Selasa, 17 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Penjelasan skandal berkembar k'jaan cubaan ‘cuci habis’

Posted: 17 Nov 2015 04:58 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini membidas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berhubung penjelasannya mengenai isu 1MDB dan 'derma' RM2.6 bilion di Parlimen semalam dengan menyifatkannya sebagai percubaan 'cuci habis'.

"Apa guna ada seorang menteri kewangan kedua jika beliau tidak dapat menjadi seorang gladiator Rom masuk ke gelanggang Coliseum seperti zaman dahulu untuk melawan singa?

"Jawapan Husni mengenai skandal berkembar mega itu adah cubaan 'cuci habis' yang memalukan, ia hanya membuktikan kerajaan Najib mempunyai banyak untuk disembunyikan daripada didedahkan berhubung derma RM2.6 bilion dan skandal mega RM50 bilion 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Husni dilantik sebagai jurucakap kerajaan mengenai 1MDB sejak dua bulan lalu dan sepatutnya mempunyai masa yang mencukupi bagi membiasakan dirinya dengan segala kerumitan dalam memberi jawapan terhadap isu yang dibangkitkan ke atas syarikat pelaburan negara itu.

Malah, kata Lim, Presiden MDB Arul Kanda Kandasamy juga menyediakan 'pentas' untuk Husni melalui penjelasannya mengenai syarikat sarat hutang itu pada satu seminar Sabtu lalu kepada ahli-ahli Umno, badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan parti itu serta agensi kerajaan.

Namun, menurutnya, Husni tidak akan terlepas daripada mengulangi penjelasan Arul Kanda di Dewan Rakyat dengan kehadiran ahli parlimen 'agresif seperti wakil Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan wakil Pandan, Rafizi Ramli.

"Husni bijak kerana tidak cuba untuk mengulangi penjelasan Arul Kanda dengan adanya ahli parlimen agresif di Parlimen, beliau tidak boleh lari," katanya.

Lim berkata walaupun Arul Kanda mendakwa 1MDB adalah syarikat paling kerap disiasat di negara ini, hakikat sebenarnya, ia adalah syarikat yang disiasat secara paling dangkal.

Umno T'ganu kini boleh ambil tanah rizab Melayu

Posted: 16 Nov 2015 04:07 PM PST

Zikri Kamarulzaman


 


Kerajaan negeri Terengganu dilaporkan telah meminda dan mewartakan undang-undang negeri yang membolehkan Umno Terengganu mengambil alih tanah rizab Melayu.

Menurut ahli parlimen Pakatan Harapan di Parlimen hari ini, pindaan kepada Seksyen 9 Enakmen Tanah Rizab Melayu Terengganu dibuat di DUN Terengganu pada Mei lalu.

"Sebagai seorang peguam, saya tidak pernah melihat undang-undang sebegini," kata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin pada sidang akhbar di lobi parlimen.

Beliau diiringi oleh ADUN Bandar Terengganu Azan Ismail yang mendakwa dirinya adalah wakil rakyat tunggal yang membantah pindaan tersebut.

"Saya cadangkan anda tanya kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengapa sebagai pemimpin pembangkang Terengganu, beliau tidak membantah (pindaan) ini," kata Hanipa.

Azan mengakui beliau khuatir pindaan baru itu akan menyusul ke negeri-negeri lain.

"Saya bimbang dengan undang-undang baru ini, ia akan pendulu bagi membolehkan negeri-negeri lain juga membenarkan pemilikan tanah rizab Melayu dipindahkan kepada parti politik," katanya.

Sesalinan hansard DUN Terengganu yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mempertahankan pindaan itu untuk melindungi kepentingan Umno.

"Kami mahu lindungi tanah milik Umno supaya ia kekal di bawah orang Melayu, kerana ahli-ahli Umno adalah orang Melayu," kata Razif di DUN Terengganu pada 14 Mei lalu.

Selain Umno Terengganu, pindaan juga membolehkan pemilikan tanah rizab Melayu dipindahkan kepada Perbadanan PR1MA.

Hanipa berkata beliau dan Azan akan mencabar pindaan itu di mahkamah.

Atur perlawanan punca prestasi bola sepak merosot

Posted: 16 Nov 2015 03:56 PM PST

SINAR HARIAN


Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
 

AKTIVITI mengatur perlawanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.   

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata perkara itu juga menyebabkan wujudnya pelbagai masalah berkaitan termasuk judi, peras ugut dan penawaran rasuah kepada pemain. 
 
Katanya mengatur perlawanan telah membelenggui bola sepak negara sejak beberapa tahun lepas tetapi kementerian sentiasa mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memerangi gejala mengatur perlawanan bola sepak.   

"Walaupun tidak dapat sifarkan (bilangan kes), kita dapat kurangkan banyak kes daripada laporan berkaitan tawaran kepada pemain ini," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi Kementerian Belia‎ dan Sukan di Dewan Rakyat hari ini.   

Semasa menjawab soalan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) berhubung isu itu, Khairy berkata gejala mengatur perlawanan berlarutan kerana  kebanyakan pemain tidak berani mengemukakan bukti kerana mendakwa diugut 'bookie' termasuk yang mengancam keselamatan diri dan keluarga.‎  

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata gejala itu juga sukar dikesan kerana aktiviti mengatur perlawanan berlaku tanpa melibatkan banyak pihak dan dalam keadaan kerahsiaan yang tinggi.    

Bagaimanapun, katanya beberapa suspek dan sindiket telah dikenal pasti dan kini berada di bawah pemantauan SPRM dan PDRM.   

Beliau berkata setiap persatuan bola sepak negeri juga diarah menubuhkan jawatankuasa khas integriti melibatkan SPRM dan PDRM.   

"Ia (jawatankuasa) akan memberi peluang kepada pemain yang didatangi 'bookie' supaya membuat aduan secara rahsia agar keselamatan mereka terjaga.   

"Kita telah mengambil tindakan serius untuk mengatasi gejala mengatur perlawanan walaupun tidak dapat membanteras (pelakunya) 100 peratus...ada‎ perkembangan positif," katanya. - Bernama


Silap Husam jadi orang politik

Posted: 16 Nov 2015 03:43 PM PST



Oleh SUBKY LATIF


BERKHIDMAT dalam politik adalah satu khidmat yang mulia apa lagi politik itu Islam demi mendaulatkan kalimah Lailaha Illallah. Politik itu sebahagian daripada Islam khususnya mengenai kehidupan. Hidup itu boleh jadi ibadat. Hidup itu meliputi sejak lahir hingga mati. Khidmat politik sebagai satu ibadat boleh diisi 24 jam sehari dari mula hidup hingga mati.
   
Politik itu jadi ibadat perlu memenuhi seninya. Husam Musa bekas Naib Presiden PAS telah memilih khidmat ibadat politik apabila dia menyertai PAS sebaik keluar universiti.

Saya suka kepada keupayaan, kebolehan mana-mana orang politik yang berbakat dan berpotensi. Saya lihat Husam adalah seorang ada potensi memenuhi semua yang diperlukan oleh seorang ahli politik. Saya gembira dia memilih PAS dan saya kira PAS bertuah beroleh seorang aktivis dan pemimpinnya yang serba boleh.
    
Dengan bakat yang ada padanya amat tepat dia jadi pembantu dan penasihat Almarhum TG Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS. Pemimpin penting seperti Tok Guru itu penting beroleh pembantu pintar sepertinya.
    
Saya pernah duduk bersamanya beberapa tahun dalam pimpinan PAS Pusat. Saya tengok ucapannya di Parlimen, keupayaannya menguasai isu dalam dan luar negara, dapat memberi reaksi cepat dan bertindak pantas atas banyak perkembangan.
    
Hingga saya pernah terfikir dan sebutkan kepada rakan-rakan, Husam adalah seorang pemimpin yang terserlah dan ada otak dibandingkan dengan sebahagian pimpinan PAS lain. Saya tidak mahu kata dia adalah yang terbaik, tetapi saya rasa dia banyak kelebihan daripada yang lain-lain.
   
Ada seorang pemerhati Umno berkata pada saya, ketika seorang penganjur Umno mencari tokoh yang diperlukan buat masa depan Umno, ada yang merasakan bakat Mukhriz bersaing dengan Khairy Jamaluddin. Untuk jadi Perdana Menteri akan datang mungkin Mukhriz tidak berupaya meninggalkan Khairy.
   
Khairy nampak hidup politik dan kepimpinannya. Siapa yang boleh mengatasi Khairy dalam perlumbaan jadi Perdana Menteri itu?

Katanya, tidak ada dalam Umno. Ia ada dalam PAS. Siapa? Husam, katanya.
   
Sayang Husam berada dalam PAS. Kalau dia berada dalam Umno, sukar bagi Khairy memintasnya.
   
Hari ini dia telah berpolitik lebih. Seni politik itu telah dilampauinya. Saya terasa ia menyebabkan dia bertambah payah bagi mendapatkan kedudukan yang selesa dalam masyarakat dan kepimpinan PAS.
   
Dia telah menjadi pengkritik PAS yang dikira lebih tajam daripada serangan yang dibuat oleh Umno dan DAP terhadap PAS  dan pimpinannya. Kritik dan serangan orang luar seberat mana pun tak jadi berat kerana orang kira ia sepak terajang orang politik.

Tetapi kritik dan serangan terbuka orang dalam PAS, ringan pun terasa teruk dan apa lagilah kalau memang berat. Orang dalam itu selalunya tahu akan kelemahan dalaman parti.
   
Sebagai yang pernah jadi orang penting PAS, maka ia memayahkan kedudukannya dalam parti dan sesama orang parti. Jika khidmat politiknya tadi satu ibadat, maka boleh batal ibadat yang lalu itu.
   
Khidmat baik selama ini boleh jadi tidak dinilai lagi.
   
Tapi jika Husam memilih jadi profesor sains sosial, dia boleh mengajar penuntutnya tentang kelemahan PAS dan mengkritiknya. Sumbangan akademik dan tegurannya tentu lebih berkesan. Mungkin dia boleh jadi profesor ilmu politik terbilang dihormati oleh semua.
   
Tetapi apabila jadi orang kuat PAS mengkritik teruk PAS, khidmatnya jadi layu dan orang akan kata sepak bola ke gol sendiri.

Pengeboman Paris: Hati-hati dengan provokasi

Posted: 16 Nov 2015 03:38 PM PST

Oleh DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI


DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam segala bentuk pembunuhan terhadap sesiapa pun yang dilakukan tanpa hak sama ada pada tujuannya atau caranya.

DUPP menegaskan bahawa nyawa adalah sesuatu yang amat dihormati dan sangat dilindungi oleh Islam. Islam menetapkan hanya tiga kesalahan sahaja yang dikenakan hukuman bunuh.


Sabda Nabi SAW, mafhumnya :

"Tidak halal darah seorang muslim, kecuali karena salah satu dari tiga hal: (i) orang yang berzina padahal ia sudah merasai nikmat persetubuhan hasil perkahwinan yang sah, (ii) membunuh jiwa yang dibalas dengan jiwa (iii) orang yang meninggalkan agamanya lagi memisahkan diri daripaza jama'ah (kaum muslimin)'." [ HR al-Bukhâri dan Muslim ]


Pun begitu, hukuman ini hanya menjadi autoriti dan tanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah - bukannya individu/organisasi awam - melalui pelaksanaan undang-undang jenayah syariah.

Tindakan membunuh orang awam dengan cara pengeboman serta tanpa hak seperti yang berlaku di Perancis pada hari ini adalah suatu perbuatan yang terkutuk dan bercanggah di sisi Islam serta keji pada pandangan kemanusiaan.

DUPP juga menyuarakan kebimbangan insiden ini sengaja direncanakan oleh pihak tertentu di peringkat antarabangsa bertujuan untuk menimbulkan kebencian terhadap Islam dan umat Islam di Perancis serta bertujuan memburukkan nama baik umat Islam yang berjuang mempertahankan hak seperti di Palestin dan Syria.

Diharapkan tiada pihak yang terburu-buru bertindakbalas tanpa waras dengan provokasi yang wujud yang menjadikan Islam dan umat Islam sebagai mangsa.

Akhirnya, DUPP merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa, keluarga dan rakyat Perancis di atas musibah yang berlaku.

Penulis adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

 

Dewan Rakyat Lulus Peringkat Dasar Bajet 2016

Posted: 16 Nov 2015 03:34 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
DIKEMASKINI- KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di peringkat dasar dengan mendapat jumlah undi yang besar daripada anggota parlimen.

Sebanyak 128 Anggota Parlimen bersetuju rang undang-undang itu diluluskan bagi ditetapkan untuk bacaan kali kedua, berbanding 74 yang menolak.

Undian belah bagian dijalankan oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berikutan beberapa Anggota Parlimen daripada parti pembangkang yang mahukan undian itu dijalankan.

Sementara itu, enam Anggota Parlimen dari PAS mengambil keputusan berkecuali iaitu Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Nik Mohd Abduh Nik Aziz (PAS-Pasir Mas), Nasaruddin Hassan (PAS-Temerloh), Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang), Marzuki Shaari (PAS-Bachok) dan Dr Izani Hussin (PAS-Pengkalan Chepa).

Empat lagi Anggota Parlimen PAS termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak hadir ke sesi petang sidang Parlimen hari ini.

Keputusan itu membuatkan beberapa Anggota Parlimen pembangkang membuat bising sebelum Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia secara bersahaja mengulas: "Walaupun nyaring suara tidak bersetuju, tetapi hakikatnya yang bersetuju itu lebih Yang Berhormat".

Turut hadir semasa pengundian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut mengambil bahagian dalam undian itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Perdana Menteri pada 23 Okt lepas, dibahaskan selama enam hari bermula 26 Okt lalu sebelum digulung di peringkat kementerian selama tiga hari, dan diluluskan hari ini di peringkat dasar.

Rang undang-undang yang bertujuan memperuntukkan sejumlah RM267.22 bilion  untuk perbelanjaan kerajaan pada 2016 itu dijadual akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula esok.

Sementara itu, menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, rang undang-undang itu hanya akan diluluskan sepenuhnya selepas selesai perbahasan dan penggulungan di peringkat jawatankuasa dan dibacakan kali yang ketiga.

Persidangan dewan bersambung esok.

Adun PKR Persoal Bajet 2016 Kerajaan Pulau Pinang

Posted: 16 Nov 2015 03:31 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
GEORGE TOWN: Anggota Dewan Undangan Negeri daripada PKR Dr Norlela Ariffin mempersoalkan Bajet 2016 kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang yang tidak memberi peruntukan kepada kawasan perkampungan untuk mewujudkan produk pelancongan baharu.

Dr Norlela (PKR-Penanti) berkata dalam Bajet 2016 yang dibentang Ketua Menteri Lim Guan Eng pada 6 November lepas, sebanyak RM31.93 juta diperuntukkan untuk produk pelancongan di kawasan George Town dan bahagian pulau negeri ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini Pakatan Rakyat benar-benar melaksanakan janji untuk memperjuangkan nasib golongan yang tertindas dan paling memerlukan di negeri ini.

"Jika ya, Bajet 2016 perlu mencerminkan belanjawan yang memperjuangkan nasib golongan yang paling memerlukan dan bajet yang dapat bantu kawasan yang paling memerlukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri mengiktiraf dan mempromosi industri inap desa sebagai produk pelancongan di negeri ini namun dalam Bajet 2016 langsung tidak memberi peruntukan untuk program inap desa khususnya di kawasan kampung.

"Bajet 2016 ini tidak nampak peruntukan yang jelas untuk pembangunan pelancongan kampung, homestay (inap desa) dan sungai tetapi hanya tertumpu kepada pelancongan di kawasan bandar," katanya.

Dr Norlela berkata kawasan kampung seperti di Penanti tidak harus diabaikan oleh kerajaan negeri kerana ia juga mempunyai potensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata kerajaan negeri harus memberi lebih perhatian kepada pembangunan perkampungan dengan membina lebih banyak infrastruktur seperti jalan, parit dan dewan orang ramai.

Luahan Norlela itu turut mendapat sokongan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar) yang memahami masalah dihadapi wakil rakyat PKR itu.

Jahara berkata masalah banjir di Penanti berlaku sejak sekian lama dan masih gagal diatasi kerajaan negeri sehingga kini.

Pemandu Teksi Dilarang Sertai Demo

Posted: 16 Nov 2015 03:29 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan Aman Warga Teksi yang dijadual berlangsung di ibu negara Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata perhimpunan itu melanggar undang-undang, dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana tidak mendapat kebenaran daripada tuan punya pemilik tempat.

Zainol berkata pihaknya telah menerima notis daripada Persatuan Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang bagi mengadakan perhimpunan itu di sekitar kawasan Kraftangan di Jalan Conlay, Padang Merbok, Masjid Negara dan Dataran Merdeka pada 6 November lepas.

"Notis yang dikemukakan mereka tidak dapat diproses kerana tidak disertakan surat kebenaran tuan punya tempat perhimpunan tersebut diadakan.

"Sekiranya perhimpunan itu diadakan, maka perhimpunan itu satu perhimpunan yang tidak mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Antara objektif utama perhimpunan ini adalah untuk mendesak rombakan dilakukan terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta menggesa kerajaan mengharamkan aplikasi 'Uberteksi' dan 'Grabcar' yang dilihat menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Pada masa sama, Zainol menasihatkan agar pemilik permit teksi menentukan bahawa teksi mereka tidak digunakan bagi tujuan perhimpunan.

"Sekiranya teksi-teksi itu digunakan di dalam perhimpunan, maka polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Tiada ulasan: