KUALA LUMPUR -Memasuki usia ketiga penganjurannya, ternyata Anugerah Lawak Warna 2015 (ALW) terus komited dalam memartabatkan genre komedi dan para pemainnya bagi membuktikan bahawa komedi juga tidak seharusnya dipandang enteng.


Bagi memastikan penganjuran anugerah berkenaan terus dipandang tinggi dan tidak diperlekehkan, Astro selaku penyiar rasmi dan penganjur mahu telus dalam pemilihan calon yang benar-benar layak ke peringkat akhir.

Namun, sesuatu yang menarik perhatian pada sidang media pengumuman finalis ALW 2015 baru-baru ini apabila hampir kesemua program televisyen, drama serta telefilem yang tercalon adalah karya yang pernah ditayangkan di Astro.

Justeru, persoalan yang timbul apakah Astro lebih mementingkan produk yang ditayangkan di stesen mereka berbanding stesen televisyen lain walaupun mereka membuka penyertaan itu kepada semua pihak tanpa prejudis?

Ketika diajukan pertanyaan tersebut kepada Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Mohd. Kamal dalam sidang media itu, beliau menafikan perkara itu kerana pihaknya tidak meletakkan sebarang syarat untuk menyertai ALW 2015.

Akan tetapi, kata Emarina, setiap produk yang dihantar untuk pencalonan perlu menepati kriteria yang telah ditetapkan dari awal penganjuran ALW iaitu kandungan komedi dalam setiap karya perlulah melebihi 65 peratus.

"Kami tidak menafikan tahun ini pihak kami menerima banyak pencalonan daripada semua stesen televisyen dan kami akui kualiti penerbitan mereka juga berada pada tahap membanggakan.

"Tetapi, selepas pihak juri membuat penilaian, sebahagian besarnya tidak menepati kriteria seperti mana yang telah kami tetapkan lalu membuatkan kami harus benar-benar telus dan memilih karya yang benar-benar layak sahaja," ujarnya lagi.

Tambah Emarina, tempoh kelayakan bagi memilih karya yang layak untuk dipertandingkan dalam ALW 2015 adalah dari 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015.

Dalam sidang media itu juga, Astro turut mengumumkan pemilihan Datuk AC Mizal yang masih kekal sebagai pengacara ALW untuk tahun ketiga.

M4 (1)
AC Mizal dan Sherry Al Hadad diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab sebagai 
pengacara Anugerah Lawak Warna 2015 selain Zulin Aziz yang tidak dapat 
menghadirkan diri pada sidang media yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Selepas bergandingan dengan Neelofa pada tahun 2013 dan tahun lepas pula bersama aktres sensasi, Nabila Huda, kali ini, AC Mizal mendapat pasangan baru apabila akan digandingkan dengan dua pengacara yang semakin meningkat naik iaitu Sherry Al Hadad dan Zulin Aziz.

Menjawab persoalan pihak media berhubung pemilihan tiga selebriti itu sebagai pengacara ALW tahun ini, Emarina menjelaskan mereka mempunyai alasan tersendiri.

"Kami melihat prestasi AC Mizal sangat membanggakan dan beliau telah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik pada ALW sebelum ini. Malah, kami berpuas hati dengan apa yang dia telah lakukan bagi melancarkan perjalanan ALW.

"Bagi Sherry dan Zulin pula, kami melihat mereka mempunyai potensi besar sebagai pengacara pelapis yang seharusnya terus diberi peluang sementelah mereka juga kini antara yang mendapat perhatian ramai.

"Justeru, kami yakin gandingan mereka bertiga akan menggegarkan ALW tahun ini dengan gelagat dan keletah mereka yang bersahaja dan mampu menggeletek penonton," jelas Emarina penuh optimis.

Bertemakan Celebration, ALW 2015 yang bakal bersiaran secara langsung dari Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 21 Ogos ini turut menampilkan Syuk dan Jihan Muse sebagai pengacara karpet merah.

ALW 2015 mempertaruhkan 13 kategori terbaik yang merangkumi filem, drama, penerbitan program dan telefilem selain empat kategori popular dan satu anugerah khas juri.

Bagi mereka yang mahu mengundi calon akhir yang tersenarai dalam kategori popular, bolehlah berbuat demikian di laman web www.anugerahlawakwarna.com.my bermula 13 Julai ini sehingga 21 Ogos 2015.