajar sekolah yang dikongsi meluas di Internet baru-baru ini, kata Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

"Budak mentahlah yang kita perlu ajar dan beri bimbingan," kata presidennya Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan.

"Tetapi soal budak mentah tidak timbul sebab saya kira mereka ini terikut-ikut dengan apa yang dilihat dan didedahkan barang kali sudah menjadi perbincangan biasa bagi mereka."

Laman sosial kini hangat memaparkan insiden pelajar berpakaian sekolah berpelukan dan berciuman di salah sebuah sekolah dalam sebuah video 15 saat.

Bagaimanapun, dalam reaksi awal ibu kepada pelajar lelaki tersebut menyatakan perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana mereka masih "budak mentah".

Bimbang perkara itu berleluasa, Mohamad Ali berkata remaja sekarang ini sudah tidak ada sifat malu.
Budaya timur

Beliau justeru menasihatkan ibu bapa agar bersikap lebih tegas dengan membudayakan nilai hidup ketimuran.

"Peranan ibu bapa amat penting sekali malah penjaga dan juga masyarakat, begitu juga dengan agama dan adat resam.

"Maknanya mereka langsung tidak tersentuh dengan agama masing-masing dan adat resam ketimuran dalam sanubari mereka, seolah-olah agama sudah tidak terpakai lagi,"tambah Mohamad Ali.

Beliau juga menyelar trend memuat naik video bukan-bukan ke Internet, yang baginya menunjukkan terhakisnya nilai-nilai ketimuran.

"Sistem nilai tafsiran kita sudah rapuh, tidak berpasak kepada nilai-nilai agama, etika dan ketimuran," tegas Mohamad Ali ketika dihubungi Malaysiakini.

Justeru Mohamad Ali menegaskan kerajaan dan Kementerian Pendidikan harus memandang isu tersebut secara serius.


Kenyataan 'teruk daripada pondan', Azeez terlepas tindakan

Posted: 03 Nov 2015 11:32 PM PST

Kow Gah Chie


 


PARLIMEN l Seorang anggota parlimen BN terlepas daripada tindakan selepas kenyatannya yang menyifatkan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) lebih 'teruk daripada pondan'.

Ini kerana Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berpuas hati dengan penjelasan kenyataan seksis oleh oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) itu tidak dimaksudkan kepadanya.

Bagaimanapun Pandikar memutuskan bahawa label 'pondan' adalah perkara tidak berparlimen.Kenyataan seksis itu dibuat semalam oleh Abdul Azeez sewaktu Kasthuriraani mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2016.

Ketua whip DAP Anthony Loke (DAP-Seremban) membuat aduan selepas Azeez melemparkan perkataan 'balik tong san' kepada ahli parlimen berbangsa Cina hari ini.

Istilah 'tong san' merujuk kepada tanah besar China.

Memetik Seksyen 36 (4) Peraturan Mesyuarat Parlimen, Loke berkata adalah satu kesalahan bagi mana-mana ahli parlimen untuk mengeluarkan kenyataan kurang ajar atau seksis di Dewan Rakyat.

"Dia tidak tarik balik kenyataan 'balik tong san'. Perkataan ini sangat sensitif kepada mana-mana masyarakat terutamanya masyarakat Cina di Malaysia," katanya.

"Dia juga memanggil Batu Kawan (Kasthuri) sebagai pondan. Kenyataan seksis itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Pengerusi Lembaga Tabung Haji. Ini tidak wajar," kata Loke.

Azeez, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, menarik balik 'balik tong san' yamg dibuatnya beliau tanpa syarat tetapi enggan berganjak dengan ejekan 'pondan'.

Katanya, kenyataan itu tidak dilemparkan secara langsung terhadap Kasthuri.

Tiada ulasan: