Selasa, 6 Oktober 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Sebuah Parti "Harapan Rakyat" Dibentuk Untuk Gagalkan "Pakatan Harapan"?

Posted: 06 Oct 2015 12:05 AM PDT

Bekas pemimpin dan aktivis PKR daftar parti baharu?

Ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis parti itu untuk menubuhkan parti baharu.

Dia mendakwa telah mendapat maklumat daripada seseorang dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya bahawa kumpulan berkenaan telah hadir untuk mendaftarkan parti itu pada minggu lalu.


Katanya, seramai 13 orang telah hadir untuk mendaftarkan parti baharu itu.


"Saya cuba mendapatkan butiran lanjut dan dikenal pasti antaranya ialah individu yang mengaku sebagai Presiden Akar Umbi Keadilan yang kini memegang jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, Pengarah Pilihanraya DUN Bukit Antarabangsa, bekas Setiausaha Kerja Pemuda Pusat, bekas Setiausaha Kerja PKR Pusat dan beberapa orang lain yang turut masih memegang jawatan di peringkat Pusat.

"Cuma pelik kerana apa relevannya tindakan ini ? Ramai mungkin menuduh mereka ejen UMNO tetapi jika ia usaha musuh kenapa dibuat secara senyap?" katanya.

Dakwaan terbaharu Chegubard itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApps.

Dia mendakwa, selepas siasatan lanjut dilakukan kemungkinan ia usaha terancang dan kemungkinan turut melibatkan sekutu lain parti pembangkang.

"Adakah Pas terlibat ? Adakah ia kena mengena dengan proses rampasan kuasa kartel Azmin (Mohamed Azmin Ali) yang mengasak Mesyuarat MPP Khas mempertikaikan tindakan Presiden dan kemungkinan wujud undi tidak percaya?

"Saya mengingatkan diri sendiri dan semuanya, UMNO dan Barisan Nasional tidak kuat namun dalam sejarah membuktikan lawan berpecah dan lemah menjadi kekuatan regim. Hati – hati dengan "trojan Hourse"…." katanya.

Sebelum ini Chegubard mendakwa kumpulan penyokong Azmin cuba menggulingkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan mendesak diadakan mesyuarat MPP khas bagi membincangkan semula sokongan dan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan.

Dia mendakwa sekiranya Wan Azizah membuat u-turn terhadap keputusan itu, ia sudah tentu memalukan Presiden kerana tidak sokongan penuh Ahli Majlis MPP. -FMT

ULASAN GB

Jika laporan di atas adalah benar, maka ternyata ia adalah satu usaha pihak tertentu yang cuba untuk menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan yang terbentuk hasil dari rundingan meja bulat yang diumumkan oleh DS Wan Azizah. Apatah lagi nama parti baru itu ialah "Harapan Rakyat", mirip dengan nama "Pakatan Harapan". Ia seolah-olah cuba mengelirukan rakyat dengan nama itu dan cuba menghalang RoS untuk menafikan pendaftaran Pakatan Harapan.

Seterusnya kita berteka-teki pula ia kerja siapa.

Sebelum ini sudah ada laporan mengenai satu petisyen yang dikatakan ditandatangani oleh 22 Ahli Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR supaya mesyuarat tergempar diadakan susulan penubuhan Pakatan Harapan selepas sesi sidang meja bulat, 21 September lalu.

Mereka menyifatkan keputusan yang dibuat itu sebagai tergesa-gesa.

Walau bagaimanapun seorang pimpinan PKR menyatakan penandatangan petisyen itu silap apabila mereka berkata presiden bertindak bertentangan dengan kehendak MPP.

"Selepas kami berbincang dengan panjang lebar dalam mesyuarat pada 20 September, presiden akhirnya memberitahu MPP: 'Beri saya mandat untuk membuat keputusan apa yang perlu dilakukan semasa perbincangan meja bulat'.

"Dan mereka bersetuju dengan itu. Jadi ia tidak sepatutnya menjadi isu sama sekali," kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau mendakwa tidak semua penandatangan sebahagian daripada "puak Azmin"; beberapa penandatangan kemudian menyesal menandatangani petisyen itu apabila keadaan situasi dijelaskan kepada mereka, katanya.

Sumber itu berkata, beliau berpandangan tiada gunanya melambatkan pelancaran Pakatan Harapan kerana PAS tidak akan mahu menyertainya.

Terlupakah Razman Bahawa Dia Memfitnah DS Nizar?

Posted: 05 Oct 2015 09:32 PM PDT

Mahkamah Benarkan Kes Tuntutan Fitnah PJ PAS Perak.

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan tuntutan fitnah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria terhadap pemilik blog alhusseyn51, Mohamed Ali Hussin hari ini.

Keputusan dibacakan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali atas fitnah blog tersebut bertajuk "Pesuruhjaya PAS Perak cuma mahu balas budi Menatu Tuang Presideng jer!".



Razman menerusi peguamnya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS Perak, Mohd Zamri Ibrahim telah mengemukakan tuntutan sebanyak RM1 juta dari penulis tersebut.

Menurut mahkamah, taksiran ganti rugi ke atas penulis yang juga telah membuat sebaran terbabit ke media sosial Facebook itu akan dilakukan dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh kelak.

Sementara itu Razman ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, budaya fitnah bukan dari Islam dan ia mampu meruntuhkan persaudaraan Islam sekaligus memecahbelahkan masyarakat.

"Keputusan ini di atas berkat doa dan kerjasama semua pihak untuk melindungi sesiapa sahaja yang dizalimi, serta tidak memberi ruang fitnah berleluasa dalam minda masyarakat," tegasnya. – HD

ULASAN GB

Menarik.

Blogger Al-Husseyn dituduh memfitnahnya. Sedangkan Razman sendiri kini berhadapan dengan saman RM3 juta oleh Dato Seri Mohd Nizar Jamaluddin kerana kenyataan fitnahnya terhadap bekas Menteri besar Perak itu.


DS Nizar Saman Pesuruhjaya PAS Perak

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM3juta terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kerana kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Writ saman dan pernyataan tuntutan melalui Tetuan Awi & Co bertarikh 14 Ogos 2015 di Mahkamah Tinggi Ipoh. Pihak defendan dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Oktober 2015 jam 9.00 pagi untuk pengurusan kes. Sekiranya defendan engkar hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan, penghakiman boleh dimasukan terhadap defendan.

Kenyataan berunsur fitnah tersebut telah disiarkan melalui akhbar Sinar Harian Edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk : Pendekatan Nizar mirip DAP. Laporan tersebut mengandungi kenyataan berikut :

"PAS mendokong Melayu Islam dan sultan tetapi Nizar seolah-olah memandang enteng dan kekal komited dengan perjuangan DAP sebagai parti yang menyokong pendekatan Negara secular."

"Daripada mencemarkan imej parti adalah lebih baik beliau menyertai DAP, kita tak mahu dalam PAS ini dipenuhi dengan individu-individu yang bersifat oportunis dan membelakangkan perjuangan parti"

Mohammad Nizar yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang mendakwa pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang pemimpin Melayu yang telah mengkhianati bangsa Melayu dan tidak peka dengan kepentingan dan sensitiviti bangsa Melayu.



Nizar juga mendakwa pernyataan tersebut menuduh beliau sebagai pengkhianat agama Islam demi kepentingan politik beliau dan cuba menyebarkan fahaman secular di dalam Negara ini dan di dalam PAS. Nizar menafikan kenyataan berunsur fitnah tersebut dan menegaskan bahawa kenyataan Defendan itu sebagai tidak berasas dan fitnah yang serius.

Nizar menegaskan kenyataan berunsur fitnah tersebut telah mengundang beberapa reaksi negative dari rakan-rakan politiknya khususnya PAS dan pembaca akhbar tersebut.

Malah menurutnya lagi, telah menyebabkan musuh politiknya menggunakan kenyataan berunsur fitnah tersebut untuk memburukan dan menjatuhkan kerjaya politiknya.

Sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Perak, wajarkah Razman menunjukkan akhlaq yang sedemikian rupa, memfitnah orang lain untuk paparan di sebuah akhbar yang mempunyai pembaca yang begitu ramai semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti DS Nizar?

Sedangkan apa yang dilakukan oleh DS Nizar selama ini di Perak ialah untuk menjaga keutuhan Pakatan Rakyat mematuhi resolusi-resolusi muktamar sebelum muktamar 2015 yang memutuskan bahawa Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan.

Jadi tidak timbul soal "komited dengan perjuangan DAP" sepertimana yang difitnahkan oleh Raman terhadap DS Nizar.

Kemudian tahu pula meminta Badan Perhubungan Negeri mengeluarkan semacam satu arahan kepada DS Nizar supaya hadir ke pejabat mereka untuk bertemu.

GB difahamkan DS Nizar tidak melayan "arahan" tersebut dan sewajarnya "arahan" itu tidak perlu dilayan.

Biar kita pulangkan semula perkataan Razman itu kepada dirinya sendiri:

budaya fitnah bukan dari Islam dan ia mampu meruntuhkan persaudaraan Islam sekaligus memecahbelahkan masyarakat

ps: jangan nanti ditempelak orang: mengata dulang paku serpih, mengata orang kamu yang lebih!

Tiada ulasan: