Khamis, 9 Julai 2015

.

.


Warkah Ramadhan buat Abdul Hadi Awang (Akhir)

Posted: 08 Jul 2015 11:28 PM PDT

Tuan, berundurlah demi kebaikan PAS

Tuan surat saya bahagian yang ke-4 ini adalah surat panjang Ramadhan terakhir buat Tuan. Sebagai mengakhiri surat ini saya dengan sukacita dan penuh insaf setelah meneliti dan mengkaji segala perkembangan mutakhir dalam PAS, mencadangkan agar Tuan berundur daripada memimpin PAS. Usah prejudis dengan cadangan dan gesaan ini. Ia dibuat untuk kemaslahatan semua.

Saya jamin Tuan kalau Tuan mengambil tanggungjawab dan amanah ini Tuan tidak akan dipaluti dosa bahkan Tuan akan dialu-alu dan disanjung tinggi.

Sesuatu yang Tuan kena sedar dan insaf kemenangan besar yang diraih dalam muktmar lalu bukan lesen untuk Tuan terus berada di situ. Megah untuk jadi presiden. Kemenangan itu bukan segala-galanya. Tuan pun tahu kemenangan itu bukan dibuat seccara adil dan tepat berdasarkan pencapaian dan keupayaan (prestasi) Tuan sebagai presiden PAS selama ini. Dalam erti kata lain kemenangan itu bukan suatu pengikhtirafan tulen atas kemampuan Tuan.

Pengangkatan Tuan ialah kerana rasa taksub dan takjub ahli kepada Tuan oleh ahli yang sudah diternak dengan diberika makanan dan umpan subur bernama Islam yang Tuan tafsirkan. Tuan sendiri tanpa disedari telah dijadikan modal dan alat oleh golongan yang ingin menguasai PAS, membawa PAS kepada hala tersendiri yang telah dirancangkan demikian rupa.

Sebenarnya Tuan telah dijadikan bahan komoditi oleh sebahagian mereka dengan tujuan-tujuan tertentu. Ia dibuat bukan secara iklas dan diukur dengan kemampuan sebenar jauh sekali untuk menghidupkan PAS yang sudah berjaya membentuk identitinya sendiri dalam persada politik negara di mata rakyat Malaysia dan diyakini menjadi parti masa depan.

Tuan juga terulik dengan pujian yang sama sekali bukan tidak sepatutnya Tuan terima. Sebagai contohnya, penyanjungan Tuan yang dilantik sebagai Timbalan Peresiden Ulama sedunia, hanyalah sebuah nyanyian sahaja. Saya yakin mereka yang tulus dalam membuat penilaian ini dapat mengukur bandingkan Tuan dengan mereka yang lain. Jadi perlantikan itu bukan berdasarkan wibawa Tuan, tetapi kerana wibawa organisasi yang Tuan kepalai, iaitu PAS. Ia adalah dua perkara berbeza.

Hakikat yang ada bukan seperti apa yang digemakan. Tuan hanyalah tin kosong yang kuat dibunyikan tetapi di dalamnya, tidak ada apa-apa. Bolehkah Tuan lena dengan dodoian dan lagu ulik mayang atau puteri beradu seperti mana dinyanyikan sang ibu kepada anaknya untuk menidurkan si anak. Tahukah Tuan bahawa sang ibu mendendangkan lagu-lagu tradisi itu untuk anak lena agar mereka (ibubapa) boleh melakukan kerja lain yang asyik?

Begitu jugalah dengan Tuan dalam PAS telah dijadikan perkakas dan didodoikan sedemikian merdu dan mendayu agar Tuan lali, tertidur dan lupa kepada hakikat diri selaku khalifah sebenar yang dituntut Allah. Khalifah memimpin manusia dan meletasrikan alamnya bukan memecah mecil dan mengkhianti alam yang indah ini. Tuan juga banyak dituba dengan ratib puji-pujian oleh orang-orang yang ingin menumpangkan tuan yang ada kepada Tuan untuk kepentingan diri sendiri. Silapnya Tuan disini Tuan tidak memerhati serta memahami perangkap samar itu.

Permintaan saya ini bukan wewenang. Saya ada asas kenapa meminta Tuan berundur scara terhormat. Tuan harus menginsafi beberapa kerosakan besar PAS muasir ini berlaku gara-gara Tuan. Bukan maksud saya sengaja mahu memburukkan Tuan, tetapi perubahan pegangan dan pendekatan politik Tuan yang tidak konsisten menjadi penyebabnya. Tuhan menganjurkan ahli beristiqamah dengan perjuangan Tuan sendiri tidak istiqamah dengan kata-kata Tuan sendiri.

Tuan juga terlalu sombong dan "agah" dengan pandangan sendiri dan tidak menghormati idea orang lain. Perasaan keagamaan yang tinggi yang ada kepada Tuan menyebabkan Tuan mudah berasakan orang lain jahil. Sikap inilah merupakan satu kesilapan dan dosa besar kepada kesejahtraan PAS lantaran Tuan. Tuan perlu sedar Tuan sudah menjadi liabiliti kepada PAS.

Ternatijah dari itu menyebabkan Tuan sudah hilang aura yang besar dalam PAS. Tuan sudah hilang kepercayaan oleh sebahagian ahli yang lain walaupun Tuan dipuja dan dikultuskan sebagai wali oleh yang sebahagian yang lain. Malang lagi Tuan dicemuh dan dikutuk oleh umum. Tuan kena sedar, Tuan tidak boleh mengakui memiliki sebutir nyiur kalau hanya sebelah sahaja ditangan Tuan dan sebelah lagi ditangan orang lain. Nyiur sebutir itu dikatakan nyiur apabila ia sempurna dalam kebulatannya.

Apa yang berlaku sekarang ini dimana hampir separuh bekas pimpinan PAS menentang Tuan dan memprotes dengan bercadang untuk menubuhkan parti baharu. Kemusnahan perpaduan PAS ini Tuan kena bertanggungjawab, dan bukan boleh menolak dengan anggapan ia adalah takdir dan membuat perumpaman-perumpaan Pandir. Rasa tanggungjawab Tuan sebagai pemimpin perlu ada. Kalau sebelum ini Tuan meminta anggota kerajaan bertanggungjawab atas sesuatu yang berlaku, nah kini desakan itu harus ada dalam diri Tuan sendiri, Tuan perlu mendesak Tuan sendiri agar bertanggungjawab ke atas nasib yang menimpa PAS.

Untuk ini Tuan harus bertindak lebih bijak dan tidak mengikut "erel" ahli yang kecewa itu. Di sinilah peranan pemimpin berusaha mengembalikan perpaduan dan keharmonian. Di sinilah perlu pentingnya ilmu diplomasi dan ilmu hubungan kemanusiaan dalam bertindak. Seorang pemimpin itu jaya atau tidak akan dilihat kepada keupayaan untuk menguatkan parti bukan memecahkannya. Dalam konteks agama pula sejauh mana ia mampu menjadikan wadah yang dipanggungnya membawa Rahamtanlialamin.

Dalam pada itu untuk adil saya memberi kata dua (ultimate) kepada Tuan untuk dijadikan alasan Tuan berundur. Pertama ialah sekiranya Tuan gagal untuk merealisasikan hasrat Tuan menyatukan PAS dengan UMNO. Kedua ialah, sekiranya parti baharu terbentuk selepas raya ini.

Tuan tidak boleh sembunyikan hasrat dan keinginan Tuan untuk menyatukan PAS dengan UMNO atas alasan untuk survive Melayu dan Islam itu. Tuan tidak boleh menafikan hal ini. Kenyataan dan tindak tanduk Tuan membawa ke arah itu. Tidak menjadi kesalahan pun kalau Tuan ada fikiran ke arah itu. Ini juga merupakan satu upaya dan kuasa yang ada kepada seorang presiden. Tuan kena buktikan dan laksanakan secepat mungkin. Bukankah Tuan sudah menanam terlalu dalam benih itu dalam jiwa Tuan. UG? Tuan tidak perlu berdolak dalik.

Sekiranya hasrat ini gagal dan menemui kehancuran maka wajarlah Tuan berundur sebagai mengambil tanggungjawab. Jadi presiden bukan sekadar untuk dipanggil presiden tetapi yang penting menunjukkan karismatiknya.

Begitu juga sekiranya wujud parti baharu yang sedang diura-urakan ini, Tuan harus bertanggungjawsab. Kewujudan itu kerana kegagalan Tuan memulihkan kembali semangat ukhwah Islamiyah dalam PAS selepas bermuktamar. Kebijaksanaan Tuan diuji dalam hal ini. Tuan sekali lagi tidak boleh berkata, ia adalah takdir. Takdir itu sendiri boleh diterima setelah kita berusaha mengatasinya. Apakah Tuan telah berusaha?

Sekiranya kewujudan parti baharu itu menjadi kenyataan tidak ada helah bagi Tuan melainkan kena berundur. Jadi di sini dua alasan saya kemukakan untuk Tuan berundur.

Saya melihat PAS masih ada waktu tersisa untuk dipulihkan seterus menjadi sebuah parti yang dihormati kalau Tuan berundur. Dan orang yang boleh diserahkan tanggungjawab ini tidak lain dan tidak bukan timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Melihat kepada gaya, perwatakan dan pendekatan politik diambil Tuan Ibrahim, (menerusi kenyataan dan seruan akhbar) menunjukkan keyakinan beliau boleh memulihkan PAS berbanding dengan Tuan.

Pendekatan Tuan Ibrahim dilihat lemah lembut dalam tindakannya walaupun dia nampak tipis dengan pengalaman politik dan belum matang politik. Tetapi perwatakan dan sikap sedikit terbukanya menjadi modal untuk dia memimpin PAS.  Sekiranya dia dipandu dengan cara teratur dan diberikan peluang Tuan Ibrahim boleh membentukan arca dalam serpihan cermin diri Tokguru.

Justeru demi masa depan PAS agar ia terus dihormati kemudian menjadi parti hebat, Tuan serahkan tanggungjawab itu kepada Tuan Ibrahim secepat mungkin.

Tuan tidak perlu menyesal dan rasa terhina kalau mengambil tanggungjawab itu. Bahkan Tuan akan disanjung dan dipuja lebih hebat dari itu sebagai seorang pemimpin yang meletakkan parti mendahului daripada ego diri. Tuan akan dicatat sebagai rekod seorang lagi bekas presiden PAS seperti Yusuf Rawa, yang melepaskan jawatan kepada Fadzil Noor.

Akhirnya, saya mengucapkan selamat hari raya Aidifitri kepada Tuan semoga Tuan dan kita semua berada dalam keredhaan Allah s.w.t., mesikpun tanpa berkerjasama dengan UMNO.

Salam hormat,
MOHD SAYUTI OMAR.
Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur.
Ramadhan 21.

Najib perlu bersumpah nafikan tidak ambil duit 1MDB

Posted: 08 Jul 2015 05:49 AM PDT

RENUNGAN MALAM                                                                                      

Najib bukan saja perlu berdoa, tetapi bersumpah laknat juga.
Cadangan ini tidak begitu praktikal tetapi setidak-tidaknya Najib Razak boleh meredakan prasangka buruk umum terhadapnya waktu ini yang dikatakan telah menyelewengkan wang syarikat pelaburan strategik 1MDB sebanyak USD700 juta atau RM2.62 billion.

Cadangan dimaksudkan, ialah Najib perlu melafazkan sumpah laknat berbiunyi Walahi, Wabilah dan Wataliahi.

Sumpah ini pernah melafazkannya sewaktu beliau diasak dan dikaitkan dengan pembunuhan kejam perempuan Mongolia Altantuya Shaariibuu beberapa tahun lalu. Najib didakwa kononnya mengenali perempuan berkenaan jadi beliau juga dibabitkan dengan pembunuhan kejam peragawati beranak satu itu.

Najib menafikan segala tuduhan dan dakwaan itu dengan melafazkan sumpah berkenaan di sebuah masjid di Permatang Pauh ketika berlangsungnya pilihan raya kecil parlimen Permataang Pauh yang membabitkan Anwar Ibrahim.

Kandatipun sumpah itu tidak dapat mengikis persepsi umum terhadap dakwaan tidak berasas itu tetapi dari segi syariat - pegangan agama, Najib dianggap sebagai sudah terlepas daripada tuduhan itu apabila beliau melakukan sumpah laknat. Sama ada dia kenal atau tidak, berbohong dengan sumpah itu, atau tidak, orang kena mempercayainya kerana dia bersumpah menggunakan nama Allah.

Nama Allah haram dipermainkan untuk apa-apa tujuan yang tidak benar. Najib sebagai orang mukmin memahami akan larangan itu.

Sekiranya dia melanggari atau bohong dengan sumpah itu dia akan dilanda laknat berpanjangan.

Mengenai tuduhan terbaharu yang dilemparkan oleh Well Street Journal (WSJ) dan ketika ini sedang dipertuturkan orang ramai, elok kalau Najib mengambil langkah sama melafazkan sumpah laknat itu.

Sementara siasatan dijalan untuk mementukan tuduhan itu dan beliau sedang berkira untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas WSJ, molek benar kalau Najib menggunakan mana-mana mimber masjid Jumaat ini untuk melafazkan sumpah lanat itu menafikan dia tidak terlibat dengan tuduhan itu, atau pun tidak tahu menahu dengan wang itu ataupun tidak pernah mengambil wang 1MDB walaupun satu sen.

Sumpah itu sudah pasti akan dijadikan pegangan terutamanya dari kalangan orang beriman di negara ini untuk tidak membebankan perdana menteri dengan tuduhan berkenaan yang sangat menekan jiwanya. Penduduk Melayu luar bandar dan para peneroka akan lebih yakin dengan Najib tidak terlibat dengan penyelewengan itu kalau beliau melafazkan sumpah itu.

Setidak-tidaknya dengan sumpah itu beliau terbela. [wm.kl.8:42 pm 08/07/15]

Tiada ulasan: