Ahad, 23 Ogos 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS ada kelebihan walaupun GHB ada ramai tokoh berpengaruh - Penganalisis

Posted: 23 Aug 2015 07:27 AM PDT

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic


SHAH ALAM: Gerakan Harapan Baru (GHB), parti serpihan yang diwujudkan oleh kumpulan progresif PAS, perlu berusaha lebih keras bagi menyaingi parti asalnya walaupun kebanyakan pemimpinnya terdiri daripada tokoh berpengaruh.

Penganalisis geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, sebagaimana PAS yang juga perlu meningkatkan usaha selepas kehilangan beberapa pemimpinnya, kedudukan GHB sedikit berbeza kerana parti berkenaan masih belum 'establish' (kukuh) berbanding PAS.
 
Justeru kata Mohd Fuad, penyertaan pemimpin berpengaruh ke dalam GHB tidak boleh dijadikan kayu ukur yang menentukan peningkatan sokongan ahli khususnya akar umbi terhadap parti baru berkenaan.  
 
"Parti GHB ini ada juga pengikutnya. Kerana seseorang itu menubuhkan parti politik kerana mereka yakin bahawa ada penyokong.   
 
"Kita lihat tokoh seperti Mohamad Sabu dan lain-lain, memang mereka ada pengikut. Tapi persoalannya seramai mana penyokong mereka? Adakah apabila GHB ini ditubuhkan, walaupun tokohnya hebat, mungkin mereka (pengundi) nak menilai apa harapan yang parti ini boleh beri kepada Malaysia dan parti yang dibawa itu.
 
"Tokoh hebat tapi setakat mana prestasinya. Orang nak melihat prestasi anda," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
 
Bekas Timbalan Presiden PAS yang kini merupakan Pengerusi GHB, Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa parti baru itu akan mendapat lebih banyak sokongan daripada rakyat.
 
Mat Sabu berkata, ini berdasarkan maklum balas yang luar biasa yang diterima GHB dalam beberapa siri jelajah mereka. 
 
Bagaimanapun Dr Fuad berpandangan, ahli parti mahupun pengundi akan menilai manifesto yang akan dibawa oleh GHB sebelum memutuskan untuk meninggalkan PAS dan menyokong parti baru berkenaan. 
 
"Siapa saja tokoh boleh di atas, tapi bagaimana nak menyampaikan hasrat parti baru ini kepada akar umbi. (Perlu terangkan) apa program anda, mengapa perlunya menubuhkan sebuah parti sedangkan PAS sudah mantap.
 
"Adakah hasrat anda untuk sesuatu? Adakah mahu mengubah ideologi Islam supaya boleh diterima masyarakat, atau adakah kerana mahu menjadi rakan kongsi PR menggantikan PAS?" kata beliau yang juga Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) UKM.    
  
Melihatkan kepada perbandingan situasi antara PAS dan GHB, Dr Fuad yakin bahawa PAS mempunyai sedikit kelebihan berbanding parti baru itu.
 
"Saya melihat, PR perlu memikirkan kalau GHB ini masuk bergabung dengan mereka, sejauhmana mereka memikirkan mereka boleh capai kejayaan sepertimana bersama PAS dulu, (menang) sehingga boleh bentuk kerajaan negeri.
 
"Saya merasakan kelebihan itu masih kepada PAS lagi dan status quo jumlah kerusi yang mereka menang itu masih kekal, atau mungkin bertambah. Kalau kalahpun mungkin tak banyak, di kawasan 50:50," katanya lagi.
 
 

Dana RM2.6 bilion: SPRM nafi kes ditutup

Posted: 23 Aug 2015 07:10 AM PDT

IKHWAN HAZWAN

 

NAJIB 1
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed atau SPRM tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri telah ditutup. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed atau SPRM tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri telah ditutup.

SPRM dalam kenyataannya hari ini menafikan perkara perkara tersebut dan mengulangi bahawa pihaknya hanya ada menyebut yang dana RM2.6 bilion adalah sumbangan derma daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan bukannya dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, SPRM menekankan bahawa siasatan berkenaan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion masih berjalan.

"SPRM berharap tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai dan membina persepsi negatif terhadap SPRM," kata kenyataan itu.

Pada 5 Ogos lalu, SPRM sekali lagi menegaskan bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan.

Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza.

Oleh itu, SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini telah ditutup sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB.

Pelajar Mara jangan terlibat Bersih 4.0 – Ismail Sabri

Posted: 23 Aug 2015 07:07 AM PDT

BERNAMA

 

BERSIH 3.0
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mara akan mengambil tindakan terhadap pelajar tajaannya yang didapati terlibat dalam perhimpunan itu.- Foto TRP/Bernama


KUALA PILAH, Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diingatkan supaya tidak terlibat dalam perkara bertentangan dengan undang-undang termasuk perhimpunan Bersih 4.0 yang akan dianjurkan di ibu negara pada hujung bulan ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mara akan mengambil tindakan terhadap pelajar tajaannya yang didapati terlibat dalam perhimpunan itu.

"Bentuk tindakan yang akan dikenakan bergantung dari segi akta, peraturan dan perjanjian pelajar dengan Mara.

"Oleh itu, kalau ada di antara mereka melanggar peraturan, perjanjian dan sebagainya maka mereka perlu bersedia untuk menghadapi tindakan daripada Mara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran himpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, pada 29 dan 30 Ogos ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz menegaskan, Dataran Merdeka hanya dikhaskan untuk acara-acara peringkat nasional.

Himpunan Bersih 4.0 dijadualkan bermula pada jam 2 petang 29 Ogos ini sehingga jam 11.59 malam 30 Ogos ini.

Hadi: Kosongkan kerusi jika sertai parti lain

Posted: 23 Aug 2015 07:04 AM PDT

MALAYSIAKINI





Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata anggota parlimen dan ADUN PAS yang bertindak menyertai parti lain perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata tindakan tersebut perlu kerana mereka telah berbaiah semasa menerima tawaran bertanding menjadi wakil rakyat, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Laporan itu juga menyebut Hadi berkata kini terpulang kepada maruah pemimpin itu untuk mengosongkan kerusi masing-masing seperti yang dijanjikan.

"Mengikut perlembagaan parti, keahlian mereka gugur secara automatik jika mereka menyertai parti lain.

"Terpulang kepada mereka kerana mereka maklum dan mengetahui mengenai baiah yang dibuat. Sepatutnya kena kosongkan kerusi jika sudah menyertai parti lain," katanya seperti dilapor akhbar itu.
 
Beliau mengulas beberapa pemimpin dan ahli PAS yang terlibat menubuhkan parti Islam baru yang dijangka diumumkan pada 31 Ogos depan. Dilaporkan parti Islam itu dikenali Parti Amanah Rakyat.

Dalam laporan itu juga, Hadi berkata PAS masih lagi menjadi parti yang kuat dan terus mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kumpulan profesional.

Laporan itu menyebut, Hadi berkata PAS menerima 9,000 permohonan keahlian baru tetapi buat masa ini sebanyak 6,000 yang mampu diproses dan PAS boleh bangkit menjadi parti Islam yang kukuh seterusnya mendapat sokongan dari dalam dan luar negara.

"Kita pernah menghadapi cabaran yang lebih besar, daripada ini oleh itu kita perlu sentiasa istiqamah dan yakin bahawa Islam adalah penyelesai masalah dan penyelamat," katanya.


SPRM: Siasatan dana RM2.6b masih berjalan

Posted: 23 Aug 2015 06:57 AM PDT

MALAYSIAKINI





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke akuan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataanya hari ini, SPRM berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan bagi kes tersebut telah ditutup.

"Sebagaimana pernah disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos dan 5 Ogos 2015, SPRM mengulangi bahawa SPRM hanya ada menyebut yang dana RM2.6 bilion adalah sumbangan derma daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan bukannya derma 1MDB.

"Sehubungan itu, SPRM menekankan, siasatan berkenaan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion masih berjalan.

"SPRM berharap tidak ada mana-mana phak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai dan membina persepsi negatif kepada SPRM," kenyataan itu dipetik.

Dalam mesyuarat perwakilan Umno Bandar Tun Razak pada 8 Ogos, Najib mendakwa bahawa SPRM membersihkan diri beliau daripada dikaitkan dengan dana RM2.6 bilion itu.


Hamid: Tegas siasatan telus 1MDB punca ditukar

Posted: 23 Aug 2015 06:55 AM PDT

MALAYSIAKINI





Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador berkata, antara sebab beliau ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) mungkin disebabkan kelantangannya meminta supaya siasatan telus dilakukan terhadap isu 1MDB.

Katanya, antara kemungkinan lain menjadi faktor beliau ditukar selepas 37 tahun berkhidmat di bahagian cawangan khas itu kerana beliau tidak mahu melaksanakan "agenda tertentu".

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut maksud "agenda tertentu" itu.

"Mereka mungkin meragui taat setia saya untuk laksana agenda tertentu. Saya (bersikap) profesional dan apa yang saya siasat, itulah hasil siasatan.

"Kami tidak akan tukar laporan menjadi sebaliknya. Kita akan beritahu perkara yang sebenar, mungkin mereka tak suka dan mahu dengar sesuatu yang indah. Nak syok sendiri.

"Mungkin juga (saya ditukar) kerana saya kerap kata supaya lakukan siasatan 1MDB dengan telus," katanya pada sidang medianya hari ini.

Pertukaran Abdul Hamid merupakan perubahan terkini yang berlaku dalam Cawangan Khas selepas Datuk Mohamad Fuzi Harun menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat selaku pengarah cawangan khas.

Mengulas mengenai pertukarannya, Abdul Hamid berkata beliau dipanggil berjumpa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi di Bukit Aman, dua minggu sebelum surat pertukaran dikeluarkan.

Dalam pertemuan itu, Abdul Hamid berkata beliau diberi dua pilihan sama ada ditukarkan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau JPM.

Pilihan itu dibuat selepas pertemuan Zahid dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Abdul Hamid lagi.

"Saya dipanggil masuk dan dia sampaikan bahawa perdana menteri beri saya dua pilihan sama ada ditukarkan ke MKN atau JPM.

"Saya tergamam dan terkejut. Saya termenung sejenak. Berat betul hukuman saya terima sampai kena keluar dari PDRM, saya berkata dalam hati.

"Macam seolah-olah saya lakukan dosa besar dan tak boleh diampunkan sampai kena dijinak di luar PDRM," katanya lagi.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata beliau masih belum lagi memutuskan sama ada akan melapor diri di JPM pada 17 September depan kerana jawatan timbalan pengarah isu-isu keselamatan dan transnasional yang ditawarkan belum tersedia.

"Yang hairannya jawatan yang ditawarkan kepada saya itu belum lagi tersedia dan pihak JPM masih lagi berbincang dengan JPA," katanya lagi.


Tahan pegawai SPRM tindakan jijik, hina

Posted: 23 Aug 2015 05:26 AM PDT

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


DAMANSARA - Bekas‎ Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador  menyifatkan tindakan menahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai perbuatan jijik dan hina.
 
Bekas pemimpin nombor dua di Cawangan Khas itu berkata, tindakan itu dilihat sebagai tidak melihat kepada semangat undang-undang.
 
"Sepatutnya guna pendekatan lain sepetti memanggil mereka memberikan keterangan sahaja bukannya menangkap mereka. 
 
"Mereka adalah pegawai kerajaan yang berintegriti, bukan samseng bukan pengamal ajaran sesat," katanya ketika ditemui pemberita hari ini. 
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan polis yang melakukan siasatan kepada pegawai SPRM yang sedang menyiasat kebocoran maklumat syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Wall Streel Journal (WSJ).
 
Jelasnya, tindakan sedemikian akan menakutkan lagi pegawai-pegawai kerajaan melakukan tugas

Bekas Timbalan Pengarah SB tampil dedah 4 perkara

Posted: 23 Aug 2015 05:24 AM PDT


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
 
 
Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador


DAMANSARA - ‎[DIKEMASKINI] Bekas‎ Timbalan Pengarah Cawangan‎ Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri hari ini tampil mendedahkan empat perkara kepada umum.
 
Abdul berkata empat perkara itu adalah mengenai peranan dan tanggungjawab beliau dalam Cawangan Khas; pertukaran beliau ke JPM; tekanan penjawat awam terhadap pihak atasan dan nadi rakyat.
 
"Hari ini saya tampil menjelaskan mengenai empat perkara ini demi rakyat Malaysia.
 
"Tiada niat saya untuk popular atau untuk mengkhianati sesiapa," katanya kepada media di Kota Damansara, hari ini.
 
Mengulas mengenai perananya dalam unit tersebut, Abdul berkata, pelbagai tohmahan dan kata nista dikatakan mengenai Cawangan Khas tetapi beliau tetap menganggap ia sebagai satu badan yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas memelihara negara.
 
"Yang pertama yang hendak saya sebut ialah tentang Cawangan Khas banyak telah diperkatakan mengenainya dan banyak pernah dipersendakan dengan pelbagai nama sebelum ini, oleh mereka yang nakal. Ada yang kata kami ini semua bohong, ada yang baik kata semua betul ada yang nakal panggil siput babi, macam-macam akronim mereka bagikan tetapi selepas 36 tahun lebih saya dalam Cawangan Khas.‎
 
"...yakinlah kesemua yang mendengar penjelasan saya pada pagi ini, Cawangan Khas adalah sebuah organisasi yang amat bertanggungjawab, menjalankan kerja dengan penuh amanah, dedikasi tanpa takut malahan ramai pegawai-pegawai yang menjalankan tanggungjawab, sebelum ini. Unit ini adalah sebuah organisasi yang dianggotai oleh semua kaum dan bukan badan risikan yang dimonopoli oleh kaum Melayu sahaja. 
 
"Unit ini dianggotai oleh segenap lapisan kaum, masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama, latar belakang sama ada anak orang kaya atau miskin, berdasarkan kepada merit, dan juga berdasarkan siasatan ke atas latar belakang mereka, ini berani saya cakap.
 
"Sejak penubuhan atau diberikan nama sebagai SB pada tahun 1952 sehingga ke hari ini lebih kurang 63 tahun unit ini dijalankan peranannya untuk mengutip risikan daripada bawah diangkat ke atas dianalisa di peringkat atas, pertengahan selepas itu diangkat dijadikan laporan, dan laporan-laporan inilah akan disampaikan kepada pucuk pimpinan.
 
"Ia dirangkumkan  dalam bentuk amaran, teguran, nasihat cadangan diangkat ke atas, tetapi risikan oleh Cawangan Khas ini akan ditapis, diadun ,disuling edit, akan dibanding dengan maklumat dan sumber-sumber lain, menentukan kesahihan dan ketepatannya, bukan maklumat kualiti rendah atau palsu," katanya.
 
Sementara mengulas mengenai misteri perpindahan beliau ke JPM beliau berkata perkara itu sudah lama kedengaran.
 
"Sementara misteri mengenai perpindahan saya, desas-desus mengenai akan berlaku dalam pucuk pimpinan unit sudah lama kedengaran, kami mendapat maklumat-maklumat bahawa ada pihak yang tidak menyukai kepimpinan yang sedia ada, atas sebab apa saya tidak tahulah, mengapa? Saya dijadikan 'alat' dalam perkara ini, sedangkan saya tidak ada membuat apa-apa tindakan yang salah.
 
"Saya hanyalah seorang pegawai kerajaan yang hanya mengutamakan pelaksanaan tanggungjawab saya, rezeki pangkat saya ataupun jawatan saya itu tidak menjadi perkiraan didalam diri saya, tidak pernah saya, mengatakan saya yang akan mengantikan Pengarah SB, tidak! Tidak meletakkan matlamat saya, untuk jadi pengarah tetapi ada pihak meragui dan tidak menyukai wajah saya ke? Ataupun peranan saya disitu...jadi baru-baru ini keluar perintah ditamatkan. Perkhidmatan kontrak dengan serta- merta.
 
"Dalam pada itu keluarlah cerita, nombor dua akan dikeluarkan sebab ada kuasa halimunan tidak mahu saya kesitu, Alhamdulillah saya kata, saya dengan penuh kesabaran kalau mereka berkata begituinilah rahmat, saya tidak menjadi sebahagian institusi digunakan seterusnya untuk berbuat atau menggunakan tindakan ikut kehendak kuasa halimunan tadi.
 
"Sebagai saya seorang insan biasa, tidak lihat kepada jawatan dan pangkat itu sebagai rezeki, saya turut melihat pada kesihatan saya penting.
 
"Dalam hal ini saya tidak dinamakan dikekalkan dalam jawatan itu sebagai rahmat yang ALLAH berikan. Sedikit saya tidak sedih, saya terima dengan terbuka dan kosongkan pejabat saya.
 
"Saya terima sekarang selepas ini saya akan tunggu selepas 17 haribulan perintah pertukaran saya, beri tempoh saya sampai satu bulan untuk saya lapor diri kepada PM, yang menghairankan saya apabila saya tanya pihak JPM adalah jawatan itu belum sedia lagi, masih hendak berbincang dengan pihak JPA, Ya ALLAH kalau dah ada jabatan itu dalam cuti ini saya sanggup pergi saya batalkan cuti saya, saya laporan diri, jawatan pun tiada lagi jadi? Kalaulah ini satu pengiktirafan mintak maaf Ketua IGP saya tidak anggap begitulah.
 
"Kalau JPA  tidak tahu, saya tunggu saya lapor atau tidak sebelum 17 saya sekarang saya cuti, saya hendak kosongkan pejabat untuk puaskan nafsu halimunan ini, takut sangat saya duduk disitu, saya okay, saya tidak sempat salam, ramai anak buah saya yang tidak tahu saya sudah kluar dari bukit aman, apabila keluar perintah, mereka tidak tahu.
 
"Satu masa saya akan jumpa, tiada emosi tiada marah, Apa yang saya cakap itulah kebenaran, saya harap apa yang keluar dari mulut saya kebenaran," katanya.
 
Manakala ketika mengulas mengenai tekanan penjawat awam dalam menjalankan tugas Abdul berkata tekanan banyak dihadapi oleh pegawai kerajaan dalam bidang pengutkuasaan.
 
"Saya tidak terbabit langsung dalam menangkap pegawai SPRM atau lain-lain sewaktu saya sebagai Timbalan Pengarah SB.
 
"Jadi bila berlaku titik hitam ini tindakan maha luar biasa ke atas pegawai SPRM ini saya rasa amat terpanggil untuk beri penjalesan komen, perkara ini sebenarnya menjijikan atas alasan apapun kita mesti lihat semangat undang-undang yang telus.
 
"Kenapa kuasa tangkap harus digunakan pegawai SPRM yang berintegriti tinggi bukan penjenayah bukan samseng dan ajaran sesat dan bukan IS mereka pegawai SPRM kenapa tangkap mereka? 
 
"Selepas keluar kenyataan untuk takutkan pegawai ini perlakuan jijik dan hina kenapa keluarkan amaran ini  malaysia negara maju Kenapa ugut?
 
‎"Saya seru kepada mereka yang ada kuasa di Putrajaya jangan gunakan taktik sebegini untuk takutkan pegawai kerajaan, pegawai kerajaan taat kenapa  mereka ditakutkan, khusus bidang penguatkuasaan‎," katanya.
 
Manakala menyentuh mengenai nadi rakyat, Abdul berkata ada mesaj yang hendak disampaikan terutama sekali kepada 'orang atasan'‎. 
 
"Saya nak sampaikan mesej di Putrajaya. Mereka yang punya ijazah tinggi melangit, bidang pengurusan universiti ternama, mereka yang ada kuasa politik di Putrajaya saya seru bukalah mata, buka telinga, jangan pekakkan telinga.  
 
"Buang 'denial syndrom'. Ni adalah faktanya. Rakyat gelisah, rakyat keliru, tertekan dibawah. Segenap lapisan tanpa kira kaum, agama, umur, profession, wilayah. Sama ada di Tawau atau di Kuala Perlis. Rakyat gelisah, marah dengan apa yang berlaku sekarang," ujarnya.
 
 

Switzerland belum hubungi 1MDB

Posted: 23 Aug 2015 05:18 AM PDT

SINAR HARIAN



1MDB
1Malaysia Development Berhad
 
 
KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini berkata, syarikat itu belum dihubungi oleh pihak berkuasa Switzerland.

Bagaimanapun, syarikat itu bersedia membantu dalam sebarang penyiasatan jika diminta, tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia, kata 1MDB. 

[ARTIKEL BERKAITAN: Mungkinkah Amerika siasat 1MDB?]
 
"Kami komited untuk bekerjasama penuh dengan semua pihak berkuasa yang sah, yang sedang menyiasat 1MDB," kata syarikat itu menerusi satu kenyataan hari ini sebagai mengulas laporan media bahawa Pejabat Peguam Negara Switzerland sudah membuka siasatan berkaitan 1MDB.   - Bernama
 
 

91 AJK Pas Gelang Patah letak jawatan

Posted: 23 Aug 2015 05:17 AM PDT

91 AJK Pas Gelang Patah letak jawatan
Dzulkefly (duduk, tengah) bersama AJK Pas Kawasan Gelang Patah pada sidang media perletakan jawatan mereka, tengahari tadi. - Foto Sinar Harian
 
 
JOHOR BAHRU - Seramai 91 ahli jawatankuasa yang memegang pelbagai jawatan dalam Pas Kawasan Gelang Patah meletak jawatan masing-masing berkuatkuasa hari ini bagi menyertai parti baru yang bakal dilancar 31 Ogos ini.
 
Seramai 16 daripada 32 AJK Pas kawasan berkenaan menghantar surat peletakan jawatan mereka termasuk Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah, Dzulkefly Ahmad, Naib YDP Kawasan, Isnin Hassan dan Setiausaha, Musa Abdul Wahab.
 
Manakala seramai 17 daripada 22 AJK Dewan Pemuda kawasan turut meletak jawatan termasuk Ketua Pemuda, Mohd Azam Mektar dan tujuh daripada 15 AJK Dewan Muslimat kawasan turut mengambil langkah sama termasuk Naib Ketuanya, Khadijah Abdul Ghani.
 
Selain itu 51 ajk daripada sembilan cawangan pas kawasan berkenaan turut meletak jawatan termasuk empat ketua cawangan.
 
Dzulkefly Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Harapan Baharu Johor berkata, mereka masih kekal sebagai ahli Pas sehingga parti baru ditubuhkan pada 31 Ogos ini dan tujuan perletakan jawatan itu bagi memastikan penyerahan kuasa kepada ajk baru berjalan dengan baik.
 
Katanya, lebih ramai AJK Pas dari kawasan lain di negeri ini dijangka mengambil tindakan sama bagi menyertai parti baru berkenaan dan memberi fokus memperjuangkan hak rakyat menggunakan pendekatan berbeza dan menepati syariat Islam.
 
 

Bekas bos SB dakwa saksi SRC disorok

Posted: 23 Aug 2015 05:14 AM PDT

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


DAMANSARA - Salah seorang saksi yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dipercayai disembunyikan ke beberapa negara.

Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman (SB), Datuk Abdul Hamid Bador mendakwa, individu berkenaan melarikan diri ke Indonesia terlebih dahulu sebelum ke Thailand.

"Kini dipercayai berada di New Zealand.

Ada usaha (supaya) saksi menyembunyikan diri dengan bantuan kuasa-kuasa tertentu," katanya ketika ditemui media hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM panggil tiga individu termasuk Jho Low]

Semalam, SPRM mengkehendaki tiga individu iaitu, Pengarah Urusan dan Pengarah SRC International, masing-masing ialah Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin serta ahli perniagaan Low Taek Jho atau 'Jho Low' bagi membantu siasatan berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd yang bersangkut dengan syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti yang digunakan mereka ini hari ini.

"Tunggu...jika perlu saya dedahkan lagi," katanya.

Mengulas mengenai syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau berkata, SB juga ada melakukan  siasatan berkenaan perjalanan syarikat itu.

"Siasatan SB bukan untuk mendakwa, tetapi hanyalah sebagai input dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk meneruskan siasatan," katanya.

Abdul Hamid  yang bertugas dengan Polis Diraja Malaysia hampir 37 tahun itu telah ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 17 Ogos lalu dan perlu melaporkan diri dalam tempoh sebulan.


Homestay JKKK Sungai Haji Dorani perkenalkan kampung kepada pelawat.

Posted: 22 Aug 2015 11:43 PM PDT





Oleh : Awang Saribu.

SUNGAI BESAR ( Selangor ) – Selepas penubuhannya kira-kira enam tahun lalu, kini Homestay JKKK Kampong Sungai Haji Dorani boleh berbangga kerana matlamat penubuhannya telah tercapai dan turut menarik minat kalangan penduduknya menubuhkan homestay atau inap desa masing-masing.

Pada masa ini terdapat tujuh pengusaha homestay telah wujud dan beroperasi di kampung itu dan berjaya mengatasi kekurangan rumah penginapan pelawat dari luar daerah yang ingin menginap di kampung berkenaan atau di kampung-kampung berhampiran , bagi tujuan lawatan atau ziarah sanak saudara dan kenduri kendara.

Ketua Kampong Sungai Haji Dorani yang juga selaku penasihat kepada Homestay JKKK, Encik Mat Ismail Basir berkata penubuhan homestay dibawah kelolaan Biro Pelancongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung  (JKKK) bermula dengan kehadhiran sebuah rombongan pengantin dari negeri Utara Malaysia ke kampungnya pada masa dulu.

" Mereka datang ke kampung kami dengan sebuah bas kerana  menghantar rombongan pengantin ke sini. Oleh kerana masalah tertentu, mereka tidak dapat menginap di resort yang ada di kampung ini, kemudian  meminta kerjasama JKKK untuk membenarkan mereka ' menginap ' di Balai Khidmat JKKK.

Pelawat dari kalangan murid sekolah sedang mandi berkubang di taliar sekundar kawasan perairan Mini Estet Padi Kampong Sungai Haji Dorani

" Menyedari kesulitan  dihadapi oleh rombongan pengantin tersebut yang terpaksa menginap di Balai Khidmat JKKK dengan tidak ada kemudahan dan kelengkapan tidur, pihak JKKK telah mengambil daya usaha menubuhkan homestay yang dikenali dengan Homestay JKKK, " katanya.

Menurut beliau, penubuhan dan pengelolaannya telah diserah kepada Ketua Biro Pelancongan yang juga selaku Penyelia Homestay JKKK , Haji Ab.Jalil Ambot, seorang pengasas dan bekas pemimpin belia MAYC kampung tersebut yang mempunyai berpengalaman dalam bidang pelancongan.

 
Penyelia Homestay JKKK, Haji Ab.Jalil ( kanan ) , memberikan penerangan kepada seorang ketua rombongan pelawat yang datang ke Kampong Sungai Haji Dorani.  

Atas usaha gigih beliau, ujar Encik Mat Ismail, rumah-rumah penduduk yang besar tetapi penghuninya hanya didiami oleh kalangan ibu tunggal atau  suami isteri sahaja, telah didaftarkan sebagai rumah Homestay  JKKK.

Aktiviti jalan malam di kawasan sawah padi menjadi pilihan pelawat yang mengikuti pakej lawatan dan bermalam. 

Selain itu , beberapa orang pengusaha  makanan yang ada di kampung itu juga telah diberikan galakan dan bimbingan oleh beliau untuk dijadikan sebagai tempat-tempat  lawatan para pelawat yang datang . Ini termasuk juga memperkenalkan kepada pelawat kawasan pertanian ' Mini Estet Padi ' ,  Pantai Sungai Haji Dorani dan juga pasar petang yang diadakan pada setiap hari di kampungnya.

Beliau menjelaskan lagi, Homestay JKKK ditubuhkan tidak semata-mata bermatlamatkan kepada keuntungan kewangan kepada JKKK sahaja, malah lebih kepada usaha membantu kejayaan dan memperkenalkan perusahaan makanan tempatan kepada pelawat  luar .

" Tidak secara langsung juga Homestay JKKK berjaya membuka peluang kepada penduduk terlibat untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan dari penggunaan rumah kediaman mereka atau menyediakan makanan kepada pelawat.

Aktiviti melawat kampung dengan menaiki ' gerabak motor ' menjadi kegemaran ramai pelawat Homestay JKKK.

" Selain itu, ia juga turut berperanan memperkenalkan daerah Sabak Bernam kepada umum dengan membawa pelawat ke tempat-tempat terpilih di daerah ini . Seperti Muzium Pertanian dan Perikanan,  Mini Muzium Wak Surgi , tempat bersejarah dan rekreasi serta perusahaan-perusahaan  makanan di kampung-kampung lain . " tambah beliau.

 
Aktiviti naik sampan di dalam parit sawah

Katanya, untuk tujuan  tersebut Homestay JKKK telah mewujudkan beberapa jenis pakej lawatan kepada pelawat yang datang berkunjung. Di antaranya ialah pakej lawatan sehari, pakej lawatan dua hari atau tiga hari dan bermalam, pakej Hari Keluarga , pakej membeli belah perusahaan IKS , pakej rekreasi di pantai, pakej kajian ( ekonomi dan kebudayaan penduduk ) dan juga  pakej makan minum  mengikut selera kampung.

" Semua jenis pakej lawatan terbuka kepada orang ramai terdiri daripada kalangan pelajar sekolah dan penuntut pengajian tinggi, kelab atau persatuan, jabatan kerajaan dan orang perseorangan/ keluarga  ," katanya.

Berehat sambil mencari kerang di Pantai Sungai Haji Dorani.
  
Menurut beliau, orang ramai boleh mendapat maklumat lengkap Homestay JKKK dengan melayari  http://homestayjkkk.blogspot.com/atau terus menghubungi penyelianya di talian 019-911 4470.


 

GHB cuba pancing Mat Said

Posted: 22 Aug 2015 08:09 PM PDT

Bernama melaporkan Mat Sabu mengalu-alukan lebih ramai menyertai GHB termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.


ahmad-said,gbh


PETALING JAYA: Gerakan Harapan Baru (GHB) mengakui sedang berusaha untuk menarik bekas Menteri Besar Terengganu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengesahan itu dibuat pengerusinya Mohamad Sabu.

Jelasnya, GHB mengambil pendekatan untuk mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai parti politik yang akan dibentuknya.

Bagaimanapun menegaskan akan sedia menentang sesiapa sahaja yang melawan mereka.

"Kami hanya akan bermusuh dengan lawan kami…siapa yang lawan (GHB)," katanya yang dipetik daripada Bernama.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian selepas pelancaran GHB Terengganu di Dataran Shahbandar pada malam Sabtu.

Dalam majlis itu, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad diumum sebagai Pengerusi GHB negeri.



Sekat Berita Palsu Facebook, Twitter, Google di Malaysia! Saranan Salleh Said Keruak Arah SKMM Bertindak!

Posted: 22 Aug 2015 08:07 PM PDT


Berita Google Facebook Twitter


Sekat Berita Palsu Facebook, Twitter, Google di Malaysia! Saranan Salleh Said Keruak Arah SKMM Bertindak!

Mungkin Mark Zuckerberg, Larry Page, Sergey Brin hanya mampu tersenyum sinis melihatkan saranan terbaru daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak apabila memberikan arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya pergi berjumpa dengan orang-orang atas yang mengendalikan laman sosial yang cukup berpengaruh di dunia seperti Facebook, Twitter dan tidak lupa juga penyedia enjin carian Google supaya sekat berita palsu di Malaysia.


Masakan tidak, sedangkan negara besar seperti China, Iran pun mereka tidak kisah dan ambil peduli inikan pula permintaan dari Malaysia? Bukanlah menidakkan permintaan Malaysia untuk cuba meletakkan pelbagai peraturan sana sini ketika rakyat malaysia menggunapakai Internet. Tetapi biarlah ada logik sikit…
  • WSJ kata ada RM700 juta bersamaan RM2.6 billion masuk akaun – Fakta atau auta?
  • Dakwaan Rosmah Mansor ada RM2 juta di Affin Bank – Fakta atau auta?
    1MDB ada hutang RM42 billion – Fakta atau auta?
Jadi mahu beritahu apa kepada Facebook Twitter Google? Jangan paparkan dakwaan di atas?

Untuk pengetahuan Menteri yang baru naik merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia ini, platform sosial seperti Twitter sama sekali tidak sekat ISIS, agak-agak permintaan supaya segala dakwaan yang berlegar ke atas diri Perdana Menteri Najib Razak di laman sosial hari ini disekat akan dilayan mereka?

 

Facebook, Twitter, Google Sekat Berita Palsu di Malaysia? Realiti atau Fantasi?

  • Jumpa Google untuk apa? Supaya rakyat Malaysia tidak boleh Google berkaitan berita WSJ terhadap skandal RM2.6 bilion?
  • Jumpa Facebook untuk apa? Minta tambah fungsi block comment yang ada perkataan "undur" atau "letak jawatan"
P/S : Tahniah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak apabila berjaya dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia. Sememangnya Datuk Seri Najib Razak memerlukan menteri yang cukup setia pada waktu sekarang ini. Antara cerdik atau setia, Datuk Seri Najib Razak lebih memilih setia.


Tinjauan: Derma parti kena uar-uarkan

Posted: 22 Aug 2015 07:58 PM PDT

MALAYSIAKINI





Ada ahli akar umbi Umno berpendapat, tindakan memasukkan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi presiden mereka bukan sesuatu yang wajar.

Jika transaksi itu masih diperlukan, kata seorang veteran Umno Kuala Nerus, ia sepatutnya diuar-uarkan kepada beberapa pihak.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Pak Syed, 75, juga berkata penerangan secara berterusan ke pihak bawahan juga penting bagi memastikan semua ahli jelas denga segala perkara berlaku.

"Secara terus terang, mereka (akar umbi) tak setuju dengan masukkan wang ke akaun peribadi.
"Tetapi kalau masukkan pun, biar beberapa orang lain juga tahu. Jika tidak, ia seolah-olah hak peribadi. Saya memang rasa tindakan (masuk duit ke akaun peribadi) itu tak tepat. Sepatutnya tak perlu begitu.

"(Tapi) penerangan juga penting dan kena turun ke akar umbi dan beri penerangan sejelas-jelasnya," kata beliau yang menganggotai Umno lebih dari 50 tahun.

Selain itu, menyentuh mengenai masalah dalaman yang melanda Umno ketika ini, beliau berkata sikap taat pada ketua perlu diamalkan.

Katanya, setiap masalah juga perlu diselesaikan secara diplomasi dan bukan dengan menentang antara satu sama lain.

"Kita ahli-ahli ini sepatutnya bersama di belakang ketua.

"Kita tak kata ketua kita betul 100 peratus, tetapi cara penyelesaian itu bukan dengan membelakang, menentang atau mendedahkan.

"Sepatutnya secara rundingan dalaman dan diplomasi," katanya lagi.

Percaya kebijaksanaan PM

Bagi ketua Umno cawangan Kampung Telaga Daing, Wan Hamzah Wan Yusof (gambar atas), walaupun sebelum ini terdapat akar Umno yang tidak berpuas hati berhubung dakwaan wang derma disalurkan ke akaun peribadi Najib, beliau menyerahkan perkara itu pada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

"Pada asalnya sebahagian tidak berpuas hati tapi dengan ada penjelasan, sedikit sebanyak kita serahkan pada kebijaksanaan pucuk pimpinan dan Najib untuk buat yang terbaik untuk rakyat.

"Mungkin dia ada agenda yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Perwakilan Wanita Umno Normazlira Zakaria (kanan) pula berkata, walaupun meragui penyaluran RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri itu, namun beliau berfikiran positif dan yakin Najib mempunyai misinya tersendiri.

"Mula-mula difikirkan memang ada keraguan, tetapi sebab saya berfikiran positif, mungkin Najib ada dia punya visi dan misi masing-masing," katanya.

Bekas Panglima ATM Tan Sri Mohd Sany Meninggal Dunia

Posted: 22 Aug 2015 07:48 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menunaikan solat jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Sany Abdul Ghaffar di Masjid Khalid Al Walid pada Sabtu. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (empat, kanan) dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tiga, kanan). Foto BERNAMA
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Mohd Sany Abdul Ghaffar, 86, meninggal dunia pada Sabtu di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah jantung.
Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada kira-kira pukul 2.20 petang.
 
"Saya juga berharap keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini," katanya kepada Bernama di Masjid Khalid al-Walid di sini, Sabtu. 

Zulkifeli menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar buat negara kerana arwah merupakan perwira yang sangat jitu sepanjang memegang tampuk kepimpinan ATM.

"Saya berasa sedih di atas kehilangan arwah dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya di samping memohon agar arwah ditempatkan bersama para solihin yang lain.

"Saya juga berharap keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini," katanya kepada Bernama di Masjid Khalid al-Walid di sini, Sabtu.

Zulkifeli berkata, bukan sahaja ATM kehilangan seorang pahlawan yang banyak mencurahkan jasa kepada tentera, malah negara juga turut terkesan atas pemergian Allahyarham dalam menentukan kedaulatan dan keselamatan tanah air.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berangkat menziarah jenazah Allahyarham di Masjid Khalid al-Walid pada pukul 4.41 petang.

Baginda turut menunaikan solat jenazah yang diadakan selepas solat asar bersama anggota warga ATM dan para jemaah lain di masjid berkenaan.

Sementara itu Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menganggap Allahyarham sebagai seorang ikon kerana merupakan antara pemimpin ATM yang membentuk ketumbukan ketenteraan negara yang mantap.

"Arwah merupakan seorang yang kuat pendirian selain mempunyai personaliti yang kukuh ketika menerajui ATM," katanya sambil menambah arwah sanggup mengenepikan segala onak dan duri sepanjang memimpin ATM bagi menentang ancaman komunis.

Allahyarham mula berkhidmat pada 19 September 1949 dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan mula menerajui ATM mulai 1 Disember 1977 hingga bersara pada 19 Januari 1981.

Mohd Sany dilahirkan pada 19 Jan 1929 di Selayang, Selangor. Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Normah Mahmud dan lima orang anak.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Umno dilihat lemah kerana anggota pentingkan diri

Posted: 22 Aug 2015 07:46 PM PDT

SINAR HARIAN



 Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
 
 
KUALA SELANGOR - Umno dilihat lemah hari ini bukan kerana permainan pembangkang tetapi kerana adanya anggota yang mementingkan jawatan dan kedudukan serta pelbagai lagi yang lebih kepada kepentingan diri sendiri. 
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, hanya kerana segelintir anggotanya yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan matlamat parti itu, Umno kini berhadapan dengan krisis. 
 
"Malah ada di kalangan anggota yang sanggup menjahanamkan parti Umno itu sendiri yang bersikap seperti anai-anai serta gunting dalam lipatan, yang tidak sudah-sudah mengadu domba," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini. 
 
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun.
 
Tambah Tengku Adnan, anggota Umno sepatutnya seorang yang bersatu dan setia kepada presiden serta berani melawan setiap tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas presiden.
 
"Anggota Umno juga perlu bersatu dalam apa jua keadaan serta bersedia berkhidmat bukan hanya untuk kelompok kita sahaja, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.  
 
Dalam ucapannya, Tengku Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan turut menekankan betapa pentingnya untuk Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan berganding bahu, kerana kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain.
 
"Kalau Umno Selangor kuat, Umno Wilayah pun akan kuat dan begitulah sebaliknya. Saya yakin kita mampu lakukan yang lebih baik. Jangan kita putus asa kerana Umno tidak pernah berputus asa dalam berjuang," katanya.  – Bernama
 
 

Saranan tutup aurat kena dengan perlembagaan Umno

Posted: 22 Aug 2015 07:42 PM PDT

Saranan tutup aurat kena dengan perlembagaan Umno
Foto ahli Puteri Umno ini yang viral.
 
 
SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, saranan Puteri Umno Bahagian Sungai Siput agar penampilan atau pemakaian Puteri Umno haruslah bercirikan Islam adalah selaras dengan perlembagaan Umno.
 
Katanya, secara prinsipnya beliau bersetuju dengan saranan itu kerana dalam perlembagaan Umno sendiri telah menggariskan peruntukan bahawa perjuangan Umno untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
 
"Ini bukan sahaja soal etika berpakaian bahkan dari sudut perwatakan, dan saya kira saranan itu bukan bererti hendak menghukum semua Puteri tidak berciri berpakaian muslimah atau tidak saya rasa dia tidak bermaksud sedemikian.
 
"Cuma sebagai satu nasihat dan muhasabah supaya ia kena dengan perlembagaan Umno itu sendiri,  kita hendak membawa perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara jadi kita tunjuk contoh kepada masyarakat pada umat Islam kita bukan sahaja memperjuangkan agama bahkan dalam kehidupan kita sendiri kita melaksanakan agama," katanya.
 
Dalam pada itu, Fathul menggesa agar Puteri Umno menyambut saranan itu dan mengikut saranan tersebut.
 
"Nasihat yang sangat baik...ia perlu diikut," katanya.
 
Sebelum ini dalam Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Sungai Siput baru-baru ini, salah seorang ahlinya mencadangkan agar Puteri Umno berpakaian seperti 'seorang muslimah sebenar'.
 
 Terdahulu, gambar seorang ahli Puteri Umno Bahagian Sungai Siput menjadi viral selepas beliau didakwa menyeru ahli Puteri bertudung

Perintah berkurung di perairan Esszone dilanjut

Posted: 22 Aug 2015 07:39 PM PDT

KESELAMATAN



Sabah
Sabah
 
 
KOTA KINABALU - Perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah, melibatkan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), dilanjutkan bagi fasa ke-26 bermula semalam hingga 6 September dari 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya  Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata perintah berkurung dari jarak tiga batu nautika dari pantai itu dilanjutkan kerana kawasan berkenaan masih diancam penjenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf untuk melakukan jenayah.

"(Pelanjutan perintah berkurung ini juga untuk) menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan seperti pelancong dan rakyat Sabah di dataran Esszone," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jalaluddin perintah berkurung berkenaan juga dilanjutkan bagi memudahkan penguatkuasaan, memudahkan memantau segala pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan selain menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Katanya pihak keselamatan juga memutuskan untuk melanjutkan perintah berkurung berkenaan kerana ia mendapat kerjasama daripada pengusaha chalet dan masyarakat yang terlibat dalam aktiviti perikanan bagi menjamin keselamatan perairan serta pulau-pulau di kawasan sempadan.

Jalaluddin berkata, kuasa telah diberi kepada semua ketua polis daerah  Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau lain-lain aktiviti laluan mendesak.  - Bernama
 
 

1MDB: Khairuddin buat laporan

Posted: 22 Aug 2015 07:38 PM PDT

Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan
 
 
SHAH ALAM – Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melangkah lebih jauh apabila membuat laporan polis ke atas syarikat Petrosaudi International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Balai Polis Chairing Cross, London.
 
Khairuddin memaklumkan perkara itu menerusi laman Facebooknya semalam, bahawa laporan itu dibuat berdasarkan dakwaan pengubahan  wang haram yang melibatkan syarikat tersebut.
 
"Laporan polis ini adalah berkisar kepada pengubahan wang haram di antara syarikat Petrosaudi International dan 1MDB untuk disiasat oleh The Proactive Money Laundering Investigative Team.
 
"Polis Metropolitan London juga telah menghubungi peguam saya Matthias Chang dan berikrar untuk memberi kerjasama dalam melaksanakan penyiasatan aktiviti pengubahan wang haram rentas sempadan ini secara komprehensif serta telus," katanya.
 
Beliau turut menegaskan tindakannya menggunakan proses undang-undang antarabangsa bertujuan membolehkan siasat terperinci dilakukan terhadap syarikat milik kerajaan itu.
 
"Ini dana kerajaan yang juga wang  rakyat selaku pembayar cukai di tanah air kita.  Ini adalah maruah negara yang mesti disiasat oleh badan-badan penguat kuasa undang-undang mahupun kewangan secara terperinci.
 
"Sepatutnya kerajaan kita menyiasat kes ini secara telus dan saksama dan sesiapa saja yang terlibat dengan jenayah ini harus dibawa ke muka pengadilan tanpa pilih kasih," katanya.
 
Katanya undang-undang tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak termasuk pemimpin negara.
 
Disember tahun lalu, Khairuddin mengejutkan ramai pihak apabila beliau satu-satunya pemimpin Umno  yang membuat laporan polis terhadap 1MDB.
 
Bulan lalu, Khairuddin turut membuat laporan kepada polis Perancis mengenai 1MDB, dan tiga hari lalu beliau turut membuat laporan sama kepada Peguam Negara Switzerland.
 
Kontroversi 1MDB mendapat perhatian ramai termasuk media antarabangsa apabila syarikat itu dikatakan menanggung beban hutang sebanyak RM42 bilion.
 
 

Jho Low Sedia Bantu SPRM

Posted: 22 Aug 2015 07:27 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Jho Low.
 
 
KUALA LUMPUR: Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malahysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan SRC International Sdn. Bhd, menurut jurucakap ahli perniagaan itu, malam Sabtu.

Jurucakap itu dalam satu kenyataan berkata bahawa wakil Low akan menghubungi SPRM untuk mengetahui bagaimana beliau dapat membantu.

Dalam kenyataan satu perenggan, jurucakap itu berkata: "Low telah melihat laporan akhbar bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuannya.

Ini kali pertama Low menyedari wujudnya permintaan seperti itu. Beliau belum menerima atau diberikan sebarang notis.

"Wakil Low akan menghubungi SPRM untuk mengetahui bagaimana beliau dapat membantu," kata kenyataan itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; Pengarahnya, Datuk Suboh Md Yassin dan Low perlu menghubungi SPRM dengan segera untuk membantu siasatan berkaitan SRC International.

Beliau juga berkata, mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya dan juga dikehendaki menghubungi para pegawai SPRM.

Tun M Kesal Undang-Undang Kini 'Terbalik'

Posted: 22 Aug 2015 07:23 PM PDT


Oleh: THE STAR 
 
 




KAMPAR: Demokrasi adalah lebih dari sekadar kebebasan bersuara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang kesal terhadap undang-undang yang kini telah 'terbalik'.

"Jika ada yang menyiasat telah ditahan, dan mereka yang disiasat boleh memberikan arahan, jadi terbaliklah.

"Sepatutnya adakan siasatan, kenapa hentikan (mereka)?," katanya kepada pemberita yang merujuk kepada siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang sedang berjalan.

Beliau hadir menjadi tetamu kehormat pada majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini Sabtu, yang turut menyaksikan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menerima ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Perubatan) sebagai menghargai sumbangan dan kepimpinannya dalam bidang kesihatan awam, sains perubatan dan pengetahuan serta kaedah menghindari kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pada 10 Ogos lalu, Dr Mahathir menyebut dalam blognya, chedet.cc bahawa demokrasi di negara ini telah 'mati' kerana pemimpin yang dipilih memilih untuk menggulingkan institusi kerajaan dan membuatkan jadi alat untuk beliau mengekalkan kedudukannya.

Ditanya sekali lagi mengenai komennya berhubung kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBNBC), Tan Sri Shahrir Samad bahawa beliau (Dr Mahathir) tidak lagi relevan, bekas perdana menteri itu berkata, "minta dia untuk tunggu dan lihat."

"Beliau sepatutnya baca komen-komen yang dibuat oleh rakyat, bukan daripada akhbar mereka sendiri kerana akhbar mereka diarahkan untuk memuji kerajaan.

"Saya tidak beritahu mereka untuk apa yang dikatakan. Beliau hanya perlu melihat komen-komen mereka," kata Dr Mahathir.

Lebih 500 Pulau Dalam Negara Tidak Dinamakan

Posted: 22 Aug 2015 07:21 PM PDT


Pulau Burung adalah sebuah pulau tidak berpenghuni di Port Dickson. foto UU BAN/The Star
 
 
KERAJAAN negeri diarahkan supaya menamakan dan mewartakan pulau tidak berpenghuni selain terumbu karang dan kepulauan di bawah bidang kuasa mereka dengan segera.

Mereka juga diminta supaya meletakkan batu sempadan atau penanda sempadan untuk mewujudkan pemilikan dan mengelakkan kemungkinan berlaku pencerobohan warga asing.

Ini berikutan status 535 daripada 879 kepulauan yang terletak di perairan Malaysia masih tidak diketahui.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu pensijilan dilakukan supaya Malaysia boleh menuntut kawasan perairan dan sumber ekonomi di wilayah tersebut.

Arahan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri itu terkandung di dalam 'Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Fizikal Pulau dan Taman Laut' - versi arahan yang lebih ketat diperkenalkan pada 1996.

Arahan itu dikeluarkan bertujuan untuk melindungi hidupan marin dan ekosistem dalam persekitaran yang mudah terjejas.

Garis panduan yang disemak semula itu juga diwujudkan untuk menangani kesan perubahan iklim dan kenaikan paras laut, meningkatkan ancaman terhadap kawasan pantai dan perlindungan habitat semula jadi.

Pada 12 April 2011, Timbalan Menteri SUmber Asli dan Alam Sekitar pada ketika itu, Tan Sri Joseph Kurup, dilaporkan sebagai berkata, semua pulau yang tidak mempunyai nama di Malaysia akan diwartakan pada Jun 2011.

Namun, proses pewartaan itu tidak berlaku.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Arpah Abdul Razak berkata garis panduan baharu yang komprehensif, diluluskan Kabinet dan Majlis Kebangsaan untuk Kerajaan Tempatan, khususnya menjelaskan peruntukan kerajaan negeri perlu dipatuhi apabila membangunkan kawasan alam sekitar yang sensitif.

"Garis panduan yang disemak semula itu antara lain menyentuh kepadatan sebuah pulau, aktiviti yang dibenarkan dan larangan, piawaian perancangan minimum bagi semua jenis pembangunan, peruntukan melindungi alam sekitar, flora dan fauna serta biodoiversiti," katanya dalam satu salinan garis panduan yang diperolehi The Star.

Pulau-pulau di Malaysia dibahagikan kepada empat kategori - pembangunan, resort, taman laut dan tidak berpenghuni.

Menurut garis panduan tersebut, rekod Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Pusat Hidrografi Kebangsaan menunjukkan terdapat 879 pulau di dalam negara ini.

Daripada jumlah tersebut, 418 terletak di Semenanjung Malaysia.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak dapat mengesahkan status 42 daripada 67 pulau di Johor dan semua 34 pulau di perairan Kelantan.

Status mengenai 67 pulau di Sarawak dan 392 di Sabah juga masih samar.

Walapun garis panduan yang disemak semula itu hanya terpakai di Semenanjung dan Labuan, Sabah dan Sarawak juga digalakkan untuk mengguna pakai garis panduan tersebut.

Malaysia terpaksa membawa kes Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) selepas Indonesia menuntut hak terhadap pulau tersebut.

Pada 2002, ICJ mengeluarkan keputusan yang memihak kepada Malaysia.

Namun, Malaysia tewas dalam hak tuntutan terhadap Pulau Batu Putih kepada Singapura

KEADILAN seru rakyat sertai Bersih 4, selamatkan Malaysia

Posted: 22 Aug 2015 07:13 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : KEADILAN menyeru rakyat bangkit menyuarakan bantahan dan menentang penindasan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menyertai perhimpunan aman Bersih 4 pada hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, faktor terpenting dalam usaha menyelamatkan Malaysia ialah kehendak rakyat yang kuat untuk keluar daripada krisis yang berlaku.

"Ada pihak yang berkata Malaysia bakal menjadi 'negara gagal' jika tidak diselamatkan. Namun pada masa yang sama ada pihak berkepentingan bertungkus-lumus berusaha menggagalkan proses menyelamatkan Malaysia.

Wawi lagi"Faktor terpenting dalam usaha ini ialah kemahuan dan kemarahan rakyat. Adakah kita mahu terus hidup di dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu?

"Adakah kita mahu anak cucu kita terus hidup ditindas dan dibelenggu pelbagai masalah yang kita hadapi hari ini?" soal Wan Azizah dalam kenyataan.

Sambung Ketua Pembangkang itu, senario politik kini semakin membimbangkan dengan pelbagai skandal terpalit ketika Malaysia bakal menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-58 dan Hari Malaysia ke-52.

"Kenaikan harga barang akibat GST yang membebankan, merudumnya nilai mata wang ringgit, hilangnya kepercayaan pelabur dalam dan luar negara, serta rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi.

"Pelbagai insiden juga telah berlaku termasuk rombakan, pemecatan, dan tangkapan individu-individu yang terlibat di dalam siasatan isu 1MDB dan dakwaan 'derma' RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang terkini didakwa telah dikeluarkan sepenuhnya.

"Tidakkah kita impikan dan idamkan sebuah Malaysia yang lebih adil, yang lebih sejahtera, yang lebih stabil, yang lebih baik untuk kita semua?

"Masanya kini tiba untuk rakyat Malaysia menyuarakan kemarahan dan kemahuan agar Malaysia diselamatkan," kata Adun Kajang itu sambil menyeru orang ramai menyertai himpunan itu pada 29 dan 30 Ogos ini.

Perhimpunan tersebut bakal berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Demi anak cucu kita, demi nusa dan bangsa, demi rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama bangkit dan turut serta dalam perhimpunan aman Bersih 4, ayuh selamatkan Malaysia!" seru Wan Azizah.

Kaji semula perjanjian air Malaysia- Singapura

Posted: 22 Aug 2015 07:12 PM PDT

KEADILAN DAILY


JOHOR- KEADILAN Johor menggesa kerajaan negeri dan persekutuan mengkaji semula perjanjian air Malaysia- Singapura 1962 yang disifatkan sebagai berat sebelah, kata Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau merujuk kenyataan Exco Kerja Raya, Kemajuan Bandar dan Wilayah, Datuk Hasni Mohamad yang menyatakan kerajaan negeri komited untuk membekalkan 250 juta gelen air mentah bersamaan 1.125 bilion liter sehari ke republik itu.

Jimmy berkata, perjanjian itu seharusnya dikaji semula memandangkan paras air di Johor kini semakin kritikal

"Bukan sahaja paras air di Sungai Johor turun malah paras air di Sungai Lebam, Kota Tinggi serta Sungai Layang dan Sungai Linggiu telah jatuh ke satu tahap yang kritikal," katanya dalam kenyataan media.

Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk di bahagian timur Johor Bahru, Masai, Pasir Gudang dan Kota Tinggi kini terpaksa menghadapi catuan bekalan air berjadual.

Di kawasan berkenaan, katanya, bekalan air putus setiap dua hari dan hanya akan disambung semula sehari kemudian.

"Ini bermakna dalam satu minggu, penduduk yang terlibat hanya akan mempunyai akses bekalan air sebanyak 2 hari sahaja," ujarnya.

Menurutnya, adalah sukar untuk diterima apabila kerajaan BN lebih mengutamakan bekalan air ke Singapura dengan kos 3 sen bagi seribu gelen yang dibayar kepada Johor.

Beliau meminta penjelasan kerajaan mengapa perjanjian air yang hanya akan tamat pada 2016 itu tidak mengandungi sebarang klausa yang membenarkan pengagntungan bekalan air ke Singapura sekiranya paras air di Johor turun ke tahap kritikal.

"Sudahlah tarif air Johor baru sahaja dinaikan 25 peratus, bukan sahaja tiada peningkatan mutu air, sebaliknya akses air pula diganggu.

"Kami khuatir keadaan sebegini mungkin akan berulang pada masa depan sekiranya tiada pengkajian semula perjanjian air tersebut," tegasnya yang mengingatkan kerajaan tidak menjadi seperti pepatah Melayu 'Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.

Tiada ulasan: