KUALA LUMPUR, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin menyelar tindakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke Universiti Taylor bagi pengambilan seterusnya.


Beliau memaklumkan kepada The Rakyat Post bahawa keputusan berkenaan menunjukan 'penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan'.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilapor mengesahkan tanpa menyatakan sebarang sebab, keputusan untuk tidak menghantar pelajar tajaan Mara ke Universiti Taylor bagi pengambilan akan datang, dengan hanya memberitahu 'terdapat banyak sebab'.

Dalam pada itu, Yeo juga mempersoalkan samada keputusan itu ada kaitan dengan penamatan kontrak dari Wawasan Sutera Travel & Tour Sdn Bhd, syarikat operator perkhidmatan bas yang dirakam menggunakan bas mempunyai logo universiti itu ketika membawa penyokong 'Himpunan Rakyat Bersatu' pada 16 September lalu.

"Adakah ini kerana penamatan kontrak pengendali bas? Jika betul, adakah kerajaan mengorbankan pelajar-pelajar terbaik tajaan Mara atas sebab-sebab politik?

"Jika begitu, BN (Barisan Nasional) telah menjadi pembuli terbesar negara dengan mengharamkan, mengancam dan mengugut semua orang yang tidak sebulu dengan mereka," kata beliau.

Justeru itu, beliau menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan ke atas keputusan yang dibuat.

"Saya menuntut pihak kerajaan supaya menjelaskan perkara ini walaupun sudah jelas mengapa mereka melakukannya".