Rabu, 5 Ogos 2015

.

.


Kenapa polis kacau SPRM?

Posted: 05 Aug 2015 03:06 AM PDT

ULASAN

Tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengelidah ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyiasat beberapa orang pegawai tingginya berjam-jam memunculkan satu senario dan sejarah baharu dalam negara ini.

Tindakan PDRM itu yang dibawah kawalan menterinya Ahmad Zahid Hamidi, yang baharu dilantik menjadi TPM memberi persepsi busuk terhadap negara ini, bahawa badan bebas (SPRM) itu kini seolah-olah bukan bebas lagi atau pun cuba dimonitor mengikut pihak berkuasa.

Dalam hubungan itu juga orang melihat Zahid Hamidi telah memainkan peranan sewajarnya sesuai dengan "ghanimah" yang diperolehinya.  Zahid dianggap menjadi alat yang baik.

Sejarah ini bakal menjadi sebutan dan iktibar dimasa hadapan kerana sejak negara merdeka dan kewujudan badan berkenaan, (SPRM dulu Biro Siasatan Negara kemudian Badan Pencegah Rasuah (BPR) inilah baru ia berhadapan dengan satu keadaan tertekan, memalukan dan menyebabkan integriti badan itu sendiri rosak. Tindakan polis yang membuat serbuan dan siasatan seakan mencorengkan arang ke muka SPRM.

Ia bermula dengan penahanan bekas penasihat SPRM, Rashpal Singh yang kemudian diikuti dengan penahanan dan siasatan ke atas Pegawai Pendakwanya, Ahmad Sazalee Abdul Khairi yang dilakukan beberapa jam.

Penangkapan itu diperluaskan lagi dengan siasatan terhadap Pengarah Operasi Khas Bahrin Mohamed Zin, dimana Bahri bukan sahaja terkejut dengan penahanan beliau itu tetapi disifatkan sebagai satu perbuatan "gila".  Bahri menyalahkan ada pihak lain yang mengarah polis.

Selain Bahri, Pengarah Forensi SPRM, IG Chandra juga menerima nasib sama. Dan terbaharu timbalan pengarah Operasi Khas, Tan Kang Sai juga disiasat sama. Penahanan Kang Sai menjadikan pegawai SPRM ketujuh yang ditahan dan disisat polis.

Memang seperti kata Bahrin tindakan polis menyiasat para pegawai SPRM itu sebagai satu tindakan gila. Tindakan polis itu akan diterjemahkan umum sebagai satu tindakan terdesak oleh pihak tertentu yang menggunakan kuasa polis bagi menyelamatkan dirinya. Tindakan itu juga menyebabkan ia akan dilihat bahawa SPRM seolah-olah menjadi musuh baru kepada Perdana Menteri yang waktu ini menghadapi krisis keyakinan yang teruk.

Dalam pada itu hari ini dibayangkan pula dua orang penting SPRM termasuk Pengerusinya Abu Kassim Mohamed dan timbalannya Mohd Sukri Abdull diminta bercuti. Arahan itu sudah tentu bagi membolehkan polis terus mengelidah dan menyiasat pegawai SPRM tanpa ada had dan batasnya.

SPRM diserang dan dilanggar polis ekoran badan itu menyiasat berhubung salah laku dana 1MDB yang dikaitan dengan Najib Razak.

Adalah satu yang amat aneh, pegawai SPRM dari badan bebas dan telus diberi tanggungjawab membenteras rasuah dan penyelewengan tetapi ditekan oleh polis. Tindakan untuk meminta kedua orang penting itu bercuti, tepat seperti mana disifatkan oleh sebuah portal berita ia sebagai untuk melumpukan siasatan SPRM ke atas syarikat SRC International Sdn Bhd berhubung dengan dana RM42 billion yang dikaitkan dengan Najib.

Sehingga kini sudah tujuh pegawai dan pengarah SPRM disiasat oleh polis.

SPRM sendiri tertekan dengan tindakan polis itu dimana ia boleh menjejaskan reputasi dan maruah badan berkenaan yang dianggap sebagai bebas. Tindakan kakitan badan itu yang mengadakan solat hajat menjelaskan apa yang sedang berlaku kini, bahawa kakitangan SPRM kini benar-benar dalam keadaan tertekan.

Upacara solat hajat itu bolehlah disifatkan sebagai badan itu mencari kekuatan spiritual untuk meneruskan tugas dan amanah yang dibebankan ke atas mereka selepas mereka meragui atau hilang kepercayaan kepada ketelusan kerajaan ke atas mereka. Upacara itu juga memberi gambaran mereka tidak lagi berharap kepada kerajaan membantu mereka, maka mereka terpaksa menyerahkan kebijaksanaan dan perlindungan daripada Yang Maha Esa.

Apakan SPRM selepas akan diam daripada terus melaksnakaan tugas dan tanggungjawabnya? Inilah yang merisaukan rakyat. Sekiranya SPRM mengambil sikap menarik brek dan membiarkan apa yang berlaku mengikut kehendak individu tertentu dalam kerajaan badan itu akan hilang kreadibiliti dan wajar kalau Najib berfikir untuk membubarkannya. Tidak ada guna lagi SPRM wujud kalau ia sekadar untuk dijadikan lambang ketelusan dan keberanian.

Tidak ada guna badan itu wujud sedang tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepada mereka yang dibentuk oleh kuasa rakyat (Parlimen), tidak dapat berfungsi dengan baik dan "diceduk" tengah jalan. Kita percaya kakitangan SPRM juga tertekan dan malu dengan apa yang menimpa agensi berkenaan.

Bagaiman pun sekiranya kakitangan SPRM, bermula dari Pengerusi, timbalan pengerusi dan pengarah serta pegawainya tetap berpegang kepada piagam perkhidmatan mereka, akur kepada sumpah dan janji perkhdimatan, mungkin negara akan dapat menyaksikan atau mencatat sejarah bagaimana SPRM mencatat rekod sebagai sebuah badan yang menyelamatkan Malaysia dari musnah kerana kerakusan kuasa pemerintah.

Dan atas ketegasan dan keberanian itu kelak sudah pasti SPRM akan disanjung sebagai sebuah badan penyelamat nasib negara ia dianggap lebih berjasa daripada polis. 

Justeru adalah wajar dirasakan kalau semua rakyat Malaysia memberi sokongan moral kepada SPRM dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.  Jika perlu mungkin satu perarakan rakyat diadakan sebagai menyokong atas keberanian dan kebertanggungjawsab SPRM tanpa mengira bulu.

Tepat sekali saranan dan pertegasan MB Selangor Azmin Ali, tindakan polis menahan dan menyiasat pegawai SPRM itu sebagai menganggu tugas SPRM seperti mana disebut dibawah  Sekeyen 48 Akta SPRM. [wm.kl. 5:52 05/08/15]

Surat bual dengan Dr Mahathir Mohamad

Posted: 04 Aug 2015 06:59 PM PDT

SURAT TERBUKA

Ybhg Tun Dr Mahathir Mohamad,
Yayasan Perdana,
Putrajaya, Sepang
Wilayah Persekutuan.

Assalamualaikum wbh wbt.

Saya tidak tahu persis ketika ini apa yang sedang Tun lakukan. Apakah sedang melakukan senaman ringan atau pun mengambil sarapan pagi, sedang itu cuba mengarapkan idea untuk sebuah tulisan dalam blog daripada nota-nota yang dicatat hujung lewat malam tadi.

Yang pastinya Tun tetap kekal dan cekal dengan kerja rutin harian. Kecergasan Tun dapat dilihat daripada butir cakap, penulisan dan kenyataan-kenyataan akhabar Tun yang penuh sinikal. Kalau Tun uzur dan kurang sihat badan, tertanda apabila blog Tun tidak dikemaskinikan dan tidak ada kenyataan akhbar dan majlis-majlis sosial dan politik yang hadiri.


Tun surat yang saya namakan "Berbual Dengan Tun Mahathir" ini, tidak membawa maksud besar dan gah daripada apa yang tersarang diminda Tun mengenai masa depan negara. Sebagai seorang negarawan Tun terus berfikir dan memerahkan otak macam mana untuk memajukan negara, bangsa dan agama. Semua kita terikat dengan tanggungjawab itu yang teramanah ke atas batu jelama kita semua. Nampaknya Tun rajin dan istiqamah dalam berusaha membangunkan negara meskipun sudah tidak mempunyai kuasa eksekutif siasah, hampir 20 tahun lampau.

Istilah pensiun langsung tidak ada dalam kamus Tun demi bangsa dan negara. Saya percaya komitmen Tun kepada nasib bangsa dan negara jauh lebih tinggi dan besar daripada orang lain. Tun akan berhenti bercakap soal negara bangsa apabila paku terakhir terpacak di keranda Tun. Maaf.

Inilah watak dan saksiah seorang yang "budiman" wajar dipuji dan dibanggakan. Tun bekerja untuk negara bangsa tanpa pamrih tetapi ada kalanya kerja-kerja Tun songsang kalak juga. Itu perkara biasa, bak kata orang 'gading mana tidak retak, bumi mana tidak ditimpa hujan'. Tun adalah mahhluk baharu yang tidak terelak dari melakukan kesilapan.

Saya memahami juga dengan kritikan bertubi-tubi Tun kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, ianya dibuat adalah demi negara. Kerana Tun melihat apa dilakukan Datuk Seri Najib boleh merosakkan negara dan menjejaskan imej dan maruah negara serta mencarikkan legasi yang dibina oleh Tun. Tun telah menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang Tun sendiri lantik kerana Tun Abdullah dilihat gagal dan tidak mampu meneruskan kesenimbungan Tun membena negara. Tun seakan tidak mempercayai kepada kemampuan dan kehambaan Tun Abdullah dalam membangun negara dan bangsa.

Walaupun ada perkara lain yang agak personal kenapa Tun marahkan Tun Abdullah, tetapi itulah yang dijaja dan dijual kepada umum, kenapa Tun tidak senang dengan Tun Abdullah. Persepsi awam meletakkan cemuhan Tun kepada Tun Abdullah kerana kelemahan Tun Abdullah tanpa sedikit pun orang menyalahkan kepada sikap ego Tun yang berasa cerdik sepanjang masa.

Jadi tiada pilihan lain, Tun berkerja siang malam dan seolah-olah melupai yang Tun Abdullah naik kerana jaminan dan restu Tun juga. Dalam proses Tun hendak menjatuhkan Tun Abdullah saya melihat satu tindakan yang bertentangan dengan sikap dan fiil Tun sebenarnya. Tun bukan sahaja melakukan tindakan secara fizikal, mengkritik dan tidak memberi sokongan tetapi menekan jiwa Tun Abdullah dengan bertindak keluar dari UMNO bersama Toh Siti Hasmah sekali. Tindakan ini adalah paling parah.

Tindakan Tun itu semata-mata kerana tidak senang Tun kepada Tun Abdullah. Kerana selepas itu apabila Datuk Seri Najib mengambil alih kepimpinan Tun dengan senang hati dan "bergumbira" pula Tun telah kembali semula ke dalam UMNO. Demikian sekali sinisnya Tun kepada Tun Abdullah.

Orang melihat musim panas Tun dengan pentadbiran Datuk Seri Najib akan sampai ke petang membawa ke malam. Tetapi rupa-rupanya tidak, berlaku hujan ribut di tengah hari. Tun melalui hubungan putih hitam, kelat masam dengan Datuk Seri Najib. Hanya beberapa waktu sahaja Tun dapat bersenang, berbulan madu dengan Datuk Seri Najib. Penyakit yang menimpa Tun semasa Tun Abdullah jadi PM, turut menimpa ke atas Datuk Seri Najib. Tun mula mengkritik Datuk Seri Najib dan turut memberi tekanan jiwa ke atasnya pertama kali apabila Tun menarik sokongan kepada Datuk Seri Najib.

Ada alasan besar dan konkrit kenapa Tun mengkritik Datuk Seri Najib. Ia berpunca daripada kesalahan dan salah lakukan Datuk Seri Najib dalam mengurus negara. Penyalahgunaan kuasa sebagai perdana menteri dilakukan oleh Datuk Seri Najib adalah faktor besar kenapa Tun tidak senang dengan Datuk Seri Najib. Ini termasuklah isu kerugian (hilang) wang 1MDB serta isu-isu lain termasuknya juga ulah dan sikap isteri Datuk Seri Najib yang menjolok mata Tun serta pembunuhan Altantuya.

Tun mungkin mengira kritikan dan serangan terhadap Datuk Seri Najib akan mencapai kemenangan seperti mana Tun lakukan kepada Tun Abdullah. Saya ada terdengar Tun memberi kata dua kepada Datuk Seri Najib, tetapi Datuk Seri Najib tidak mempedulikannya. Pendeknya telah habis usaha Tun untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib kunonya demi negara dan bangsa, tetapi hampa.

Datuk Seri Najib tidak sedia berundur dan melepaskan jawatan kepada Tan Sri Muhyiddin seperti mana Tun sarankan. Istidraj sebaliknya berlaku bila mana Tan Sri Muhyiddin terpaksa meninggalkan panggung di Putrajaya dan hidup tanpa jawatan apabila Datuk Seri Najib menyingikirnya sebagai timbalan perdana menteri 28 Julai lalu. Ia barangkali mengejutkan Tun dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin itu adalah suatu tragedi yang tidak terbaca oleh Tun. Tun di checkmate oleh Datuk Seri Najib.

Tun kena bertanggungjawab atas nasib malang yang menimpa Tan Sri Muhyiddin. Saya percaya kalau bukan kerana nasihat dan formula berstrategi yang dibentang oleh Tun, Tan Sri Muhyiddin tidak akan memberanikan diri menyerang Datuk Seri Najib secara terbuka. Sokongan Tun di belakanglah menyebabkan Tan Sri Muhyiddin berani.

Hari ini, atau tepat pada Selasa lalu riwayat Tan Sri Muhyddin di Putrajaya sudah berakhir. Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin oleh Datuk Seri Najib lebih drastik daripada apa yang Tun lakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim 17 tahun lalu. Apakah Tun pernah terfikir yang Datuk Seri Najib akan menciplat strategi Tun?

Kalau iya, ternyata Datuk Seri Najib lebih berani dan kemah tindakannya bagi menjamin keadaan huruhara yang pernah dihadapi Tun pada tahun 1998 hingga 2006 itu tidak berlaku. Di sini tampaknya Datuk Seri Najib yang dilihat manja tidak mempunyai "nekad politik" lebih berjaya daripada Tun. Siapa menyangka, cempedak dah jadi nangka.

Kenapa saya berkata Datuk Seri Najib lebih berjaya, kerana tindakan diambil memecat timbalan presiden itu tidak mewujudkan suasana sepertimana dialami Tun sebelum ini. Tan Sri Muhyiddin tampaknya tidak mahu berbuat apa-apa dan reda dengan apa yang berlaku. Di samping itu juga beliau memberi jaminan akan tetap setia bersama parti. Bagi Tan Sri Muhyiddin beliau mengambil tindakan itu kerana faham dengan kapasiti yang ada kepadanya.

Beliau tidak mempunyai pengaruh yang besar dan meluas dalam Umno untuk bangkit menentang Datuk Seri Najib seperti mana Datuk Seri Anwar bangkit menerusi reformasi menentang dan mengasak Tun. Kelemahan itu menjadikan Tan Sri Muhyiddin mengambil sikap tawaqus dengan keadaan dan tidak melakukan sesuatu. Bagi saya nasib Tan Sri Muhyddin, walaupun beliau menunjukkan kesetiaan kepada parti tetapi dia sudah finish.

Peluangnya untuk menduduki kembali jawatan itu sudah tidak ada harapan lagi. Datuk Seri Najib sudah mengepong Tan Sri Muhyiddin dengan seluruh panglima perangnya. Tertakdir beliau dapat mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan UMNO tahun 2018 atau 2019, (yang pasti akan diadakan selepas pilihan raya umum, dan Datuk Seri Najib masih menjadi PM), apakah Datuk Seri Najib akan melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalannya? Ke mana Datuk Seri Najib hendak tohok Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi? Datuk Dr Ahmad Zahid adalah seorang kawan yang setiakawan, begitulah kata Datuk Seri Najib.

Dari congakan politik saya kerjaya politik Tan Sri Muhyiddin secara tertib dalam UMNO sudah pun habis.

Mengira itu, apakah Tun tidak akan berbuat sesuatu untuk Tan Sri Muhyiddin dan juga sebagai mencapai cita-cita Tun yang dianggap sebagai perjuangan belum berakhir, sebelum tutup mata. Apakah Tun akan mengangkat bendera putih kepada Datuk Seri Najib Razak? Saya tidak fikir begitu apabila mengenali dan membaca sejarah perjuangan Dr Mahathir Mohamad.

Saya ada cadangan untuk tidak menjadikan Tun "mati kutu" dengan apa yang berlaku ini. Cadangan ini mungkin tidak munasabah dan amat mustahil untuk dilakukan. Tetapi dengan mengambil kira filsafah dalam politik itu tidak ada sesuatu yang mustahil Tun boleh melakukannya. Lagi pun "keagahan" Datuk Seri Najib yang bermaharajalela dalam negara ini perlu dibendung. Amukan negara yang menggunakan kuasanya dengan rakus harus dihentikan. Laksana Sultan Melaka yang berdepan dengan amukan Jebat, maka Tuah yang disembunyikan harus dibawa ke muka.

Bagi kejayaan ini saya cadangkan Tun berkolobrasi dengan Datuk Seri Anwar untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Saya lihat kekuatan yang ada kepada Tun menerusi UMNO tidak cukup untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib. Saya setuju dalam hal ini dengan pandangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa Tun tidak mempunyai kekuatan (power) untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Sebelum ini Tun merancang dan mencadangkan agar Datuk Seri Najib dijatuhkan menerusi komplot undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib di parlimen.

Saya yakin hasrat dan cita-cita Tun untuk selamatkan Malaysia daripada terus diganyang dan digasak oleh Datuk Seri Najib dengan pelbagai salah laku penyelewengan dan perbuatan rendah moral, tidak akan berjaya kalau Tun tidak berkolobrasi dengan Datuk Seri Anwar. Tun perlu melihat kembali kepada kejayaan dan pencapaian Tun selama ini bukankah kerana berkerjasama atau Datuk Seri Anwar yang menjadi timbalan Tun?

UMNO berada dipuncak semasa Tun menjadi Presiden yang berkolobrasi dengan Datuk Seri Anwar menjadi timbalan presiden. Ketika itu UMNO dan BN benar-benar menjadi sebuah kerajaan yang hebat dan dapat menyumbangkan kemakmuran kepada negara. Tidak mungkin kalau Tun tidak berkolorbrasi dengan Datuk Seri Anwar Tun mencapai kedudukan itu dan UMNO sendiri berada dalam keadaan mantap dan dihormati.

Pengaruh Datuk Seri Anwar masih ada. Walaupun beliau ketika ini dikurung tetapi semangat juangnya, masih dihayati oleh para penyokongnya. Penyokongnya bukan sedikit. Kelebihan yang ada kepada Datuk Seri Anwar ini dapat dihidu oleh Datuk Seri Najib Razak sebab itulah Datuk Seri Najib sedia melantik Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya. Perlantikan itu adalah penumpangan pengaruh Datuk Seri Ahmad Zahid oleh Datuk Seri Najib bukan kerana Datuk Seri Zahid memiliki keistimewaan dan kehandalan sebagai seorang pemimpin.

Percayalah Tun, Datuk Seri Najib tidak dapat dijatuhkan dari dalam UMNO. Dia akan berjaya dijatuhkan dari luar UMNO. Mekanisme tindakan dari luar UMNO ialah Tun perlu berkolobrasi dengan pembangkang dan menggunakan tunggul-tunggul pengaruh dan kekuatan yang dimilik Datuk Seri Anwar Ibrhaim. Disaat Jebat mengamuk, bawalah pulang Tuah ke dalam gelanggang, nescaya negeri ini kembali aman.

Hanya dengan cara itu sahaja Tun akan dapat memberesi kerja-kerja Tun sekiranya di dalam hati Tun kini keadaan Datuk Seri Najib sudah amat teruk dan tidak berfaedah lagi.

Sekian wasalam.
Salam hormat
MOHD SAYUTI OMAR.
[wm.kl.9:38 am 05/08/15]

Kerajaan Kelantan disaman syarikat dari Korea

Posted: 04 Aug 2015 05:22 AM PDT

LAPORAN LEWAT

Khabarnya kerajaan Kelantan berhadapan dengan saman oleh sebuah syarikat kontraktor dari Korea ekoran pembatalan perjanjian membina Lebuh Raya Rakyat Kelantan (LRRK) yang ditanda tangani oleh kerajaan Kelantan dengan syarikat berkenaan tiga tahun lalu.
Plak menandakan perasmian projeki LRRK.

Permulaan bicara saman itu dikatakan sudah bermula apabila mahkamah telah memanggil kedua-dua pihak untuk urusan perbicaraan.

Beberapa orang termasuk mereka yang terlibat dalam pemberian projek pembinaan projek itu juga telah disapina untuk menjadi saksi.

Kontrakator dari Korea itu sebelum ini diberi kebenaran untuk membina LRRK sepanjang kira-kira 60 km dari Kota Bharu - Machang.

Satu masa syarikat berkenaan telah pun memula kerja-kerja awal membersih kawasan dan jentera pembinaan juga sudah dibawa masuk ke kawasan. Projek itu telah pun diletak batu asas oleh bekas MB Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada28 Mei 2012 dalam satu majlis penuh meriah di Kampung Mek Nab Machang Kelantan.

Bagaimana pun apabila berlaku pertukaran MB, pembinaan lebuh raya itu diambil alih oleh kerajaan yang menawarkan kepada syarikat lain yang dikuasai oleh kerajaan Kelantan. Khabarnya syarikat yang ditawar itu juga tidak berkemampuan menyebabkan kerajaan negeri telah menyerahkan pembinaanya kepada Kerajaan Persekutuan.

Apabila projek itu diambil alih oleh kerajaan negeri, syarikat dari Korea itu tidak menjadi masalah untuk melepaskan projek berkenaan asalnya ianya dilakukan mengikut terma yang ditetapkan. Bagaimana pun pihak kerajaan Kelantan menerusi Exco bertanggungjawab memberi jaminan kepada MB tindakan membatalkan kontrak dengan syarikat Korea itu tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu kerajaan negeri pimpinan Ahmad Yaakob dan Mohd Amar Nik Abdullah diberi nasihat supaya menyelesaikan penamatan kontrak itu dengan baik untuk mengelakkan tindakan mahkamah dan perkara tidak diingini berbangkit.

Bagaimana pun kerajaan Kelantan dikatakan degil, enggan menyelesaikan masalah itu secara rundingan kerana yakin pihaknya berada di pihak yang benar.

Kesan dari kedegilan untuk tidak berunding itu menyebabkan syarikat dari Korea itu mengambil tindakan mahkamah menyaman kerajaan Kelantan menuntut ganji rugi.

Mungkin kalau kerajaan negeri sedia berunding dan menyelesaikan cara baik, kes berkenaan tidak sampai ke mahkamah. Saman oleh syarikat Korea itu bolehlah dianggap kerana kedegilan pihak kerajaan Kelantan. [wm.kl.8:30 pm 04/08/15]

Tiada ulasan: