Ahad, 11 Oktober 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PKR Gali Kubur Sendiri Jika Terus Harapkan PAS...

Posted: 11 Oct 2015 12:33 AM PDT

Apa lagi yang PKR harapkan daripada PAS?Faiz Fadzil

Pembentukan Pakatan Harapan pada 22 September 2015 antara parti pembangkang Amanah, PKR dan DAP adalah satu rahmat kepada rakyat Malaysia.

Agenda Barisan Nasional untuk melenyapkan permuafakatan pembangkang ternyata gagal walaupun Pakatan Rakyat terkubur setelah PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Sejarah menunjukkan BN boleh dijatuhkan dengan gabungan parti-parti pembangkang.



Sejarah juga menunjukkan parti-parti pembangkang kalah teruk dalam pilihan raya setelah gabungan berpecah. Inilah senjata yang paling digeruni BN. PAS secara 'sub-conscious' sanggup membiarkan dirinya dijadikan ejen kepada agenda BN untuk memecahkan PR.

PKR seharusnya terus istiqamah mengukuhkan PH dan bukannya terus mendambakan kerjasama dengan PAS. PAS sekarang yang bersifat takfiri seolah-olah mereka sahaja yang benar, sudah pasti tidak akan menganggap mana-mana pihak sebagai rakan. Bagi mereka, siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka, adalah musuh walaupun hakikatnya, kezaliman adalah musuh utama. Sedangkan, Allah mencegah kita daripada cenderung kepada kezaliman (surah Hud:113).

Namun, PAS sekarang bukan sahaja gagal melihat kezaliman sebagai musuh, bahkan sanggup membela kezaliman atas alasan demokrasi.

Dalam keadaan rakyat dihimpit dengan tekanan ekonomi akibat GST dan kenaikan kos sara hidup serta amalan rasuah dan salahguna kuasa pemimpin kerajaan terutama perdana menteri, PAS tidak menyokong usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap perdana menteri. Tindakan ini seharusnya dijadikan kayu pengukur, PAS mempunyai agenda perjuangan yang berbeza dengan rakyat dan PH. Malahan, agenda perjuangan PAS juga sekarang kabur umpama jerebu.

PAS kini yang dipimpin presiden yang sama mempunyai sejarah mengkhianati PKR. Watikah pencalonan PAS di dalam 5 kerusi yang ditandingi PKR ditandatangani beliau sendiri. Pengkhianatan terus dilakukan apabila beliau menolak persetujuan yang dicapai PR untuk mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

Pengkhianatan terbesar dilakukan apabila beliau menolak untuk mengarahkan ahli PAS hadir ke Mahkamah Persekutuan untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat 2 walaupun menyedari Anwar difitnah dan dizalimi. Jelas, PAS cukup istiqamah mengkhianati rakan dan perjuangan.

PKR perlu mematuhi pesanan Rasulullah S.A.W., umat Islam dilarang untuk dipatuk ular dalam lubang yang sama dua kali.

Bersediakah PKR untuk dikhianati lagi PAS. Apakah jaminan PAS akan komited untuk mengelak pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi PKR? Adakah PAS bersetuju untuk menerima Anwar sebagai calon perdana menteri walaupun sedar mereka tidak mampu mencadangkan calon yang setanding Anwar? Adakah PAS akan menjunjung persetujuan untuk berpegang kepada dasar bersama yang akan dirangka?

Mengukuhkah PH adalah pilihan terbaik dan efisyen berbanding asyik mengajak PAS untuk bersama PH sedangkan PAS menolaknya.

Sedarlah yang mempertahankan PR dahulu adalah pimpinan Parti Amanah Negara sekarang. PAS mampu menabur pasir ke dalam periuk nasi dan kesannya PH akan dihukum rakyat jika ia berlaku menjelang pilihan raya umum kelak jika PAS bertindak di luar dasar bersama atau bertindak bertentangan dengan perjanjian yang dibuat.

Masa untuk rakyat menghadapi PRU ke 14 semakin hampir. Sekarang adalah masa untuk PH mengukuhkan perpaduan di antara semua parti koalisi ini di semua peringkat. Sekarang adalah masa untuk PH menyiapkan dasar bersama. Logo yang satu bagi PH hendaklah dirangka segera bagi mendapat kelulusan segera daripada ROS.

Jangan biarkan virus kemarahan rakyat kepada PAS berjangkit kepada PKR. Jikalau PH rapuh, BN akan terus berkuasa, rakyat akan terus merana kerana ditipu lagi.

Usahlah yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Membujur lalu melintang patah, menjatuhkan BN memerlukan pasukan PH yang kukuh, kuat dan berdaya saing.

PAS akan terus istiqamah dengan pengkhianatan, jadi apa lagi yang PKR harapkan?


Siapa pilihan PKR, Pakatan Harapan atau PAS? Oleh Amin Iskandar

PKR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini disebabkan petisyen 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang mahu penubuhan Pakatan Harapan dibincangkan semula.

Dua puluh lima ahli MPP ini tidak berpuas hati mengapa presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail "tergesa-gesa" mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini sedangkan sepatutnya ianya hanyalah perbincangan awal.

Kumpulan 25 pemimpin PKR ini juga mahu PAS dilibatkan dalam Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu sebelum ini melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan tidak akan bersama gabungan baharu itu kerana adanya DAP dan "pengkhianat" Parti Amanah Negara (Amanah).

Selain itu, kumpulan 25 pemimpin ini mahukan mesyuarat MPP hari ini meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan PAS di samping mengekalkan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, sekurang-kurangnya 7 daripada 25 pemimpin ini sudah menghubungi Dr Wan Azizah bagi memohon maaf di atas tindakan mereka menandatangani petisyen yang dilihat sebagai "undi tidak percaya" kepada presiden PKR itu.

Difahamkan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor pada Rabu, pemimpin akar umbi parti itu digambarkan seolah-olah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan.

Selain itu, pemimpin akar umbi PKR diberitahu, parti itu tidak boleh "hidup" pada PRU14 tanpa sokongan PAS selain DAP "dibelasah hebat" dalam mesyuarat itu.

Sementara kumpulan yang menyokong Dr Wan Azizah pula percaya kerjasama PKR bersama Pakatan Harapan akan membawa kejayaan lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ini kerana kebanyakan kerusi dimenangi PKR adalah kerusi campuran dan bukannya kerusi majoriti Melayu yang sudah menjadi kubu kuat Umno.

Menurut kumpulan ini, PAS sendiri kalah di kerusi majoriti Melayu dan hanya kuat di negeri pantai timur yang sememangnya merupakan kubu mereka.

Kumpulan ini juga tidak pernah memaafkan pengkhianatan PAS dalam PRU13 lalu sehingga menyebabkan pertembungan 3 penjuru di beberapa kerusi seperti di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sabah.

Mereka juga tidak memaafkan PAS kerana tidak mengiktiraf Anwar sebagai calon perdana menteri semasa PRU 13 selain tindakan Hadi memperlekehkan Dr Wan Azizah semasa kemelut menteri besar Selangor tidak lama dulu.

Amanah dan DAP bergerak sendiri?

Ketika PKR bertelagah tentang Pakatan Harapan, sudah terdapat perbincangan di antara pemimpin Amanah dan DAP untuk bergerak sendiri dalam PRU14.

Mereka merasakan, kumpulan "pro PAS" dalam PKR hanya melambat-lambatkan usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan melakukan perubahan di Malaysia.

Seorang pemimpin tertinggi Amanah yang ditemui penulis berkata, jika PKR masih mahukan PAS, partinya dan DAP sudah bersedia untuk bergerak sendirian.

Pemimpin kanan Amanah itu berhujah, PKR sebenarnya akan rugi lebih besar jika memilih PAS dan ini boleh dilihat dalam keputusan PRU 2004.

Pada 2004, selepas DAP meninggalkan Barisan Alternatif, PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu di Permatang Pauh dan PAS hanya tinggal 7 kerusi.

Sementara DAP yang bergerak bersendirian berjaya memenangi 12 kerusi Parlimen.

Menurut pemimpin Amanah itu, kebanyakan kerusi dimenangi PKR pada PRU 12 dan 13 merupakan kerusi campuran dan beliau tidak faham mengapa kumpulan "pro PAS" dalam parti itu beriya-iya mahu mempertahankan PAS dengan hujah takut kehilangan undi Melayu.

Katanya, PAS sendiri mendapat banyak kerusi semasa PRU 12 dan 13 disebabkan kerjasama politik yang mereka jalankan dengan parti lain dan bukan kerana batang tubuh mereka sendiri.


Siapa pilihan PKR petang ini? Pakatan Harapan atau PAS? Sudah tentu PKR tidak boleh dapat kesemuanya.


PAS Dah Serupa UMNO, Halang Ustaz-ustaz Beri Kuliah

Posted: 10 Oct 2015 06:07 PM PDT

Ramai sertai Amanah kerana dihalau PAS

Mereka yang tidak lagi diterima kepimpinan PAS tetapi kekal dalam parti Islam itu, kini dituduh menyertai kumpulan serpihan Parti Amanah Negara (Amanah), seolah-olah ia perkara paling keji dalam dunia dilakukan mereka.

Tetapi, tindakan tersebut hanya membuatkan lebih ramai menyertai Amanah, yang ketika ini mempunyai 50,000 ahli dalam masa kurang sebulan selepas dilancarkan, dengan 60% daripadanya bekas pemimpin PAS, menurut timbalan presiden parti baharu itu, Salahuddin Ayub.


Menceritakan betapa Amanah digunakan untuk "menyerang" ahli yang tidak disenangi mereka, bekas ketua penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad berkata, beliau mendapat tekanan kiri dan kanan daripada PAS kononnya beliau menyertai Amanah.
Beliau tidak menyertai Amanah dan masih ahli PAS, tetapi katanya tekanan mula diterima sejak 2013 apabila beliau mengalahkan ketua Pemuda PAS ketika itu, Nasrudin Hassan sebagai naib yang dipertua PAS kawasan Indera Mahkota.

Sejak itu beliau dilabelkan sebagai penentang ulama dan disisihkan oleh pihak yang menguasai pucuk pimpinan PAS sekarang, iaitu golongan ulama yang menyingkirkan golongan progresif bagi menduduki majoriti jawatan tertinggi parti pada pemilihan Jun lalu.

Apabila barisan Kabinet PAS Pahang dibentuk selepas Muktamar PAS ke-61 baru-baru ini, nama Suhaimi terus ditiadakan daripada barisan kepimpinan negeri.

Beliau mendakwa pemimpin PAS memboikotnya, termasuk kedai buku dimilikinya.

Namun, Suhaimi mengambil sikap berdiam diri dan tidak menjawab sebarang serangan terhadapnya.

Beberapa hari lepas, berlaku lagi kejadian tidak disenangi membabitkan rutin bulanan beliau yang selama 3 hari dalam sebulan akan keluar dari Pahang memberikan kuliah di masjid dan surau seluruh negara.

Sejak perpecahan berlaku dalam PAS katanya, kuliah yang dijadualkan untuknya berkurangan daripada 8 kepada 3 sahaja kini.

"5 kuliah lagi bagi alasan nak susun balik, kebetulan ada ustaz lain nak masuk, dan macam macam alasan lain. Aku bersangka baik,
" tulis Suhaimi di laman Facebook miliknya.

Salah satu daripada pembatalan kuliah itu dibuat melalui telefon apabila beliau hanya dihubungi ketika sudah hampir tiba di tempat dijadualkan berceramah, sebuah masjid di Muadzam.

"Mereka kata, ustaz dah 'join' Amanah dan tak bersama PAS," kata pihak penganjur kepada Suhaimi yang menyebabkan beliau terkejut.

"Apa!!! Saya masih ahli PAS,"
Suhaimi melahirkan rasa terkejutnya melalui tulisannya di akaun media sosial itu, memecah kebisuannya selama ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Suhaimi berkata beliau tidak berhasrat untuk menyertai Amanah.

"Jika saya sertai Amanah bermakna tuduhan terhadap saya betul dan itulah yang dikehendaki pihak yang memfitnah saya," katanya.

Kebencian PAS terhadap Amanah berpunca daripada hakikat yang pemimpin parti serpihan itu dulunya rakan seangkatan pemimpin konservatif parti Islam.

Tetapi, mereka lebih progresif dan memilih untuk meneruskan kerjasama dengan bekas PAS yang kini menjadi musuh, iaitu DAP yang sekular dan PKR di bawah Pakatan Rakyat yang kini tidak lagi berfungsi.

Apabila kumpulan progresif menubuhkan Amanah, mereka dilabelkan sebagai "pengkhianat" oleh PAS, yang berikrar tidak akan bekerja sama dengan mereka lagi.

Apa yang berlaku kepada Suhaimi turut juga dialami seorang lagi pemberi kuliah, Roslan Ismail, yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Bukit Besi, Terengganu.

Katanya, pada 1 Oktober, beliau menerima surat makluman diberhentikan daripada memberi kuliah di Surau Darulsalam, Paka tempat beliau berceramah sejak puluhan tahun lalu.


Ekoran itu, pada 2 Oktober, Roslan menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Amanah, kepada naib presiden parti itu Datuk Dr Mujahid Yusof di Kuala Terengganu.

Apa yang dihadapi Suhaimi dan Roslan turut dialami ramai ahli dan bekas pemimpin PAS di seluruh negara.

Kerana perbezaan pendapat, mereka disisihkan pemegang jawatan PAS sekarang yang menang melalui kempen agresif menyerang pihak yang berbeza pendapat.

Ekoran itulah sambutan dan penyertaan ke dalam Amanah menjadi fenomena di seluruh negara. –TMI


Surat Dari Ust Suhaimi Md Saad

Surat untuk semua yg mengenali saya...

Assalamualaikum....

Buat Sahabat sahabat Surau Taman Sri Penggaram
Dariku: Ust Suhaimi Saad

Semalam (9 okt 2015) sebelum kuliah maghrib di Simpang 3, saya singgah di Surau TSP untuk solat asar berjamaah. Ada beberapa jamaah yg sedikit terkejut dengan kemunculan saya.

Kini daripada 8 kuliah di Batu Pahat kini tinggal 1 kuliah. Inilah harga yg terpaksa saya bayar atas fitnah yg dipanjangkan pada ahli PAS di Batu Pahat.

Saya ke Surau TSP bukan untuk merayu supaya saya dibenarkan kuliah. Saya ke surau TSP untuk membersih nama saya.

Sebolehnya saya nak jumpa semua yg keliru dan dikelirukan tentang diri saya. Hanyalah En Misran dan Pak Syed yg dapat mendengar penjelasan saya semalam

Prinsip saya, bila turun kekuliah bukan sekadar memberi ilmu, tapi yg terlebih penting ialah silaturrahim. Kita bukan hanya akrab dlm ruang solat, tetapi lebih jauh dari itu.

Firman Allah..
Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.
(Al-Hujurat)

Saya sedikit kecewa kerana kemelut yg melanda PAS diheret sehingga menghancurkan persaudaraan sesama kita.

Sebolehnya saya tak mahu terlibat dengan kemelut dalaman parti ini. Ianya sangat rumit. Sebab itu saya banyak diam dan tak sentuh isu ini dlm kuliah di Surau atau dimeja sembang antara kita.

Amat mengejutkan saya dituduh sudah meninggalkan PAS dan bersama Amanah.

Seharusnya tuduhan ini dirujuk pada saya. Saya masih Ahli PAS yg saya sertai sejak 1987.

Kenapa saya dituduh dan tak diberi peluang membela diri. Bukankah kita mendokong perjuangan menegakkan syariat Islam, yg mengandungi Hudud, Qisas dan Takzir. Hukum Syariat itu mengajar kita bukti adalah penting dan tertuduh mesti diberi ruang seluasnya untuk membela diri.

Jika dalam hal sekecil ini pun kita gagal menunjukkan akhlak bagai pendokong syariat.

Bagaimana utk kita dokong hukum tg lebih besar dari itu jika yg kecil ini kita gagal menurut lunas akhlak Islam

Tanyalah saya dulu. Sahkan dulu tuduhan ini.

Bukankah Allah telah berfirman...

Wahai orang orang yg beriman, jika datang pada kami satu berita yg dibawa oleh orang orang yg fasik, selidikilah dulu (tabayun) supaya kamu tak menghukum secara yg salah nanti kamu menyesal.
Al Hujuurat.

Dalam dakwah ini saya dah biasa disekat, dirampas microfhon dihalau dari masjid oleh YB UMNO tapi saya tak kecewa sebab yg buat ini adalah pendokong parti sekular. Mereka tidak berakhlak sebagaimana dasar parti mereka juga tak menekankan berakhlak Islam.

Tapi saya dihalang untuk kuliah di Batu Pahat oleh org yg mendokong perjuangan Islam yg bukan saya kenal sehari dua.

Saya ahli PAS di halang oleh orang orang PAS yg sepatutnya menjunjung akhlak Islamiah.

8hb Okt saya dah bertolak untuk ke TSP dan tatkala sampai Muadzam, saya hantar mesej saya akan sampai jam 3 utk kuliah muslimat.

Tiba tiba saya dihubungi dan di maklumkan kuliah saya di TSP di KIV. Alahai dah 2 jam saya memandu kenderaan menuju Batu Pahat. Terpaksa berpatah balik.

Saya rasa bagaikan saya dianiaya oleh ahli Parti yg saya sokong.

Suka saya jelaskan pendirian saya. Saya masih Ahli PAS walaupun sessi ini saya tak dilantik apa apa jawatan sessi (2015- 2017). Alhamdulillah saya redha sebab jawatan adalah amanah. Utk sesi ini Allah tak bebankan saya dengan amanah yg berat ini.

Walaupun tanpa jawatan, kerja dakwah mesti diteruskan. Dari dulu saya tak pernah ulas apa apa yg melibatkan kemelut parti dlm kuliah saya di mana mana surau dan masjid, sbb saya tahu yg mendengar bukan semua org PAS, ada UMNO, atas pagar dll.

Saya tak pernah menyerang, menyindir mana mana kumpulan dan mana mana pimpinan PAS dlm kuliah saya.

Saya berpendirian menyerang dalam kuliah mana mana pihak termasuk yg keluar PAS tak akan menguntungkan dakwah. Sbb depan kita dlm kuliah bukan hanya ahli PAS. Malah kita sebenarnya membuka pekung PAS dengan laungan pengkhianat, tebuk kapal, munafik haraki jika medan kuliah umum digunakan utk tujuan ini.

Akhirnya PAS di lihat, busuk dan menjijikkan


Dakwah ini adalah kewajipan org berilmu. Saya berlepas diri depan Allah jika nanti ditanya kenapa kamu tak menyampai dakwah ini. Inilah Jawapan saya..

"Ya Allah, ampunilah hambamu Ya Allah, bukan aku tak sampaikan agamamu tapi aku dihalang dari menyampaikan dakwah ini"

Lebih kecewa bila saya tahu fitnah ini datang dari agamawan dlm PAS

Atas nama agama dia tipu ahli PAS yg tak mengetahui apa apa. Agamawan seharusnya lebih berhati hati dalam menerima maklumat. Maklumat yg salah dari agamawan akan menyebabkan arang awam juga bertindak salah.

Saya tak akan maafkan org yg fitnah saya dan saya juga tak akan maafkan orang yg memanjangkan fitnah ini.

Terima kasih wahai sahabat atas apa yg kalian dah buat pada saya.

Pun begitu saya tidak sekejam orang yg menganiayai saya. Saya maafkan jika anda datang berjumpa saya. Sbb saya pun nak tahu tangan ghaib mana yang bertindak merugikan perjuangan Islam ini.

Maafkan saya atas luahan perasaan ini. Saya luahkan bukan tujuan untuk memohon berkuliah kembali. Sekadar utk membersihkan nama saya.

Tindakan terdesak ini tidak mengguntungkan dakwah dan tidak menguntungkan PAS.

Pesan saya Islam diamalkan dengan ilmu. Bukan dengan emosi dan semangat.

Pun begitu bila kita berjumpa dimana mana kita tetap bersaudara. Jangan putuskan silaturahim antara kita. Jika berpeluang saya akan terus mengunjungi surau TSP BUKAN untuk berkuliah tetapi utuk meneruskan silaturrahim antara kita yg telah terbina sekian lama

Terima kasih atas bantuan sepanjang perkenalan kita.
Selamat maju jaya buat Surau TSP.

Suhaimi Md Saad
Nom. Ahli PAS 0256874


ULASAN GB

PAS dah serupa dengan UMNO, malah dalam kes tertentu lebih teruk nampaknya. Sekat ustaz-ustaz dari memberi kuliah agama.

Dahulu, PAS marah apabila ustaz-ustaznya tak dibernarkan untuk sampaikan kuliah di amsjid-masjid dan surau-surau yang dikuasai UMNO. Kini PAS pula yang menyekat ustaz-ustaz dari mengajar di tepat-tempat yang dikatakan dihadiri oleh ahli-ahlinya. Lebih zalim dan lebih teruk, bukan saja ustaz bukan-PAS yang disekat, ustaz PAS pun disekatnya semata-mata kerana bertanding melawan pimpinan di peringkat kawasan seperti kes Ustaz Suhaimi yang melawan Nasruddin Tantawi di Temerloh dan menang seperti kisah di atas.

Kes Ustaz Suhaimi di atas baru satu. Sebelum ini sudah ada laporan beberapa orang ustaz / ulama yang kerana telah menyertai AMANAH terus dipulau dan disekat memberikan kuliah. Ustaz Ahmad Awang sendiri sudah menerima nasib itu sebelum muktamar PAS kali 61 lagi. Begitu jyga di Perlis, Ustaz Zorkharnain Abidin Al-Hafiz.

Blog ini juga pernah menyiarkan kes di Terengganu mengenai kisah anak saudara Presiden PAS, Miqdad Zakaria.

"Saya buat ini atas dasar sayang kepada rakan seagama sebab saya lihat menjadi satu kesilapan daripada segi akidah apabila ditanam seolah-olah PAS ini agama," kata Miqdad.

Rumah Miqdad hanya 200 meter saja dari Masjid Rusila dan juga rumah Hadi. Sejak sekian lama beliau adalah ahli jemaah masjid itu dan kekal hingga sekarang.

Namun Miqdad terpaksa membayar harga yang mahal dengan keputusannya menerima pelantikan sebagai ketua Amanah Marang, kawasan Parlimen yang diwakili Hadi, apabila beliau diboikot penyokong PAS di tempat tinggalnya sendiri.

"Saya akan hadapi semuanya walaupun pelbagai perkara dilakukan mereka (penyokong dan ahli PAS).

"Saya diboikot mereka, salam saya tidak berjawab, 24 surau dan masjid yang selama ini saya dijemput untuk memberikan kuliah sudah berhenti berbuat demikian," cerita Miqdad yang belajar di Universiti Al Azhar sebelum ini.

PAS menganggap hanya mereka saja yang dikatakan "jemaah Islam" dan yang berauthoriti dalam memberi kuliah agama. Apakah Ustaz Abd Ghani Shamsuddin dan Ustaz Ahmad Awang yang masing-masing merupakan Presiden dan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Bagi Rautau Asia pasifik tidak ada authoriti menyampaikan kuliah agama semata-mata kerana mereka telah menyertai AMANAH?

Sila tonton dan dengar:


Tiada ulasan: